Sunday, March 24, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Keindahan Yang Menyampah Sampah

Saya teringat kembali kata-kata indah Muhammad Abduh. Dia melihat Islam di barat tanpa ada orang Islam. Di negaranya dia melihat orang Islam tetapi Islamnya tidak kelihatan. Banyak kali ungkapan itu disebut dan diulang. Pengalaman berada di beberapa negara menyedarkan saya bahawa kata-kata Muhammad Abduh terlalu benarnya. Tidak ada yang salah. Maksudnya bukan merangkumi semua perkara. Bukan akidah atau akhlak.  Bukan ibadat. Yang dimaksudkan ialah amalan kebersihan. Amalan yang dituntut bahawa menjaganya menjadi sebahagian daripada iman. Berada di negara maju lain impaknya sementara berada di negara yang belum mencapai taraf maju lain pula kesannya. Pendidikan menjaga alam sekitar di negara kita sangat baru. Masih ramai yang tidak memahami tuntutannya. Kepada mereka menjaga alam sekitar adalah berkaitan dengan keceriaan dan kecantikan. Ada benarnya. Tetapi tidak ramai yang tahu tuntutannya yang sebenar. Prosesnya, prosedurnya, sistemnya, programnya, peraturannya, undang-undangnya dan hukum-hakamnya. Orang Islam pula tahu istilahnya tetapi tidak ramai yang mengetahui perincian sebenar untuk merealisasikan tuntutannya.
Ketika saya menulis entry ini saya berada di Mesir. Di sebuah tempat yang bernama Nasar City. Sebahagian dari kota metropolitan Kahaerah. Tempat banyaknya bermukim pelajar Malaysia dari semua negeri yang belajar di Universiti Al-Azhar. Bukan di induknya Jamiah Al-Azhar  tetapi cawangannya.  Ketibaan saya dan isteri di lapanganterbang bukan sahaja disambut oleh anak lelaki saya dan teman-temannya malah disambut juga oleh ribut pasir yang menggelapkan seluruh Kaherah. Gelap pekat. Menguning seluruh suasana. Malah ketika kapalterbang hendak mendarat kekuningan suasana itu sudah terlihat dari udara. Di Amman saya belum pernah mengalaminya walaupun dikatakan ianya biasa berlaku. Ribut pasir adalah  sebahagian dari kehidupan mereka yang berada berhampiran padang pasir. Apatah lagi padang pasir yang besar seperti Sahara. Cuma kadang-kadang kita selalu terkeliru mengambil bahasa Arab ke dalam bahasa kita. Sama ada maknanya menjadi berbeza atau mengulang-ulang makna yang sama. Gurun kepada bahasa Arab ialah sahara. Maknanya Gurun Sahara ialah gurun-gurun. Jamik ialah masjid. Maka masjid jamik ialah masjid-masjid. Tidak mengapalah kerana bahasa itu sudah menjadi bahasa kita. Kita seharusnya menerimanya seadanya.
Sebenarnya dari celah-celah kesuraman ribut pasir saya melihat sesuatu yang selalu menyesakkan pemikiran. Menyesakkan nafas. Membisakan mata memandang. Ada masanya memilukan. Di negara yang belum maju terlalu banyak kurang ilmu mengurus barang buangan. Khususnya yang istilahnya sampah. Fenomena negatif ini saya lihat di Jordan dan di Mesir. Mungkin di banyak negara lain seperti di Afrika. Masalahnya ialah apabila sampah dianggap sampah maka selagi itulah kita tidak peduli dengan sampah. Kita menyampah dengan sampah tetapi kita tidak bertindak sesuai dengan sifatnya yang bernama sampah. Di negara maju sampah diurus seperti semua urusan penting. Urusan perlu. Mungkin urusan istimewa. Kita tidak pernah melihat sampah sebagai ruang dan peluang yang mendatangkan natijah. Sampah dilihat sebagai sampah yang tidak mahu dilihat tetapi tidak menguruskannya dengan istiqamah. Dengan kepekaan yang tinggi. Tidak memikirkan mudarat atau kebaikan sampah.
Di USA dan Canada sampah dijadikan sesuatu yang agendanya besar. Perkataan dan istilah sampah wujud sahih dalam kamus hidup mereka. Tetapi mereka tidak ingin melihat sampah. Semua yang namanya sampah diurus supaya tiada. Supaya tidak dilihat sebagai sampah. Supaya tidak ada orang yang jijik melihat sampah. Supaya tidak menyampah melihat yang namanya sampah. Maka semuanya diurus dari rumah. Anak-anak kecil dididik mengurus sampah. Ibu bapa memgambil peranan sebagai guru awal untuk membantu anak-anak mengurus sampah. Di sekolah urusan itu dipertingkatkan. Di luar rumah dan sekolah, orang dewasa memperakhlakkan diri mereka supaya sentiasa bersedia mengurus sampah walau apa sekalipun bentuknya. Tiada siapa yang boleh bertolerensi dengan sampah. Disebut dan dibaca tetapi tidak ingin dilihat. Di Jepun umpamanya debu dijalanraya ingin disapu dan dibersihkan. Ketika kenderaan melaluinya berterbanganlah debu untuk dihidu secara bukan hak. Menyesakkan hidung, telinga, mata dan paru-paru. Hinggap pada makanan dan semua keperluan manusia. Pengurusan sampah membawa kepada pemikiran yang lebih berwawasan. Sampah menjadi bahan menambak laut. Memperluaskan kawasan penempatan manusia. Maknanya sampah perlu dirawat. Dimanfaatkan supaya sampah bukan sampah. Tidak menjadikan manusia menyampah kerananya.
Saya membuat ukuran yang mungkin ekstreme. Selagi kita belum mampu mengurus sampah maka kita sebenarnya belum maju. Pemikiran kita belum maju. Sikap dan sifat kita belum cemerlang. Maaflah. Saya mohon maaf. Orang yang paling kurang mengurus sampah adalah orang Islam. Walaupun ada negara bukan Islam yang tidak terurus sampahnya tetapi saya sebut orang Islam sebab kita diajar oleh Allah dan Rasulnya supaya mencintai kebersihan. Kita diajar supaya bersih. Iman kita ada nisbah bersih. Dari kecil kita dididik supaya bersih, suci dan memilih yang halal. Kita tahu najis dan tahap-tahapnya. Malangnya kata-kata Muhammad Abduh tidak dijadikan agenda dalam pendidikan Islam. Tidak dijadikan mengurus Islam dalam konteks praktikalnya. Al-Quran yang mengandungi 114 surah dan 6,236 ayat memperincikan seluruh kehidupan manusia. Hatta mengurus najis besar dan yang kecil. Mungkin dalam pendidikan Islam kebersihan tidak difokuskan hanya untuk solat, pakaian untuk solat, tempat solat atau mensucikan diri dari hadas besar sahaja. Bagaimana mengurus kebersihan menjadi matapelajaran yang penting. Di situ direntas akidah, ibadat, akhlak, sains, kesihatan, pemikiran dan kematangan mengurus Islam secara keseluruhannya.
Saya seperti tertemplak sendiri apabila melihat sampah. Kenapa tidak ramai yang boleh menguruskannya. Di negara kita sendiri sampah bukan agenda penting rakyat. Yang memandang sepi tentang sampah masih terlalu ramai. Sampah dibuang ke mana-mana ruang yang ada. Seolah-olah dunia ini adalah tong sampah besar. Mereka serahkan kepada alam untuk mengurunkannya. Jika hal yang sekecil sampah tidak dapat kita urus maka kita sukar mengurus pembangunan insan. Apalagi insan Islamiah. Pemikiran kita selalu mencari jalan pintas. Jalan mencari helah. Jalan mudah memberikannya kepada orang lain. Kita lepas tangan seolah-olah itu bukan urusan kita. Pernah dengar ungkapan ini, “Kubur kita lain-lain.” Benar. Memang benar. Masalahnya kubur kita orang lain yang tolong gali. Orang lain yang masukkan kita ke liang lahad. Orang lain yang hadapkan kita ke qiblat. Orang lain yang tolong kambus. Orang lain yang tolong pijak dan ratakan. Orang lain yang tolong pacakkan nisan. Orang lain yang bacakan talqin. Sebelum itu orang lain tolong mandikan. Orang lain tolong kafankan. Orang lain tolong belikan kain kafan dan keperluan mengkafankan kita.  Orang lain tolong solatkan. Orang lain tolong usung ke tanah perkuburan. Dalam hidup kita, kita tidak boleh menafikan peranan orang lain terhadap kita. Mereka yang mengurus mati kita hingga selesai. Kubur sahaja yang lain-lain. Itupun bersebelahan orang lain yang dahulu semasa hidupnya kita nafikan nasihatnya. Kita nafikan tunjuk ajarnya.
Dalam usaha memajukan negara kita tidak boleh lupa mengurus hal-hal yang penting walaupun dalam bentuk sekecil sampah. Mungkin sekadar puntung rokok. Mungkin hanya sebatang pencungkil gigi. Atau sekecil keratan kuku. Sampah adalah sampah. Jangan pula ianya dijadikan bahan yang menjadikan kita menyampah. Jika meluat memandangnya maka uruslah. Jika jijik memandangnya maka uruslah sebaiknya. Jika benci maka tiadakanlah. Jika semua orang memainkan peranan maka sampah akan menjadi sesuatu yang indah pada nama tetapi sukar menatapnya dalam bentuk sampah. Kita tukar menjadi bentuk-bentuk yang bermanfaat kepada manusia. Sampah yang menjadi baja. Sampah yang menjadi bahan arka. Sampah yang menciptakan nilai seni. Sampah boleh dimanfaatkan. Uruslah dengan bijaksana. Majulah dengan bijak mengurus sampah. Ayuh mulakan dari rumah. Mulakan dengan anak-anak dan adik-adik dahulu supaya mereka membesar sebagai warga yang pandai mengurus sampah. InsyaAllah orang Islam adalah pengurus sampah yang paling cekap.

No comments:

Post a Comment