Sabtu 24 Julai 2010 adalah sejarah bagi Persatuan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor. Seminar pertama yang dikendalikannya mendapat sambutan yang menggalakkan. Sasaran awal seramai 250 orang ternyata underestimated. Kehadiran seramai 320 orang dikira satu kejayaan kerana tiada pendekatan promosi dan hebahan yang khusus. Ada kebimbangan pada awalnya bahawa seminar ini mungkin kurang mendapat sambutan. Apatah lagi ianya berkaitan dengan Al-Quran.
Gerak kerja untuk menjayakannya ternyata menarik perhatian Pusat Islam UTHM. Lalu bergabunglah usahasama untuk menganjurkannya. Seminar yang dijangka ringkas itu jadi gah juga akhirnya.
Menghimpunkan guru-guru Al-Quran dari seluruh negeri Johor bukan suatu kerja yang mudah. Mereka terpaksa datang dengan bas. Ada pula bas yang tersesat berputar-putar di Batu Pahat walaupun Parit Raja tidak jauh dari Lebuhraya PLUS. Begitu takdirnya.
Tidak kurang juga halangan lain. RM50 atau RM30 masih menjadi halangan. Mendatangkan ilmuan yang tersohor dalam bidang mereka bukan sesuatu yang mudah. Namun rangkaian yang sudah saya dan isteri saya bina, memudahkan saya untuk meghubungi pakar-pakar yang diperlukan. Dulu ramai yang meminta supaya mereka didatangkan. Tidak jauh untuk bersama mereka. Rezeki kepada mereka yang dapat bersama. Perkongsian pengalaman bersama cendekiawan bukan sesuatu yang murah. Ilmu yang dikongsikan sangat besar, berat dan menyaratkan minda.
Membuka minda, membaja minda, mentarbiah minda dan mendidik minda menjadi sesuatu yang perlu. Darinya kita melihat akan kecilnya diri kita. Betapa kita perlukan asakan dan anjakan. Perubahan dan kitaran. Mencari ruang-ruang sinar yang menerangi jalan di hadapan. Melahirkan hati dan jiwa yang cintakan ilmu. Cintakan yang baru. Sayangkan yang datang. Kasihkan yang terbentang. Rindukan yang pelu dijulang-julang. Itulah ilmu yang membezakan fitrah manusia walaupun asalnya sama. Kita dari kerangka keturunan Adam yang sama tetapi berbeza kerana ilmu dan akhirnya berbeza kerana taqwa natijah dari perbezaan ilmu tadi.
Saya teruja apabila saya mengundang ilmuan-ilmuan yang ramai di Lembah Klang. Mereka dengan senang hati menerima undang itu. Mereka meluangkan masa. Mereka rasa bahagia dapat berkongsi ilmu. Mereka senyum dan tawa. Santai minda mereka memanjang. Bertanya penuh ghairah di mana dan bila. Malangnya, malangnya audien yang disasarkan selalu tidak dapat bersama. Tidak dapat menghadirkan diri. Tidak dapat menimba ilmu mereka. Tidak dapat menikmati kehebatan ilmuan-ilmuan tersebut. Tidak dapat dan terus tidak dapat.
Cendekiawan selalu menyebut jika mahu seribu daya dan jika tidak mahu seribu pula dalihnya. Bukalah hati. Bukalah minda. Bukalah perasaan. Bukalah jiwa. Binakan wawasan. Binalah minda yang boleh menerobos keluar dari diri supaya boleh menyatu dan bergabung dengan alam maya yang penuh mistri ini. Alam luas yang penuh nikmat tetapi sukar dimengerti. Namun yang pastinya ilmuan kesemuanya mengerti dan boleh berkongsi sedikit yang mereka mengerti itu. Tanpa dampingan dari mereka kita akan terus dalam gelap. Dalam jahil. Meraba-raba mencari cahaya. Cahaya itu terang tetapi kita tidak melihat apa-apa. Tidak nampak dan tidak pernah silau dengan kilauannya.
Sedih juga memikirkan. Yang hendak mentarbiah sentiasa bersedia tetapi yang hendak ditarbiah selalu menolak. Cuba saudara bayangkan, sesama mereka yang bergelar ilmuan kagum mengkagumi antara satu sama lain. Kita memandang setiap seorang daripada mereka adalah sangat hebat. Namun mereka memandang kepada rakan ilmuan yang lain di kalangan mereka sebagai idola. Orang yang perlu dirujuk. Yang perlu dicontohi. Yang perlu diteladani. Mereka belajar dan terus belajar. Lalu mereka kongsikan pengalaman ilmiah itu kepada kita. Mereka telah mencarinya. Mereka telah menemuinya. Kenapa payah bagi kita untuk menerimanya. Bahkan payah untuk megedar atau membacanya.
Kita kembali kepada ungkapan bahawa "Jauhari Juga Yang Mengenal Ma'nikam". Kita semua mesti berada dalam lingkungan ilmu. Di dalamnya kita merasa keindahannya. Kita menikmati manisnya. Kita nikmati sinar dan terangnya. Selagi kita tidak masuk ke dalam lingkungan itu, kita akan terlindung dari merasakan nikmat itu. yang ditakuti ialah apabila Allah menjadikan hati kita tertutup untuk itu. Hati akan jadi gelap. Bila gelap sesatlah kehidupannya. Tiada pedoman. Tiada ikutan. Tiada panduan. Akan teraba-raba mencari di mana punca dan sumbernya.
Persatuan kebajikan Guru-uru Al-Quran Negeri Johor ingin mentarbiahkan masyarakat dengan Al-Quran. Mudah-mudahan dari mencantikkan pembacaannya hinggalah kepada mentafsir dan mentadabburnya. Kata Sayidina Ali, "Aku belum khatam memahami Al-Quran." Ungkapan itu ketika Rasululah wafat. Bayangkan seorang sahabat kabir, yang dekat dan sezaman dengan Baginda merasakan dirinya masih kurang. Rasulullah menyifatkan Ali adalah gedung ilmu. Namun Ali masih terasa dirinya kekurangan. Siapalah kita berbanding dengan Ali. Gelarannya sahaja Karamallah Wajhah. Sahabat kagum dengan ilmunya. Musuh gentar mendengar namanya. Dia masih merasa kurang ilmunya. Masih merasa tidak cukup!
Tiada seorang ulamak yang menyangkal bahawa menuntut ilmu itu wajib: fardhu ain dan fardhu kifayah. Bergantung kepada kepentingannya. Oleh itu jadilah di antara mereka yang dahagakan ilmu. Yang ingin tahu. Yang selalu meneroka mindanya. Yang selalu bertanya kerana banyak yang tidak kita ketahui walaupun kita berhadapan dengannya.
Wahyu Allah pertama yang berupa lima ayat pertama surah A-'Alaq ditafsirkan sebagai membaca dan hal-hal yang berkaitan dengan bacaan. Termasuklah menyelidik, membuat eksperimen, mengamati, membuat tinjauan dan berbagai-bagai lagi kaedah untuk menyelesaikan masalah. Dari usaha-usaha itulah manusia yang beriman menemui Allah dan agamanya. Mengenal Allah yang mencipta dan menyediakan syurga dan segala nikmatnya. Bagi yang ingkar Allah membuang mereka ke neraka dan azabnya. Na'udzubillahi min dzalik.
Ilmu sangat penting kepada orang Islam hatta kepada semua yang benama manusia. Tanpanya amalan kita sukar diterima Allah. Mencari barakah ilmu itu adalah sangat penting. Di sana akan ada cahaya. Darinya segala nikmat akan didatangkan.
Carilah ilmu kerana ia membina aura
Pancaran cahara darinya menerangi segala
Gelap akan terhindar, menerpa cahaya
Mengangkat nama, martabat dan tingginya harga
Tidak pernah sama tinggi dan rendahnya
Mereka yang berilmu tetap di atas segala
Menjadi mereka yang tentu berbeza
Resam dan adatnya untuk Yang Esa
Takutnya kepada Yang Khaliq
Yang ditimba ilmu sedikit untuk celik
Menapak jalanan lurus berlapik
Mencari redha untuk jalan balik
Terasa kerdil bak debu belaka
Alam semesta yang luas dicipta
Meneroka besarnya naungan
Moga hidup di bawah lindungan
No comments:
Post a Comment