Apabila banjir melanda, segala tanaman yang berubi seperti ubi kayu, keladi, keledek terpaksa dituai. Ubi kayu perlu dicabut segera. Jika tidak ia akan busuk dan berbau. Pandangan yang menarik pada masa ini ialah buah ubi yang batang pokoknya ditanam terbalik. Untuk disimpan di rumah tidak mungkin. Tidak ada tempat menyimpan. Maka batang-batang ubi dipatahkan. Dicabut dan untuk mengelakkan dari busuk, batang ubi tadi ditanam terbalik. Batang di bawah sedangkan ubinya berceracah di bahagian atas. Keladi dan keledek akan berlonggok di dapur rumah. Pokok pisang banyak yang tumbang. Pisang masak juga berlonggok di ruang dapur. Ruang yang sempit menjadi bertambah sempitnya. Tetapi itulah sumber makanan kami semasa banjir.
Segala jenis permainan terhenti sementara. Yang tinggal ialah berenang dan bermain rakit batang pisang. Pokok pisang nipah akan saya tebang sebanyak tiga batang. Kayu sebesar pergelangan tangan saya akan dicari untuk dicucukkan melintang supaya ketiga-tiga batang pisang itu selari. Dua batang kayu sudah cukup. Dengan rakit itu saya ke masjid, ke kedai, ke rumah jiran. Memangpun, dengan rakit sebegitu pakaian lazimnya basah. Tidak mungkin kering kerana percikan dan kocakan air. Rakit bukan dikayuh sebaliknya ditolak dengan galah. Bila malam rakit itu diikat ditangga. Selokah tidak ada masalah kerana banjir pastinya pada hujung tahun semasa cuti sekolah. Memang predictable
Suasana banjir dikampung cukup sunyi. Pada waktu malam hanya kodok yang bersuara. Cengkerik entah ke mana larinya. Sunyi sesunyinya. Suhu pula agak sejuk. Tidur tentulah merengkuk. Bukan ada selimut tebal. Yang ada kain pelikat atau gebar kain cadar. Buruk dan lusuh. Namun tidur tetap nyenyak untuk esok melihat air lagi.
Suatu ketika saya menebang pokok pisang yang agak besar. Untuk memotongnya agak susah dan lambat. Entah macam mana parang pendek melayang di dalam air dan menetak bahagian kaki kanan saya berhampiran dengan buku lali. Terasa sedikit perit di dalam air. Tapi apabila saya angkat kaki, darahnya cukup banyak mengalir. Bergegaslah saya naik ke rumah, mencari apa sahaja ubat yang ada. Anak kampung seperti saya belajar dari kebiasaan. Lalu daun senduduk diambil sebanyak-banyaknya, kunyah dan laburkan menutup luka. Alhamdulillah darah benhenti mengalir. Waktu banjir, kampung jauh dari bandar dan pengangkutan tidak ada. Hospital dan klinik memang tiada dalam kamus walau sakit apapun.
Hampir sebulan luka itu saya tanggung. Terdencut ke sana terdencut ke sini. Rakit hilang ceritanya. Banjir itu hanya mampu saya lihat. Tidak dapat menyatu dengan alam yang biasanya banyak sejarahnya. Luka itu agak besar. Parutnya besar hingga sekarang. Begitulah lumrahnya, luka dapat diubat tetapi parutnya memanjang usia. Kesakitan hanya ditanggung yang empunya badan.
Oleh kerana kegiatan ekonomi terhenti semasa banjir, bagaimana agaknya orang kampung mendapatkan sumber makanan? Satu lagi cerita kepayahan yang menderitai kami ketika itu. Saya dan keluarga saya, makan cukup tetapi yang saya makan lebih banyak ubi, keledek, keladi dan pisang. Pagi saya bersarapan ubi, tengahari pisang, malamnya ikut pilihan hati. Maka dihidanglah rebusan ubi berlaukkan sambal, ikan masin atau gula. Dihidangkanlah ubi getok (ubi rebus yang ditumbuk halus, dicampur dengan gula, parutan kelapa dan sedikit garam). Lebihan rebusan ubi akan dihiris nipis-nipis untuk dikeringkan dan dijadikan kerepek ubi tradisi, disira dengan gula. (Kerepek ubi sekarang sudah melalui pembaharuan. Bentuknya sudah berubah). Ada pula ubi yang disagat (diparut), lalu direndam beberapa hari hingga mengeluar satu bau yang mungkin aroma tersendiri. Ianya akan direbus atau dikukus, dicampur dengan parutan kelapa, gula dan sedikit garam. Dihidangkan juga ketewul, ubi yang dicampur dengan bahan-bahan lain. Dihidangkan juga ubi goreng. Rasanya hanya masin. Ada pula belebat, bingka, lopis yang bahannya tetap ubi kayu. Tiada pilihan. Waktu malam mungkin ada pengat ubi. Datuk saya menggemarinya selain bubur kacang yang menjadi pilihan utamanya. Lupa hendak disebut dalam pos yang lalu.
Pisang pula direbus, dibubuh gula, digoreng, dibuat pengat atau dimakan begitu sahaja. (Macam iklan Gardenia pula). Keladi dan keledek begitu juga. Direbus, digoreng, dibuat pengat. Itulah menu waktu banjir. Jika berlarutan. Wang akan kehabisan. Beras tidak mampu dibeli lagi. Berulanglah episod itu setiap kali banjir.
Bagaimana dengan mereka yang tidak ada tanah untuk bercucuk tanam dan tidak ada simpanan? Mereka akan datang untuk membeli, meminta dan memohon bantuan. Jika bekalan kami banyak, kami berilah sekadar membantu. Apabila bekalan mulai susut, sukar juga untuk membantu. Mereka akan mengikat perut. Mungkin makan sekali sehari. Itupun jika ada. Saya pernah mengalaminya. Saya tahu sukarnya hidup. Bukan lagi kais pagi makan pagi. Sudah tidak ada yang hendak dikais. Makanan sudah tidak kenal waktu. Makannan itulah untuk pagi, tengahari, petang dan malam. Hanya untuk kelangsungan hidup. Waktu itu tiada pusat pemindahan, tiada bantuan walau apapun. Masing-masing hidup sendiri dan matipun sendiri.
Pada awal banjir saya puas bermain air. Berenang ke sana, berenang ke mari. Sementelahan pula, air pada masa itu belum kotor. Belum lagi ada cerita pencemaran air. Baja, racun dan air kumbahan kilang belum ada dalam kamus saya. Memang selamat bermandi manda air banjir. Sekarang semua itu tidak boleh dilakukan lagi. Sisa baja, racun, kumbahan, sisa toksik, radioaktif, najis babi, najis ayam dan seribu satu macam pencemaran melupuskan segala harapan untuk kembali menyatu dengan alam. Bermain dengan alam. Bersama dengan alam. Aduh rindunya alam tanpa pencemaran. Anak-anakku, jagalah alam ini sebagai habitatmu yang selamat untuk dihuni dan dimanfaatkan.
Pada akhir-akhir banjir, suasana bertukar menjadi sulit. Rumput yang terrendam lama, sampah-sampah saraf yang mereput, haiwan kecil yang menjadi bangkai, cacing gelang yang melata di bawah paras air yang semakin surut dan berbagai-bagai lagi pereputan di atas tanah mengakibatkan bau menusuk yang mencengkam hidung dan menyesakkan nafas. Panas dari pancaran matahari yang selalunya terik di akhir banjir menambahkan lagi suasana jelik di akhir banjir. Ketika itulah, setiap perjalanan akan menjadi seksa. Air banjir yang pada mulanya jernih dan bersih, bertukar menjadi kotor berkeladak, hanyir, gatal dan menjijkkkan. Bagi mereka yang tidak menyimpan air tentulah sukar untuk membasuh kaki yang tercemar. Busuk, busuk dan busuk ada di mana-mana.
Dengan kuasa Allah, banjir itu tidak berlaku lagi di kawasan kampung saya untuk jangkamasa kira-kira 30 tahun. Pada akhir tahun 2006, Batu Pahat dikejutkan dengan kedatangan banjir lagi. Bagi yang muda, banjir adalah satu peristiwa bersejarah. Tetapi bagi yang tua dan berusia emas, sejarah berulang kembali. Kepayahan dan kesukaran yang menimpa hanya mereka yang terlibat sahaja yang tahu.
Ibu dan bapa mertua saya tinggal di Pekan Parit Sulong. Rumahnya berhampiran dengan sungai Simpang Kiri. Rumah dapur mereka ditenggelami air. Anak dan cucu bertungkus lumus mengangkut dan menyusun barang di rumah atas. Apabila banjir surut, kami turunkan semula segalanya ke ruang dapur. Selang seminggu, banjir datang lagi. Sekali lagi proses mengangkut barang ke rumah atas berlaku. Banjir yang kedua bertahan agak lama. Air tidak mahu surut-surut. Kerajaan Negeri Johor terpaksa menggunakan pam air untuk membuang dengan cepat air banjir ke laut.
Suatu pengajaran mungkin telah dilupakan. Kita tidak memahami natural terrain tentang alam di sekeliling kita. Kawasan Batu Pahat memang kawasan banjir. Oleh kerana 30 tahun banjir tidak melanda, mereka alpa dan berada di zon yang terlalu selesa. Ibu bapa zaman banjir dahulu ramai yang sudah tiada. Anak-anak mengambil alih harta pusaka ibu bapa dan mula membuat perubahan-perubahan tanpa mengambilkira faktor terrain itu. Rumah-rumah yang dahulunya bertiang tinggi dirobohkan dan digantikan dengan rumah-rumah semasa yang berlantai simin yang kedudukannya on ground level. Jika dahulu banjir berada di bawah rumah, sekarang banjir masuk ke dalam rumah. Kemusnahan di mana-mana kerana kesilapan membaca faktor alam.
Anak-anakku, belajarlah dari sejarah untuk mengubah sejarah, membina sejarah baru dan untuk memperbaharui sejarah. Ambil iktibar dari kesilapan masa lalu. Walaupun masa hadapan hanya harapan dan doa, usaha harus direncana untuk mengurangkan impak negatifnya. Perubahan akan terjadi dan terus terjadi. Sebagai pelaku-pelakunya kita membawa arus atau dibawa arus. Yang penting kita tahu bermain arus. Pandai mencari tebing utuk berpaut. Demi kelangsungan hidup dan mengabdikan diri kepada Allah. Kerana Allah. Amin.
No comments:
Post a Comment