Sunday, May 24, 2015

Nilai Melayu Mana Tingginya



Sejak kita mencapai kemerdekaan kehidupan orang Melayu semakin terhimpit. Tanah orang Melayu semakin banyak yang terlepas dari tangan mereka ke tangan orang lain. Sewaktu orang lain membina empayar besar dalam perniagaan, orang Melayu menjadi kuli dan papa kedana. Malah kerja-kerja yang dahulunya mereka lakukan diambilalih oleh pendatang asing yang hinggap di Malaysia berduyun-duyun ramainya. Di mana silapnya? Orang Melayu suatu ketika dahulu adalah:

1                    Pahlawan-pahlawan terbilang yang setia kepada negara dan rajanya.
2                    Mereka adalah orangkaya. Bukan gelaran tetapi realiti ketika itu. Usaha dan peluang yang diberi pemerintah menjadikan mereka kaya.
3                    Mereka menyeberang lautan dan mendaki bukit-bukau untuk membina kekayaan.
4                    Mereka tidak lupa tentang agama mereka walaupun sibuk dengan dunia.

Tahun 1509 menjadi tarikh yang tragis kerana datangnya Benggali Putih ke Tanah Melaka. Tahun 1511 Benggali Putih yang sama menawan Melaka. Datang pula Belanda dan Inggeris. Perang Dunia ke-II menyaksikan Jepun mengalahkan bangsa Eropah. Membuka mata rakyat tempatan khususnya pribumi menghalau terus orang putih kembali ke Eropah. Terdengarlah laungan. Tanah ini kita yang punya. Kita daulatkan diri kita di sini. Nenek dan moyang kita bersemadi di tanah ini. Kita merdeka dan kita kongsi bersama susah dan senangnya. Sama-sama kita menuju kejayaan.

Titik darah bangsa tidak habis di situ. Banyak pengorbanan untuk membina bangsa. Setelah 59 tahun merdeka kita banyak mengelamun mengenang nasib diri. Banyak tanah kita bukan lagi milik kita. Orang kita banyak yang fikirkan perut. Untuk kenyang bukan untuk kaya. Barangkali orang kita tidak jauh wawasannya. Hanya 59 tahun hampir kesemuanya tergadai. Menjadi milik orang lain. Kita selalu memikirkan yang sementara. Asalkan perut kenyang. Atau bagi setengah yang lain alas perutpun jadilah. Pada satu pihak kerajaan memotivasi supaya orang kita membangun diri. Menerima pambangunan yang dibawa pemerintah. Menyokong segala perancangan. Terdapat satu aspek yang terlepas pandang. Orang kita yang tidak bijak tidak dibantu dari segi berfikir. Tidak diajak untuk memelihara warisan nenek dan moyang mereka. Alangkah baiknya jika 59 tahun dahulu orang kita diajak berfikir pada aras tinggi. Melihat dari kacamata wawasan yang jauh. Membina warisan turun temurun untuk anak dan cucunya.

Apabila pembangunan dilaksanakan terlalu banyak tanah orang kita yang terjual. Yang tergadai. Sifat lemah kita tentang wang ringgit dan kekayaan dieksploitasi oleh mereka yang “celek” merancang masa hadapan untuk diri mereka sendiri tanpa memikirkan nasib bangsanya. Di luar sana ramai jerung-jerung ekonomi yang menawarkan bungkun kertas tunai. Sekali lagi orang kita terperangkap. Mereka tidak arif tentang wang. Bagaimana memeliharanya. Bagaimana menjana kekayaan dengan wang. Mereka menyangka wang adalah segala-galanya. Hanya beberapa ketika yang singkat mereka kehilangan segala-galanya. Dari tuan tanah yang mewah mereka menjadi orang kaya baru. Kemudiannya mereka menjadi mereka yang kehilangan tanah dan kehabisan wang ringgit. Tragedi Melayu yang melayu.

Fikir dan lihat kembali. Mana tanah yang asalnya bukan milik Melayu. Dari sultan hingga rakyat marhaen. Kesemuanya memiliki tanah. Satu demi satu terlepas kepada orang lain. Pemimpin pula melihat ini sebagai peluang memajukan negara at the expense of  orang Melayu. Mungkin jika kita berfikir secara waras sejenak kita dapat menilai semula apa yang perlu kita lakukan. Kenapa mesti dijual tanah yang sangat tinggi harganya. Orang Melayu mungkin tidak mampu membina bangunan bertingkat-tingat tingginya. Tidak memiliki wang berjuta atau berbiliun. Tink-tank Melayu boleh membantu dengan membuat garispanduan ekonomi kepada mereka yang memerlukannya. Kita perlu ada penilai berwibawa untuk membantu bangsanya sendiri. Tanah orang Melayu tidak perlu dijual. Usahakan supaya dihalang dari dijual. Mereka yang bertanggungjawab di Pejabat Tanah umpamanya perlu peka dengan perkara ini. Tanah orang Melayu hanya boleh disewa. Ya, perlu disewa. Bukan untuk dijual.

Tidak kira bangunan yang hendak dibangunkan di atas tanah itu. Asalkan patuh syarie. Maksudnya untuk kegunaan yang halal. Bukan premis judi umpamanya. Maknanya tanah orang Melayu di mana sekalipun lokasinya perlu disewa dan bukan dijual. Pemiliknya boleh pindah ke tempat lain asalkan segala perjanjian dan kontrak sewanya dipantau oleh tink-tank Melayu yang sayangkan bangsanya. Aspek yang berikut perlu diambil perhatian:

1                    Nilai sewa yang menasabah mengikut lokasi.
2                    Kenaikan nilainya dari masa ke semasa.
3                    Kadar semasa yang adil kepada pemilik dna penyewa.
4                    Semakan kenaikan sewa setiap lima tahun umpamanya dengan kadar kenaikan semasa.
5                    Ada peruntukan undang-undang yang membenarkan kontrak dan sewaan itu boleh ditamatkan.


Tanah yang  disewa mendatangkan pulangan tetap yang meningkat dari masa ke semasa. Pemilik tanah tidak kehilangan hakmilik ke atas tanahnya. Tidak ada tanah yang terlepas kepada orang lain. Kita masih belum terlambat sebelum segala-galanya menjadi bubur. Sebelum orang Melayu benar-benar mengemis di negaranya sendiri. Fikirkanlah dengan seadil-adilnya. Sewaras fikiran yang ada.

Saturday, May 9, 2015

Sensitiviti Hati Seorang Tua



Berapa ramai antara kita yang merancang untuk hari-hari tuanya. Apa yang dijangka apabila usia melampaui 70 tahun umpamanya. Kita selalu terlena dan barangkali terfana kerana selalu beranggapan bahawa kita akan selamanya hidup dalam keindahan. Apabila kita tersedar dari lamunan, zaman kanak-kanak kita telah lama berlalu. Zaman remaja kita telah lama pergi. Zaman mula berumahtanga dan memulakan keluarga juga tinggal samar-samar dalam kenangan. Yang tinggal hanya tubuh yang lemah seluruhnya. Sendi-sendi yang seperti hampir bercerai. Kulit penuh dengan kedut, menggerutu dan mengeras. Daging hilang kegebuannya. Tulang dan kulit itu yang menunjukkan kita terus lanjut usia. Apa lagi yang tinggal. Ingatan dan kenangan. Harapan sudah semakin pudar. Apabila tua menjelma yang datang juga berkait dengan siapa kita semasa muda.

Benarkah orang tua banyak ragam? Itulah yang selalu dilegarkan di minda kita. Sukar menjaga orang tua. Apabila kita teliti kesemua ini adalah persepsi. Hanya orang tua yang memahami orang tua. Orang muda sukar memahaminya kerana mereka belum mencapai usia itu. Terdapat tiga perkara yang melingkari hidup tua.

1                    Fizikalnya yang semakin lemah.
2                    Ibadahnya yang perlu dijaga.
3                    Sensitivitinya yang selalu menjauh.

Apapun yang kita bincang dan fikirkan hakikatnya begitu. Semakin tua maka semakin lemah segalanya. Kekuatan fizikal yang dahulu agam dan sasa, terhakis sedikit demi sedikit. Tiba-tiba segalanya sudah di luar kudrat yang biasa. Jalannya semakin perlahan. Tangannya tidak sekuat dahulu. Staminanya luput. Semangatnya pudar. Tanpa sakit berat sekalipun, kekuatan fizikal terhakis kerana faktor usia. Malah kadang-kadang untuk bercerita sekalipun sudah banyak malasnya. Tidak ada topik yang menarik minat lagi. Namun begitu kita mengetahui bahawa bermals-malas juga mengundang musibah. Fizikal kita tidak boleh dimanjakan. Perlukan rutin untuk mengekalkan sebahagian penting dari tenaga yang ada. Untuk mengekalkan tahap kesihatan yang perlu. Untuk hidup yang namanya hidup. Maka makanan menjadi penentu. Jadual makannya dijaga. Pemakanannya disesuaikan dengan keadaan fizikal dan penyakit yang ada. Tidur dan jaganya juga penting diambilkira.

Kekemasan dan kerapian menjaga orang tua tidak ada komprominya. Mandi dan bersihnya diberi perhatian istimewa. Ia refleksi kepada yang menjaganya. Khususnya anak-anak yang terlibat. Pakaianya apatah lagi. Selalu diganti. Dibasuh mengikut keperluannya. Tempat tidurnya dirapi dan disusun. Diwangi dan diharumkan. Ianya tidak boleh diambil mudah. Mereka di sekeliling orang tua perlu mengawasi keadaan. Kekotoran atau ketidakrapian boleh memurungkan keadaan. Maksudnya suasana hendaklah menceriakan. Hiasan sedikit sebanyak boleh mengubah keadaan. Orang tua bukan bermakna harus dilayan seperti tidak berguna. Mereka perlu berada dalam keadaan istimewa. Kesukaannya diberi keutamaan. Ketidaksukaannnya dihindarkan. Ragamnya diredam di hati. Marahnya didengar. Sayunya dihibur. Ceritanya diambil iktibar.

Semakin tua semakin lemah ingatan. Jadual rutin selalu menjadi kacau. Solat lima waktu kadang-kadang tersalah kira. Malam dan siang kadang-kadang seolah-olah sama. Menjadi tanggungjawab yang merawat dan menjaga untuk mempastikan ibadah orang tua terjaga. Sebab itu perlu dipastikan bahawa mereka berada dalam keadaan bersih dan suci. Terhindar dari hadath besar dan kecil. Apabila sampai waktu solat pastikan mereka berwuduk dan siap untuk solat. Yang boleh membaca al-Quran atau kitab atau buku, sediakan bahan-bahannya untuk mereka baca dan rujuk. Tua mereka  biarlah dengan ibadah. Dengan al-Quran. Dengan kitab. Mudah-mudahan sakit mereka tidak melupakan ketiga-tiga aktiviti tersebut. Kegagalan mereka beribadat tertanggung ke atas mereka yang menjaga dan merawatnya.


Orang dahulu dan sekarang banyak bezanya. Orang dahulu anak-anak mereka di sekeliling rumah. Ada yang di sisi dan ada yang di bahagian belakang. Apabila ibu dan bapa tua dan uzur anak-anak tinggal berhampiran. Setiap masa boleh dijenguk dan membantu mereka. Sekarang ini ekonomi menjadikan anak-anak berjauhan dari ibu dan bapa. Mungkin ada anak-anak yang tinggal berhampiran tetapi tidak di premis yang sama. Tidak di kawasan perumahan yang sama. Tidak dalam kampung yang sama. Ada jarak dan masa untuk sampai di rumah orang tua. Bagi semua orang tua, mereka yang paling dekat di hati ialah anak-anak. Bukan cucu dan bukan orang lain. Apabila usia tua menjelma anak-anak yang kerap bertentang mata yang selalu diingat. Andai ada anak yang datangnya perlu dijemput maka lama-lama kelamaan orang tua letih menunggu. Datanglah rajuk panjang yang mengerikan. Gurisan hati pada orang tua sebenarnya menjadi azab yang mungkin di dunia dan mungkin di akhirat. Sepasang ibu dan bapa berkeupayaan membesarkan seberapa ramai anak-anak. Walaupun mungkin tidak sempurna namun anak-anak mendapat pembelaan ibu dan bapa. Malangnya kitaran itu tidak selalunya kembali kepada mereka. Ramai anak-anak melupakan tanggungjawab. Berkira dengan jadual dan giliran. Banyak berkira siapa hantar dan siapa yang ambil. Sewajarnya masing-masing berebut-rebut untuk memberikan khidmat yang terbaik di akhir usia mereka. Khidmat yang terbanyak. Yang teristimewa. Yang menggembirakan. Ingatlah bahawa orang tua kita perlukan yang terbaik mengikut kemampuan kita masing-masing. Berilah yang terbaik selagi peluang masih ada. Jangan sia-siakan peluang yang ada. Sesalnya seumur hidup. Impaknya sampai akhirat.

Wednesday, May 6, 2015

Tanah Ini Siapa Yang Punya?



Suatu pagi penulis ke Pekan Rengit, di selatan Batu Pahat. Singgah di sebuah minimarket milik etnik Cina. Kesemua pekerjanya dari Indonesia. Pada hari yang lain penulis ke sebuah pasraya di Bandar Penggaram, Batu Pahat. Hampir kesemua pekerjanya dari Nepal. Di pasaraya yang lain, pekerjanya dari Bangladesh. Kerana demam, penulis ke sebuah klinik swasta. Antara pelanggannya adalah mereka yang datang dari Vietnam, Nepal, Indonesia dan Bangladesh. Penulis berkesempatan menziarahi seorang sahabat berhampiran Kuala Lumpur. Taman perumahannya dikawal oleh warga Nepal. Diizinkan pula memegang kad pengenalan atau lesen memandau warga tempatan. Bagaimana hal ini boleh terjadi bahawa warga tempatan dikawal oleh warga asing. Apa perundangan dan statutnya yang berkaitan. Tanah ini namanya Tanah Melayu. Sebahagian dari Malaysia. Apakah seperti dalam Bahasa Cina, Malaysia bermakna Melayu mati. Benar Tanah Melayu masih ada. Bangsa Melayu masih ada. Bahasa Melayu masih ada. Baju Melayu masih ada. Kuih Melayu masih ada. Budaya Melayu masih ada. Keretapi Tanah Melayu masih ada. Cuba lihat kembali. Yang namanya Melayu sudah tidak segar seperti zaman gemilangnya. Melayu hilang seri. Melayu hilang integritinya sendiri. Setelah menjadi tuan, sekarang hanya layak menjadi ilusi dan fatamorgana zaman. Melayu kehilangan substance kemelayuannya. Hilang kerana mereka yang berperanan menjadi tuan melupakan Melayu yang rendah di bawah kedudukannya. Tidak diangkat wajar menjadi tuan yang hakiki. Sama-sama naik dan sama-sama mengecap nikmat kemerdekaan.

Belum enam dekad kita menikmati kemerdekaan tetapi sudah banyak yang tergadai. Khususnya pekerjaan. Malah pekerjaan yang paling rendah tarafnya sekalipun sudah bukan milik orang Melayu. Suatu ketika dahulu orang Melayu layak menjadi jaga. Layak menjaga tandas awam. Layak menyapu sampah. Layak membersihkan kawasan. Namun masa merubah kesemua senerio itu. Jaga bukan lagi Melayu. Tandas tidak dijaga oleh pekerja Melayu. Sampah tidak disapu makcik Melayu. Melayu tinggal menggerutu mengenangkan nasib yang tidak menentu. Yang saban waktu hanya menunggu janji tanpa usaha jitu mengejar waktu. Tiada jadual waktu yang perlu untuk memperbaiki diri. Melayu terus tertunggu turunya rezeki terpijak tanpa usaha produktif. Ikan yang didatangkan tanpa joran. Beras tanpa sawah padi. Keenakan yang hanya menipu sementara. Hilang kenyang hilanglah harapan. Menunggu lagi episod ikan dan beras mendatang. Janji dari siapa. Janji dari siapa yang perlu ditunggu. Masih wajarkah menunggu tanpa usaha. Membina kehidupan bererncana di tanah sendiri. Hanya menadah tangan menerima turunnya kepingan-kepingan wang kertas dari mereka yang ada upaya.

Kehidupan di tanahair tercinta ini sudah semakin payah. Berada di luar negara seperti lebih mudah. Mengurus ekonomi seperti sangat membebankan. Terlalu banyak barangan yang meingkat tinggi. Ironisnya kita memiliki kekayaan yang bukan kepalang. Minyak kita untuk kenderaan dikira mahal walaupun dibeli dengan menggunakan dengan minyak Petronas yang mahal juga di pasaran dunia. Gas kita mahal walaupun kita mengeksportnya.  Seperti cerita malang sepanjang zaman. Kita tidak menikmati kemewahan di tanahair yang mewah. Minggu ini harga barangan mendadak naik lagi. GST menjadi kambing hitamnya. Akhirnya tiada siapa yang tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Adakah pihak yang berwajib lebih banyak berpolitik dari memastikan good governance dalam semua hal terutamanya aspek ekonomi yang berkait lansung dengan rakyat. Dengan kebajikan rakyat. Dengan kesejahtaraan rakyat. Bagaimana dalam negara yang fundamentalnya mewah menjadi sukar untuk hidup di dalamnya. Suhu dan cuacanya semakin panas kerana hati di dalam sudah semakin tidak tenteram. Walaupun kesejahteranan rohani adalah relatif penting tetapi ekonomi dan kesejahteran perut menjadi besar keutamaannya sejak akhir-akhir ini. Apabila harga barangan meningkat maka nilai wang merosot. Barangan yang dibawa pulang semakin sedikit walaupun amaun wang untuk membayarnya tidak berkurangan. Mereka yang berpendapatan tinggi tiada masalah. Rakyat biasa yang terhimpit sakit untuk hidup seharian.

Seperti andaian awal GST melonjakkan harga barangan. Mungkin bukan GST yang sebenarnya salah. Ada kesilapan pada peringkat awalnya. Persediaan yang begitu lama seperti tidak dilandaskan mengikut teori dan empiriknya. Memang benar GST dilaksanakan di kebanyakan negara. Namun begitu GST di negara lain seperti di US tidak mengakibatkan harga barangan meningkat. Harga masih dapat dikawal mengikut teori pasaran dan amalannya. Penulis ingin memberikan pengiraan seperti penulis fahami.

Andaian harga barang RM10. SST yang lama ialah 10% bernilai RM1. GST pula 6%.

Sewajarnya sebelum GST dilaksanakan, SST ditolak dahulu. Maksudnya
Harga RM10 ditolak RM1 = RM9.
GST 6% ke atas RM9 ialah RM0.54.
Peaksanaan GST menurunkan harga dari RM10 menjadi RM9.54.
GST 6% bukan atas harga RM10 tetapi atas harga RM9. Jika GST atas RM10 bermakna SST tidak dihapuskan. Bukan itu sahaja ditambah lagi dengan GST. GST yang sepatutnya hanya 6% bertambah menjadi 16%. Harga baru yang dibayar Pengguna menjadi RM10.60.  Perbezaan RM10.60 ditolak RM9.54 ialah sebanyak   RM1.06. Pengguna juga yang kerugian sebanyak RM1.06.


Dasar baru ini menjadikan rakyat berhati-hati apabila berbelanja. Kecenderungan ini melemahkan kerancakan ekonomi. Banyak industri yang terjejas. Pekerja ramai dilayoff. Berlakulah spiral effect yang menakutkan. Inflasi meningkat dan pada masa yang sama pengangguran juga meningkat. Pengangguran menjadi beban kepada kerajaan dan kepada keluarga-keluarga yang terlibat. Hidup semakin mahal di negara yang asalnya mewah. Perlu difikirkan kepincangan salahurus, kecenderungan tidak berfikir pada aras tinggi dan tidak mewawaskan masa hadapan. Di mana sebenarnya Melayu berada pada ketika ini?

Monday, April 13, 2015

Cinta Lelaki Melayu

Apabila usia menjejak kemilau emas ramai lelaki Melayu hilang serinya. Benarkah cinta itu datang hanya sekali? Datangnya semasa berputik kasih dan sayang. Semasa mata bertentang mata ketika kelu lidah untuk berbicara. Hanya bahasa tubuh yang memperlihatkan adanya pancaran cinta itu. Putik bunga yang memekar wangi diandaikan segar ke alam rumahtangga. Maka dari putik-putik cinta itu lahirnya zuriat berlapis generasi. Dari anak, cucu dan mungkin cicit bagi yang panjang usianya. Malah ada yang hingga lima generasi. Lelaki Melayu secara tradisinya sangat pasif dalam bercinta. Walaupun cintanya kepada pasangannya telah berputik dan mekar tetapi ia tidak dilihat membelainya hingga ke akhir zaman. Ada sesuatu yang hilang dalam pandangan umum mengenai cinta lelaki Melayu. Semakin dimamah usia maka semakin hilang sinar cinta pada wajahnya. Yang tinggal berbaki hanyalah tanggungjawab, pengorbanan dan kerja keras membereskan hal-hal rumahtangga. Dilihat tiada lagi kesyahduan cintanya. Hilang seri paduan asmaranya. Barangkali tradisi dan budaya menjadikannya begitu. Diwarisi dari generasi ke satu generasi berikutnya. Walaupun trend semasa sudah banyak berubahnya namun hanya yang benar-benar melalui perubahan budaya, membuat perubahan yang membelai cinta. Lelaki Melayu tradisi masih dengan persepsi lama. Cinta diganti dengan tanggungjawab. Tanggungjawab itu pula seolah-olahnya tamat apabila pengorbanan sudah tidak diperlukan lagi. Apabila anak dan cucu dilihat sudah boleh mengambil alih tugasnya membereskan keluarga. Lelaki Melayu tidak seperti lelaki Barat atau lelaki di negara lain yang kasih dan sayangnya abadi hingga ke akhir hayat. Ada yang mengekalkan tradisi mengasihi pasangannya walaupun telah meninggal dunia. Membina tugu. Menatap gambarnya. Mengumpul cebisan harta bendanya menjadi sebuah muzium cinta di rumah yang usang. Yang telah sunyi dari cinta fizikal. Seperti Shah Jahan mengabadikan cintanya kepada Mumtaz dengan membina Taj Mahal. Ada juga yang menerbitkan memoir cinta abadi mereka. Agus Salim di Indonesia semasa hayatnya tidak lekang berpimpin tangan dengan isterinya walaupun mereka sangat lanjut usianya. Berapa ramai lelaki Melayu yang dapat berbuat begitu. Tentunya sangat sedikit dan boleh dibilang dengan jari. Ada sesuatu yang agak luar biasa tentang pasangan Melayu dan Islam. Mereka enggan menunjukkan kasih sayang di hadapan publik. Malu dan sangat malu menunjukkan realiti. Kepada mereka kasih sayang tidak perlu dipertontonkan kepada orang lain. Ironisnya ramai lelaki Melayu mempamerkan kasih sayang yang luar biasa kepada pasangan cintanya yang belum sah bersuami isteri. Yang belum halal. Yang belum lagi menjadi mahram. Di jalanan mereka pastinya berpegangan tangan. Terlalu romantik. Seperti sudah menjadi kebiasaan yang tiada apa-apa. Malangnya apabila mereka menjadi sah bersuami isteri pegangan tangan itu terungkai. Malu dilihat orang! Kebersamaan yang seperti terpaksa.

Apakah ada halangan agama menjadikan segalanya dibataskan tanpa kecuali. Mungkin di khalayak umum kasih dan cinta itu dibatasi malu dan adab sopan tetapi di belakang khalayak sifat itu terbawa-bawa. Bicaranya terbatas kepada yang perlu. Tugasnya menyediakan bahan makanan dan ubatan. Atau mungkin pakaian. Senyuman sangat mahal. Tawa juga seperti sengal rahang di mulut. Gerak gerinya seperlu yang dituntut sahaja. Benarkah halangan sosial membatasi kasih sayang. Mungkin ada suara-suara yang laser. Sudah lanjut usia tidak sedarkan diri. Berlagak seperti tidak pernah tua. Kerana itu lelaki Melayu membiasakan diri sebagai lelaki Melayu. Layu kasihnya. Layu sayangnya. Layu layanannya. Layu ambil tahunya. Dekatnya ketika perlu. Jauhnya diselalu-selalukan. Bicaranya hanya pada waktu-waktu. Segalanya layu bersama lanjutnya usia.

Tidak ramai yang tahu. Tidak ramai yang maklum hati budi seorang isteri yang dimamah usia. Perasaan halusnya yang terpendam. Yang tertekan dalam gundah lama. Hasrat bersama yang selalu tertunda. Menunggu belai dan usap. Sentuh dan picit. Apakah kulit berkedut sudah tiada lagi naluri cinta dan sayang. Apakah keuzuran hanya layak untuk diabaikan. Layunya gemala hati kerana terlalu lama hilang sentuhan indah sewaktu dahulu. Sewaktu sama-sama segalanya sangat indah. Malam yang penuh gemerlapan bintang. Purnama yang penuh menerangi hati. Hari-hari yang berlalu dengan insutan manja waktu. Sampai masanya kesemua itu hilang jua. Pudar bak warna dimamah mentari. Layu bak bunga yang gugur dari tampuknya. Masa telah berlalu. Hanya pasrah seorang isteri Melayu. Namun begitu senerio ini merentas juga budaya, etnik dan bangsa. Ramai beranggapan cinta dan kasih sayang hanya layak untuk yang muda. Yang lanjut usia hanya layak untuk melihat. Menonton adegan-adegannya yang pernah dilalui sewaktu masa muda dahulu.

Barangkali yang muda seeloknya mengambil iktibar. Belajar dari pengalaman orang tua. Bahawa budaya boleh diubah seperlunya. Kasih sayang perlu ditambah nilai setiap fasa kehidupan. Yang tua ialah usia. Tetapi hati tetap segar muda jika dibelai mesra. Jika dibaja dengan kasih sayang yang berpanjangan. Lelaki Melayu perlu banyak lagi belajarnya. Mengambil lagi ilmu baru yang tiada dalam kamus hati lelaki Melayu sebelumnya. Hidup yang panjang diperhias dengan keindahan taman-taman kasih yang baru. Yang menghidup segar jiwa tua yang dihalang untuk layu. Sewaktu bersendirian dahulu seorang lelaki perlukan Hawa di sisinya. Hawa itu kembali di sisinya sewaktu tuanya. Kekal abadi semasa hayatnya. Yang diperlukan ialah kesedaran bahawa Adam dan Hawa tidak pernah berpisah semasa hayat dan wafatnya. Kerana itu tiada sesalnya bersama hingga akhir hayat selagi kudrat rasa cinta itu kekal ada. Ia tidak perlu hilang kecuali disengajakan. Tidak perlu ketandusan kasih sayang kecuali memaksa diri berbuat demikian.


Persepsi lelaki Melayu inilah yang perlu diubah. Diberi nafas baru. Diperindahkan dengan hiasan cinta dan kasih sayang pasangan lanjut usia. Kemilau emas tempawannya memancar menyilau anak cucu. Jadi suri teladan yang berpanjangan. Semoga kesinambungannya bersama anak cucu yang terkemudian. Sejarah cinta dan kasih sayang yang diulang-ulang indah sepanjang zaman. Cerita realiti kehidupan seperti dongengan purba. Dipanjangkan dari satu generasi ke generasi berikutnya. Tanpa keindahan berumahtangga seperti itu sejarah keindahannya luput ditelan zaman yang berganti silamnya. Seandainya waktu lama lagi bergantinya biarlah cinta dan kasih sayang lelaki Melayu memanjang deretan cerita indah. Memagari bulan dan bintang yang terus-menerus bergemerlapan. Kekurangan semakin banyak. Kudrat dan pancaindera terhakis kerana usia. Namun di sebalik itu semua keindahan abadi masih utuh adanya.

Saturday, April 11, 2015

Menyesuaikan Diri Semakin Payah



Apabila usia menganjak banyak berlaku hal-hal yang sukar difahami oleh mereka yang muda. Paling ketara ialah kesukaran menyesuaikan diri dengan keadaan.
1                    Mungkin kerana budaya yang mencengkam sehingga sukar untuk berubah.
2                    Mungkin pendidikan yang tidak mencapai tahap berfikiran aras tinggi.
3                    Mungkin kerana usia yang sudah melampaui mudahnya menyesuaikan diri.
4                    Mungkin penyesuaian diri bukan agenda diri.
5                    Mungkin faktor iklim dan cuaca antara lokasi berbeza.

Kadang-kadang kita rasa sangat berbeza apabila usia berganjak banyak. Semakin kita bertambah usia semakin sukar menyesuaikan diri. Banyak yang perlu dipelajari semula. Payah pula untuk mempelajarinya.

1                    Usia tidak banyak membantu menyesuai diri.
2                    Pengalaman tidak dapat banyak membantu.
3                    Tempat dan suasana juga tidak membantu.

Berada di luar negara memberikan impak yang sukar pada diri. Banyak yang diambil dari pengalaman di negara orang. Sewaktu kembali dari USA pada tahun 1986 dahulu penulis merasakan bahawa Malaysia lebih panas dari biasa. Kebetulan penulis kembali pada akhir musim bunga. Begitu juga sekembali dari Canada pada tahun 1990 dahulu, Malaysia terasa agak panas. Ketika itu penulis kembali pada musim luruh. Setelah kembali dari menunaikan ibadah haji pada tahun 1999 terasa pula Malaysia lebih panas dari Arab Saudi. Kebetulam ketika itu musim bunga. Sekarang penulis sudah lebih dua minggu berada di Malaysia.  Kembali dari Mesir yang sekarang sedang bermusim bunga. Ternyata suhu di tanahair tercinta ini sangat mencabar diri. Panasnya meruap. Berpeluh selalu. Sekali pakaian dipakai maka perlu diganti kerana peluh. Setiap hari banyak berganti pakaian. Yang merisaukan ialah diri ini sukar menyesuaikan diri. Jika dahulu proses menyesuaikan diri sangat pantas tetapi kini ianya perlukan jangkamasa yang lebih panjang. Lebih lama. Lebih sukar. Sepertinya ada yang menghalang dari berlakunya penyesuaian diri kepada iklim dan cuaca yang dahulunya adalah lumrah.

Di Kaherah dahulu ramai teman-teman dari Asia Tengah seperti Karzakhstan, Kirgyzistan, Turki dan sebagainya tidak percaya bahawa di Malaysia tidak ada peredaran musim. Mereka terkejut kerana kita tidak mengalami musim dingin yang bersalji. Mereka tidak memahami bahawa kita hanya hanya ada dua musim yang pasti iaitu musim panas dan hujan. Panasnya melekit dan merimaskan. Hujannya mungkin mengakibatkan banjir. Tetapi itu adalah hakikat. Itulah hakikat kita di negara tercinta ini. Diri ini agaknya  yang merasa kesukaran untuk menyesuaikan diri. Semakin lambat prosesnya. Sewaktu ke Canada dahulu penulis mengambil masa tiga hari sahaja untuk menghilangkan jet-lag dan time-lag. Namun kali ini penulis mengambil masa yang agak lama. Kaherah enam jam lebih lewat. Kembali ke Malaysia kehilangan pula satu hari. Bumi berputar dan berputar. Pada hari Sabtu pertama jam dan telefon masih lagi menunjukkan hari Jumaat. Tertinggal satu hari. Perbezaan-perbezaan demi perbezaan sejak kembali dari Kaherah.
1                    Amalan agama yang berbeza.
2                    Implikasi iklim dan cuaca yang berbeza.
3                    Kompliksi budaya yang berbeza.

Cuaca panas semakin dipanaskan dengan suasana ekonomi dan politik yang sentisa berkocak. Kejutan demi kejutan. Pelaksanaan GST bukan sesuatu yang ganjil dalam mana-mana ekonomi tetapi maaflah hanya di Malaysia sahaja yang ianya kelam-kabut. Lebih setahun diumumkan tetapi sistemnya seperti tidak dibina. Orang tidak tahu landasanya. Tidak tahu prosesnya. Selama ini yang ada hanya pencerahan yang tidak begitu cerah. Apabila dilaksanakan semuanya seperti menepati ramalan. Peniaga tidak tahu. Mereka borong sahaja. Kesemua barangan dikenakan GST. Pengguna tidak tahu. Mereka bayar sahaja kerana beranbggapan kesemua barangan dikenakan GST. Yang nyatanya:

1                    Kesemua barangan lebih mahal daripada biasa.
2                    Tidak ada peniaga yang memberikan diskaun. Sebelum GST peruncit biasa masih bersedia menawarkan diskaun. Sekarang semua harga dianggap tetap.
3                    Rakyat bawahan terasa beban harga yang meningkat dan terus meningkat.

Penulis kepayahan untuk menyesuaikan diri dengan cuaca tetapi terasa sangat payah dengan keadaan ekonomi seperti sekarang. Peniaga di Malaysia adalah spesis yang kehilangan usaha untuk mengurangkan kos. Kerajaan dan pemimpin tidak dapat turun ke bawah dan memahami keadaan. Pembangunan tidak boleh hanya dengan menaikkan cukai sahaja. Pakar ekonomi selalu berhujjah bahawa produktiviti boleh menjana pembangunan. Maknanya sesuatu mestilah dilakukan untuk menjananya. Setiap kos memberikan pulangan. Setiap pulangan pula selari dengan produktiviti. Tidak ada yang percuma dalam ekonomi. Udara yang dianggap percuma kita bayar melalui pencemaran. Terlalu banyak yang percuma hanya mempercepatkan ketirisan khazanah negara. Negara tidak boleh dibangun dengan sesuatu yang tidak produktif. Subsidi adalah sesuatu yang positif untuk membantu rakyat bwahan. Memang golongan kaya juga memikmatinya. Sewajarnya kita tidak iri kepada orang kaya. Golongan berada. Banyak kewajaran bahawa mereka juga perlu menikmati subsidi itu.

1                    Golongan berada membayar berbagai cukai khususnya cukai pendapatan. Wajarlah mereka menikmati subsidi seperti rakyat lain yang tidak membayar cukai pendapatan. Untuk menikmati subsidi golongan berada telah membayarnya. Golongan bawahan percuma 100% tanpa membayar cukai pendapatan.
2                    Mereka menggerakkan ekonomi. Memiliki kilang, perusahaan dan syarikat-syarikat besar. Mereka membayar cukai keuntungan. Kerana itu apa salahnya mereka menerima subsidi seperti orang lain.
3                    Mereka tidak menyusahkan kerajaan. Tidak juga menyusahkan golongan bawahan. Malah mereka memberi peluang pekerjaan kepada golongan yang memerlukan.
4                    Ramai antara mereka membayar kos perubatan, insuran kenderaan, cukai jalan, penggunaan elektrik dan air yang banyak, penggunaan alat komuniksi yang banyak dan banyak lagi.


Sumbanan golongan berada kepada negara adalah banyak. Maka subsidi yang ingin mereka kongsi seperti orang lain sangat sedikit berbanding dengan sumbangan mereka. Perlukan golongan berada didera hanya kerana mereka berada. Lebih malang rasanya ialah pegawai-pegawai kerajaan yang juga membayar cukai tetapi tidak menikmati subsidi. Jika kita mengenakan GST maka sewajarnya negara mengembalikan apa yang disumbangkan oleh rakyat sama ada secara langsung atau tidak secara langsung. Kebajikan rakyat diutamakan seperti di negara-negara lain yang mengenakan GST. Kebajikan rakyat sentiasa menjadi agenda utama. Rakyat yang terbela adalah rakyat yang bahagia. Setia dan hatinya tenang berhadapan dengan cabaran.

Wednesday, March 25, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Bumi Anbia’ Kau Ku Tinggalkan



26 Mac 2015 pasti ada sejarahnya sendiri. Kaki melangkah meninggalkan Imarah 16 di Syariq Toha al-Dinariy, Hayyu Sabiek, Madinah Nasr, Cairo. Hari ini kaki dilangkah pergi. Ku tinggalkan Bumi Anbia’ yang penuh sejarahnya ini. Permukiman yang tamat sudahnya. Pengembara sementara yang lalu sebentar. Menghirup dan menghidup semangat ilmu Nabi Musa. Antara dua laut yang dirakam sebagai pengalas kembara itu sendiri. Hadir di sini hanya seketika. Berkampung dengan suadara-saudara seIslam dari seluruh pelosok dunia. Mengerti bahawa Islam itu agama. Agamanya tauhid. Bukan bangsa dan bukan kaum. Tiada ras dalam beragama. Terhimpun dalam satu wadah yang tidak memberi beza. Bahawa sesama Islam adalah saudara. Hingga hilang minat membicarakan tentang asal ususl kecuali Islam. Kita bukan lagi berbeza dari mana kita datang. Kita kembali kepada Adam dan Hawa. Kita menyatu dalam agama yang diredhai Allah. Al-Quran Allah pelihara sehingga hari Qiamat. Sebagai umat kita belajar dan menyampaikan. Menyambung warisan agama sejak dari banyaknya pengorbanan Nabi Junjungan Muhammad saw dan para sahabatnya. Nantinya kita kembali jua kepada Allah yang Maha Khaliq.

Bumi Mesir penuh dengan sejarah Nabi Yusof dan Nabi Musa. Begitu juga dengan Nabi Harun, Nabi Danial. Selalu diiringi dengan doa dan tangisan Nabi Yaakub. Bahawa sesiapa yang memasuki Mesir akan aman sejahtera. Namun perlu melalui berbagai cabaran. Menguji kekuatan semangat dan iman. Menguji usaha untuk menghasilkan indahnya cita-cita dan anugerah Allah. Bumi Mesir banyak mengajar untuk mengerti agama. Walaupun Islam dilahirkan di Makkah dan dikembangkan di Madinah tetapi di Mesir terdapat wadahnya Islam itu untuk dimengerti. Persekitarannya masih banyak seperti dahulukala walaupun pembangunan cuba melarikan realiti zaman. Di sebalik pencakar langit masih ada yang tidak memiliki rumah. Di sebalik restoran mewah dan segera masih ramai yang tidak makan dengan sempurna. Di sebalik mereka yang berkenderaan mewah masih ramai yang hanya mampu berjalan kaki. Di samping mereka yang duduk di pejabat berhawa dingin masih ramai yang tiada pekerjaan walaupun sambilan atau sementara.

Di bumi Anbia ini yang penuh dengan padang pasir bukan luasnya yang diukurkira. Ilmu dan pengalaman yang banyaknya tidak terhambat. Sungai Nil yang dinobatkan sebagai sungai yang terpanjang di dunia tetapi senarai ulamaknya lebih panjang dari Sungai Nil itu. Terlalu banyak yang unik tentang Mesir. Mereka yang berada di sini tentu teruja kerana menyaksikannya sendiri. Bukan mendengar dari cerita. Bukan membaca dari tulisan. Bukan menonton dari rakaman. Melihat dengan mata sendiri. Berada di persekitraannya. Mendengar bisingnya, menyentuh batu dan pasirnya, menjejak buminya, meminum air Sungai Nila, menikmati hujan yang jarang rembasnya. Kenangan abadi ini pastinya bakal menyelimuti rasa rindu yang mencengkam. Empat musim yang bergantu silih datangnya. Ditunggu dan diharap. Walaupun realitinya tidak serindu hati tetapi itulah empat musim yang selalu berganti. Apabila dingin rindukan panas. Apabila panas rindukan dingin. Apabila kaki menjajak bumi Malaysia 24 jam dari sekarang pastinya kerinduan kepada sejuk sukar dikawal dengan emosi. Rindu serindunya terhadap musim bunga dan musim luruh yang nyaman.

Menjejak Fayoum kembali ke zaman Nabi Yusof dengan kincir airnya. Di sana juga tasik Qarun dan sebahagian istananya yang masih dapat dilihat. Allah tinggalan cebisan kisahnya untuk mengingatkan bahawa rezeki dariNya. Zakat adalah perintah Allah. Semuanya kembali kepada Allah. Iskandariah, Matruh, Siwah, Dumyat adalah pantai-pantai yang dahulunya tempat orang Yunani (Greek) dan Roman menjajah. Budaya mereka terlihat di sepanjang pantai. Yang tenggelam juga tidak dapat dibilang dan dikesan. Port Said dan Port Fuad di muara Terusan Suez menjadi lambang usaha manusia memendekkan perjalanan dari Timur ke Barat dan sebaliknya. Orang Barat lebih perlukan terusan itu berbanding orang Timur. Mereka tidak terdaya mengelilingi Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) di selatan Afrika Selatan. Terlalu jauh. Maka Terusan Suez yang panjang sejarahnya direalisasikan. Setelah berperang barulah terusan itu menjadi milik Mesir.

Hidup di negara empat musim sangat mengujakan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pertama kali berada di sini. Entahlah, setelah membanding-bandingkan keberadaan penulis di USA, Canada, Jordan dn Mesir penulis dapati kos hidup pada umumnya di negara-negara tersebut lebih rendah dari di Malaysia. Sekadar perbandingan di Kaherah umpamanya:

Bil
Produk (KG)
Harga (RM)
1
Keladi
1.75
2
Ubi keledek merah
1.25
3
Kobis sebesar kepala
2.00
4
Kobis bunga sebesar kepala
3.00
5
Anggur tanpa biji
3.00
6
Buah delima
3.00
7
Lada merah
3.50
8
Terung
2.00
9
Daun bawang ½ kg
0.50
10
Daun sup ½ kg
0.50
11
Serai ½ kg
2.50
12
Sotong sedang
7.50
13
Ikan kembung
7.50
*Nota: Harga kebanyakan produk pertanian hampir sama di USA dan Mesir.

Banyak lagi yang murah jika hendak dijadikan perbandingan. Pendek kata banyak nikmatnya tinggal di bumi Mesir ini. Buah dan sayur berganti jenis apabila berganti musim. Buah dan sayur musim panas tidak sama dengan yang musim sejuk. Walaupun ada buah dan sayur yang terdapat sepanjang musim tetapi bilangannya tidak banyak. umpamanya tembikai hanya dalam musim panas. Begitu juga anggur. Yang terdapat pada musim sejuk mungkin didatangkan dari selatan Mesir atau diimport. Pisang tiada musim. Sentiasa ada. Sama ada dari sekitar negara Arab sendiri atau pisang dari Amerika Tengah dan Selatan. Musim panas juga mempamerkan banyaknya buah mangga yang berbagai jenisnya. Harganya kompetitif. Ada yang berharga RM7.50 sekilo dan ada yang lebih mahal. Mungkin sekitar RM25 sekilo. Mungkin tidak banyak. Mungkin sangat digemari. Mungkin ia dalam kategorinya yang tersendiri. Buah nanas dijual sepanjang masa tetapi didatangkan dari Filipina. Sebiji yang besar nanas merah di Malaysia berharga sekitar RM10 sebiji.

Setelah berada di Bumi Anbia (enam bulan di Jordan dan setahun sembilan di Mesir) terlalu banyak pengalaman yang dibawa pulang. Pengalaman itu terlalu mahal badi diri penulis. Apabila meninggalkan Mesir pada hari ini penulis meinggalkan kenangan dan ingatan yang sangat banyak.

1                    Akan selalu rindu kepelbagaian umat Islam dari seluruh dunia.
2                    Mempelajari Bahasa Arab dari orang Arab. Tidak mahir berbahasa ‘amiyah dengan orang Arab.
3                    Rindukan kebisingan dan kebingitan kenderaan.
4                    Kehilangan kesibukan yang dilalui setiap hari.
5                    Rindukan kepelbagaian sayur-sayuran dan buah-buahan.
6                    Rindukan jejak sejarahnya yang banyak dan panjang.

Namun begitu mengakhiri permukiman di Mesir tidak memutuskan segala ikatan. Dibawa pulang:

1                    Bahasa Arab.
2                    Ilmu al-Quran.
3                    Kenangan dan ingatan.
4                    Iktibar dan pengajaran.
5                    Momento yang sedikit sebanyak untuk mengingat tempat jatuh lagi dikenang.

Hanya kesayuan meninggalkan Bumi Anbia ini. Ditinggalkan jejak para Rasul. Ditinggalkan ilmuan dan ulamaknya. Ditinggalkan syiar Islam yang banyak di sini. ﻣﺼﺮﻳﻮﻥ ﻳﺎ  ﻟﻜﻢ  ﺷﻜﺮ .

Selamat tinggal teman-teman, saudara-saudara seIslam. Kita telah bersama. Semoga bertemu kembali dan kita berhimpun di Jannah. Insyaallah.