Monday, July 26, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab Lapan

UM merupakan suatu episod hidup yang sangat mengesankan. Kampusnya masih saya ulangi. Bukan mengulangi parut-parut lama tetapi hal-hal lain yang membawa saya ke sana. Kampus itu masih selalu mendepang tangan menerima saya. Kedai bukunya massih kunjungi. Dewan peperiksaannya masih saya ulangi kerana OUM megadakan peperiksaan di sana sekali sekala. Ramai teman yang menjadi warganya. Anak sepupu yang menjadi professor. Anak cucu saudara yang menjejak kaki di sana.



Menyorot UM kembali pastinya menyentuh detik-detik yang agak pilu. Bukan ilmunya yang daif. Bukan pensyarahnya yang lemah. Bukan kampusnya yang tidak teratur. Bukan persekitarannya yang cemar. Tetapi pengalaman menjadi siswanya yang penuh cabaran hidup. Cabaran mencari ilmu dengan bekal yang tidak seberapa.

Separuh gaji yang menyesakkan qalbu pada tahun pertama. Selama setahun menanggung berbagai kepayahan. Mana mengulang isteri dan anak-anak di kampung. Sebulan sekali mengenderai Vespa pergi dan balik. Panas dan terik matahari memijar di badan. Hujan dan renyai membasah baju. Angin dan debu memalu muka, hidung dan mata. Deruan angin memukul gegendang telinga. Silau nan cahaya memukau dekat dan jauh. Kebas punggung tidak terkira. Entah berapa kali berhenti memulih kebas dan darah yang tidak mengalir.

Wang hanya cukup untuk membeli minyak motorsikal, makan isteri dan anak di kampung. Pakaian ala kadar mana-mana yang boleh. Masalah besar saya ialah makan minum, membeli buku rujukan dan membayar yuran pengajian. Teringin juga memohon biasiswa. tetapi jumlahnya lebih kecil berbanding dengan separuh gaji. Lagipun peraturan tidak membenarkan mahasiswa memegang dua biasaiswa serentak. Mahu tidak mahu wang separuh gaji dijimat mana yang boleh.

Episod ini yang menjadi sangat rumit. Banyak waktunya barang kemas isteri saya terlucut dari badan. Bergolok bergadai. Keluar dan masuk pajak gadai. Dulu belum ada Ar-Rahnu. Yang konvensional juga dituju bila perlu. Untuk berjimat saya jarang makan. Apatah lagi makan mewah. Atau makan berulang-ulang. Paling banyak saya makan nasi berlaukkan ikan yang paling kecil dan sedikit sayur. Mungkin sekitar RM2.00 ketika itu. Maaf tahun 1975 terasa terlalu lama. Ada fakta yang dilupa walaupun banyak yang diingat. Kadang-kadang saya menyisih bila masa makan tengahari. Takut diajak rakan-rakan untuk ke kantin dan kafe. Saya cari bilik kosong atau ke perpustakaan untuk mengulangkaji.

Tengahari saya langkau dari makan. Petang nanti saya makan. Maaflah bukan makan nasipun. Zaman itu waktu petang mana ada nasi. Pagi tadi mungkin saya minum teh tarik dan sebungkus nasi lemak. 70 sen agaknya. Petangnya saya minum lagi teh tarik dan mungkin tiga biji karipap. Kira-kira RM1.00 sahaja. Begitulah rutin makan saya setiap hari. Perubahan minimum dari segi kuih yang dimakan. Tidak melibatkan perubahan atau tambahan bajet. Bayangkan waktu saya konvo pinggang saya bersaiz 27. Memang nempak tinggi dan lampai. Kurus melidi. Habis isinya saya curahkan untuk tamat dan mendapat ijazah. Cukuplah sebagai pengalaman berada di menara gading. Namun hakikatnya tidak begitu. Rupanya anak tangga yang lebih tinggi itu boleh dipanjat satu demi satu. Tinggi hanya pada padangan mata. Bila dilangkahi anak tangga, ke puncak juga akhirnya kita berada. Buat ijazah sarjana juga bila sampai masanya.

Menjelang peperiksaan pada hujung setiap tahun saya menghadapi kesukaran besar. Mana hendak mencari wang untuk membayar yuran yang tertunggak. Jika tidak dibayar tidak pula boleh mengambil peperiksaan. Ketika itulah berbagai alternatif diambil. Bergadai dengan barang-barang kemas isteri atau meminjam. Banyak masanya saya meminjam dari dana yang ada di universiti. Hanya untuk membayar yuran. Selepas tamat pengajian jenuh juga membayar pinjaman walaupun jumlah bulanannya tidaklah begitu membebankan. Ada masanya pula saya meminjam dari koperasi kampung. Letaklah barang kemas isteri sebaai cagaran. Bila lapang dari segi kewangan barulah bayar dan ambil semula barang kemas isteri. Begitulah berulang-ulang selama empat tahun di UM. Sebab itu UM banyak ikatannya di hati saya. Sukar untuk lekang dari ingatan. Pahit dan manisnya berbaur di sana.

Belajar di IPT tidak pernah ada senangnya. Dari dulu hingga sekarang , malah akan datang sekalipun. Payahnya itu akan terus kekal. Bentuknya mungkin berubah. Wang bukan penghalang bagi kebanyakan orang. Tetapi wang adalah penghalang paling besar bagi setengah orang yang lain. Tanpa wang yang mencukupi banyak nanti mencetuskan perkara-perkara yang di luar jangka. Yang berpotensi mungkin gagal atau tidak cemerlang. Yang lemah, berfikir dua kali kerana payahnya.

Bagi yang kekurangan dana, belajar di IPT seperti ada kekangan yang sukar diatasi. Tumpuan minda akan berlegar untuk menyelesaikan masalah diri. Akademik menjadi agenda yang selalu tertunda-tunda. Bila perut lapar banyak urusan fizikal menjadi terbantut. Paling baik ialah belajar mengurus diri, fizikal, dan persekitaran. Rezeki tidak datang bergolek. Senang tidak datang melayang. Bahagia tidak menjelma tetiba. Nikmat itu harus datang bersama barakahnya.

Derita tidak semestinya ulaman dan ramuan suatu kejayaan. Ia lumrah kepada manusia. Ia datang dan ia pergi. Namun begitu bagi ramai orang, kesemuanya mesti di cari. Mesti digarap. Mesti usahakan sepenuh hati. Natijahnya nanti adalah nikmat yang boleh dikongsi bersama. No man is an island. Susah payah itu adalah ukuran peribadi dan pengalaman peribadi. Bila tamat belajar, bila sudah bekerja orang melihat senangnya. Di sebalik kesenangan itu tidak ramai yang mengetahui deritanya seorang mahasiswa semua IPT. Semuanya kita tanggung sendiri. Nikmatnya, jasanya kita hadiahkan kepada orang-orang di sekeliling kita. Mudah-mudahan menjadi amal jariah. Amal berkekalan untuk dibawa ke alam barzah.

No comments:

Post a Comment