Thursday, December 23, 2010

Kelas Pertamamu

Hari pertama ini sangat mengujakan. Semalaman tidurmu tidak begitu tenang. Teringat esok yang akan menjelang. Esok menentu jalan bagimu. Jalan panjang dan luas yang akan diteroka sepanjang kerjayamu. Esok mulanya. Awal sungguh kau bangun. Ingin cepat. Mengelak jalan sesak. Ibu bapa tentu kalut mengurus anak pada hari pertama. Selepas subuh bertali arus kenderan meninggalkan rumah masing-masing. Destinasi pertamanya tentu sekolah. Aduhai pagi yang sejuk ini. Aku ingin sampai jauh lebih awal. Malulah nanti jika lewat baru tiba. Cikgu baru yang semacam jadinya. Hari pertama inilah perlu ditunjukkan first impression. Mudah-mudahan ramai yang jatuh cinta pandang pertama.

Berebut-rebutlah kau di jalanan. Semua orang ingin sampai lebih cepat dari orang lain. Ada perhimpunan awal pagi. Perimpunan pertama untuk tahun 2011. Sejarahmu juga sebagai guru terlatih. Perhimpunan pertama yang kau hadiri. Panjanglah nanti ucapan Pengetua. Entah, seperti motivasi. Macam juga leteran. Ada juga macam tidak tentu hujung pangkal. Pelajar-pelajar cepat bosannya. Ingat tak waktu kau sekolah dulu. Itulah yang gurumu buat. Menyeksa anak-anak didik pada awal pagi. Retorik yang sama sepanjang tahun. Selama 40 kali setahun. 200 kali selama lima tahun. Nantilah bila kau jadi Pengetua, ubahlah paradigma. Jangan lepaskan geram. Hilang falsafah dan psikologi yang telah dipelajari bagai hendak gila dulu. Tradisi itu bukan warisan.

Di tangan kananmu kau sandang beg. Atau kau bimbit briefcase. Di tangan kirimu kau dakap buku persediaan mengajar. Buku persediaan itu wajib dibawa ke kelas. Wajib. Jika nazir datang dan kau tidak membawanya maka tindakan disiplin boleh dikenakan. Denda RM1,000? Atau RM2,000. Atau penjara dua tahun atau kedua-duanya. Jangan main-main mengenai perkara itu. Kau bawa juga senaskhah dua buku teks. Kau langkah kaki. Kau turuni tangga. Menyusur sebuah lorong untuk naik di tangga yang lain.

Elok juga. Dapat kau kurangkan berat badan. Dekat dan dekat. Berdebar juga hati ini. Alahai hendak mengajar pelajar tingkatan duapun gelabah juga. Berapa ramai ya? Komposisinya? Cerdiknya? Kau dongak sana kau dongak sini. Ini dia kelas yang kau cari. Biasalah guru baru kenalah mengajar kelas di hujung-hujung. Kelas yang tidak berapa pandai. Tidak berapa cerdik. Tidak berapa bestari. Guru baru diberi pengalaman dulu. Biar lintang pukang mengendalikan pelajar-pelajar yang alang-alang pandai. Bukan pelajar jenis ini sahaja yang sukar dididik, malah pelajar yang teramat pandai juga menimbulkan masalah. Itu belum ibu bapanya lagi. Guru-guru lama hanya senyum. Dulu mereka sepertimu juga. Kena buli masa mula jadi guru baru.

Sederap pelajar berdiri. Kau terus ke meja untuk meletak alat perangmu pagi ini. This is crucial. A very critical moment. It augurs well for your future endeavour. Tadi langkahmu mestilah teratur dan with purpose. Cara kau meletak buku diperhati seluruh mata. Sekarang ini senjatamu yang paling ampuh ialah matamu. Ya! Matamu. Ambil masa. Tarik nafas panjang-panjang. Tarik dalam-dalam. Tenangkan perasaan. Kau hadapkan tubuh badanmu perlahan-lahan. Kau hadirkan hatimu seluruhnya. Pandang mereka dengan pandangan serius. Ingat dulu waktu microteaching. Telah ku peringatkan kepadamu semua itu. Pandangan serius ialah memandang dari atas kepala hinggap di dahi sahaja. Jangan turunkan mata ketika ini. Jangan kau pandang yang montel. Jangan kau pandang yang comel. Jangan kau pandang yang tinggi menggalah. Jangan kau pandang yang kulitnya berwarna warni itu. Jangan pandang yang ganteng. Yang gagah. Yang perkasa. Yang hidungnya mancung. Yang matanya galak. semuanya itu akan kau lakukan bila kau bersedia dengan pandangan sayang. Seluruh muka kau tatap. beran bertentang mata dengan pelajar. Lidah tidak kelu untuk berkata-kata. Ku harap kau tidak turun ke bawah melepasi dagu hingga menjadi pandangan miang.

Ucaplah salam dengan tenang. Dengan suara yang power vocalnya. Yang garaunya sengaja dibuat-buat. Awas ketika itu kau mestilah berdiri tegak di hadapan kelas. Tanganmu mungkin di hadapan. Genggam lembut antara kedua-dua jari jemari tanganmu. Nanti, nanti, nanti. Jangan senyum. Inilah masa untuk jual mahal. Senyum guru mahal harganya. Ia hanya untuk hadiah dan anugerah tertentu. Bukan murahan dan sebarangan. Ada sebabnya. Sabar dulu. Pandang dulu dahi mereka satu persatu. Jangan kalut. Jangan kepuh. Jangan, jangan. Banyak bertenang. Jadilah seperti si algojo yang ingin menjatuhi hukuman.

Perkenalkan diri dengan bersahaja. Tuliskan nama. Sedikit biodata. Yang perlu sahaja. Nama. Negeri asal. Cukup dulu. Nah ketika inilah akan ada yang mula hendak buat nakal. Inilah peluangmu untuk melaksanakan suatu tugas pemula yang tidak boleh silap. Kesilapan tindakan pertama ini akan memberi padah yang lebih parah pada masa hadapan. Akan ada nanti suara anak kecil di hadapanmu yang bertanya, ‘cikgu dah kahwin?’. Jawapanmu, jawapanmu mestilah dengan berhemah sekali. Katakan, ‘Dalam kelas ini saya tidak mahu ada soalan-soalan seperti itu. Tidak berkenaan. Kamu tidak sepatutnya bertanya mengenainya.’ Akan ada nanti yang menawarkan abangnya. ada yang menawarkan kakaknya. Aduh!

Keras bunyinya. Perlukah jadi garang. Bengis. Bengkeng. Dan kurang mesra pula. Beginilah analogi saya. Sesuatu yang hendak dibina mestilah menggunakan bahan-bahan yang berkualiti. Dibangunkan hingga tegak dahulu. Hingga kukuh dahulu. Hingga nampak bangunnya. Dari situlah nanti kau anjakkan paradigma mereka. Kau disiplinkan mereka. Mengertikan antara yang santai dengan yang serius. Yang formal. Yang rasmi. Biar mereka tahu yang mana boleh dan yang mana tidak. Kau kena ulang dan ulang. Jika tidak mereka tidak faham. Mereka tidak mengerti urgency.

Kau ada pilihan yang terhad. Hendak menjadi guru yang disukai atau guru yang dibenci atau guru yang digeruni. Tetapi percayalah, yang paling baik ialah guru yang disegani. Yang hormatnya datang sendiri. Dilihat dan difahami. Tidak perlu ditagih. Tidak perlu diminta. Tidak perlu dipaksa. Ada banyak panduan yang perlu diikuti. Yang perlu difahami dan diambil maklum. Yang membantu meningkat diri.

Ingat dulu kelas microteaching? Walau sehebat mana sekalipun seorang guru bila hilang kawalan kelas P & Pnya musnah sama sekali. Kau mesti tunjukkan keikhlsanmu. Mesti pamerkan keperihatinanmu. Ada kesungguhan. Ada komitmen. Ada usaha yang memang nampak jelas. Pelajar melihat siapa kau. Melihat semua yang kau zahirkan. Kadang-kadang mereka melihat yang tersirat. Ada antara mereka memiliki kecerdasan yang luar biasa.

Tolong ya. Tolong jangan banyak cakap. Jangan banyak bicara. Tolong jangan banyak berkata-kata. Lazimnya jika itu berlaku kau akan kelihatan mengomel. Kau dilihat membebel. Kau nampak berleter. Kau kelihatan menceceh. Pelajar tidak gemar orang-orang jenis itu. Cukuplah di rumah, ibu mereka bersikap dan bersifat begitu. Buat sebaliknya. Banyak beri panduan. Banyak tunjuk ajar. Banyak beri prosedur. Banyak beri petua. Mesti banyak bikin dan bukan banyak cakap. Cakap mesti serupa bikin. Pelajar hendak tahu, Beri mereka maklumat. Mereka banyak tanya, beri jawapannya. Banyak taklimat. Banyak ulang prosedur.

Semak kerja mereka. Pantau kerja mereka. Latih tubi, ulangkaji adalah jalan asas yang mesti diberi. Mana yang berjaya pujilah sekadarnya. Jangan berlebih-lebihan. Nanti demotivated. Jika lemah atau salah jangan pula dihina. Jangan dicemuh. Jangan diperlekah. Jangan pula dilabel. Jangan distereotype. Jangan diberi gelaran. Nanti patah semangatnya. Nanti runtuh cita-citanya. Sekolah sepatutnya menjadi syurga bukan neraka. Jangan jadikan sekolah a living hell. banyak membantu bukan mencari salah. Jangan mencari kelemahan pelajar. Bantu mereka. mereka perlukan bantuanmu.

Jadilah ayah. Jadilah ibu. Hadapi pelajarmu dengan kasih sayang. Tetapi jangan manjakan. Jangan muakan. Jangan lemakkan. Beri yang sepatutnya sahaja. Sedikit demi sedikit. Ibarat mengisi beras atau padi ke dalam guni. Masukkan sedikit kemudian hentak dulu. Tambah sedikit lagi. Hentak lagi. Begitulah berulang-ulang supaya akhirnya memang penuh. Memang padat. Memang sendat. Memang terisi dengan terisinya. Penuh sepenuhnya.

Oh ya. Mesralah dengan pelajar seadanya. Pada awal-awal ini jangan dulu bergurau senda. Jangan melawak. Jangan buat kecindan. Saya takut nanti ada yang mengatakan kau adalah badut. Pelawak. Kekalkan bersahaja. Satu lagi jangan sekali-kali menceritakan apa-apa rahsia kepada pelajar. Tidak kiralah rahsia diri ke. Rahsia sekolah ke. Rahsia apa ke. Ajar dan didik mereka seperti yang dikehendaki. Habiskan silibus.

Ada guru yang dianggap baik. Ada guru yang dianggap tidak baik. Jangan sekali-kali burukkan guru lain. Jangan burukan Pengetua. Jangan burukkan Penolong Kanan. Jangan burukkan rakan sejawatmu. Jika kau tidak menjaga maruah guru lain nanti maruahmu tiada siapa yang melindunginya. Seteruk mana sekalipun Pengetua atau GPK atau guru lain, tugasmu ialah mempertahankan mereka secara profesional. Suatu hari nanti kau akan jadi GPK juga. Ada rezeki jadi Pengetua juga. Mungkin nanti ada orang lain yang tidak sukakanmu. Mudah-mudahan nanti ada orang yang melindungi maruahmu.

Pakaianmu. Pakaianmu. Gantilah setiap hari. Kemas. Bersih. Rapi. Warnanya kena. Coraknya kena. Potongannya kena. Saiznya kena. Menarik. Anggun. Antun. Elegant. Penampilan adalah satu antara tarikan guru kepada pelajarnya. Ada yang sentiasa menarik. Dilihat memikat hati. Menyejuk mata. Bukan sebarangan. Namun jangan berlebihan. Jangan jadi pelakon wayang Cina. Maaf. Jangan pula jadi pelakon Hollywood. Jangan jadi seperti pelakon Bollywooh. Penampilanmu mestilah derlandaskan Islam. Auratmu dijaga. Ikut adatmu dulu. Adat dan adab bangsamu. Budayamu.

Buat pemerhatian. Buatlah pengamatan. Lihat. Belajar. Banyak lagi yang perlu kau ketahui. Tidak mungkin sempurna sekelip mata.

No comments:

Post a Comment