Bila berjauhan rindu pasti datang. Berdesup desap
dalam rasa dan perasaan. Tahun 1990 bukan tahun 2012. Sekarang kita guna sms
yang sangat murah. e-mail lagilah murah. Panjang berjela dengan kos yang sangat
rendah. Surat sudah menjadi sesuatu yang lapuk. Obsolete. Sewaktu saya di
Toronto Canada telefon menjadi penghubung dengan orang yang tersayang di
tanahair. Seminggu sekali bergayutlah masing-masing pada telefon di rumah. Bukan
penghuni rumah sahaja yang menggunakannya. Sahabat yang di rumah-rumah lain
juga datang untuk menikmati kemudahan
telefon yang ada. Tiada masalah. Bil telefon mengandungi perincian
panggilan. Bila panggilan dibuat. Nombor telefon yang dihubungi. Jangkamasa panggilan
dibuat. Setiap pengguna membayar bahagian masing-masing.
Kami semua kali pertama meningggalkan isteri dan anak-anak.
Bingung juga kepala. Keliru dengan keadaan. Toleh ke kanan tiada. Toleh ke kiri
tiada juga. Berapa berat mata memandang berat lagi hati di dalam. Terhenyak rindu.
Terperuk gundah. Terapung gelana. Hari-hari terawal tentu sahaja yang paling
memeritkan. Gelisah dan resah berganti. Mata dan hati tidak tentu lelapnya. Entah
mimpi entah sedar. Malam-malam dilalui dengan lambatnya. Pagi menjelang
samar-samar di negara orang. Kabus pagi menyembunyikan mentarinya. Hati berkabus
sunyi terasing jauh di sebalik dunia. Jauh dari orang-orang tersayang. Jauh dari
negara tercinta. Jauh dari semua kebiasaan. Bagi yang tiada tahan rindunya, telefon
mengubat rindu. Dihujung talian masing-masing mengusap rasa. Bergenang air
mata. Merembas menuruni pipi. Hendak diusap tiada. Hendak dipegang hanya ruang
kosong yang ada.
Bulan pertama bil telefon kami sebanyak lebih CD700 (Canadian
Dollar). Kira-kira RM1,600. Wow. Suatu jumlah yang gila banyaknya. Waktu itu
tahun 1990 bil telefon boleh dibayar di bank. Seorang rakan saya yang ke bank. Terbeliak
besar mata kerani wanita di kaunter bank itu.
My! Why so much?
Why don't you bring the money to her?
Harga sebuah rindu. Mahal dari segi kosnya. Antara mereka
saya yang paling sedikit. Pengalaman di USA dahulu mengajar saya untuk berjimat
menggunakan telefon. Saya bercakap mana yang perlu sahaja. Isteri dan anak-anak
sihat. Itu sahaja yang penting. Setiap kali bil datang saya hanya perlu
membayar sebanyak CD34 atau CD35 sahaja. Wang saku yang dibawa bukan banyak. Makan dan
minum perlu dijaga cukupnya. Ramai rakan yang bilnya CD200 dan CD300. Mereka hairan
kenapa bil asya paling kurang. Begitulah
pengalaman memainkan peranan. Berjimat pada tempatnya. Saya banyak menulis kepada isteri dan
anak-anak.banya sedikit yang boleh dicoret. Kosnya hanya masa. Sedikit setem
yang ditampal di sudut atas sebelah kanan. Kata isteri saya berebut-rebut
anak-anak membaca surat atau poskad yang saya hantar.
Telefon adalah alat. Bukan pengubat yang hahiki. Bukan
mutlak. Ianya hanya alat untuk menghubungi yang jauh bak di sebalik stelinga. Telefon
dari Canada atau USA sama sahaja. Mereka gunakan satelit. Suara terang dan
jelas. Terlalu dekat di telinga. Sebenarnya ramai antara kita menggunakan
telefon tanpa mengerti. Ianya hanya alat. Bukan pengganti diri. Cuba perhatikan
mereka yang galak menggunakan telefon. Bila menerima atau membuat panggilan
mereka melatari panggilan itu dengan mukadimah yang panjang. Hasrat hati di
simpan lama sebelum diluahkan. Tiada siapa mengambil kisah. Meter panggilan
berjalan. Semakin rancak berbual dan bersembang semakin banyak bil telefon yang
terpaksa dibayar. Saya cukup membatasi diri bila menggunakan telefon. Yang perlu
sahaja. Mungkin sms atau e-mail lebih menjimatkan.
Jangan lupa apabila kita bergayut di telefon,
panggilan lain yang hendak masuk tersekat. Kita selalu menyebut bahawa yang
membuat panggilan dan yang menerima panggilan menghalang orang lain membuat
panggilan. Telefon di rumah, telefon Telekom penggunanya berlainan. Pemangggil sahaja
yang dikenakan caj. Penerima menikmai panggilan itu. Kenapa tidak yang perlu
sahaja. Teknologi untuk dimanfaatkan. Bukan untuk membebankan. Bila ada yang
mendera diri kerana teknologi maka itu
adalah sesuatu yang membebankan. Manfaat yang ditagih masalah yang diterima. Bil
yang tinggi menjadi seksa. Tetapi yang
lebih jelek ialah kita menyekat orang lain menggunkan teknologi yang sama. Berpadalah
menggunakan telefon. Ada kos yang dibayar oleh semua orang.
Kasihan juga rakan-rakan yang tinggi bilnya. Termenung
mereka dibuatnya. Kami dibekalkan kira-kira CD2,000 untuk jangkamasa tiga
bulan. Jika setiap bulan bil telefon mencecah ratusan dollar
tentulah membebankan. Ikut rindu binasa wang di tangan. Sebenarnya sewaktu sampai di Toronto ramai
yang berhasrat untuk singgah di Los Angeles, LA dalam perjalanan pulang nanti. Mereka
hendak menjengah Hollywood. Universal Studio. Ada keriangan melihat ke hadapan.
Harapan melihat yang indah. Tetapi apabila bil telefon melambung-lambung
banyaknya, hilang semangat mereka. Langkah jauh jadi tersekat. Terkedu dengan
keadaan. Sudah tidak ada lagi bicara. Selera jatuh merudum. Selamat tinggal LA.
Hasratku tidak kesampaian. Nantilah ku jengah melalui filem dan video.
Ada dua orang rakan saya di LA. Seorang dahulunya
bertugas di Politeknik Ungku Omar Ipoh. Seorang lagi bersama saya di Pittsburgh
USA semasa sama-sama mengikuti proram Masters dahulu. Kedua-duanya guru. Bertugas di
Jabatan Penuntut Malaysia di LA. Saya hubungi mereka. Alhamdulillah mereka
menerima kedatangan saya. Tunggulah saya di LA, Hollywood, Universal Studio. Suatu pengalaman yang indah. Melihat alam
fantasi. The world of make belief.
No comments:
Post a Comment