Thursday, December 16, 2010

Melangkah Hari Pertama

Semua guru mesti ingat latihan untuk menyediakan diri bagi mendidik anak bangsa. Ingat dulu waktu belajar falsafah, sosiologi, psikologi, pedagogi dan microteaching. Waktu belajar dulu tentu hasratnya untuk score A. Kejar first class honours. Masa itu tidak terfikirpun apa sebenarnya yang dipelajari. Topik dan perbincangannya begitu asing. Tentu masih ingat tentang elanchos, dilactic, homo sapien, ontologi, epistimologi, aksiologi dan entah apa-apa lagi. Antara ingat dengan tidak. Percayalah apabila guru masuk ke kelas ketika itulau tercari-cari semula tempat bertapak. Mencari tempat berlindung. Mencari tempat membina jambatan baru. Adakah jambatan lama sudah dibuang? Sudah diruntuhkan? Al-maklumlah sudah meninggalkan alma mater yang dulu sangat dekat di hati. Tentu sekarang hanya kenangan yang semakin menjauh. Barang yang lepas jangan dikenang, kata P Ramlee. Bukan sudah menjadi hak orang lain tetapi sudah jadi sesuatu yang lain.

Begitulah masa menjarakkan kita dengan orang-orang yang bersama kita. Tempat-tempat yang menghadirkan kita. Suasana yang menggarap harapan kita. Namun bila sampai masanya kita dikerah kembali menelusuri semua yang telah kita lalui. Begitulah 3 Januari 2011 nanti akan menjelang tiba. Tarikh itu mestilah keramat dalam sejarah diri. Tarikh pertama masuk ke kelas yang sebenarnya. Yang mutlak. Yang menemukan seorang guru muda yang terlatih. Yang telah teruji. Yang pernah melakunkan watak-watak guru pelatih. Yang selalu dibimbing, diselia. Yang dulu dinasihat dan ditunjuk ajar. Pastinya 3 Januari itu nanti akan menemukan dirimu kembali. Secara mutlaknya kau adalah seorang guru. Kau akan mendatangi realiti yang hak. Sekolah itu hak. Kelas itu hak. Pelajar-pelajar itu hak. Apa yang akan kau ajar nanti adalah hak. You are on your own. Mati hidupmu kau akan sendiri. Senang susahmu kau akan sendiri. Aku telah bekalkan keperluanmu. Aku telah titipkan bekalanmu. Cukup untuk 40 tahun hari mukamu.

Nantinya kau akan kembali tercari-cari diri. Apa sebenarnya yang kau hadapi? Bagaimana nanti untuk berhadapan dengan anak-anak didik yang ramainya seperti ulat? Yang karenahnya melemaskan perasaan. Yang kalutnya seperti ribut taufan. Hari pertama itu akan datang dengan terpaan-terpaan bak tsunami. Pengalaman hari pertama yang mulanya mendebarkan akan bertukar dengan seribu satu macam gejolak hati. Yang zahir dan yang tersirat. Semuanya mencari dirimu yang pasti. Siapa aku? Apa perananku? Apa tanggungjawabku? Bagaimana aku harus bermula? Di mana aku harus berdiri? Apa ungkapan pertamaku nanti?

Rasa-rasanya aku yakin benar dapat mengendalikan kelas-kelas itu. Waktu Pengetua memberi amanah tidak satupun yang kau tolak. Semangat di dalam berkobar-kobar untuk menabur bakti. Nanti akan ku tunjukkan pada dunia siapa aku. Guru muda yang penuh semangat juang. Perjuangan yang tidak bertepi. Perjuangan menegakkan yang hak. Anak-anak didikku akan ku bangunkan. Akan ku dirikan. Akan ku hidupkan. Akan ku perkasakan. Akan ku angkasakan. Anak-anak dari desa ini, dari taman ini, dari keluarga ini akan nanti ku usap perasaan dan jiwa mereka. Akan ku sentuh psikologi mereka. Akan ku hembuskan semangat dalam yang melebar menyentuh ufuk. Yang meninggi mencecah awan. Yang menjunam tertancap mengejap bumi.

Biar mereka tegak berdiri gagah menjadi pelindung agamanya, bangsanya, negaranya. Biar nanti mereka berupaya mengeluarkan diri mereka dari semua yang bernama kemiskinan. Yang bernama kemunduran. Yang bernama ketidakupayaan. Yang bernama jahil, naif dan lemah. Nanti, itulah tugasmu. Tugas untuk meletakkan anak-anak didikmu di mercu yang tertinggi. Di persada dunia. Yang mengenal antara tahu dengan tidak tahu. Antara sederhana dengan cemerlang. Antara berjaya dengan kegemilangan.

3 Januari 2011 akan kau jejak kelas pertamamu. Seawal jam 7.30 pagi itu kau akan dibariskan di hadapan semua guru. Di hadapan semua pelajar. Di hadapan dunia yang menyaksikan bahawa pada pagi itu ada guru baru. Guru yang terlatih dan berwibawa. Guru yang disandarkan harapan tinggi mengawan. Guru yang pada dirinya bersalut harapan. Yang pada hatinya ada tulus. Yang pada batinnya ada semangat. Yang pada wajahnya ada kemesraan. Yang pada penampilannya ada kegagahan. Pada langkahnya ada kewajaran. Pada duduknya ada kekuatan. Pada kaki dan dirinya ada kekejapan. Pada rona-rona dirinya ada gemerlapan yang menyinari anak-anak didik. Mereka yang dahaga dan haus.

Pandanglah mereka dengan kekuatanmu. Mereka adalah modal insan yang sedang kau canai. Yang nanti menjadi modal yang kitarannya melangsungkan kitaran-kitaran lain untuk membangun agama dan bangsa. Untuk mendokong cita-cita negara dan harapannya. Langkahmu nanti mesti diatur pasti. Gerakmu adalah perjuangan. Ungkapan dan tutur bicaramu azimat. Pandanganmu membuka jalan yang membentang luas. Yang membentang laluan-laluan kejayaan masa hadapan. Hari muka yang penuh harapan.

Semua mata merenungmu. Dalam diam mereka bermonolog. Mampukah cikgu ini? Apa kelebihannya? Bolehkah diharap? Biasalah bila ada orang baru akan ada yang sceptical. Akan ada yang sangsi. Mungkin akan ada yang berperasangka. Keyakinan yang belum teruji. Mereka juga penuh debar menantikanmu. Anak-anak didik pasti berkira-kira sendiri. Inikah cikgu aku? Lawa nampak? Gagah nampak? Hebat nampak? Nanti dulu. Jangan sudah mula perasan. Masanya belum tiba. Banyak lagi proses dan langkah yang perlu diatur.

Kelas sudah dijadualkan. Subjek sudah dimaklumi. Biliknya sudah ditinjau dulu. Mungkin sebulan yang lalu. Buku persediaan sudah penuh diisi. Silibus sudah diatur rapi. Yes! This is it. Guys I am coming. You better watch out. I mean business. Let us do it. Yes again. Together we can do it. Wait for me. Watch my steps. I will create great guys amongst all of you.

Ingatlah. Kau berseorangan dan keseorangan. Maaf, tiada lagi pembimbing. Tiada lagi penyelia. Kau telah tinggalkan mereka semua. Mungkin kau telah lupakan mereka. Biasalah yang telah pergi meninggalkan semuanya di belakang. Teringat lagu Sayang Sarawak ‘ hendak dibawa perahuku sempit”. Tinggallah tuan tinggallah sayang.

Tidak mengapalah. Aku masih di sini. Gapailah bila maumu. Capailah bila perlumu. Aku selalu menanti kepulanganmu. Masih sudi untuk membantu. Kalau mahu.

Nanti kita jumpa di muka pintu kelasmu pada 3 Januari 2011. InsyaAllah.

2 comments:

  1. tuan haji nanti kita jumpe bulan 3 kt perak...kami kt smv lebuh cator de 3 org...harap2 kami dapat buat yang terbaik walau kami rasa kami bukanlah sebaik guru2 lain...

    ReplyDelete
  2. insyaAllah. doakan kita dapat jumpa. nanti kongsi profesional kita.

    ReplyDelete