Tuesday, November 19, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Selamatkah Yang Namanya Aman?




Apabila dikatakan KL antara bandaraya tidak selamat di dunia tentu kita rasa tersentak. Penghuni KL seperti tidak merasa apa-apa. Kehidupan seperti biasa. Kesemuanya mesti diteruskan. Kelangsungan hidup. Di sebalik ketenangan itu pelancong mengelak dari datang ke KL. Destinasi yang sedang gagah dibangunkan. Apabila jenayah tidak dapat dibendung maka akibatnya semua rakyat Malaysia yang menanggungnya. Aibnya. Ruginya. Masa hadapannya. Apabila keadaan dikatakan tidak selamat tentu ada indeksnya. Ada petunjuknya. Rakyat biasa tidak dapat melihat indeks itu. Tidak mengetahui apa sebenarnya jenayah yang disenaraikan sebagai jenayah. Apa jenis jenayah yang meningkat. Kerana tidak mengetahui, rakyat tidak juga mengetahui kaedah terbaik untuk membendungnya. Atau untuk mengelak dari ditimpa tempias jenayah itu sendiri. Berita yang terpapar di media cetak dan media elektronik hanya cebisan kisah jenayah yang bilangannya sukar dikira. Kita hanya diberitahu mengenai statistiknya sahaja. Angka yang sukar diterjemahkan bilangannya yang sebenar. Data mentahnya tiada. Jenayah yang mana paling kritikal. Jenayah mana yang kian meningkat. Kadang-kadang berita terpilih yang kita dengar atau baca tidak membantu untuk membina pertahanan diri untuk keluarga. Untuk anak-anak. Untuk kejiranan kita.


Penulis tidak pasti apa impaknya apabila KL diletakkan di tempat keenam bandaraya paling tidak selamat di dunia. Kita juga tidak tahu kayu ukur yang digunakan. Variabel yang dikaji. Apabila setiap hari ada pembunuhan mungkin dakwaan itu benar. Pembunuhan pula bukan calang-calang. Kekejaman yang melampau. Apabila kes ragut menjadi-jadi tentu sahaja ramai orang yang rasa tidak selamat. Senarainya terlalu panjang. Untuk membacanya kelu lidah. Untuk memandangnya mata berpinar sebentar. Semakin hari jenayah yang berlaku semakin menggugat. Jika dahulu jenayah ini dilakukan warganegara, sekarang ramai pula pendatang yang galak melakukannya. Lalu kita bertanya, setakatmana keselamatan kita semua. Kita pun bukan perlukan jawapan. Tiada jawapan yang boleh memberi kepastian. Pada hakikatnya banyak benar yang menjadikan kita terlalu bimbang tentang keselamatan diri kita. Jika kita membuka teropong jauh kita, akan kita dapati bahawa  masalah keselamatan ini sudah membiak dan menyulitkan untuk dibanteras. Mungkin kita boleh fikirkan dari dasar. Melihat isu ini dari peringkat yang paling dasar. Peringkat mulanya.


Penulis merasa kesemuanya bermula dari rumah. Dari rumahtangga. Istilah rumahtangga ini pula memberikan konotasi yang berbagai. Sebuah rumah adalah rumahtangga sepasang suami dan isterinya. Sebuah taman atau kampung adalah rumahtangga sebuah kariah. Mukim adalah rumahtangga seorang penghulu. Daerah adalah rumahtangga kepada seorang Pegawai Daerah. Negeri adalah rumartangga seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri. Sebuah negara tentunya menjadi rumahtangga seorang Perdana Menteri atau Presiden. Maknanya jika semua rumahtangga tersebut terjaga maka amanlah negara. Dalam setiap rumahtangga ada pula pembantu-pembantu dalam berbagai kapasitinya. Ada yang khusus menjaga keamanan. Khusus menjaga keselamatan. Seorang bapa adalah segala-galanya kepada sebuah rumahtangga.  Mungkin ibu tunggal memainkan peranan itu. Mungkin abang. Mungkin kakak. Semua warganegara datangnya dari sebuah keluarga kecil. Terceruk di sudut desa. Di penjuru sebuah taman. Sebuah pangsapuri. Sebuah banglow di atas bukit. Sebuah villa di tepian pantai. Atau mungkin juga sebuah pondok yang memangnya tidak selamat dari segala ancaman.


Semua yang menjadi warganegara dilahirkan dari perut ibu. Dibelai dari kecil. Membesar menjadi kanak-kanak, remaja dan dewasa. Seorang insan dipengaruhi oleh nasab keturunannya dan alam sekitarnya. Seharusnya sebuah rumahtangga boleh membentuk seorang bakal warganegara yang bermanfaat. Selama anak-anak masih duduk bersama ibu bapa selama itulah peluang besar yang perlu dimainkan oleh ibu dan bapa untuk memberi warna kepada anak. Memberi corak yang diidamkan. Memberi nilai kepada harga dirinya. Nilai entitinya. Nilai jati dirinya. Banyak yang perlu dibuat. Bukan sahaja membesarkan tubuh fizikalnya bahkan minda sihatnya. Akhlaknya. Jalan fikirnya. Keperihatinannya tentang kelangsungan keturunannya. Tentang bangsanya. Tentang agamanya. Tentang masa hadapan negaranya. Apabila anak-anak itu diserahkan kepada guru-guru maka guru-guru menambahkan peranan itu. Memperkukuh usaha ibu bapa. Kedua pihak perlu segerak. Bukan bercapah mengikut haluan masing-masing. Ibu bapa pula tidak boleh lepas tangan ketika anak-anak di bawah kendalian guru. Pengawasan dalam proses membina minda intelek tidak boleh dipindahkan kepada sesiapa. Tetap kekal di bahu ibu dan bapa. Sebab itu bakal ibu bapa perlu banyak belajar. Ibu bapa muda perlu banyak belajar. Ibu dan bapa pada setiap fasa kehidupan mereka perlu banyak belajar dari pengalaman orang lain. Juga berkongsi pengalaman diri bersama orang lain.


Anak kita yang pertama kali melangkah keluar dari rumah secara rasmi kerana pergi ke sekolah perlu dilengkapi dengan “amal ma’ruf nahi mungkar”. Beramal dengan yang baik dan mencegah kemungkaran. Paling besar ialah mencegah kemungkaran dari dirinya. Anak-anak Muslim seharusnya kebal kerana telah dibina dinding agama. Bagi yang bukan Muslim pendidikan Moral perlu dijadikan instrumen penting membina warganegara masa hadapan yang ampuh. Menghargai alam sekitarnya. Semua yang perlu dikongsi bersama warganegara yang lain. Penulis ingin mengulang kata. Tanggungjawab membina akhlak mulia ditanggung oleh ibu dan bapa. Guru-guru hanya membantu. Anak-anak kita tidak lama di sekolah. Mereka banyak bersama ibu dan bapa. Di rumah. Di sekeliling kita. Maknanya anak-anak kita hendaklah kita yang mengawal. Bukan jiran. Bukan guru. Bukan polis. Bukan siapa-siapa kecuali ibu dan bapa. Tanggunhgjawab itulah yang perlu dipikul semasa melafazkan “Aku terima nikah ………” dahulu. Tanggungjawab besar meramaikan umat terdidik yang berakhlak mulia. Warganegara yang membina.



Ramai anak-anak yang pintar berlakon di hadapan ibu dan bapa. Di sekolah perangainya berlainan. Bersama rakan-rakannya dia berubah menjadi anak yang lepas bebas tanpa akhlak. Ibu bapa seharusnya perlu menjadi perisik untuk memantau anak-anak yang berada di luar rumah. Percayalah apabila guru memperkatakan tentang anak kita. Guru menghadapinya setiap hari. Memang berlian itu bercahaya tetapi ada ketikanya ia kusam perlu digilap. Siapa yang perlu menggilapnya. Tentunya pemilik berlian itu. Jika berlian itu anak yang kita kasihi maka sebagai pemiliknya ibu bapalah yang perlu sentiasa menggilapnya. Bukan orang lain yang bukan pemiliknya. Bukan hak mereka untuk melakukan sedemikian. Sebab itu sebagai ibu bapa peranan membina akhlak anak tidak pernah sudah. Tidak pernah habis. Tidak ada noktahnya. Malah yang sudah berumahtangga perlu dilihat dari dekat dan jauh. Perlu ada pesanan-pesanan sebagai bekalan hidup masa hadapan. Allahu Akbar, ibu dan bapa tidak pernah terlepas dari tanggungjawab itu. Banyak disoal di akhirat nanti. Allah yang menyoalnya. Oleh itu sediakanlah jawapan sebelum sampai waktunya nanti kita dihadapkan kepadaNya. 

Thursday, November 14, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mengurai Yang Kusutnya Bukan Banyak




Kebetulan semasa bertugas menjadi pendidik penulis diberi kepercayaan untuk menjaga disiplin pelajar. Di sekolah menengah Chung Hwa Wei Sin pengalaman penulis bermula. Di Politeknik Ungku Omar paling lama rasanya. Bersilih ganti bertugas di HEP, waden dalam asrama dan waden luar asrama. Bila pindah ke Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru penulis menjadi Penolong kanan HEM. Menjaga pelajar siang dan malam. Begitu juga apabila pindah ke Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) di Parit Raja, Batu Pahat. Bertukar namanya menjadi Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO). Kemudiannya menjadi Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUiTTHO). I kecil (i) yang nostalgik. Dikekalkan kerana asalnya ITTHO menjadi KUiTTHO. Dari tahun 1994 hinggalah tahun 1999 penulis menjaga HEP. Mendidik pelajar untuk menjadi matang sebagai manusia muda yang terpilih.


Paling banyak yang penulis temui ialah pelajar yang tidak ada keyakinan, berfikiran negatif, menolak kebiasaan, terlalu mendesak tanpa mengetahui duduk perkara dan terlalu menyendiri hingga banyak yang tidak diketahui. Sebenarnya sebagai orang muda pelajar banyak kekurangan dari segi kemahiran insaniah. Dari segi intelek pelajar tidak boleh dipandang remeh. Hanya dari segi hubungan kemanusiaan mereka selalu kalah. Satu lagi sifat orang muda ialah suka mengelak dari bertembung dengan orang dewasa. Kerana itu ramai pelajar enggan bertemu dengan pensyarah hatta ketika mereka tenggelam punca sekalipun. Mana-mana pelajar yang gemar berdamping dengan pensyarah mereka menjadi pelajar yang berkeyakinan dan memiliki sifat-sifat untuk terkehadapan. Orang mudah suka sesama mereka sendiri sahaja. Sedangkan di kalangan mereka ada ruang kosong dari segi pengalaman dan kebiasaan. Kemahiran beradab, diplomasi dan protokol.


Pengalaman lazimnya boleh dicari secara sendiri. Tetapi perlu memakan masa yang lama dan banyak bertimbun. Jika bergandingan dengan mereka yang lebih lama atau berpengalaman banyak yang boleh dikongsi. Dimaklumi terlebih dahulu sebelum mengalaminya sendiri. Dalam hidup ini kebanyakan perkara adalah berkaitan dengan menyelesaikan masalah. Ada masalah yang lumrah. Ada yang rumit. Ada yang luarbiasa. Namun begitu setiap masalah berbeza ditanggapi oleh orang yang berbeza. Senang kepada orang lain terlalu susah pula kepada orang yang lain. Oleh yang demikian setiap orang muda sewajarnya belajar sebanyak-banyaknya cara terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Apabila menyelesaikan masalah perkara-perkara berikut perlu diambil perhatian:


1                 Segera tetapi tidak mengabaikan keadaan sekitar masalah itu. Mengambilkira semua perkara. Tidak mengabaikan mana-mana bahagian yang berkaitan dan relevan.
2                 Ekonomikal. Tidak memerlukan kos yang tinggi.
3                 Jangkamasa yang diambil tidak terlalu lama. Jika tidak penyelesaiannya menjadi lapuk atau jumud. Tidak lagi diperlukan.
4                 Tidak melibatkan terlalu ramai ahli. Banyak hal lain yang juga penting untuk dilakukan.
5                 Kaedah yang diambil dijangka menyelesaikan masalah atau mengurangkannya ke tahap yang minimum.
6                 Ahli yang terlibat mestilah fokus kepada masalah yang berkaitan sahaja.
7                 Keputusan yang diambil tidak menimbulkan masalah lain yang di luar jangka.


Kesemua perkara yang perlu difikirkan tidak datang dengan sendirinya. Pengalaman penting untuk menentukan prosedur. Menentukan kaedah. Menentukan operasinya yang paling berkesan. Dalam banyak hal masalah yang timbul hendaklah dimaklumkan kepada pihak yang lebih arif. Yang lebih berwibawa. Yang lebih tinggi pangkatnya.


1                 Mereka boleh menentukan yang mana kritikal dan yang mana bukan.
2                 Mereka boleh mencadangkan berbagai alternatif.
3                 Memberi kebenaran untuk menggunakan kemudahan (resources) yang berkaitan.
4                 Melantik pemandu untuk dirujuk dalam menyelesaikan masalah.


Suatu hal yang tidak dapat dielakkan ialah apabila sesuatu masalah tidak dapat diselesaikan dengan mudah maka ianya akan melarat menjadi lama dan lebih rumit. Apatah lagi jika mereka yang terlibat menambahkan maklumat atau mencipta sub-plot yang tidak berkaitan. Apabila pada suatu peringkat bawah masalah tidak dapat diselesaikan maka perkara itu hendaklah dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. Seorang doktor yang memeriksa pesakit tidak mengetahui penyakit yang dihidapi pesakit itu  kecuali setelah pesakit menceritakan tanda-tanda yang dialaminya. Pemeriksaan yang akan dilakukan  cuba mengesahkan penyakit yang dideritai. Mungkin juga menemukan penyakit lain yang tanda-tandanya hampir serupa. Begitu juga seorang ketua tidak tahu apa sahaja yang berlaku di bawah ruang lingkup tanggungjawabnya. Tidak mungkin kesemuanya diketahui. Ada yang diketahui dan ada yang tidak. Pembantu yang di bawah hendaklah dilatih mengenalpasti masalah yang kritikal dan yang tidak. Masalah yang kritikal melibatkan banyak hal lain. Contohnya ketiadaan air dan elektrik adalah masalah yang kritikal jika berpanjangan. Komputer rosak adalah kritikal. Tetapi jika sebatang pen rosak, ianya bukan kritikal.


Satu lagi perkara yang penting untuk menyelesaikan masalah ialah kemahiran menyusun fikiran. Dalam kejuruteraan boleh dirujuk kaedah Critical Path Method (CPM) atau Programme Evaluation and Review Technique (PERT). Menyusun idea adalah penting supaya yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Istilah yang biasa digunakan ialah kronologi peristiwa. Dari mula hingga ahkirnya. Belajar menyelesaikan masalah sangat berguna apabila sampai masanya menjadi ketua atau orang yang dipercayai. Masalah yang dihadapi ada caranya untuk diurai. Sekiranya masalah itu memberikan tanda-tanda tidak dapat diurus maka bantuan pihak yang lebih tinggi diperlukan. Mungkin ada jalan fikir yang tidak timbul semasa berusaha menyelesaikannya.


Belajar di IPT bukan segala-galanya. Banyak yang perlu dipelajari dari persekitaran. Dari pengalaman. Seeloknya orang muda aktif dalam persatuan, kelab, perkumpulan atau jawatankuasa-jawatankuasa apa sahaja asalkan memberikan manfaat. Mungkin untuk agama. Untuk masyarakat. Untuk akademik. Untuk ekonomi. Untuk apa sahaja yang memberi manfaat. Memberi pengalaman. Mengajar menjadi pemimpin. Mendidik menjadi manusia yang peka dengan masalah orang lain di sekeliling diri. Pengalaman kecil-kecilan ini membantu membina pengalaman untuk menyelesaikan masalah yang lebih besar pada masa hadapan. Masalah yang sifatnya kritikal kepada hal-hal di sekeliling diri sendiri. Melihat dan merasa pengalaman sendiri atau orang lain banyak membantu memahirkan diri. Antara manfaat kemahirna menyelesaikan masalah ialah:


1                 Kemahiran bertenang dalam kebanyakan keadaan.
2                 Mahir dengan prosedur yang berkaitan.
3                 Tahu siapa yang boleh diajak bekerjasama.
4                 Mengetahui sumber yang boleh digunakan (disposal resources).


Mereka yang mahir menyelesaikan masalah lazimmya:

1                 Dihormati kedudukannya.
2                 Selalu dirujuk.
3                 Menjadi pakar.
4                 Berpeluang terlibat dengan hal-hal yang lebih pada peringkat tinggi.
5                 Menjadi konsultan professional.



Belajarlah seberapa yang mungkin. Berusaha untuk menjadi yang terbaik. Semasa masih belajar, skop pengalaman mungkin minimum. Sesudah tamat belajar baru mendapat peluang menyelesaikan masalah yang sebenar. Hakiki. Bukan sebarangan. Natijahnya penting. Pengalaman yang baik ialah yang melibatkan banyak operasi. Mengerti cabang-cabang organisasi. Ianya penting untuk lebih mengerti masalah di bahagian lain. Lebih arif tentang pentingnya kepada organisasi. Mereka yang lebih berwibawa pengalamannya akan lebih mudah mendapat tempat di hati orang-orang di atas. Lebih dipercayai. Lebih luas peluangnya untuk mencapai kejayaan pada peringkat yang lebih tinggi. Orang yang mahir menyelesaikan masalah orang-orang yang lebih berjaya dalam kebanyakan hal. Selamat belajar.

Sunday, November 10, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mencari Yang Syarie




Apabila kita berinteraksi dengan media kita berharap mendapat maklumat yang positif. Yang benar dan hak. Yang memotivasi. Yang mengajar manusia ke jalan lurus. Yang diharap membina. Boleh dirujuk. Harus juga yang syarie. 50 tahun dahulu kebaikan-kebaikan seperti itu lumrah di dalam media. Sama ada melalui akhbar atau majalah. TV belum begitu banyak ke seluruh negara. Lagipun TV ketika itu masih sangat siuman. Kewajarannya untuk ditonton sangat menggamit semua jenis audien. Dalam masa akhir-akhir ini keadaan sudah berlainan. Banyak berita yang dianggap dusta. Paparan yang bukan hak. Malah banyak yang tidak syarie. Yang terlebih malang hampir kesemua media itu milik orang Islam. Mungkin pemerintah. Mungkin milikan individu.


Sudah menjadi sesuatu yang sukar. Hal-hal yang tidak syarie menguasai kehidupan zaman kini. Jenayah menjadi-jadi. Kelucahan tidak dapat lagi dibendung. Agama dipinggirkan. Ajarannya diabaikan. Amalannya ditinggalkan. Jika penulis bertanya kepada pembaca:

 “Siapakah yang akhirnya tidak mendapat manfaat dari kesemua kebobrokan ini?”

Tidak ada satu jawapan yang pasti. Tidak juga khusus. Antara jawapan yang sukar ialah impaknya kepada anak cucu kita. Mana lebih kuat antara tarikan yang positif dengan gangguan yang negatif. Beruntunglah anak cucu yang terdidik dalam kebaikan. Dalam dirinya terbenteng halangan untuk tidak berbuat maksiat. Serangan yang berbagai dari luar ditangkis dengan mudah. Mengetahui tetapi tidak tertarik untuk melakukannya. Nampak tetapi tidak mengulang pandang. Dengar tetapi tidak mendengarnya hingga ke akhir. Terhidu tetapi menutup hidung. Berada di tengah-tengah kemungkaran tetapi berasa lemas dan kesesakan nafas.  Itulah generasi yang ingin kita bina bersama. Di bahu siapa?

1                 Ibu bapa
2                 Guru-guru

Maknanya tiada siapa yang terlepas dari memikul tanggungjawab tersebut. Jika profesionnya bukan guru dia tetap ibu atau ayah. Apabila kita pandang keliling, guru dan ibu bapa adalah orang-orang yang paling dekat dengan anak-anak. Sama ada di rumah atau di sekolah. Sekolah menengah atau sekolah rendah. Malah yang berada di IPT masih dekat dengan guru-guru yang dipanggil pensyarah. Ibu dan bapa memiliki autoriti untuk menentukan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Guru juga diberi autoriti untuk membina generasi yang terbaik untuk negaranya. Antara kedua mereka ibu dan bapa lebih bebas melakukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Hanya agama dan undang-undang sahaja yang menghadkan kebebasan mereka. Adat resam tidak mengikat mereka sepenuhnya.


Guru adalah kelompok manusia yang diberi kebebasan setakat kebebasan itu sahaja. Tiada apa-apa yang mutlak. Maksudnya kebebasan guru hanya setakat autoriti yang diberikan kepada mereka. Dalam banyak hal ibu dan bapa memiliki autoriti ke atas guru-guru.


1                 Melalui Persatuan ibu-bapa-guru.
2                 Undang-undang.
3                 Politik.


Jika kita rangkumkan kesemuanya, ibu dan bapa yang berada di luar sekolah lebih banyak autoritinya berbanding guru-guru. Mungkin melalui persatuan. Mungkin undang-undang. Mungkin politik. Ketiga-tiga institusi ini didominasi oleh ibu dan bapa. Guru-guru berada di luar kelompok ini kecuali persatuan. Namun demikian apabila ada kejelikitan antara ibu bapa dan guru. Sebenarnya banyak yang boleh memberi manfaat. Ibu dan bapa tidak boleh merasa besar kerana yang diajar guru adalah anak-anak mereka. Guru pula tidak boleh berasa bebas kerana diberi autoriti. Yang perlu diingat ialah anak-anak (anak didik) yang perlu dijadikan manusia seperti yang termaktub akhlaknya di dalam al-Quran. Seperti juga yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan kita.


Ruang dunia di luar sana banyak musibahnya. Banyak masalahnya. Banyak yang tidak menjamin keselamatan. Ada sahaja gangguan yang boleh merosakkan apa-apa yang kita rancang untuk anak cucu kita. Kerana itu ibu dan bapa perlu membina kekebalan untuk keluarganya. Guru pula membina kekebalan untuk profesionnya. Ibu dan bapa adalah guru pertama di rumah hingga anak-anak ke TADIKA atau ke sekolah kebangsaan. Selama lima atau tujuh tahun itu, ibu dan bapalah guru yang seharusnya terbaik. Penulis ulang, selama lima atau tujuh tahun itu, ibu dan bapalah guru yang seharusnya terbaik. Belajarlah untuk menjadi ibu dan bapa yang terbaik. Tidak ada orang lain yang boleh dipindahkan tanggungjawab itu. Tidak sekali-kali kepada pembantu rumah. Sangat malang dan sangat malang sekali jika itu yang ibu dan bapa lakukan. Malang bagi generasi akan datang yang didikannya bukan oleh warganegara yang bertanggungjawab. Cadangan berikut bukan sesuatu yang ideal tetapi munasabah. Perlu. Barangkali wajib.

1                 Ibu dan bapa mengerti keperluan agama. Mengajar agama kepada anak-anak. Memantau amalan agama anak-anak.
2                 Ibu bapa mengajar anak-anaknya al-Quran. Bukan ustaz dan ustazah. Sendiri jadi ustaz dan ustazah.
3                 Membina akhlak mulia Islamiyyah kepada anak-anak. Galakkan yang baik dan benar. Elakkan yang mungkar atau maksiat.
4                 Pendidikan akhlak Islamiyyah setiap masa dalam semua hal.
5                 Galakkan anak-anak melakukan yang syarie dan meninggalkan yang berlawanan.
6                 Jangan berhenti belajar sama ada secara rasmi atau tak rasmi. Mungkin banyak bertanya kepada yang alim tentang agama. Banyak membaca. Banyak membeli rujukan yang bersesuaian.
7                 Ada sesuatu yang perlu sangat dilakukan oleh ibu-ibu. Masak untu suami dan anak-anak. Air tangan ibu sangat baik sebagai pengikat kasih. Lekat di hati. Dekat dalam ingatan. Rasa sayang yang mendalam. Jangan abaikan hal ini.


Guru-guru juga perlu ke arah agama.


1                 Guru-guru mengerti tuntutan agama dalam mendidik anak-anak didik mereka.
2                 Setiap matapelajaran atau topik ada sentuhan agama supaya agama menjadi benteng kepada fahaman atau ideologi yang menyalahi agama.
3                 Membina akhlak mulia Islamiyyah kepada anak didik. Galakkan yang baik dan benar. Elakkan yang mungkar atau maksiat.
4                 Pendidikan akhlak Islamiyyah setiap masa dalam semua hal.
5                 Galakkan anak didik melakukan yang syarie dan meninggalkan yang berlawanan.
6                 Jangan berhenti belajar sama ada secara rasmi atau tak rasmi. Mungkin banyak bertanya kepada yang alim tentang agama. Banyak membaca. Banyak membeli rujukan yang bersesuaian.



Ibu bapa dan guru menjadi benteng terakhir untuk melahirkan generasi berakhlak pada masa hadapan. Kita tidak mengharap orang lain kerana mereka yang lain banyak agenda lain. Ibu bapa dan guru sahaja yang agenda khususnya untuk memanusiakan anak-anak. Andaikata ibu bapa dan guru terlepas peluang ini maka yang kita lahirkan bukan seperti yang kita hasratkan. Kebaikan hendaklah dididik. Kebenaran hendaklah ditunjuk. Yang muda dibimbing. Dinasihat. Ditunjuk ajar. Dibawa ke dalam arus agama. Arus yang membawa jalan lurus. Pilihlah yang syarie.

Saturday, November 9, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Ruang Niaga Yang Tiada Sudahnya




Seorang tokoh usahawan berkata bahawa sewaktu dia belum menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dahulu dia tidak nampak apa-apa peluang dalam bisnes. Sesudah menceburkan diri dia mendapati bahawa dunia keusahawanan adalah bak lautan yang tiada tepinya. Terlalu banyak air dan daratannya pula terlalu jauh. Usahawan terpaksa mencari  pelabuhan. Ia berhenti dari satu pelabuhan ke pelabuhan yang lain. Melepas lelah dan mencari peluang yang lain di pelabuhan-pelabuhan itu. Benua dilintas. Lautan direntas. Masa pula bukan penghalang besar. Mata dan mata hati sentiasa dibuka. Yang mendengar bukan telinga tetapi firasat. Yang melihat bukan mata tetapi hati yang seni. Tamak bukan prinsip. Usaha yang tidak mengenal penat. Yang lain serahkan kepada Allah. Segala-galanya datang dari Allah. Izin Allah sahaja yang menentukan segala-galanya. Tanyalah usahawan. Tiada noktah dalam hidupnya. Apatah lagi jika usahanya itu kerana Allah.  Kesemuanya seperti mudah digapai tangan dengan izinNya.


Begitu juga apabila kita mula melangkah. Sebelum melangkah kita selalu tersekat dengan fikiran negatif.

1                 Bila hendak mula.
2                 Langkah kanan atau kiri.
3                 Langkah panjang atau pendek.
4                 Arah mana hendak dituju.
5                 Jauh atau dekat.
6                 Besarkah belanjanya.
7                 Adakah manfaatnya.
8                 Susah atau senang.
9                 Hendak buat apa lagi melangkah jauh atau dekat.
10            Elokkah masanya.
11            Apa kata orang nanti.


Jika terlalu banyak yang difikirkan maka langkah kita terhenti. Terlalu banyak penilaian. Yang kita perlukan hanya satu atau dua soalan sahaja. Langkahkanlah kaki ke hadapan. Walaupun barakahnya kaki kanan dahulu, apabila hendak melangkah jangan terlalu terikat dengan apa-apa. Cuma elakkan yang haram. Yang terlarang. Jika tiada halangan ambillah barakah kaki kanan. Apabila kita melangkah pastikan ke hadapan. Pandang ke kanan dan ke kiri. Pandang ke atas dan ke bawah. Pandang jauh dan dekat. Pandang ke hadapan dan sesekali menoleh ke belakang. Di hadapan ada tarikan. Namun jangan terlepas pandang bahawa di belakang mungkin ada bahaya menyusul. Maknanya langkah kita bukan lanhkah tanpa arah. Bila mula melangkah betulkan arah. Yang dipandang ada gunanya. Yang didengar ada manfaatnya. Yang terhidu ada natijahnya. Yang disentuh ada labanya. Malah debu dan pasir yang dilangkahi tetap ada gunanya.


Selalunya apabila kita menghentikan langkah, hayunan langkah berikutnya menjadi sukar. Apatah lagi apabila kita berhenti terlalu lama.  Apatah lagi jika kita selalu teringin untuk berehat. Berehat kerana Allah lain impaknya. Berhenti kerana penat lain pula kesannya. Orang yang berjaya tidak berehat kerana penat tetapi berehat kerana mengambil bafas baru yang lebih segar. Nafas untuk memulihkan tenaga. Untuk lebih gagah terus melangkah ke hadapan. Dalam hidup ini banyak yang menghalang kita. Apabila kita terlalu terikat dengan kerja makan gaji maka tergambar tarikh bersara. Tarikh pencen. Tarikh tamat usia guna. Kerana dirasakan sewaktu bekerja terlalu penat maka persaraan adalah waktu rehat yang berpanjangan. Memang betul jangkaan menjadi kenyataan. Tamat usia guna. Tidak lagi berguna. Tamat baki usia yang masih produktif. Usia yang masih banyak manfaatnya. Untuk menjadi bermanfaat kita tidak perlu lagi dibayar upah. Tidak perlu gaji. Tidak perlu ganjaran. Banyak keindahan hidup selepas bersara. Yang Bersara. Bukan Yang Berhormat. YB tanpa Dun dan tanpa Parlimen. Dunia menjadi pentas luas dan segar.


Ruang di sekeliling kita menjanjikan berbagai manfaat. Pilihan terlalu banyak. Kita sahaja yang perlu berada dalam suasana itu. Orang lain tidak perlu menentukan apa yang terbaik untuk diri kita. Kita mengetahui banyaknya keinginan kita. Kita maklum taraf kemampuan kita dalam berbagai hal. Jika tidak mampu banyak, dapatkan yang sedikit. Jika tidak pergi jauh, pergi ke destinasi yang dekat. Jika tidak lama cukuplah sekadar dalam jangka waktu yang sesuai. Sesudah bersara, dunia keusahawanan mungkin bukan bersesuaian lagi. Berkebun dan bertani mungkin bukan lagi masanya kerana tenaga sudah luntur menyusut. Makan dan minum rasanya melebihi dari cukup. Elaun pencen banyak juga bagi yang pernah menjawat jawatan tinggi. Mungkin sudah menimbunkan harta benda yang produktif untuk menambah kemampuan kewangan. Ketika dalam persaraan kelekaan dunia sudah tidak lagi memberi erti. Bukan lagi gelanggang terpilih.


Sewaktu muda banyak yang kita tinggalkan. Hal-hal yang fardhu ‘ain dan mungkin fardhu kifayah. Dalam usia yang masih berbaki elok dihabiskan dalam menuntut ilmu. Alangkah indahnya mati dalam menuntut ilmu. Ilmu yang bermanfaat. Menyempurnakan sesuatu yang mencacatkan hidup kita dahulu. Mencari semula yang terabai dahulu. Yang kita tinggalkan. Yang kita pinggirkan. Dahulu penulis berjinak-jinak dengan ilmu agama. Maklum serba sedikit perbincangan mengenainya. Namun masih selalu takut tersalah tafsir. Kerana setiap pada diri kita ada nilainya.

1                 Lisan kita ada pahala dan dosanya. Bercakap yang hak mendapat pahala. Jika tidak dosa yang tertanggung.
2                 Perbuatan kita ada pahala dan dosa. Yang baik tentulah pahala. Yang sebaliknya tentu pula berdosa.
3                 Pancaindera kita mungkin mendapatkan pahala atau sebaliknya. Memandang yang hak adalah pahala. Mendengar yang hak juga pahala.
4                 Malah yang tersirat dalam hati kita ada pahala dan dosanya.



Penulis mencari kesempatan bersama isteri untuk mengembara. Rentasan masa dari kembara kami yang pertama pada tahun 1985 dahulu belum ada penamatnya. Masih banyak yang perlu digarap di hadapan mata dan di hadapan masa. Berada di bumi anbia lebih banyak ruang ilmu yang terlihat. Hari ini kami memulakan kembara al-Quran. Di Malaysia kita biasa membaca al-Quran Riwayat Hafs dengan Toriq al-Syatibiyyah.  Teringin pula membaca dengan Toriq Toyyibah atau di Malaysia dikenali sebagai Toriq al-Jazari. Di Kaherah sebenarnya lubuk ilmu. Penulis mencuba satu demi satu dengan izin Allah jua. Mudah-mudahan banyak manfaatnya untuk diri sendiri dan orang-orang yang ada di sekeliling penulis.  Kembara kami jauh dan lama. Tanpa kembara kami tidak keluar dari kotak masa. Kotak keselesaan yang kadang-kadang membelenggu usaha. Lagipun di luar kotak kebiasaan kami menemui sesuatu yang sentiasa baru dan segar. Kelainan yang mengindahkan hidup dalam usia yang berbaki. Berniaga di dunia ada pasang dan surutnya. Ada masanya mendapat laba yang banyak. Ada masa yang lain tidak mendapat apa-apa. Malah rugi sahaja. Kesemuanya fizikal yang maujud. Berniaga dengan Allah sentiasa mendapat laba. Laba di dunia dan laba di akhirat. Maujud dalam pemikiran. InsyaAllah. 

Thursday, November 7, 2013

Bingkisan dari Kaherah: Daulah Islamiyyah Yang Terpecah



Pengkaji ramai yang memahami istilah pecah dan perintah. Dasar orang Barat ini masih kekal diamalkan oleh orang-orang di bekas tanah jajahan mereka. Dari Portugis kepada Sepanyol kepada Belanda kepada British kepada Perancis kepada Itali kepada Jerman kepada Russia kepada Cina. Mungkin Jepun termasuk dalam kategori ini. Sekali pandang ianya hanya dasar politik. Ideologi yang berbeza. Cuba kita lihat ke dalam. Ke dasar sanubari nurani Islam. Apa implikasi dan impaknya kepada  Islam, dunia Islam dan orang Islam. Tanpa membuka mata hati mungkin kita tidak memahami apa-apapun yang terpapar di hadapan kita. Nampak tetapi kita tidak melihatnya. Ada tetapi maujudnya tidak memberi apa-apa erti kepada kita. Sambil belajar bahasa Arab di Mesir ini penulis cuba melihat betapa besar signifikannya dasar pecah dan perintah orang Barat ke atas Islam itu sendiri.


Sejak dari dahulukala bumi Arab adalah bumi anbia. Yang mula-mula diduduki manusia keturunan Adam. Masa yang berlalu meninggalkan sejarah yang berbagai. Antaranya kita melihat pendudukan Yunani dan kemudiannya Rom. Asia Tengah ini adalah kawasan yang strategik di atas muka bumi.

1                 Pertemuan Timur dan Barat.
2                 Laluan perdagangan rempah.
3                 Laluan perdagangan barangan dari Cina.
4                 Mana-mana kuasa yang bertapak di sini menguasai kesemua di atas.


Sewaktu empayar Yunani dan Rom berada di Jazirah Arab ini tiada usaha untuk memecahbelahkannya. Orang Arab dan tanah Arab diperintah secara tunggal. Sejak dari zaman Yunani bumi Syam sangat maju dalam banyak hal. Menjadi rebutan antara satu sama lain. Berbagai tamaddun berkembang seperti:

1                 Kerajaan Nabi Sulaiman as.
2                 Kaun ‘Ad iaitu kaum Nabi Hud as.
3                 Kaum Nabi Salleh as.
4                 Kaum Nabi Syuib as.
5                 Kaum Nabi Luth as.


Apabila Islam berkembang dari Madinah ke seluruh penjuru alam, manusia di Barat menjadi kelam kabut. Penguasaan mereka ke atas Jazirah Arab terlerai. Bangsa Arab bukan lagi bangsa yang dijajah. Bersama agama Islam, orang Islam menerobos ke Barat dan ke Timur. Di bawah Piagam Madinah daulah Islamiyyah adalah satu. Tunggal. Di bawah kerajaan Ummayyah dan Abasiyyah daulah Islamiyyah juga satu. Di bawah empayar Uthmaniah daulah itu masih satu. Barangkali titik tolaknya ialah Perang Salib yang akhirnya dimenangi oleh orang Islam di bawah pimpinan Sallahuddin al-Ayyubi. Kekalahan itu menjadi tamparan berat kepada Barat. Sebelum itu mereka berasa hebat kerana dapat mengusir Islam dari Andalusia yang telah diperintah Islam selama kita-kita tujuh abad. Kekalahan mereka kepada Sallahuddin menyerlahkan adanya:

1       Dendam Barat dan Kristian.
2       Dendam Kesumat Bangsa yang dimurkai
3       Dendam bangsa yang disesatkan


Rata-rata kepimpinan di Barat mengetahui bahawa selagi orang Islam kuat maka orang Islam tidak boleh dikalahkan. Selagi orang Islam berpegang dengan al-Quran selagi itu Islam kukuh. Bukan rapuh. Kerana itu mereka menggodam Empayar Uthmaniah yang berpusat di Turki. Berbagai perancangan dan gagasan yang mereka lakukan. Satu demi satu kawasan diduduki, diperintah dan diperlakukan semaunya atas nama menundukkan Islam. Pemimpin-pemimpin kecil dibantu untuk menegakkan negara-negara kecil yang lemah. Kerana itu kebergantungan kepada Barat berkekalan. Barat dianggap sebagai pelindung kewujudan negara-negara tersebut. Hingga sekarang ada negara Islam yang kewujudannya betul-betul bergantung kepada ihsan Amerika Syarikat. Kerana itu apa yang berlaku di Palestin tidak pernah diambil pusing. Rakyat mereka memikirkannya tetapi kepimpinannya tidak. Tiada negara Islam yang benar-benar kuat dan digeruni Barat. Dasar pecah dan perintah mereka menenggelamkan suara orang Islam. Hilang segala maya.


Barat mengasing-asingkan orang Islam sehingga terjadinya negara-negara kecil yang entah dari mana mulanya. Entah siapa yang menentukan sempadannya. Siapa pula menentukan haknya. British berada di bumi Syam. Perancis di utara Afrika. Begitu juga Itali. Sekarang baru kita mengerti. Rupanya agenda besar menanti kita. Negara Islam yang banyak tetapi kecil dibezakan dari segi politik. Dari segi ideologi. Dari segi budaya.  Kita hanya diperlihatkan perebutan kuasa pada peringkat zahirnya. Yang kita lihat penjajah berebut-berebut mencari tanah jajahan. Kita disibukkan dengan hal-hal yang tidak signifikan. Sementara itu orientalis pula menyibukkan orang Islam dengan perkara furu’ walaupun mazhab-mazhab yang sudah mantap menjadi ikutan tanpa masalah. Kita disibukkan dengan hal-hal yang kecil-kecil. Yang remeh temeh. Orang Barat melaksanakan agenda besar tanpa kita sedar. Agenda mega masih menanti hingga sekarang. Mereka memerah ekonomi dari bumi Arab untuk menindas orang Islam. Untuk memiskinkan orang Islam. Untuk melemahkan orang Islam.


Baru kita sedar betapa banyaknya minyak yang diperlukan Barat. Betapa minyak menjadi alat pembakar yang menghidupkan generasai Barat. Bayangkan senerio tanpa Barat. Negara Islam menjadi sangat kaya raya. Ironisnya kekayaan dari negara Islam mengkayakan Barat. Kekayaan negara Islam disimpan di Barat. Digunakan, digandakan perolehannya untuk mengkayakan diri mereka. Bukan mengkayakan pemiliknya iaitu orang Islam. Minyaknya diangkut ke Barat. Wang pembayarannya kekal di Barat. Minyak memaju dan mengkayakan industri mereka. Harta benda yang kekal di Barat semakin mengkayakan mereka. Negara Islam kekal majunya hanya merangkak lambat.


Sekarang kita mula melihat penjajahan agama. Orang Islam tidak bebas memakai pakaian Islam umpamanya. Mereka menggubal undang-undang untuk menguatkuasakan larangan itu. Masjid tidak boleh dibina sesuka hati. Terdapat undang-undang di Switzerland yang menghadkan ketinggian menara masjid supaya tidak melebihi bangunan tinggi di sesuatu kawasan. Seolah-olah kebebasan beragama berlaku di negara Islam. Toleransi orang Islam sangat tinggi. Tetapi tidak di sebaliknya. Kita tidak melihat dari dahulu bahawa perancangan Barat banyak agendanya. Bercapah ke berbagai bidang. Penjajahan kekayaan antara yang kita sangat jelas hingga kini. Ada sahaja yang mereka rancang untuk menjadikan orang Islam menjadi lebih miskin.



Penjajahan fizikal sudah lama berlalu. Yang masih wujud ialah penjajahan minda. Minda kita masih dalam kotak yang sama. Kita tidak keluar kotak untuk melihat banyak kotak lain di sekeliling kita. Kotak-kotak itu lebih besar. Lebih universal. Lebih anjal. Lebih memberikan ruang untuk merubah dan menjadi lebih baik. Kita perlu keluar dari kotak lama yang sama sahaja bentuknya. Kita tidak lagi hanya boleh melihat bentuk dan saiz. Letak dan tempat. Kita perlu transgresi. Kita perlu mengapung. Kita perlu mencapah. Kita perlu menyebar. Kotak lama hanya tapak asas untuk kita mengerti sejarah yang bermula. Cari kotak lain yang lebih kondusif bersandarkan kepada kesedaran kita yang baru. Bina kotak yang lebih baik. Kotak yang menjadikan kita membina identiti dan entiti baru. Untuk makluman banyak negara di Asia yang sudah keluar dari kotak lama mereka. Kita bila lagi.

Wednesday, November 6, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Petakakah Sekolah Campur?




Sepanjang penulis bersekolah menengah penulis hanya bersama pelajar lelaki. Tiada pelajar perempuan kecuali seorang atau dua guru perempuan. Di sekolah kebangsaan sahaja penulis bersama pelajar perempuan. Di maktab perguruan kami bercampur lelaki dan perempuan. Begitu juga di universiti. Kajian terbaru di Israel umpamanya mendapati bahawa prestasi pelajar berbeza antara sekolah yang bercampur gender berbanding dengan sekolah yang bergender tunggal. Pelajar di sekolah bergender tunggal didapati lebih baik prestasi akademiknya. Jika kita lihat senario di Malasia situasi ini ada kebenarannya. Walaupun bukan kajian rasmi. Kita dapati prestasi sekolah seperti STAR, Kolej Tunku Khursiah, dan yang lain menunjukkan prestasi yang cemerlang. Ada sekolah-sekolah yang bercampur gender yang juga cemerlang prestasi pelajarnya. Namun begitu sejak akhir-akhir ini banyak musibah berlaku di sekolah-sekolah bercampur gender.


Suatu ketika dahulu semasa penjajah Inggeris berada di Malaysia  untuk orang Melayu hanya ada sekolah Melayu. Sekolah Cina untuk orang Cina dan diusahakan oleh saudagar-saudagar Cina. Sekolah Tamil pula disediakan di estet-estet oleh pemilik-pemilik ladang berbangsa British. Sekolah Inggeris diusahakan oleh mubaligh-mubaligh Kristian. Mubaligh Kristian mengadakan sekolah diasingan antara lelaki dan perempuan. Mereka tahu agama mereka melarang percampuran bebas. Dari segi sosial sahaja mereka melakukan pergaulan bebas. Bukan dari segi agama mereka. High School wujud hampir di semua bandar besar. Begitu juga sekolah Clifford, Anderson dan sebagainya. Sekolah perempuan pula kebanyakannya dinamakan Convent. Penulis rasa ramai orang Melayu tidak tahu makna Convent. Sebenarnya ianya adalah tempat rahib berlatih menjadi mubaligh. Setelah kerajaan persekutuan mengambilalih pentadbirannya barulah sekolah-sekolah mubaligh mengikut arus perdana.


Orang lama seperti penulis maklum sejarah sekolah di Malaysia. Sebelum merdeka hingga sekarang sekolah-sekolah mubaligh kekal sebagai sekolah gender tunggal. Banyak juga sekolah-sekolah yang khusus untuk gender tunggal kekal hingga kini. Nama-namanya seperti Sekolah Seri Putri, Sekolah Perempuan Temenggung  Ibrahim dan banyak lagi. Sekolah-sekolah gender tunggal ini pada asalnya untuk ekspatriat dan anak-anak bangsawan Melayu. Anak orang awam yang terpilih sahaja berpeluang ke sekolah gender tunggal. Fakta sejarah yang kekal hingga kini ialah sekolah mubaligh tidak pernah terdaftar sebagai sekolah kerajaan. Begitu juga sekolah Cina dan sekolah Tamil. Ketiga-tiga sekolah ini tidak di bawah kuasa tadbir kerajaan British. Hanya sekolah kebangsaan sahaja ditadbir oleh kerajaan penjajah. Cerita tentang Laporan Barnes dan Fenn-Wu telah banyak kali penulis sentuh dalam beberapa entry sebelum ini.  


Beberapa tahun selepas merdeka kerajaan Perikatan di Semenanjung Tanah Melayu memulakan sekolah menengah kebangsaan. Bahasa pengantarnya bahasa Melayu. Untuk lelaki hanya Sekolah Menengah Alam Shah untuk lelaki. Seingat penulis hanya Sekolah Alam Shah sahaja sekolah menengah kebangsaan untuk lelaki. Tiada sekolah menengah kebangsaan khusus untuk perempuan. Yang ada ialah sekolah menengah kebangsaan yang kesemuanya bercampur gender. Rasanya tanpa kecuali. Banyak namanya. Sejarah pendidikan yang banyak kali berubah mengikut arus dan musim. Peneraju kepimpinan pendidikan banyak mempengaruhi kebanyakan perubahan tersebut. British memulakan pendidikan untuk kepentingan mereka dengan sekolah gender tunggal. Sekolah untuk penduduk yang dijajah kebanyakannya bercampur gender. Sekolah seperti ini mengikut model di Amerika Syarikat. Menentang amalan di Britain. Sejarah melihat Amerika Syarikat mencipta kelainan berbanding dengan apa yang dimiliki Britain.  


Sekolah bercampur gender pada awalnya dilihat menarik. Banyak kebaikannya. Tetapi antara sedar dengan tidak sekolah bercampur gender menjadi tidak syarie. Pergaulan yang tidak dapat disekat antara guru, petugas sekolah, guru-pelajar dan pelajar dengan pelajar. Bukan tidak berlaku masalah di sekolah gender tunggal. Namun di sekolah bercampur gender masalahnya lebih besar dan lebih kritikal. Kita bercakap tentang masalah sosial. Masalah seksual. Masalah gender. 

1                 Masalah guru lelaki dan pelajar perempuan. Rasanya banyak kes yang berbagai antara keduanya. Banyak yang baik tetapi ada juga yang negatif. Bercinta dan mendirikan rumahtangga sememangnya baik. Alhamdulillah. Cumanya kadang-kadang guru kurang menjaga  kesempurnaan bercinta. Terpamer di hadapan pelajar-pelajar. Kesannya negatif kepada pelajar.

2                 Pelajar lelaki dan pelajar perempuan.

2.1            Pelajar bercinta mungkin tabie. Fitrah mereka. Tetapi orang dewasa risau. Mereka terlalu muda. Belum layak. Masa dan tenaga mereka untuk menimba ilmu. Untuk belajar. Untuk menjadi pandai. Untuk mencari landasan membina kerjaya yang lebih menjamin masa hadapan mereka sendiri. Bercinta mungkin boleh menjejaskan peluang menjadi cemerlang. Terhalang kebaikan tumpuan untuk belajar dengan sempurna.

2.2            Akhir-akhir ini banyak kes bercinta yang melampaui batasan. Banyak tertangkap pasangan pelajar yang bercumbu-cumbuan di kelas atau di kawasan sekolah yang luas. Di sekolah tiada pengawasan yang 100% sempurna. Tiada seorang gurupun yang mampu menjaga kesempurnaan keselamatan pelajar-pelajarnya.

2.3            Pelajar berzina di sekolah sudah menjadi pengetahuan umum. Beritanya terlalu banyak di media cetak atau di media elektronik seperti di youtube, facebook dan sebagainya.

2.4            Jika dahulu pelajar mengandung adalah sesuatu yang langka. Terlalu jarang berlaku. Kini berita pelajar perempuan mengandung terlalu kerap. Berita mengenainya sudah bukan berita sensasi lagi. Menjadi terlalu biasa.

2.5     Beranak anak tak sah taraf. Ganjil bunyinya. Itulah istilahnya. Dilembutkan supaya tidak nampak sangat salahnya. Penulis kurang arif mengenainya. Istilah asalnya terlalu menghina barangkali. Cuma kejadian sedemikian terlalu kerap sekarang ini. Malah ada ketikanya mereka bersalin di sekolah. Janin yang tidak bersalah disumbat ke dalam mangkuk tandas. Dosa yang menggandakan dosa berikutnya.



Apakah kita hanya memandang sepi. Membaca berita tanpa erti. Seperti tiada suatu tindakanpun yang dapat dilakukan untuk memperbaiki keadaan. Penulis yakin jika lebih banyak sekolah-sekolah gender tunggal dibina ramai ibu bapa yang memilih sekolah sebegitu untuk anak-anak mereka. Selamat tinggal sekolah bercampur gender. Persatuan ibu-bapa-guru dan ibu bapa perlu membuka mata lebih luas lagi. Membuka minda lebih tajam. Membuka perasaan lebih peka. Ke mana hendak kita arahkan anak-anak kita. Sikap kita barangkali perlukan perubahan paradigma. Kembali kepada fitrah. Minyak dan api perlu diasingkan. Kembali mengerti apa yang baik dari aspek agama dan apa yang kurang baik. Kita tahu banyak masalahnya sistem yang ada sekarang. Tidak ada salahnya beralih ke suatu sistem yang lebih kondusif dari segi agama. Kembali kepada hukum. Bukan menentangnya.

Monday, November 4, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Krisis Identiti dan Entiti Islamiyah




Jika kita tanya siapa orang Islam, tentu ramai yang dapat menjawab.

Mereka bersyahadah dan maklum akan rukun iman yang enam
Menunaikan rukun Islam yang lima
Berakhlak islamiyah.


Apabila berada dalam kumpulan ramai manusia, mungkin kita tidak dapat mengenalpasti mereka yang beragama Islam. Kerana Islam bukan warna kulit. Bukan nama. Bukan keturunan. Bukan kedudukan ekonomi. Bukan taraf sosial. Bukan pangkat. Bukan kelayakan akademik. Bukan gender. Banyak yang bukan dari ya. Muslim lebih sukar dikenalpasti berbanding Muslimah. Ada usaha untuk beridentiti Muslim seperti memakai jubah, memelihara janggut. Kopiah dan serban bukan universal. Orang Arab jarang-jarang berkopiah dan bererban. Mereka sekadar berjubah. Apabila mereka berpakaian Barat maka identiti Muslim terhakis. Hilang entiti yang seharusnya membezakan antara Muslim dan bukan Muslim. Jangan terperanjat. Orang Yahudi ramai yang berjanggut.


Suatu ketika dahulu pakaian Islam atau Arab yang berjubah dan berserban dipakai oleh sarjana-sarjana Barat. Pensyarah-pensyarah mereka berpakaian demikian. Pakaian berjubah dan berserban dianggap pakaian intelektual. Orang awam tidak memakainya. Hanya mereka yang dalam bidang kesarjanaan sahaja berpakaian begitu. Pakaian itu dianggap rasmi. Bila bertugas mereka memakainya. Mungkin juga kerana ingin membuang imej Islam mereka menggantikannya dengan mortar dan topi bulat seperti yang berada di kepala pemegang ijazah PhD. Sekarang ini pakaian kesarjanaan itu tidak wujud lagi di Barat. Hatta di negara Islam sendiripun. Hilang dentiti Islamnya. Entiti Islam dipadam dari dunia intelektual. Di kesemua negara Islam sekalipun tidak ada yang sedar hilangnya khazanah itu.


Muslimah Arab berbeza dengan Muslimah bukan Arab. Muslimah yang tinggal di Asia Tengah memiliki banyak ciri-ciri yang sama. Di negara-negara bukan Arab ciri-cirinya berbeza pula. Garapan yang berbeza mengikut adat dan resam yang berbeza. Aurat Muslimah adalah keseluruhan tubuh badannya secara fizikal kecuali muka dan kedua tapak tangan. Suatu ketika dahulu Muslimah Arab menutup keseluruhan tubuh badan mereka dengan pakaian yang longgar. Malah mereka memakai niqab. Menutup muka dan hanya menampakkan kedua mata sahaja. Tidak ada kerumitan. Tidak ada keganjilan. Menutup aurat sepenuhnya adalah perintah Allah SWT. Tidak ada apa yang hendak dipertikaikan. Kesemuanya termaktub di dalam al-Quran. Sepintas lalu lebih mudah mengenalpasti yang mana Muslimah dan yang mana bukan. Kita boleh bercakap mengenai keselamatan peribadi. Keselamatan sosial. Malah tidak kurang juga keselamatan nasab. Pakaian Muslimah yang kelihatan tidak menarik menghindar tarikan Muslim atau lelaki bukan Muslim.


Ingat kisah Nabi Nuh as? Banjir besar yang menenggelamkan bumi mengubah lanskap manusia dan kemanusiaannya. Setelah beberapa ketika kapal Nabi Nuh as terdampar di puncak gunung Judiy, ramai pengukut Nabi Nuh as yang meninggal hingga akhirnya tinggal Sam, Ham dan Yapith sahaja. Ketiga-tiga anak Nabi Nuh as ini memiliki cirri-ciri fizikal yang berbeza. Sam merupakan susur galur keturunan Caucasian. Ham menjadi keturunan Negroid. Sementara Yapith memulakan keturunan Mongoloid. Keturunan Sam berbadan agak tegap. Kulit putih kemerah-merahan. Hidung mancung. Bibir nipis. Rambut berwarna perang, putih, kemereh-merahan cokelat dan sebagainya. Mata pula biru, hijau, perak dan cokelat. Keturunan Ham berbadan tegap. Kulit hitam. Rambut keriting. Hidung besar tetapi tidak mancung.  Bibir tebal. Keturunan Yapith pula berbentuk sederhana. Kulit putih kuning. Mata sepet. Hidung kecil. Mulut kecil. Rambut hitam. Mata hitam.

Keturunan Sam memenuhi semananjung Arab hingga ke utara India. Mereka juga ke Barat dan menenuhi Benua Eropah termasuk Russia. Sekarang di Amerika Utara kerana penghijrahan. Keturunan Ham kekal di Arfika. Dibawa ke Amerika Syarikat. Keturunan Yapith pula menyebar ke Timur. Dari Turki hingga ke Cina, Mongolia, Korea, Jepun, Asia Tenggara dan kepulauan Polynesia. Orang India Merah di Amerika Utara dikatakan keturunan Yapith. Keturunan Yapith termasuk kita orang Melayu. Melayu dan Cina dari keturunan yang sama iaitu Yapith, anak Nabi Nuh as. Alhamdulillah kembara peulis ke beberapa negara menemukan penulis kepada sumber keturunan Yapith. Orang Turki banyak ciri-ciri Mongoloid. Berbadan sederhana. Mata sepet. Rambut hitam. Kulit putih kuning. Hidung kecil. Mulut kecil. Lemah lembut seperti orang Asia yang lain. Sopan santun.


Penjajahan Barat ke atas banyak negara di dunia mengubah lagi lanskap keturunan manusia. Yang paling berubah ialah identiti dan entiti bangsa dan keturunan. Muslimah paling banyak terpenaruh dengan gerakan emansipasi wanita Barat. Mereka mencari jalan keluar. Keluar dari identiti mereka yang sediakala. Mereka ingin bebas. Ingin berkerjaya. Mungkin ada sedikit niat untuk meniru wanita Barat yang lepas bebas. Media cetak dan media elektronik banyak memainkan peranan menyebarkan pengaruh Barat. Lahirlah industri hiburan yang tidak terkawal. Peluang pekerjaan dalam bidang ekonomi. Peluang-peluang lain yang ditawarkan oleh berbagai industri. Muslimah yang dahulunya berjubah dan berniqab berubah wajah. Kerana mengikut standard, maka pakaian Muslimah itu ditanggalkan sedikit demi sedikit. Mereka gantikan dengan pakaian yang semakin lama semakin sendat. Semakin lama semakin singkat. Semakin lama semakin mendedah. Semakin lama semakin menipis.

Hilanglah rupa bangsa. Hilanglah rupa agama. Yang kita lihat ialah wanita biasa yang serupa di mana-mana. Kadang-kadang hendak memberi salam sesama lelakipun penulis menjadi teragak-agak. Sesama keturunan Yapith tetapi beragama yang berlainan. Malah orang Melayu sendiri ramai yang ciri Yapitnya sangat menonjol.  Matanya lebih sepert dari orang Cina. Kulitnya lebih putih kuning berbanding dengan orang Jepun. Pakaian adalah petunjuk agama. Wanita penganut agama Kristian Orthodok di Russia umpamanya memakai tudung mengalahkan Muslimah. Dari kanak-kanak hinggalah orang dewasa. Muslimah pula enggan memakai tudung. Dikatakan tidak mengikut edaran masa. Bagaimana orang Russia? Tidak pula mereka ketinggalan. Sampai juga ke bulan. Kapal angkasa mereka sentiasa berada di angkasaraya. Maju menyaingi Amerika. Mungkin lebih lagi. Media banyak menutup berita mengenai mereka.



Orang Islam kehilangan identiti dan entiti. Budaya islamiyah pula tidak terpelihara. Dunia pula semakin di hujungnya. Pada ketika orang Islam melupakan agamanya, orang yang bukan Islam mula tertarik kepada Islam. Apa-apa yang tidak kita pelihara maka Allah berikan kepada orang lain. Setiap hari terlalu ramai orang Barat menganut Islam. Baik di Britain. Baik di Amerika Syarikat. Baik di negara-negara Eropah yang lain. Begitu juga di India. Ramai yang mencari Islam kerana kebenarannya terserlah. Mereka mencari dan mereka mendapatnya. Ramai antara kita mengejar yang lain hingga keciciran milik kita yang hak. Jangan main-main dengan identiti dan entiti Islamiyah yang ada pada diri kita sendiri.