Ibu saya berkahwin dengan bapa saya ketika usianya 13 tahun. Biasalah pada tahun-tahun 40an gadis-gadis berkahwin awal. Jika usia mencecah 15 tahun sudah dikira anak dara tua (sekarang ada ANDARTU dan ANDALUSIA). Sewaktu usianya 14 tahun lahirlah saya. Adik perempuan saya menyusul dua tahun kemudian. Selepas itu lahirlah adik lelaki saya. Hanya beberapa bulan selepas adik saya dilahirkan, bapa saya sakit. Agak lama juga sakitnya. Allah sayang kepadanya. Ia meninggal ketika usia saya kira-kira lima tahun. Hingga sekarang tidak ada yang saya ingat tentang arwah bapa saya. Tidak ingat wajahnya, tinggi bangun tubuhnya, kulitnya, tingkah lakunya. Hatta bau dan suaranya. Ingatan saya gelap tentang itu. Saya hanya dapat mendoakan rohnya selepas waktu solat. Atau ketika waktu yang lain. Hanya kata ibu bahawa wajah bapa saya saling tak tumpah seperti wajah saya. Semua gambar ayah saya dilupuskan. Entah, ketika itu ada kepercayaan bila tubuhnya mati, gambarnya pun dimatikan juga.
Maka terlonta-lontalah ibu saya. Ia kehilangan tempat bergantung yang sangat diharapkannya. Semasa hidupnya, arwah ibu pernah mencadangkan mereka berpindah dan memiliki rumah sendiri. Apakan daya, bapa saya anak bongsu. Anak kesayangan nenek dan datuk saya. Hasrat untuk berpisah terpaksa diurungkan buat selama-lamanya. Baktinya hanya untuk orang tuanya sahaja. Mudah-mudahan Allah mengiktirafnya sebagai anak yang Soleh. Amin.
Ibu saya anak orang tidak berada. Adik beradiknya tujuh orang. Enam perempuan dan seorang lelaki. Ibu saya anak kedua. Yang sulong hingga yang kelima sudah meninggal. Yang keenam dan yang bongsu sahaja yang masih hidup. Mungkin saya mewarisi gen ibu saya. Anak saya sembilan orang. Hanya dua orang sahaja lelaki.
Kampung asal ibu saya ialah Parit Haji Rasul. Melalui jalanraya sekarang sekitar tiga km sahaja. Tetapi waktu dulu perhubungan melalui sungai sahaja atau berjalan kaki. Dengan motorbot mengambil masa dua hingga tiga jam. Berjalan kaki memayahkan kerana merentas kawasan yang sunyi dan menakutkan. Akar dan banir pokok getah yang licin memayahkan perjalanan. Sebenarnya kampung saya dan kampung ibu saya sekadar selang empat kampung sahaja.
Datuk (bapa ibu saya) melalui hidup yang cukup menyeksakan. Kerana hasad dengki, dia telah ditangkap Jepun (semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu - Perang Dunia II) dan dijadikan buruh paksa untuk membina landasan keretapi di sempadan Myanmar-Thailang sekarang. Dasar Jepun ialah semua orang muda yang belum berumahtangga dijadikan buruh paksa. Sangat menghairankan apabila datuk saya yang sudah beristeri dan mempunyai tujuh orang anak dijadikan buruh paksa. Sebenarnya ia bersama rakannya berjaya melepaskan diri dan berjalan balik arah ke selatan. Kononnya ia sakit dan terdampar di sebuah kampung di Utara Perak. Ia telah ditinggalkan oleh rakannya di kampung itu. Sejak itu sanak saudara tidak mendengar khabar berita tentang hidup atau matinya. Nama datuk saya Toha bin Haji Mohd Amin. Mungkin ada orang tua-tua di utara Perak yang mengingat nama itu. Jika ada sila hubungi saya. (Tel: 012-7677976).
Di sebelah bapa saya, ramai sepupu saya yang dikahwinkan dengan pemuda-pemuda sekampung demi untuk mengelakkan diri dari ditangkap Jepun. Selamatlah mereka dari menjadi buruh paksa. Keajaiban Allah. Mereka yang berkahwin tanpa cinta, tidak sepadan mengikut ukuran sekarang, kekal bahagia hingga ke anak cucu. Cinta mereka berputik setelah berumah tangga. Kesemuanya pilihan orang tua dan dengan kebijaksanaan datuk saya yang dihormati pandangan dan nasihatnya.
Nenek saya (ibu kepada ibu saya) bukan calang-calang ibu tunggal. Ia tidak bersekolah. Ia tidak tahu menulis dan membaca. Tetapi ia boleh menaiki bas ke Johor Bahru ke rumah anak bongsunya dan ke Melaka ke rumah cucu kesayangannya. Apabila datuk saya sudah dibawa Jepun, maka nenek saya menyingsing lengan bajunya. Diheret kesemua tujuh orang anaknya. Diupahnya seseorang untuk membawa anak beranak itu ke Bandar Penggaram, Batu Pahat dengan menaiki sampan. Tujuannya hanya satu. Ke markas askar Jepun dan berjumpa dengan komandan Jepun atau kempetai. Terkejut beruk Jepun melihat nenek saya dan tujuh orang anak-anaknya yang pakaiannya tidak menentu. Mengadulah nenek saya akan keadaannya. Aduannya menimbulkan rasa bersalah kepada Jepun.
Sebagai tanda kekesalan dan kesilapan pihak Jepun, setiap bulan nenek saya dibekalkan dengan makanan secukupnya. Penuh sarat sampan apabila balik ke Parit Haji Rasul yang jauhnya kira-kira lapan km dari Batu Pahat. Nenek saya dan anak-anaknya hidup mewah kerana cukup makan semasa Perang Dunia II itu. Namun makanan yang cukup tentu tidak dapat mendamaikan hati kehilangan suami dan bapa. Di akhir-akhir perang itulah ibu saya berkahwin dengan bapa saya. Sekitar tahun 1945. Saya lahir pada tahun 1946. Sudah 64 tahun masa berlalu. Suatu jarak masa yang menjadikan saya seorang pengembara masa. Merentas beberapa fasa pembentukan Negara Malaysia.
Apabila bapa saya meninggal dunia, ibu saya membuat pilihan untuk tinggal bersama bapa mertuanya. Datuk saya (bapa kepada bapa saya). Ketika itu nenek saya (ibu kepada bapa saya) telah setahun lebih awal meninggal dunia. Datuk saya bergantung kepada ibu saya, menantu kesayangannya untuk menjaganya. Suatu keadaan yang sukar. Ibu saya tiada pilihan sebab ibunya sendiri dan adik-beradiknya bukan orang senang. Takut pula menambah beban. Sekurang-kurangnya dengan membela bapa mertua yang sudah tua, ada jaminannya. Kebun getah boleh ditoreh. Buah kopi boleh dipetik. Buah kelapa boleh dijual. Buah pinang boleh dijual. Tidak mewah tetapi boleh hidup cukup makan.
Semasa di sekolah rendah saya turut membantu ibu. Ibu mula menoreh kira-kira pukul 4.00 pagi. Siap menoreh pukul 7.00 pagi. Selepas menyusukan adik bongsu saya, ia pergi pula memungut susu getah. Siap kira-kira pukul 8.30 pagi. Getah itu dicampur sedikit air lalu dicampur dengan cuka getah untuk mengeraskannya dalam loyang. Apabila keras, getah itu dikeluarkan dari loyang di atas pengalas lalu ditekan untuk menipiskannya. Apabila cukup nipis dimasukkan ke dalam mesin getah halus. Seperti mesin air tebu sekarang. Cuma saiznya agak besar. Proses ini diulang beberapa kali hingga air getah diperah keluar dan kepingan getah menjadi tipis. Akhir sekali kepingan getah itu dimasukkan ke dalam mesin berbunga. Kemudiannya kepingan getah itu dijemur supaya benar-benar kering. Hanya yang kering sahaja akan dijual.
Hasil torehan ibu saya hanya dua keping sahaja sehari. Tolak hujan dan cuti adalah sekitar 40 keping sebulan. Getah keping itu mungkin menghasilkan sekitar RM80.00 sebulan. Ibu saya tidak mengambil kesemua hasil jualan getah itu. Sebahagian lagi di serahkan kepada bapa mertuanya, datuk saya. Ibu akan menggunakan wang itu untuk makan minum kami. D atuk juga berbelanja mengikut kegemarannya. Kadang-kadang ada kerencaman makanan, gabungan pembelian ibu saya dan datuk saya.
Saya baisa memetik buah kopi masak yang memenatkan. Buah yang merah dipetik sebiji-sebiji. Tidak boleh dilurut atau disiat rentap begitu sahaja dari tangkainya. Rosak pokok dan merajuk hingga melawas buahnya. Melawas bermaksud kurang dan jarang berbuah. Buah yang gugur perlu dikutip. Kerja yang memenatkan lagi. Ada pula kopi tahi musang. Kononnya kopi jenis ini mahal harganya. Kopi tahi musang ialah buah kopi yang dimakan musang. Biji kopinya tidak hadham dan keluarlah dalam bentuk biji. Selalunya kopi ini dibiarkan kena hujan dan panas. Bila sudah bersih baru dipungut. Pada tahun 60an, setin besar kopi kira-kira RM4.00. Jika rajin Buah kopi direndam hinga lembut. Ditumbuk sepaya bijinya terpisah dari kulit. Dibasuh dan dikeringkan. Biji kopi kering lebih mahal harganya.
Untuk minum kopi, biji kopi digoreng kering hingga garing dan hangus. Lalu ditumbuk dengan lesung batu. Kasar jadinya. Tidak halus seperti dimesin sekarang. Kopi yang kasar itu dibuat air kopi. Kami orang Jawa menggelarkannya sebagai kopi 'gabres'. Kenapa ya? Bila diminum, akan ada kopi yang melekat di bibir. Bibir yang comot itulah namanya 'gabres'. Lucu juga bila mengingat kopi 'gabres' ni.
Kadang-kadang saya memungut buah pinang yang gugur. Saya belah dan keringkan. Isinya longkah setelah kering. Isinya dijual kepada peraih yang ada di kampung saya. Pada waktu yang lain saya mengambil upah mencungkil kelapa kering yang sudah disalai. Kebetulan jiran saya ada salai kelapa. Bila kelapa banyak, banyaklah sedikit upah yang saya dapat. Kerjanya ringan bukan berat. Upahnya juga ringan. Entah berapa sen, saya tidak dapat mengingatnya lagi. Apa yang saya ingt ialah setiap wang yang saya dapat saya serahkan kepada ibu. Macam mana dugunakan wang itu, saya tidak pernah mengambil tahu. Mungkin Hari Rayalah saya dapat habuannya.
InsaAllah akan bersambung.
No comments:
Post a Comment