Sunday, March 24, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Benarkah Pengalaman Sarat Isinya?

Pengalaman selalunya berkaitan dengan penggunaan pancaindera. Sarat atau tidak pengalaman kita dilihat apabila kita bertindak dalam sesuatu situasi. Menyelesaikan masalah atau membuat keputusan. Atau kemungkinan kita memberi input-input yang berbeza dengan orang lain. Di situlah orang akan perasaan kelainan kita. Perbezaan kita. Sama ada kita terkehadapan atau di belakang orang lain. Sama kita statik atau dinamik. Sama ada kita syarieyah atau hurriyyah. Mencari kebebasan tanpa batas apa-apa. Semua orang memiliki pengalaman yang berbagai. Jarang yang menggunkannya sepenuh kapasiti. Kita selalu menyimpan pengalaman kita hingga kadang-kadang pengalaman itu lapuk begitu sahaja. Tidak dimanfaatkan dan tidak bermanfaat. Hatta kepada diri kita sendiri. Apabila kita mengalami sesuatu, elok kita kongsikan dengan orang lain. Mungkin dengan bercerita secara lisan. Atau ditulis untuk diulang baca. Untuk menjadi rujukan apabila ada waktu senggang. Ada kemungkinan orang  kita suka menyimpan. Menyimpan harta tidak menyimpan laba. Menyimpan pengalaman melupuskannya begitu sahaja. Tiada siapa yang menerima manfaatnya. Biar sedikit ada manfaatnya. Biar kecil banyak manfaatnya. Biar murah ada manfaatnya.
Pengalaman menambahkan ilmu. Menambahkan maklumat. Menambahkan alternatif untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Praktik dan amalan yang menyatu dalam kehidupan pada hari-hari yang akan datang. Ilmu teori penting untuk memahami sesuatu maksud, proses, prosedur dan sesuatu input yang dijangka. Pengalaman akan memperhalus akal budi kita. Finetuning. Integrating. Synchronising. Semua input yang terpisah dan terpencil menyatu dalam pengalaman yang lestari. Baru dapat melihat bahawa sistem bukan hal-hal yang terpencil. Bukan terpisah antara satu sama lain. Bahawa teori hanya hal umum yang perlukan ubahsuaian mengikut premis yang dibina. Mengikut acuan yang diperlukan. Mengikut input yang dijangka. Pengalamanlah yang menentukan kemahiran yang tinggi. Kecekapan yang dianggap effisyien. Berkesan dari segi masa dan kos. Inputnya maksimum. Dalam melestarikan pengalaman pancaindera menjadi alat input yang penting. Mereka yang melatih pancainderanya dengan berkesan dapat memaksimumkan input dan output yang diperlukan.
Dalam pada itu kapasiti kita berfikir perlu dijana dan diperkembangkan. Dibangunkan supaya tiada kejumudannya. Orang-orang yang jumud pemikirannya menjadi kayu mati. Sukar menerima perubahan. Tidak mahu berubah. Keadaan sekeliling yang berubah menjadikannya mati. Wujudnya tidak lagi memberi warna dan erti kepada persekitarannya. Pemikiran adalah alat memperhalus input dan output. Akal budi kita perlu dihiasi dengan keindahan berfikir. Kritis. Inovatif. Melahirkan output yang lebih baik dari sebelumnya. Lebih praktikal dan lebih ekonomikal. Namun jika ingin ke hadapan tidak pula boleh terlalu pantas tanpa melatih orang lain untuk bergerak pantas. Apabila kita pantas perlu ada orang yang seiring pantasnya dengan kita. Kepantasan perlu dilakukan mengikut darjah yang semakin pantas. Ada rentak yang dimulakan supaya akhirnya menjadi pantas. Perlu dibiasakan supaya berpantas-pantasan. Melambat-lambatkan perjalanan hanya melemahkan akhirnya.
Untuk berubah kita perlu banyak belajar. Meinginsafi bahawa kita perlu berubah. Bahawa setiap benda melalui fasa-fasa perubahan. Teknologi berubah. Ianya mengubah kehidupan manusia. Bagaimana manusia berubah kerananya. Mereka yang tidak mengikuti perubahan tidak berubah. Mereka yang tidak berubah berada di persimpangan yang membingungkan. Yang menjadikannya kehilangan kemanisan hidup. Persekitarannya tidak lagi membahagiakan. Kebahagian menjadi sumber kesejahteraan. Ianya berkait dengan perasaan puas dan selesa. Ada hubungan dengan pancandera. Kerana itu kita hendaklah bijak melatih pancaindera. Semua sumber input diaktifkan. Disegerakkan supaya input-input yang berkualiti disaring dan diadun menjadikan diri kita tersantun tinggi darjahnya.
Kita harus selalu melihat ke dalam diri kita. Melihat ke dalam diri yang banyak kosongnya. Banyak ruang-ruang yang menuntut untuk diisi. Bila kita rajin melihat ke dalam kita akan sedar bahawa dalam diri kita banyak kurangnya. Diri kita banyak kosongnya. Kerana itu biasakan untuk melihat ke dalam bagi mengisinya dengan input-input yang bermanfaat. Kita tidak boleh statik dengan sesuatu yang kita miliki.  Banyak kemungkinannya kita akan diasak ke tepi kerana kita bukan lagi di laluan perdana. Di laluan utama. Kita berada di jalan sisi yang tidak diperlukan lagi. Sebenarnya proses belajar tidak ada hentinya. Apabila persekitaran kita berubah kita perlu berubah sepantas perubahan itu. Paling baik ialah orang yang memulakan perubahan. Orang lain yang mengikut kita. Kita menjadi penggerak dan penjana perubahan. Kita di hadapan dan bukan di belakang. Kita memimpin orang lain. Lagi pantas lebih baik. Orang melihat kita bukan yang ditinggal di belakang dan tidak lagi dipedulikan. Maaf, mereka yang di belakang tidak ada yang memerlukannya. Orang tahu kehadiran kita tetapi tiada siapa yang lagi perlukan kita. Kita menjadi orang yang layak ditinggalkan.
Kita akur dengan ketentuan Allah. Allah Maha Mengetahui. Ketentuan Allah menjadikan kita seperti kita. Menerima seadanya mengikut qada’ dan qadarNya. Namun begitu kita masih diberi peluang untuk berdoa. Memohon hajat yang dihajati. Ingin memenuhi hasrat yang besar. keinginan yang tinggi. Memohon keredhaanNya. Allah mengetahui agenda kita. Kita pula mengusahakan agenda yang ingin kita capai. Manusia seperti kita besar agendanya. Hingga kadang-kadang kita sendiri lupa apa sebenarnya agenda yang ingin kita capai. Ia perlukan urutan. Ianya menuntut pengupayaan yang tinggi. Pada hakikatnya Allah memberi qadar yang sesuai dengan kita. Berlainan antara satu sama lain. Darjahnya berbeza. Banyaknya berbeza. kita melihat diri kita bukan berada di puncak. Bukan di atas. Bukan di kalangan mereka yang kaya atau mewah. Tetapi apabila kita pandang ke bawah, sebenarnya terlalu ramai orang yang berada di bawah kita. Serba kekurangan. Tidak berada. Hidup yang susah dan payah untuk menampung hidup diri dan keluarga.   
Kita selalu iri kerana kekurangan kita. Kita lupa bahawa ramai orang lain iri dengan apa yang kita miliki. Orang di bawah kita tidak melihat orang di atas kita. Kita melindungi orang di atas kita. Yang mereka lihat ialah kita. Kita lebih dekat dengan mereka. Jika kita berupaya untuk redha dengan ketentuan Allah maka kita akan berada dalam kelompok antara mereka yang sejahtera hidupnya. Agenda yang tidak diketahui datangnya selalu mengejutkan kita. Tetapi apabila kita sudah mengagendakan diri, perubahan yang datang hanya peringatan. Tiada kejutan bahkan suatu nikmat yang perlu disyukuri. Untuk apa sudahnya diri kita jika bukan kerana Allah. Apabila kita selalu ingatkan Allah maka Allah lebih ingatkan kita. Syukur akan nikmatnya. Sabar dugaannya. Berdoa untuk yang baik-baik. Mohon yang hak sebagai hamba dan sebagai manusia. Banyak bertaubat kerana kesalahan kita terlau banyaknya. Beratkanlah pengalaman yang bermanfaat. Saratkan dengan kebaikan darinya. Pengalaman yang sarat perlu dilabuhkan di pelabuhan yang juga sarat. Perlu ada pengambilan pengalaman. Penggantian pengalaman. Memperkayakan pengalaman. Memperluaskan pengalaman. Fikirkan. Hendak menjadi orang biasa-biasa atau menjadi orang yang di luar dari kebiasaan. Antara keduanya banyak kelainannya.

No comments:

Post a Comment