Monday, February 22, 2010

Ahlul Bait - Ziarah Kedua

Petang ini Isnin 22 Februari 2010 minda saya kenyang kerana dapat menziarahi lagi Habib Ali, waris keturunan Rasulullah. Saya sampai di rumahnya kira-kira pukul 6.30 petang. Saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari kampus. Apabila sampai di Batu Pahat Mall, terasa ingin pula hendak menjenguk insan istimewa ini. Saya mencuba nasib. Alhamdulillah, di hadapan rumahnya ada dua buah kereta. Melihat pada pletnya kereta Singapura. Benar ada tujuh orang jemaah lelaki sedang berhalaqah dengan Habib Ali.

Apabila saya masuk, terkejut Pak Habib dengan huluran tangan saya. Dia tidak ingat kedatangan saya yang pertama.

"Siapa?"
"Yusof."
"Pernah datang?"
"Pernah. Ini yang kedua."
"Bila?"
"Dua minggu lepas.:
"Duduk mana?"
"Dekat Tasik Y, hospital baru."
"Tak ingat." Habib Ali memanggil Jaafar, anaknya, untuk mengesahkan kehadiran saya.
"Anak berapa?"
"Sembilan."
"Berapa lelaki. Berapa perempuan?"
"Dua lelaki tujuh perempuan."
"Oh. Ramai perempuan."
"Ada dah kahwin?"
"Empat orang."
"Cucu berapa?"
"Sebelas."
"Umur sekarang?"
"64"
"Kahwin umur berapa tahun?"
"25"

Panjang juga dialog kami. Jemaah dari Singapura hanya senyum-senyum sahaja. Mungkin sebab tengok saya muda atau sebab anak saya ramai atau sebab cucupun ramai. Tidak mengapalah. Maklumat untuk mereka.

Hari ini rezeki saya. Suara Habib Ali agak kuat. Banyak tazkirahnya. Dalam masa hampir 45 minit saya dapat catatkan beberapa perkara. Rasanya kesemuanya. Itu yang selalu saya doakan. Mudah-mudahan Allah berikan saya kuat hafalan dan kuat ingatan. Tentang menghafal al-Quran saya masih lemah. Belum dapat betul-betul konsentrasi yang diperlukan. Banyak cabang kehidupan yang perlukan perhatian.

Saya ingin kongsikan tazkirah Habib Ali yang saya kira besar manfaatnya untuk pembaca semua. Nanti sampaikanlah kepada sahabat handai yang tidak membaca blog ini. Begitulah prosedur penyebaran ilmu dalam Islam. Yang hadir dan berhalaqah, kata Rasulullah, hendaklah menyampaikan kepada mereka yang tidak hadir. Sewaktu hayatnya, tidak semua sahabat sentiasa berdampingan dengan Rasulullah. Mereka sampai menyampai.

Habib Ali membuat analogi tentang perkahwinan. Jangan takut untuk berumahtangga. Dia bertanya, apabila isteri makan, kita makan tak? Kami semua menjawab, makan. Itu tandanya rezeki dari Allah. Isteri suami yang beri. Suami siapa yang beri? Tentu Allah. Jangan takut kahwin. Allah beri rezeki.

Cantik kan? Rezeki milik Allah. Allah pemurah terhadap hambanya. Lagipun katanya, Rasulullah tidak mengaku sebagai umatnya jika ada orang yang tidak mengikut sunnahnya dengan berkahwin. Dalam sebuah hadith, Rasulullah bersabda yang mafhumnya, "Di akhirat nanti aku akan berbangga dengan umatku yang ramai." Rasulullah akan menunjukkan umatnya kepada Nabi dan Rasul yang lain. Nabi dan Rasul yang lain sangat sedikit umatnya. Walaupun orang Kristian ramai, tetapi mereka tidak mengamalkan syariat yang dibawa Nabi Isa. Begitu juga orang Yahudi. Mereka ramai tetapi tidak mengikut syariat Nabi Musa yang sebenarnya.

(Seperti yang kita ketahui, Nabi dan Rasul dahulu sangat sedikit umatnya. Umat Nabi Nuh, Allah tenggelamkan dalam banjir besar yang tidak ada lagi seumpamanya. Umat Nabi Hud, Kaum 'Ad, Allah hancurkan dengan angin selama tujuh hari dan lapan hari. Bersama angin kencang itu ialah ribut pasair yang menenggelamkan kampung halaman mereka. Kaum Thamud, kaum Nabi Salleh, yang Allah hapuskan dengan satu suara yang menggempakan. Kaum Nabi Luth yang ditunggangterbalikkan kawasan penempatan mereka hingga menjadi Laut Mati sekarang. Begitu kaum Nabi Syuib, Firaun dan Pompii di Itali. Ingatkan Banda Aceh dilenyapkan di hadapan mata kita pada tahun 2006.)

Ketika membicarakan yang ini dia seperti berbisik. Takut ada wanita mendengarnya barangkali. Dulu isteri-isteri tidak bekerja katanya. Pergi pasarpun tidak. Saya tertanya-tanya apa yang tersirat. Lalu katanya, isteri dulu jaga suami dan jaga anak.

Yang saya faham, makan minum dari air tangan isteri. Betul, makan minum isteri yang sediakan. Natijahnya suami lekat di rumah dan anak-anak mendengar kata. Kata sahabat dari Singapura. Sekarang susah. Semuanya mahal. Isteri kena bantu suami. Mungkin kalau boleh saya tambah. Jangan selalu makan di luar. Nanti suami/isteri tidak boleh duduk di rumah. Anak-anak tidak lagi terikat kasih sayangnya dengan ibu.

Kenapa buah epal sekarang tidak berapa sedap dan tidak pula berbau wangi. Habib Ali berpendapat sebab adanya konsep kemersil yang menghilangkan barakah, pahala dan syurga. Orang dahulu banyak sedekahnya. Dunia dicari tanpa melupakan akhirat. Dia teringat di Singapura dulu sebiji epal yang sedap, wangi dan saiznya besar hanya tiga sen sahaja. Kata sahabat dari Singapura, sekarang tiga biji harganya sedolar Singapura. Ingatan Habib Ali melayang zaman makan nasi beriani hanya 25 sen sepinggan. Di kedai makan, empat orang makan, hanya 10 sen sahaja harganya. Zaman itu. Zaman saya lewat lagi, walaupun masih dikira murah.

Ini komennya tentang ekonomi. Malam dulu-dulu dengan malam sekarang sama aja. Siangnyapun sama. Tetapi kenapa sekarang barang-barang yang sama macam dulu harganya melambung? Tentu ini kerana orang lebih kepada hendak mengumpul wang. Hendak mengumpul harta. Katanya, dulu ramai juga orang kaya. Dalam 10 orang ada empat orang yang kaya. Lima orang lagi miskin. Saya, katanya, fakir. Kurang arif saya hendak menterjemahkan maksud fakir di sini. Walau bagaimanapun katanya, orang kaya dahulu baik-baik.

Orang dahulu, katanya banyak makan ikan. Segar pula. Belum kena ais. Pukul 6.00 ditangkap, pukul 9.00 sudah dijual di pasar. Harga murah. Ikan cermin sebesar dulang kecil hanya 50 sen. Jika ada daging kambing dan daging lembu, kambing lebih baik. Lembu kurang baik. Susu lembu adalah syifa (penyembuh). Minyak sapinya syifa (penyembuh. tetapi dagingnya tidak. Kecuali, kecuali dimasak berempah. Maka tawarlah (neutralise) keburukannya.

(Orang Melayu selalu mengatakan daging kambing banyak mudaratnya. Bagi orang Barat dan Arab, kambing lebih utama.)

Allah selalu berfirman, la'allakum tattakun. Manusia diajar supaya takutkan Allah. Tapi malang, kata Habib Ali, ramai yang lalai dan mengabaikan solat. Rasulullah pula penamat semua Rasul. Khataman Nabiyyin. Ajaran Islam sangat cantik dan adil. Islam melarang orang marah-marah. Orang tidak pandai tidak boleh dimarah. Ia perlu diajar. Orang miskin tidak boleh dimarah. Mereka perlu dibantu. Jangan marah. Allah melarang.

Di akhir pertemuan, di kala azan bersahutan, Habib Ali minta semua orang supaya sudi dijamu. Dia mencadangkan roti canai. Semua jemaah bersetuju. Saya, dengan rasa berat hati meminta diri kerana ada tugas. Malam ini ada kelas mengajar mengaji. Mengajar empat orang anak orang. Ikut kata Habib Ali yang tidak tahu, wajib diajar. Jangan dimarah kerana mereka tidak tahu.

InsyaAllah saya akan ziarahinya lagi dan lagi dan lagi........... Insan mulia di depan mata ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja dari kehadiran kita. Moga-moga Allah memberkati pertemuan saya dengannya. InsyaAllah saya akan bertambah kenyang nanti.

Satu sahaja pesan saya. Habib Ali tidk menerima apa-apa sedekah atau hadiah. Di ada duit katanya. Jika dihulur juga ke tangannya, tangannya tidak akan digenggam untuk menerima duit yang dihulur. Sebaliknya di akan menarik tangannya. Penyelesaiannya ialah, masukkan duit yang hendak diberikan kepadanya ke bawah karpet atau tikar yang kita duduk. Halalkan.

Saturday, February 20, 2010

Masa Dulu-Dulu Bahagian Kesembilan

Ada pembaca blog ini yang ragu-ragu dengan catatan pengalaman hidup saya ini. Saya katakan kepadanya bahawa semua yang dinukilkan adalah benar. Kesemuanya adalah cacatan peribadi pada zaman payah yang saya katakan itu. Orang-orang yang sebaya dengan saya pasti boleh mengesahkan cerita saya itu. Maksudnya cerita tentang ekonomi, penghidupan dan sosial mereka. Dalam pos kali ini saya ingin menyambung catatan lain yang masih terselit di sana sini dalam lipatan ingatan.

Benarlah rupanya. Bila sudah mula menulis banyak benda yang boleh ditulis. Saya mengambil pendekatan untuk menulis fakta-fakta sejarah diri yang memang saya lalui dan saya perakukan benar untuk diri saya. Tontonlah cerita-cerita Melayu klasik untuk mengesahkan apa yang saya tulis. Mungkin ada kelainan di sana sini. Kemungkinannya hal-hal yang terlalu peribadi hingga membezakan dengan peristiwa orang lain walaupun di tempat yang sama. Mungkin nanti suatu waktu saya akan ulas tentang perkara ini. Cuma saya terpempan apabila pada tahun 2010 masih ada keluarga yang mengalami kepayahan seperti yang saya alami dulu. Belum ada perubahan dan kemajuan ke? Entahlah. Dulu kita dijajah. Selepas merdeka kita merangkak-rangkak untuk maju. Tetapi bila negara tercinta ini mencipta kemajuan masih tetap ada yang tertinggal. Masih mengulangi kepayahan yang pernah saya lalui. Di manakah silapnya? Masa dan tempat mungkin akan menentukan sebab musababnya. Rancangan TV 'Bersamamu' mengesahkan pengamatan saya ini.

Cerita buah dari tanah milik datuk saya belum habis lagi. Waktu saya di sekolah rendah dulu, sumber kewangan memang sukar. Jika hendak membeli barang, pada perkiraan orang sekarang memang murah. Tetapi wangnya cukup sukar dicari. Kos hidup rendah. Taraf hidup juga rendah. Tetapi sumber ekonomi terbatas kepada kegiatan secukup hidup. Tidak ramai yang mewah. Mereka yang punya banyak kebun getah atau kopi atau pinang atau sagu atau berniaga, hidup mereka mewah. Bagi yang lain hidup biasa-biasa sahaja. Yang baiknya, jenayahpun sangat kurang. Sukar berlaku pecah rumah, mencuri, meragut, mengancam dan membunuh. Cerita buang bayi, merempit belum jadi kamus lagi.

Kepayahan waktu sekolah kebangsaan dulu seperti tiada penghujungnya. Duit payah dicari. Itulah sebabnya saya jarang mendapat penghormatan untuk membawa wang walaupun 10 sen yang disifatkan seperti roda kereta lembu nilai besarnya. Pada musim buah selain dari rambai, ada buah lain yang dapat saya jadikan sumber kewangan. Pada musim buah, saya membawa buah bacang ke sekolah. Tidaklah banyak. Ada sekadar empat atau lima biji. Itupun semput membawa beg kerana buah bacang itu besar dan berat. Badan saya ketika itu sangat kurus. Undernourished agaknya. Kurus sangat. Sekarang jauh lebih besar dari dulu. Pinggang sudah naik 34/35. Waktu graduat dari Universiti Malaya dulu (1979) pinggang saya 27. Memang slim habis. Slim giler kata anak-anak muda sekarang.

Kebetulannya ada jiran sekolah yang gemar membeli bacang saya. Hargnya lima sen sebiji. Kadang-kadang esoknya dituntut supaya diganti kerana ada yang busuk sedikit-sedikit. Ibu mengajar saya supaya menjangka hal itu akan berlaku. Maka saya membawa bacang barang lima biji. Empat untuk dijual dan sebiji lagi untuk mengganti yang busuk. Sayapun tidak pasti sama ada pembeli itu memang sukakan bacang atau sengaja membantu saya. Mungkin ia mungkin tidak.

Membawa bacang dalam beg banyak masalahnya. Getahnya perlu dijaga. Baunya tidak dapat ditahan. Seluruh beg dan buku di dalamnya akan berbau. Ada cerita kononnya buah bacang yang masak tidak boleh dibuat sambal belacan. Jika tidak buahnya akan busuk. Tetapi yang saya ingat ialah ada tusukan paku pada batang pokok bacang saya. Selepas itu buahnya mula banyak yang berulat dan busuk. Hilanglah sumber kewangan saya. Begitulah manusia, ada sahaja yang tidak kena. Pokokpun boleh menjadi mangsa..

Pada hari yang lain saya mungkin diminta membawa dua atau tiga keping getah kering. Saya jual di kedai Malbari di kampung sebelah. Wangnya akan saya belikan barang-barang yang dipesan ibu. Paling kerap beras. Tidak banyak. Cuma tiga (1,800 gm) hingga lima (3 kg) kati. kepayahan itu berlanjutan hingga saya di sekolah menengah. Tahun-tahun 60an, keadaan belum juga mewah. Setelah belajar ekonomi di Universiti Malaya dulu, saya mula memahami rupanya ekonomi dunia berputar, melambung naik dan turun, dan setiap 10 tahun akan berlaku ayunan turun hingga menjejaskan ekonomi dunia. (Sejarah di sekolah menengah akan saya ulas di pos yang lain nanti).

Getah keping mencipta sejarahnya sendiri kepada diri saya. Suatu ketika saya dan ibu berasa pelik kerana anak jiran kami selalu terhendap-hendap. Pada suatu petang dua keping getah yang sudah kering dan tersidai di bawah rumah telah hilang. Saya mengesyaki anak jiran saya. Menyedari hal itu saya ke kebun getah di belakang rumah. Kebetulan di kebun itu ada jalan untuk merentas ke kampung sebelah. Ada pula kedai runcit milikan seorang Malbari di situ. Benar sangkaan saya, anak jiran saya memecut lari membawa getah keping. Saya pasti ke kedai Malbari itulah tujuannya. Dengan pantas saya mengekorinya. 10 minit selepas ia selesai menjual getah itu sayapun sampai. Saya terus meminta getah itu dari pekedai kerana kata saya, getah itu milik ibu saya. Heboh satu kampung saya berjaya menangkap seorang pencuri. Apatah lagi Ketua Kampung memberi pujian kepada saya.

Sekali lagi tindakan saya semasa kecil itu bayangan tugas saya apabila dewasa. Semasa di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin, saya ditakuti pelajar kerana keseriusan saya. Walaupun saya bukan guru disiplin, saya tidak berkompromi mengenai disiplin pelajar. Begitu juga di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, saya memang waden luar, Pegawai HEP, pengendali Minggu Haluan Siswa dan penasihat MPP. Banyaklah kes-kes disiplin yang saya kendalikan. Ramai yang terhukum. Menyiasat kes sudah jadi satu kemahiran.
ada kes mencuri di supaermarket. Ada yang ditangkap kerana kesalahan lalu lintas tetapi polis serahkan kepada politeknik. banyak, banyak kerana bilangan pelajarnya ramai.

Di Sekolah Teknik Johor Bahru saya menjadi Guru Penolong Kanan HEM. Tidak ada kerja lain, disiplin dan disiplin. Yang menjadikan saya sedar ialah setiap kes disiplin yang saya kendalikan mesti ada kaitan dengan kelemahan dan kelonggaran ibu bapa mengendalikan anak-anak. Apa sahaja kes disiplin mestilah mengarah kepada kelemahan ibu bapa. Anak-anak hanya pelaku-pelaku berdasarkan arahan tanpa sedar ibu bapa yang lemah.

Pembaca yang baru belajar memelihara anak, belajarlah dari mereka yang anak-anaknya berjaya supaya ada arah yang dituju, bagi ibu bapa dan bagi anak yang akan dicorakkan masa hadapannya. Usah taksub dengan pendapat dan prinsip sendiri. Lihat keliling. Banyak contoh yang boleh diteladani. Mungkin anak guru. Mungkin anak peniaga. Mungkin anak ustaz. Contohilah mereka yang boleh dicontohi. Mudah-mudahan tidak ada penyesalan di kemudian hari. Sekarang ini banyak 'Tanggang Moden'. Jika ibu bapa silap perkiraan, maka anak-anak akan meniru sikap Tanggang yang banyak diluar sana. Kita tidak pernah minta anak kita melupakan ibu bapanya. Namun jika salah didik hal yang tidak dipinta itulah yang terjadi. Beringatlah selalu. Tanggang, anak derhaka yang tidak kesampaian hidupnya. menjadi batu bersama bahteranya. Doa ibu sangat syahdu. Allah makbulkan doa ibu yang derhaka anaknya.

Bila saya bertugas di Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP - 1994-1996)) yang menjadi Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO - 1996-1999) yang kemudiannya menjadi Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUiTTHO) dan yang sekarang menjadi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) saya terus berperanan mengendalikan pelajar. Antara tahun 1994 hingga 1999 saya menjadi Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Banyak juga kes disiplin yang saya kendalikan. Banyak yang mengakibatkan meraka digantung belajar, didenda dan sebagainya. Saya tidak menzalimi pelajar. Setiap kes saya siasat dahulu faktanya. Bila ada kes, saya jelaskan kedudukannya kepada pelajar. Beri kefahaman dulu. Mereka telah melakukan kesalahan mengikut Para 3(a) Akta 173 pindaan 194 Akta Universiti dan Kolej Universiti. Saya akan terangkan prosedur yang seterusnya hingga mereka dihadapkan ke Lembaga Disiplin Universiti. Saya berikan gambaran bentuk hukuman yang akan mereka terima.

Dalam sesi itu saya, sebagai pendakwa, akan menyatakan fakta kes, tarikh, masa dan tempat. Lazimnya apabila saya tanya, "Adakah anda mengaku bersalah atau mengaku tidak bersalah?" Cepat mereka menjawab bersalah. Saya rasa sangat mudah menyelesaikan kes-kes disiplin jika pelajar itu sendiri faham faktanya, faham konsekuennya dan faham hukuman-hukuman yang akan mereka terima. Selama lima tahun mengendalikan kes-kes pelajar, tidak ada seorang pelajarpun yang merayu hukumannya diringankan atau merayu kepada Menteri supaya kes mereka dibuang kes atau diringankan. Oleh itu kerja menjaga pelajar menjadi ringan.

Sewaktu di Sekolah Menengah Teknik Johor dulu, saya benar-benar belajar dari pengetuanya ketika itu, Encik Rahim Omar. Pelajar asrama akan membuat laporan tehtang apa yang berlaku sewaktu makan. Semua ketidakcukupan atau kekurangan makanan dicatatkan dalam buku laporan khas. Pada akhir bulan saya akan panggil kontraktor untuk mengesahkan laporan-laporan pelajar asrama tersebut. Mana yang dibantah saya abaikan. Mana yang diterima saya catatkan jumlah yang mesti diganti oleh kontraktor. Jumlahnya akan ditolak dari bayaran makanan untuk bulan itu. Biasalah saya tolak antara RM2,000 hingg RM3,000 sebulan. Wang tersebut dijadikan dana. Pada akhir tahun wang itu dibelanjakan untuk menggemukkan pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan SPM mereka. Ya untuk menggemukkan pelajar. Mereka tidak akan bersungut tentang makanan kerana setiap hari ada makanan tambahan. Mungkin sate, mee kari, roti canai, murtabak, rojak atau lain-lain makanan yang sesuai. Selepas prep mereka akan berlumba-lumba ke dewan makan. Ada yang istimewa menanti mereka.

Pengurusan yang dipelajari ilmunya di universiti tidak terlaksana jika tidak melalui pengalaman sebenar. Pengalaman memperkayakan diri. Belajarlah kerana ilmu itu ada di mana-mana. Ada yang formal, ada yang tak formal dan ada yang informal. Bila sudah memilikinya, gunakan secara potimum. InsyaAllah anda akan menjadi penjawat yang benar-benar profesional.

Thursday, February 18, 2010

Bagaimana Saya Jadi Introvert

"Yusof, is that you?" Tanya seorang profesor wanita kepada saya di University of Pitsburgh, USA sewaktu saya membuat Master of Education pada tahun 1985-86 dahulu.


"Yes. That's me." Jawab saya selamba.


"I can't believe it." Katanya lagi.


"Please do." Kata saya.


"No. It can't be. You're so talkative. You joke around. How come you're an introvert?" Komennya agak panjang.


"Well, what can I say. That's the real me." Komen saya pula.


Kami baru sahaja membuat penilaian personaliti masing-masing. Profesor saya terkejut kerana diri saya yang sebenarnya berlawanan dari yang dia nampak. Sayapun barangkali baru mengenali diri saya yang sebenar. Sekarang bila saya sorot peristiwa itu, terdapat gambaran-gambaran peristiwa yang membawa diri saya ke arah itu. Seorang introvert.


Psikologi banyak membincangkan hal ini. Sebagai guru dan pensyarah saya maklum tentang hal ini. Namun begitu saya bukan introvert tidak bertempat. Tugas menjadi pendidik tidak mengizinkan saya menjadi introvert. Bercakap adalah tugas penting. Bercakap dan terus bercakap. Cuma saya sedar bahawa sifat-sifat diri saya ada kaitannya dengan nature dan nurture. Warisan dan alam sekitar.


Arwah bapa saya seorang yang tidak banyak bercakap, kata arwah ibu saya. Kebetulan saya berdua beradik sahaja. Rumah saya agak jauh dari jiran-jiran. Maka saya membesar dalam keadaan kurang bercakap. Zaman remaja saya digeruni oleh anak-anak sepupu saya. Jika saya ada di rumah, mereka tidak berani bercakap dengan kuat. Hanya apabila saya menjadi guru, keadaan itu berubah. Saya jadi lebih peramah. lebih lembut. Ramai pula anak-anak sepupu yang rapat dengan saya. Pandai pula mereka bermanja sedangkan dulunya saya mereka geruni.


Mungkin keadaan menjadikan saya keras, kaku. Tidak ramai orang boleh dilayan bicara. Adalah sepupu yang datang sekali sekala. Berbuallah saya dengannya. Bila ia balik, keadaan menjadi bungkam lagi. Adik saya perempuan. Tidak banyak perbualan yang mengarah ke topik yang sama. Ibu pula sibuk dengan usaha menghidupkan saya dan adik saya.


Cuma kata ibu, semasa kecil saya suka bercakap. Jumpa kucing saya bercakap. Jumpa tunggul saya bercakap. Bercakap seperti orang berceramah, kata ibu. Mungkin itu bayangan bahawa saya akan menjadi pendidik. Untuk kerja bercakap. Saya pernah menjadi penceramah, pengacara di majlis konvokesyen Politeknik Ungku Omar dan Politeknik-Politeknik Malaysia di PWTC pada tahun 1987 dan 1988 dahulu. Di Politeknik Ungku Omar bertahun-tahun lamanya saya menjadi pengacara majlis konvokesyen. Jenuh juga menyediakan teks juruacara.


Seorang introvert yang terdidik, insyaAllah akan dapat mengatasi masalah-masalah regresi, kekecewaan dan kedukaan. Hatta terhindar dari sifat kemurungan. Barangkali testimoni dari pelajar-pelajar saya boleh menjadi saksi bahawa saya bukan pendidik yang introvert. Saya banyak bercakap dalam kelas. Saya boleh melawak pada bila-bila masa dan pelajar tidak rasa terancam kerana sifat introvert saya. Kebanyakan orang mungkin tidak menyangka malah mungkin tidak percaya bahawa saya seorang introvert.


Seorang introvert barangkali suka menyendiri. Ia perlukan ruang untuk dirinya sendiri. Untuk muasabah diri. Tetapi bukan untuk bertapa dan memencilkan diri. Mungkin juga ada negatifnya kerana menjadi introvert. Cuma introvert tidak terburu-buru dalam banyak keadaan.


Saya takut bila ada orang agresif. Saya kira orang begitu tidak punya perasaan seni atau estetika untuk menyelami perasaan orang lain. Bagi seorang introvert, saya lebih perlukan masa untuk membuat sebarang tindakan. Semua perancangan disimpan dan diolah dalam minda dahulu. Begitu juga ketika hendak mengeluarkan pendapat. Diatur dulu perkataan dan ayatnya supaya tepat memberi makna. Ianya jadi lambat dan audien mungkin jadi bosan.


Berhadapan dengan audien bukan masalah bagi saya. Pertanyaan dan sungutan boleh saya jawab dengan spontan. Apa sahaja isu boleh saya debatkan atau polimikkan. Namun introvert tetap introvert. Saya selalu lebih tenang. Melangkah jalan macam diatur. Berfikir lebih panjang. Maka tindakan agak lambat asalkan tidak melebihi dateline. Memanglah sewaktu saya mula keluar dari kampung dahulu saya mengalami masalah komunikasi. Sukar hendak membuka mulut.


Saya bersekolah menengah aliran Inggeris tetapi selepas sahaja keluar sekolah, saya masih tidak fasih. Hanya apabila saya bertugas di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu barulah bahasa Inggeris saya meningkat. Saya bercakap Inggeris dan membaca akhbar Inggeris. Dari tahun 1969 hingga tahun 1974. Apabila saya ke Universiti Malaya pada tahun 1975, Bahasa Inggeris saya sudah boleh merentas perpustakaan. Banyak buku yang boleh saya baca dan fahami isinya. Dengan bahasa Inggeris itulah saya merentas lautan, merentas benua untuk membuat Masters of Education di USA.


Tetapi itulah hakikat hidup yang sukar diubah. Introvert tetap introvert. Saya banyak melihat dan membuat pengamatan. Kawan rapat yang benar-benar akrab tidak ada. Kawan saya ramai dan saya boleh berkawan dengan siapa sahaja. Sebagai introvert saya sukar berkongsi rahsia. Saya boleh pendam sendiri menjadi rencah berfikir, mengatur strategi untuk mengatasi keadaan. Yang pasti lamalah jadinya. Sukar bagi saya untuk menjolok-jolok ketidaksukaan orang lain. Jika dirujuk insyaAllah saya sedia membantu.


Saya masih ingat hari pertama saya memulakan tugas sebagai guru pelatih di sekolah Munsyi Ibrahim, Labis, Johor. Menggigil lutut saya berhadapan dengan pelajar. Bukan pelajar besar. Tingkatan satu. Paling saya takut mata perempuan. Pelajar perempuan tingkatan satupun saya takut matanya. Saya jadi gugup dan tidak menentu. Itulah kesan kerana sedari kecil tidak ramai orang perempuan yang berada di keliling saya.


Pengalaman bertahun-tahun menjadi guru memberi ketenangan diri. Ramai murid dan pelajar yang lalu di bawah didikan saya. Keragaman mereka dari segi bangsa, agama dan latar belakang membantu saya keluar dari kepompong introvert saya. Kelemahan-kelemahan diri diatasi. Mungkin pergaulan dengan berbagai-bagai ragam manusia mematangkan diri saya. Walaupun saya kekal introvert tetapi saya boleh selesa dengan sesiapa sahaja tanpa mengira jantina atau peringkat umur. Benarlah umur dan pengalaman boleh mengubah. Alhamdulillah saya berubah ke arah yang positif.


Saya kira saya juga panas baran walaupun introvert. Begitulah yang terjadi, apabila orang yang panas baran menanggung beban perasaan dia selalu mengamuk seperti yang selalu kita dengar di Amerika Syarikat. Mereka akan menembak rambang untuk melepaskan geram dan dendam. Bahaya jika introvert tidak dapat dikawal. Barangkali saya beruntung kerana belajar psikologi, menjadi guru dan ramai anak pula. Sifat-sifat introvert itu hanya untuk diri sendiri. Sebagai profesional saya tidak boleh bersifat introvert.


Terima kasih kepada semua orang yang pernah saya didik. Mungkin tidak sempurna seperti diharap tetapi itulah usaha ikhlas yang dapat saya beri. Waktu singkat kita bersama mudah-mudahan dapat dimanfaat dan dilestarikan mengikut masa. Saya wariskan semua yang telah saya beri supaya dipanjang-panjangkan kepada generasi yang akan datang. Suatu waktu dahulu ada seorang guru tua yang introvert tetapi berusaha memanusiakan anak bangsanya.


Hidup kita penuh cabaran. Mengalami pengalaman-pengalaman yang relevan boleh membantu mengatasi kelemahan-kelamahan diri. Dengannya kita boleh membina kekuatan kendiri, mencipta kemandirian yang tinggi kualitinya. InsyaAllah usaha yang baik akan diberkati Allah jua. Amin.

Tuesday, February 16, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kelapan: Cerita Seorang Ibu - Sambungan

Suatu ketika ibu saya mengalami tekanan darah rendah. Wajahnya pucat lesi. Pergerakannya tidak begitu cergas. Untuk mengatasi penyakitnya hospital juga tempat dituju. Maka ibu saya pergi ke hospital Muar untuk mendapatkan rawatan. Hospital Batu Pahat, hinggalah sekarang, tidak dinaiktaraf untuk menyaingi hospital Muar. Berbulan-bulan ibu saya berulang alik ke Muar untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan. Pada masa itu rawatan hospital bukanlah sesuatu yang menjadi kebiasaan. Sesetengah orang menganggapnya bukan kebiasaaan. Seingat saya, tiada siapapun yang memberi sokongan kepada ibu saya hatta sokongan moralpun tiada. Sudah nasibnya. Balu muda yang berat sakitnya. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.


Saya biasa mengikut ibu ke Muar. Kami kena pergi pada hari Jumaat. Muar bukannya jauh sangat. Hanya 38 km dari pekan Parit Sulong. Yang sukarnya ialah dari kampung saya ke Parit Sulong. Tidak jauh tetapi banyak masa dihabiskan kerana menunggu pengangkutan sungai. Biasanya motor sangkut. Dari Parit Sulong, kami akan menaiki bas. Di Muar kebetulan ada saudara ibu saya. Kami menumpang tidur di rumahnya. Pagi hari Sabtu ibu akan ke hospital. Sebelum tengahari selsesailah rawatannya. Sebelum balik ibu akan singgah di pasar Muar untuk membeli bahan yang cepat menyembuhkan penyakitnya. Hati lembu barang sekati (600 gm). Setiap minggu saya akan turut sama memakan hati lembu itu. Alhamdulillah, penyakit ibu sembuh. Ia kembali segar untuk meneruskan hidupnya sendirian.


Di pasar Muar ibu selalu membeli buah samak atau pisang kaki. Mungkin itu kesukaannya. Tetapi ibu hanya mampu membeli buah yang sudah terlalu masak dan lembut. Murah sedikit dari yang segar. Selain daripada itu ibu membeli buak samak yang sudah kering. Pada tahun-tahun 50an saya sudah biasa makan buah itu. Hingga sekarang saya masih menyukainya. Setiap kali saya makan, kenangan saya melayang kepada arwah ibu dengan deritanya yang ditanggung sendiri. Barangkali saya dan adik saya yang menguatkan semangatnya untuk terus hidup. Tiada apa-apa lagi yang penting selain dari kami berdua. Kalaulah saya tahu penderitaannya ketika itu. Kalaulah ........




Untuk berubat ibu bergolok bergadai. Mana-mana barang kemas yang ada digadaikan. Wangnya untuk tambang pergi dan balik ke Muar. Hasil menoreh bukan boleh diharap sangat. Barang kemas yang sedikit, seurat dua itulah penyelamat keadaan. Mungkin itulah sebabnya orang perempuan Melayu suka memiliki barang kemas daripada emas. Bila sesak boleh dijual atau digadaikan. Peranannya seperti wang simpanan. Boleh dapat wang tunai segera. Institusi kewangan seperti bank bukan seperti sekarang. Masa itu bank orang kampung pada barang kemas mereka.

Pada pengamatan saya, ibu mungkin juga terfikir untuk menamatkan zaman balunya. Ramai yang ingin memperisterikannya. Seperti saya sebutkan sebelum ini, wajahnya ayu, kulitnya putih kuning (tidak gelap seperti saya), rambutnya panjang mengurai, badannya langsing. Ada pakej wanita idaman. Tetapi semuanya ditolak. Pujukan dari datuk saya juga tidak dapat mencairkan hati dan perasaannya supaya berkahwin lagi. Entahlah. Mungkin saya dan adik saya yang menghalangnya. Ibu tidak pernah bertanya, tidak pernah berbincang. Saya juga tidak mengerti apa-apa. Kemungkinan juga ibu takut saya dan adik saya berbapa tiri. Entahlah.



Saya sebenarnya sebaya umur dengan kakak sepupu saya. Anak bapa saudara, abang kedua bapa saya. Pada masa itu kami tinggal serumah. Kerukunan ipar dan biras tiada tolok bandingnya. Ketika saya menangis, ibu saudara saya akan menyusukan saya. Ketika kakak sepupu saya menangis, ibu yang menyusukannya. Jadilah kami sepusu dan adik beradik sesusuan. Keluhuran mereka berdua cukup membahagiakan. Ibu dan ibu saudara saya, walaupun hanya biras sahaja tetapi cukup akrab. Pengikat mereka kerana suami masing-masing adalah adik beradik.


Hingga usia tuanya ibu saya masih ada yang berminat. Tetapi jika waktu mudanya ibu tidak berhasrat untuk bernikah lain, tentulah sukar difahami jika dia berubah pendirian. Setiap risikan dan pinangan ditolaknya dengan baik. Kadang-kadang dia hanya berseloroh sahaja. Kali terakhir dia dipinang orang ialah ketika usianya kira-kira 65 tahun. Dia hanya ketawa dan tentulah jawapannya tidak. Ibu saya memiliki kemahiran mengurut. Fokusnya ialah orang perempuan sebelum dan selepas bersalin. Selain daripada itu ia biasa mengurut kanak-kanak kecil. Maka namanya gah di sekitar dua tiga kampung berdekatan. Lumayan juga pendapatannya. Ia lebih dulu menunaikan fardhu haji daripada saya.




Rumah datuk saya yang dulunya beratap rembia telah saya ganti dengan yang lebih besar dan beratap zing. Wang gaji sewaktu awal bekerja dahulu saya belanjakan untuk membuat umah bararu itu. Masih memakai tiang, rasuk, kekasau, belebas, lantai yang lama. Di rumah itulah saya dan adik saya berumahtangga. Di rumah itulah ibu kekal tinggal hingga ke hari tuanya. Di rumah itulah ibu menjalankan urut mengurutnya. Rumah, tapak, kejiranan, kampung yang penuh dengan seribu satu macam kenangan masa dulu-dulu yang serba payah. Kembali ke waktu itu sangat nostalgik. Imbauan ingatn yang mencari kepastian diri. Yang telah dibina jatidiri. Yang telah mendewasakan diri. Yang telah mematangkan pengalaman masa. Ibu sayangkan rumah yang didudukinya. Kampung yang dihuninya. Tanah yang dipijaknya. Langit yang dijunjungnya. Hayatnya tidak menyatu dengan alam dan suasana yang dihidupkannya. Sakitnya di rumah anak-anaknya. Jasadnya di semadikan di kampung adik saya. Jauh dari kampung halamannya.

Pada akhir-akhir usianya, ibu mengalami penyakit kencing manis. Tetapi tidaklah begitu teruk. Badannya yang dahulu langsing tidak bertahan. Mungkin semakin mewah makanan yang dijamah, berat badan bertambah, orang kampung menganggapnya sihat. Kesilapan membaca fakta. Berat badan sebenarnya mengundang penyakit. Sewaktu usianya 72 tahun, pada tahun 2001, ibu saya mendapat angin ahmar (minor stroke). Sewaktu sakitnya saya sempat berbakti hanya sebentar sahaja. Saya bekerja dan isteri saya pula guru al-Quran. Kami berdua keluar pagi dan pulangnya petang. Adik sayalah yang dapat berkhidmat lebih lama.

Saat-saat terakhir hayatnya tidak dapat saya tatap. Tidak dapat saya hadir. Tidak dapat saya pangku dan riba. Saya hanya dapat tahu setelah semuanya berlalu. Yang saya lihat hanyalah sekujur tubuh seorang ibu. Orang yang melahir dan merawat saya hingga saya mengenal dunia. Seluruh hidupnya untuk saya dan adik saya. Seluruh hidupnya kesunyian. Tiada siapa mendengar, tiada siapa untuk didengar. kasih sayangnya tidak putus kepada suaminya. Tetepi abadi sepanjang hidupnya. Bak kata seorang peminat blog ini, mungkin satu dalam sejuta. Mungkin tidak rasional bagi orang sekarang. Itulah kesetiaannya kerana janji bahawa di syurga akan disatukan dengan buah hatinya, dengan kakasih hatinya, dengan suaminya di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan Allah memberinya kemudahan hingga ke akhirat.

Dari usianya 19 tahun hingga akhir hayatnya 72 tahun. 53 tahun adalah suatu jangkamasa yang panjang. Melewati zaman Malayan Union, pilihanraya pertama 1955, merdeka 1957, konfrantasi 1961, Malaysia 1961. Ibu telah merasa penjajahan British, kependudukan Jepun, British Military Administration (BMA), zaman pengganas komunis. Seorang wanita kampung yang telah melalui zaman-zaman kepayahan, mengorbankan perasaan dan jiwanya, setia kepada mertua dan ipar duainya. Ingatannya hanya kepada arwah suaminya yang dicintainya tetapi tidak lama dapat bersama.


Hilanglah sudah orang kedua yang mengasihi saya. Begitulah lumrah alam, dari masa ke semasa kita berpisah dengan orang-orang yang kita sayang. Orang-orang yang nafasnya bersama dengan kita. Yang suaranya mengiang di telinga. Yang kelibatnya bermain di mata. Inderanya bersama kita. Perpisahan abadi yang akan melewati waktu-waktu yang tidak dapat dipastikan hentinya. Doa dan harapannya di alam ukhrawi, di hadapan Rabbul Jalil Yang Maha Mengerti, akan terhimpun sekali lagi dalam nikmat abadi. Sebagai anak, saya masih ingat keanak-anakan saya. Manja dan ragam saya. Main dan tangis saya. Dalam usia tuapun saya masih ingat tempat bermanja. Tempat bertatih menjadi dewasa. Tempat menagih simpati dan rasa. Siapalah yang mampu menjadi galang ganti seorang ibu. Sayangnya, keperihatinannya, kasihnya, gundah gulananya, harapannya dan doanya hanya untuk anak-anak tercinta.

Bagi yang muda, kasihilah ibu bapamu. Tidak ada orang yang lebih mengasihimu daripada mereka. Kasihnya adalah talian nyawa dan darah dagingnya. Usah biarkan masa berlalu. Kehilangan mereka nanti sukar dimengerti. Tanpa mereka anda akan merasakan suatu kehilangan yang meyukarkan. Kehilangan yang tiada pengganti. Perpisahan yang mencengkam rasa. Berbaktilah kepada mereka. Hitam dan putihnya adalah untuk mencorakkan anak-anak, zuriat keturunannya.

Garapan masa lalu dan dorongan untuk terus ke hadapan memungkinkan zaman itu ditinggalkan dalam lipatan sejarah diri. Walau masih kuat dalam ingatan, saya tidaklah menghentikan waktu hanya untuk menangisi waktu lalu. Semuanya telah dilalui. Jalan-jalan berliku itu telah lama ditinggalkan. Di hadapan sana hanya jalan lurus yang harus ditamatkan menuju destinasi abadi. Ya Allah Engkau telah tunjukkan aku jalan yang lurus. Janganlah Engkau palingkan aku dari jalan lurus ini. Amin.

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Ketujuh: Cerita Seorang Ibu

Ibu saya berkahwin dengan bapa saya ketika usianya 13 tahun. Biasalah pada tahun-tahun 40an gadis-gadis berkahwin awal. Jika usia mencecah 15 tahun sudah dikira anak dara tua (sekarang ada ANDARTU dan ANDALUSIA). Sewaktu usianya 14 tahun lahirlah saya. Adik perempuan saya menyusul dua tahun kemudian. Selepas itu lahirlah adik lelaki saya. Hanya beberapa bulan selepas adik saya dilahirkan, bapa saya sakit. Agak lama juga sakitnya. Allah sayang kepadanya. Ia meninggal ketika usia saya kira-kira lima tahun. Hingga sekarang tidak ada yang saya ingat tentang arwah bapa saya. Tidak ingat wajahnya, tinggi bangun tubuhnya, kulitnya, tingkah lakunya. Hatta bau dan suaranya. Ingatan saya gelap tentang itu. Saya hanya dapat mendoakan rohnya selepas waktu solat. Atau ketika waktu yang lain. Hanya kata ibu bahawa wajah bapa saya saling tak tumpah seperti wajah saya. Semua gambar ayah saya dilupuskan. Entah, ketika itu ada kepercayaan bila tubuhnya mati, gambarnya pun dimatikan juga.





Maka terlonta-lontalah ibu saya. Ia kehilangan tempat bergantung yang sangat diharapkannya. Semasa hidupnya, arwah ibu pernah mencadangkan mereka berpindah dan memiliki rumah sendiri. Apakan daya, bapa saya anak bongsu. Anak kesayangan nenek dan datuk saya. Hasrat untuk berpisah terpaksa diurungkan buat selama-lamanya. Baktinya hanya untuk orang tuanya sahaja. Mudah-mudahan Allah mengiktirafnya sebagai anak yang Soleh. Amin.





Ibu saya anak orang tidak berada. Adik beradiknya tujuh orang. Enam perempuan dan seorang lelaki. Ibu saya anak kedua. Yang sulong hingga yang kelima sudah meninggal. Yang keenam dan yang bongsu sahaja yang masih hidup. Mungkin saya mewarisi gen ibu saya. Anak saya sembilan orang. Hanya dua orang sahaja lelaki.





Kampung asal ibu saya ialah Parit Haji Rasul. Melalui jalanraya sekarang sekitar tiga km sahaja. Tetapi waktu dulu perhubungan melalui sungai sahaja atau berjalan kaki. Dengan motorbot mengambil masa dua hingga tiga jam. Berjalan kaki memayahkan kerana merentas kawasan yang sunyi dan menakutkan. Akar dan banir pokok getah yang licin memayahkan perjalanan. Sebenarnya kampung saya dan kampung ibu saya sekadar selang empat kampung sahaja.





Datuk (bapa ibu saya) melalui hidup yang cukup menyeksakan. Kerana hasad dengki, dia telah ditangkap Jepun (semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu - Perang Dunia II) dan dijadikan buruh paksa untuk membina landasan keretapi di sempadan Myanmar-Thailang sekarang. Dasar Jepun ialah semua orang muda yang belum berumahtangga dijadikan buruh paksa. Sangat menghairankan apabila datuk saya yang sudah beristeri dan mempunyai tujuh orang anak dijadikan buruh paksa. Sebenarnya ia bersama rakannya berjaya melepaskan diri dan berjalan balik arah ke selatan. Kononnya ia sakit dan terdampar di sebuah kampung di Utara Perak. Ia telah ditinggalkan oleh rakannya di kampung itu. Sejak itu sanak saudara tidak mendengar khabar berita tentang hidup atau matinya. Nama datuk saya Toha bin Haji Mohd Amin. Mungkin ada orang tua-tua di utara Perak yang mengingat nama itu. Jika ada sila hubungi saya. (Tel: 012-7677976).





Di sebelah bapa saya, ramai sepupu saya yang dikahwinkan dengan pemuda-pemuda sekampung demi untuk mengelakkan diri dari ditangkap Jepun. Selamatlah mereka dari menjadi buruh paksa. Keajaiban Allah. Mereka yang berkahwin tanpa cinta, tidak sepadan mengikut ukuran sekarang, kekal bahagia hingga ke anak cucu. Cinta mereka berputik setelah berumah tangga. Kesemuanya pilihan orang tua dan dengan kebijaksanaan datuk saya yang dihormati pandangan dan nasihatnya.





Nenek saya (ibu kepada ibu saya) bukan calang-calang ibu tunggal. Ia tidak bersekolah. Ia tidak tahu menulis dan membaca. Tetapi ia boleh menaiki bas ke Johor Bahru ke rumah anak bongsunya dan ke Melaka ke rumah cucu kesayangannya. Apabila datuk saya sudah dibawa Jepun, maka nenek saya menyingsing lengan bajunya. Diheret kesemua tujuh orang anaknya. Diupahnya seseorang untuk membawa anak beranak itu ke Bandar Penggaram, Batu Pahat dengan menaiki sampan. Tujuannya hanya satu. Ke markas askar Jepun dan berjumpa dengan komandan Jepun atau kempetai. Terkejut beruk Jepun melihat nenek saya dan tujuh orang anak-anaknya yang pakaiannya tidak menentu. Mengadulah nenek saya akan keadaannya. Aduannya menimbulkan rasa bersalah kepada Jepun.





Sebagai tanda kekesalan dan kesilapan pihak Jepun, setiap bulan nenek saya dibekalkan dengan makanan secukupnya. Penuh sarat sampan apabila balik ke Parit Haji Rasul yang jauhnya kira-kira lapan km dari Batu Pahat. Nenek saya dan anak-anaknya hidup mewah kerana cukup makan semasa Perang Dunia II itu. Namun makanan yang cukup tentu tidak dapat mendamaikan hati kehilangan suami dan bapa. Di akhir-akhir perang itulah ibu saya berkahwin dengan bapa saya. Sekitar tahun 1945. Saya lahir pada tahun 1946. Sudah 64 tahun masa berlalu. Suatu jarak masa yang menjadikan saya seorang pengembara masa. Merentas beberapa fasa pembentukan Negara Malaysia.





Apabila bapa saya meninggal dunia, ibu saya membuat pilihan untuk tinggal bersama bapa mertuanya. Datuk saya (bapa kepada bapa saya). Ketika itu nenek saya (ibu kepada bapa saya) telah setahun lebih awal meninggal dunia. Datuk saya bergantung kepada ibu saya, menantu kesayangannya untuk menjaganya. Suatu keadaan yang sukar. Ibu saya tiada pilihan sebab ibunya sendiri dan adik-beradiknya bukan orang senang. Takut pula menambah beban. Sekurang-kurangnya dengan membela bapa mertua yang sudah tua, ada jaminannya. Kebun getah boleh ditoreh. Buah kopi boleh dipetik. Buah kelapa boleh dijual. Buah pinang boleh dijual. Tidak mewah tetapi boleh hidup cukup makan.





Semasa di sekolah rendah saya turut membantu ibu. Ibu mula menoreh kira-kira pukul 4.00 pagi. Siap menoreh pukul 7.00 pagi. Selepas menyusukan adik bongsu saya, ia pergi pula memungut susu getah. Siap kira-kira pukul 8.30 pagi. Getah itu dicampur sedikit air lalu dicampur dengan cuka getah untuk mengeraskannya dalam loyang. Apabila keras, getah itu dikeluarkan dari loyang di atas pengalas lalu ditekan untuk menipiskannya. Apabila cukup nipis dimasukkan ke dalam mesin getah halus. Seperti mesin air tebu sekarang. Cuma saiznya agak besar. Proses ini diulang beberapa kali hingga air getah diperah keluar dan kepingan getah menjadi tipis. Akhir sekali kepingan getah itu dimasukkan ke dalam mesin berbunga. Kemudiannya kepingan getah itu dijemur supaya benar-benar kering. Hanya yang kering sahaja akan dijual.





Hasil torehan ibu saya hanya dua keping sahaja sehari. Tolak hujan dan cuti adalah sekitar 40 keping sebulan. Getah keping itu mungkin menghasilkan sekitar RM80.00 sebulan. Ibu saya tidak mengambil kesemua hasil jualan getah itu. Sebahagian lagi di serahkan kepada bapa mertuanya, datuk saya. Ibu akan menggunakan wang itu untuk makan minum kami. D atuk juga berbelanja mengikut kegemarannya. Kadang-kadang ada kerencaman makanan, gabungan pembelian ibu saya dan datuk saya.





Saya baisa memetik buah kopi masak yang memenatkan. Buah yang merah dipetik sebiji-sebiji. Tidak boleh dilurut atau disiat rentap begitu sahaja dari tangkainya. Rosak pokok dan merajuk hingga melawas buahnya. Melawas bermaksud kurang dan jarang berbuah. Buah yang gugur perlu dikutip. Kerja yang memenatkan lagi. Ada pula kopi tahi musang. Kononnya kopi jenis ini mahal harganya. Kopi tahi musang ialah buah kopi yang dimakan musang. Biji kopinya tidak hadham dan keluarlah dalam bentuk biji. Selalunya kopi ini dibiarkan kena hujan dan panas. Bila sudah bersih baru dipungut. Pada tahun 60an, setin besar kopi kira-kira RM4.00. Jika rajin Buah kopi direndam hinga lembut. Ditumbuk sepaya bijinya terpisah dari kulit. Dibasuh dan dikeringkan. Biji kopi kering lebih mahal harganya.





Untuk minum kopi, biji kopi digoreng kering hingga garing dan hangus. Lalu ditumbuk dengan lesung batu. Kasar jadinya. Tidak halus seperti dimesin sekarang. Kopi yang kasar itu dibuat air kopi. Kami orang Jawa menggelarkannya sebagai kopi 'gabres'. Kenapa ya? Bila diminum, akan ada kopi yang melekat di bibir. Bibir yang comot itulah namanya 'gabres'. Lucu juga bila mengingat kopi 'gabres' ni.





Kadang-kadang saya memungut buah pinang yang gugur. Saya belah dan keringkan. Isinya longkah setelah kering. Isinya dijual kepada peraih yang ada di kampung saya. Pada waktu yang lain saya mengambil upah mencungkil kelapa kering yang sudah disalai. Kebetulan jiran saya ada salai kelapa. Bila kelapa banyak, banyaklah sedikit upah yang saya dapat. Kerjanya ringan bukan berat. Upahnya juga ringan. Entah berapa sen, saya tidak dapat mengingatnya lagi. Apa yang saya ingt ialah setiap wang yang saya dapat saya serahkan kepada ibu. Macam mana dugunakan wang itu, saya tidak pernah mengambil tahu. Mungkin Hari Rayalah saya dapat habuannya.





InsaAllah akan bersambung.

Monday, February 15, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Keenam

Pada tahun-tahun 50an dan 60an, kampung saya kerap banjir. Apabila musim tengkujuh, yang selalunya predictable, hujung tahun adalah bulan-bulan yang selalunya banjir. Di halaman rumah saya biasanya paras air mencecah pinggang saya yang berumur 10 tahun. Banjir akan berlaku bukan kerana hujan sahaja tetapi kerana air yang turun dari Pahang, melalui Segamat hingga ke Sri Medan, Parit Sulong dan akhirnya ke kawasan kampung saya. Banjir yang biasanya berlarutan antara sebulan hingga ke tiga bulan akan menghentikan segala kegiatan ekonomi. Pokok getah tidak ditoreh. Buah kelapa berhanyutan tidak terhimpun khususnya jika banjir menyerang waktu malam. Kopi tidak dipetik. Buah pinang juga berhanyutan. Pokok pisang banyak yang tumbang. Segala tanaman seperti ubu, keledek dan keladi akan dituai serentak.





Apabila banjir melanda, segala tanaman yang berubi seperti ubi kayu, keladi, keledek terpaksa dituai. Ubi kayu perlu dicabut segera. Jika tidak ia akan busuk dan berbau. Pandangan yang menarik pada masa ini ialah buah ubi yang batang pokoknya ditanam terbalik. Untuk disimpan di rumah tidak mungkin. Tidak ada tempat menyimpan. Maka batang-batang ubi dipatahkan. Dicabut dan untuk mengelakkan dari busuk, batang ubi tadi ditanam terbalik. Batang di bawah sedangkan ubinya berceracah di bahagian atas. Keladi dan keledek akan berlonggok di dapur rumah. Pokok pisang banyak yang tumbang. Pisang masak juga berlonggok di ruang dapur. Ruang yang sempit menjadi bertambah sempitnya. Tetapi itulah sumber makanan kami semasa banjir.





Segala jenis permainan terhenti sementara. Yang tinggal ialah berenang dan bermain rakit batang pisang. Pokok pisang nipah akan saya tebang sebanyak tiga batang. Kayu sebesar pergelangan tangan saya akan dicari untuk dicucukkan melintang supaya ketiga-tiga batang pisang itu selari. Dua batang kayu sudah cukup. Dengan rakit itu saya ke masjid, ke kedai, ke rumah jiran. Memangpun, dengan rakit sebegitu pakaian lazimnya basah. Tidak mungkin kering kerana percikan dan kocakan air. Rakit bukan dikayuh sebaliknya ditolak dengan galah. Bila malam rakit itu diikat ditangga. Selokah tidak ada masalah kerana banjir pastinya pada hujung tahun semasa cuti sekolah. Memang predictable







Suasana banjir dikampung cukup sunyi. Pada waktu malam hanya kodok yang bersuara. Cengkerik entah ke mana larinya. Sunyi sesunyinya. Suhu pula agak sejuk. Tidur tentulah merengkuk. Bukan ada selimut tebal. Yang ada kain pelikat atau gebar kain cadar. Buruk dan lusuh. Namun tidur tetap nyenyak untuk esok melihat air lagi.




Suatu ketika saya menebang pokok pisang yang agak besar. Untuk memotongnya agak susah dan lambat. Entah macam mana parang pendek melayang di dalam air dan menetak bahagian kaki kanan saya berhampiran dengan buku lali. Terasa sedikit perit di dalam air. Tapi apabila saya angkat kaki, darahnya cukup banyak mengalir. Bergegaslah saya naik ke rumah, mencari apa sahaja ubat yang ada. Anak kampung seperti saya belajar dari kebiasaan. Lalu daun senduduk diambil sebanyak-banyaknya, kunyah dan laburkan menutup luka. Alhamdulillah darah benhenti mengalir. Waktu banjir, kampung jauh dari bandar dan pengangkutan tidak ada. Hospital dan klinik memang tiada dalam kamus walau sakit apapun.




Hampir sebulan luka itu saya tanggung. Terdencut ke sana terdencut ke sini. Rakit hilang ceritanya. Banjir itu hanya mampu saya lihat. Tidak dapat menyatu dengan alam yang biasanya banyak sejarahnya. Luka itu agak besar. Parutnya besar hingga sekarang. Begitulah lumrahnya, luka dapat diubat tetapi parutnya memanjang usia. Kesakitan hanya ditanggung yang empunya badan.




Oleh kerana kegiatan ekonomi terhenti semasa banjir, bagaimana agaknya orang kampung mendapatkan sumber makanan? Satu lagi cerita kepayahan yang menderitai kami ketika itu. Saya dan keluarga saya, makan cukup tetapi yang saya makan lebih banyak ubi, keledek, keladi dan pisang. Pagi saya bersarapan ubi, tengahari pisang, malamnya ikut pilihan hati. Maka dihidanglah rebusan ubi berlaukkan sambal, ikan masin atau gula. Dihidangkanlah ubi getok (ubi rebus yang ditumbuk halus, dicampur dengan gula, parutan kelapa dan sedikit garam). Lebihan rebusan ubi akan dihiris nipis-nipis untuk dikeringkan dan dijadikan kerepek ubi tradisi, disira dengan gula. (Kerepek ubi sekarang sudah melalui pembaharuan. Bentuknya sudah berubah). Ada pula ubi yang disagat (diparut), lalu direndam beberapa hari hingga mengeluar satu bau yang mungkin aroma tersendiri. Ianya akan direbus atau dikukus, dicampur dengan parutan kelapa, gula dan sedikit garam. Dihidangkan juga ketewul, ubi yang dicampur dengan bahan-bahan lain. Dihidangkan juga ubi goreng. Rasanya hanya masin. Ada pula belebat, bingka, lopis yang bahannya tetap ubi kayu. Tiada pilihan. Waktu malam mungkin ada pengat ubi. Datuk saya menggemarinya selain bubur kacang yang menjadi pilihan utamanya. Lupa hendak disebut dalam pos yang lalu.





Pisang pula direbus, dibubuh gula, digoreng, dibuat pengat atau dimakan begitu sahaja. (Macam iklan Gardenia pula). Keladi dan keledek begitu juga. Direbus, digoreng, dibuat pengat. Itulah menu waktu banjir. Jika berlarutan. Wang akan kehabisan. Beras tidak mampu dibeli lagi. Berulanglah episod itu setiap kali banjir.



Bagaimana dengan mereka yang tidak ada tanah untuk bercucuk tanam dan tidak ada simpanan? Mereka akan datang untuk membeli, meminta dan memohon bantuan. Jika bekalan kami banyak, kami berilah sekadar membantu. Apabila bekalan mulai susut, sukar juga untuk membantu. Mereka akan mengikat perut. Mungkin makan sekali sehari. Itupun jika ada. Saya pernah mengalaminya. Saya tahu sukarnya hidup. Bukan lagi kais pagi makan pagi. Sudah tidak ada yang hendak dikais. Makanan sudah tidak kenal waktu. Makannan itulah untuk pagi, tengahari, petang dan malam. Hanya untuk kelangsungan hidup. Waktu itu tiada pusat pemindahan, tiada bantuan walau apapun. Masing-masing hidup sendiri dan matipun sendiri.





Pada awal banjir saya puas bermain air. Berenang ke sana, berenang ke mari. Sementelahan pula, air pada masa itu belum kotor. Belum lagi ada cerita pencemaran air. Baja, racun dan air kumbahan kilang belum ada dalam kamus saya. Memang selamat bermandi manda air banjir. Sekarang semua itu tidak boleh dilakukan lagi. Sisa baja, racun, kumbahan, sisa toksik, radioaktif, najis babi, najis ayam dan seribu satu macam pencemaran melupuskan segala harapan untuk kembali menyatu dengan alam. Bermain dengan alam. Bersama dengan alam. Aduh rindunya alam tanpa pencemaran. Anak-anakku, jagalah alam ini sebagai habitatmu yang selamat untuk dihuni dan dimanfaatkan.





Pada akhir-akhir banjir, suasana bertukar menjadi sulit. Rumput yang terrendam lama, sampah-sampah saraf yang mereput, haiwan kecil yang menjadi bangkai, cacing gelang yang melata di bawah paras air yang semakin surut dan berbagai-bagai lagi pereputan di atas tanah mengakibatkan bau menusuk yang mencengkam hidung dan menyesakkan nafas. Panas dari pancaran matahari yang selalunya terik di akhir banjir menambahkan lagi suasana jelik di akhir banjir. Ketika itulah, setiap perjalanan akan menjadi seksa. Air banjir yang pada mulanya jernih dan bersih, bertukar menjadi kotor berkeladak, hanyir, gatal dan menjijkkkan. Bagi mereka yang tidak menyimpan air tentulah sukar untuk membasuh kaki yang tercemar. Busuk, busuk dan busuk ada di mana-mana.





Dengan kuasa Allah, banjir itu tidak berlaku lagi di kawasan kampung saya untuk jangkamasa kira-kira 30 tahun. Pada akhir tahun 2006, Batu Pahat dikejutkan dengan kedatangan banjir lagi. Bagi yang muda, banjir adalah satu peristiwa bersejarah. Tetapi bagi yang tua dan berusia emas, sejarah berulang kembali. Kepayahan dan kesukaran yang menimpa hanya mereka yang terlibat sahaja yang tahu.






Ibu dan bapa mertua saya tinggal di Pekan Parit Sulong. Rumahnya berhampiran dengan sungai Simpang Kiri. Rumah dapur mereka ditenggelami air. Anak dan cucu bertungkus lumus mengangkut dan menyusun barang di rumah atas. Apabila banjir surut, kami turunkan semula segalanya ke ruang dapur. Selang seminggu, banjir datang lagi. Sekali lagi proses mengangkut barang ke rumah atas berlaku. Banjir yang kedua bertahan agak lama. Air tidak mahu surut-surut. Kerajaan Negeri Johor terpaksa menggunakan pam air untuk membuang dengan cepat air banjir ke laut.





Suatu pengajaran mungkin telah dilupakan. Kita tidak memahami natural terrain tentang alam di sekeliling kita. Kawasan Batu Pahat memang kawasan banjir. Oleh kerana 30 tahun banjir tidak melanda, mereka alpa dan berada di zon yang terlalu selesa. Ibu bapa zaman banjir dahulu ramai yang sudah tiada. Anak-anak mengambil alih harta pusaka ibu bapa dan mula membuat perubahan-perubahan tanpa mengambilkira faktor terrain itu. Rumah-rumah yang dahulunya bertiang tinggi dirobohkan dan digantikan dengan rumah-rumah semasa yang berlantai simin yang kedudukannya on ground level. Jika dahulu banjir berada di bawah rumah, sekarang banjir masuk ke dalam rumah. Kemusnahan di mana-mana kerana kesilapan membaca faktor alam.





Anak-anakku, belajarlah dari sejarah untuk mengubah sejarah, membina sejarah baru dan untuk memperbaharui sejarah. Ambil iktibar dari kesilapan masa lalu. Walaupun masa hadapan hanya harapan dan doa, usaha harus direncana untuk mengurangkan impak negatifnya. Perubahan akan terjadi dan terus terjadi. Sebagai pelaku-pelakunya kita membawa arus atau dibawa arus. Yang penting kita tahu bermain arus. Pandai mencari tebing utuk berpaut. Demi kelangsungan hidup dan mengabdikan diri kepada Allah. Kerana Allah. Amin.

Saturday, February 13, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian kelima

Waktu saya kecil, selain dari bermain, saya belajar survival hidup. Kebanyakan perkara saya buat. Antaranya berenang, memanjat pokok, menebas, mencangkul tanah, menggali parit, menanam pokok, menyapu sampah, membakar sampah, menebang pokok pisang, memikul batang kayu, menyabit rumput, memetik buah kopi, memungut buah, menoreh, mengganti atap rembia, mengangkat air, mencari kayu api, memasak, membuat kuih, membasuh pakaian, menggosok baju, menjahit, melastik, memancing, mengejar ayam dan bercucuk tanam. Sebahagian dari aktiviti itu telah saya sebut dalam pos yang lalu. Namun masih banyak lagi yang tersemat di balik ingatan.





Berenang adalah antara aktiviti santai yang menyeronokkan sewaktu kanak-kanak saya dahulu. Lazimnya saya berenang apabila air pasang besar. Saya menunggu saat itu. Air sungai memasuki parit. Penuh parit dengan air yang jernih. Apabila air menjadi tepu, saya, sama ada sendirian atau dengan rakan-rakan yang ada akan terjun ke dalam air. Lelaki atau perempuan sama sahaja. Kami memakai kain. Yang lelaki berkain pelikat dan yang perempuan berkain batik. Berkemban. Mulalah saya terjun dari tepi parit atau dari titi yang merentasi parit. Berenang, menyelam dan berendam. Mungkin berjam-jam lamanya. Kecut kaki dan tangan. Hingga pucat bibir. Sejuk menggigil. Anak-anak kampung seperti saya tidak perlukan jurulatih untuk berenang dan diving.





Saya tidak diving seperti dalam sukan renang sekarang. Saya terjun kaki dahulu. Kami hanya melompat, kaki dahulu yang mencecah air. Bayangkan kami melambungkan badan ke udara. Kami memakai kain pelikat yang digulung kejap di pinggang. Bila kami terbang apa yang kelihatan? Kain menjadi payung terjun yang menguncup ke atas. Allahu Akbar. Yang lain akan terkekeh ketawa. Pemandangan yang menghiburkan. Yang perempuan memang tidak berani terjun. Nanya dibuatnya.




Bila letih terjun dan berenang, kami berendam dalam air. Lebih seronok pula apabila kami pegang bahagian tepi kain. Lepas itu masukkan gelembung angin ke dalam kain dengan membuat gerakan pantas untuk memasukkan air ke dalam kain. Maka menggelembunglah kain. Dengan gelembung kain itu kami mengapung-apungkan diri. Macam pelampung. Atau kami pegang dari bawah gelembung kain itu dan dengannya kami menyelam dan berhanyut atau bergerak di bawah air.





Bila yang lelaki galak bermain air, yang perempuan kenalah berhati-hati. Yang nakal antara kami akan. menyelam dan menyondol kanak-kanak perempuan. Terjerit-jeritlah mereka geli dan takut. Lebih banyak menjerit lebih galak sakatnya.





Anak-anak kampung tidak perlu diajar berenang. Mereka hanya perlu memerhati abang dan kakak mereka berenang. Waktu belajar berenang dahulu, saya selalu mengikut ibu saya mandi. Saya akan pegang tangga atau papan pelantar mandi dengan tangan. Kaki di belakang akan dikocak-kocakkan seperti aksi berenang. Belajar pula mengangkat kepala. Dalam proses itu entah berapa kali kepala tidak terangkat di atas paras air. Akibatnya entah berapa banyak air parit yang terpaksa ditelan. Masam, kelat, masin, payau semuanya dapat dirasa. Prosesnya tidak lama. Bila sudah pandai menggerakkan kaki, belajarlah saya seperti anak burung yang baru terbang. Lepaskan sekejap pegangan, apungkan diri. Jika tidak menjadi, ulangi lagi. Tidak lama selepas itu pandailah berenang.




Sudah 60 tahun saya tinggalkan peristiwa itu. Namun begitu, senarionya masih kuat dalam ingatan. Anak-anak kampung yang tenggelam dalam dunianya sendiri. Alam kampung yang mendamaikan. Hanya anak-anak kampung sahaja yang mengerti.



Dengan pandai berenang itu saya tidak takut apabila banjir. Tidak takut berenang di sungai. Sewaktu menjadi guru sementara di Seri Medan dahulu saya biasa berenang menyeberang sungai apabila air pasang penuh. Dalam air yang tenang dan jernih, terasa damainya hidup. Saya dengan alam saya. Sendirian sahaja. Berulang alik hingga terasa puas dan penat. Semasa di Kuala Terengganu dahulu saya biasa ke Pulau Kapas mengiringi pelajar. Kerana pandai berenang, puaslah saya bermain air. Off course tidak memakai kain pelikat lagi.





Kerana tidak takut air saya biasa memancing di parit dan di sungai. Anak kampung tidak perlu membeli joran yang mahal. Mata kail, seutas benang, batang joran dari buluh atau kayu dan umpannya hanya cacing gelang yang memang banyak di keliling rumah. Memancing tidak pernah hampa. Jika di parit paling kerap ikan keli yang sederhana besar. Jika rajin, sampai di rumah, saya siang sendiri. Sebelum itu ketuk kepalanya dengan anak lesung batu. Bila sudah pecah dan mati, barulah disiang. Paling sedap dibakar hingga garing. Masak dengan santan yang dibubuh cili api dan cekur. Masakan ini dinamakan pecal (pecel kata Jawa). Isi ikan keli yang lembut itu cair di mulut. Sedapnya tidak dapat diceritakan. Kalau hendak merasa masakan pecal ikan keli datanglah ke Batu Pahat. Carilah di mana-mana kedai makan. Pasti ada. Khususnya di Parit Raja.





Tetapi cerita ikan keli ini menjadi suatu cerita yang tidak panjang. Pada tahun 60an saya berhenti memakannya. Seorang kakak sepupu saya dan suaminya telah berpindah dari kampung saya ke Parit Yaani di Yong Peng. Kawasan tempat tinggalnya mengalami banjir setiap tahun. Kadang-kadang dua kali setahun. Apabila air mulai surut, cuaca agak panas, banyak ikan keli yang mabuk dan berenang-renang di atas tanah. Sepupu saya akan memungut ikan tersebut dan kerap menghantarnya ke rumah saya kerana arwah datuk sangat suka memakan ikan keli.




Setiap kali, sepupu saya akan menghantar sebanyak satu tin minyak tanah. Sebesar tin biskut besar di kedai runcit sekarang. Ikan itu pula saya letakkan dalam tempayan. Hiduplah ikan itu dalam tempayan tanpa makan atau minum hingga berbulan-bulan lamanya. Tetapi boleh hidup lama. Bila ada isyarat dari datuk saya, maka akan saya ambil seekor atau dua untuk dimasak. Seperti biasa saya ketuk dahulu kepalanya. Rupanya kuantiti yang terlalu banyak itu menjadikan saya muak. Akhirnya saya mual. Sejak itu saya tidak lagi makan ikan keli hinggalah ke hari ini. Berhati-hati dengan sirip ikan keli boleh menyengat dan amat bisa. Jika ikan sembilang (seperti keli tetapi ikan air masin, sengatannya boleh membawa maut).





Saya biasa bersampan di sungai yang jauhnya satu km dari rumah saya. Ada seorang dua teman yang suka dengan kegemaran yang sama. bila hari pasang, kami hilir mudik mengayuh sampan. Berpaut di dahan-dahan pokok di tepi sungai. Sambil pula mengocak kaki dan membasuh muka. Airnya jernih dan bersih. Sejuk kena di tubuh saya. Ada masanya sambil pula memancing. Senang sekali dengan keadaan yang damai begitu. Tenang setenangnya.




Satu lagi kegemaran saya ialah memanjat pokok. Kemahiran memanjat pokok adalah satu keperluan. Memetik buah tidak cukup dengan menggunakan galah sahaja. Panjat lebih mudah. Sewaktu kecil, dengan badan yang ringan, saya boleh memijak dahan yang kecil hingga hampir ke hujungnya. Sebelah tangan memegang dahan yang lebih tinggi. Tangan berpaut dan kaki terampu. Imbangan yang baik. Tidak perlukan jurulatik gimnastik. Dalam keadaan seperti itu, sebelah tangan lagi akan memetik buat atau untuk mematahkan tangkai buah seperti rambutan. Berbakul-bakullah buah yang saya turunkan.





Memetik mangis dan ciku lebih berhati-hati. Tidak boleh dijatuhkan ke tanah. Jika begitu, buahnya akan retak atau pecah dan masaknya akan masam. Jadi saya membawa bakul semasa memanjat. Bila penuh, gunakan tali untuk menurunkannya. Begitulah berulang-ulang. Seronok dan tidak menjemukan. Tidak ada gangguan emosi. Tidak ada tarikan lain dalam musim buah begitu. Begitulah juga bila memetik buah rambai.



Setiap buah ada tekniknya sendiri semasa memetik, menyimpan, mengangkut, membelah atau memakannya. Menebang pokok pisang harus berhati-hati dari percikkan getahnya ke baju. Jika terkena, baju itu hilang fungsi rasminya. Getah yang terkena di baju akan menyebabkan baju itu capuk-capuk jadinya. Ia akan dipersarakan. Akan jadi basahan sahaja. Nangka dan cempedak kena tahu teknik menghindar terpalit getahnya. Tidak pula kita palitkan orang lain. (Lihat pos yang lalu). Memang kata peribahasa, lain makan nangka, lain yang kena getahnya. Jika tahu tekniknya, yang makan tidak kena getah, yang lainpun tidak kena getah juga. (Lihat pos yang lalu). Selamat semuanya. Nikmati ulas-ulas nangka yang menjingga di dalamnya. Manis, lemak dan basah di mulut.



Tunggu episod berikutnya.