Kita sudah terbiasa dengan sesuatu yang disangka
benar. Bila seorang lelaki bernikah ia menyangka bahawa makan dan minumnya
disediakan oleh isterinya. Sarapannya disediakan isteri. Tengaharinya dihidang
isteri. Petangnya disuap isteri. Malamnya disaji isteri. 24 jam disediakan
isteri. Suami seolah-olah raja yang ditabal untuk selamanya dilayan dan
diladeni sebagai raja. Malangnya yang dipaksa melayaninya itu adalah isterinya.
Wanita yang dinikahi dengan nama kasih sayang. Untuk bersama ke syurga
berumatangga. Untuk hidup dan mati bersama. Di samping dan bukan untuk disuruh
arah. Isteri untuk diulit cinta abadi selamanya. Kadang-kadang sikap dan adat
menjadikan hubungan suami isteri menjadi rumit dan inricate. Bak sesawang yang rencam dengan liku dan lingkaran.
Bagaimana seorang lelaki tidak tahu memasak untuk
makanannya sendiri. Bagaimana seorang abang tidak tahu memasak untuk
adik-adiknya. Bagaimana seorang suami tidak tahu memasak untuk isteri dan
anak-anaknya. Memasak dan menjalankan kerja-kerja rumahtangga bukan khusus
untuk wanita. Pun bukan itu tujuan wanita dinikahi. Orang Islam lelaki
umpamanya keliru antara agama dan adat. Adatnya lelaki menjadi raja dan isteri
menjadi hamba. Konsep ini adalah sangat tradisional dan bukan Islamik. Rasulullah
saw adalah contoh lelaki terbaik antara yang terbaik. Baginda menjahit sendiri
pakaiannya yang koyak. Membantu mengemas rumah. Membantu isteri-isteri baginda
mengurus rumahtangga. Walaupun trend
lelaki idaman semakin ramai namun bilangannya masih belum mencapai tahap
tinggi. Ramai lelaki minta disediakan air minumnya. Menunggu hidangan di meja. Tidak
memandang rumah yang kotor berserak. Tidak Nampak pakaian yang berlonggok
dengan hapaknya untuk dibasuh. Tidak kisah pakaian berlonggok menimbun bukit untuk dilipat. Pergi kerja melaram
dengan pakaian yang siap berseterika. Bukan dibuat sendiri. Isteri yang semput
sesak nafas menguruskan segala-galanya yang melakukannya.
Barangkali semua urusan lain boleh
bertangguh-tangguh. Soal makan jadualnya ketat. Makan tengahari maknanya makan
tengahari. Bukan pukul tiga atau pukul empat. Begitu juga minum petang, makan
malam, sarapan dan antaranya memerlukan jadual yang mesti dipatuhi. Siapa menyediakannya?
Isteri? Suami? Suami isteri? Alangkah bahagianya seorang isteri apabila suaminya
kerap di dapur. Membantu mana yang perlu. Bukan susah kupas bawang. Bukan payah
menumbuk cili. Bukan qiamat hanya menanak nasi. Semua kerja di dapur sangat simple. Tidak langsung memberatkan. Barangkali
adat yang lama hendaklah dibuang jauh-jauh. Beri nilaian semula bahawa isteri
bukan untuk disuruh-suruh tanpa kasih sayang. Mereka perlu dibantu. Hatta tidak
salah memanjakannya. Pada dirinya seluruh hihup lelaki.
Apabila lelaki tidak pandai ke dapur ramai orang
yang menjadi mangsa. Isteri orang pertama yang teraniaya. Anak-anak kumpulan
kedua. Saudara mara kumpulan ketiga. Lelaki yang selalu ke dapur tidak pernah
jatuh harga dirinya. Namanya tidak tercemar. Maruahnya tidak tercabar. Itu cerita
dulu. Zaman yang sudah luput tarikh pakainya. Zaman yang masih terlalu tradisi.
Lelaki di luar rumah dan isteri di rumah sahaja. Zaman ini sudah jauh
perubahannya. Sikap dan sifat wibawa lelaki perlulah diubah untuk mengimbangi
keperluan berumahtangga masa kini. Lelaki yang berkerjaya menerima pukulan
hebat apabila berada di luar rumah. Dalam kursus-kursus jangkapanjang lazimnya
wang secukupnya. Lebih banyak berjimat. Memasak sendiri adalah solusi paling
baik. Selain dari kosnya yang rendah terdapat kepastian status halalnya. Suci dan
bersihnya. Keyakinan diri untuk menikmati hidangan dari air tangan sendiri. Yang
tidak pandai memasak tentulah banyak wang terbuang membeli makanan siap.
Itulah antara liku-liku bersama teman dan rakan yang
tidak tahu memasak. Tidak tahu mengemas dapur. Tidak tahu membasuh pinggan. Tidak
tahu membantu. Tidak mahu belajar berada di dapur. Tidak tahu hubungannya
antara masakan, makanan, kesihatan dan emosi rohani pemasaknya. Berapa ramai
lelaki yang peka dengan bahan dan perencah makanan. Berapa ramai lelaki yang
tahu apa yang perlu di bawa apabila ke luar negara. Kebanyakan mereka membawa
perut sahaja. Malang sungguh. Yang lain mengharap orang lain. Kadang-kadang
terasa tidak adilnya. Kita cuba adil kepada orang lain tetapi orang lain tidak memberi
keadilan itu kepada kita. Islam membenarkan melayani tetamu hanya dalam tiga
hari sahaja. Selepas tiga hari tetamu itu hendaklah menjadi sebahagian dari
krew yang perlu bekerja apa sahaja yang perlu untuk mengurus sebuah
rumahtangga.
Saya suka makan. Di rumah atau di luar sama sahaja. Di
luar kadang-kadang tidak sesedap mana. Tidak memenuhi selera tertentu. Harganya
mungkin mahal. Tidak ada kedai yang sangat kondusif dari segi persekitaran dan
kebersihannya. Layanannya belum tahu bagaimana bentuknya. Pilihan yang terbaik
tentunya memasak sendiri. Dua kali saya ke luar negara. Dua kali saya
mengangkut segala rempah yang perlu. Kari, kurma, sup, rempah tumis, serai,
daun kunyit dan lain-lain yang perlu. Orang lain tidak perna berfikir begitu. Beg
pakaian mereka hanya pakaian sahaja. Untuk makan berbulan dan bertahun langsung
tiada dalam perbendaharaan minda. Makanan ada di mana-mana. Benar. Tetapi selera
kita selalu kembali ke kampung. Ke rumah. Ke negara. Kepada kebiasaan lidah
kita. Adat kita. Memasak sendiri adalah penyudah kepada kerinduan itu. Sedap bukan
isu. Enak bukan masalah. Yan penting ada rasa. Ada bau. Ada aroma. Ada selera.
Malang sangat jika kita memasak orang lain yang
serumah tidak membantu. Tidak bertanya apa yang perlu dibuat. Tidak datang
menjengah apa yang sedang dibuat. Tidak menyiapkan keperluan lain seperti menyiapkan
meja. Menyusun pinggan. Menyediakan air minuman. Mereka leka dengan mungkin TV,
buku, akhbar, telefon dan bermacam aktiviti lain. Bila hidangan telah siap
terhidu pula di hidung. Terdengar di telinga. Menyerap pada perasaan mereka. Berbaris
ke dapur menyenduk makanan. Makan dengan enak. Bertambah-tambah pula. Selepas makan
tidak pula pandai mengemas meja. Mengemas dapur. Menyusun pinggan mangkuk yang
diguna. Tamat episod kali itu. Episod yang sama berulang lagi pada waktu makan
yang berikutnya. Tidak akan ada yang akan ke dapur. Tidak ada yang ingin
memulakan proses memasak.
Malang lelaki yang tidak pandai di dapur. Apalah susahnya
menanak nasi. Apalah sukarnya menggoreng telur. Memasak sadin. Menggoreng ikan.
Memasak sayur. Jika tidak tahu memasak, masaklah yang sesimple mungkin. Setakat apa yang kita boleh. Yang kita tahu. Walau bagaimanapun
memasak hendaklah dengan hati. Dengan ikhlas. Dengan senang hati. Makanan yang simple menjadi sedap jika ada elemen
dalaman yang bersih suci. Rasanya menggoreng ikan bilis semua orang tahu. Menggoreng
bawang semua orang boleh. Merebus sayur bukan seperti menebas kebun. Berapa banyak
garam. Akan terbiasa nanti dengan kuantitinya. Mulakan dengan sedikit. Rasa dahulu
secukupnya. Kurang masin tambah garam berperingkat-peringkat. Lama-lama akan
tahu sukatannya tanpa perlu menyukat. Banyak dan sedikit adalah relatif. Ada orang
suka lebih masin. Yang lain pula suka kurang masin. Letakkan diri kita antara
keduanya.
Belajar jadi
lelaki sejati. Hero kepada isteri dan anak-anak. Kepada teman-teman, keluarga
dan orang-orang di sekeliling kita. Lelaki yang multi disiplin lebih berdaya
maju. Lebih lestari melingkari zaman. Penglaman lama saya memeritkan apabila
bersama dengan lelaki yang tidak pandai memasak. Tidak pula mahu belajar. Tidak
suka ke dapur. Dapur sangat panas kepada mereka. Malangnya orang lain yang
disuruh berpanas di dapur. Selalunya isteri yang menerima nasib malang. Emak mertua
yang tua juga menjadi mangsa. Emak sendiri yang uzur itulah yang berpapah ke
dapur menyediakan makanan.
Ibu dan ayah, didiklah anak lelakimu supaya mengerti
dapur. Biasa di dapur. Menguasai dapur. Supaya nanti mereka bukan raja dapur
tetapi menjadi raja di dapur. Adat lama bahawa lelaki tidak perlu ke dapur
sudah tidak ada lagi. Bahawa wanita duduknya di dapur bukan realiti lagi. Abang,
bantulah isterimu di dapur. Untuk perutmu juga. Kakak, cari lelaki yang ada
sifat membantu. Selidiki minatnya di dapur. Tanya rakan dan ahli keluarganya. Itupun
jika kakak mencari lelaki yang rasional. Jika cari yang ganteng dan berjawatan
sahaja terpulanglah. Bersedialah nanti untuk makan hati berulam jantung. Saya sekadar
memberi pengalaman. Mudah-mudahan ada manfaatnya.
No comments:
Post a Comment