Monday, April 13, 2015

Cinta Lelaki Melayu



Apabila usia menjejak kemilau emas ramai lelaki Melayu hilang serinya. Benarkah cinta itu datang hanya sekali? Datangnya semasa berputik kasih dan sayang. Semasa mata bertentang mata ketika kelu lidah untuk berbicara. Hanya bahasa tubuh yang memperlihatkan adanya pancaran cinta itu. Putik bunga yang memekar wangi diandaikan  segar ke alam rumahtangga. Maka dari putik-putik cinta itu lahirnya zuriat berlapis generasi. Dari anak, cucu dan mungkin cicit bagi yang panjang usianya. Malah ada yang hingga lima generasi. Lelaki Melayu secara tradisinya sangat pasif dalam  bercinta. Walaupun cintanya kepada pasangannya telah berputik dan mekar tetapi ia tidak dilihat membelainya hingga ke akhir zaman. Ada sesuatu yang hilang dalam pandangan umum mengenai cinta lelaki Melayu. Semakin dimamah usia maka semakin hilang sinar cinta pada wajahnya. Yang tinggal berbaki hanyalah tanggungjawab, pengorbanan dan kerja keras membereskan hal-hal rumahtangga. Dilihat tiada lagi kesyahduan cintanya. Hilang seri paduan asmaranya. Barangkali tradisi dan budaya menjadikannya begitu. Diwarisi dari generasi ke satu generasi berikutnya. Walaupun trend semasa sudah banyak berubahnya namun hanya yang benar-benar melalui perubahan budaya, membuat perubahan yang membelai cinta. Lelaki Melayu tradisi masih dengan persepsi lama. Cinta diganti dengan tanggungjawab. Tanggungjawab itu pula seolah-olahnya tamat apabila pengorbanan sudah tidak diperlukan lagi. Apabila anak dan cucu dilihat sudah  boleh mengambil alih tugasnya membereskan keluarga.

Lelaki Melayu tidak seperti lelaki Barat atau lelaki di negara lain yang kasih dan sayangnya abadi hingga ke akhir hayat. Ada yang mengekalkan tradisi mengasihi pasangannya walaupun telah meninggal dunia. Membina tugu. Menatap gambarnya. Mengumpul cebisan harta bendanya menjadi sebuah muzium cinta di rumah yang usang. Yang telah sunyi dari cinta fizikal. Seperti Shah Jahan mengabadikan cintanya kepada Mumtaz dengan membina Taj Mahal. Ada juga yang menerbitkan memoir cinta abadi mereka. Agus Salim di Indonesia semasa hayatnya tidak lekang berpimpin tangan dengan isterinya walaupun mereka sangat lanjut usianya. Berapa ramai lelaki Melayu yang dapat berbuat begitu. Tentunya sangat sedikit dan boleh dibilang dengan jari. Ada sesuatu yang agak luar biasa tentang pasangan Melayu dan Islam. Mereka enggan menunjukkan kasih sayang di hadapan publik. Malu dan sangat malu menunjukkan realiti. Kepada mereka kasih sayang tidak perlu dipertontonkan kepada orang lain. Ironisnya ramai lelaki Melayu mempamerkan kasih sayang yang luar biasa kepada pasangan cintanya yang belum sah bersuami isteri. Yang belum halal. Yang belum lagi menjadi mahram. Di jalanan mereka pastinya berpegangan tangan. Terlalu romantik. Seperti sudah menjadi kebiasaan yang tiada apa-apa. Malangnya apabila mereka menjadi sah bersuami isteri pegangan tangan itu terungkai. Malu dilihat orang! Kerbersamaan yang seperti terpaksa.

Apakah ada halangan agama menjadikan segalanya dibataskan tanpa kecuali. Mungkin di khalayak umum kasih dan cinta itu dibatasi malu dan adab sopan tetapi di belakang khalayak sifat itu terbawa-bawa. Bicaranya terbatas kepada yang perlu. Tugasnya menyediakan bahan makanan dan ubatan. Atau mungkin pakaian. Senyuman angat mahal. Tawa juga seperti sengal rahang di mulut. Gerakgerinya seperlu yang dituntut sahaja. Benarkah halangan sosial membatasi kasih sayang. Mungkin ada suara-suara yang laser. Sudah lanjut usia tidak sedarkan diri. Berlagak seperti tidak pernah tua. Kerana itu lelaki Melayu membiasakan diri sebagai lelaki Melayu. Layu kasihnya. Layu sayangnya. Layu layanannya. Layu ambil tahunya. Dekatnya ketika perlu. Jauhnya diselalu-selalukan. Bicaranya hanya pada waktu-waktu. Segalanya layu bersama lanjutnya usia.

Tidak ramai yang tahu. Tidak ramai yang maklum hati budi seorang isteri yang dimamah usia. Perasaan halusnya yang terpendam. Yang tertekan dalam gundah lama. Hasrat bersama yang selalu tertunda. Menunggu belai dan usap. Sentuh dan picit. Apakah kulit berkedut sudah tiada lagi naluri cinta dan sayang. Apakah keuzuran hanya layak untuk diabaikan. Layunya gemala hati kerana terlalu lama hilang sentuhan indah sewaktu dahulu. Sewaktu sama-sama segalanya sangat indah. Malam yang penuh gemerlapan bintang. Purnama yang penuh menerangi hati. Hari-hari yang berlalu dengan insutan manja waktu. Sampai masanya kesemua itu hilang jua. Pudar bak warna dimamah mentari. Layu bak bunga yang gugur dari tampuknya. Masa telah berlalu. Hanya pasrah seorang isteri Melayu. Namun begitu senerio ini merentas juga budaya, etnik dan bangsa. Ramai beranggapan cinta dan kasih sayang hanya layak untuk yang muda. Yang lanjut usia hanya layak untuk melihat. Menonton adegan-adegannya yang pernah dilalui sewaktu masa dahulu.

Barangkali yang muda seeloknya mengambil iktibar. Belajar dari pengalaman orang tua. Bahawa budaya boleh diubah seperlunya. Kasih sayang perlu ditambah nilai setiap fasa kehidupan. Yang tua ialah usia. Tetapi hati tetap segar muda jika dibelai mesra. Jika dibaja dengan kasih sayang yang berpanjangan. Lelaki Melayu perlu banyak lagi belajarnya. Mengambil lagi ilmu baru yang tiada dalam kamus hati lelaki Melayu sebelumnya. Hidup yang panjang diperhias dengan keindahan taman-taman kasih yang baru. Yang menghidup segar jiwa tua yang dihalang untuk layu. Sewaktu bersendirian dahulu seorang lelaki perlukan Hawa di sisinya. Hawa itu kembali di sisinya sewaktu tuanya. Kekal abadi semasa hayatnya. Yang diperlukan ialah kesedaran bahawa Adam dan Hawa tidak pernah berpisah semasa hayat dan wafatnya. Kerana itu tiada sesalnya bersama hingga akhir hayat selagi kudrat rasa cinta itu kekal ada. Ia tidak perlu hilang kecuali disengajakan. Tidak perlu ketandusan kasih sayang kecuali memaksa diri berbuat demikian.


Persepsi lelaki Melayu inilah yang perlu diubah. Diberi nafas baru. Diperindahkan dengan hiasan cinta dan kasih sayang pasangan lanjut usia. Kemilau emas tempawannya memancar menyilau anak cucu. Jadi suri teladan yang berpanjangan. Semoga kesinambungannya bersama anak cucu yang terkemudian. Sejarah cinta dan kasih sayang yang diulang-ulang indah sepanjang zaman. Cerita realiti kehidupan seperti dongengan purba. Dipanjangkan dari satu generasi ke generasi berikutnya. Tanpa keindahan berumahtangga seperti itu sejarah keindahannya luput ditelan zaman yang berganti silamnya. Seandainya waktu lama lagi bergantinya biarlah cinta dan kasih sayang lelaki Melayu memanjang deretan cerita indah. Memagari bulan dan bintang yang terus-menerus bergemerlapan. Kekurangan semakin banyak. Kudrat dan pancaindera terhakis kerana usia. Namun di sebalik itu semua keindahan abadi masih utuh adanya.

2 comments:

  1. Assalammualaikum en Yusof Jamar, saya sukakan penulisan. seperti jiwa yang hidup. Saya harap en yusof akan teruskan berkarya. Tahniah.

    ReplyDelete
  2. Alaikumsalam. Terima kasih kerana memberi penghargaan. Insyaallah saya akan teruskan sedaya yang ada.

    ReplyDelete