Monday, July 26, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab Lapan

UM merupakan suatu episod hidup yang sangat mengesankan. Kampusnya masih saya ulangi. Bukan mengulangi parut-parut lama tetapi hal-hal lain yang membawa saya ke sana. Kampus itu masih selalu mendepang tangan menerima saya. Kedai bukunya massih kunjungi. Dewan peperiksaannya masih saya ulangi kerana OUM megadakan peperiksaan di sana sekali sekala. Ramai teman yang menjadi warganya. Anak sepupu yang menjadi professor. Anak cucu saudara yang menjejak kaki di sana.



Menyorot UM kembali pastinya menyentuh detik-detik yang agak pilu. Bukan ilmunya yang daif. Bukan pensyarahnya yang lemah. Bukan kampusnya yang tidak teratur. Bukan persekitarannya yang cemar. Tetapi pengalaman menjadi siswanya yang penuh cabaran hidup. Cabaran mencari ilmu dengan bekal yang tidak seberapa.

Separuh gaji yang menyesakkan qalbu pada tahun pertama. Selama setahun menanggung berbagai kepayahan. Mana mengulang isteri dan anak-anak di kampung. Sebulan sekali mengenderai Vespa pergi dan balik. Panas dan terik matahari memijar di badan. Hujan dan renyai membasah baju. Angin dan debu memalu muka, hidung dan mata. Deruan angin memukul gegendang telinga. Silau nan cahaya memukau dekat dan jauh. Kebas punggung tidak terkira. Entah berapa kali berhenti memulih kebas dan darah yang tidak mengalir.

Wang hanya cukup untuk membeli minyak motorsikal, makan isteri dan anak di kampung. Pakaian ala kadar mana-mana yang boleh. Masalah besar saya ialah makan minum, membeli buku rujukan dan membayar yuran pengajian. Teringin juga memohon biasiswa. tetapi jumlahnya lebih kecil berbanding dengan separuh gaji. Lagipun peraturan tidak membenarkan mahasiswa memegang dua biasaiswa serentak. Mahu tidak mahu wang separuh gaji dijimat mana yang boleh.

Episod ini yang menjadi sangat rumit. Banyak waktunya barang kemas isteri saya terlucut dari badan. Bergolok bergadai. Keluar dan masuk pajak gadai. Dulu belum ada Ar-Rahnu. Yang konvensional juga dituju bila perlu. Untuk berjimat saya jarang makan. Apatah lagi makan mewah. Atau makan berulang-ulang. Paling banyak saya makan nasi berlaukkan ikan yang paling kecil dan sedikit sayur. Mungkin sekitar RM2.00 ketika itu. Maaf tahun 1975 terasa terlalu lama. Ada fakta yang dilupa walaupun banyak yang diingat. Kadang-kadang saya menyisih bila masa makan tengahari. Takut diajak rakan-rakan untuk ke kantin dan kafe. Saya cari bilik kosong atau ke perpustakaan untuk mengulangkaji.

Tengahari saya langkau dari makan. Petang nanti saya makan. Maaflah bukan makan nasipun. Zaman itu waktu petang mana ada nasi. Pagi tadi mungkin saya minum teh tarik dan sebungkus nasi lemak. 70 sen agaknya. Petangnya saya minum lagi teh tarik dan mungkin tiga biji karipap. Kira-kira RM1.00 sahaja. Begitulah rutin makan saya setiap hari. Perubahan minimum dari segi kuih yang dimakan. Tidak melibatkan perubahan atau tambahan bajet. Bayangkan waktu saya konvo pinggang saya bersaiz 27. Memang nempak tinggi dan lampai. Kurus melidi. Habis isinya saya curahkan untuk tamat dan mendapat ijazah. Cukuplah sebagai pengalaman berada di menara gading. Namun hakikatnya tidak begitu. Rupanya anak tangga yang lebih tinggi itu boleh dipanjat satu demi satu. Tinggi hanya pada padangan mata. Bila dilangkahi anak tangga, ke puncak juga akhirnya kita berada. Buat ijazah sarjana juga bila sampai masanya.

Menjelang peperiksaan pada hujung setiap tahun saya menghadapi kesukaran besar. Mana hendak mencari wang untuk membayar yuran yang tertunggak. Jika tidak dibayar tidak pula boleh mengambil peperiksaan. Ketika itulah berbagai alternatif diambil. Bergadai dengan barang-barang kemas isteri atau meminjam. Banyak masanya saya meminjam dari dana yang ada di universiti. Hanya untuk membayar yuran. Selepas tamat pengajian jenuh juga membayar pinjaman walaupun jumlah bulanannya tidaklah begitu membebankan. Ada masanya pula saya meminjam dari koperasi kampung. Letaklah barang kemas isteri sebaai cagaran. Bila lapang dari segi kewangan barulah bayar dan ambil semula barang kemas isteri. Begitulah berulang-ulang selama empat tahun di UM. Sebab itu UM banyak ikatannya di hati saya. Sukar untuk lekang dari ingatan. Pahit dan manisnya berbaur di sana.

Belajar di IPT tidak pernah ada senangnya. Dari dulu hingga sekarang , malah akan datang sekalipun. Payahnya itu akan terus kekal. Bentuknya mungkin berubah. Wang bukan penghalang bagi kebanyakan orang. Tetapi wang adalah penghalang paling besar bagi setengah orang yang lain. Tanpa wang yang mencukupi banyak nanti mencetuskan perkara-perkara yang di luar jangka. Yang berpotensi mungkin gagal atau tidak cemerlang. Yang lemah, berfikir dua kali kerana payahnya.

Bagi yang kekurangan dana, belajar di IPT seperti ada kekangan yang sukar diatasi. Tumpuan minda akan berlegar untuk menyelesaikan masalah diri. Akademik menjadi agenda yang selalu tertunda-tunda. Bila perut lapar banyak urusan fizikal menjadi terbantut. Paling baik ialah belajar mengurus diri, fizikal, dan persekitaran. Rezeki tidak datang bergolek. Senang tidak datang melayang. Bahagia tidak menjelma tetiba. Nikmat itu harus datang bersama barakahnya.

Derita tidak semestinya ulaman dan ramuan suatu kejayaan. Ia lumrah kepada manusia. Ia datang dan ia pergi. Namun begitu bagi ramai orang, kesemuanya mesti di cari. Mesti digarap. Mesti usahakan sepenuh hati. Natijahnya nanti adalah nikmat yang boleh dikongsi bersama. No man is an island. Susah payah itu adalah ukuran peribadi dan pengalaman peribadi. Bila tamat belajar, bila sudah bekerja orang melihat senangnya. Di sebalik kesenangan itu tidak ramai yang mengetahui deritanya seorang mahasiswa semua IPT. Semuanya kita tanggung sendiri. Nikmatnya, jasanya kita hadiahkan kepada orang-orang di sekeliling kita. Mudah-mudahan menjadi amal jariah. Amal berkekalan untuk dibawa ke alam barzah.

Sunday, July 25, 2010

Seminar Sehari - Mebina Generasi Ulul Al-Bab Menurut Perspektif Al-Quran - Bahagian Kedua

Sabtu 24 Julai 2010 adalah sejarah bagi Persatuan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor. Seminar pertama yang dikendalikannya mendapat sambutan yang menggalakkan. Sasaran awal seramai 250 orang ternyata underestimated. Kehadiran seramai 320 orang dikira satu kejayaan kerana tiada pendekatan promosi dan hebahan yang khusus. Ada kebimbangan pada awalnya bahawa seminar ini mungkin kurang mendapat sambutan. Apatah lagi ianya berkaitan dengan Al-Quran.

Gerak kerja untuk menjayakannya ternyata menarik perhatian Pusat Islam UTHM. Lalu bergabunglah usahasama untuk menganjurkannya. Seminar yang dijangka ringkas itu jadi gah juga akhirnya.

Menghimpunkan guru-guru Al-Quran dari seluruh negeri Johor bukan suatu kerja yang mudah. Mereka terpaksa datang dengan bas. Ada pula bas yang tersesat berputar-putar di Batu Pahat walaupun Parit Raja tidak jauh dari Lebuhraya PLUS. Begitu takdirnya.

Tidak kurang juga halangan lain. RM50 atau RM30 masih menjadi halangan. Mendatangkan ilmuan yang tersohor dalam bidang mereka bukan sesuatu yang mudah. Namun rangkaian yang sudah saya dan isteri saya bina, memudahkan saya untuk meghubungi pakar-pakar yang diperlukan. Dulu ramai yang meminta supaya mereka didatangkan. Tidak jauh untuk bersama mereka. Rezeki kepada mereka yang dapat bersama. Perkongsian pengalaman bersama cendekiawan bukan sesuatu yang murah. Ilmu yang dikongsikan sangat besar, berat dan menyaratkan minda.

Membuka minda, membaja minda, mentarbiah minda dan mendidik minda menjadi sesuatu yang perlu. Darinya kita melihat akan kecilnya diri kita. Betapa kita perlukan asakan dan anjakan. Perubahan dan kitaran. Mencari ruang-ruang sinar yang menerangi jalan di hadapan. Melahirkan hati dan jiwa yang cintakan ilmu. Cintakan yang baru. Sayangkan yang datang. Kasihkan yang terbentang. Rindukan yang pelu dijulang-julang. Itulah ilmu yang membezakan fitrah manusia walaupun asalnya sama. Kita dari kerangka keturunan Adam yang sama tetapi berbeza kerana ilmu dan akhirnya berbeza kerana taqwa natijah dari perbezaan ilmu tadi.

Saya teruja apabila saya mengundang ilmuan-ilmuan yang ramai di Lembah Klang. Mereka dengan senang hati menerima undang itu. Mereka meluangkan masa. Mereka rasa bahagia dapat berkongsi ilmu. Mereka senyum dan tawa. Santai minda mereka memanjang. Bertanya penuh ghairah di mana dan bila. Malangnya, malangnya audien yang disasarkan selalu tidak dapat bersama. Tidak dapat menghadirkan diri. Tidak dapat menimba ilmu mereka. Tidak dapat menikmati kehebatan ilmuan-ilmuan tersebut. Tidak dapat dan terus tidak dapat.

Cendekiawan selalu menyebut jika mahu seribu daya dan jika tidak mahu seribu pula dalihnya. Bukalah hati. Bukalah minda. Bukalah perasaan. Bukalah jiwa. Binakan wawasan. Binalah minda yang boleh menerobos keluar dari diri supaya boleh menyatu dan bergabung dengan alam maya yang penuh mistri ini. Alam luas yang penuh nikmat tetapi sukar dimengerti. Namun yang pastinya ilmuan kesemuanya mengerti dan boleh berkongsi sedikit yang mereka mengerti itu. Tanpa dampingan dari mereka kita akan terus dalam gelap. Dalam jahil. Meraba-raba mencari cahaya. Cahaya itu terang tetapi kita tidak melihat apa-apa. Tidak nampak dan tidak pernah silau dengan kilauannya.

Sedih juga memikirkan. Yang hendak mentarbiah sentiasa bersedia tetapi yang hendak ditarbiah selalu menolak. Cuba saudara bayangkan, sesama mereka yang bergelar ilmuan kagum mengkagumi antara satu sama lain. Kita memandang setiap seorang daripada mereka adalah sangat hebat. Namun mereka memandang kepada rakan ilmuan yang lain di kalangan mereka sebagai idola. Orang yang perlu dirujuk. Yang perlu dicontohi. Yang perlu diteladani. Mereka belajar dan terus belajar. Lalu mereka kongsikan pengalaman ilmiah itu kepada kita. Mereka telah mencarinya. Mereka telah menemuinya. Kenapa payah bagi kita untuk menerimanya. Bahkan payah untuk megedar atau membacanya.

Kita kembali kepada ungkapan bahawa "Jauhari Juga Yang Mengenal Ma'nikam". Kita semua mesti berada dalam lingkungan ilmu. Di dalamnya kita merasa keindahannya. Kita menikmati manisnya. Kita nikmati sinar dan terangnya. Selagi kita tidak masuk ke dalam lingkungan itu, kita akan terlindung dari merasakan nikmat itu. yang ditakuti ialah apabila Allah menjadikan hati kita tertutup untuk itu. Hati akan jadi gelap. Bila gelap sesatlah kehidupannya. Tiada pedoman. Tiada ikutan. Tiada panduan. Akan teraba-raba mencari di mana punca dan sumbernya.

Persatuan kebajikan Guru-uru Al-Quran Negeri Johor ingin mentarbiahkan masyarakat dengan Al-Quran. Mudah-mudahan dari mencantikkan pembacaannya hinggalah kepada mentafsir dan mentadabburnya. Kata Sayidina Ali, "Aku belum khatam memahami Al-Quran." Ungkapan itu ketika Rasululah wafat. Bayangkan seorang sahabat kabir, yang dekat dan sezaman dengan Baginda merasakan dirinya masih kurang. Rasulullah menyifatkan Ali adalah gedung ilmu. Namun Ali masih terasa dirinya kekurangan. Siapalah kita berbanding dengan Ali. Gelarannya sahaja Karamallah Wajhah. Sahabat kagum dengan ilmunya. Musuh gentar mendengar namanya. Dia masih merasa kurang ilmunya. Masih merasa tidak cukup!

Tiada seorang ulamak yang menyangkal bahawa menuntut ilmu itu wajib: fardhu ain dan fardhu kifayah. Bergantung kepada kepentingannya. Oleh itu jadilah di antara mereka yang dahagakan ilmu. Yang ingin tahu. Yang selalu meneroka mindanya. Yang selalu bertanya kerana banyak yang tidak kita ketahui walaupun kita berhadapan dengannya.

Wahyu Allah pertama yang berupa lima ayat pertama surah A-'Alaq ditafsirkan sebagai membaca dan hal-hal yang berkaitan dengan bacaan. Termasuklah menyelidik, membuat eksperimen, mengamati, membuat tinjauan dan berbagai-bagai lagi kaedah untuk menyelesaikan masalah. Dari usaha-usaha itulah manusia yang beriman menemui Allah dan agamanya. Mengenal Allah yang mencipta dan menyediakan syurga dan segala nikmatnya. Bagi yang ingkar Allah membuang mereka ke neraka dan azabnya. Na'udzubillahi min dzalik.

Ilmu sangat penting kepada orang Islam hatta kepada semua yang benama manusia. Tanpanya amalan kita sukar diterima Allah. Mencari barakah ilmu itu adalah sangat penting. Di sana akan ada cahaya. Darinya segala nikmat akan didatangkan.

Carilah ilmu kerana ia membina aura
Pancaran cahara darinya menerangi segala
Gelap akan terhindar, menerpa cahaya
Mengangkat nama, martabat dan tingginya harga

Tidak pernah sama tinggi dan rendahnya
Mereka yang berilmu tetap di atas segala
Menjadi mereka yang tentu berbeza
Resam dan adatnya untuk Yang Esa

Takutnya kepada Yang Khaliq
Yang ditimba ilmu sedikit untuk celik
Menapak jalanan lurus berlapik
Mencari redha untuk jalan balik

Terasa kerdil bak debu belaka
Alam semesta yang luas dicipta
Meneroka besarnya naungan
Moga hidup di bawah lindungan

Seminar Sehari - Membina Generasi Ulum Al-Bab Menurut Perspektif Al-Quran

Intipati sedutan ucapan alu-aluan Yang DiPertua Persatuas semasa majlis perasmian yang disempurnakan oleh oleh YB Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkasi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

---------------------------------------------------------------------------------------------

الْحَمْدُ للّهِbersyukur kita kepada Allah SWT yang dengan inayahnya pada hari ini seminar sehari dengan tema Membina Generasi Ulul Al-Bab Menurut Perspektif Al-Quran anjuran bersama Persatuan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor dan Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dapat diadakan. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad saw, keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam sekaliannya.

Persatuan ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada YB Dr Haji Mohd Puad bin Zarkasi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia kerana sudi melapangkan sebahagian daripada masanya untuk bersama kita pada hari ini. Saya difahamkan YB ada tiga majlis pada hari ini. Majlis kita ini adalah yang kedua. Terima kasih YB.

Terima kasih juga khususnya kepada Prof Madya Dr Syed Dawilah al-Edrus dari Pusat Islam UTHM yang memberi perhatin kepada usaha persatuan ini. Terima kasih juga kepada semua hadirin dan hadirat yang saya kira menyokong kuat seminar dengan menyertainya pada hari ini. Alhamdulillah, sokongan tuan-tuan dan puan-puan adalah dorongan semangat yang kami perlukan untuk menjalankan aktiviti lain pada masa hadapan.


Persatuan ini saya kira sebuah NGO kecil yang merangkak-rangkak perlahan untuk membangunkan ummah dengan Al-Quran. Guru-Guru Al-Quran di Negeri Johor seramai hampir 2,000 orang tetapi yang menganggotai Persatuan ini sekitar 950 orang sahaja. Ramai antara mereka masih melihat dari jauh mengenai kemampuan Persatuan untuk bergerak dan ke arah mana pula hala tujunya.

Seminar sehari yang disambut oleh Pusat Islam UTHM ini besar maknanya kepada Persatuan. Dapat melaksanakannya pada hari ini adalah suatu anugerah Allah SWT demi usaha untuk memartabatkan Al-Quran dan Islam.


Cita-cita untuk menjayakan seminar ini telah diideakan pada tahun lalu. Namun harapan kami berbaur kebimbangan untuk melaksanakannya. Kemampuan kami untuk menghimpunkan audien seramai ini menakutkan kami. Apalah kemampuan yang ada. Alhamdulillah berkat keyakinan dan sikap optimis semua AJK Persatuan kami gerakkan usaha ini. Pada hari ini kami realisasikan impian tersebut bersama-sama. Demikianlah rasa bimbang dan takut menguasai rasa bahagia di tengah-tengah maraknya gelora pencerahan ilmu.

Al-Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw bermula dengan Iqra’ dan diakhiri dengan ayat 281 surah Al-Baqarah:

Maksudnya: Dan peliharalah diri kamu dari huru hara hari (qiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikit pun. (Al-Baqarah 2:281).

Allah telah menyempurnakan agama Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhaiNya. FirmanNya:

Maksudnya: Pada hari ini, Aku (kata Allah) telah sempurnakan bagi kamu agama kamu , dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha akan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Al-maidah 5:3).


Bertitik tolak dari Al-Quran tersebut, umat Islam silam telah membina peradaban yang tinggi yang menjadi ikutan kepada bangsa Barat. Umat Islam telah maju, maju dengan segala jenis ilmu dari falsafah kepada sains dan teknologi ketika orang Barat masih jahil ilmu selama 1,000 tahun dari kurun ke 4 hingga kurun ke 14. Hanya setelah tamatnya Perang Salib, barulah mata mereka terbuka untuk mengambil ilmu-ilmu Islam dan dijadikan asas untuk mereka membina peradaban mereka.

Malangnya umat Islam sampai ke peringkat zon selesa hingga mereka layu untuk menuntut ilmu, alpa dan hanya bermandi kenangan kejayaan masa silam. Oleh itu kita perlu bergerak semula. Membina dari runtuhan-runtuhan tersebut untuk kembali mendepani peradaban lain masa kini.

Persatuan mengambil inisiatif ini untuk kita sama-sama fikirkan impak Al-Quran dan Islam kepada diri kita. Lalu kita tiada pilihan lain kecuali untuk mendapatkan semaksimum mungkin ilmu yang boleh dipelajari. Kita ingin kembali membina peradaban Islam dengan acuan Al-Quran.

Persatuan ingin bersama tuan-tuan dan puan-puan untuk merentasi zaman, melangkaui pemikiran, membuat anjakan paradigm, menelusuri ilmu-ilmu sains dan teknologi seperti yang digariskan dalam Al-Quran. Kita telah terlalu lama membaca Al-Quran. Kita telah mencantikkan cara dan kaedah membacanya dengan bertaranum umpamanya. Sekarang kita maju lagi ke hadapan, melangkah lebih jauh dengan mentadabburnya. Kita gali isinya. Kita laksanakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Sarwa rahsia Al-Quran adalah untuk kemanfaatan manusia. Allah menganugerahkannya kepada kita sama ada dalam bentuk mujmal, musykil atau mutasyabih atau secara muhkamat, secara jelas nyata. Tugas kita pula adalah untuk mentafsirkannya menjadi sesuatu yang dapat diamalkan dan diaplikasikan dalam seluruh kehidupan di dunia untuk ke akhirat. Inilah usaha persatuan untuk cuba memenuhi amanah keilmuan, menjadikan masyarakat negri Johor supaya terhormat dan bermartabat ke arah misi dan visi kecendikiawan Islam yang sentiasa terarah kepada Al-Quran sebagai sumber peradaban.


Kementerian Pelajaran Malaysia telah menerapkan banyak subjek yang berkaitan dengan Tasawwur Islam, Al-Quran dan Sunnah, Pangajian Agama Islam, Bahasa Arab dan yang lain-lain. Mungkin YB kalau boleh Persatuan ingin mengajukan satu langkah lagi iaitu mempertimbangkan supaya tilawah Al-Quran menjadi syarat wajib lulus PMR umpamanya bagi semua pelajar Islam. Kita tidak ada pilihan YB. Maafkan saya, sekiranya boleh kita ramaikan imam-imam pelapis sebaik "Imam-Imam Muda" seperti di rangkaian Oasis Astro. Bukan mustahil jika kita mulakan dari sekarang. Kita bina kekuatan bersama. IPT seperti UTHM banyak sumber idea dan wacananya. Libatkan sama institusi yang lain. Kita bina semula, kita perkasakan Al-Quran dan Islam. InsyaAllah.

Persatuan ini merupakan NGO baru. Masih bertatih. Hasrat kami besar menggunung. Kami ingin tarbiahkan ahli-ahli supaya meningkat tinggi bersama tingginya martabat Al-Quran. Namun kami menghadapi banyak kekangan. Paling besar ialah kewangan. Kami perlukan penaja-penaja yang berkeupayaan untuk memperkasakan aktiviti kami.

YB sekiranya ada mana-mana dana yang boleh dihulurkan kepada kami, memang nyiru kami tadahkan. Kami sedang merancang banyak aktiviti. Oleh itu kami memohon harap apalah kiranya YB dan para budiman yang lain sudi membantu menaja aktiviti kami itu. InsyaAllah hasrat kami untuk menjana perubahan tentang kepentingan hakikat ilmu sains dan Al-Quran akan menjadi kenyataan. InsyaAllah.

Mengejar Pelangi

Anak sulong dan kedua berjaya ke USA, yang keenam berjaya pula ke UK. Malang bagi yang ketiga, keempat dan kelima tidak mendapat peluang yang sama. Ekonomi merudum pada zaman mereka. Walaupun sudah diramalkan bahawa the bubble will burst, tidak ramai yang mengambil pusing. Ramai yang mabuk hingga lupa bahawa ayunan naik dan ayunan turun dalam ekonomi adalah sesuatu yang fitrah. Tahun 1998 ramai yang terperangkap. Yang ditakuti benar-benar terjadi. Hingga sekarang ekonomi tidak benar-benar pulih.





Dalam pada itu ramai orang membuat perbandingan antara pelajar lulusan luar negara dengan pelajar lulusan dalam negara. Di mana untung dan di mana pula masalahnya. Mungkin saya ada authority untuk bercakap tentang hal itu. Ijazah prtama saya di dalam negara. Ijazah kedua pula di luar negara. Anak-anak ada yang lulusan luar negar dan ada pula yang lulusan dalam negara. Begitu juga dengan menantu-menantu. Melihat ke dalam dan melihat keluar banyak bezanya. Nilai-nilai yang diserap berbeza. Kita boleh bercakap mengenai sikap, falsafah hidup, gaya hidup, pandangan global dan peribadi yang terbentuk kerananya.



Saya tidak menafikan kemajuan yang telah kita capai setelah lebih setengah abad kita merdeka. Namun pengalaman menunjukkan terlalu ramai orang yang "terpelajar" sekalipun belum mencapai taraf civil atau civic mindedness seperti yang dimiliki oleh orang Barat. Kita masih banyak melihat kegilaan yang low class, kata Tan Sri P Ramlee dalam filemnya Masam-Masam Manis. Di Barat khsusnya di USA dan Canada seperti yang saya alami, keadaan banyak mengajar manusia lebih bersifat kemanusiaan. Malah kadang-kadang sifat kemanusiaan itu hingga tidak masuk akal. Bayangkan, harta pesaka diwasiatkan kepada anjing atau kucing!



Seperti kata Mohammad Abduh, "Aku ke Barat dan melihat Islam walaupun tiada orang Islam. Bila aku kembali ke Mesir, aku melihat orang Islam yang tidak Islamik." Graduan dalam negara dan graduan luar negara seperti ada jurang pemisah. Jangan marah jika bakal majikan lebih memihak graduan luar negara sebagai bakal pekerja mereka. Banyak faktor plus atau positif yang dimiliki graduan luar negara.



Ramai pelajar yang berada di luar negara belajar berdikari. Dari awal kali pertama mereka jejakkan kaki mereka di bumi itu hinggalah mereka pulang, 100% berdikari. Mereka jauh dari ibu bapa, adik beradik, saudara mara, suasana, persekitaran, budaya, makanan, pakaian, majlis-majlisan dan berbagai lagi yang terpaksa ditinggalkan di kampung halaman kerana berhijrah sementara. Demi mencari ilmu dan pengalaman merantau dan di rantauan. Bila belajar berdikari tentulah lebih mengenal diri sendiri. Lebih tahu maklum dan jahilnya. Tahu langit tinggi dan rendahnya. Tahu membawa diri. Banyak tahu dari tidak tahu.



Pelajar-pelajar yang muda-muda biasanya sangat rindukan masakan emak mereka. Masakan kampung Mak Limah, Mak Tijah, Mak Piah. Jika di USA atau Canada lebih banyak Kentucky, Pizza Hut, McDonald, Kenny Rogers, A&W dan entah apa-apa lagi. Mana nak cari nasi lemak, roti canai, laksa Penang, lontong, soto dan penyelera-penyelera yang lain. Tempe ada di USA kerana mereka mengakuinya sebagai the best source of protein. Lebih baik daripada daging. Sebelum tahun-tahun 1986 lagi sudah ada kursus-kursus membuat tempe di community college. Ramai juga isteri pelajar Malaysia yang belajar membuatnya mengikut kaedah orang di sana. Lebih hygenic mungkinnya.



Pelajar-pelajar Melyu yang muda-muda ramai tidak tahu memasak. Makan tidak pula pernah menolak. Umur 17 dan 18 tahun belum biasa ke dapur. Sehingga mendapat SPM tidak pernah mahir memasak. Menanak nasipun tidak masak kadang-kadang. Hangit mungkin selalu. Atau mungkin banyak kali terlebih air. Makan bubur jadinya. Setelah beberapa bulan, bila selera mula tumpul, bila kecur teringat masakan kampung, masakan emak, mulalah ligatkan akal. Isteri-isteri pelajar Malaysia akan jadi sasaran. Terutama sekali yang agak berumur seperti isteri saya dahulu. Bila menjelang tengahari berderinglah telefon. Mereka meminta resepi itu dan ini siap dengan prosedurnya sekali. Tidak kurang juga bila hendak memasak telefon ke rumah di Malaysia. Memasak sambil menelefon ibu di kampung. Adalah seorang dua yang ibu bapanya loaded.






Ramuan untuk masakan ada di mana-mana. Selera sahaja berbeza. Bahan untuk memasak juga ada di mana-mana asalkan ada orang India, 0rang Cina dan orang Asia yang lain. Jika pandai memasak, berselera sungguh bila makan. Sebab itu graduan luar negara pasti pandai memasak. Empat atau lima tahun di perantauan tidak terlarat hendak memakan masakan tempatan setiap hari. Banyak jemu dari seleranya. Sesiapa yang tidak belajar memasak sebelum berangkat dahulu pasti menyesal. Warung atau kedai makan masakan kampung tidak ada di sana. Mungkin ada seorang dua orang Melayu yang berhijrah, membuka kedai makan. Di Toronto ada sebuah kedai anak Johor. Namanya Johari. Kedainya Jungle Joe. Adalah soto, lontong dan sebagainya. Faham-faham sahajalah. Harganya tentu agak prohivitive bagi pelajar yang bergantung kepada biasiswa.



Ramai pelajar Melayu walaupun yang lelaki pandai menghias rumah. Orang Amerika umpamanya pandai menghias rumah. Dari luar, rumah mereka tidak ada yang agak menarik. Mereka lebih kepada hiasan dalaman. Bahagian luar kurang dipedulikan kerana perubahan cuaca dan iklim menyulitkan mereka untuk mengawal keadaan. Di dalam rumah lain pula ceritanya. Kebanyakan rumah bukan berbentuk mansion tetapi rumah-rumah biasa yang kecil-kecil ruang tamunya. Mereka lebih menumpukan kepada interior decoration - hiasan dalaman.



Bagi pelajar Melayu, pengalaman sebegini mengkayakan mereka. Bila kembali mereka menjadi pegawai besar. Sifat berdikari mereka agak timngi. Mereka sudah biasa berpandangan global. Rangkaian mereka global. Jiwa mereka global. Pendekatan mereka bekerja global. Tidak pula 100% mereka begitu. Dalam setandan kelapa ada juga yang komeng. Begitu juga graduan dalam negeri. Ramai juga yang baik dan global. Tetapi mereka bekerja lebih kuat untuk membina rangkaian global sedangkan graduan luar negara sudah tersedia membina rangkaian itu.



Itu pandangan peribadi saya berdasarkan pengalaman belajar di luar negara. Juga berdasarkan pengalaman anak-anak belajar di luar negara. Kita perlu bertapak dengan local blend. Namun dalam dunia yang semakin mengecil ini kita perlu keluar untuk mencipta global blend dan global impact. Kepompong yang membelenggu kita mesti dipecahkan supaya kita menjadi global players.






Dari satu sudut kita mengalirkan wang kita keluar negara kerana mengimport pendidikan. Pelajar kita yang beribu-ribu di luar sana membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun. Di sebalik itu pula kita menterjemahkan import itu dalam bentuk maklumat, kemahiran dan teknologi. Malaysia dihuni oleh graduan yang membawa pulang bersama mereka global outlook dan mungkin global outreach. Kita ingin meraih dividen dalam bentuk penterjemahan teknologi yang disesuaikan dengan keadaan sekeliling dan persekitaran Malayasia. Kerugian kerana mengimport pendidikan akhirnya sebagai suatu keberuntungan kerana graduan kita membawa pulang teknologi.



Walau apapun, peranan kita tidak berhenti sebagai penonton semata-mata. Yang tua pandulah anak-anak untuk maju ke hadapan. Maju menerobos masa depan dengan tekad dan kegemilangan. Yang muda belajarlah dari mereka yang sudah lama makan garam, asam dan gula. Yang banyak pengalamannya. Yang banyak rencah yang menjadikan dirinya.



Ada yang berminagt dengan kari kepala ikan merah. Silakan






Bahan-bahannya -

Kepala ikan merah (saiz pilihan masing-masing), Kari Adabi - 2 paket kecil, Sambal nasi goreng Adabi - 1 paket kecil, Bawang merah - 4 labu sederhana, Bawang putih - 5 ulas, Serai - 2 batang, Halia - sepotong kira-kira 3 cm, Asam jawa - secukup rasa, Kayu manis - 4 cm, Bunga lawang - 1 kuntum, Cengkih - 4 ulas, Buah pelaga - 2 biji, Daun Kari - ikut rasa, Garam - secukup rasa, Gula - sedikit, sebagai ganti aji-no-moto, Air 3 cawan, Minyak zaiton (atau lain) - 1/2 cawan.



Persediaan -


Ikan dipotong ikut saiz masing-masing. (Tidak dipotong pun boleh juga), Bawang putih kemikkan sahaja. (Tekan dengan pisau), Bawang merah dimayang, Serai dan halia dimayang juga, Kari dan sambal dimasukkan ke dalam mangkuk. Bubuh air untuk menjadikannya cecair pekat,


Memasak -

Goreng rempah tumis (kayu manis, cengkih, pelaga dan bunga lawang) bersama bawang, halia dan serai. Bila bawang agak kuning dan aroma tumisan itu sudah semerbak, masukkan bancuhan kari. Tumis hingga terasa kari itu nampak pekat likat. Bubuh asam barang setengah camca teh (guna asam Adabi). Mudah dan tidak perlukan air. Bubuh pula garam dan sedikit gula.




Akhir sekali bubuh ikan. Golek-golekkan dan simbah ikan dengan kari yang pekat itu. Gaul dan biarkan dalam 15 minit. Kemudian kecilkan api dan biarkan selama 15 minit lagi. InsyaAllah, jika tidak dipujipun akan selera orang yang memakannya.



Ingatan: Resepi ini bebas santan. Jika gunakan minyak zaiton lagilah nyah kolestrol. Resepi oranga. Selera tetap m u Selamat mencuba. Sekarang juga.










































Rabu 14 Julai 2010

Thursday, July 22, 2010

64 atau 66

Tidak kira dalam kiraan apa. Masehi atau Hijrah. Usia sudah melewati 64 tahun.

Hari ini saya merasa kembali kecil, menerima ucap selamat dari ramai orang. Paling memeranjatkan ialah ucapan melalui kad dari Naib Censelor. Bagai dibuai tubuh saya membacanya. Suatu kejutan yang sukar diungkapkan.

Saya merasa kembali kecil kerana lazimnya mereka yang kecil mendambakan ucap selamat hari jadi. Yang dewasa dan tua hanya menyempurnakan hasrat itu. Menggembirakan yang muda. Menyukakan mereka. Membahagiakan mereka dengan usapan. Dengan dakapan. Dengan kucupan di dahi. Dengan belaian jejari jemari. Kuntum-kuntum ungkapan yang manis. Muluk. Indah-indah belaka.

Setahun lagi usia bertambah. Setahun lagi ajal mendekat. Semakin jauh dunia ini harus ditinggalkan. Semakin berlari mengejar yang abadi. Siapapun akan tersedar dari lamunan-lamunan indah itu. Bahawa masanya sudah sekian hampir. Bahawa ikatan-ikatan dahulu itu harus dirungkai. Membina ikatan-ikatan baru untuk membiasakan diri dengan yang baru-baru belaka. Buka kegilaan untuk mencari yang baru tetapi bersedia untuk berada dengan bersama yang baru.

Sesungguhnya tua itu baru. Sakit itu baru. Maut itu baru. Alam barzah itu baru. Lama mana pun kita, akhirnya menemui semua yang baru itu. Akan ditinggalkan yang lama-lama, sama ada senang atau payah. Suka atau tidak.

Waktu-waktu itu semakin mendekat. Tetapi ucapan-ucapan happy birthday, sanah helwa, selamat hari jadi, selamat panjang umur akan ditinggalkan tahun demi tahun. Ucapan-ucapan itu datang dan pergi. Yang pastinya saya semakin berusia. Semakin kehilangan tenaga, stamina dan keghairahan orang muda. Yang masih ada barangkali tekad, azam, dan hasrat untuk mencanai usia supaya ada manfaatnya.

Mudah-mudahan Allah memberi barakah. Amin.

Wednesday, July 14, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab Tujuh

Belajar banyak pengorbanannya kepada orang-orang seangkatan seperti saya. Sekarang ini cerita kepayarahn untuk belajar itu masih kedengaran di sana sini. Cerita sebegitu jarang dipaparkan. Jarang diceritakan. Jarang dihidangkan untuk menjadi iktibar bagi mereka yang senang. Bagi mereka yang tidak pernah menjenguk payah. Bagi mereka yang semuanya dihidangkan on as silver platter. Cerita payah hanya milik orang tidak berada. Milik mereka yang tidak upaya. Mereka yang mampunya hanya memendam rasa. Menjenguk rasa sendiri. Dalam kerjaya saya sebagai pendidik, ada insiden saya berhadapan dengan pelajar-pelajar yang sukar perjalanan hidupnya. Tetapi semuanya hanya sementara. Sebulan dua sahaja. Ada sahaja bantuan yang dapat diberikan. Membantu menyelesaikan masalah. Selesaiakan hal akdemik.

Saya ingin kembali dengan menilai harga diri. Di mana kita sebenarnya. Antara susah dan senang. Antara suka dan hiba. Antara miskin dan kaya. Antara pandai dan jahil. Antara tahu dan alpa. Antara tahu dan tidak tahu. Kita selalu tercari-cari harga diri. Mencari kepastian hidup dan mati kita. Mencari damai di hati. Harus menyatu dengan akur fitrah yang datang menerpa. Datang menimpa. Ujian dan cabaran yang harus ditantang. Yang datangnya tidak diundang dan perginya payah hendak buang.

Kata William Shakespear hidup ini hanya lakonan. Manusia adalah pelakon-pelakonnya sahaja. Alam ini adalah pentas lakonan. Antara realiti dan fantasi saya lalui semua itu demi mengejar kaki pelangi yang penuh dengan kilauan emas. Seorang sahabat lama mengirimkan lagu kesukaan kami pada tahun-tahun 70an dahulu.

At the end of the rainbow
You'll find a pot of gold
At the end of a story
You'll find its all been told
But our love has treasured
Our heart can always spend
And it has a story
Without any end

At the end of a river
The water stops to flow
At the end of a highway
There's no place you can go
But just tell me you love me
And you are only mine
And our love will go on
Till the end of time

Saya tidak pasti. Tidak ingat nama penyanyinya. Rasanya seperti Nat Kingcole. Begitulah cerita dan harapan. Ada mula dan ada penamatnya. Tetapi kenangan yang berpanjangan kekal abadi menancap di jiwa. Jika tidak didokumenkan ia pasti hilang begitu sahaja. Betapa besar sejarah manusia. Tetapi dilupakan begtu sahaja. Sejarah kemanusiaan yang menyapa semua insan. Yang membangunkan keinsanannya. Yang menemukan dirinya dengan pencariannya. Kemuncaknya tentulah bertemu dengan khaliqnya. Yang abadi.

Kindahan berpaut pada harapan itu menjadikan manusia berusaha menggapai yang muluk-muluk di hadapan mereka. Tangan mereka menjangkau jauh ke hadapan untuk terus berpaut pada tahap-tahap keindahan yang lebih menjanjikan. Itulah perjuangan. Itulah pengorbanan. Ada yang senang dan ada yang payah. Saya melalui yang payah itu. Bila saya menoleh ke belakang banyak yang perlu ditangiskan. Banyak yang perlu terus disimpan. Yang dapat dilahirkan hanya timbulan ketulan bongkah ais di Kutub Utara. Di Artik. Banyak kenangan silam yang harus ditenggelamkan di bawah paras air laut. Biar tenggelam dan kekal masin. Ia akan cair sendiri bersama masa. Ruginya tidak dapat melahirkan isi hati yang sebenar. Melahirkan masa lalu yang jauh lebih parahnya. Apakan daya. Takut nanti ada yang terasa. Terhiris tidak menentu.

Setiap manusia ada harga dirinya. Harga diri yang sangat mahal. Ia telah membangunkannya melalui masa yang panjang. Penuh dengan air mata. Penuh dengan keringat. Penuh dengan luka di hati, perasaan dan jiwanya. Terkorban demi keadaan yang tidak perlupun untuk diingat. Tetapi jika dibiarkan di benak begitu sahaja tentulah tidak ada cerita yang dapat dikongsi. Sesungguhnya sejarah manusia hanya ceraian dan cebisan-cebisan kecil yang dipungut sepanjang hidupnya. Himpunan cebisan itu membentuk seorang manusia dengan nilai yang berbagai. Kemausiaannya dan pengalamannya menjadikan ia istimewa atau biasa-biasa sahaja. Antara kemahuan dan kehendak yang tidak terbatas saya harus membina batas yang saksama. Saya kongsikan yang tersurat dan bukan yang tersirat.

Banyak lagi yang tidak terungkap. Sabarlah jika ada masa. Nanti, esok lusa kita sembang lagi.

Monday, July 12, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab 6

Meninggalkan isteri dan anak-anak di kampung terlalu banyak mengorbankan perasaan. Paling tersayat ialah makan dan minum mereka. Pakaian anak-anak tidak menjadi masalah. Sewaktu di Kuala Terengganu dulu saya dan isteri belikan yang agak alah membeli dan menang memakai. Lagipun isteri saya pandai menjahit. Jahit menjahit, potong memotong dan upah menjahit boleh belaka ketika itu. Waktu senggangnya banyak. Waktu lapangnya banyak. Waktunya belum sibuk seperti sekarang. Dalam usianya 60 tahun sekarang ini dia masih ligat putaran dan kitaran hidup dan aktivitinya. Belum nampak akan mengurang. Bak gasing, Urinya masih boleh mati berdiri. Tumbang tidak sekali. Masih banyak yang belum selesai.



Oleh kerana saya pulang ke kampung sekali sebulan maka saya tinggalkan bekal untuk cukup sebulan. Namun dalam keadaan tidak kecukupan saya terpaksa berikhtiar lain. Keluarga tidak pernah diberitahu. Tidak pernah diminta bantuan. Tanggung sendiri. Di kampung sebelah (Parit Puasa) ada dua buah kedai runcit. Sebuah kedai Malbari dan sebuah kedai Melayu. Kedai Malbari itu sangat sinonim dengan keluarga saya. Sudah kenal dari arwah datuk saya lagi. Berpuluh tahun keluarga saya mengenalinya. Maka berundinglah saya dengan pemiliknya. Nanti isteri saya mendapatkan keperluan di kedai itu. Cukup bulan saya datang membayarnya. Setiap bulan saya tidak gagal membayarnya walaupun kadang-kadang sedikit lewat. Maka makan dan minumlah isteri dan anak-anak saya bersama arwah ibu saya kerana saya tinggalkan isteri dan anak-anak bersama arwah ibu. (Kedai itu sudah tiada lagi. Peniaga Malbari itu menjualnya kepada peniaga Melayu. Tetapi tidak panjang usianya).



Saya buat juga perjanjian dengan pemilik kedai yang sebuah lagi, pekedai Melayu. Tetapi maaflah bila lambat sedikit banyak omelnya. Bukan bantunya. Sesungguhnya orang Melayu masih jauh tertinggal berbanding dengan budaya orang Arab atau India atau Cina dalam hal membantu keluarga atau bangsanya. Di Batu Pahat umpamanya, tiada orang Arab yang susah atau merempat. Setiap orang ada kerja. Yang berniaga memberi kerja. Yang tidak berniaga membantu memberi tenaga. Hatta yang janda sekalipun anak-anak mereka dibela secukupnya. Jangan dikira belanja persekolahan dan makan minum. Begitu juga pakaian. Lihatlah betapa majunya keluarga Bajrai di Batu Pahat. Mereka ada kedai runcit, karpet, buku, pakaian, kain, farmasi, pelancongan, pemaju perumahan, aktif politik dan sebagainya.



Entahlah, bilakah agaknya orang Melayu tulen akan mencapai keperihatinan sebegitu. Bagi orang Melayu jika kurang meminta, lebih suka pula makan sendiri. Melebihkan untuk diri sendiri. Sifat memberi sangat lambat, kurang dan cuba pula dihindarkan. Barangkali ada kesilapan di mana-mana. Ukhwah Islamiah dan Melayuwiyyah banyak di bibir dan di mulut sahaja. Jarang menusuk ke hati. Selagi tidak dibuang sifat iri yang negatif itu mungkin lambat lagi orang Melayu tulen ini akan maju, menuju ke hadapan, membelah kemajuan, menancap ekonomi, menjunjung agama, menjulang sains dan teknologi dan memakmurkan alam dunianya.



Dalam sebuah hadith Rasulullah, mafhumnya, "Dua jenis iri dibenarkan. Pertama iri kepada orang berilmu yang mengamalkan ilmunya dan mengajar orang lain akan ilmunya. Keduanya, iri kepada orang kaya yang menginfakkan hartanya ke jalan Allah." Malangnya orang Melayu masih sangat iri terhadap perkara-perkara yang bukan hak. Fenomena itu ada di mana-mana. Di bandar, kampung, pejabat, sekolah, pasar, luar negara. Hatta di mana sekalipun. Puas saya mengembara dalam negara dan luar negara, iri orang Melayu ada di mana-mana.

Pada tahun kedua di UM (1976) anak-anak saya sudah mula ke Tadika. Jauh juga dari rumah. Setiap pagi isteri saya menghantar mereka berbasikal. Kedua-duanya dibonceng bersama. Waktu pulangnya juga dengan basikal. Walaupun jalanraya sudah luas terbentang, gambaran pohon getah dengan akar banirnya yang licin, tanahnya yang becak, lekit dan hitam gambut masih tetap terbayang. Laluan isteri dan anak-anak saya itu adalah laluan yang sama. Laluan yang saya rentas setiap hari waktu di sekolah kebangsaan dahulu. Kebetulan tadika itu di sebelah sekolah saya dahulu. Sekolah Kebangsaan Seri maimun, Parit Othman, Parit Sulong, Batu Pahat. Walaupun kepayahan dahulu sudah tidak ada, jalan merentas itu tetap menjadi nostalgik. Pahatan ingatan yang tidak boleh padam. Datang dan pergi di mata.

Waktu menghantar anak-anak sebelah pagi tidaklah terlalu rumit. Cuaca dan suhu di kampung masih sejuk mencengkam pada waktu pagi. Damai, bersih dan nyaman sepanjang jalan. Kenderan dan pencemarannya belum menyesakkan nafas dan rasa. Cuma waktu kembalinya dari tadika itu, keadaan agak panas dan memenatkan. Mengayuh basikal dengan dua orang anak bukan sesuatu yang memudahkan. Hati dan perasaan isteri saya cukup teruja untuk memandaikan anak-anaknya. Mentarbiahkan mereka untuk lari dari kebiasaan yang biasa-biasa. Untuk mengeluarkan anak-anak dari kepayahan kami berdua. Untuk lari dari amalan konservatif yang memomok dan mengongkong diri. Untuk keluar dari kepompong lama yang merimaskan.

Biasalah anak-anak. Matanya liar nampak itu dan ini. Ada sahaja mintanya. Yang kedua selalu mendahului kakaknya bila meminta. Bila melintas kedai ragamnya meninggi. Rela terjun basikal kerana terasa kehendaknya tidak akan tercapai. Atau isteri saya lambat memberi respon. Allah. Manalah hendak membeli. Saya bukan banyak meninggalkan wang untuk isteri dan anak-anak. Jika ada diguna secermat mungkin. Tersangat berpada-pada. Barangkali anda semua boleh bayangkan. Anak itu yang umurnya sekitar tiga tahun terjerit-jerit di tepi jalan kerana hendakkan sesuatu. Sanggup mencangkung dan berbaring. Gamak terguling-guling. Apalah daya seorang ibu jika tidak mengasihi anaknya. Jika tidak mengalah dengan karenahnya. Jika tidak menyempurnakan hajat anaknya. Jika tidak meredakan ragamnya. Anak sekecil itu apalah yang boleh dipengapakan. Akhirnya kasih sayang juga yang megatasi segalanya. Diturut hendak dan ragamnya. (Sebak juga saya pada saat ini). Anak-anak terpaksa menanggung derita dan merasa penanggungan berat tanpa mereka mengerti erti kepayahan ibu dan bapanya.

Mendidik anak bukanlah sesuatu yang santai. Perlu ada rencana. Perlu ada wawasannya. Perlu ada rentasan waktu di hadapanya. Perlu ada hambatan-hambatan rasa, hasrat, cita dan azam. Semuanya harus menyatu untuk mendambakan yang manis-manis dan muluk-muluk belaka. Mengingat kembali semua ini mengingat semula kepayahan masa lalu yang berulang. Kitaran masa yang timbul tenggelam. Mencari dasar dan tapak untuk teguh kejap berpijak nyata. Yang nyatanya masa dulu-dulu itu adalah pencarian untuk membina masa hadapan. Menongkah waktu dan zaman. Mencari pelangi dan spektrumnya. Mencari indah yang dijanjikan kepada yang mencari.

Untungnya saya dan isteri banyak menyama rasa. Kami tidak membeli jajanan di jalan. Tidak banyak membeli apa yang melintas di hadapan rumah. Kami tidak ajar anak-anak suka berbelanja mengikut selera. Kebanyakan masa makanan dibawa ke rumah. Makan di rumah. Berebut di rumah. Kenyang di rumah. Waktu balik kampung yang lazimnya memakan masa 7 hingga 8 jam kami tidak makan di kedai. Isteri saya menyediakan bekalan untuk kami makan dalam perjalanan. Lauk pauk ringkas dan senang tetapi tetap menyelerakan. Bukan sahaja seperti selalu saya katakan isteri saya cukup sedap air tangannya tetapi faktor ramai, penat dan suasana di luar rumah sentiasa membuka selera. Tetap kecur air liur. Makan kami seperti tidak ada kenyangnya. Ada sahaja selera. Payah hendak patah selera. Kecurnya memanjang.

Aduhai mesih mengingat masa lampau. Zaman-zaman itu sudah lama berlalu. Sekarang kami selalu berdua. Anak-anak yang dulunya di keliling pinggang meninggalkan kami seorang demi seorang. Yang berumah tangga, yang sudah bekerja dan yang masih belajar semuanya jauh dari rumah. Sewaktu teringin membina Taj Mahal dahulu kesemua mereka masih ada. Dirancang supaya mereka seronok di rumah yang cukup selesa untuk mereka. Hakikatnya tidak begitu. Ahkirnya mereka hanya kembali mungkin di hujung bulan atau di hari cuti atau pada majlis-majlis tertentu yang diatur atau pada hari raya.

Seri rumah itu bersinar bila mereka kembali. Ada keriuhan anak cucu. Namun bila mereka kembali tiada, kesunyian itu menghambat kembali. Datang lagi meninggalkan kenangan-kenangan dan keriuhan-keriuhan lama. Alhamdulillah kepayahan dulu-dulu itu tersimpan dalam ingatan. Blog ini akan dibaca oleh anak-anak dan cucu cicit selagi masih boleh dibaca. Mudah-mudahan ia memberi keinsafan bahawa induk mereka dahulu datang dari rentasan masa yang sangat suram dan samar. Sekarang ini mereka dalam cahaya yang terang. Doa saya mereka meneruskan obor terang itu merentas zaman-zaman di hadapan mereka.

Saturday, July 10, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab 5

Saya ingin kembalikan diri saya ke UM. Tahun-tahun 1975-79. Empat tahun saya di sana. 4 tahun yang sarat dengan karenah mahasitua. Bukan tua sangat. Baru 29 tahun. Sudah beristeri dan dua orang puteri. 29 tahun bukan tua pun tetapi berbanding pelajar yang lulus STPM langsung dari SPM, usia mereka sekitar 20 tahun. Saya nampak tua di kalangan mereka. Bila saya tamat belajar umur saya 33 tahun. Matured, komen Datuk Dr Fong Chan Onn (mantan Menteri Sumber Manusia) waktu saya mengisi borang untuk mengikuti kursus MEd saya di USA pada tahun 1984 dulu. Waktu itu ia menjadi dekan di Fakulti Ekonomi. Sebelum menceburi politik sepenuh masa. Sebenarnya ramai juga rakan guru yang sebaya seperti saya. menjadi mahasitua. Hasrat besar untuk menggamit menara gading. Mencapai mercu tinggi yang menggapai awan.


Tahun pertama di UM banyak onak dan durinya. Dari sekolah menengah yang jauh di selatan, kemudian menjadi guru, terlontar pula di UM tentulah mengundang seribu satu macam cabaran. Budaya belajarnya, budaya sosialnya, budaya akademiknya. Paling gila ialah membeli cetakan fotostat yang dihidangkan oleh pelajar-pelajar seniour. Entah berapa banyak yang saya beli. Harga tidaklah begitu mahal. Sekitar RM10. Tetapi waktu itu 10/400 saya kira banyak juga. Jika hendak membeli buku yang sebenar (yang ori) tentulah lebih tidak berkeupayaan. Aduhai. Inilah masanya pelajar-pelajar seniour mendapat peluang mengumpul sedikit wang saku. Harapkan biasiswa memang tidak mencukupi. Hendak meminta bantuan ibu bapa lagilah gila jadinya. Jika penoreh getah atau nelayan, berapa sen sangat yang dapat untuk membantu anak.


Di USA harga buku teks baru dan harga buku teks terpakai tidak jauh bezanya. Sekitar 5USD sahaja. Yang terpakai pula penuh dengan contengan, coretan, tulisan, calitan dan sebagainya. Harganya tetap mahal. Begitulah mereka menjaga harta intelek. Dengan cara itu mereka masih kekal menjual yang baru. Penulis buku (yang selalunya pensyarah) menikmati hasil intelek mereka tanpa batasan.

Sewaktu belajar di UM dulu, wang memang sangat-sangat menyulitkan. Separuh gaji sekitar RM400 rasanya paras-paras hidung sahaja jika tidak di paras mata. Bayangkanlah iris yang separuh tenggelam. Sukar sungguh menerawang masa depan. Walaupun masa depan apabila turun dari menara gading penuh dijanjikan yang muluk-muluk belaka. Mana ansuran vespa. Mana sewa rumah. Mana makan dan minum anak dan isteri di kampung. Mana makan dan minum sendiri. Mana minyak Vespa. Mana hendak beli buku. Allahu Akbar. Pakaian memang payah hendak berganti.

Paling sukar adalah meninggalkan dua orang anak kecil saya. Yang sulung baru berusia 3 tahun sewaktu saya mula belajar. Yang kedua berumur 1 tahun 10 bulan. Yang sulung sudah mula memahami dirinya yang ditinggalkan. Sewaktu umurnya 3 tahun setengah selalu saya terima suratnya. Pendek dan ringkas. Berkat rajin isteri saya yang mengajar mereka membaca sejak boleh mengenal angka, huruf dan nombor. Aklhamdulillah IQnya tinggi. Suratnya sarat dengan rindukan abahnya yang jauh. Kembali menemui mereka sebulan sekali tidak cukup bagi mereka. Setiap kali menerima surat itu (tentunya sebagai juga proxy isteri saya) bagai hilang separuh dari nyawa saya. Hujung bulan juga saya dapat kembali. Setiap minggu tidak terlarat. Jalan lama dahulu amat lambat sampainya. Lebuh raya PLUS belum diimpikan lagi. Menunggang Vespa nampak glamour tetapi daging punggung bagai hilang, kebas kepenatan. Entah berapa kali terengsut-engsut di atas motorsilkal itu. Berhenti, entah berapa kali. Siksa. Perjalanan yang menyiksakan. Demi perjuangan untuk mencari yang namanya ilmu.

Rindukan anak kedua lebih mencabar lagi. Pernah sekali ia menangis sekuat-kuatnya sewaktu hendak saya tinggalkan untuk kembali ke kampus. Meruntun-runtun jiwa kecil saya. Wahai anakku lepaskanlah abahmu. Abah hendak mencari ilmu. Ilmu yang nanti akan memperbaiki hidup kita. Ilmu yang akan mengeluarkan kita dari paras kepayahan yang masih ada saki bakinya. Sepanjang perjalanan itu hati saya rawan. Allah, kenapa mesti saya berpisah dengan mereka. Mereka perlukan peluk cium saya. Mereka perlukan rindu saya. Mereka perlukan perlindungan dan pembelaan saya. Mereka perlukan abahnya. Mereka hendak bermanja. Berkeletah. Meragam seorang anak.

Ingatan yang menyambar-nyambar minda menyebabkan saya alpa sebentar. Di Sungai Besi, berhampiran dengan kem tentera, Vespa saya terlanggar lubang. Allahu Akbar. Alhamdulillah saya tidak terjatuh. Dapat mengawal keadaan kerana saya tidak memandu laju. Namun roda hadapannya bengkuk juga. Terpaksa mencari kedai motorsikal untuk membetulkannya. Anak kedua saya itu memang manjanya cukup-sulup. Rajuknya juga kur semangat. Kakaknya selalu beralah. Jika makan gula-gula, terpaksa kakaknya luahkan untuk diberikan kepadanya kerana mintanya tidak akan berhenti selagi tidak diberi.

Kehidupan sebagai pelajar banyak cabaran minda dan perasaan. Barangkali meninggalkan anak-anak kecil banyak menderitai jiwa saya kerana saya sayangkan mereka. Waktu kecil itulah sepatutnya saya sentiasa bersama mereka. Apalah daya, keadaan tidak mengizinkan lagi. Banyak liku-liku kehidupan yang kadang-kadang tidak kita ketahui bila datangnya. Allah yang merancangkan untuk kita. Sebagai pelajar banyak episod derita yang saya tanggung. Fizikal, mental, spiritual, psikologikal. Kesemuanya menggabung untuk menguji ketahanan diri. Itulah saya belajar mengenai AQ - Advesary Quotient yang membantu saya mengekalkan stamina untuk belajar dan mencapai kejayaan.

Isteri dan anak-anak saya juga derita di kampung. Saya tinggalkan mereka kerana rasanya tidak kecukupan untuk membawa mereka berhijrah ke Kuala Lumpur yang menakutkan jiwa kecil seperti saya. Makan dan minum mereka jauh dari mencukupi. Tiada siapa yang memahami kekurangan-kekurangan yang mereka alami. Semuanya ditelan begitu sahaja. Mungkin deritanya tidak terlalu menghimpit kerana di keliling rumah arwah ibu dahulu banyak buah pisang, durian, manggis, rambutan dan ciku. Sayur pucuk manis, paku pakis merah, pucuk ubi, pisang muda, umbut, peria dan kacang panjang yang ditanam sendiri. Separuh gaji sebanyak RM400 jauh dari mencukupi. Orang hanya melihat tetapi kami yang menanggungnya. Perit bahu memikulnya. Sekarang ini apabila saya pulang ke rumah, Taj Mahal itu adalah lambang mahalnya pengorbanan dan jerih perih yang kami tanggung dahulu. Isteri saya senang dengannya. Rekabentuknya memenuhi citarasnya. Bebels-belas kali kami ubah di sana sini sebelum benar-benar dibina. Anugerah untuk seorang isteri. Semoga deritamu dahulu terubat sayang.

Yang menjadi masalah sewaktu saya tinggalkan mereka dahulu ialah beras dan lauk pauk. Mana wangnya untuk mencukupkan?

Saturday, July 3, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab 4

Universiti Malaya (UM) banyak sejarah di kalangan alumninya. Ramai antara mereka menjadi orang besar negara. Ada yang menjadi Perdana Menteri. Yang menjadi menteri memang ramai. Pegawai kerajaan dan tokoh swasta lagilah ramai. Pendek kata apabila keluar dari UM pasti 'jadi orang'.

Banyak yang indah-indah di sana. Siapa yang tidak ingat tasiknya. Entah berapa banyak pasangan yang mengikat janji di situ. Entah berapa ramai yang beranak pinak. Seperti lumrahnya entah berapa ikatan yang terlerai di situ. Ada yang datang dan ada yang pergi. Perpustakaan yang sentiasa tersergam, agam dan menggmit pelajar-pelajar yang setia. Dewan Tunku Canselor dan plaza siswa yang ada di belakangnya.

Begitu juga kolej-kolej kediaman yang berada di keliling kampus. Dulu kolej 5 adalah yang paling jauh. Sekarang kolej 5 dijirani kolej 11 dan kolej 12. Ada pula komplek sukan. Mungkin Akademi Islam yang paling jauh ketik ini. Saya hanya berkerkesempatan tinggal di asrama Zaaba selama seminggu dalam masa orientasi. Selepas it mencari tempat tinggal di luar kampus.

Cerita rumah ini banyak episod dukanya. Cerita guru lagi. Waktu tahun 60an dan 70an belajar di UM banyak siksanya. Sekarang ini terlalu ramai mahasiswa dan mahasistua yang berkereta ke kampus. Waktu saya dulu bermotorsikal sudah cukup mewah. Ramai pula yang sedia membonceng. Apa lagi jika Vespa dan Lambretta. Lambang kegilaan dari Itali. Memang ramai guru yang bermotorsikal. Tetapi itu adalah keperluan yang sangat diutamakan. Untuk ke kuliah, ke perpustakaan, ke masjid. Wang di saku memang tipis. Secukupnya sahaja.

Bagaimana ya mahasitua mengurus hidup. Bagi guru yang isterinya bekerja tentulah tiada masalah kewangan. Tetapi bagi yang lain seperti orang berpakaian singkat. Serba tidak kena. Pada era itu walaupun UM itu gah, ramai pelajarnya yang hidup melarat dan merempat semata-mata untuk menjejak segulung ijazah tanpa mengira kualitinya. Tetapi untuk menghabiskan masa selama 3 tahun, banyak keajaiban yang diperlukan. Sebenarnya ramai yang menolak bila mendapat tawaran ke universiti. Suatu keberanian yang luar biasa untuk sampai di IPT. Untuk bercuti dengan separuh gaja memang suatu pengorbanan yang bukan calang-calang. Mana nak beli buku sedangkan hutang rumah perlu dibayar. Mana nak bayar yuran sedangkan hutang kereta perlu ditunaikan. Mana nak berlau sedap sedangkan anak-anak sudah bersekolah. masakan hendak bermewah sedangkan isteri dan anak-anak di kampung cukup mengikat perut. Hanya pesan, "Sabarlah sayang. Tiga tahun nanti hidup kita aka berubah. Doakan abang." Saya menghembus suara. Hanya Allah yang tahu deritanya untuk menghabiskan jangkamasa tiga tahun. Derita itu hanya boleh ditangung sendiri. Tidak perlu dikongsi. Hanya manyayat hati.

Ramai guru yang makan sekali sehari. Mereka berpuasa sepanjang hari. Makan hanya waktu malam sahaja. Seminggu pertama setiap bulan mungkin ada peruntukan untuk makan siang. Itupun cuma seminggu sahaja. Tiga minggu berikutnya mereka mengikat perut. Sukar mencari guru yang gemuk waktu berda dalam kampus. Piggang saya bersaiz 27 sewaktu keluar dari kampus. Sekarang mencecah saiz 35. Manakan tidak, siang berlapar, malam berjaga pula. Sekali dua kita ajak makan, mereka menolak sahaja. Lama kelamaan perasan juga. Kasihan. Rupanya mereka berpuasa. Saya yang makan terasa berdosa pula. Semuanya demi kelangsungan hidup. Suatu perjuangan. Suatu jihad barangkali.

Bagi yang lain mereka ada bajet makan tetapi tidak mampu untuk menyewa rumah atau bilik. Banyak masjid yang mereka huni. Percuma. Ada yang tinggal di masjid Kajang setengahnya. Terutama apabila rakan mereka belajar di UKM. Mereka dalam kelompok ini mungkin kurang makan tetapi masih makan. Kurang lauk tetapi masih berlauk. Kurang banyak tetapi masih berlauk juga. Mungkinyang paling murah tetapi masih berlauk juga. masih ada rasa masin dan manis, masih masam dan kelatnya, yang pahit dan pedas. Cuma tidur mereka ala kadar sahaja. Tidaklah makan berlaukkan daun ubi rebus sahaja. Masih banyak nikmatnya.

Saya hanya boleh bercerita. Namun saya tidak merasa deritanya. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Bagi mereka, mendapat Ijazah Am sudah cukup membahagiakan. Jika mendapat honours memang berganda nikmatnya. Mereka kesemuanya sudah bersara. Derita di kampus sudah lama berlalu. Cuma kadang-kadang melihat kemewahan pada pelajar-pelajar sekarang saya rasa terkilan. Mereka tidak pandai merasa. Amalan berpuasa dalam bulan Ramadhanpun masih tidak mampu mengubah persepsi mereka tentang erti kehidupan. bahawa kemewahan yang mereka kecap adalah penat lelah datuk nenek mereka. Keringat dan air mata entah berapa tempayan yang mengalir. Derita itulah yang membahagiakan anak-anak, melapangkan kehidupan berkeluarga.

Friday, July 2, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab Tiga

Menjadi mahasitua bukan satu kerja yang senang. Terlalu banyak payahnya. masa dulu-dulu itu ramai guru yang melanjutkan pelajaran. Tumpuan utamanya tentulah UM. Sementelahan pula ramai antara mereka mengikuti Pengajian Melayu dan Sejarah. Tetapi cerita mereka penuh derita dan siksa. Apa yang saya alami masih boleh diterima akal sedangkan yang mereka alami jauh lebih perit lagi.

Jika hendak dikira, bukan guru-guru yang menjadi mahasitua sahaja yang perit hidupnya. Anak-anak muda yang memang mahasiswa juga tidak kurang azabnya. Beberapa kisah yang akan saya paparkan mungkin mustahil boleh dilalui lagi oleh mahasiswa masa kini. Tidak mungkin, tidak mungkin. Suatu pengalaman yang hanya boleh dilalui oleh orang dulu-dulu sahaja.

Sekumpulan pelajar selalu sangat meminta garam dari beberapa orang gadis yang menyewa di tingkat atas rumah sewa mereka. Pada mulanya gadis-gadis itu tidak mengesyaki apa-apa. Mereka bersangka baik. Tetapi setelah beberapa lama, mereka tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang menyebabkan mereka selalu meminta garam. Pada fikiran mereka garam terlalu murah. Takkan tak mampu beli. Hanya beberapa sen sekilo. Rasa ingin tahu mereka sudah tidak boleh ditahan lagi. Bagai hendak meletup dada mereka untuk bertanyakan hal itu.

Suatu hari, pada saat yang sarat dengan rasa ragu mereka bertanya juga. "Apa sebenarnya guna garam tu." Tanya seorang dari gadis itu. "Kakak bukan tak hendak beri garam tu. Mintaklah bila hendak. Cuma kakak nak tau. Buat apa garam tu. Itu sahaja." Lama palajar itu terdiam. Antara malu dengan jujur. Antara telus dan kabur. Antara terang dan gelap. Antara berterusterang atau diam.

Suspen kakak-kakak tu menanti jawapan. Entah ada jawapannya atau tidak. Lama antara mereka bungkam. Yang bertanya menanti jawapan. Yang ditanya terkulat-kulat hendak menjawab. Terperasan bahawa pelajar itu basah pipinya. "Macam ni kak. Kami selalu minta garam untuk merebus daun ubi." "Daun ubi buat apa?" tanya gadis. "Untuk lauk kami makan." Terurai semua yang terbuku. Terurai kepada yang ingin tahu. Terurai oleh pelajar yang menyimpan rahsia hati.

"Kami tinggal bertiga. Wang kami hanya cukup untuk membayar yuran, sewa rumah, beli beras, beli minyak motor. Kami hanya makan nasi berlaukkan daun ubi rebus." Sebak dada gadis-gadis itu mendengar jawapan. "Kami perlu belajar. Kami perlu tempat tinggal. Kami perlu kenderaan. Motorsikal tupun kami gunakan bergilir-gilir. Untuk kuliah dan ke perpustakaan. Mulanya kami makan sahaja daun ubi hambar tanpa garam tu. Lama kelamaan tak larat nak makan lagi. Tu yang kami mingta garam tu. Maaflah kak. Garampun kami tak mampu nak beli. Benar kak, kami tak mampu." " Mana dapat daun ubi tu? Beli kat mana?" Tanya lagi gadis itu. "Daun ubi kami dapat percuma dari Kampung Abdullah Hukum. Kat tepi rel keretapi tu. Kami kutip bila ada kelapangan. Itulah lauk kesayangan kami." Jawab mereka.

Lama gadis dan pelajar itu terkaku diam. Masing-masing terkedu dan tersendu menahan gelora. Yang gadis gelora kasihan. Yang pelajar gelora nasib diri yang terlalu daif. Terlalu miskin. Terlalu papa sebagai mahasiswa. Yang gah di luar tetapi derita di dalam. Air mata masing-masing deras mengalir. Membasahi derita muda yang harus dilalui sebagai bekal mengembara zaman. Untuk cerita lisan kepada anak cucu.

(Bagi mereka yang muda Kampung Abdullah Hukum mungkin sudah tiada dalam kamus lagi. Sudah hilang ditelan pembangunan kuala Lumpur. Kalau nak tahu, lokasinya antara Jalan Bangsar dan dan Kompleks Mid Valley.)

Itulah satu daripada banyak episod payahnya hendak menjadi graduan sebuah menara gading. Ibu bapa hanya menanti anaknya menjawat jawatan tinggi. Ada yang menanti bakal menantu berjawatan tinggi. Ada rakan iri hati kerana pangkatnya besar dan gajinya lebih tinggi. Ada masyarakat yang menyanjung tinggi. Hakikatnya ialah semua itu bersalut dengan kepayahan, siksa penderitaan, air mata dan keringat. Sakit dan jerih. Perit dan kadang-kadang penuh dengan penghinaan.

Atas nama ilmu. Atas nama cintakan ilmu. Atas nama untuk menjadi pandai. Menjadi intelek. Untuk mengeluarkan diri dan keluarga dari vicious circle kemiskinan tradisi turun temurun. Semua kepayahan itu diharungi. Akan nanti menjadi bekal supaya tidak lupakan diri. Supaya tidak lupakan asal usul. Supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Itulah hakikat. Hakikat sebuah perjuangan. Riwayat hidup mati yang panjang kisahnya. Demi survival dan kelangsungan hidup.

(Antara gadis-gadis dalam episod ini adalah adik ipar saya sendiri).