Tidak ramai orang putih yang makan durian. Kepada
kita durian wangi baunya. Kepada orang putih durian berbau busuk. Siapa yang
betul? Sebagai ujian, apa yang menghurung durian apabila dibelah dan ulasnya
terserlah pada pangsanya? Lalat dan
langau. Pernahkah pembaca melihat langau menghurung minyak wangi? Mana ada. Langau
tidak sersai dengan yang wangi. Pilihannya pasti yang busuk. Durian termasuk
dalam kategori busuk mengikut ujian itu.
Tidak mengapalah. Durian wangi pada persepsi kita. Hidung kita yang
menjejak kewangaiannya. Kita tidak perlu pandangan orang lain hingga kita
mensia-siakan rezeki yan ada. Kepada kita durian tersangatlah lazatnya. Tidak boleh
nampak kelibatnya. Kecur air liur. Silap-silap gugur setitik dua. Malu sendir mengesat lelehannya.
Untuk renungan kita semua, ramai anak-anak muda kita
tidak lagi menggemari durian. Mereka lebih memilih buah-buahan import. Seorang
sepupu saya membawa pulang ke rumah beberapa biji durian. Tiba-tiba anak
lelakinya mengeluarkan kata-kata protes. “Abah ni, buah busuk bawak balik!”
Terbeliak mata sepupu saya. Mahu ditamparnya anaknya itu. Itulah manifestasi
zaman yang berubah. Pilihan juga berubah. Kebiasaan kita yang kekampungan
dahulu sudah dilenyapkan oleh perubahan. Zaman berubah. Citarasa berubah.
Hal-hal yang kritis dalam masyarakat berubah aspeknya. Tidak memahami hal-hal
seeprti itu hanya mengundang konflik perasaan. Mungkin konflik sosial.
Saya menemui durian di Pittsburgh, USA. Di kedai
seorang yang berasal dari Vietnam.USD2.50 seulas. RM7.50. Bagi yang tidak ada
pokoknya, perjalanan yang jauh, sistem penyimpanan yang direka khas, harga bukan
faktor. Bila datang selera semuanya
bukan masalah. Di Toronto Canada durian dijual mengikut biji. Bukan ulas. Sekilogram
Canadian Dollar 4.90. Kira-kira RM11.50. Masih tidak mahal berbanding dengan
yang di US. Minta maaf. Durian itu sedap. Durian itu wangi. Sayangnya durian
itu bukan kita yang punya. Durian Siam. Dari Thailand. Hebat usaha Thailand
merentaskan produknya ke luar negara. Ke merata ceruk rantau yang tersampai.
Bukan sedikit. Berlonggok-longgok. Orang putihkah yang memakannya. Tidak
mungkin. Orang Asia ramai di sana. Sebut sahaja. Ada Cina, India, Thais, Vietnam,
Taiwan, Indonesia dan Filipina. Orang Malaysia sahaja yang tidak pernah ramai.
Kita jarang berhijrah.
Bukan orang kita yang tidak selesa berhijrah, malah
produk kita juga malu berhijrah. Rasanya Thailand banyak mengatasi kita dalam
banyak hal. Beras dari Thailand kita import selamanya sejak dari dahulu lagi.
Sudah terlalu lama. Kita terus bergantung kepadanya. Mangga Siam berlambak di
pasaran. Berganti jenisnya. Anggur juga dibiakkan. Sampai juga ke Malaysai.
Tidak berapa manis. Cukup menghilang rasa teringin. Menghilang rasa kecur di
mulut. Malah buah laici ada di Thailand. Di Toronto barangan kulit buatan
negara itu banyak dijual. Cumanya mereka gemar menciplak jenama terkenal dunia.
Tampal pada produk mereka. Harganya jauh lebih rendah. Setengah produk
kualitinya tinggi. Sukar dibezakan yang asli dengan yang bukan.
Thailand bukan
jauh. Di seberang sempadan. Banyak yang boleh dipelajari daripada mereka. Industri
tani mereka cukup maju. Kita masih mengabaikan pertanian walaupun negara lain
mewah dengan eksport barangan pertanian mereka. Ada sesuatu barangkali yang
boleh dilakukan. Selama ini kita sibuk dengan laungan dan slogan satu kampung
satu industri. Tidak perlu fikir lama. Tidak perlu fikir besar-besar. Lihat sekeliling
kita. Orang kampung rumahnya dikelilingi pohon buah-buahan. Rumpunan pisang
sentiasa ada. Kenapa yang tersedia itu tidak dinaiktaraf? Diberi nafas baru. Didik
mereka menukar baka yang baik. Mangga baik. Durian baik. Rambutan baik. Pisang baik.
Belimbing baik. Cempedak baik. Nangka baik. Tanam yang baik-baik. Cari bakanya.
Buat penyelidikan. Kita bukan bercakap satu kampung satu industri bahkan sebuah
rumah sebuah industri.
Ambil iktibar bagaimana penanam kurma di Madinah
mendebungakan pohon-pohon kurma mereka. Hasilnya lumayan setiap tahun. Semakin dibayar
zakat semakin lebat buahnya. Fikirkan jika boleh pohon buah-buahan kita
didebungakan setiap masa yang berjadual. Hasilnya barangkali lebih lumayan. Tuaiannya
menimbun. Hasil yang melambak-lambak nanti. Fikirkan selangkah atau dua langkah
ke hadapan. Industri hiliran yang mesti diwujudkan. Buah-buahan dalam tin. Jus.
Kuih muih. Jem. Kaya. Gula-gula. Biskut. Aiskrim. Minuman. Banyak lagi. Kreatif.
Inovatif. FAMA harus jauh ke hadapan. Persatuan Peladang mesti terbang jauh. Persatuan
Pengilang berlari pantas. Politik mendepani dasar dan peraturan yang membangun.
Bukan hanya mengawal dan mengekang.
Kita mengimport buah-buahan dari banyak negara. Dari
Mesir ada. Tunisia ada. India ada. Turki ada. Iran ada. Malah dari negara
seperti Azabaijan, Karzystan, Cina, Korea, Pakistan. Bukan negara-negara
tradisi seperti USA,Australia, New Zealand dan Afrika Selatan sahaja. Tidak ada
negara maju yang fokus hanya kepada industri perkilangan sahaja. Kesemua negara
itu masih mengekalkan imbangan pertaniannya. Makanan untuk rakyatnya. Tukaran asing
untuk negaranya. Situasi yang menang-menang. Manfaat dan maslahah umum rakyat
difikirkan. Ekonomi, teknologi dan pendidikan disegerakkan. Agama mengawal dosa
dan pahalanya. Syariat tidak boleh dikesampingkan. Akhir kita tetap menemui
Allah. Kita kembali kepadaNya. Buatlah yang terbaik di dunia. Ganjarannya yang terbaik
di akhirat.
Al-Quran cukup memberi panduan untuk berjaya di
dunia dan di akhirat. Iman kita dipupuk supaya sentiasa segar dan bertambah
kukuh. Usaha secara syariat dengan niat kerana Allah tentulah lebih baik dari
hanya kerana dunia semata-mata. Ayuhlah kita sama-sama keluar dari kepompong
kita. Keluar dari kotak kecil yang memerangkap kita. Keluar dari ruang yang
menghimpit pemikiran yang bertaraf rendah. Masa masih banyak. Sentaisa banyak. Jika
setiap seorang dari kita memajukan diri dalam bidang maing-masing tentu kita
boleh lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kita mesti cemerlang dalam
bidang kita. Lain orang lain bidang kecemerlangannya. Untuk maju bukan satu bidang
sahaja yang dibangunkan. Semua aspek yang berkaitan hendaklah dibangunkan. Tidak
ada yang lebih utama dari yang lain. Jika ada yang terabai maka akan berlaku
kepincangan. Yang pincang itu mencacatkan. Menurunkan darjat kesemuanya.
Kita ada mata, hendaklah melihat jauh menembusi
sebarang hijab dan tabir. Kita ada telinga untuk mendengar yang tersirat. Kita ada
hidung untuk menghidu yang asing dari yang lain. Firasat kita dibangunkan untuk
merangka hal-hal yang berkemungkinan di masa hadapan. Kita tidak lagi boleh
hanya bertahan dengan keadaan yang ada. Banyak jalan yang boleh dilalui. Banyak
simpang yang perlu dilintasi. Berfikiran positif banyak menyelesaikan masalah
yang terpendam. Allah sentiasa membimbing kita ke arah yang benar. Kita diberi
pilihan membuat yang terbaik. Doa, tawakal tentulah setelah berusaha. Janji Allah
adalah sesungguhnya benar. Mereka yang beriman sentiasa beruntung.
No comments:
Post a Comment