Sunday, March 24, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Pokok Condong Mengejar Matahari

 
Semasa kita bersekolah dahulu kita belajar subjek Sains. Semua diarahkan membuat kajian tentang biji benih. Mungkin hingga sekarang senario itu tidak berubah. Maaf. Lama tidak ke sekolah. Kita diberitahu oleh guru bahawa semua tumbuhan perlukan air, cahaya dan udara. Kita lihat biji benih kita setiap hari. Hinggalah ia mencambah, membesar dan percubaan itu memberikan suatu erti kepada kita bahawa semua tumbuhan dan kehidupan memerlukan air, cahaya dan udara. Tanpa mana-mana elemen itu tiada kehidupan yang boleh kita temui. Begitulah di tempat-tempat yang gelap tiada pokok. Di tempat yang tiada udara tiada pokok. Di tempat yang tiada air tiada pokok. Walaupun bumi ini diliputi kira-kira 70% air, tidak semua tempat yang berair muka buminya. Matahari di negara kita tegak di atas kepada.  Di negara orang matahari mungkin di selatan. Di negara yang lain matahari di utara. Kita pasti dengan hal kita sendiri. Kita tidak tahu keadaan di negara orang. Antara pengalaman yang sangat berharga pada saya ialah saya peka dengan keadaan orang. Pada sesebuah negara itu ada sensitiviti agama, polotik, adat resam, bangsa, kaum dan banyak lagi.
 Apabila kita merantau kita banyak melihat. Tentulah dengan mata. Namun melihat tidak boleh sekadar apa yang nampak. Yang tersurat atau tergambar. Yang terukir atau yang dipamerkan. Kita perlu banyak melihat yang tersirat kerana di sebalik yang tersurat itulah makna dan maksud. Di situlah intipati suatu erti yang selalu tidak dimengerti. Benarlah biarkan orang yang mengerti mencari maknanya. Tetapi jika kita tidak mengambil peranan maka kita menjadi orang yang tidak tahu. Jika kita tidak mengambil inisiatif maka kita menjadi orang yang ironis kepada orang lain. Kosong dalam menghadapi banyak elemen alam dan dunia yang mencabar. Perubahan yang dinamik. Yang selalu menuntut kepekaan yang tinggi. Apabila kita memerhati banyak yang  perlu diteliti. Dilihat dari sudut-sudut yang selalu tidak difikirkan orang. Ada masanya kita berfikir seperti orang lain. Pada masa yang lain kita harus menyalahi fikiran orang lain. Syaratnya apabila syara’ wajib lebih diutamakan. Bukan adat. Bukan ikut-ikutan.  Apabila kos perlu lebih difikirkan untuk mengimbangi pembaziran. Perbelanjaan yang bukan hak untuk menuntut redha Allah.
Manusia juga seperti makhluk lain. Semua diperlukan termasuk air, udara dan cahaya matahari. Selalu disyarahkan bahawa semjua makhluk bertasbih kepada Allah. Patuh dengan syariat dan sunnatullah. Berada di negara orang lebih memerlukan ketelitian memahami sunnatullah ini. Di negara kita sendiri terlalu selesa dengan keadaan sehingga kita tidak menginsafi kejadian yang Allah ciptakan di hadapan kita.  Biasa kita tanggap bahawa pokok yang tidak lagi bertunas semula adalah mati. Pokok yang kering adalah mati. Pokok yang tidak berdaun adalah mati. Pokok yang berguguran daunnya adalah mati. Begitu juga haiwan yan tidak kelihatan adalah pupus. Itulah yang menjadi kebiasaan kepada kita. Yang lazim kita alami. Hingga kita tidak pernah memikirkannya secara lain. Kita lupa paradoks alam yang Allah ciptakan supaya kita maklum kudrat dan iradat Allah.
Di negara yang beriklim sederhana alam ini dihadapi dengan keadaan yang berbeza. Musim yang berganti setiap tiga bulan memerlukan perancangan yang berbeza. Kebiasaan bukan bermakna merentas musim yang empat. Setiap musim ada keadaan yang tersendiri. Mereka yang tidak peka dengan perubahan keadaan itu menjadi mangsa keadaan. Paling menuntut kepekaan yang tinggi ialah pada musim sejuk. Di Malaysia kita selalu terpukul apabila datang musim sejuk. Hujan dan banjir yang menggenang air. Basah, becak dan berpalitan lumpur. Suhu yang sedikit rendah menyejukkan kita. Seolah-olah segala-galanya terhenti. Kita pakai yang tebal sedikit. Duduk menahan sejuk yang tidak seberapa. Aktiviti terhenti kesemuanya kecuali makan dan tidur. Semua itu tidak berlaku di negara beriklim sederhana. Musim sejuk bukan musim makan dan tidur. Pada musim sejuk banyak pepohon dan haiwan yang tidur. Bukan manusia. Tidak ada toleransi untuk tidak berbuat apa-apa.
Pada musim sejuk orang lebih banyak bekerja kerana sejuk meningkatkan fokus. Penghawa panas memberikan rasa selesa tanpa rimas dan peluh. Sekolah dibuka. Orang bekerja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Yang aktif bersukan. Salji yang sejuk dimanfaatkan dengan berbagai jenis sukan. Meluncur mereka naik dan turun. Gunung, bukit dan lembah direntasi. Sukan luar dan sukan dalaman. Semuanya untuk memanfaatkan keadaan. Menangisi keadaan hanya menjumudkan pemikiran. Mematikan semua inisiatif untuk hidup yang membahagiakan. Bykankah sejuk untuk dipanaskan. Bukankah panas untuk disejukkan. Antara keduanya, hadir nikmat yang besar nilainya kepada manusia.  Sebab itu orang Barat tidak merasa jemu dengan apa sahaja perubahan musim. Sayangnya mereka tidak terfikir kudrat Allah yang menciptakan segalanya. Orang kita pula memahami keadaan tetapi tidak mengambil manfaat darinya.
Pada musim sejuk haiwan melata bersembunyi entah di mana. Haiwan besar seperti beruang tidur sekehendak hati. Pada musim bunga semuanya bangun hidup kembali. Saya selalu terpegun melihat pokok anggur. Pada musim sejuk batangnya kering dan kelihatan seperti menggelupas. Senang kata mati. Tiada harapan untuk hidup. Dahannya kering. Rantingnya kering. Daunnya telah lama berguguran. Bunga dan buah memang tiada harapnya. Di akhir musim dingin pokok yang disangka mati rupanya menyerlahkan tunas baru. Dedaun yang menghijau merimbuni reranting. Masa untuk kembali hidup. memberi manfaat kepada alam. Mengambil semula peranan menghiasi alam indah bagi yang mengerti. Rehat lama musim dingin yang tamat dengan membuka semula manfaat untuk diulang-ulang lagi. Maknanya semua kejadian Allah mengikut fitrahnya. Sebab itu semuanya bertasbih mensucikan Allah. Tiada khilaf. Tiada tingkahnya. Hanya manusia sahaja yang banyak ragamnya. Perlu dididik dan ditarbiah. Perlu dibimbing ke jalan lurus.

No comments:

Post a Comment