Jalan yang paling baik ialah jalan lurus. Jalan yang mana hai tolonglah tunjuk, jalan lurus jangan belok-belok. Kata Allahyarham Tan Sri P. Ramle. Filem Bujang Lapok yang banyak memori nakal dan lawaknya. Lihat kembali. Pasti lawak itu masih baru mendahului zamannya. Kita pula meneruskan perjalanan kita. Jalan yang paling baik untuk kita ialah:
Lurus
Dekat
Rata
Lanskapnya cantik
Ekonomikal
Tidak melanggar syara’
Tiada gangguan
Ada jaminan sampai ikut jadual
Ada ganjaran di hujung jalan. Ganjaran puas, segar, selamat. Psikologi tenteram. Ada kedamaian yang selalu dicita-citakan.
Setiap perjalanan pasti ada likunya. Ada lekuknya. Ada simpangnya. Destinasinya berfasa-fasa. Sampainya belum diambilkira. Yang kita lakukan ialah melalui jalan yang menjadi pilihan. Yang rasanya mendamaikan hati. Pengalaman mengajar kit auntyk memilih yang terbaik. Ilmu mengajar kita supaya tidak mengikut nafsu. Kewarasan sewajarnya mengatasi kegilaan yang tidak menentu. Apabila perjalanan sampai di suatu simpang maka kita melalui ujian yang bukan kepalang. Yang di hadapan bukan calang-calang destinasi. Jauh atau dekat hanya nisbah. Susah atau senang juga nisbah. Sampai atau tidak hanya Allah yang menentukan. Kerja kit aialah membuat pilihan mengikut kewarasan fikiran yang kita ada. Mengikut ilmu yang dulu kita timba. Mengikut pengalaman yang tela mengajar kita. Yang pasti ujian yang kita ambil bukan aneka pilihan. Bukan menjwab soalan. Bukan memahami karangan. Kita diberi ujian untuk menentukan masa hadapan kita sendiri. Masa hadapan mengikut acuan kita sendiri. Acuan-acuan itu boleh mungkin digariskan untuk memenuhi yang berikut:
Kelangsungan hidup beragama
Jaminan dan keselamatan sosial
Hidup dalam negara bermartabat
Mengkayakan negara dan rakyatnya supaya dipandang tinggi di mata orang lain
Teknologi yang setanding
Pendidikan yang dinamik
Kesemuanya adalah teori-teori garapan orang bijaksana. Kerana ramai orang yang tidak sampai ke situ cara berfikirnya maka butir-butirannya selalu dimanipulasi. Orang selalu hendak mendengar yang muluk-muluk sahaja. Mimpi yang indah-indah walaupun mimpi itu selalunya tidak menjadi realiti. Statistik dan angka selalu dijadikan hidangan tanpa warna dan rasa. Yang ada gambaran indah mempesona. Tidak semua dapat menjamahnya. Tidak mungkin untuk mengalaminya. Berapa ramai yang tinggal di banglow dan villa. Berapa ramai yang memandu Mercedez Benz atau Lamborginie. Berapa ramai yang melancongnya ke London dan New York. Kebanyakan orang cukup dengan LRT. Dengan bas sangkut-sangkut. Mungkin dengan kereta terpakai. Itupun terlalu mahal untuk orang biasa. Belum minyak, cukai jalan, insuran dan tolnya. Maka ramai orang hanya mampu bermimpi sahaja. Kerana itu simpang yang di hadapan adalah pilihan untuk mendapatkan yang lebih baik. Kembali kita senaraikan yang lebih baik:
Syariat yang mengatasi selainya.
Menyenangkan hidup beragama.
Menegakkan yang hak dan menolak yang batil.
Terjamin keselamatan berkerajaan, pekerjaan, kesihatan dan ruang legar rakyat yang perlu besar.
Kebebasan mencapai cita-cita.
Ekonomi yang luasnya melangit dan melaut.
Orang pandai yang ramai lulusan IPT.
Bagaimana kita membuat pilihan memang rahsia. Tetapi orang lain perlu diberi ruang untuk belajar. Untuk mengenalpasti yang mana intan dan yang mana kaca. Hidup senang di dunia belum tentu senang di akhirat jika tanpa bekal yang cukup untuk duduk di sana. Doa kita selalu dimurahkan rezeki yang halal. Diinfaqkan kepada yang berhak menerimanya. Yang nanti menuntut di akhirat jika tidak diberi haknya di dunia. Banyak tanggungjawab kita di dunia. Tentulah lebih banyak lagi tanggungjawab pemimpin. Bukan sekadar duduk di dewan yang mulia. Perlu difikirkan merentas dinding-dinding agama dan sosial. Kaum dan etnik. Wilayah dan sempadan. Kita bukan hidup sendiri-sendiri. Hakikat kita adalah majmuk. Kena fikirkan yang namanya rakyat. Keadilan mesti ditegakkan kerana atas dasar apa sekalipun keadilan tersangatlah penting. Keadilan menyelamatkan dari kesilapan-kesilapan kerana bias. Kerana memihak. Kerana taksub. Kerana asobiah.
Apabila Islam diunggulkan maknanya semua tembok dinding sudah direntas. Bukankah dalam Islam tiada konsep makan sendiri. Tiada konsep kenyang sendiri. Jiran tetangga perlu dikenyangkan bersama. Kaum kerabat perlu senang bersama. Masyarakat perlu ditiadakan yang miskin dan yang fakir. Semua orang wajib mencari nafkah mengikut kemampuan tenang dan fikiran. Mengikut peluang yang ada. Kelebihan dan kekurang tetap berlaku. Kerana itu yang kaya membayar zakat untuk membantu yang kurang berada. Untuk membiayai negara. Jika semua anggota masyarakat menyumbang tidak ada sebab negara tidak dalam keadaan sejahtera. Itulah tanggungjawab pemimpin untuk mensejahterakan rakyatnya. Bila lagi agaknya kita akan mendapat pemimpin yang mendekati Umar Abdul Aziz. Adilnya tidak dapat dinilai dengan kata-kata. Tiada suratan yang dapat mengisi kisahnya. Sehingga haiwan pemangsa tidak memakan mangsanya kerana menghormati Umar Abzul Aziz. Begitulah khalifah yang adil bukan sahaja dikasihi Allah. Disayangi malaikat. Dihormati manusia. Disegani haiwan.
Kit atelah lebih enam dekad berjalan. Kita sampai di sebuah simpang yang lain. Kali ini kita diuji lagi. Siapa yang kita pilih memiliki ciri-ciri yang kita perlukan untuk membantu kita maju ke hadapan. Tidak yang membawa kita ke jurang yang membenamkan. Tidak juga yang mengundurkan. Barangkali pengalaman saya sudah memberi isyarat yang terbaik untuk diri saya. Ilmu yang saya ada membantu saya membuat pilihan. Pemerhatian saya membantu menjurus jalan dan simpang pilihan saya. Jika anda terasa sukar membuat pemilihan lihat senarai keutamaan di atas. Allah dan agama jika didahulukan tidak pernah mengecewakan. Tidak mungkin Allah mengecewakan kita kerana menta’zimkannya. Keyakinan mesti tinggi. Banyak yang mustahil di mata manusia semudah kun fayakun kepada Allah. Kita hanya mampu berusaha. Kita sertakan dengan doa. Yang lainnya serahkan kepada Allah. Pasti Allah memberikan kita pilihan yang terbaik untuk kita.
Saya sangat sayangkan tanah tumpah darah saya. Saya ingin kembali ke alam damai yang pernah saya kecap sewaktu zaman muda dahulu. Belum maju dan belum berkembang tetapi banyak kedamaian di hati. Sepatutnya ianya berkembang maju semakin mendamaikan. Semakin menyenangkan. Semakin memberi makna kepada kehidupan yang lebih tinggi nilainya. Jatidiri kita sepatutnya sudah tidak lagi dipertikaikan. Enam dekad membina bangsa masih belum nampak kerangkanya. Generasi muda juga yang perlu membinanya. Jagalah ibu pertiwi ini sebaiknya. Inilah sahaja yang ada bagi kita. Dirgahayu Malaysia. Semoga Allah memelihara kita.
No comments:
Post a Comment