Negara adalah sempadan-sempadan yang dibina secara politik. Malaysia dan Nusantara Melayu sangat luas pada suatu ketika dahulu. Begitu konsep Malaysia Raya. Sejarah manusia sangat panjang. Dalam abad ke-19 orang barat meneroka dunia baru mereka. Misi mereka ialah menjajah. Mengembangkan agama. Namun misi mereka ini tersembunyi dalam rangka mencari rempah yang sangat diperlukan di Barat. Maka terbukalah dunia baru bagi mereka. Pertama kali orang Portugis sampai di Melaka pada tahun 1509 mereka dipanggul Benggali Putih. Persamaan mereka dengan benggali mungkin dari segi jambang dan janggut serta misai mereka. Satu keturunan orang Arya yang menghuni arah barat seperti orang India, Arab dan orang barat yang lain. Berkulit putih, hidung mancung dan mata berwarna-warni. Begitu juga warna rambut mereka. Sebelum kedatangan Portugis orang India sedia ramai di Melaka. Dua watak yang sinonim dengan jatuhnya Melaka ialah Si Kitul dan Mandaliar. Kedatangan Portugis menambahkan parahnya kelemahan Melaka pada zaman Sultan Mahmud Shah itu. Bermulah episod penjajahan. British dan Belanda memandai-mandai sesama mereka membahagikan dunia Melayu menjadi jajahan mereka. Yang di utara Khatulistiwa diberikan kepada British. Yang di selatannya pula diambil oleh Belanda. Pandainya!
Berbagai helah dibuat oleh penjajah untuk memesongkan agama warga tempatan. Di Tanah Melayu keadaan agak berlainan. Hidup rakyat tidaklah terlalu miskin hingga mereka lupakan agama. Proses yang dilakukan penjajah tidak menjadi. Orang Melayu tetap teguh dengan agama Islam. Di bahagian lain nusantara keadaannya berlainan pula. Ramai yang beralih akidah kerana desakan ekonomi. Atau memang disebabkan agama kepada mereka bukan sesuatu yang hakiki. Peredaran zaman mengubah lanskap politik. Anak watan bangkit menuntut hak bernegara sendiri. Bukan mengibar bendera negara orang lain. Secara tidak disedari rupanya muslihat penjajah sangat licik dan halus. Pemimpin-pemimpin yang mendapat mandat penjajah kekal memakai baju penjajah. Mereka telah dididik menjiwai adat resam penjajah. Hati dan nurani mereka adalah bersalutkan penjajah. Beratus tahun Barat gagal mengubah lanskap agama di negara yang dijajahnya. Ada halangan budaya. Agama lain tidak dapat meresap masuk. Apabila negara-negara Islam khususnya diperintah oleh orang Islam sendiri keadaan mula berubah. Islam yang sebelum ini dijaga dengan rapi, mula dilonggarkan kawalannya. Orang mula leka dan tidak lagi terlalu ketat dengan hal ehwal agama. Andaiannya ialah orang kita sendiri yang menjaganya. Tidak mungkin mereka khianat. Tanggapan yang selalu salah.
Masyarakat mula leka dengan kemewahan, pembangunan dan kemajuan fizikal yang tidak disandarkan kepada akidah. Sedikit demi sedikit sistem berkeluarga dihakis. Sekarang kita melihat anak-anak yang membuang ibu dan bapa mereka ke rumah orang tua-tua. Rumah orang miskin. Rumah orang terbuang. Islam tidak pernah mengajar penganutnya supaya berbuat begitu. Sepatutnya mereka tidak terlebih ajar. Pahala dan ganjaran yang sangat besar memelihara orang tua. Ibu bapa sendiri. Tiada anak yang dapat membalas jasa kedua ibu dan bapanya. Terutamanya ibu. Mengandungkan, melahirkan dan menyusukan. Itu belum lagi merawat dan membesarkan. Berapa hendak dibayar khidmat seorang ibu umpamanya. RM100 sehari? Baiklah. Dari bayi hingga tamat IPT. Ketika berumur 24 tahun. 24 x 365 x 100 = RM876,000. Itu kos rawatan. Atau kos memelihara. Belum masuk makanan, barang mainan, hiburan, pakaian, pendidikan, kebajikan, kesihatan dan keraian. Jika masuk semua, cuba kira sendiri. Tergamakkah kita memberi RM100 sehari. Berapa upah mengandungkan kita. Berapa upah melahirkan. Bukan upah doktor. Upah menahan sakit yang hampir mencabut nyawa. Berapa harga susu ibu. Berapa nilai kehangatan pelukan ibu.
Sebab itu keluarga adalah asal mula sebuah negara. Di negara manapun keluarga adalah sumber kekuatan. Seorang ibu di zaman Rasulullah dahulu mengirimkan seorang anak lelakinya untuk berjuang bersama Baginda. Pemuda itu syahid. Dikirimkannya seorang lagi. Syahid juga. Dihantarnya anak lelakinya yang ketiga. Kesemuanya syahid. Dia menemui Rasulullah mengadukan halnya yang tidak memiliki lagi anak lelaki lain yang boleh berjuang bersama Rasulullah. Berjuang kerana Allah. Membela agama. Saya kira tiada seorang anak yang mampu berbuat begitu. Berkhidmat kepada kedua ibu dan bapanya apabila mereka tua. Syaratnya layanan secukupnya. Melayani karenahnya. Merawat ragamnya. Membantu ketidakupayaannya. Aduhai! Anak-anak yang soleh. Di mana kamu. Ibu bapa adalah tempat kita datang. Tempat usul kita. Tempat asal kita. Tanpa mereka kita tidak ada. Kerana itu kepada merekalah tumpahnya segala yang hak. Yang perlu. Tanpa kebaikan kepada kedua ibu dan bapa maka terputus tali keluarga yang turun temurun. Mesti ada hubungan terus antara anak dan induknya. Kita orang Timur. Berpegang kepada agama. Berpegang kepada keindahan berkeluarga. Keluarga kita besar. Bukan hanya kedua ibu dan bapa sahaja.
Orang di Barat sudah tidak lagi terikat kepada keluarga. Cukup masa mereka angkat kaki untuk menjalani kehidupan sendiri. Ada masanya mereka dihalau keluar oleh ibu bapa mereka sendiri kerana mereka layak hidup sendiri. Tentulah anak ini memberontak. Menjadi individu yang pendendam. Hubungan kekeluargaan terputus. Mereka hidup nafsi-nafsi. Keluarga sudah hilang dari kamus hidup mereka. Yang penting ialah mereka sebagai individu. Hidup bangun sendiri. Jatuh sendiri. Tidak ada yang lebih penting dari dirinya sebagai individu. Sistem bermasyarakat dan berkeluarga yang sudah tamat fungsinya. Budaya mereka sendiri yang menghancurkannya. Agama kepada mereka adat-adatan sahaja. Tidak lagi dijiwai. Hidup berkalana seperti orang Barat akhirnya menjelmakan perubahan sistem. Hedonism. Hiburan menjadi-jadi. Untuk menghibur. Hingga terlampau-lampau tanpa batasan lagi. Hidup dengan kebebasan yang tanpa batasan. Komersil menunjangi kehidupan mereka. Terciptalah pakaian (Fashion) tanpa menutup aurat yang dianggap maju. Tanpa mengauratkan pakaian. Makanan (Food) yang tidak pasti halalnya. Agama (Faith) yang punah. Hiburan (fiesta, festival) sepanjang masa. Banyak lagi yang menyerap budaya Melayu dan Islam seperti di Malaysia. Itu belum lagi kebebesan (Freedom). Mereka menciplak gagasan songsang tajaan Hak Asasi manusia.
Barangkali perlu diperhati dengan hati yang berlapang dada. Banyak hal yang condong ke kiri dihubungkaitkian dengan wanita. Wanita menjadi objek komersil dan objek yang mencondongkan budaya ke kiri. Budaya yang memperluas kebobrokan budaya. Malangnya ramai wanita tidak pernah sedar yang diri mereka diperalatkan. Dipermangsakan. Sebaliknya mereka bangga diperosokkan ke sudut yang tidak lurus jalannya. Sekatan dan halangan sudah tidak dapat dibuat lagi apabila pemimpin yang mendokong banyak aktiviti sebegitu. Anak-anak Islam menangis kerana gagal menyanyi dalam hiburan realiti. Realiti kekosongan agama dan akidah tidak ditangisi. Solat yang belum banyak betulnya tidak diraung dengan tangisan yang kuat. Tidak galak dengan al-Quran seperti mereka menyanyi di pentas dan di media elektronik. Waktu solat yang dipadam kerana sukan dan hiburan. Waktu mendengar tazkirah yang dihapus kerana konsert. Kita melahirkan individu yang berilmu tetapi tidak dapat diharap ilmunya. Berpendidikan yang tidak dapat mendidik. Sifat, sikap, amalan, budaya, politik, kepercayaan, falsafah hidup, masa hadapan yang seperti kelam jika tidak ada pemimpin yang dapat mengembalikan hidup berkeluarga. Hidup yang penuh dengan syariah.
No comments:
Post a Comment