Saturday, May 4, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Terang Yang Bersuluh


Selama ini kita berjalan bukan dalam gelap gelita. Kita berjalan siang dengan cahaya siang yang ada. Kita berjalan malam dengan cahaya suram malam gelap. Jika siangnya kita disinari cahaya panas, malamnya kita disinari cahaya suram yang tidak berapa terang. Senangnya kelabu sahaja. Tidak berapa jelas apa yang dilihat. Yang nampak  boleh jadi bayang-bayang yang orang selalu takut. Kita hanya ada terang atau gelap. Siang adalah terang. Malam adalah gelap secara fitrahnya. Bayang-bayang siang tidak menakutkan sesiapa sahaja yang waras fikirannya.  Besarnya tidak menakutkan. Gelapnya tidak menakutkan juga. Orang selalu takut dengan bayang-bayang malam. Hitam juga tetapi menakutkan. Kenapa? Malam biasanya gelap. Biasanya sunyi. Biasanya memainkan bulu roma. Bayang-bayang tidak dikethui gelapnya. Maka bayang-bayang selalu memainkan bebayang lain. Semua yang berbayang menjadi lembaga-lembaga yang menakutkan. Fitrah manusia memang takut kepada bayang. Kepada gelap. Kepada malam.
Pagi ini saya ucapkan Assalamualaikum kepada semua rakyat Malaysia. Hari baru. Pagi baru. Pagi yang cerah dengan cahaya baru. Tanggal 5 Mei 2013 adalah tarikh yang bersejarah. Walau apapun yang bakal berlalu sepanjang hari ini, pastinya sejarah yang tersendiri tercipta.  Betulkanlah sejarah itu supaya anak cucu kita kesemuanya dapat menelusuri sejarah datuk dan neneknya dengan wajar. Bahawa pada tanggal 5 Mei ini datuk dan neneknya meniti sejarah bangsanya dengan berani dan yakin. Mereka telah membuat keputusan untuk menentukan sendiri masa hadapan mereka. Masa hadapan untuk anak cucu mereka di kemudian hari nanti. Mereka membuat keputusan bahawa anak cucu mereka, mereka sendiri yang menentukannya. Yang mencorakkan coraknya. Yang membentangkan lapangannya. Yang meninggi pentasnya. Yang menaikkan martabatnya. Yang menjanjikan yang terbaik untuk mereka semua.
 Sejarah sentiasa berlalu di hadapan mata kita. Sama ada kita terlibat atau tidak sejarah itu tetap berlaku. Sampai masanya dikaji semula. Apakah kejayaannya sesuatu keputusan suatu bangsa. Apakah pula kegagalannya. Apa pula halangan-halangan yang menidakkan kelangsungan suatu bangsa yang diyakini kebebasannya. Kemerdekaannya. Sudah hampir enam dekad kita merdeka dari British. Dari barat dan kebaratan. Kita telah berundur ke dalam suasana yang sedikit suram. Tidak terang seperti cahaya yang kita rancangkan. Di sebalik tabir-tabir suram kita terperangkap dalam agenda diri. Ramai antara kita sukar melepaskan diri kerana perangkap itu. Semakin ianya menebal semakin kita rapuh berfikir. Rapuh untuk melangkah keluar menuju jalan-jalan lurus yang lebih bererti. Jalan-jalan yang lebih membawa kita ke hadapan. Jalan yang sewajarnya lebih mudah dan santai. Kaki kita tidak keduanya melangkah sama. Ada yang terikat dan tertinggal. Kerana itu derapan kita ke hadapan selalu bertingkah tanpa irama. Gelanggang selalu tinggi dan rendah. Paluan irama yang selalu tidak cantik tingkahnya.
Pagi ini kita sama-sama singkap kain nipis yang menabiri cahaya yang kita harapkan. Biar cahaya baru benar-benar memancarkan cahayanya. Menghidupkan yang hidup segan mati tidak mahu. Menceriakan hati-hati yang suram banyak zamannya. Hari ini biarlah terang benderang. Telus sepanjang masa dan rentasan dinding dan temboknya. Ada tawa riang di hujung medan yang luas untuk terus diteroka. Ada usapan lembut sayu tangis ceria kerana bebas dari gelap dan bayang. Bebas dari takut dan ancam. Kita keluar mendamaikan hati. Mencari yang dulunya telah lama hilang. Mencari bahtera merdeka yang hilang dendangannya. Mencari negara yang darah kita tertumpah di sini. Memajukan segala sumber yang kaya di bumi ini. Kita terbang tinggi menggayat awan. Menggarap semua yang mungkin digapai tangan. Yang pastinya hati kita bukan kecil. Bukan kerdil dan takut. Bahawa lapangan sudah terbuka. Permainan ini baru hendak dimulakan. Marilah bertingkah sama memeriahkan suasana.
Setelah semalaman mata tidak mahu lelapnya, pagi ini cahaya baru menyejukkan gundah di hati. Abang kakak yang pandai menentukan masa hadapan sendiri. Ayah dan ibu yang tahu di mana anaknya berada. Telah diletakkan di tempat baik dan bersih. Telah dibimbing ke jalan lurus yang tidak banyak beloknya. Telah dilindung dari panas dan hujan. Hari ini anak-anak watan bermain di gelanggang yang menjadi biasa. Jika asas berfikir tidak banyak diisi sukar juga membuat  jalan berfikir yang cantik natijahnya. Kita berfikir sekarang untuk suatu jangka masa hadapan yang jauh. Yang orang lain sukar menjangkaunya. Apatah lagi untuk memaparkan visualnya di hadapan mata.  Selepas ini kita buka gelanggang baru supaya anak-anak kita lebih banyak tingkahnya. Lebih banyak pandainya. Lebih tinggi wawasannya. Lebih realistik pencapaiannya. Hari ini baru bermula. Dari hari ini kita harus membuat langkah baru yang lebih memberi yakin diri. Kita angkat martabat kita bersama. Kita angkat jatidiri kita yang banyak hilang. Cari dan temuilah diri kita yang malap dahulu. Mungkin setengahnya hilang keyakinan untuk timbul dan menyerlah.
Pastinya sesuatu sudah berubah. Akan berubah. Terus dinamik perubahannya. Kita corakkan semula masa hadapan kita. Kita bina landasan-landasan baru untuk kita pergi lebih jauh. Lebih tinggi dari sebelumnya. Tidak mungkin kita hanya selamanya begini sahaja. Hanya di pinggiran tanpa turut serta. Inilah masanya untuk maju bersama. Membina semula yang hilang. Mencari yang pergi. Memanggil yang mengintai. Yang rendah kita tinggikan. Yang tinggi kita tegakkan. Yang lebar kita hamparkan. Yang sempit kita lapangkan. Hati kita dan hati kita yang perlu bercakap. Perasaan kita yang perlu damai. Psikologi kita yang perlu tenteram. Soal hati yang dahulunya muram ada riak untuk bahagia pada masa hadapan. Hari ini dan hari ini kit ada peluang itu. Doa saya untuk semua rakyat Malaysia. Berbahagialah selalu. Semoga Allah memberkatimu.

No comments:

Post a Comment