Saturday, February 13, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian kelima

Waktu saya kecil, selain dari bermain, saya belajar survival hidup. Kebanyakan perkara saya buat. Antaranya berenang, memanjat pokok, menebas, mencangkul tanah, menggali parit, menanam pokok, menyapu sampah, membakar sampah, menebang pokok pisang, memikul batang kayu, menyabit rumput, memetik buah kopi, memungut buah, menoreh, mengganti atap rembia, mengangkat air, mencari kayu api, memasak, membuat kuih, membasuh pakaian, menggosok baju, menjahit, melastik, memancing, mengejar ayam dan bercucuk tanam. Sebahagian dari aktiviti itu telah saya sebut dalam pos yang lalu. Namun masih banyak lagi yang tersemat di balik ingatan.





Berenang adalah antara aktiviti santai yang menyeronokkan sewaktu kanak-kanak saya dahulu. Lazimnya saya berenang apabila air pasang besar. Saya menunggu saat itu. Air sungai memasuki parit. Penuh parit dengan air yang jernih. Apabila air menjadi tepu, saya, sama ada sendirian atau dengan rakan-rakan yang ada akan terjun ke dalam air. Lelaki atau perempuan sama sahaja. Kami memakai kain. Yang lelaki berkain pelikat dan yang perempuan berkain batik. Berkemban. Mulalah saya terjun dari tepi parit atau dari titi yang merentasi parit. Berenang, menyelam dan berendam. Mungkin berjam-jam lamanya. Kecut kaki dan tangan. Hingga pucat bibir. Sejuk menggigil. Anak-anak kampung seperti saya tidak perlukan jurulatih untuk berenang dan diving.





Saya tidak diving seperti dalam sukan renang sekarang. Saya terjun kaki dahulu. Kami hanya melompat, kaki dahulu yang mencecah air. Bayangkan kami melambungkan badan ke udara. Kami memakai kain pelikat yang digulung kejap di pinggang. Bila kami terbang apa yang kelihatan? Kain menjadi payung terjun yang menguncup ke atas. Allahu Akbar. Yang lain akan terkekeh ketawa. Pemandangan yang menghiburkan. Yang perempuan memang tidak berani terjun. Nanya dibuatnya.




Bila letih terjun dan berenang, kami berendam dalam air. Lebih seronok pula apabila kami pegang bahagian tepi kain. Lepas itu masukkan gelembung angin ke dalam kain dengan membuat gerakan pantas untuk memasukkan air ke dalam kain. Maka menggelembunglah kain. Dengan gelembung kain itu kami mengapung-apungkan diri. Macam pelampung. Atau kami pegang dari bawah gelembung kain itu dan dengannya kami menyelam dan berhanyut atau bergerak di bawah air.





Bila yang lelaki galak bermain air, yang perempuan kenalah berhati-hati. Yang nakal antara kami akan. menyelam dan menyondol kanak-kanak perempuan. Terjerit-jeritlah mereka geli dan takut. Lebih banyak menjerit lebih galak sakatnya.





Anak-anak kampung tidak perlu diajar berenang. Mereka hanya perlu memerhati abang dan kakak mereka berenang. Waktu belajar berenang dahulu, saya selalu mengikut ibu saya mandi. Saya akan pegang tangga atau papan pelantar mandi dengan tangan. Kaki di belakang akan dikocak-kocakkan seperti aksi berenang. Belajar pula mengangkat kepala. Dalam proses itu entah berapa kali kepala tidak terangkat di atas paras air. Akibatnya entah berapa banyak air parit yang terpaksa ditelan. Masam, kelat, masin, payau semuanya dapat dirasa. Prosesnya tidak lama. Bila sudah pandai menggerakkan kaki, belajarlah saya seperti anak burung yang baru terbang. Lepaskan sekejap pegangan, apungkan diri. Jika tidak menjadi, ulangi lagi. Tidak lama selepas itu pandailah berenang.




Sudah 60 tahun saya tinggalkan peristiwa itu. Namun begitu, senarionya masih kuat dalam ingatan. Anak-anak kampung yang tenggelam dalam dunianya sendiri. Alam kampung yang mendamaikan. Hanya anak-anak kampung sahaja yang mengerti.



Dengan pandai berenang itu saya tidak takut apabila banjir. Tidak takut berenang di sungai. Sewaktu menjadi guru sementara di Seri Medan dahulu saya biasa berenang menyeberang sungai apabila air pasang penuh. Dalam air yang tenang dan jernih, terasa damainya hidup. Saya dengan alam saya. Sendirian sahaja. Berulang alik hingga terasa puas dan penat. Semasa di Kuala Terengganu dahulu saya biasa ke Pulau Kapas mengiringi pelajar. Kerana pandai berenang, puaslah saya bermain air. Off course tidak memakai kain pelikat lagi.





Kerana tidak takut air saya biasa memancing di parit dan di sungai. Anak kampung tidak perlu membeli joran yang mahal. Mata kail, seutas benang, batang joran dari buluh atau kayu dan umpannya hanya cacing gelang yang memang banyak di keliling rumah. Memancing tidak pernah hampa. Jika di parit paling kerap ikan keli yang sederhana besar. Jika rajin, sampai di rumah, saya siang sendiri. Sebelum itu ketuk kepalanya dengan anak lesung batu. Bila sudah pecah dan mati, barulah disiang. Paling sedap dibakar hingga garing. Masak dengan santan yang dibubuh cili api dan cekur. Masakan ini dinamakan pecal (pecel kata Jawa). Isi ikan keli yang lembut itu cair di mulut. Sedapnya tidak dapat diceritakan. Kalau hendak merasa masakan pecal ikan keli datanglah ke Batu Pahat. Carilah di mana-mana kedai makan. Pasti ada. Khususnya di Parit Raja.





Tetapi cerita ikan keli ini menjadi suatu cerita yang tidak panjang. Pada tahun 60an saya berhenti memakannya. Seorang kakak sepupu saya dan suaminya telah berpindah dari kampung saya ke Parit Yaani di Yong Peng. Kawasan tempat tinggalnya mengalami banjir setiap tahun. Kadang-kadang dua kali setahun. Apabila air mulai surut, cuaca agak panas, banyak ikan keli yang mabuk dan berenang-renang di atas tanah. Sepupu saya akan memungut ikan tersebut dan kerap menghantarnya ke rumah saya kerana arwah datuk sangat suka memakan ikan keli.




Setiap kali, sepupu saya akan menghantar sebanyak satu tin minyak tanah. Sebesar tin biskut besar di kedai runcit sekarang. Ikan itu pula saya letakkan dalam tempayan. Hiduplah ikan itu dalam tempayan tanpa makan atau minum hingga berbulan-bulan lamanya. Tetapi boleh hidup lama. Bila ada isyarat dari datuk saya, maka akan saya ambil seekor atau dua untuk dimasak. Seperti biasa saya ketuk dahulu kepalanya. Rupanya kuantiti yang terlalu banyak itu menjadikan saya muak. Akhirnya saya mual. Sejak itu saya tidak lagi makan ikan keli hinggalah ke hari ini. Berhati-hati dengan sirip ikan keli boleh menyengat dan amat bisa. Jika ikan sembilang (seperti keli tetapi ikan air masin, sengatannya boleh membawa maut).





Saya biasa bersampan di sungai yang jauhnya satu km dari rumah saya. Ada seorang dua teman yang suka dengan kegemaran yang sama. bila hari pasang, kami hilir mudik mengayuh sampan. Berpaut di dahan-dahan pokok di tepi sungai. Sambil pula mengocak kaki dan membasuh muka. Airnya jernih dan bersih. Sejuk kena di tubuh saya. Ada masanya sambil pula memancing. Senang sekali dengan keadaan yang damai begitu. Tenang setenangnya.




Satu lagi kegemaran saya ialah memanjat pokok. Kemahiran memanjat pokok adalah satu keperluan. Memetik buah tidak cukup dengan menggunakan galah sahaja. Panjat lebih mudah. Sewaktu kecil, dengan badan yang ringan, saya boleh memijak dahan yang kecil hingga hampir ke hujungnya. Sebelah tangan memegang dahan yang lebih tinggi. Tangan berpaut dan kaki terampu. Imbangan yang baik. Tidak perlukan jurulatik gimnastik. Dalam keadaan seperti itu, sebelah tangan lagi akan memetik buat atau untuk mematahkan tangkai buah seperti rambutan. Berbakul-bakullah buah yang saya turunkan.





Memetik mangis dan ciku lebih berhati-hati. Tidak boleh dijatuhkan ke tanah. Jika begitu, buahnya akan retak atau pecah dan masaknya akan masam. Jadi saya membawa bakul semasa memanjat. Bila penuh, gunakan tali untuk menurunkannya. Begitulah berulang-ulang. Seronok dan tidak menjemukan. Tidak ada gangguan emosi. Tidak ada tarikan lain dalam musim buah begitu. Begitulah juga bila memetik buah rambai.



Setiap buah ada tekniknya sendiri semasa memetik, menyimpan, mengangkut, membelah atau memakannya. Menebang pokok pisang harus berhati-hati dari percikkan getahnya ke baju. Jika terkena, baju itu hilang fungsi rasminya. Getah yang terkena di baju akan menyebabkan baju itu capuk-capuk jadinya. Ia akan dipersarakan. Akan jadi basahan sahaja. Nangka dan cempedak kena tahu teknik menghindar terpalit getahnya. Tidak pula kita palitkan orang lain. (Lihat pos yang lalu). Memang kata peribahasa, lain makan nangka, lain yang kena getahnya. Jika tahu tekniknya, yang makan tidak kena getah, yang lainpun tidak kena getah juga. (Lihat pos yang lalu). Selamat semuanya. Nikmati ulas-ulas nangka yang menjingga di dalamnya. Manis, lemak dan basah di mulut.



Tunggu episod berikutnya.

1 comment:

  1. Nak tahu info-info best dan menarik mengenai ikan Keli,jemputlah datang ke...
    http://kelipenang-aquamutiara.blogspot.com/
    Salam ukhwah dari Penang... :)

    ReplyDelete