---------------------------------------------------------------------------------------------
الْحَمْدُ للّهِbersyukur kita kepada Allah SWT yang dengan inayahnya pada hari ini seminar sehari dengan tema Membina Generasi Ulul Al-Bab Menurut Perspektif Al-Quran anjuran bersama Persatuan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor dan Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dapat diadakan. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad saw, keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam sekaliannya.Persatuan ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada YB Dr Haji Mohd Puad bin Zarkasi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia kerana sudi melapangkan sebahagian daripada masanya untuk bersama kita pada hari ini. Saya difahamkan YB ada tiga majlis pada hari ini. Majlis kita ini adalah yang kedua. Terima kasih YB.
Terima kasih juga khususnya kepada Prof Madya Dr Syed Dawilah al-Edrus dari Pusat Islam UTHM yang memberi perhatin kepada usaha persatuan ini. Terima kasih juga kepada semua hadirin dan hadirat yang saya kira menyokong kuat seminar dengan menyertainya pada hari ini. Alhamdulillah, sokongan tuan-tuan dan puan-puan adalah dorongan semangat yang kami perlukan untuk menjalankan aktiviti lain pada masa hadapan.
Persatuan ini saya kira sebuah NGO kecil yang merangkak-rangkak perlahan untuk membangunkan ummah dengan Al-Quran. Guru-Guru Al-Quran di Negeri Johor seramai hampir 2,000 orang tetapi yang menganggotai Persatuan ini sekitar 950 orang sahaja. Ramai antara mereka masih melihat dari jauh mengenai kemampuan Persatuan untuk bergerak dan ke arah mana pula hala tujunya.
Seminar sehari yang disambut oleh Pusat Islam UTHM ini besar maknanya kepada Persatuan. Dapat melaksanakannya pada hari ini adalah suatu anugerah Allah SWT demi usaha untuk memartabatkan Al-Quran dan Islam.
Cita-cita untuk menjayakan seminar ini telah diideakan pada tahun lalu. Namun harapan kami berbaur kebimbangan untuk melaksanakannya. Kemampuan kami untuk menghimpunkan audien seramai ini menakutkan kami. Apalah kemampuan yang ada. Alhamdulillah berkat keyakinan dan sikap optimis semua AJK Persatuan kami gerakkan usaha ini. Pada hari ini kami realisasikan impian tersebut bersama-sama. Demikianlah rasa bimbang dan takut menguasai rasa bahagia di tengah-tengah maraknya gelora pencerahan ilmu.
Al-Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw bermula dengan Iqra’ dan diakhiri dengan ayat 281 surah Al-Baqarah:
Maksudnya: Dan peliharalah diri kamu dari huru hara hari (qiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikit pun. (Al-Baqarah 2:281).
Allah telah menyempurnakan agama Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhaiNya. FirmanNya:
Maksudnya: Pada hari ini, Aku (kata Allah) telah sempurnakan bagi kamu agama kamu , dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha akan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Al-maidah 5:3).
Bertitik tolak dari Al-Quran tersebut, umat Islam silam telah membina peradaban yang tinggi yang menjadi ikutan kepada bangsa Barat. Umat Islam telah maju, maju dengan segala jenis ilmu dari falsafah kepada sains dan teknologi ketika orang Barat masih jahil ilmu selama 1,000 tahun dari kurun ke 4 hingga kurun ke 14. Hanya setelah tamatnya Perang Salib, barulah mata mereka terbuka untuk mengambil ilmu-ilmu Islam dan dijadikan asas untuk mereka membina peradaban mereka.
Malangnya umat Islam sampai ke peringkat zon selesa hingga mereka layu untuk menuntut ilmu, alpa dan hanya bermandi kenangan kejayaan masa silam. Oleh itu kita perlu bergerak semula. Membina dari runtuhan-runtuhan tersebut untuk kembali mendepani peradaban lain masa kini.
Persatuan mengambil inisiatif ini untuk kita sama-sama fikirkan impak Al-Quran dan Islam kepada diri kita. Lalu kita tiada pilihan lain kecuali untuk mendapatkan semaksimum mungkin ilmu yang boleh dipelajari. Kita ingin kembali membina peradaban Islam dengan acuan Al-Quran.
Persatuan ingin bersama tuan-tuan dan puan-puan untuk merentasi zaman, melangkaui pemikiran, membuat anjakan paradigm, menelusuri ilmu-ilmu sains dan teknologi seperti yang digariskan dalam Al-Quran. Kita telah terlalu lama membaca Al-Quran. Kita telah mencantikkan cara dan kaedah membacanya dengan bertaranum umpamanya. Sekarang kita maju lagi ke hadapan, melangkah lebih jauh dengan mentadabburnya. Kita gali isinya. Kita laksanakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Sarwa rahsia Al-Quran adalah untuk kemanfaatan manusia. Allah menganugerahkannya kepada kita sama ada dalam bentuk mujmal, musykil atau mutasyabih atau secara muhkamat, secara jelas nyata. Tugas kita pula adalah untuk mentafsirkannya menjadi sesuatu yang dapat diamalkan dan diaplikasikan dalam seluruh kehidupan di dunia untuk ke akhirat. Inilah usaha persatuan untuk cuba memenuhi amanah keilmuan, menjadikan masyarakat negri Johor supaya terhormat dan bermartabat ke arah misi dan visi kecendikiawan Islam yang sentiasa terarah kepada Al-Quran sebagai sumber peradaban.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah menerapkan banyak subjek yang berkaitan dengan Tasawwur Islam, Al-Quran dan Sunnah, Pangajian Agama Islam, Bahasa Arab dan yang lain-lain. Mungkin YB kalau boleh Persatuan ingin mengajukan satu langkah lagi iaitu mempertimbangkan supaya tilawah Al-Quran menjadi syarat wajib lulus PMR umpamanya bagi semua pelajar Islam. Kita tidak ada pilihan YB. Maafkan saya, sekiranya boleh kita ramaikan imam-imam pelapis sebaik "Imam-Imam Muda" seperti di rangkaian Oasis Astro. Bukan mustahil jika kita mulakan dari sekarang. Kita bina kekuatan bersama. IPT seperti UTHM banyak sumber idea dan wacananya. Libatkan sama institusi yang lain. Kita bina semula, kita perkasakan Al-Quran dan Islam. InsyaAllah.
Persatuan ini merupakan NGO baru. Masih bertatih. Hasrat kami besar menggunung. Kami ingin tarbiahkan ahli-ahli supaya meningkat tinggi bersama tingginya martabat Al-Quran. Namun kami menghadapi banyak kekangan. Paling besar ialah kewangan. Kami perlukan penaja-penaja yang berkeupayaan untuk memperkasakan aktiviti kami.
YB sekiranya ada mana-mana dana yang boleh dihulurkan kepada kami, memang nyiru kami tadahkan. Kami sedang merancang banyak aktiviti. Oleh itu kami memohon harap apalah kiranya YB dan para budiman yang lain sudi membantu menaja aktiviti kami itu. InsyaAllah hasrat kami untuk menjana perubahan tentang kepentingan hakikat ilmu sains dan Al-Quran akan menjadi kenyataan. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment