Sunday, March 24, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Adakah Mimpi Itu Benar?

Ramai orang bermimpi. Kebanyakannya mimpi yang indah-indah belaka. Maka banyak dan jauhlah perjalanan mindanya mengingini seperti yang diimpikan. Ada orang tidak pernah bermimpi. Allah memberinya rezeki menerima anugerah yang tidak pernah diimpikan. Dalam banyak hal ramai orang yang bermimpi pada waktu-waktu tertentu. Walau bagaimanapun jangan ditakwil mimpi kerana kita manusia biasa yang bermimpi hanya sebagai mainan tidur. Tidak lebih dari itu. Mungkin apa yang berlaku seperti dalam mimpi. Namun kita tidak dapat mentafsir mimpi. Dalam sejarah manusia Nabi Yusof dapat mentadbir mimpi dengan izin Allah. Tadbiran mimpi itu menyelamatkan Mesir dari musim kemarau selama tujuh tahun. Nabi Ibrahim mimpinya sebagai wahyu Allah. Nabi Ismail anak kesayangannya perlu diqurbankan. Mimpi itu berubah natijahnya. Nabi Ismail digantikan dengan kibasy. Itulah amalan qurban yang terus menjadi amalan umat Islam semasa menyambut Eid al-Adha. Pada hari Nahar dan pada tiga hari Tasyrik berikutnya. Selama empat hari berturut-turut.
Syukur kepada Allah yang memberi banyak kemudahan kepada saya dan isteri. Kami diizinkan Allah untuk melihat dunia. Yang jauh dan dekat. Utara dan selatan. Timur dan barat. Saya rasakan pengalaman di USA dahulu kemuncak segala-galanya dalam hidup saya. Allah tidak menghentikan nikmatnya di situ untuk saya. Saya ke Canada pula. Cukup mengujakan. Terlalu banyak nikmat Allah untuk saya. Hingga bersara saya kira tidak banyak lagi yang namanya kembara. Lama bersara rasanya cukuplah mengira hari tua. Sesungguhnya perancangan Allah adalah hakNya. Bukan hak kita. Dalam usia 67 tahun saya jejak Jordan. Dalam perjalanan, saya singgah di Kuwait. Selalu sangat didengar namanya. Jejak juga kaki saya di buminya. Di Jordan sudah banyak tempat dijelajah. Laut Mati, Petra, Jarasy dan ‘Ajlun. 22 mac 2013 sebuah lagi bumi anbia yang saya jejaki. Ketika ini saya berada di Mesir. Baru petang tadi hari Sabtu 23 Mac saya ronda Souk Halili yang selalu disebut orang. Di Amman orang ke al-Balad. Di Mesir orang ke Halili. Panjang, luas dan banyak. Beberapa jam yang melenguhkan juga. Sempat solat Asar di Jamiah al-Azhar. Namanya berpuluh tahun telah saya ketahui. Hari ini saya sampai di universiti ulung ini. Kebetulan anak lelaki ke-8 saya sedang menuntut di sini. Kebetulan juga Souk Halili bersebelahan dengan Universiti al-Azhar. Serampang dua mata. Sekali pergi dapat menziarahi kedua-duanya. Alhamdulillah.
Berjalan sebegini jauh meninggalkan tanahair seperti mimpi yang tidak pernah termimpi. Mungkin pernah terlintas di hati. Tetapi ketika itu tidak pernah menyimpan hasrat kuat untuk sampai di Mesir. Berada di Kaherah seperti suatu kejutan besar pada diri saya dan isteri. Kami tidak merancang benar untuk berada di bumi Nabi Musa ini. Perancangan Allah untuk menemukan kami bumi yang penuh barakah ini. Alhamdulillah. Pengalaman lalu berada di negara orang membantu membawa diri. Apa yang perlu dimakan. Ke mana hendak ditinjau. Dan berbagai lagi yang ingin diteroka. Cuma hendak berjalan jauh atau banyak rasa tidak larat lagi. Bukan tidak hendak. Banyak inginnya. Rasanya melihat sedikit-sedikit sudah memadai. Yang banyak sebenarnya hanya ulangan yang sedikit. Ziarah yang ringkas ini menemukan saya dengan berbagai lagi ragam budaya manusia. Paling ketara apabila saya sampai ialah binaan bangunan di sini berbeza dengan Jordan. Di sana semua bangunan hanya satu warna. Warna batu yang asli. Tiada cat. Tiada lakaran. Batu dan warna batu. Binaannya rasa kukuh. Tidka tinggi. Di Jordan negaranya bergunung-ganang. Binaan bangunan dan jalanrayanya mengikut kontur atau mengikut lanskap yang ada. 
Di Kaherah banyak kelainannya. Tanahnya lebih rata. Jika ada yang saya lihat adalah bukit. Tidak banyak. Di Jordan banyak jalanraya yang sempit dan bengkang-bengkok. Di Kaherah pula seperti ada perancangan bandar. Keadaan seperti teratur. Jalanraya mengikut sistem grid. Kotak sana dan kotak di sini. Persediaan minda dan fizikal mesti kuat apabila berada di luar negara. Tenaga mesti banyak untuk banyak berjalan. Perasaan mesti kuat untuk melawan kejutan budaya. Kesabaran mesti tinggi untuk berhadapan dengan ragam manusia. Terlalu banyak yang dapat dilihat dalam perjalanan kira-kira tiga jam sahaja. Kaherah adalah bandar lama. Sejarah Firaun sahaja sudah melebihi 5,000 tahun. Sungai Nil yang terkenal kepada manusia dahulu dan sekarang menjadi tarikan manusia untuk menduduki tebingnya. Tanahnya subur. Pertaniannya menjadi. Kerana itu penduduk Mesir ramai berkampung di Kaherah. Rasany apenduduknya 28 juta. Seluruh penduduk Malaysia boleh tinggal di Kaherah sahaja. Tidka perlu mencari tempat lain atau rumah lain.
Boleh bayangkan di Kaherah yang penduduknya 28 juta tiada lampu isyarat di persimpangan jalanraya. Jika adapun hanya di beberapa tempat tertentu. Arah ke lapanganterbang umpamanya. Tempat lain di seluruh Kaherah yang besar  dan padat ini tidak ada lampu isyarat. Bagaimana hendak melintas. Hendak menyeberang. Boleh pembaca fikirkan. Bagi orang Kaherah lampu isyarat tidak penting. Yang penting ialah:
1  Sistem
2  Budaya
3  Perasaan
4  Keyakinan
5  Kebiasaan 
6  Keberanian

Polis ada di persimpangan jalan. Memerhati dan memantau. Sekali sekala membantu. Yang lainnya seraqhkan kepada pemandu. Apa yang saya perhatikan mungkin tidak terdaya kita lakukan di negara kita yang tercinta.

1  Berani mencelah ruang
2  Hon kereta atau apa sahaja kenderaan digunakan sepanjang masa. Minta laluan atau untuk   memberi amaran.
3  Setiap pemandu siap siaga menghadapi apa sahaja kemungkin.
4  Pemandu menjadi keras, berani, kasar dan kadang-kadang menuntut hak yang  bukan haknya. Umpamanya meter teksi menunjukkan 18J tetap yang dituntut mungkin 25J. Di  kalangan mereka ada yang memberi helah yang bukan-bukan.

Dalam pada itu ada pangajaran yang positif.

Pemandu bersedia memberi laluan kepada pemandu yang lain. Tidak menunjukkan kemarahan sehingga hendak berlanggaran. Setiap ruang kosong sedia direbut oleh mereka yang dahulu mendahului antara satu sama lain. Itu kehidupan mereka. Cara mereka. Kepada pejalan kaki lagilah seronoknya. Saya dan isteri tertunggu jika ada ruang. Sebuah MPV menunjukkan isyarat lintas sahaja. Saya faham maksudnya. Angkat tangan. Langkahkan kaki. Saya perhatikan semua kenderaan yang mengarah  kepada saya dan isteri memperlahankan kenderaan. Atau berhenti jika terlalu dekat. Orang tua-tua melintas tanpa rasa takut dirempuh atau digesel kenderaan. Apabila ada orang melintas jalan, kenderaan yang berhenti. Benar, lampu isyarat tidak ada. Apabila keadaan memerlukan bantuan polis, dia hanya perlu mengangkat tangan menghala kenderaan yang datang. Dia tidak perlu berdiri tegak. Tidak perlu menunjukkan rupa garang. Tidak perlu berkumis melintang seperti polis trafik di Malaysia. Tangannya diangkat sambil terus bersandar pada apa-apa tiang tempat dia membuat pemantauan. Pemandu-pemandu yang nampak negatif pada zahirnya itu, mematuhi arahan tangan yang seperti hendak tidak hendak. Kagum juga budaya yang sudah dibina dan terbina.

Melihat kebesaran Allah banyak menginsafkan. Di Malaysia umpamanya terlalu sukar untuk membina masjid dan surau. Halangan-halangan yang kadang-kadang seperti mengecilkan agenda agama. Kita dengar dan baca banyak masjid dan surau yang dirobohkan. Di Amman saya lihat masjid cukup banyak. Saya rasa sudah lebih dari mencukupi. Rupanya pengalaman saya belum cukup banyak. Di Kaherah masjid sangatlah banyak. Ada tempatnya masjid seperti bercantum antara satu sama lain. Sangat banyak. Besar-besar. Tinggi-tinggi. Tersergam menampakkan yang ianya memang binaan masjid. Menaranya kekal tinggi melebihi bangunan lain di sekelilingnya. saya tidak dapat mengira. Dalam perjalanan setengah jam dari Nasar City ke Halili Souq mungkin saya melihat lebih dari 30 buah masjid. Pada hari Jumaat masjid-masjid itu penuh dengan jemaah. Hari cuti yang dimanfaatkan. Hari Jumaat cuti hujung minggu.
 Dalam hidup kita banyak agenda yang bercabang-cabang natijahnya. Jarang kita dapat fokus untuk melaksanakan agenda diri yang benar-benar besar dan penting. Bahawa diri kita sebenarnya tidak dapat melaksanakan apapun tanpa izin Allah. Jika kita berusaha melakukan  yang terbaik untuk diri kita sendiri, insyaAllah memberi ganjaran yang tidak di sangka-sangka. Rezeki Allah datang dari berbagai penjuru. Penjuru-penjuru yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran kita. Allah mengaturnya dengan selesa. Kita mendapat yang selayaknya untuk kita. Cuma kita selalu diingatkan supaya sentiasa ingat kepada Allah. Allah akan memberi yang lebih banyak. Lebih baik dan lebih bermanfaat. Redha kita akan dibalas dengan redha Allah. Balasan Allah terlalu besar nilainya. Sebab itu jangan takut beramal. Jangat segan membantu. Jangan lambat berbuat baik. Allah memberi ganjaran besar untuk mereka yang ikhlas dalam amalnya.

4 comments:

  1. assalamualaikum...mungkin seperkara menarik lagi,
    di mesir,kalau bertanya arah jalan,tak perlu memberhentikan kereta atau bertanya kedai di tepi jalan,
    memadai bertanya antara kereta atau motor.saya juga perasan,mereka ada kepercayaan yang tinggi sesama mereka.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih banyak-banyak. Ziarah saya yang singkat mungkin tidak berpeluang untuk mengalami hal tersebut. Walau bagaimanapun saya pernah mengalaminya di USA dahulu. Yang uniknya pemandu lain sabar menunggu tanpa membunyikan hon. Merek menghormati dan meraikan urusan orang lain. Di negara kita banyak yang perlu diusahakan lagi.

    ReplyDelete
  3. Tepat sekali...itu juga noktah yang tidak berjaya benak saya ungkapkan...
    jujur saya katakan,penggunaan bahasa melayu dalam blog tuan sangat menarik pada amatan saya.susun atur ayatnya,ayat lama yang matang,punya suatu jati diri...mungkin boleh dikongsi di lain kala.:)

    ReplyDelete
  4. Maaflah. Saya orang lama. Bahasa yang saya guna merentasi tahun-tahun 50an hingga sekarang. Ada bahasa puitik dan ada bahasa teknikal. Jika teringin mulakan sejak muda. Saya mula sudah agak lambat. Tidak mengapa. Biar lambat asalkan sempat.

    ReplyDelete