Ada sesiapa nak petik sendiri? Buah pear yang sedang ranum begitu sangat meriangkan hati. Bersemangat saya memetiknya. Tangga jiran yang jadi mangsa. Lihatlah betapa besarnya buah itu. Setiap sebiji tidak dapat digenggam penuh. Percuma, dua pokok yang lebat buahnya. Jenuh memakannya. Buahnya pula bergayutan rendah. Ada yang boleh dipetik dari tanah. Andainya ada di sini. Alahai! Hanya kenangan abadi. Gambar itu menceritakan segala-galanya. Suatu masa, di suatu tempat pengalaman kita bercambah.
Antara banyak makanan, saya tidak menolak jika
dihidangkan dengan buah-buahan. Rasanya tidak ada buah yang terlepas pandang. Jika
boleh dimakan saya pasti mencubanya. Apatah lagi bila berada di dunia orang
putih. Buah-buahan mereka ranum, rangup, manis, masak dan melebihi jangkaan. Di
Malaysia kebanyakan buah-buahan yang diimport belum mencapai tahap matang. Sekadar
dijangka ianya masak terpaksa dalam perjalanan. Sebab itu oren dirasa masam. Epal
dirasa kelat. Sukar mencari anggur yang manis. Perjalanan jauh dari negara
asalnya tidak memungkinkan buah-buahan tersebut dipetik sewaktu sedang masak. Tentu
rosak dalam perjalanan. Jika ada sistem penyejuk yang canggih sekalipun, iklim
di Malaysia boleh merosakkannya apabila dikeluarkan dari sistem penyejukannya. Suhu yang tinggi, lembab
dan melekit cepat memudaratkan buah-buahan import. Di negara asalnya semua
buah-buahan enak dimakan. Ada yang lazat. Semuanya masak. Matang. Ranum. Rangup.
Di kedai buah-buahan pilih apa sahaja buah yang mengecurkan air liur. Pasti enak
dimakan. Harganya padan dengan kesegarannya.
Di kawasan rumah yang saya duduki di Toronto Canada
dahulu terdapat dua pokok pear. Sepohon
peach dan beberapa pokok anggur. Ada beberapa
kategori anggur. Ada yang manis dan ada yang masam. Yang manis tentunya untuk
dimakan, dibuat kismis, jus dan bahan makanan seperti kuih dan sebagainya. Yang
masam pula dibuat arak, cuka dan sebagainya. Pergi ke negara yang menanam
anggur, pesta membuat arak air anggur adalah yang paling meriah. Portugal,
Sepanyol, Perancis, Germany, Italy, Greece. Ini sesuatu yang menghairankan. Pelik
bin ajaib. Anggur yang berlori-lori diletakkan di dalam suatu pelantar besar. Sesiapa
sahaja boleh masuk ke dalam pelantar itu. Lebih ramai gadis yang turut sama
lebih ramai lagi jejaka yang melompat gembira mengiringi gadis-gadis jelita
tadi. Untuk apa ya? Untuk memijak-mijak buah anggur bagi mengeluarkan airnya. Ditadah
di bahagian bawah. Air itulah yang disimpan peram untuk menjadi minuman yang
memabukkan. Sangat sinonim hubungan antara anggur, kaki, mulut, tekak, peparu,
perut dan tubuh badan. Untuk adat yang berzaman. Minuman ala kampong. Yang
komersil tentu sahaja menggunakan alat-alat canggih ciptaan manusai yang
lupakan Allah. Minuman terlarang yang prosesnya sahaja cukup menjijikkan. Apabila
syaitan mengunci diri dan hati semuanya dilihat indah belaka. Hanya yang
beriman melihatnya kekejiannya.
Bagi orang seperti saya buah-buahan ada ceritanya
sendiri. Pokok pear di belakang rumah cukup lebat buahnya. Saya memetik dengan
tangan saya sendiri buah yang besar, segar, manis dan rangup itu. Saya pinjam
tangga dari jiran sebelah. Bagi dahan yang tinggi saya pinjam galah jiran tadi.
Banyaklah yang saya gugurkan. Buah yang melambak tadi diagihkan kepada
sahabat-sahabat yang lain. Juga untuk sahabat-sahabat yang bertugas di Malaysian Students Department di
Toronto. Ramai juga yang datang memetik sendiri buah-buah itu. Saya berenam
dengan rakan serumah tentu sahaja tidak mampu menghabiskan kesemua buah-buah
itu. Terlalu lebat dan besar-besar belaka. Biasanya saya membeli. Tetapi kali
itu saya memetik dari tangkainya secara live.
Bukan yang dikedai. Malah orang putih dari Sececa
College of Applied Technology ada juga yang datang untuk menikmatinya. Mereka
bungkus bawa balik untuk anak dan isteri.
Buah-buahan lain saya dan teman serumah beli di
tempat lain. Lazimnya di kawasan masjid selepas solat Jumaat. Ramai jemaah yang
menjual buah selepas solat. Anggur yang masak, segar dan menyelerakan hanya 6
Canadian Dollar. Kira-kira RM15 waktu itu. Beratnya kira-kira 10 kg. Di sini
pastinya anggur seperti itu mencecah RM20/kg. Begitu juga oren, epal dan
buah-buahan yang lain. Sekotak anggur kadang-kadang menjadi telalu berat untuk
dibawa oleh dua orang. Yang istimewanya ialah di sana buah-buahan kesemuanya
masak dan enak dimakan. Tidak ada yang terasa tidak enak. Barangkali iklimnya. Suhunya.
Suasananya. Makanan jadi enak. Sesudah kembali ke tanah air rasa payah hendak
membeli buah import. Harganya mahal. Rasanya tidak sama seperti di negara
asalnya. Ketika mengidam sahaja terpaksa dibeli juga. Tekak dan perut teringin
merasanya.
Sebenarnya musim buah tetap bermusim. Di hemispiar
utara ada buah. Di hemispiar selatan ada buah yang sama. Kedua-dua kawasan
beriklim sederhana in lengkap melengkapi dari segi bekalan buah-buahannya. Ada masanya
buah import datang dari USA, Sepanyol, Italy. Pada waktu yag lain buah-buahan
itu datang dari New Zealand, Australia, Afrika Selatan. Argentina, Chile dan
Peru mungkin teralu jauh. Ini kerana apabila winter di utara bekalan buah tentu tiada. Perlu diimport dari
selatan. Begitu juga sebaliknya apabila winter
di selatan, buah-buahan diimport dari utara. Kita yang berada d
Khatulistiwa beryukur kerana buah-buahan import kita tiada halangan musim. Sentiasa
ada. Anugerah Allah kepada penduduk yang
tidak diazab dengan perubahan dan pergantian musiam yang drastik. Manusia yang
mensyukuri nikmatnya sentiasa berusaha memanfaatkan apa sahaja ciptaan Allah. Difikirkan
manfaatnya kepada seluruh manusia. Di sampingnya mereka mendapat ganjaran keuntungan.
Berniaga dengan Allah tidak pernah ruginya. Untung dunia dan akhirat.
Cerita buah ini ada sekuennya nanti. Untuk renungan
yang lebih tajam. Bahawa kita masih jauh dari berjaya. Usaha kita masih terlalu
rendah. InsyaAllah ada ceritanya yang tersendiri.
No comments:
Post a Comment