Saturday, July 10, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab 5

Saya ingin kembalikan diri saya ke UM. Tahun-tahun 1975-79. Empat tahun saya di sana. 4 tahun yang sarat dengan karenah mahasitua. Bukan tua sangat. Baru 29 tahun. Sudah beristeri dan dua orang puteri. 29 tahun bukan tua pun tetapi berbanding pelajar yang lulus STPM langsung dari SPM, usia mereka sekitar 20 tahun. Saya nampak tua di kalangan mereka. Bila saya tamat belajar umur saya 33 tahun. Matured, komen Datuk Dr Fong Chan Onn (mantan Menteri Sumber Manusia) waktu saya mengisi borang untuk mengikuti kursus MEd saya di USA pada tahun 1984 dulu. Waktu itu ia menjadi dekan di Fakulti Ekonomi. Sebelum menceburi politik sepenuh masa. Sebenarnya ramai juga rakan guru yang sebaya seperti saya. menjadi mahasitua. Hasrat besar untuk menggamit menara gading. Mencapai mercu tinggi yang menggapai awan.


Tahun pertama di UM banyak onak dan durinya. Dari sekolah menengah yang jauh di selatan, kemudian menjadi guru, terlontar pula di UM tentulah mengundang seribu satu macam cabaran. Budaya belajarnya, budaya sosialnya, budaya akademiknya. Paling gila ialah membeli cetakan fotostat yang dihidangkan oleh pelajar-pelajar seniour. Entah berapa banyak yang saya beli. Harga tidaklah begitu mahal. Sekitar RM10. Tetapi waktu itu 10/400 saya kira banyak juga. Jika hendak membeli buku yang sebenar (yang ori) tentulah lebih tidak berkeupayaan. Aduhai. Inilah masanya pelajar-pelajar seniour mendapat peluang mengumpul sedikit wang saku. Harapkan biasiswa memang tidak mencukupi. Hendak meminta bantuan ibu bapa lagilah gila jadinya. Jika penoreh getah atau nelayan, berapa sen sangat yang dapat untuk membantu anak.


Di USA harga buku teks baru dan harga buku teks terpakai tidak jauh bezanya. Sekitar 5USD sahaja. Yang terpakai pula penuh dengan contengan, coretan, tulisan, calitan dan sebagainya. Harganya tetap mahal. Begitulah mereka menjaga harta intelek. Dengan cara itu mereka masih kekal menjual yang baru. Penulis buku (yang selalunya pensyarah) menikmati hasil intelek mereka tanpa batasan.

Sewaktu belajar di UM dulu, wang memang sangat-sangat menyulitkan. Separuh gaji sekitar RM400 rasanya paras-paras hidung sahaja jika tidak di paras mata. Bayangkanlah iris yang separuh tenggelam. Sukar sungguh menerawang masa depan. Walaupun masa depan apabila turun dari menara gading penuh dijanjikan yang muluk-muluk belaka. Mana ansuran vespa. Mana sewa rumah. Mana makan dan minum anak dan isteri di kampung. Mana makan dan minum sendiri. Mana minyak Vespa. Mana hendak beli buku. Allahu Akbar. Pakaian memang payah hendak berganti.

Paling sukar adalah meninggalkan dua orang anak kecil saya. Yang sulung baru berusia 3 tahun sewaktu saya mula belajar. Yang kedua berumur 1 tahun 10 bulan. Yang sulung sudah mula memahami dirinya yang ditinggalkan. Sewaktu umurnya 3 tahun setengah selalu saya terima suratnya. Pendek dan ringkas. Berkat rajin isteri saya yang mengajar mereka membaca sejak boleh mengenal angka, huruf dan nombor. Aklhamdulillah IQnya tinggi. Suratnya sarat dengan rindukan abahnya yang jauh. Kembali menemui mereka sebulan sekali tidak cukup bagi mereka. Setiap kali menerima surat itu (tentunya sebagai juga proxy isteri saya) bagai hilang separuh dari nyawa saya. Hujung bulan juga saya dapat kembali. Setiap minggu tidak terlarat. Jalan lama dahulu amat lambat sampainya. Lebuh raya PLUS belum diimpikan lagi. Menunggang Vespa nampak glamour tetapi daging punggung bagai hilang, kebas kepenatan. Entah berapa kali terengsut-engsut di atas motorsilkal itu. Berhenti, entah berapa kali. Siksa. Perjalanan yang menyiksakan. Demi perjuangan untuk mencari yang namanya ilmu.

Rindukan anak kedua lebih mencabar lagi. Pernah sekali ia menangis sekuat-kuatnya sewaktu hendak saya tinggalkan untuk kembali ke kampus. Meruntun-runtun jiwa kecil saya. Wahai anakku lepaskanlah abahmu. Abah hendak mencari ilmu. Ilmu yang nanti akan memperbaiki hidup kita. Ilmu yang akan mengeluarkan kita dari paras kepayahan yang masih ada saki bakinya. Sepanjang perjalanan itu hati saya rawan. Allah, kenapa mesti saya berpisah dengan mereka. Mereka perlukan peluk cium saya. Mereka perlukan rindu saya. Mereka perlukan perlindungan dan pembelaan saya. Mereka perlukan abahnya. Mereka hendak bermanja. Berkeletah. Meragam seorang anak.

Ingatan yang menyambar-nyambar minda menyebabkan saya alpa sebentar. Di Sungai Besi, berhampiran dengan kem tentera, Vespa saya terlanggar lubang. Allahu Akbar. Alhamdulillah saya tidak terjatuh. Dapat mengawal keadaan kerana saya tidak memandu laju. Namun roda hadapannya bengkuk juga. Terpaksa mencari kedai motorsikal untuk membetulkannya. Anak kedua saya itu memang manjanya cukup-sulup. Rajuknya juga kur semangat. Kakaknya selalu beralah. Jika makan gula-gula, terpaksa kakaknya luahkan untuk diberikan kepadanya kerana mintanya tidak akan berhenti selagi tidak diberi.

Kehidupan sebagai pelajar banyak cabaran minda dan perasaan. Barangkali meninggalkan anak-anak kecil banyak menderitai jiwa saya kerana saya sayangkan mereka. Waktu kecil itulah sepatutnya saya sentiasa bersama mereka. Apalah daya, keadaan tidak mengizinkan lagi. Banyak liku-liku kehidupan yang kadang-kadang tidak kita ketahui bila datangnya. Allah yang merancangkan untuk kita. Sebagai pelajar banyak episod derita yang saya tanggung. Fizikal, mental, spiritual, psikologikal. Kesemuanya menggabung untuk menguji ketahanan diri. Itulah saya belajar mengenai AQ - Advesary Quotient yang membantu saya mengekalkan stamina untuk belajar dan mencapai kejayaan.

Isteri dan anak-anak saya juga derita di kampung. Saya tinggalkan mereka kerana rasanya tidak kecukupan untuk membawa mereka berhijrah ke Kuala Lumpur yang menakutkan jiwa kecil seperti saya. Makan dan minum mereka jauh dari mencukupi. Tiada siapa yang memahami kekurangan-kekurangan yang mereka alami. Semuanya ditelan begitu sahaja. Mungkin deritanya tidak terlalu menghimpit kerana di keliling rumah arwah ibu dahulu banyak buah pisang, durian, manggis, rambutan dan ciku. Sayur pucuk manis, paku pakis merah, pucuk ubi, pisang muda, umbut, peria dan kacang panjang yang ditanam sendiri. Separuh gaji sebanyak RM400 jauh dari mencukupi. Orang hanya melihat tetapi kami yang menanggungnya. Perit bahu memikulnya. Sekarang ini apabila saya pulang ke rumah, Taj Mahal itu adalah lambang mahalnya pengorbanan dan jerih perih yang kami tanggung dahulu. Isteri saya senang dengannya. Rekabentuknya memenuhi citarasnya. Bebels-belas kali kami ubah di sana sini sebelum benar-benar dibina. Anugerah untuk seorang isteri. Semoga deritamu dahulu terubat sayang.

Yang menjadi masalah sewaktu saya tinggalkan mereka dahulu ialah beras dan lauk pauk. Mana wangnya untuk mencukupkan?

2 comments:

  1. Assalamu'alaikum, Tuan Haji.

    Pengorbanan yang amat besar nilainya. Jerit perih suatu ketika dahulu kini sudah berbayar. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

    Sekian, wassalam.

    ReplyDelete
  2. Itu yang mendamaikan hati. Susah dahulu jadi jambatan untuk menyeberang menggapai yang lebih indah.

    ReplyDelete