Sunday, November 18, 2012

Kerepek Pisang Tanduk di Toronto


 

Jika saya katakan kepada orang Parit Raja Johor rasanya sukar mereka hendak percaya. Orang Sabak Bernam mungkin juga tidak percaya. Kedua-dua tempat ini sinonim dengan orang keturunan Jawanya. Kebetulan mereka ramai yang mengusahakan kerepak ubi, keladi, pisang dan sukun. Kerepek Sabak Bernam tidak terbang jauh. Kerepek Parit Raja tidak menyeberang lautan dan benua. Berita mengenai kerepek nampak meluas. Pameran kerepek banyak di sana sini. Cerita mengenai kerepek penuh di dada akhbar. Kita terlalu gahkan diri sendiri hingga terlupa gahnya orang lain di sekeliling kita. Di seberang jalan rumah yang saya duduki di Toronto terdapat sebuah pasaraya. Kali pertama saya mengunjunginya ialah pada hari kedua saya berada di bumi Toronto, Ontario, Canada. Setelah melintas jalan saya memandang ke arah pasaraya itu. Jantung saya terhenti sebentar. Berdegup dengan kencang. Saya terpandang bungkusan kerepek yang dipamerkan di dalam cermin pasaraya itu. Hati saya berkata, “Sampai juga kerepek Parit Raja ke Toronto!” Kita bersyukur kerana produk kita menjejak dunia.

Saya semakin mendekati bungkusan kerepek pisang yang terpamer. Longlai saya seketika. Kegembiraan saya hanya seketika. Berita baik untuk pembaca sebenarnya hanya ilusi. Tidak benar. Memang itu kerepek pisang. Pisang tanduk. Hendak tahu dari mana? Made in the Phillipine! Terlalu ironis. Itu tahun 1990. Perasaan sama yang saya alami sewaktu di US pada tahun 1985-86 dahulu. Barangan Malaysia yang ada hanya sagu rendang. Produced in Penang, Malaysia. Walhal sagu itu dari Sarawak. Ada pisang tanduk tetapi dari Amerika Tengah. Walhal barangan negara-negara jiran terlalu banyak untuk hidup jadi tidak rindu kepada  tanahair. Tanahair mengiringi mereka di negara orang. Cili api dari Filipina. Belacan dari Thailand. Ikan beku dari Thailand. Nangka muda dari Thailand. Dan banyak lagi. Mana barangan Malaysia?

Media kita sibuk dengan berita mengenai barangan kita. Gahnya seperti kita menguasai dunia. Kerepek pisang tanduk di Toronto itu memberi input kesedaran yang  bukan kepalang besarnya. Kita masih kekal menjadi jaguh kampung. Ladang kita sekangkang kera. Dusun kita sekadar sepelaung. Ada faktor ekonomi yang selalu terlepas pandang. Kita jarang memikirkan tentang tukaran wang asing. Ekonomi kita hanya memikirkan yang muluk-muluk. Yang besar-besar. Eksport kita terlalu tradisi.  Saya banyak membeli baju kemeja di US dahulu. Jenama besar seperti Pierre Cardin, Arrow dan sebagainya. Kesemuanya bukan dibuat di US. Negara-negara Asia menjadi dominan. Pada aspek lain negara membangun. Baju-baju kemeja itu datang dari negara Cina, Macau, Korea, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Thailand, Philippine, Indonesia, Bagladesh, India, Sri Lanka dan Pakistan. Tidak dari Malaysia. Pembaca boleh fikir barangkali. Ya. Kos pekerja kita mahal. Pelabur lari ke negara yang menawarkan buruh yang lebih murah.

Negara Cina mengeksport barangan yang dibuat dari barangan murah. Kadang-kadang bakul bunga hiasan hanya dari rerumput yang melata  di mana-mana. Kuantitinya besar. Dihantar ke seluruh pelosok alam. Dapatan pertukaran asing besar jumlahnya. Kita sepatutnya berfikir begitu. Memang kerepek kita tidak cukup untuk pasaran tempatan. Bekalan pisang hanya dari orang kampung yang menanam  pisang untuk subsistence living. Pada musim perayaan permintaan jauh melebihi penawaran pisang. Harga kerepek melambung. Kita sepatutnya berfikiran begitu. Sebahagian dari kerepek kita dieksport. Buat penyelilikan akan ketahanannya tanpa pengawet. Ketahanan dari segi masa. Dari segi perbezaan iklim. Dari segi citarasa. Jika kerepek pisang dari Filipina boleh dijual di negara maju, tiada halangan untuk memasarkan kerepek kita ke negara yang sama. Yang diperlukan ialah wawasan jauh. Ke hadapan. Merentasi pemikiran setempat. Melampaui pemikiran yang terlalu local.

Perlu ada revolusi tentang industri kerepek. Ladang-ladang yang lebih besar dan lestari dibangunkan. Ladang komersil dan professional. Jangan ketawa. Usah sengeh. Banyak negara di Amerika Tengah hidup dengan pisang. Hidup dengan tebu. Eksport mereka ke Eropah, Amerika  Utara, Korea dan Jepun. Maaflah. Pisang kita berada di tepi jalan. Gerai pisang goreng yang melata. Bila agaknya pemilik gerai itu boleh menjadi jutawan dengan pisang. Pisangnya merentas lautan. Pernah diusahakan pisang montel. Tidak saya dengar lagi ceritanya. Dulu ada cerita pisang emas. Hilang juga beritanya. Orang kita tidak melihat pisang sebagai sumber kekayaan. Sumber perniagaan. Sumber kehidupan yang lebih mewah. Lebih meringankan negara dan rakyatnya. Pisang orang mengkayakan. Pisang kita kekal di kampung.

Ada cerita lain mengenai buah. Bila berada di negara orang kita dapat menoleh ke belakang untuk melihat negara sendiri. Di sini kita selalu dimomokkan dengan kejayaan. Dengan kehebatan. Dengan keunggulan. Segala-galanya indah di mata. Sedap di dengar. Mengulit perasaan bangga. Bila di negara orang kita disedarkan bahawa ulitan kebanggaan kita hanya sesuatu yang terlalu kecil. Orang tidak kenal kita. Tidak tahu siapa kita. Tidak kisah kehadiran kita. Kita tidak punya nama besar. Belum mencapai tahap berjenama. Selagi eksport kita terlalu tradisi selagi itulah nama kita tidak gah. Kita jadi syok sendiri. Negara lain mengutip kekayaan dari barangan yang kelihatan tiada mutunya. Jika kita tumpukan kepada yang besar-besar sahaja sedangkan kuantitinya tidak seberapa maka tukaran asing menjadi terbatas. Kepelbagaian dan ragaman barangan boleh mengatasi hal itu. Sumber asli kita banyak. Yet to be tapped. To be exploited.

Walau di mana sekalipun pisang tanduk tetap begitu. Tetap pisang tanduk. Kerepeknya juga begitu. Ada yang tipis memanjang. Ada yang serong. Ada yang bulat. Setiap satunya perlukan inovasi. Kebiasaan kita membungkus kerepek dengan plastik lutsinar. Tiada jenama. Tiada pengilang. Taida label yang menunjukkan bahan ramuannya. Tarik luputnya. Khasiatnya. Banyak lagi yang perlu difikirkan. Tidak perlu? Jangan. Ia keperluan industri. Pembungkusan memberi kesan psikologi. Keselamatan dari pencemaran. Kesegaran sewaktu dimakan. Positioning dalam pasaran yang tidak terfikirkan oleh pengusaha. Kombinasi teks, literature, warna, saiz dan bahan memberi impak. Kerepek bukan sekadar kerepek. Perlu ada eksesori pada aspek pembungkusannya. Umpamanya jika dibungkus dalam kotak, kuranglah kerosakan yang mungkin berlaku. Memanglah kosnya meningkat. Pasaran dan pengguna akan tahu. Sesuatu yang diberi nilai pasti tinggi kosnya. Dari segi psikologi akan tinggi persepsi kualitinya.

Kerepek pisang bukan lagi barangan remeh. Bukan lagi barangan tepian jalan. Bukan untuk jualan di gerai-gerai kecil. Ia harus diangkat ke persada dunia. Diangkat dengan segala hal yang mengiringnya. Kita, kita yang perlu mengusahakannya. Melibatkan semua warganegara. Sudah 22 tahun kerepek pisang tanduk saya tinggalkan di Toronto. Rasanya Filipina sudah mengorak langkah lebih awal dan lebih jauh. Bukan bercakap lagi. Cukup dengan cakap yang sudah-sudah. Buktikan barangan kita dihambur ke seluruh dunia. Itu doa saya akan kejayaannya.

No comments:

Post a Comment