Sunday, March 24, 2013

Salam dari Amman Jordan: Petra – Kejutan Tamadun

Ini adalah selekoh terakhir sebelum dapat diintai sejarah zaman lampau yang membentuk Petra.

Seperti sebuah tingkap yang terbuka. Di sebaliknya sebuah binaan besar. Pintu utamanya seperti sebuah pintu gerbang layaknya.

Bagaimana bangunan ini melekat di dinding gunung. Itu persepsi pertama. Besar pula saiznya.

Rupanya binaan ini dipahat pada dinding gunung yang besar. Indah warna batu-batannya. Menyembunyikan banyak rahsia yang sukar disingkap.
Berada di sini bukan diminta. Secara kebetulan yang datangnya bersama zaman juga.

Belum ada yang dapat mengungkapkan kata-kata yang dapat memindahkan keindahan bangunan al-Khazinah ini kepada perkataan, atau bait-bait puisi. Keberadaannya melampaui keindahan kata bicara manusia.  

Bandingkan saiz manusia dengan saiz binaan ini. Nisbahnya terlalu besar. Lalu bagaimana mereka membuatnya? Itulah pertanyaan yang selalu sukar dijawab dengan tepat. 

Hiasan di atas pintu besar. Berukir seni. Hebat dengan sendirinya.

Ketelitian yang mencabar keindahan itu sendiri. Ahli yang sukar ditandingi.

Cerah disinari cahaya matahari. Menyerlahkan warnanya.

Pintu utama masuk ke dalam. Sayangnya ia ditutup untuk kerja-kerja baikpulih.

Muhammad dari Russia bergaya menunggang unta. Tidak bergerak. Aksi sahaja.

Dilihat dari sudut kanan yang suram.

Dataran ini dibiarkan dengan sejarahnya. Dengan zamannya. Dengan keasliannya. Biar orang sekarang menginsafi bahawa orang dahulu banyak juga kemajuannya yang sepadan dengan mereka. Sesuai dengan keperluan mereka ketika itu. Binaan mereka melepasi zaman yang panjang. Bangunan dan binaan kita sekadar  menjulang tanpa ketahanan. Tanpa mencecah zaman yang panjang. Runtuhnya menjadi-jadi. Kualitinya selalu dipertikai. 


Lorong yang kami ikuti dari luar tadi akhirnya sampai di akhirnya. Dari perut gunung kami keluar ke dunia yang berlainan. Dari lorong panjang tadi kami tidak tahu apa yang akan kami temui di hujung lorong. Walaupun maklumat dicari kami hanya mendapat cebisan maklumat yang belum jelas. Lorong sempit yang kami lalui tadi tidak memberikan apa-apa maklumat sahih. Tembok dan batu hanya manifestasi suatu fakta hakiki bahawa ianya pernah dilalui pada suatu zaman yang terdahulu. Lorong itu masih digunakan untuk menuntut pengertian bahawa manusia masih memerlukan jalan untuk membawa mereka ke suatu arah harapan mereka sendiri. Lain manusia lain arah tujunya. Lain kelompok manusia lain arah  tujuannya. Yang kelihatan sekarang ialah lorong yang penuh dengan manusia yang kagum dengan manusia terdahulu yang mampu membina tamadun. Pada ketika yang sama orang dahulu tentu kagum dengan tamadun yang kita bina. Hanya zaman yang memisahkan antara yang dahulu dengan yang kemudian. Fungsinya tetap sama. Yang penting ialah mereka yang bertaqwa. Yang lain tidak relevan di sisi Allah. Mereka yang bertaqwa memilik peluang yang banyak untuk membawa diri mereka ke darjat yang lebih tinggi.
Saya teringat cerita Hollywood, Indiana Jones. Dari celah-celah gunung mereka menemui jalan keluar yang terbentang luas.  Lorong yang baru dilalui mengingatkan saya tentang filem kungfu Hong Kong atau Taiwan tentang pejuang-pejuang yang melalui lorong-lorong sempit untuk mengalahkan satu sama lain. Dalam kehidupan orang Anbat lorong itu telah menyelamatkan hidup mereka. Kerajaan mereka. Tamadun mereka. Di hujung lorong yang kekal di tengah gunung tepampang sebuah binaan purba. Bukan di dunia yang terbuka. Binaannya terlekat di tembok gunung. Di permukaan gunung. Tinggi yang banyak tanyanya pada minda yang kurang arif. Hanya suatu kejutan suara, “Tingginya!”.  Di hadapan suatu kawasan yang tidak berapa besar binaan itu tersergam dengan sendirinya. Tiada banguan lain yang berhampiran. Tiada di kanan atau di kiri. Tiada di hadapannya. Hanya itu satu-satunya binaan yang mencabar zaman. Dataran sebesar padang bola disinari matahari siang. Tiada pokok dan tiada taman. Yang ada hanya pasir dan batu halus. Dalam imej yang saya bina, di situ dahulu berbaris pengawal dan pembesar Anbat meraikan raja mereka. Menerima tetamu dari luar. Pusat kawalan ke bandar purba Petra. Darinya cukai dipungut. Pedagang di periksa. Di situlah aktiviti Petra bermula.
Dunia seperti terbelah kali pertama melihat binaan al-Khazinah. Atau mungkin juga khazanah dalam bahasa Melayu. Dahulunya di situ pusat pentadbiran, mahkamah dan akhirnya dijadikan perkuburan di-raja mereka. Bayangkan sebuah binaan yang lebarnya 30m dan tingginya 43m. Bangunannya tidak ada. Yang nampak hanya pintu masuknya. Hanya teresnya. Hanya tiang-tiang yang dibina cantik berukir dan berseni indah. Pada pintu gerbang ini terakam segala keindahan senibina orang Anbat yang menerapkan  senibina orang Hellenistik, Alexandrian Hellenestik, Mesir dan Roman. Untuk mata setengah orang ianya binaan Roman. Bagi ahli arkeologi ianya dapat dibaca dengan jelas. Banyak tanda-tanda gabungan berbagai budaya. Maknanya orang Anbat membina seni mereka sendiri yang sangat seni. Selama lebih 2,000 tahun tiada bangsa lain yang dapat menandingi tamadun yang mereka bina. Tamadun pergunungan yang tiada persamaannya di mana-mana di dunia. Seperti selalu kita rasa banyak malangnya tamadun yang tidak berkekalan. Jika kita toleh ke kanan dan ke kiri, tamadun Islam yang dijaga rapi boleh kekal hingga kiamat.  Syaratnya jaga iman, jaga Islam dan laksanakan semua suruhan dan tinggalkan semua larangan.
Orang Anbat bukan jenis orang yang terlalu bangga dengan budaya sendiri sehingga menolak budaya orang lain. Menepis pengaruh orang lain. Tidak pula mereka membuang budaya mereka sendiri. Tidak pula menyisih milik sendiri kerana terpengaruh dengan budaya orang lain. Petra  menyerlahkan suatu himpunan budaya yang berbagai. Budaya yang tercanai sebenarnya lebih memberi kejutan minda, kejutan mata dan kejutan budaya. Di sebuah tempat yang tersorok di celah gunung terbina tamadun berbagai budaya. Mereka keluar merantau dan berniaga. Mereka keluar memerintah ke merata kawasan. Yang mereka bawa pulang bukan sahaja khazanah harta bahkan juga khazanah seni.  Tamadun mereka ditokoktambah untuk diperkayakannya. Diperhalusi. Diberi nafas baru. Maka terjadilah suatu realiti yang indah pada zamannya. Juga pada zaman selepasnya. Kita yang tertinggal zaman ini masih mengkagumi keindahan senibinanya.  Rasanya tiada orang sekarang yang ingin terfikir untuk membina tamadun di celah gunung. Di perut gunung. Dunia ini luas untuk dipilih sebagai tempat yang lebih indah.  
Senibina Petra tentulah lambang pemikiran pada zaman itu. Pilihan mereka adalah yang terbaik ketika itu. Mereka dianggap bertuah menemui celah-celah gunung yang boleh dibina tamadun. Ruang untuk dijadikan markas sudah terbina. Ruang untuk berniaga dan berdagang sudah tersedia. Ruang untuk mengawal keadaan keselamatan dan kesejahteran sudah siap untuk terus diguna. Yang diperlukan ialah susunatur. Senireka untuk mentadbir sebuah kawasan yang akhirnya menjadi pusat pemerintahan sebuah empayar yang besar dan gagah. Kita rasa taajub kerana kita berfikir cara kita. Mereka berfikir cara mereka pada ketika itu. Semasa keperluan mereka mendesak begitu.  Mereka gunakan sumber yang ada pada mereka untuk membina tamadun mereka. Dari ketua hinggalah rakyat jelata berperanan membina tamadun itu. Sumber kewangan dan kemudahan digembeling hingga akhirnya terbina segala yang diperlukan. Semua yang diperlukan untuk mentadbir suatu tamadun. Begitulah bangsa yang banyak berfikir, banyak mencari akal, banyak memberi input menghasilkan banyak output untuk membina kelebihan pada dirinya, pada bangsanya.
Petra menemukan saya dengan diri saya sendiri. Kembara yang tiada hentinya memberi ruang untuk banyak berfikir. Untuk banyak melontarkan idea. Bahawa kita sebenarnya pengembara zaman. Yang melintas di hadapan mata. Mencabar minda. Yang memfanakan mata dan perasaan. Banyak yang dilihat lebih banyak yang ditanya dan perlukan jawapan. Ke mana sebenarnya kita hendak pergi. Dari mana kita datang. Jika kita kata kita hendak ke hadapan, sejak dari dahulu lagi semua orang berkata begitu. Pada hakikatnya kita tetap berada di tempat yang sama. Kita hanya berputar dalam lingkungan yang sama. Bahawa yang diangkat dari kita adalah darjat kita. Yang dilihat ialah taqwa kita. Kayu ukurnya bukan tamadun semata-mata. Benchmarknya bukan kemajuan sahaja. Tiada yang lain seperti pesan Luqman al-Hakim kepada anak lelakinya, “Sembahlah Allah dan jangan kamu mensyirikkanNya.” Begitulah mafhum firman Allah di dalam al-Quran. Dari seorang bapa kepada anak yang menjadi pewaris zamannya. Dari seorang ketua keluarga kepada ahlinya. Itu yang kekal dari dunia hingga ke akhirat. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment