Wednesday, December 22, 2010

Memerdekakan Jiwa dan Raga

Waktu Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957 saya baru berusia 10 tahun 3 bulan. Di darjah 4 ketika itu. Kanak-kanak kamping seperti saya tidak banyak yang saya tahu. Yang saya tahu merdeka. Bendera Union Jack diturunkan dan bendera Tanah Melayu dinaikkan. Saya berasa sedikit keliru kenapa bendera itu menyerupai bendera Amerika Syarikat. Biar orang lain cari jawapannya. Yang pentingnya ialah saat syahdu Union Jack diturunkan. 1814 Raffles menjajah Temasik. 1957 Tanah Melayu merdeka. Ratusan tahun kita dijajah. Itu belum Portugis pada 1511 dan Belanda pada abad berikutnya. Seingat saya pada 1644. Tanah Melayu telah dijajah selama 446 tahun. Sahlah negara kita telah dijajah. Hasil mahsul kita telah dijajah. Semangat kita tekah dijajah. Pendidikan kita hasil penjajah. Tidak hairan bila budaya kita dijajah. Hidup kita dijajah. Minda kita, ya minda kita memang minda yang dijajah.

1874 Perjanjian Pangkor yang memulakan detik penjajahan British di Perak. Kemudian Selangor, Pahang dan akhir sekali Negeri Sembilan. Ini sejarah. Tidak ramai yang mengingatnya. Tidak ramai yang ambil pusing. Pada tahun 1874 Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu masih berada di bawah naungan Siam. Johor diaktakan tidak dijajah. Melaka, Pulau Pinang dan Singapura terletak langsung di bawah ketiak British. Straits Settlements. Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan sebagai negeri-negeri yang bersekutu. Bersekutu dengan British. Di bwah telunjuknya. Perjanjian mengikat mereka.

Pada tahun 1909 dimetrai Perjanjian Bangkok. Yang menghairankan ialah British dan Belanda berpakat untuk membahagi-bahagikan Indonesia dan Tanah Melayu seolah-olah nusantara ini harta milik mereka. Selatan Khaltulistiwa dimiliki oleh Belanda. Yang di utara milik British. Entah macam mana pula pandainya British sehingga kerajaan Thailand menyerahkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada mereka. Jadilah keempat-keempat negeri ini bersama dengan negeri Johor dinamakan negeri-negeri tidak bersekutu. Tidak ada apa-apa perjanjian. Tiada perundangan yang mengikat. Tetapi hakikatnya British tetap menjalankan jarun penjajahannya di negeri-negeri tersebut. Saya tidak mahu menyebut Sabah dan Sarawak kerana yang itu lebih menghairankan. Sebuah keluarga boleh memerintah Sarawak. Sebuah syarikat boleh memerintah Sabah. Sejarahnya begitu.

1874 adalah titik tolak secara rasmi Tanah Melayu dijajah British. Mungkin naif pemikiran orang Melayu ketika itu. Perjanjian Pangkor itu menghalalkan pemugutan cukai oleh British. Dulunya cukai itu milik pembesar-pembesar negeri. Bila mereka sedar yang mereka kehilangan kuasa dan hak memungut cukai barulah timbul penentangan. J W W Birch hanyalah lambang penjajahan British. Maharaja Lela dan Si Putong bukankah lambang pejuang kemerdekaan? Bagaimana dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang. Bukankah mereka pejuang kemerdekaan itu juga? Apa kurangnya Abdul Rahman Limbung di Terengganu? Mat Salleh di Sabah, bukankah pejuang kemerdekaan juga?

Entahlah sejarah tidak pernah bias. Tidak condong ke mana-mana. Tidak condong kerana hal-hal yang tertentu. Sejarah itu berlaku dan berlalu. Kita hanya membaca kisahnya. Riwayatnya. Tafsirannya pula ikut selera sendiri. Seharusnya ada kewajaran untuk melihat semula sejarah. Itu warisan kita. Sejarah itu mesti benar. Lalu tafsirannya mestilah benar. Sejarah itu kebenaran. Berlakunya secara hakiki. Sebab musababnya perlu dikaji secara hakiki juga. Ia menjadi bacaan, renungan generasi mendatang. Tiada siapa yang berkepentingan. Ia sejarah negara. Sejarah bangsa. Sejarah agama.

Saya masih ingat tentang Syed Sheikh a-Hadi dengan perjuangannya menentang British melalui tulisan-tulisannya. Sebenarnya ramai pejuang pernah belajar di Mesir. Lalu mereka mendapat banyak ilham dari sana. Rakan seIslam mereka di sana dalam landasan yang sama. Menentang British. Ini bermakna perjuangan kemerdekaan itu mendapat suntikan antarabangsa. Begitulah apabila Jepun mengalahkan British. Orang kita terkejut beruk.

Orang Jepun digambarkan sebagai kecil, kerdil dan memang saiznya jauh lebih rendah dari orang Putih. Tetapi Allah menghantar mereka untuk memberikan ilham kepada orang kita bahawa besar jangan disangka bapa dan kecil jangan disangka anak. Kemenangan Jepun itu membuka mata, memberi kesedaran bahawa perjuangan itu mesti ada rencana, ada strategi ada usaha. Jepun memberikan kita isyarat, memberi kita panduan, memberi kita jalan, memberi kita fikiran bahawa untuk menang mesti ada perancangan awal. Seawal-awalnya. Dalam hal ini ilmu risikan sangat sangat sangat penting. Tanyalah datuk moyang kita bagaimana Jepun telah datang membuat risikan bertahun-tahun sebelum Perang Dunia II.

Mereka datang mebuka kedai runcit. Mereka datang menjual basikal. Mereka datang menjual aiskrim. Dan bermacam-macam lagi yang mereka buat. Setiap lorong dan ruang di Tanah Melayu dilakar, dibentang dan dizonkan supaya mudah diterobos, diserang dari segenap penjuru yang petanya dalam telapak tangan mereka. Pekedai runcit yang dulu itu rupanya seorang kolonel. Penjual basikal dulu rupanya seorang major. Dan begitulah rapinya perancangan mereka.

Sesuatu yang orang selalu lupa ialah pertahanan negara. British menjangkakan mereka datang menyerang Singapura. Itu lubuk pertahanan mereka. Kemegahan mereka. Kebangaan mereka. British lupa bahawa di sepanjang Tanah Melayu banyak lompang-lompang yang tidak dipertahankan. Bila Jepun mendarat di Kota Bharu, datang mereka seperti tsunami. Memang tsunamipun bahasa Jepun. Hanya beberapa ketika sahaja mereka sudah sampai di Johor Bahru. Singapura hanya menunggu saat sahaja untuk ditawan. Benar semuanya sudah mejadi sejarah. Sejarah kita.

Bangsa kita yang saban waktu dijajah. Seluruh jiwa raga kita selalu dijajah. Begitulah sukarnaya bangsa yang pernah dijajah. Mengikis rasa dijajah itu sangat sukar. Apa lagi British dengan diplomasinya. Dengan psikologinya. Kita lentok dan tidak bermaya. Kita kecundang dari segi berfikir. Kita menyangka British itu segala-galanya. Pada hal gula-gula yang dihulurkan itu bersalut racun berbisa. Warisan mereka kekal hingga sekarang. Mencorakkan pula pemikiran, budaya dan kehidupan kita.

Kerananya kita hilang identiti dan entiti bangsa. Jati diri kita sudah lama terbuang jauh. Baju Melayu hanya untuk majlis-majlisan. Bahasa Melayu tidak layak untuk iklan, brochure dan edaran-edaran promosi. Komunikasi kita bercaca marba. Tulisan Jawi dibuang entah ke mana. Hatta nama Melayu (Islam) juga sudah segan dipakai. Yang namanya Melayu itu dilihat meloyakan. Seperti tiada kelas. Low class, kata P Ramlee.

Kita mengejar kemajuan dan pembangunan yang mungkin tidak setara. Orang kita sebenarnya tidak punya apa-apa. Tiada apa-apa lagi. Tiada apa yang tinggal lagi. Tiada yang berbaki. Tiada sisa. Tiada apa-apa yang nampak. Yang boleh dilihat. Yang boleh dipegang. Yang boleh dipunya sebagai jaminan. Kita mendongak tinggi. Melangut lama. Yang kita lihat bangunan itu bukan kita punya. Kenderaan besar di sebelah kita bukan milik kita. Kereta mahal di lorong hadapan bukan milik kita. Kereta cantik di lorong kiri bukan milik kita. Yang bergemerlapan itu bukan milik kita. Orang makan rotu, kita hanya makan hancuran keraknya sahaja.

Yang bermotorsikal itu orang kita. Yang berbonceng dari dua hingga lima itu orang kita. Yang memotong rumput di tepi jalan itu orang kita. Yang menyapu sampah di banguan tinggi itu orang kita. Yang bekerja di kilang itu orang kita. Operatornya orang kita. Yang mengawal bangunan itu orang kita. Yang jadi buruhnya itu orang kita. Yang tinggal di rumah kecil itu orang kita. Yang makan di gerai dan warung di tepi jalan itu orang kita. Yang memenuhi konsert jalanan dan dipadang-padang itu orang kita. Yang banyak kenyang dengan dadah itu orang kita. Yang banyak lari dari rumah itu orang kita. Yang banyak membuang bayi itu orang kita. Yang banyak merempit itu orang kita. Yang, yang, yang jaga tandas itu orang kita. Di mana ya, di mana maruah dan harga diri kita?

Berapa peratus orang kita yang kaya. Yang berjaya. Yang memegang kuasa. Yang menjadi tuan. Akhirnya semuanya tidak menjadi jika kita tidak menguasai ekonomi. Jika kita tidak menguasai kekayaan. Jika kita tidak menguasai harta. Jika kita tidak memegang panduan untuk berjaya. Bahasa, budaya hatta agama akan tergadai kerana lapar. Kerana miskin. Kerana papa. Kerana serba kekurangan yang ada pada kita. Ramai yang sudah murtad kerana kita tidak menjamin apa-apa. Tidak memberi harapan apa-apa. Tidak merancanakan apa. Itu belum yang sesat dan menysesatkan.

Kita tidak boleh menyalut diri kita dengan harapan palsu. Terlalu lama dijajah. Kita kena merdekakan kesemuanya. Bukan bendera sahaja yang bertukar. Hanya hiasan negara. Tetapi maruah di sebalik bendera itu kita kesampingkan. Dan maruah kita selalu benar tercabar dan dicabar.

No comments:

Post a Comment