Friday, May 10, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Sallahuddin al-Ayyubi Yang Terlindung Sejarahnya – Bahagian Pertama


Sejak berada di Bumi Anbia sudah tiga kali saya kembali ke zaman Sallahuddian Al-Ayyubi. Pertama di Ajloun, Jordan. Keduanya di Karak, Jordan. Ketiganya di Kaherah, Mesir. Sallahuddin adalah tokoh Islam yang gilang gemilang. Sayangnya tidak ramai yang mengetahui perjuangannya membebaskan bumi anbia dari cengkaman orang-orang salib dari utara yang dibantu oleh orang-orang Yahudi. Dua kurun lamanya bumi anbia di bawah kuasa luar yang bukan Arab dan bukan Islam. Selama dua kurun bumi Islam diijnak dan dipijak dengan rakus dan zalim. Orang Islam dtindas sesuka hati mereka. Orang Islam menjadi sampah yang melata. Melarat tanpa apa-apa. Harga diri mereka hilang dibuang ke laut Mediterranean. Jati diri mereka dibenam ke dasar padang pasir yang merentas Timur tengah. Semangat mereka direntap dan dilempar jauh dan tinggi melepasi gunung-ganang yang ada di bumi Anbia ini. Seperti sesuatu yang malang apabila kita rentasi sejarah bumi Syam, bumi anbia ini. Sejarahnya bergemerlapan membina tamadun besar sejak dari zaman purba. Banyak bangsa-bangsa besar berada di sini. Sebut sahaja Yunani Kuno, Yunani Baru, Rom, Anbat dan banyak lagi. Di bumi ini juga ramai Rasul dan Nabi silih berganti.
Tinggalan sejarah yang banyak bertaburan di Jordan merupakan sebahagian sejarah gemilang bumi ini pada suatu ketika dahulu. Jordan bukanlah nama sebuah negara asal. Yang kita tahu ialah Syam. Rasulullah pernah berniaga di sini. Tanda kerasulannya dikenalpasti oleh seorang padri Yahudi. Tanda-tanda besar yang masih ada seperti Laut Mati (Nabi Luth), Al-Quds (Bait al-Maqdis – nabi Sulaiman), makam Nabi Musa, Nabi Syuib, Nabi Khidir, Al-Kahfi dan banyak lagi. Tidak semua dapat saya kunjungi. Hanya beberapa yang besar dan signifikan seperti Petra, Laut Mati, Jarash, Ajloun, Karak  dan Umi Quois. Laut Mati dan Petra telah saya ceritakan walaupun mungkin masih ada bahagian-bahagian yang belum ternukil. Antara yang kuat menggamit saya ialah keberadaannya Sallahuddin Al-Ayyubi di bumi anbia ini pada kurun yang ke-11 dan 12. Dia datang dari Kurdistan. Dihimpunkan pejuang dari pelosok bumi Islam. Sejarah mencatatkan bahawa perjuangan untuk membebaskan bumi ini berlarutan hampir dua kurun. 200 tahun. Maknanya untuk mencipta sesuatu yang indah bukan sehari dua. Berkurun-kuran lamanya orang dahulu menegakkan yang hak. Yang leluhurnya untuk Allah. Bukan calang-calang perjuangan yang telah dibaktikan. Yang telah dibakar semangat juang yang gemilang.
Pengajaran pertama yang wajib kita ingat ialah untuk jatuh, masa yang diambil mungkin cukup singkat. Tanda-tandanya mungkin telah terlihat lama. Tidak diambil endah hingga akhirnya meranapkan sebuah kegagahan. Keruntuhan sebuah negara mencabar iman dan kekuatan semangat. Apabila jatuh maka jatuhlah semua yang dibina. Fizikal dan spiritualnya.
Pengaran keduanya ialah untuk bangkit adalah sesuatu yang amat sukar dan menyeksakan. Semasa kita cuba bangkit akan ada yang menekan. Mereka tidak memberi ruang untuk diperjuangkan. Yang paling malang, tidak ramai orang ingin membantu orang yang malang. Ramai antara mereka hanya menonton tanpa apa-apa sumbangan yang dapat memberi manfaat.
Pengajaran ketiganya, untuk bangkit kita mungkin perlukan bantuan orang lain. Tetapi kita sendiri yang perlu bangkit. Diri kita sendiri perlu dibangkitkan. Khususnya semangat kita perlu tinggi. Jiwa kita perlu besar. Azam kita perlu kukuh. Psikologi kita stabil. Fikiran kita menjangkau segala kemungkinan.  Orang yang berjaya hanya menjadi orang-orang yang selesa. Mengekalkan keselesaan yang jauh lebih senang. Sebagai analogi sahaja, menukar giar kereta dari empat ke giar lima sangat mudah. Kenderaan ketika itu sedang meluncur mudah. Pertukaran giar seperti tidak bergitu terasa. Tetapi dari giar satu ke giar dua mungkin kereta terpaksa menderam. Apatah lagi jika menongkah bukit. Begitulah orang yang ingin bangun. Ingin berjuang. Payahnya banyak. Sukarnya mengazab. Masanya lama. Usahanya berganda-ganda. Tidak semua orang berjaya. Tidak semua orang jatuh. Kebanyakan kita berada di bawah. Berusaha untuk naik ke atas. Malangnya bila berada di atas lupa sejarah sewaktu di bawah dahulu. Maka orang-orang seperti ini menyediakan dirinya untuk jatuh hingga mungkin tidak akan bangkit lagi.
Begitulah yang terjadi kepada mereka yang berada di bumi anbia ini dahulu. Kerajaan Umayyah tumbang digantikan oleh kerajaan Abasiyyah. Walaypun pada zaman Abasiyyah, Islam mencapai kegemilangannya dari segi ilmu pengetahun orang Islam terlalai dari segi dendam orang Yahudi dan kristian yang tersingkin dari bumi anbia. Mereka merancang lebih 1,000 tahun untuk kembali ke bumi mereka. Ya, 1,000 tahun. Bacalah sejarah dunia. Orang barat mengatakan bahawa sebalum berlaku Zaman Pencerahan, kepada mereka dunia berada dalam kegelapan. The Dark Ages. Suatu penipuan sejarah. Kita pula akur dengan penipuan tersebut. Suatu paradox yang sengaja dicipta. Memang orang barat berada dalam kegelapan selama 1,000 tahun tetapi dalam masa 1,000 tahun itu Islam membina tamadunnya. Segala bentuk ilmu diperkembangkan. Orang Islam mewah dengan ilmu dan kesenangan. Kepada orang barat apa sahaja yang bukan dari mereka tidak diiktraf. Yang nyatanya segala ilmu Islam dibawa ke barat, diperkembangkan dan diberi label barat. Ibn Sina (Aveceina), Ibn Rush (Averoush) dan banyak lagi ilmu yang menjurus kepada sains dan teknologi dimajukan seperti Matematik, Geometri, Algebra, Astronomi san sebagainya. Rasanya kebanyakan ilmu telah diperkembangkan pada zaman 1,000 tahun yang dikatakan gelap itu.
Pengajaran keempatnya ialah pengajaran itu sendiri. Di Jordan umpamanya, kenangan masa lalu masih sangat kuat. Mereka ingat sejarah mereka. Mengetahui susur galurnya. Kita di Malaysia selalu kecundang tentang sejarah. Apatah lagi apabila sejarah diberi nafas kedua dan ketiga. Sejarah yang tulen terpinggir kerana ada agenda lain yang diserlahkan. Di Jordan penduduknya arif tentang sejarah negara mereka. Namun pengaruh barat memingirkan pengajaran lama ke museum-museum untuk tontonan. Sejarah peradaban bumi Syam sejak berzaman-zaman hanya tinggal bekas. Anak-anak muda leka dengan hiburan. Terleka dengan hidup senang. Gempa bumi besar pada kurun ke-8 seperti tidak diingat lagi. Terbaliknya Laut Mati dilihat hanya sebagai sejarah. Mereka tidak menangisi lagi sejarah silam yang menyeksakan bangsa mereka. Agaknya begitulah sukarnya Sallahuddin berusaha mengembalikan semangat dan keyakinan pejuang-pejuang pilihannya untuk membebaskan al-Kuds pada zamannya. Ketika semua orang sudah kehilangan kemantapan akidah untuk melawan kebatilan. 
Telusurilah sejarah bangsa supaya tersemat semangat juang untuk menjaganya. Untuk memartabatkannya. Untuk menjulangnya ke persada yang diredhai Allah.
 

Saturday, May 4, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Terang Yang Bersuluh


Selama ini kita berjalan bukan dalam gelap gelita. Kita berjalan siang dengan cahaya siang yang ada. Kita berjalan malam dengan cahaya suram malam gelap. Jika siangnya kita disinari cahaya panas, malamnya kita disinari cahaya suram yang tidak berapa terang. Senangnya kelabu sahaja. Tidak berapa jelas apa yang dilihat. Yang nampak  boleh jadi bayang-bayang yang orang selalu takut. Kita hanya ada terang atau gelap. Siang adalah terang. Malam adalah gelap secara fitrahnya. Bayang-bayang siang tidak menakutkan sesiapa sahaja yang waras fikirannya.  Besarnya tidak menakutkan. Gelapnya tidak menakutkan juga. Orang selalu takut dengan bayang-bayang malam. Hitam juga tetapi menakutkan. Kenapa? Malam biasanya gelap. Biasanya sunyi. Biasanya memainkan bulu roma. Bayang-bayang tidak dikethui gelapnya. Maka bayang-bayang selalu memainkan bebayang lain. Semua yang berbayang menjadi lembaga-lembaga yang menakutkan. Fitrah manusia memang takut kepada bayang. Kepada gelap. Kepada malam.
Pagi ini saya ucapkan Assalamualaikum kepada semua rakyat Malaysia. Hari baru. Pagi baru. Pagi yang cerah dengan cahaya baru. Tanggal 5 Mei 2013 adalah tarikh yang bersejarah. Walau apapun yang bakal berlalu sepanjang hari ini, pastinya sejarah yang tersendiri tercipta.  Betulkanlah sejarah itu supaya anak cucu kita kesemuanya dapat menelusuri sejarah datuk dan neneknya dengan wajar. Bahawa pada tanggal 5 Mei ini datuk dan neneknya meniti sejarah bangsanya dengan berani dan yakin. Mereka telah membuat keputusan untuk menentukan sendiri masa hadapan mereka. Masa hadapan untuk anak cucu mereka di kemudian hari nanti. Mereka membuat keputusan bahawa anak cucu mereka, mereka sendiri yang menentukannya. Yang mencorakkan coraknya. Yang membentangkan lapangannya. Yang meninggi pentasnya. Yang menaikkan martabatnya. Yang menjanjikan yang terbaik untuk mereka semua.
 Sejarah sentiasa berlalu di hadapan mata kita. Sama ada kita terlibat atau tidak sejarah itu tetap berlaku. Sampai masanya dikaji semula. Apakah kejayaannya sesuatu keputusan suatu bangsa. Apakah pula kegagalannya. Apa pula halangan-halangan yang menidakkan kelangsungan suatu bangsa yang diyakini kebebasannya. Kemerdekaannya. Sudah hampir enam dekad kita merdeka dari British. Dari barat dan kebaratan. Kita telah berundur ke dalam suasana yang sedikit suram. Tidak terang seperti cahaya yang kita rancangkan. Di sebalik tabir-tabir suram kita terperangkap dalam agenda diri. Ramai antara kita sukar melepaskan diri kerana perangkap itu. Semakin ianya menebal semakin kita rapuh berfikir. Rapuh untuk melangkah keluar menuju jalan-jalan lurus yang lebih bererti. Jalan-jalan yang lebih membawa kita ke hadapan. Jalan yang sewajarnya lebih mudah dan santai. Kaki kita tidak keduanya melangkah sama. Ada yang terikat dan tertinggal. Kerana itu derapan kita ke hadapan selalu bertingkah tanpa irama. Gelanggang selalu tinggi dan rendah. Paluan irama yang selalu tidak cantik tingkahnya.
Pagi ini kita sama-sama singkap kain nipis yang menabiri cahaya yang kita harapkan. Biar cahaya baru benar-benar memancarkan cahayanya. Menghidupkan yang hidup segan mati tidak mahu. Menceriakan hati-hati yang suram banyak zamannya. Hari ini biarlah terang benderang. Telus sepanjang masa dan rentasan dinding dan temboknya. Ada tawa riang di hujung medan yang luas untuk terus diteroka. Ada usapan lembut sayu tangis ceria kerana bebas dari gelap dan bayang. Bebas dari takut dan ancam. Kita keluar mendamaikan hati. Mencari yang dulunya telah lama hilang. Mencari bahtera merdeka yang hilang dendangannya. Mencari negara yang darah kita tertumpah di sini. Memajukan segala sumber yang kaya di bumi ini. Kita terbang tinggi menggayat awan. Menggarap semua yang mungkin digapai tangan. Yang pastinya hati kita bukan kecil. Bukan kerdil dan takut. Bahawa lapangan sudah terbuka. Permainan ini baru hendak dimulakan. Marilah bertingkah sama memeriahkan suasana.
Setelah semalaman mata tidak mahu lelapnya, pagi ini cahaya baru menyejukkan gundah di hati. Abang kakak yang pandai menentukan masa hadapan sendiri. Ayah dan ibu yang tahu di mana anaknya berada. Telah diletakkan di tempat baik dan bersih. Telah dibimbing ke jalan lurus yang tidak banyak beloknya. Telah dilindung dari panas dan hujan. Hari ini anak-anak watan bermain di gelanggang yang menjadi biasa. Jika asas berfikir tidak banyak diisi sukar juga membuat  jalan berfikir yang cantik natijahnya. Kita berfikir sekarang untuk suatu jangka masa hadapan yang jauh. Yang orang lain sukar menjangkaunya. Apatah lagi untuk memaparkan visualnya di hadapan mata.  Selepas ini kita buka gelanggang baru supaya anak-anak kita lebih banyak tingkahnya. Lebih banyak pandainya. Lebih tinggi wawasannya. Lebih realistik pencapaiannya. Hari ini baru bermula. Dari hari ini kita harus membuat langkah baru yang lebih memberi yakin diri. Kita angkat martabat kita bersama. Kita angkat jatidiri kita yang banyak hilang. Cari dan temuilah diri kita yang malap dahulu. Mungkin setengahnya hilang keyakinan untuk timbul dan menyerlah.
Pastinya sesuatu sudah berubah. Akan berubah. Terus dinamik perubahannya. Kita corakkan semula masa hadapan kita. Kita bina landasan-landasan baru untuk kita pergi lebih jauh. Lebih tinggi dari sebelumnya. Tidak mungkin kita hanya selamanya begini sahaja. Hanya di pinggiran tanpa turut serta. Inilah masanya untuk maju bersama. Membina semula yang hilang. Mencari yang pergi. Memanggil yang mengintai. Yang rendah kita tinggikan. Yang tinggi kita tegakkan. Yang lebar kita hamparkan. Yang sempit kita lapangkan. Hati kita dan hati kita yang perlu bercakap. Perasaan kita yang perlu damai. Psikologi kita yang perlu tenteram. Soal hati yang dahulunya muram ada riak untuk bahagia pada masa hadapan. Hari ini dan hari ini kit ada peluang itu. Doa saya untuk semua rakyat Malaysia. Berbahagialah selalu. Semoga Allah memberkatimu.

Friday, May 3, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Benarkah Ada Peluang Kedua?


Ramai orang mengharap-harap jika diberi peluang kedua. Benarkah ada peluang kedua seperti yang diharap? Rasanya tidak ada. Apabila kita kehilangan peluang maka kita memang tidak berpeluang menikmati apa yang kita harapkan. Allah tidak mengizinkan kita mengecap apa sahaja nikmat yang berkaitan dengan peluang itu. Apabila datang peluang kedua, peluang itu sebenarnya bukan peluang kedua. Sebabnya:
Peluang itu sudah di luar konteks.
Sudah di luar kotak.
Sudah luput tarikh.
Sudah tidak relevan lagi.
Sudah di luar persekitaran yang diperlukan.
Sudah bukan masanya. Lost its timeliness.
Sudah tidak ada syahdunya lagi.
Kita sudah tidak perlukannya lagi.

Kerana itu merebut peluang pertama sangatlah pentingnya. Lebih penting dari mendapatnya. Ramai orang mendapat peluang tetapi melepaskannya kerana peluang itu tidak bermakna kepada mereka. Mereka tidak melihat yang tersirat. Tidak melihat nilai konteks dan nilai masa.  Tidak dapat menjangkau lintasan masa hadapan yang jauh dan berliku. Tidak dapat mengintai di sebalik rimbunan halangan menuju bahagia dan mendapatkan kedamaian selesa di hati dan sanubari. Ada masanya peluang yang keemaasan dilepaskan begitu sahaja. Ada masanya diberikan kepada orang lain. Peluang itu akhirnya digunakan oleh orang lain untuk menyulitkan kita. Tentu rugi apabila kita diberi peluang kita tidak memanfaatkannya. Apabila kita mendapat peluang kita melepaskannya. Apabila kita dihadapkan dengan peluang kita menolaknya kerana kita tidak tahu nilai peluang itu. Di mana kita 100 tahun lagi? Tidak ada. Siapa yang menjadi waris kita? Cucu dan cicit kita. Dapat kita visualkan di hadapan mata rupa bentuk kehidupan mereka waktu itu. Waktu kita sudah tidak ada. Waktu yang sudah melepaskan peluang kita untuk mencorakkan cucu cicit dan keturunan kita pada masa hadapan.
Di banyak negara orang mencari kebahagiaan. Mereka mendapatkannya. Tidak kesemuanya. Sebahagian besarnya. Kemewahan melimpah-limpah. Pergilah ke USA. Pergilah ke Sweden. Pergilah ke Negara Cina atau Russia. Jangan jauh pergilah ke Singapura. Dekat tetapi kita gagal mencontohinya. Kita banyak berkokok tanpa ekor. Bertelur tidak mana banyaknya. Negara Cina dahulunya komunis. Mereka buang baju komunis. Mereka bergerak ke hadapan untuk mengungguli negara lain. Untuk membahagiakan rakyatnya. Begitu juga Russia, Poland, Hungary, Romania dan Albania. Komunis mereka sudah lama dibuang. Kita ke barat. Dahulu kita kagum dengan sistem Yahudi yang mereka ada. Mereka kaya pada zahirnya. Rupa-rupanya mereka kaya pada kertas. Balance sheet mereka tidak pernah balanced. Setiap tahun deficit. Dalam setiap unit wang yang mereka miliki majoritinya adalah hutang. Mereka hidup dalam hutang. Kepompongnya besar. Belonnya besar. Mereka sesak kerana kekosongan isi. Nampak gah dan gagah. Apabila berlaku krisis matawang barulah kita mengetahui bahawa kaya mereka pada angka.  Bukan pada real assets. Statistik adalah ilmu yang baik. Namun jika digunakan untuk deceit maka diri sendiri juga yang merana. Kita tidak mahu wabak itu menular ke negara kita. Biar penuh dengan isi yang konkrit. Dana yang disusun dan dipergunakan untuk tujuan produktif. Untuk menjana kehidupan yang lebih baik. Lebih tinggi tetapi dengan kos yang lebih rendah. Lebih baik kita mewah dari kaya tetapi tidak mewah. Kos hidup yang tinggi mesti disejajarkan dengan taraf hidup yang diperlukan. Segala-galanya mesti berada pada titik equilibrium. Seimbang dari mana-mana penjuru. Semua kos pada peringkat optimum. Baru kita dapat mengoptimumkan peluang yang ada.
Pembangunan dan kemajuan? Kitakan kaya. Sumber cukai kita menimbun. Jika dirancang dengan berwawasan tentu banyak yang dapat dihasilkan. Jalanraya tanggungjawab kerajaan. Setiap ringgit yang dibelanjakan ada multiplier effectnya dalam ekonomi. Pelaboran melonjakkan ekonomi ke aras yang tiada siapa yang tahu. Hanya boleh diramalkan secara positif. Aliran ekonomi yang pantas menambahkan produktiviti. Bertambah cukai. Bertambah dana kerajaan. Syaratnya. Gunakan dana itu secara prudent. Bukan bermewah-mewah atau membazir. Hospital adalah juga tanggungjawab kerajaan. Menanggung rakyatnya yang sakit. Bukan untuk membebankan yang sakit. Tergamakkah kita meminta bayaran dari anak kita yang kita rawat? Rakyat adalah rakyat. Anak watan. Sakit dan sihatnya untuk negara. Mereka perlu sihat supaya produktif. Mengembalikan sumbangan mereka kepada negara. Sekolah tanggungjawab kerajaan.  Saya tidak tahu jika ada bapa yang menuntut bayaran pendidikan dari anak-anaknya. Bukankah kita menginginkan anak-anak kita pandai-pandai belaka? Supaya mereka berintelek tinggi. Memikirkan yang besar-besar. Mencipta barangan, teknologi dan sistem yang  memberi manfaat kepada negara.
Dalam mana-mana sistem bernegara ada hak-hak yang diasingkan. Ada hak yang ditanggung. Ada hak yang dtanggung bersama. Prasarana ditanggung oleh kerajaan. Usaha individu sama ada untuk kehidupan atau untuk pelaboran. Tanpa gandingan bertanggungjawab antara kerajaan, pelabor dan rakyat mana mungkin sistem berjalan lancar. Prasarana inilah yang selalu dimanipulasi. Rakyat selalu dimomokkan supaya bersyukur. Benar. Bersyukur itu tanda akur. Mungkin wajib bersyukur kepada Allah yang mengizinkan segalanya berlaku dengan baik dan aman. Alangkah indahnya jika ramai orang yang mengetahui perjalanan sebuah bahtera negara. Bagaimana legislative, eksekutive dan judiciary berganding membina sebuah sistem bernegara. Pengasingan kuasa yang dihasratkan menjamin ketelusan sistem itu sendiri. Tidak ada pihak yang menyelinap masuk ke bahagian yang lain. Mengganggu perjalanan sistem. Akhirnya mencacatkan sistem keseluruhannya.
 Berat sebenarnya menerima peluang yang keemasan. Datangnya bukan banyak kali. Mungkin sekali sudah mencukupi. Kekal nikmatnya sepanjang zaman. Mungkin juga kita berhak menerima peluang berkali-kali untuk mematangkan kita. Berlatih untuk membezakan peluang yang tulen emasnya dan peluang yang hanya kaca berkilau. Maknanya kita rela jatuh ke dalam lubang yang sama berulang kali. Rasanya itu bukan kita. Hati kita tidak membenarkan. Persekitaran kita tidak membenarkan. Terlalu daif jika kita membenarkan diri kita menjadi selemah itu. Cukuplah peluang yang selama ini kita lepaskan. Hak itu hak kita. Dijamin oleh sistem. Oleh persekitaran. Oleh sosial. Hak membuat pilihan asalkan bersandarkan syariat. Jika kita terlepas peluang ini mungkin senerionya yang akan datang tidak lagi sama. Lanskapnya jauh berubah. Kita juga tidak tahu. Peluang ini mungkin yang terakhir. Kita mengharapkan peluang ini yang terbaik untuk kita. Masa sudah semakin suntuk.
Satu hakikat yang tidak boleh kita lupakan ialah sistem yang ada di negara kita agak unik. Dalam apapun keputusan yang kita lakukan kita hendaklah merentasi agama. Merentsi kaum. Merentasi wilayah. Merentasi budaya. Merentasi perbezaan pendidikan, taraf ekonomi dan sistem perbandaran. Kesemuanya perlu diadun supaya natijahnya ialah negara yang lebih utama. Lebih penting. Lebih dipelihara. Supaya dengan memahami itu ada kebebasan beragama. Kebebasan berbudaya. Kebebasan untuk hidup bersama. Menjarakkan antaranya tidak boleh. Compartmentalise juga tidak boleh. Segration tidak boleh.  Proses assimilasi perlu digandakan. Akomodasi ditingkatkan. Integrasi diperbanyakkan. Kontrak sosial yang tidak pernah ditulis perlu ditinjau semula supaya akhirnya yang kita kejar ialah aman bahagia. Bukan kuasa yang mencederakan usaha-usaha kita yang lain. Rindu sangat melihat cahaya siang hari yang aurora atau kirmizi di ufuk suria pagi. Sudah hampir sangat. Banyaklah berdoa. Hanya izinNya sahaja segalanya ada kemungkinannya.  Titipan rindu dari saya.

Salam Dari Amman Jordan: Memilih Jalan Lurus Yang Arahnya Ke Hadapan


Jalan yang paling baik ialah jalan lurus. Jalan yang mana hai tolonglah tunjuk, jalan lurus jangan belok-belok. Kata Allahyarham Tan Sri P. Ramle. Filem Bujang Lapok yang banyak memori nakal dan lawaknya. Lihat kembali. Pasti lawak itu masih baru mendahului zamannya. Kita pula meneruskan perjalanan kita. Jalan yang paling baik untuk kita ialah:
Lurus
Dekat
Rata
Lanskapnya cantik
Ekonomikal
Tidak melanggar syara’
Tiada gangguan
Ada jaminan sampai ikut jadual
Ada ganjaran di hujung jalan. Ganjaran puas, segar, selamat. Psikologi tenteram. Ada kedamaian yang selalu dicita-citakan.

Setiap perjalanan pasti ada likunya. Ada lekuknya. Ada simpangnya. Destinasinya berfasa-fasa. Sampainya belum diambilkira. Yang kita lakukan ialah melalui jalan yang menjadi pilihan. Yang rasanya mendamaikan hati. Pengalaman mengajar kit auntyk memilih yang terbaik. Ilmu mengajar kita supaya tidak mengikut nafsu. Kewarasan sewajarnya mengatasi kegilaan yang tidak menentu. Apabila perjalanan sampai di suatu simpang maka kita melalui ujian yang bukan kepalang. Yang di hadapan bukan calang-calang destinasi. Jauh atau dekat hanya nisbah. Susah atau senang juga nisbah. Sampai atau tidak hanya Allah yang menentukan. Kerja kit aialah membuat pilihan mengikut kewarasan fikiran yang kita ada. Mengikut ilmu yang dulu kita timba. Mengikut pengalaman yang tela mengajar kita. Yang pasti  ujian yang kita ambil bukan aneka pilihan. Bukan menjwab soalan. Bukan memahami karangan. Kita diberi ujian untuk menentukan masa hadapan kita sendiri. Masa hadapan mengikut acuan kita sendiri. Acuan-acuan itu boleh mungkin digariskan untuk memenuhi yang berikut:
Kelangsungan hidup beragama
Jaminan dan keselamatan sosial
Hidup dalam negara bermartabat
Mengkayakan negara dan rakyatnya supaya dipandang tinggi di mata orang lain
Teknologi yang setanding
Pendidikan yang dinamik

Kesemuanya adalah teori-teori garapan orang bijaksana. Kerana ramai orang yang tidak sampai ke situ cara berfikirnya maka butir-butirannya selalu dimanipulasi. Orang selalu hendak mendengar yang muluk-muluk sahaja. Mimpi yang indah-indah walaupun mimpi itu selalunya tidak menjadi realiti. Statistik dan angka selalu dijadikan hidangan tanpa warna dan rasa. Yang ada gambaran indah mempesona. Tidak semua dapat menjamahnya. Tidak mungkin untuk mengalaminya. Berapa ramai yang tinggal di banglow dan villa. Berapa ramai yang memandu Mercedez Benz atau Lamborginie. Berapa ramai yang melancongnya ke London dan New York. Kebanyakan orang cukup dengan LRT. Dengan bas sangkut-sangkut. Mungkin dengan kereta terpakai. Itupun terlalu mahal untuk orang biasa. Belum minyak, cukai jalan, insuran dan tolnya. Maka ramai orang hanya mampu bermimpi sahaja. Kerana itu simpang yang di hadapan adalah pilihan untuk mendapatkan yang lebih baik. Kembali kita senaraikan yang lebih baik:
Syariat yang mengatasi selainya.
Menyenangkan hidup beragama.
Menegakkan yang hak dan menolak yang batil.
Terjamin keselamatan berkerajaan, pekerjaan, kesihatan dan ruang legar rakyat yang perlu besar.
Kebebasan mencapai cita-cita.
Ekonomi yang luasnya melangit dan melaut.
Orang pandai yang ramai lulusan IPT.

Bagaimana kita membuat pilihan memang rahsia. Tetapi orang lain perlu diberi ruang untuk belajar. Untuk mengenalpasti yang mana intan dan yang mana kaca. Hidup senang di dunia belum tentu senang di akhirat jika tanpa bekal yang cukup untuk duduk di sana. Doa kita selalu dimurahkan rezeki yang halal. Diinfaqkan kepada yang berhak menerimanya. Yang nanti menuntut di akhirat jika tidak diberi haknya di dunia. Banyak tanggungjawab kita di dunia. Tentulah lebih banyak lagi tanggungjawab pemimpin. Bukan sekadar duduk di dewan yang mulia. Perlu difikirkan merentas dinding-dinding agama dan sosial. Kaum dan etnik. Wilayah dan sempadan. Kita bukan hidup sendiri-sendiri. Hakikat kita adalah majmuk. Kena fikirkan yang namanya rakyat. Keadilan mesti ditegakkan kerana atas dasar apa sekalipun keadilan tersangatlah penting. Keadilan menyelamatkan dari kesilapan-kesilapan kerana bias. Kerana memihak. Kerana taksub. Kerana asobiah.
Apabila Islam diunggulkan maknanya semua tembok dinding sudah direntas. Bukankah dalam Islam tiada konsep makan sendiri. Tiada konsep kenyang sendiri. Jiran tetangga perlu dikenyangkan  bersama. Kaum kerabat perlu senang bersama. Masyarakat perlu ditiadakan yang miskin dan yang fakir. Semua orang wajib mencari nafkah mengikut kemampuan tenang dan fikiran. Mengikut peluang yang ada. Kelebihan dan kekurang tetap berlaku. Kerana itu yang kaya membayar zakat untuk membantu yang kurang berada. Untuk membiayai negara. Jika semua anggota masyarakat menyumbang tidak ada sebab negara tidak dalam keadaan sejahtera. Itulah tanggungjawab pemimpin untuk mensejahterakan rakyatnya. Bila lagi agaknya kita akan mendapat pemimpin yang mendekati Umar Abdul Aziz. Adilnya tidak dapat dinilai dengan kata-kata.  Tiada suratan yang dapat mengisi kisahnya. Sehingga haiwan pemangsa tidak memakan mangsanya kerana menghormati Umar Abzul Aziz. Begitulah khalifah yang adil bukan sahaja dikasihi Allah. Disayangi malaikat. Dihormati manusia. Disegani haiwan.
Kit atelah lebih enam dekad berjalan. Kita sampai di sebuah simpang yang lain. Kali ini kita diuji lagi. Siapa yang kita pilih memiliki ciri-ciri yang kita perlukan untuk membantu kita maju ke hadapan.  Tidak yang membawa kita ke jurang yang membenamkan. Tidak juga yang mengundurkan. Barangkali pengalaman saya sudah memberi isyarat yang terbaik untuk diri saya. Ilmu yang saya ada membantu saya membuat pilihan. Pemerhatian saya membantu menjurus jalan dan simpang pilihan saya. Jika anda terasa sukar membuat pemilihan lihat senarai keutamaan di atas. Allah dan agama jika didahulukan tidak pernah mengecewakan. Tidak mungkin Allah mengecewakan kita kerana menta’zimkannya. Keyakinan mesti tinggi. Banyak yang mustahil di mata manusia semudah kun fayakun kepada Allah. Kita hanya mampu berusaha. Kita sertakan dengan doa. Yang lainnya serahkan kepada Allah. Pasti Allah memberikan kita pilihan yang terbaik untuk kita.
Saya sangat sayangkan tanah tumpah darah saya. Saya ingin kembali ke alam damai yang pernah saya kecap sewaktu zaman muda dahulu. Belum maju dan belum berkembang tetapi banyak kedamaian di hati. Sepatutnya ianya berkembang maju semakin mendamaikan. Semakin menyenangkan. Semakin memberi makna kepada kehidupan yang lebih tinggi nilainya. Jatidiri kita sepatutnya sudah tidak lagi dipertikaikan.  Enam dekad membina bangsa masih belum nampak kerangkanya. Generasi muda juga yang perlu membinanya. Jagalah ibu pertiwi ini sebaiknya. Inilah sahaja yang ada bagi kita. Dirgahayu Malaysia. Semoga Allah memelihara kita.

Monday, April 22, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Fitrah Agama Yang Datangnya Dinanti


Di Malaysia sekarang ini jarang sangat jemaah yang membaca al-Quran di masjid pada hari Jumaat. Yang dewasa bersandar atau meralipkan mata. Yang muda entah di mana. Di bawah pokok. Di tempat teduh. Merokok atau bersembang. Kanak-kanak pula memangnya ramai tetapi tiada pengawasan supaya mereka berbuat yang bermanfaat di masjid. Lalu kita melihat suasana yang kurang kondusif. Hari Jumaat  hanya dihadiri untuk solat semata-mata. Al-Quran banyak di masjid tetapi tidak ramai yang menyentuhnya. Mungkin ramai hanya melihatnya sebagai hiasan sahaja. Perkataan al-Quran yang maksudnya bacaan itu tidak sampai maklumannya kepada ummah yang ramai. Senarionya ialah tidak ramai yang mahir al-Quran. Tidak ramai yang belajar. Tentu sekali tidak ramai yang mengajar. Tidak ramai yang membaca. Tidak ramai yang memiliki rasa peduli yang tinggi tentang al-Quran. Sejak kedatangan Portugis kasih kita kepada al-Quran semakin terhakis. Apabila Inggeris dengan Britishnya menguasai ruang lingkup kehidupan kita , kecintaan kita kepada al-Quran semakin mengecil. Ianya menjadi sesuatu yang eksklusif. Dikatakan orang alim sahaja yang membaca al-Quran.
Rasanya masih ramai juga yang mempelajari al-Quran. Yang masih kurang ialah kegemaran membacanya setiap waktu dan setiap tempat yang sesuai.  Saya ingin paparkan gambaran di Amman, Jordan. Sementara menunggu azan Jumaat, jemaah terlalu ramai yang membaca al-Quran. Banyak atau sedikit bergantung kepada waktu yang ada. Kanak-kanak yang masih kecil sekitar tujuh hingga belasan tahun tidak ketinggalan membaca al-Quran. Mungkin di kanan atau di kiri bapa mereka. Mereka bukan membaca olok-olok.  Bukan main-main. Mereka benar-benar membaca al-Quran. Bapanya memberikan contoh yang baik. Anak-anak mengikut jejak bapa. Begitulah pentingnya anak solat bersama bapa. Bukan terpisah membawa hal anak itu sendiri bersama rakan-rakannya. Pendidikan al-Quran dan pendidikan agama di masjid terpisah dari realiti atau amalinya. Kita kotakkan agama untuk orang dewasa atau orang tua-tua sahaja. Anak-anak kehilangan tempat dan ruang untuk membesar mencintai agama. Itu belum lagi ruang solat yang dibataskan. Dihadkan. Di belakangkan. Kita yang dewasa menajdi tidak mesra jemaah.
Kita selalu solat berjemaah. Apabila imam tersalah baca atau terlupa, tidak ramai jemaah yang dapat membetulkan. Apatah lagi jika imam membaca cabutan dari surah yang besar dan panjang. Terpaksalah imam memerah otaknya untuk mengingat hafalannya selama ini. Tidak berlaku begitu di negara yang rakyatnya Arab atau mungkin Pakistan atau yang mungkin darjah hafalan al-Qurannya sangat tinggi. Bukan imam sahaja yang hebat al-Qurannya. Makmum di belakang sangat ramai yang hafal al-Quran. Setiap kesilapan mam dibetulkan oleh ramai makmum.  Menyedari hal tersebut saya sangatlah ingin menyarankan kepada pembaca supaya kita sama-sama kembali kepada al-Quran. Pelajari dan kaji semula untuk menemui semula fitrah diri kita. Saya ada beberapa cadangan.
1        Mari ramai-ramai kita belajar al-Quran. Belajar dari seorang guru kepada guru yang lebih tinggi martabatnya. Maknanya kita semakin mendalami. Semakin baik. Mendekati kesempurnaan bacaan.
2        Jika ada peluang ajar orang lain yang tidak begitu mengetahui al-Quran.
3        Cuba menghafal seberapa banyak surah yang mungkin. Dari surah-surah yang pendek dan senang hingga ke surah yang panjang.
4        Yang keempat sangat penting.
4.1  Cuba cekalkan hati menghantar anak-anak untuk menghafal al-Quran sejak dari sebelum ke sekolah rendah lagi. Semasa mereka di tadika. Ada seorang kanak-kanak di Mesir menghafal al-Quran sewaktu usianya empat tahun. Dia meninggal ketika usianya lapan tahun. Hingga sekarang arwah itu dianggap sebagai wali kanak-kanak. Kuburnya sentiasa diziarahi pelancong.
4.2  Jika masih ada anak-anak yang belum ke sekolah menengah pastikan mereka menghafal seberapa banyak surah yang boleh. Berserta dengan tajwidnya sekali.
4.3  Pilihlah sekolah menengah agama atau maahad atau pusat-pusat menghafaz al-Quran. Jika anak-anak menjadi hafiz sejuk perut ibu. Tempat tinggalnya dinaungi. Dia menjadi seperti al-Quran berjalan. Dirinya seolah-olah menjadi al-Quran.
4.4  Anak-anak yang menjadi hafiz senang belajarnya. Semua matapelajaran boleh dihafal seperti menghafal al-Quran.
4.5  Setelah menjadi hafiz, dia boleh memilih apa sahaja bidang yang diminatinya. InsyaAllah belajar bukan lagi masalah baginya.
Di masjid, rak-rak al-Quran seharusnya di sekeliling ruang solat. Maksudnya al-Quran boleh dicapai pada bila-bila masa. Dibaca sentiasa. Selain membaca surah Yaasin atau surah al-Kahfi, bacalah al-Quran keseluruhannya. Sedikit demi sedikit. Setiap sebelum solat. Setiap selepas solat. Ketika berada di masjid. Dalam teksi dan bas. Ketika memandu. Semasa santai. Para sahabat khatam al-Quran setiap malam. Imam Syafie khatam al-Quran berkali-kali setiap bulan. Maksudnya al-Quran kita jadikan agenda. Bukan memenuhi masa terluang. Bagi yang mampu tubuhkan pusat-pusat menghafal al-Quran. Jika wawasan kita ialah sesuatu yang besar. jauh langkah natijahnya.
Semua imam hafal al-Quran. Pahala solat berjemaah menjadi berganda-ganda.
Bapa dan ibu hafal al-Quran supaya pendidikan al-Quran bermula dari rumah.
Hidup berkeluarga dilingkungi al-Quran. Agama adalah pelindung yang terbaik. Perisai dari segala kefasadan.
Pemimpin hendaklah hafal al-Quran supaya semua tindakannya berlandaskan agama.
Pegawai-pegawai di semua peringkat adalah hafal al-Quran supaya mereka dipandu dengan selamat menurut al-Quran.
Semua guru yang Muslim hafal al-Quran supaya ilmu yang disampaikan bermotif agama. Menuju kepada Allah. Disampaikan dengan kesedaran bahawa segala-galanya adalah hak Allah.

Apabila al-Quran dijadikan agenda dengan sendirinya agenda-agenda lain akan terkurang. Kita lebih dekat kepada agenda agama. Agenda yang lurus jalannya. Menuju ke arah yang lebih diredhai. InsyaAllah kekurangan-kekurangan kita selama ini akan Allah cukupkan. Allah tambahkan. Allah gandakan. Akan Allah tinggikan darjat kita. Umat Islam menajdi lebih mulia kerana akhlaknya mengambilkira al-Quran. Teringin benar rasanya melihat bahawa kita dikelilingi orang-orang yang pandai al-Quran dan pandai agama. Jadilah profesional yang di bibirnya al-Quran. Akauntan yang hafiz. Jurutera yang hafiz. Arkitek yang hafiz. Peguam yang hafiz. Doktor perubatan yang hafiz. Al-Quran akan mendinding mereka dari taksub dengan profesion mereka. Mereka sewajarnya amat dekat kepada Allah. Seluruh tenaganya untuk Allah. Khidmatnya untuk Allah. Saya ingin melihat mereka yang tersebut di atas menjadi pendakwah. Menjadi guru agama di masjid dan surau. Menjadi guru kepada keluarga, jiran dan saudara mara. Profesional bukan bererti tiada agama. Bukan yang tidak pandai agama. Sebaliknya sudah sampai masanya mereka menerajui masyarakat dengan kemahiran al-Quran dan agama mereka. Sudah ramai yang terkehadapan. Dr. Daniel umpamanya. Dr. Jamnus contoh yang lain. Kita ingin meramaikannya lagi.
Ayah dan ibu, serahkan anak-anakmu kepada agama.
Datuk, serahkan cucumu kepada agama.
Pemimpin, serahkan pimpinanmu kepada agama.

Pasti tidak ada yang rugi. Malah Islam pasti bertambah indahnya. InsyaAllah.

Friday, April 19, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Mulia Manusia di Tapak Kaki



Tapak kaki kita memijak tanah, tetapi kita pilih tanah yang kering. Kita pilih yang bersih. Kita pilih yang tidak cemar. Kita pegang tanah tetapi kita basuh seperti mengikis kulit. Kita terduduk di atas tanah  namun kita kebas pakaian dan kulit seperti terlalulah kotornya. Bayangkan kita tersembam di atas tanah. Malunya tidak terkira. Marahnya hati tidak terhitung. Kita rasa maruah kita tercemar. Terpalit kita kotor. Tergeser berbekas. Terheret juga cemar. Entah mengapa kita menganggap tanah adalah kotor. Cemar. Malah ada orang menganggap tanah seperti najis. Mungkin benar tetapi banyak tidak benarnya. Tanah yang sahih ada campuran najis tentulah fitrahnya najis. Tetapi jika secara hakikinya kita mengetahui tanah itu tidak cemar dan tidak najis tentulah tiada najisnya. Tanah itu suci. Di padang pasir orang Islam solat dengan mudahnya. Mengetahui qiblat dan ada wuduk atau tayammum. Maka solat terlaksana. Tempat kotor? Tidak. Pakaian kotor? Mungkin dilihat banyak palitan tanah di sana sini. Pakaian itu dianggap kotor. Benar. Tetapi apa kategori kotor yang kita lihat. Kotor yang bukan najis. Yang kekal suci kerana ianya palitan tanah. Solatnya sah. Tiada yang tidak mengesahkannya.
Manusia yang sudah jadi manusia selalu berasa mulia. Terutama yang datang dari tempat yang namanya bukan tanah. Yang tidak pernah bergelumang dengan tanah tidak merasa tanah itu haknya. Yang tidak pernah hidup di tanah tidak terasa tanah adalah miliknya. Cuba berhenti sebentar. Duduk dengan elok. Pejamkan mata. Pandang ke hadapan. Manusia dijadikan dari tanah. Allah hidupkan kita dari tanah. Kerana itu kita memiliki sifat-sifat tanah yang subur. 70% adalah air. 30% bukan air iaitu tanah itu sendiri, api (panas) dan angin. Dari manusia lahir anak-anak. Kotoran dari dirinya kembali ke tanah. Ada yang dilepaskan ke udara. Ada yang disimpan untuk mengekalkan hidupnya. Kerana kita dari tanah kenapa manusia takutkan “kotor” tanah. Seorang doktor tidak pernah takutkan semua kotoran semasa bertugas. Seorang veterinar tidak pernah takut dengan najis dan yang bernajis kerana itu tugasnya. Kita, kita yang tidak ada tugas khusus sangat takut dengan tanah. Fobia dengan tanah. Harap-harap janganlah jatuh ke tanah. Dari tempat tinggi jatuh ke tempat yang sangat rendah. Sebenarnya kita dijadikan untuk jatuh ke tanah. Untuk berada di tempat rendah. Di dalam tanah.
Berapa tinggi kemuliaan kita tidak pernah kekal lama. Kita berada di atas hanya seketika yang sangat sekejap. Sangat pendeknya pada nisbah masa. Kita hidup mungkin 75 tahun. Mati kita sebelum qiamat mungkin seperti infiniti. Di alam barzah sangatlah lamanya. Di atas sekejap masa. Di bawah sana terlalu lama nisbahnya. Kerana itu jangan risau berada di bawah. Bukan hina berada di tempat yang rendah. Kebanyakan kita memang berada di bawah. Tidak merasa naik ke atas. Maka yang berjaya ke atas seharusnya ingat tempat hakikinya tetap di bawah. Seperti orang lain juga. Barangkali kita banyak melihat. Banyak menonton. Ramai orang di atas bila sampai ajalnya berada di bawah. Tanah perkuburannya dikambus juga. Yang dilihat ialah kaki yang memijaknya. Bukan sekali orang di atas. Tidak mungkin orang di atas turun memijaknya. Maka yang memijaknya ialah orang yang selalu berada di bawah. Yang tidak pernah berada di atas. Orang yang tidak pernah terfikir untuk berada di atas. Semasa hidupnya dia hina kerana berada di bawah. Dihina kerana tempatnya di bawah. Bila orang di atas berada di bawah orang bawahlah yang memijaknya. Bayangkan jika orang atas dahulu selalu memijak orang, matinya nanti dipijak-pijak orang tanpa pua memijaknya.
Pengalaman di luar negara selalu memberikan kejutan-kejutan diri. Di tanahair kita selalu berada di tempat yang istimewa. Dalam lingkungan adat beradat. Budaya kita yang tersendiri. Di luar negara kita banyak membuang kesemuanya untuk sementara. Hari Khamis 18 April 2013 saya ziarah ke Irbid. Di utara Amman. Katanya sebuah bandar kecil. Pelajar Malaysia pula beribu-ribu ramainya. Melebihi 2,000 orang. Kali pertama ke Irbid ada pengalamannya yang tersendiri. Naik bas berebut-rebut. Alhamdulillah isteri saya mendapat tempat duduk. Saya bingung sekejap kerana semua tempat duduk sudah berpenghuni. Seseorang menyuruh saya duduk di tangga bas. Di hadapan pintu bas yang tertutup. Allahuakbar. Dapat juga duduk. Atas lantai? Betul. Kotor? Tidak perlu fikirkannya. Yang penting duduk. Lagipun bekas-bekas tanah dari tapak kasut penumpang bukan najis. Terlalu sedikit anjing di Amman. Tanah atas sifatnya sebagai tanah adalah suci. Mensucikan yang najis sekalipun. Di Jordan, perjalanan dengan bas untuk ke tampat jauh tidak dibenarkan berdiri. Semua penumpang diwajibkan duduk. Tidak kira di atas apa. Yang pentingnya duduk.
Orang Malaysia terasa ganjil jika naik bas ekspress duduk di atas lantai. Di tangga bas. Hina. Cemar. Rendah. Maruah seperti diletak di bawah tapak kaki. Tetai kaki kita sendiri juga. Kaki saudara kita sendiri. Kaki yang dahulunya dari tanah juga. Duduk di atas bukan asing kepada kita. Sampai masanya kita berada di bawah tanah. Dikelilingi tanah. Selut. Lumpur. Gelap. Tanah menjadi rumah kita yang panjang lamanya. Sekarang musim orang hendak berada di atas. Ingatlah! Di atas sana gayat memandang ke bawah. Yang menjadi gayat ialah tanggungjawabnya. Amanahnya yang berat. Karenahnya yang banyak. Galas dan pikulnya yang memerit perasaan. Bagi yang berani sewajarnya mengenal diri sendiri. Ada kesedaran yang tinggi bahawa tempat tinggi itu sementara. Bukan selama-lamanya. Andai tanggungjawab disempurnakan, maka lapanglah kuburnya nanti. Jika tidak, banyak masalah di alam barzah. Belum lagi di akhirat nanti. Dari bawah naiklah ke atas dengan wajar. Ikut jalan lurus yang sudah digarispandukan. Apabila dipilih jalan lain tentulah natijahnya bukan yang hakiki. Nanti turunnya bukan hak. Mungkin terjatuh. Mungki luruh sendiri.
Tinggi atau rendah adalah nisbah. Pilihlah nisbah yang positif. Yang hakiki. Yang fitrah. Mudah-mudahan ada yang mengerti bahawa hidup ini fana. Tidak pernah selamanya. Kesemua yang hidup pasti mati. Kita pasti kembali kepada Allah. Jawablah soalsiasatNya nanti. InsyaAllah biloh menjawabnya.

Wednesday, April 17, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Berumahtangga dan Bersemenda


Apabila anak-anak mendewasa tentu ibu bapa merasa getaran-getaran yang datang melamar keluarga. Sampai masanya anak-anak berumahtangga. Anak perempuan menunggu tangan dihulur. Anak lelaki kenalah menghulur tangan mereka. Kata sepakat bukan susah. Yang meruntun ibu bapa ialah harapannya yang terlalu tinggi. Siapa bakal pasangan anak-anak mereka. Di lereng mana kebahagiaan mereka. Di puncak mana tapak mereka. Bagaimana nanti jatuh dan bangunnya. Pasangan itu kufu atau tidak. Namun pasrah dan doa selalu bertingkah. Manusia tidak selalunya mendapat yang terbaik. Tidak juga yang terburuk. Ketentuan Allah tentulah ada hikmahnya.  Allah memberi yang terbaik untuk kita. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Maka anak-anak yang dibelai dan dibesarkan sampai masa mereka untuk dilepaskan. Dari seorang ke seorang yang lain. Selagi mereka masih belum berumahtangga maka tertunggu-tunggulah ibu bapa akan kuda putih datang bertambat. Rajawali datang hinggap. Doa dan harapan yang selalu digarap dalam jaga dan mimpi. Semoga anak-anaknya diambil oleh orang-orang yang cukup mustaidnya.
Menjadi wali hanya sebentar ucapnya. Aku nikahkan dikau dengan ...... . Tamatlah tugas syahdu itu seketika. Anaknya sudah menjadi isteri orang.  Sudah menjadi anak orang. Sudah menjadi menantu orang. Bakal menajdi ibu yang didoakan solehah. Lahir darinya cucu-cucu yang juga soleh dan solehah. Menjejak ibu dan bapanya. Menjejak datuk dan neneknya. Menjejak keturunan moyang-moyangnya. Melepaskan anak-anak perempuan bukan sesuatu seperti membuang kertas yang melayang entah ke mana ditiup angin. Sorot  kembali surat cinta zaman dahulu. Dilipat rapi. Diwangi harum. Disampaikan dalam sampul yang cantik indahnya. Semerbak bak hati yang kembang gembira.  Dubuka dengan debaran. Dibaca berulang kali. Dikucup tanda rindu. Disimpan tanda ingat selalu. Anak-anak seperti warakah yang disimpan rapi dalam ingatan ibu bapa. Dirindui akan untung nasibnya. Kebahagiaannya yang ingin selalu dilihat jelas. Hatinya yang selalu riang ingin selalu digalas mata memandang. Tentu bukan lagi sesuatu yang pasti melainkan ketentuan Allah jua. Apabila anak-anak berumahtangga yang dilepaskan hanya kehadirannya di hadapan mata. Keberadaannya tetap di hati yang sama. Anak tetap dirindui sepanjang masa. Apalagi usia semakin tua. Lanjut menunggu tibanya masa yang menentukan. Apatah lagi mereka yang terlalu lanjut usianya. Jalannya yang sudah berbapah. Duduknya yang sudah tidak boleh tegak lagi. Ingatannya yang sudah samar di kejauhan.
Kuda putih yang datang tentu ada penunggangnya. Rajawali yang hinggap tentu ada gembalanya. Menantu-menantu yang gagah datangnya diletak tinggi dengan harapan menjulang. Membahagiakan anak-anak perempuan yang menjadi isteri mereka. Mengambilalih tanggungjawab memelihara insan wanita yang dimuliakan Allah. Dimuliakan Rasulullah. Membawa mereka ke syurga terindah. Langkah mereka meninggalkan pintu rumah yang dahulunya dia dibesarkan tentu merembaskan airmata. Tentu menggenangkan aliran yang mungkin jatuh dan membasahi pipi. Tentu meruntun hati di dalam. Tentu menjadikan hati sebak kerana dia bukan lagi anak akan selalu bersama.  Datangnya hanya seketika. Kekerapannya dilihat kepada jadual keluarganya yang baru dibina. Gerak langkahnya juga tentu tertahan-tahan. Ada tarikan dan dorongan. Antara ibu bapa yang ditinggalkan dan suami yang bakal memberi perlindungan. Kembali kepada fitrah dan tanggungjawab. Ibu bapa hanya mendewasakan. Melengkapkannya untuk peranan yang lain. Suami juga yang akhirnya tempat bernaung. Tempat berteduh. Tempat bermanja dan menumpang kasih. Ke mana lagi tumpah rindu dan sayang jika bukan untuk suami. Kerna itu suaminya adalah sebaik-baik lelaki dan suami. Sebaik-baik pemimpin yang membawanya ke syurga fawana. Pengakhirnya ke syurga hakiki. tempat segala nikmat yang tiada tolok bandingnya. Tempat semadi abadan abada.
Begitu juga harapan tinggi ibu bapa. Jejaka-jejaka pilihan itu memberi yang terbaik kepada isteri-isteri mereka. Hakikatnya Allah menjadikan lelaki memimpin wanita isteri dan anak-anaknya. Menjaga ibu bapanya. Memberi yang terbaik untuk jiran tetangganya. Berkhidmat untuk masyarakatnya. Peranan besar itu perlu dilimpahkan kepada isteri dan keluarganya. Maka ibu bapa besar harapannya kepada mereka. Tempat berteduhnya cukup selesa dan membahagiakan. Sandang pakainya memenuhi status yang dibina. Makan minumnya bukan sahaja mengenyangkan. Bahkan juga berkhasiat. Persekitaran kehidupannya ceria, bersih dan mendamaikan. Jauh dari gangguan yang merungsingkan. Kadang-kadang hidup berkeluarga tidak mungkin statik. Tidak mungkin kekal seperti yang ada. Ada tangga yang perlu didaki. Ada tinggi yang perlu dijejak puncaknya. Ada makan yang lebih baik toyyibanya. Ada pakaian yang lebih selesa di badan. Tetapi ada yang lebih baik dari kesemuanya itu. Akhirnya yang didambakan ialah kesihatan dan kesejahteraan. Dan nilai-nilai kebajikan yang perlu diambilkira. Yang dicari manusia ialah kedamaian selamanya. Hal-hal yang membahagiakan mesti diusahakan. Dicari di mana adanya. Dicapai sepanjang tangan. Digarap setinggi awan.
 Lelaki seperlunya memberi yang terbaik untuk pasangannya. Membahagiakan pasangan tentulah secara material dan fizikal. Secara rohani dan emosi. Secara psikologi. Hanya memadankan dua jasad belum cukup tinggi natijahnya. Hanya menserasikan dua jiwa belum cukup memberikan kebahagiaan yang panjang ingatnya. Yang tinggi kasihnya. Yang murni hinggap di sanubari. Fikirkan kenyang dan sihat sejahtera. Gembira dan damai ceria. Dirasa dan dilihat bahagia. Mendamaikan hati. Alangkah indahnya membina baiti jannati. Rumah yang bagaikan syurga. Cukup besarnya. Selesa didiami. Indah hiasannya. Damai di dalamnya. Persekitaran yang hening dan bersih suci di dalamnya. Begitu juga di luarnya. Terhindar dari sebarang pencemaran. Asap dan kotor. Bau dan cemar. Sampah dan buangan. Persekitaran yang cemar memberikan impak yang meragam. Mengesankan kepada janin yang banyak kali tidak menjadi. Anak-anak yang tidak begitu sihatnya. Ada kesan warisan yang tidak menyihatkan. Andainya lelaki menyanyangi isteri dan anak-anaknya contohilah Rasulullah. Kasihnya kepada isteri terlalulah sayangnya. Tanggungjawab disempurnakan tanpa helah. Tanpa berbelahbagi. Bahawa isteri adalah pendamai segala-galanya. Tiada yang melebihinya. Bagi manusia biasa isteri itulah yang sebaiknya. Malang jika lelaki melakukan hal-hal yang memudaratkan isteri dan anak-anaknya secara langsung atau secara tidak langsung. Setiap perlakuan pastinya difikirkan akibat kesannya kepada keluarga. Sebatang rokok memberi kesan besar kepada diri. Seteguk arak memberi kesan besar kepada iman. Hal-hal yang lebih rendah dari harus atau mubah wajib dihindri. Banyakkan yang wajib dan sunat.
Persekitaran selalunya tidak banyak dipedulikan lelaki. Kebersihan yang tidak berapa rapi untuk keluarganya. Pencemaran yang ditokok tambah dengan hal-hal yang tidak diteliti. Membiakkan keturunan yang tinggi mahabbahnya perlu dirancang. Ada amalan yang  digariskan agama. Ada panduan yang disaran oleh orang bijak pandai. Seluruh tubuh lelaki adalah janjian kepimpinan kepada orang lain. Dari lelaki dia menjadi suami. Menjadi bapa. Menjadi imam. Di luar sana dia adalah pemimpin yang diharap besar memimpin agamanya. Bangsanya. Negaranya. Keluarganya. Tanggungjawab lelaki yang besar itu bermula dari kepimpinan dalam keluarganya. Memberikan kesejahteraan kepada isteri dan anak-anaknya. Kepada lelaki seperti itulah yang diharapkan oleh ibu bapa apabila anak-anaknya diletakkan di atas kuda putih seorang putra. Diterbangkan di atas sayap tinggi sang rajawali. Alangkah damainya menutup mata tanda puas dalam tidur dan matinya. Dalam jaga yang damai sentiasa.
Wahai lelaki, apabila kamu memilih seseorang sebagai pasanganmu, ingatlah janji yang perlu kau hulurkan. Uraikan segala kemaslahatan yang mendamaikan hati-hati mereka di sekeliling kamu. Padamu digalaskan harapan tinggi menggunung. Di bahumu ada gunung harapan yang besar. Di hatimu ada naluri indah untuk dilebarkan. Ingatlah di sampingmu ada insan yang tinggi nilai kasih sayang yang kau himpunkan. Hidupmu dan matimu mencari redha Allah. kepadaNya nanti mudah kau ungkapkan bahawa tanggungjawabmu telah kau laksanakan dengan sempurna. Semoga kau damai di dunia dan akhirat. Bersamamu keindahan abadi yang nanti berjumpa di syurga. InsyaAllah.