Friday, May 10, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Sallahuddin al-Ayyubi Yang Terlindung Sejarahnya – Bahagian Pertama


Sejak berada di Bumi Anbia sudah tiga kali saya kembali ke zaman Sallahuddian Al-Ayyubi. Pertama di Ajloun, Jordan. Keduanya di Karak, Jordan. Ketiganya di Kaherah, Mesir. Sallahuddin adalah tokoh Islam yang gilang gemilang. Sayangnya tidak ramai yang mengetahui perjuangannya membebaskan bumi anbia dari cengkaman orang-orang salib dari utara yang dibantu oleh orang-orang Yahudi. Dua kurun lamanya bumi anbia di bawah kuasa luar yang bukan Arab dan bukan Islam. Selama dua kurun bumi Islam diijnak dan dipijak dengan rakus dan zalim. Orang Islam dtindas sesuka hati mereka. Orang Islam menjadi sampah yang melata. Melarat tanpa apa-apa. Harga diri mereka hilang dibuang ke laut Mediterranean. Jati diri mereka dibenam ke dasar padang pasir yang merentas Timur tengah. Semangat mereka direntap dan dilempar jauh dan tinggi melepasi gunung-ganang yang ada di bumi Anbia ini. Seperti sesuatu yang malang apabila kita rentasi sejarah bumi Syam, bumi anbia ini. Sejarahnya bergemerlapan membina tamadun besar sejak dari zaman purba. Banyak bangsa-bangsa besar berada di sini. Sebut sahaja Yunani Kuno, Yunani Baru, Rom, Anbat dan banyak lagi. Di bumi ini juga ramai Rasul dan Nabi silih berganti.
Tinggalan sejarah yang banyak bertaburan di Jordan merupakan sebahagian sejarah gemilang bumi ini pada suatu ketika dahulu. Jordan bukanlah nama sebuah negara asal. Yang kita tahu ialah Syam. Rasulullah pernah berniaga di sini. Tanda kerasulannya dikenalpasti oleh seorang padri Yahudi. Tanda-tanda besar yang masih ada seperti Laut Mati (Nabi Luth), Al-Quds (Bait al-Maqdis – nabi Sulaiman), makam Nabi Musa, Nabi Syuib, Nabi Khidir, Al-Kahfi dan banyak lagi. Tidak semua dapat saya kunjungi. Hanya beberapa yang besar dan signifikan seperti Petra, Laut Mati, Jarash, Ajloun, Karak  dan Umi Quois. Laut Mati dan Petra telah saya ceritakan walaupun mungkin masih ada bahagian-bahagian yang belum ternukil. Antara yang kuat menggamit saya ialah keberadaannya Sallahuddin Al-Ayyubi di bumi anbia ini pada kurun yang ke-11 dan 12. Dia datang dari Kurdistan. Dihimpunkan pejuang dari pelosok bumi Islam. Sejarah mencatatkan bahawa perjuangan untuk membebaskan bumi ini berlarutan hampir dua kurun. 200 tahun. Maknanya untuk mencipta sesuatu yang indah bukan sehari dua. Berkurun-kuran lamanya orang dahulu menegakkan yang hak. Yang leluhurnya untuk Allah. Bukan calang-calang perjuangan yang telah dibaktikan. Yang telah dibakar semangat juang yang gemilang.
Pengajaran pertama yang wajib kita ingat ialah untuk jatuh, masa yang diambil mungkin cukup singkat. Tanda-tandanya mungkin telah terlihat lama. Tidak diambil endah hingga akhirnya meranapkan sebuah kegagahan. Keruntuhan sebuah negara mencabar iman dan kekuatan semangat. Apabila jatuh maka jatuhlah semua yang dibina. Fizikal dan spiritualnya.
Pengaran keduanya ialah untuk bangkit adalah sesuatu yang amat sukar dan menyeksakan. Semasa kita cuba bangkit akan ada yang menekan. Mereka tidak memberi ruang untuk diperjuangkan. Yang paling malang, tidak ramai orang ingin membantu orang yang malang. Ramai antara mereka hanya menonton tanpa apa-apa sumbangan yang dapat memberi manfaat.
Pengajaran ketiganya, untuk bangkit kita mungkin perlukan bantuan orang lain. Tetapi kita sendiri yang perlu bangkit. Diri kita sendiri perlu dibangkitkan. Khususnya semangat kita perlu tinggi. Jiwa kita perlu besar. Azam kita perlu kukuh. Psikologi kita stabil. Fikiran kita menjangkau segala kemungkinan.  Orang yang berjaya hanya menjadi orang-orang yang selesa. Mengekalkan keselesaan yang jauh lebih senang. Sebagai analogi sahaja, menukar giar kereta dari empat ke giar lima sangat mudah. Kenderaan ketika itu sedang meluncur mudah. Pertukaran giar seperti tidak bergitu terasa. Tetapi dari giar satu ke giar dua mungkin kereta terpaksa menderam. Apatah lagi jika menongkah bukit. Begitulah orang yang ingin bangun. Ingin berjuang. Payahnya banyak. Sukarnya mengazab. Masanya lama. Usahanya berganda-ganda. Tidak semua orang berjaya. Tidak semua orang jatuh. Kebanyakan kita berada di bawah. Berusaha untuk naik ke atas. Malangnya bila berada di atas lupa sejarah sewaktu di bawah dahulu. Maka orang-orang seperti ini menyediakan dirinya untuk jatuh hingga mungkin tidak akan bangkit lagi.
Begitulah yang terjadi kepada mereka yang berada di bumi anbia ini dahulu. Kerajaan Umayyah tumbang digantikan oleh kerajaan Abasiyyah. Walaypun pada zaman Abasiyyah, Islam mencapai kegemilangannya dari segi ilmu pengetahun orang Islam terlalai dari segi dendam orang Yahudi dan kristian yang tersingkin dari bumi anbia. Mereka merancang lebih 1,000 tahun untuk kembali ke bumi mereka. Ya, 1,000 tahun. Bacalah sejarah dunia. Orang barat mengatakan bahawa sebalum berlaku Zaman Pencerahan, kepada mereka dunia berada dalam kegelapan. The Dark Ages. Suatu penipuan sejarah. Kita pula akur dengan penipuan tersebut. Suatu paradox yang sengaja dicipta. Memang orang barat berada dalam kegelapan selama 1,000 tahun tetapi dalam masa 1,000 tahun itu Islam membina tamadunnya. Segala bentuk ilmu diperkembangkan. Orang Islam mewah dengan ilmu dan kesenangan. Kepada orang barat apa sahaja yang bukan dari mereka tidak diiktraf. Yang nyatanya segala ilmu Islam dibawa ke barat, diperkembangkan dan diberi label barat. Ibn Sina (Aveceina), Ibn Rush (Averoush) dan banyak lagi ilmu yang menjurus kepada sains dan teknologi dimajukan seperti Matematik, Geometri, Algebra, Astronomi san sebagainya. Rasanya kebanyakan ilmu telah diperkembangkan pada zaman 1,000 tahun yang dikatakan gelap itu.
Pengajaran keempatnya ialah pengajaran itu sendiri. Di Jordan umpamanya, kenangan masa lalu masih sangat kuat. Mereka ingat sejarah mereka. Mengetahui susur galurnya. Kita di Malaysia selalu kecundang tentang sejarah. Apatah lagi apabila sejarah diberi nafas kedua dan ketiga. Sejarah yang tulen terpinggir kerana ada agenda lain yang diserlahkan. Di Jordan penduduknya arif tentang sejarah negara mereka. Namun pengaruh barat memingirkan pengajaran lama ke museum-museum untuk tontonan. Sejarah peradaban bumi Syam sejak berzaman-zaman hanya tinggal bekas. Anak-anak muda leka dengan hiburan. Terleka dengan hidup senang. Gempa bumi besar pada kurun ke-8 seperti tidak diingat lagi. Terbaliknya Laut Mati dilihat hanya sebagai sejarah. Mereka tidak menangisi lagi sejarah silam yang menyeksakan bangsa mereka. Agaknya begitulah sukarnya Sallahuddin berusaha mengembalikan semangat dan keyakinan pejuang-pejuang pilihannya untuk membebaskan al-Kuds pada zamannya. Ketika semua orang sudah kehilangan kemantapan akidah untuk melawan kebatilan. 
Telusurilah sejarah bangsa supaya tersemat semangat juang untuk menjaganya. Untuk memartabatkannya. Untuk menjulangnya ke persada yang diredhai Allah.
 

No comments:

Post a Comment