26 Mac 2015 pasti ada sejarahnya sendiri. Kaki melangkah meninggalkan Imarah 16 di Syariq Toha al-Dinariy, Hayyu Sabiek, Madinah Nasr, Cairo. Hari ini kaki dilangkah pergi. Ku tinggalkan Bumi
Anbia’ yang penuh sejarahnya ini. Permukiman yang tamat sudahnya. Pengembara
sementara yang lalu sebentar. Menghirup dan menghidup semangat ilmu Nabi Musa.
Antara dua laut yang dirakam sebagai pengalas kembara itu sendiri. Hadir di
sini hanya seketika. Berkampung dengan suadara-saudara seIslam dari seluruh
pelosok dunia. Mengerti bahawa Islam itu agama. Agamanya tauhid. Bukan bangsa dan
bukan kaum. Tiada ras dalam beragama. Terhimpun dalam satu wadah yang tidak
memberi beza. Bahawa sesama Islam adalah saudara. Hingga hilang minat
membicarakan tentang asal ususl kecuali Islam. Kita bukan lagi berbeza dari
mana kita datang. Kita kembali kepada Adam dan Hawa. Kita menyatu dalam agama
yang diredhai Allah. Al-Quran Allah pelihara sehingga hari Qiamat. Sebagai umat
kita belajar dan menyampaikan. Menyambung warisan agama sejak dari banyaknya
pengorbanan Nabi Junjungan Muhammad saw dan para sahabatnya. Nantinya kita
kembali jua kepada Allah yang Maha Khaliq.
Bumi Mesir penuh dengan sejarah Nabi Yusof dan Nabi
Musa. Begitu juga dengan Nabi Harun, Nabi Danial. Selalu diiringi dengan doa
dan tangisan Nabi Yaakub. Bahawa sesiapa yang memasuki Mesir akan aman
sejahtera. Namun perlu melalui berbagai cabaran. Menguji kekuatan semangat dan
iman. Menguji usaha untuk menghasilkan indahnya cita-cita dan anugerah Allah.
Bumi Mesir banyak mengajar untuk mengerti agama. Walaupun Islam dilahirkan di
Makkah dan dikembangkan di Madinah tetapi di Mesir terdapat wadahnya Islam itu
untuk dimengerti. Persekitarannya masih banyak seperti dahulukala walaupun
pembangunan cuba melarikan realiti zaman. Di sebalik pencakar langit masih ada
yang tidak memiliki rumah. Di sebalik restoran mewah dan segera masih ramai
yang tidak makan dengan sempurna. Di sebalik mereka yang berkenderaan mewah
masih ramai yang hanya mampu berjalan kaki. Di samping mereka yang duduk di
pejabat berhawa dingin masih ramai yang tiada pekerjaan walaupun sambilan atau
sementara.
Di bumi Anbia ini yang penuh dengan padang pasir bukan
luasnya yang diukurkira. Ilmu dan pengalaman yang banyaknya tidak terhambat.
Sungai Nil yang dinobatkan sebagai sungai yang terpanjang di dunia tetapi
senarai ulamaknya lebih panjang dari Sungai Nil itu. Terlalu banyak yang unik
tentang Mesir. Mereka yang berada di sini tentu teruja kerana menyaksikannya
sendiri. Bukan mendengar dari cerita. Bukan membaca dari tulisan. Bukan
menonton dari rakaman. Melihat dengan mata sendiri. Berada di persekitraannya. Mendengar
bisingnya, menyentuh batu dan pasirnya, menjejak buminya, meminum air Sungai
Nila, menikmati hujan yang jarang rembasnya. Kenangan abadi ini pastinya bakal menyelimuti
rasa rindu yang mencengkam. Empat musim yang bergantu silih datangnya. Ditunggu
dan diharap. Walaupun realitinya tidak serindu hati tetapi itulah empat musim
yang selalu berganti. Apabila dingin rindukan panas. Apabila panas rindukan
dingin. Apabila kaki menjajak bumi Malaysia 24 jam dari sekarang pastinya
kerinduan kepada sejuk sukar dikawal dengan emosi. Rindu serindunya terhadap
musim bunga dan musim luruh yang nyaman.
Menjejak Fayoum kembali ke zaman Nabi Yusof dengan
kincir airnya. Di sana juga tasik Qarun dan sebahagian istananya yang masih
dapat dilihat. Allah tinggalan cebisan kisahnya untuk mengingatkan bahawa
rezeki dariNya. Zakat adalah perintah Allah. Semuanya kembali kepada Allah.
Iskandariah, Matruh, Siwah, Dumyat adalah pantai-pantai yang dahulunya tempat
orang Yunani (Greek) dan Roman menjajah. Budaya mereka terlihat di sepanjang
pantai. Yang tenggelam juga tidak dapat dibilang dan dikesan. Port Said dan
Port Fuad di muara Terusan Suez menjadi lambang usaha manusia memendekkan
perjalanan dari Timur ke Barat dan sebaliknya. Orang Barat lebih perlukan
terusan itu berbanding orang Timur. Mereka tidak terdaya mengelilingi Tanjung
Harapan (Cape of Good Hope) di selatan Afrika Selatan. Terlalu jauh. Maka
Terusan Suez yang panjang sejarahnya direalisasikan. Setelah berperang barulah
terusan itu menjadi milik Mesir.
Hidup di negara empat musim sangat mengujakan.
Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pertama kali berada di sini. Entahlah,
setelah membanding-bandingkan keberadaan penulis di USA, Canada, Jordan dn
Mesir penulis dapati kos hidup pada umumnya di negara-negara tersebut lebih
rendah dari di Malaysia. Sekadar perbandingan di Kaherah umpamanya:
Bil
|
Produk (KG)
|
Harga (RM)
|
1
|
Keladi
|
1.75
|
2
|
Ubi keledek merah
|
1.25
|
3
|
Kobis sebesar kepala
|
2.00
|
4
|
Kobis bunga sebesar kepala
|
3.00
|
5
|
Anggur tanpa biji
|
3.00
|
6
|
Buah delima
|
3.00
|
7
|
Lada merah
|
3.50
|
8
|
Terung
|
2.00
|
9
|
Daun bawang ½ kg
|
0.50
|
10
|
Daun sup ½ kg
|
0.50
|
11
|
Serai ½ kg
|
2.50
|
12
|
Sotong sedang
|
7.50
|
13
|
Ikan kembung
|
7.50
|
*Nota: Harga kebanyakan produk pertanian hampir sama
di USA dan Mesir.
Banyak lagi yang murah jika hendak dijadikan
perbandingan. Pendek kata banyak nikmatnya tinggal di bumi Mesir ini. Buah dan
sayur berganti jenis apabila berganti musim. Buah dan sayur musim panas tidak
sama dengan yang musim sejuk. Walaupun ada buah dan sayur yang terdapat
sepanjang musim tetapi bilangannya tidak banyak. umpamanya tembikai hanya dalam
musim panas. Begitu juga anggur. Yang terdapat pada musim sejuk mungkin
didatangkan dari selatan Mesir atau diimport. Pisang tiada musim. Sentiasa ada.
Sama ada dari sekitar negara Arab sendiri atau pisang dari Amerika Tengah dan
Selatan. Musim panas juga mempamerkan banyaknya buah mangga yang berbagai
jenisnya. Harganya kompetitif. Ada yang berharga RM7.50 sekilo dan ada yang
lebih mahal. Mungkin sekitar RM25 sekilo. Mungkin tidak banyak. Mungkin sangat
digemari. Mungkin ia dalam kategorinya yang tersendiri. Buah nanas dijual
sepanjang masa tetapi didatangkan dari Filipina. Sebiji yang besar nanas merah
di Malaysia berharga sekitar RM10 sebiji.
Setelah berada di Bumi Anbia (enam bulan di Jordan dan
setahun sembilan di Mesir) terlalu banyak pengalaman yang dibawa pulang.
Pengalaman itu terlalu mahal badi diri penulis. Apabila meninggalkan Mesir pada
hari ini penulis meinggalkan kenangan dan ingatan yang sangat banyak.
1
Akan selalu rindu kepelbagaian umat Islam dari seluruh
dunia.
2
Mempelajari Bahasa Arab dari orang Arab. Tidak mahir
berbahasa ‘amiyah dengan orang Arab.
3
Rindukan kebisingan dan kebingitan kenderaan.
4
Kehilangan kesibukan yang dilalui setiap hari.
5
Rindukan kepelbagaian sayur-sayuran dan buah-buahan.
6
Rindukan jejak sejarahnya yang banyak dan panjang.
Namun begitu mengakhiri permukiman di Mesir tidak
memutuskan segala ikatan. Dibawa pulang:
1
Bahasa Arab.
2
Ilmu al-Quran.
3
Kenangan dan ingatan.
4
Iktibar dan pengajaran.
5
Momento yang sedikit sebanyak untuk mengingat tempat
jatuh lagi dikenang.
Hanya
kesayuan meninggalkan Bumi Anbia ini. Ditinggalkan jejak para Rasul.
Ditinggalkan ilmuan dan ulamaknya. Ditinggalkan syiar Islam yang banyak di
sini. ﻣﺼﺮﻳﻮﻥ ﻳﺎ
ﻟﻜﻢ ﺷﻜﺮﺍ .
Selamat tinggal teman-teman, saudara-saudara seIslam.
Kita telah bersama. Semoga bertemu kembali dan kita berhimpun di Jannah.
Insyaallah.
No comments:
Post a Comment