Friday, May 3, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Benarkah Ada Peluang Kedua?


Ramai orang mengharap-harap jika diberi peluang kedua. Benarkah ada peluang kedua seperti yang diharap? Rasanya tidak ada. Apabila kita kehilangan peluang maka kita memang tidak berpeluang menikmati apa yang kita harapkan. Allah tidak mengizinkan kita mengecap apa sahaja nikmat yang berkaitan dengan peluang itu. Apabila datang peluang kedua, peluang itu sebenarnya bukan peluang kedua. Sebabnya:
Peluang itu sudah di luar konteks.
Sudah di luar kotak.
Sudah luput tarikh.
Sudah tidak relevan lagi.
Sudah di luar persekitaran yang diperlukan.
Sudah bukan masanya. Lost its timeliness.
Sudah tidak ada syahdunya lagi.
Kita sudah tidak perlukannya lagi.

Kerana itu merebut peluang pertama sangatlah pentingnya. Lebih penting dari mendapatnya. Ramai orang mendapat peluang tetapi melepaskannya kerana peluang itu tidak bermakna kepada mereka. Mereka tidak melihat yang tersirat. Tidak melihat nilai konteks dan nilai masa.  Tidak dapat menjangkau lintasan masa hadapan yang jauh dan berliku. Tidak dapat mengintai di sebalik rimbunan halangan menuju bahagia dan mendapatkan kedamaian selesa di hati dan sanubari. Ada masanya peluang yang keemaasan dilepaskan begitu sahaja. Ada masanya diberikan kepada orang lain. Peluang itu akhirnya digunakan oleh orang lain untuk menyulitkan kita. Tentu rugi apabila kita diberi peluang kita tidak memanfaatkannya. Apabila kita mendapat peluang kita melepaskannya. Apabila kita dihadapkan dengan peluang kita menolaknya kerana kita tidak tahu nilai peluang itu. Di mana kita 100 tahun lagi? Tidak ada. Siapa yang menjadi waris kita? Cucu dan cicit kita. Dapat kita visualkan di hadapan mata rupa bentuk kehidupan mereka waktu itu. Waktu kita sudah tidak ada. Waktu yang sudah melepaskan peluang kita untuk mencorakkan cucu cicit dan keturunan kita pada masa hadapan.
Di banyak negara orang mencari kebahagiaan. Mereka mendapatkannya. Tidak kesemuanya. Sebahagian besarnya. Kemewahan melimpah-limpah. Pergilah ke USA. Pergilah ke Sweden. Pergilah ke Negara Cina atau Russia. Jangan jauh pergilah ke Singapura. Dekat tetapi kita gagal mencontohinya. Kita banyak berkokok tanpa ekor. Bertelur tidak mana banyaknya. Negara Cina dahulunya komunis. Mereka buang baju komunis. Mereka bergerak ke hadapan untuk mengungguli negara lain. Untuk membahagiakan rakyatnya. Begitu juga Russia, Poland, Hungary, Romania dan Albania. Komunis mereka sudah lama dibuang. Kita ke barat. Dahulu kita kagum dengan sistem Yahudi yang mereka ada. Mereka kaya pada zahirnya. Rupa-rupanya mereka kaya pada kertas. Balance sheet mereka tidak pernah balanced. Setiap tahun deficit. Dalam setiap unit wang yang mereka miliki majoritinya adalah hutang. Mereka hidup dalam hutang. Kepompongnya besar. Belonnya besar. Mereka sesak kerana kekosongan isi. Nampak gah dan gagah. Apabila berlaku krisis matawang barulah kita mengetahui bahawa kaya mereka pada angka.  Bukan pada real assets. Statistik adalah ilmu yang baik. Namun jika digunakan untuk deceit maka diri sendiri juga yang merana. Kita tidak mahu wabak itu menular ke negara kita. Biar penuh dengan isi yang konkrit. Dana yang disusun dan dipergunakan untuk tujuan produktif. Untuk menjana kehidupan yang lebih baik. Lebih tinggi tetapi dengan kos yang lebih rendah. Lebih baik kita mewah dari kaya tetapi tidak mewah. Kos hidup yang tinggi mesti disejajarkan dengan taraf hidup yang diperlukan. Segala-galanya mesti berada pada titik equilibrium. Seimbang dari mana-mana penjuru. Semua kos pada peringkat optimum. Baru kita dapat mengoptimumkan peluang yang ada.
Pembangunan dan kemajuan? Kitakan kaya. Sumber cukai kita menimbun. Jika dirancang dengan berwawasan tentu banyak yang dapat dihasilkan. Jalanraya tanggungjawab kerajaan. Setiap ringgit yang dibelanjakan ada multiplier effectnya dalam ekonomi. Pelaboran melonjakkan ekonomi ke aras yang tiada siapa yang tahu. Hanya boleh diramalkan secara positif. Aliran ekonomi yang pantas menambahkan produktiviti. Bertambah cukai. Bertambah dana kerajaan. Syaratnya. Gunakan dana itu secara prudent. Bukan bermewah-mewah atau membazir. Hospital adalah juga tanggungjawab kerajaan. Menanggung rakyatnya yang sakit. Bukan untuk membebankan yang sakit. Tergamakkah kita meminta bayaran dari anak kita yang kita rawat? Rakyat adalah rakyat. Anak watan. Sakit dan sihatnya untuk negara. Mereka perlu sihat supaya produktif. Mengembalikan sumbangan mereka kepada negara. Sekolah tanggungjawab kerajaan.  Saya tidak tahu jika ada bapa yang menuntut bayaran pendidikan dari anak-anaknya. Bukankah kita menginginkan anak-anak kita pandai-pandai belaka? Supaya mereka berintelek tinggi. Memikirkan yang besar-besar. Mencipta barangan, teknologi dan sistem yang  memberi manfaat kepada negara.
Dalam mana-mana sistem bernegara ada hak-hak yang diasingkan. Ada hak yang ditanggung. Ada hak yang dtanggung bersama. Prasarana ditanggung oleh kerajaan. Usaha individu sama ada untuk kehidupan atau untuk pelaboran. Tanpa gandingan bertanggungjawab antara kerajaan, pelabor dan rakyat mana mungkin sistem berjalan lancar. Prasarana inilah yang selalu dimanipulasi. Rakyat selalu dimomokkan supaya bersyukur. Benar. Bersyukur itu tanda akur. Mungkin wajib bersyukur kepada Allah yang mengizinkan segalanya berlaku dengan baik dan aman. Alangkah indahnya jika ramai orang yang mengetahui perjalanan sebuah bahtera negara. Bagaimana legislative, eksekutive dan judiciary berganding membina sebuah sistem bernegara. Pengasingan kuasa yang dihasratkan menjamin ketelusan sistem itu sendiri. Tidak ada pihak yang menyelinap masuk ke bahagian yang lain. Mengganggu perjalanan sistem. Akhirnya mencacatkan sistem keseluruhannya.
 Berat sebenarnya menerima peluang yang keemasan. Datangnya bukan banyak kali. Mungkin sekali sudah mencukupi. Kekal nikmatnya sepanjang zaman. Mungkin juga kita berhak menerima peluang berkali-kali untuk mematangkan kita. Berlatih untuk membezakan peluang yang tulen emasnya dan peluang yang hanya kaca berkilau. Maknanya kita rela jatuh ke dalam lubang yang sama berulang kali. Rasanya itu bukan kita. Hati kita tidak membenarkan. Persekitaran kita tidak membenarkan. Terlalu daif jika kita membenarkan diri kita menjadi selemah itu. Cukuplah peluang yang selama ini kita lepaskan. Hak itu hak kita. Dijamin oleh sistem. Oleh persekitaran. Oleh sosial. Hak membuat pilihan asalkan bersandarkan syariat. Jika kita terlepas peluang ini mungkin senerionya yang akan datang tidak lagi sama. Lanskapnya jauh berubah. Kita juga tidak tahu. Peluang ini mungkin yang terakhir. Kita mengharapkan peluang ini yang terbaik untuk kita. Masa sudah semakin suntuk.
Satu hakikat yang tidak boleh kita lupakan ialah sistem yang ada di negara kita agak unik. Dalam apapun keputusan yang kita lakukan kita hendaklah merentasi agama. Merentsi kaum. Merentasi wilayah. Merentasi budaya. Merentasi perbezaan pendidikan, taraf ekonomi dan sistem perbandaran. Kesemuanya perlu diadun supaya natijahnya ialah negara yang lebih utama. Lebih penting. Lebih dipelihara. Supaya dengan memahami itu ada kebebasan beragama. Kebebasan berbudaya. Kebebasan untuk hidup bersama. Menjarakkan antaranya tidak boleh. Compartmentalise juga tidak boleh. Segration tidak boleh.  Proses assimilasi perlu digandakan. Akomodasi ditingkatkan. Integrasi diperbanyakkan. Kontrak sosial yang tidak pernah ditulis perlu ditinjau semula supaya akhirnya yang kita kejar ialah aman bahagia. Bukan kuasa yang mencederakan usaha-usaha kita yang lain. Rindu sangat melihat cahaya siang hari yang aurora atau kirmizi di ufuk suria pagi. Sudah hampir sangat. Banyaklah berdoa. Hanya izinNya sahaja segalanya ada kemungkinannya.  Titipan rindu dari saya.

No comments:

Post a Comment