Wednesday, March 6, 2013

Salam dari Amman Jordan: Bakti Yang Menjulang Generasi


Guru baru, hari baru, kerjaya baru, semangat baru. Sesuatu yang baru tentulah mengharukan. Itu belum lagi merobohkan benteng-benteng ketahanan air mata yang selalu cepat menderas keluar. Rasanya semua orang maklum pertama kali menerima tugas tentu payah hendak diceritakan. Gundahnya hati tidak dapat dicatatkan dengan tulisan. Tiada kalimah yang setara. Tiada ayat yang memenuhi maknanya. Akhirnya mungkin tiada sendu yang meredakan gelisah rawan yang meredam hati. Jauh atau dekat hanyalah jarak perjalanan. Hanya jarak masa. Jauh tetap jauh walaupun hanya beberapa jam perjalanan. Entahlah setelah berpisah dengan keluarga dalam jangkawaktu yang lama rasa ingin damai di bawah ketiak ibu masih panas membara. Rasa dekat dengan keluarga masih senak di perut. Rasa memijak setiap ruang rumah masih dirindui. Apatah lagi setelah berkelana jauh di IPT di negeri orang. Empat atau enam tahun yang terasa singkat tidak sama dengan anjakan dan tarikan untuk melepas daerah sendiri. Untuk merantau semula.
Barangkali ramai yang maklum. Masa inilah yang sukar menentukan masa hadapan. Anak-anak muda yang usianya baru melepasi  usia 20an mencuba sayap baru untuk diterbangkan. Ada yang bakal terbang jauh. Ada yang bakal terbang dekat. Semuanya seperti direntap keluar dari rumah untuk pindah ke rumah lain. Ke daerah lain. Ke negeri lain. Rasanya persediaan telah diberikan secukupnya. Apabila bersekolah di asrama dahulu bermakna langkah jauh itu telah diatur. Apabila ke matrikulasi atau tingkatan enam atau ke institusi selepas SPM maka langkah yang lebih jauh sudah diatur. Bukan diri yang mengatur. Allah telah menyusun penempatan diri yang sewajarnya. Ada manfaat yang Allah aturkan supaya khidmat diri mencambah merata. Supaya khidmat diri menjana manfaat yang besar dan gah. Supaya sumbangan yang ditabur bukan sahaja untuk waktu yang singkat. Bahkan ianya berpanjangan. Bersamanya akan dibawa pengalaman. Himpunan input-input baru yang mencanai minda.

Memanglah hajat hati ingin bertugas kembali ke rumah setiap hari. Bertugas di institusi di sebelah rumah. Di kampung sendiri. Di pekan sendiri. Di bandar sendiri. Kembalilah kepada realiti. Yang dekat itu tidak ada. Yang dekat untuk orang jauh. Yang jauh untuk diri sendiri. Terbanglah merantau menimba pengalaman untuk mengisi kekosongan yang banyak belum diisi. Setelah sarat dengan pengalaman nanti berjinak-jinak kembali mendekat. Bila kembali dekat sudah sarat membawa segala ramuan dan resepi menjadi petugas negara yang ampuh. Yang mantap. Yang berwibawa. Yang tinggi akal budinya payah disaingi.  Ketika itu kembalilah ke pangkuan persekitaran yang dekat. Membawa dari luar segala yang segar dan baru. Jika tidak pernah keluar takut hanya kejumudan yang melanda diri. Tidak ada kelebihan yang istimewa. Tidak ada kelainan yang boleh ditimba oleh orang lain. Seorang guru yang baik hendaklah boleh digurui. Pada dirinya banyak yang boleh dikongsi. Bukan setakat dilihat sahaja. Kehadirannya membahagiakan. Ajarannya melapangkan fikiran. Hujjahnya membetulkan kesilapan. Kaunselingnya melegakan. Motivasinya menyegarkan minda dan perasaan. 

Banyak yang ingin saya bantu untuk membangunkan minda. Seorang guru baru banyak langkahnya yang belum teratur. Bimbingan rasanya sudah tidak ada lagi. Apabila keluar dari IPT semuanya terserah kepada diri. Pintu banyak untuk dipilih. Jalan banyak untuk disusuri. Persinggahan banyak untuk mencabar diri. Yang  mana satu pilihan. Keluar dari rumah pula membawa pesanan-pesanan dari ayah dan ibu yang selalu terngiang-ngiang. Tidur malam entah mimpi apa yang sukar diingat. Ramai yang kecewa apabila ditugaskan jauh. Kenapa tidak yang berdekatan. Saya katakan begini. Siapa yang mengatur diri kita. Yang menentukan di mana kita berada sama ada sekarang, akan datang dan pada masa-masa yang  tidak kita ketahui. Allah yang merencanakan di mana kita berada. Di mana kita bertugas. Di mana kita berumahtangga. Di mana kita tua nanti. Di mana ajal kita. Tiada siapa tahu di mana kuburan kita. Allah menentukan segala-galanya. Allah yang megatur yang terbaik untuk kita. Dengan izinNya kita mendapat apa yang ada. Berada di tempat yang terpilih.  Andainya kita dapat menyorot ketentuan Allah ini kita akan maklum bahawasanya Allah memberikan kita anugerah yang sangat teristimewa. Apa yang kita ada tidak ada pada orang lain dan begitulah sebaliknya. Redha dan memaklumi anugerah Allah pastikan meredakan segala gejolak hati. Redha hingga melegakan segala kepayahan untuk bernafas.

Wasalam. Jawab saya. Sayang kena timbang atas bawah, depan belakang. Kalau hendak kerja cepat inilah peluangnya. Walaupun pegi jauh akhirnya nanti boleh minta balik ke Semenanjung. Minta balik ke kampung. Sabah, Sarawak, Ulu Kelantan, Pengerang atau di Langkawi semuanya di Malaysia. Tempat yang menanti khidmat. Jika menolak tawaran ini nama sayang akan disenaraihitam. Orang di kementerian akan sentiasa ingat nama sayang sebagai orang yang pernah menolak. Kalau mereka lupa alhamdulillah. Sayang boleh terus dengan helah untuk menolak. Mungkin menyambung pelajaran. Atau mencari kerja lain sementara dapat mengelak arahan.  Tetapi kerja tetap yang sayang inginkan perlu difikirkan selepas tamat masanya berfikir panjang. Kalau hati sayang sudah bulat membuat pilihan, terserah pada sayang untuk membuat keputusan. Sayang mesti berani memprtahankannya. Sanggup pula menghadapi cabaran yang bakal mendatang tetapi tidak ada kepastiannya. Apa-apa keputusan yang sayang buat saya doakan yang terbaik. Semoga  Allah merestuainya. Saya menyokong. Yang penting pilihan yang sayang buat adalah yang terbaik untuk sayang. Pergilah jika itu yang terbaik. Tinggallah jika itu juga adalah yang terbaik.

Walau apapun posting adalah cabaran pertama seorang guru terlatih. Semangat juang yang mesti tinggi. Sekarang sayang bukan lagi milik abah dan emak. Bukan milik keluarga. Bukan milik orang-orang yang menyanyangi sayang. Sekarang sayang sudah jadi milik negara. Kerana itu negara diletak di hadapan. Negara yang telah memberikan yang terbaik untuk sayang. Keluarga tetap di hati tetapi harus ditinggalkan untuk sementara waktu. Khidmat negara disempurnakan  sambil sayang mengelek keluarga. Jika tidak negara kehilangan seorang bintang yang bakal menyinar pada masa hadapan. Kehilangan sumber kekuatan untuk membangkitkan semangat juang anak bangsa yang haus dahaga untuk membangun. Terbitkan sinar itu supaya ramai yang mendapat limpahannya.  Saya segar menerima redha sayang. InsyaAllah.... Saya akan cuba bekerja dengan hati yang ikhlas....supaya saya dapat manfaat. Pelajar pun dapat manfaat yang sama. Watanmu menunggu dengan penuh tangan terbuka. Datanglah sayang. Taburkan benih baktimu. Nanti akan dituai zaman sebagai natijah kejayaan gemilang.

Langkah pertama ini adalah langkah panjang. Langkah yang semakin jauh dari keluarga. Kerjaya bukan penamat perencanaan hidup. Banyak langkah lain yang menuruti nanti. Rumahtanga menunggu masa dan hari. Cukup bulan dan tahunnya akan nanti berijab qabul. Tinggallah lagi harapan yang sukar untuk kembali ke tempat pilihan. Bukan juga pilihan pasangan. Kerjaya yang berkembang tidak juga menentukan di mana destinsi sudahnya.  Selagi tugas diminta negara selagi itulah langkah perlu diatur. Di mana akhirnya tidak diketahui. Yang pentingnya ialah tugas dilaksanakan. Bakti ditabur. Semangat juang menyala dan menjulang.  Langkahlah dengan kaki kanan. Dalam perjalanan nanti akan dititip dan dikutip mutiara khidmat yang santai dan bergemerlapan. InsyaAllah.

Salam dari Amman Jordan: Riadah Islamiah

Dalam Falsafah Pendidikan kita, disenaraikan perkara-perkara penting yang dipertanggungjawabkan kepada guru untuk menjayakannya. Guru sebagai orang yang paling dekat dengan murid atau pelajar paling layak melaksanakan tugas itu. The person on the spot. Selalu disebut tentang pembinaan Jasmani yang sihat. Disertai pula dengan Emosi yang stabil. Manusia pula memiliki Rohani yang perlu diisi setiap masa. Satu lagi elemen yang dipercayai perlu difikirkan ialah Intelek. JERI.  Empat elemen ini tidak mencukupi untuk membentuk seorang insan yang serba boleh dalam zamannya yang semakin mencabar ini. Maka ia perlukan elemen spiritual, sosial dan elemen-elemen lain yang berkaitan dengan kehidupan manusia sama ada untuk peribadinya atau untuk masyarakat sekelilingnya. Maka kita selalu bercakap tentang IQ (Intelligence Quotient), EQ (Emotional Quotient), SQ (Social Quotient), SpQ (Spiritual Quotient), RQ (Religious Quotient) dan banyak lagi Q yang diperlukan oleh seorang bakal warganegara.  Andainya semua warganegara dilengkapkan dengan semua kecerdasan yang perlu, negara tentu menjadi negara yang dipenuhi oleh manusia yang bijaksana. Bijak mengendali diri seperti yang diharapkan. Menjadi warganegara yang berakhlak mulia. Menyumbang kepada kesejahteraan negara dan manusia.
Sekolah dan pendidikan sangat sinonim dalam sistem pendidikan kita.  Sistem pendidikan ini dikendalikan hampir sepenuhnya oleh pemerintah. Ia menjadi alat kawalan dan pada masa yang sama memenuhi aspirasi negara. Memenuhi keperluan untuk membangunkan negara. Dari usia tiga hingga melebihi 20 tahun sistem persekolahan dikendalikan oleh pemerintah. Hanya beberapa peratus sahaja yang dikendalikan oleh pihak swasta. Walaupun jumlahnya semakin bertambah tetapi sistem pendidikan milik kerajaan jauh menguasainya. Bukan satu kementerian malah dua kementerian. Kementerian lain yang tradisinya bukan berteraskan pendidikan juga terlibat membangunkan sistem pendidikan dan latihannya sendiri. Sama ada persaingan ini sihat atau tidak bergantung kepada natijah keseluruhannya kepada negara. Bukan kepada individu. Mereka yang berkelayakan adalah sumber yang menjana kemajuan, pembangunan dan kelangsungan bernegara. Kementerian Kesihatan ada sekolah kejururawatannya sendiri. Begitu juga dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Sains dan Teknologi.
Sekolah dan agama barangkali bukan sesuatu yang asing kepada kita. Semakin banyak sekolah yang berterasakan agama dibina semakin melimpah ruah permintaannya. Ramai ibu bapa mendapati anak-anak lulusan sekolah agama yang lebih mudah dibentuk. Akhlaknya lebih boleh dikawal. Kelulusan mereka juga cemerlang dari segi akademik. Ramai antara  kita mungkin tidak pernah memikirkan bahawa matapelajaran di semua jenis sekolah selalunya kosong dan kering. Maksud saya sistem kita, mengajar teori. Ekperimen di makmal tidak memberikan sentuhan hidup kepada pelajar. Mereka tenggelam dengan buku dan ujikaji. Realiti kehidupan tidak dapat disegerakkan untuk mengimbangi ketidaktahuan pelajar. Mereka tahu teori tetapi tidak memahami realiti. Atau apabila berhadapan dengan situasi sebenar mereka tenggelam punca. Tidak tahu prosedur dan tidak tahu menyelesaikan permasalahan yang kecil. Apatah lagi yang besar. sekolah hanya untuk lulus peperiksaan yang dipaksakan kepada mereka. Ramai orang yang kita kata pandai tetapi fikirannya mengikut buku sahaja. Kreativiti atau innovasi mungkin tidak mencapai tahap yang diperlukan.
Pendidikan jasmani adalah antara bukti yang cukup relevan. Semua pelajar dilatih dengan pendidkan jasmani sejak dari tadika hinggalah ke tingkatan lima. Selama 15 tahun mereka dididik untuk menjaga jasmani. Untuk menjaga kesihatan diri sendiri. Malangnya apabila mereka keluar dari sekolah semuanya ditinggalkan di sekolah. Amalan pendidikan jasmani tidak dibawa dalam kehidupan. Tidak menjadi budaya kesihatan. Akibatnya ramai warganegara yang perlukan nasihat  kesihatan. Perlukan kaunseling. Banyak pula program  kesihatan anjuran kerajaan atau badan bukan kerajaan. Diadakan program senaman di waktu petang dan hujung minggu. Tidak ramai yang menjadikan ilmu yang dipelajari di sekolah menjadi amalan hidup sihat. Ramai orang kita yang obes. Itu belum yang mengalami gangguan kesihatan yang fatal. Mungkin sistem pendidikan kita perlu dilihat semula. Falsafah pendidikan yang sedia ada belum cukup untuk membendung gejala sosial di kalangan remaja. Malah kadang-kadang gejala sosial mendominasi kalangan orang dewasa yang diharapkan menjadi contoh teladan.  Di mana silapnya sukar dikenalpasti. Yang pasti kecacatan berlaku dalam masyarakat. Lulusan sekolah kita tidak seperti yang diharapkan. Tidak seperti yang disekolahkan.
Pendidikan kokurikulum merupakan suatu alternatif dalam membantu memenuhi sistem kurikulum akademik. Berbagai aktiviti sukan, pasukan beruniform dan kelab yang disediakan kepada pelajar rasanya hanya memenuhi keperluan negara, keperluan kementerian, keperluan jabatan pendidikan negeri, keperluan pejabat pendidikan daerah dan keperluan sekolah. Rasanya tidak ada kurikulum yang dibuka mengikut keperluan pelajar. Sebab itu semua pelajar dibangunkan mengikut acuan orang dewasa. Bukan mengikut potensi sebenar seorang pelajar. Kelainan-kelainan yang ada pada diri pelajar tidak diambilkira. Diabaikan kerana dianggap tidak penting. Tidak relevan kepada guru dan sekolah. Cuba tuan dan puan lihat anak-anak sendiri. Mereka dibentuk mengikut acuan kita. Mengikut acuan negara. Yang kita lihat ialah anak-anak yang stereotaip. Yang sama sahaja cara berfikirnya. Tingkahlakunya. Cita-citanya. Harapannya. Semuanya dididik supaya sama. Supaya senang diurus. Barangkali ini adalah suatu kesilapan besar yang akan kita tanggung pada suatu masa hadapan nanti. Kita harus juga membina warganegara yang memiliki kelainan. Suatu masa nanti orang ingin melihat apa kelainan yang ada pada kita bukan apa yang sama pada semua orang. Pada semua negara. Kita akan kecewa apabila kita kehilangan faktor kelebihan. Advantage factor.  Negara seperti US memiliki faktor ini. Mereka sanggup membiayai apa sahaja penyelidikan yang berlainan dari kebiasaan.
Mari kita lihat kembali matapelajaran pendidikan agama di sekolah-sekolah. Apabila matapelajaran ini tidak banyak berubah dari dulu sistem penyamaiannya maka kita dapati peratusan yang taatkan agama seperti semakin menurun. Ramai anak muda yang tidak tahu agama. Tidak mengamalkan agama. Agama menjadi asing kepada mereka.  Asas agama ialah al-Quran. Masalah besar dalam hal ini. Orang takut mempelajari al-Quran. Takut salah baca. Persepsi yang tunggang terbalik. Apabila kita tahu kita tidak berapa pandai membaca al-Quran kita wajib belajar untuk membetulkannya. Wajib mencari guru untuk membantu. Lari dari takut salah baca tentulah dikira berdosa. Menjauhkan diri dari agama. Solat pula tidak istiqamah. Puasa tidak dihayati. Zakat, sedekah dan derma bukan lagi amalan pemurah. Ibadat haji tentulah sesuatu yang terlalu asing. Tidak semua orang menunaikan haji. Sekarang pula giliran menunggu berpuluh tahun.  Sekiranya, sekiranya teknologi didatangkan ke selolah mungkin pelajaran agama menjadi lebih segar. Di setiap sekolah ada ruang yang meletkkan replika Masjid al-Haram dan Masjid Nabawiy. Dari pelajaran ibadat haji dan umrah itulah diterapkan semua jenis pendidikan agama.
Riadah kita hanya fizikal. Menekankan jasmaniah. Kita tidak gabungkan rohaniah dan emosi dalam konteks riadah. Riadah agama perlu difikirkan sebagai alternatif kepada sistem penyampaian matapelajaran agama yang sedia ada sekarang. Ibadat perlu lebih banyak praktikalnya. Lebih banyak aktiviti fizikalnya. Teori digabungkan dengan amali. Teori sahaja terlalu tradisi. Di sekolah perlu ada persekitaran agama. Bacaan al-Quran melintasi seluruh kawasan sekolah. Bunyinya perlahan sekadar memenuhi suasana. Biar ada ketenangan. Pada waktu solat ada guru atau ustaz atau ustazah yang bersama beribadat. Solat berjemaah. Ada kelas al-Quran atau hadith. Beri ruang kepada pelajar membuat kajian. Mencari sumber agama. Bentangkan kepada kelas. Buat aktiviti agama yang praktikal. Segerakkan aktiviti dengan ibu bapa. Bersama Persatuan Ibu Bapa Guru. Saya percaya banyak permasalahan di sekolah yang akan dapat disurutkan. Ketenangan akan dapat dicapai. Anak-anak soleh dan solehah dapat dilahirkan. Impian saya untuk generasi ulul albab. InsyaAllah.

Sunday, March 3, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Laut Mati Rakaman Sejarah Manusia Terdahulu

Ini lapisan garam yang sudah berzaman-zaman lamanya. Keras seperti batu. Sepintas lalu seperti batu-batan biasa. Dari dekat baru dapat dipastikan bahawa ianya adalah lapisan garam. Cuba bayangkan jika kita cedera terkena garam apa rasanya. Kaum Nabi Luth yang tertimbus dalam bumi yang terbalik sentisa terendam dalam garam yang tesangat msinnya dan tersangat tebalnya.
Bungkah-bungkah garam banyak terdapat di tepian Laut Mati. Di mana-mana boleh dijumpai.

Garam yang terbentuk dalam air laut. Ini bukan di atas tanah. Ianya di dalam air di tepi laut.

Pokok ini banyak di Malaysia. Banyak juga tumbuh di Laut Mati. Pokok petai burung.

Tiada siapa menyangka. Tempat ini sebenarnya ruang untuk solat. Daif juga tempat ini. Sesuatu yang diabaikan.

Sekumpulan pelajar wanita dari Mesir datang melawat Laut Mati. Pelajar Malaysia ini mengikuti pengajian perubatan di sana.

 


Berbagai-bagai kumpulan manusia silih berganti menduduki dunia ini. Sejak dari dahulu kala berbagai kaum silih berganti mempersada diri. Kumpulan-kumpulan manusia ini dari lemah menjadi kuat. Dari miskin menjadi kaya. Dari bukan siapa-siapa menjadi gagah perkasa. Allah turunkan di kalangan mereka pemimpin agama. Mereka adalah Rasul dan Nabi. Bumi Syam atau Palestin menyaksikan ramainya Rasul dan Nabi yang diutus Allah untuk membawa manusia ke jalan Allah. Mereka diberi panduan dan bimbningan supaya tidak menyekutukan Allah. Supaya selalu ingat kepada Allah. Supaya selalu dekat kepada Allah. Menjalankan keadilan seadil-adilnya kepada semua yang layak diberi keadilan mengikut syarat dan prosedurnya. Mengikut syarie. Mengikut fitrah manusia. Mengikut sunnatullah.
Manusia terdahulu gagah-gahah belaka. Tubuh badan mereka besar dan sasa. Mereka meninggalkan kepada kita tamadun yang bukan kepalang banyaknya. Bukan kepalang hebatnya. Di Cina kita lihat Tembok Besar yang panjang. Di Mesir ada Piramid segi tiga yang hingga sekarang masih misteri. Kaum Yucatan di Mexico juga dengan piramidnya yang tersendiri. Lihat sahaja Babylon di Iraq yang merakamkan tamadun kaum seperti Sumeiri. Di Lembangan Indus di India. Banyak lagi jika hendak disenaraikan. Kaum-kaum tersebut bukan calang-calang kaum. Mereka mencipta tamadun yang kekal hingga hari ini tinggalan sejarahnya. Itu belum lagi cerita tamadun Farsi di Iran. Tamadun Rom di Italy dan di bumi Syam. Sejarah Pompei yang musnah juga rakaman kemusnahan manusia yang lari dari jalan Allah. Pada zaman kita tregedi di Aceh sangat dekat dengan semua itu.
Jalan lurus Allah bukanlah sesuatu yang sukar. Enam rukun iman dan lima rukun Islam. Rukun enam dan lima ini cukup mudah. Diamalkan dengan mudah. Disebut dengan mudah. Diingat dengan mudah. Amalannya juga mudah. Namun sejarah Laut Mati menentang semua itu. Allah jadikan manusia berpasang-pasangan. Lelaki untuk perempuan dan perempuan untuk lelaki. Islam membenarkan pula lelaki mengahwini hingga empat orang isteri pada satu-satu masa bagi yang mampu menjalankan keadilan di antara isteri-isterinya. Iblis dan syaitan sangat licik menjalankan tipu dayanya. Manusia ramai yang terjebak dengan perangkapnya. Walaupun perempuan selalu menggoda lelaki ramai pula lelaki yang tidak tergoda. Kaum Luth tidka menyukai perempuan dan yang pepermpuan tidak menyukai lelaki. Mereka lari dari fitrah. Mereka lari dari urusan Allah supaya berpasangan berlainan jantina. Membiakkan umat Islam. Meramaikan syurga. Namun yang terjadi adalah sebaliknya. Kasihan benar manusia jenis ini.
Allah merakamkan di dalam al-Quran bahawa kaum Nabi Luth a.s. menyukai sesama jenis. Lelaki menyukai lelaki dan perempuan pula menyukai perempuan. Fitrah manusia sudah diterbalikkan. Perintah supaya mengahwini jantina yang lain tidak lagi menjadi amalan. Proses membiakkan manusia terbantut. Terhalang. Hanya beberapa pengikut Nabi Luth a.s. yang kekal beriman. Penderhakaan kaum Luth tersebut semakin menjadi-jadi. Nasihat Nabi Luth a.s. sudah tidak berkesan lagi. Semuanya ditolak. Kepada kaumnya yang sesat itu nasihat Nabi Luth a.s. dianggap salah. Perbuatan mereka dianggap benar.  Pada peringkat terakhirnya amalan mereka menjadi sangat kritikal. Pemuda-pemuda mereka menjadi mangsa lelaki. Wanita-wanita muda mereka menjadi mangsa wanita pula. Isteri Nabi Luth a.s. sendiri menjadi antara wanita yang ingkar. Nasihat suaminya yang juga seorang Nabi tidak lagi memberi erti.
Suatu ketika Allah mengirimkan dua malaikat yang menyerupai dua orang pemuda yang sangat tampan.  Tiada siapa menyangka bahawa keduanya adalah malaikat. Sebenarnya tiada siapa yang tahu kehadiran mereka di rumah Nabi Luth a.s. Nabi Luth a.s. sendiri sangat takut jika kehadiran mereka diketahui oleh kaumnya. Kerana sudah jauh terhasut oleh iblis dan syaitan isteri Nabi Luth a.s. menyelinap keluar memberitahu kaumnya bahawa di rumahnya terdapat dua orang pemuda yang sangat tampan. Lalu mereka datang mengepung rumah Nabi Luth a.s.. Rayuan Nabi Luth a.s. supaya pemuda-pemuda itu tidak dipengapakan kerana keduanya adalah tetamunya tidak diendahkan oleh kaumnya. Mereka memaksa Nabi Luth a.s. menyerahkan kedua pemuda tersebut kepada mereka.
Apabila keadaan sudah tidak terkawal maka Nabi Luth a.s. diperintahkan untuk menyingkir. Akhirnya Nabi Luth a.s. maklum bahawa kedua pemuda itu adalah malaikat yang diperintahkan Allah untuk memusnahkan kaumnya. Nabi Luth a.s. hanya mampu memerhatikan sahaja kemusnahan yang Allah timpakan ke atas kaumnya yang ingkar. Termasuklah juga isterinya  sendiri. Mereka yang beriman terselamat. Yang ingkar semuanya Allah benamkan ke dalam bumi dalam keadaan terbalik. Bumi diterbalikkan. Jadilah tempat itu kawasan tanah yang paling rendah di muka bumi ini. Bekas mereka seolah-olah tidak layak berada di muka bumi. Tanda-tanda besar itu untuk manusia menginsafi dirinya yang diwajibkan patuh kepada perintah Allah. Pada masa yang sama manusia wajib pula menghalang dirinya dari melakukan larangan Allah. Laut Mati seolah-olah menjadi kuburan besar yang tidak bertanda. Tanda itu kekal hingga sekarang supaya kita menyaksikan sendiri dahsyatnya kemurkaan Alah terhadap mereka yang ingkar.
Kembali ke zaman ini tentu kita menjadi terfana kerana amalan kaum Luth kembali dalam lanskap kehidupan yang jauh dari agama. Ramai manusia yang mencintai agamanya. Mencintai Rasulnya. Mencaintai Allah Yang Maha Besar. Namun dalam mengharungi kehidupan serba bergemerlapan ini ramai yang kecundang dari landasan agama. Ramai yang tidak kenal agama. Mereka menjadi kalkatu yang mengejar cahaya terang tetapi musah kerana kepanasan cahaya itu. Hilang sayap. Melata kehilangan daya. Menjadi makanan cicak dan serangga lain. Jika dalam kisah Nabi Luth a.s. pemuda-pemuda mereka menjadi mangsa kerakusan lelaki, pada zaman ini amalan kaum Luth dijadikan profesion. Mereka menuruti runtunan hati. Bukan runtutan iman. Melihat semua ini mungkin kita boleh berbuat sesuatu sebelum kesemuanya menjadi terlambat.
Kita kembali kepada keluarga. Kepada ibu dan bapa. Kembali kepada kenapa kita berumahtangga. Laksanakan semua tanggungjawab untuk mentarbiahkan keluarga ke arah agama.  Didik anak dengan bersandarkan agama. Bukan kesenangan semata-mata. Masyarakat perlu melahirkan pemimpin dan kepimpinan yang condong kepada agama. Keseronokan dunia hanya terlalu sedikit. Teralu singkat. Terlalu kecil. Nikmat akhirat tiada siapa yang dapat mengauditnya. Allah sahaja Yang Maha Mengetahui. Kepimpinan ke arah agama inilah yang selalu menjadi ruang kosong. Ramai yang ingin memimpin tetapi lupa tanggungjawab terhadap agama. Jika tidak dibetulkan maka semakin besarlah musibah yang menimpa umat Islam. Sejarah merakamkan bahawa apabila Allah menimpakan sesuatu musibah bukan pelakunya sahaja yang menerimanya. Semua orang yang berada di sekeliling pelaku maksiat itu juga turut menerima musibah Allah.
Jangan lupa apa sahaja yang kita miliki sekarang adalah milik Allah pada hakikatnya. Allah boleh menarik balik  kesemuanya hanya dengan kun fayakun sahaja. Allah amanahkan apa sahaja yang ada pada kita supaya dimanfaatkan ke jalan Allah. Jika kita lupa ada orang yang perlu  mengingatkan kita. Dengarlah nasihat dan teguran manusia kerana teguran Allah sangat dahsyatnya. Jangan juga lupa bahawa Allah telah memusnahkan ramai kaum tedahulu untuk digantikan dengan kaum lain yang beriman. Apabila kita lupakan Allah maka Allah akan lupakan kita. Apabila kita ingat kepada Allah maka Allah lebih-lebih lagi ingat kepada kita. Sesungguhnya Laut Mati adalah tanda besar untuk menjadi iktibar. Yang berkuasa hanya Allah. Allahu Akbar.

Saturday, March 2, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Menjejak Petra Yang Penuh Keajaiban


Penuh satu bas Universiti Zarqa. Bas kecil. Coach. Dengan diiringi tiga orang pensyarah, kami seramai 17 orang pelajar antarabangsa menelusuri perjalanan selama kira-kira empat jam. Pelajar-pelajar dari Malaysia, Cina, Britain, Albania, Russia dan Turki sama-sama teruja untuk menyaksikan destinasi yang cukup gah di Jordan. Gah di dunia. Dilindungi oleh UNESCO, Bangsa-Bangsa Bersatu. Pukul 8.30 pagi, Rabu 24.2. 2013 mencatat sejarahnya yang tersendiri. Suhu kira-kira 15°C terasa hangat. Maklulah sudah agak biasa. Seperti biasa saya rakamkan apa-apa gambar yang mungkin di kiri bas. Saya duduk di sebelah kiri. Sebelum keluar dari bandaraya Amman tidak banyak yang dapat dirakamkan. Matahari memancar terik ke arah saya. Panas dan silau. Keluar dari Amman tidak banyak yang dapat dilihat. Padang pasir sahaja yang melaut. Luas. Cuma di Jordan padang pasirnya bukan seperti yang selalu kita gambarkan. Selalunya padang pasir terhampar luas, merata dengan pasir-pasir halus. Di Jordan negaranya berbukit bukau. Kawasan yang rata tidak banyak. Yang kelihatan jauh dan dekat ialah tanah berbukit-bukit. Banyak batu dari tanah. Seperti entry sebelum ini, batu-batan di Jordan berlapis-lapis bentuknya. Lankapnya begitu. Lapisan zaman yang jutaan tahun sejak dari asal kejadian bumi dan alam seluruhnya. Pepohon bukan hal yang dapat selalu dilihat. Rerumput ada yang baru mula menghijau. Yang selebihnya banyak patu yang berwarna batu. Rupanya seperti batu. Bentuknya batu.
Jalanraya di Jordan agak luas. Ada yang tiga lorong. Ada yang dua lorong. Lupa pula. Memandu di Jordan di sebelah kanan jalan. Pemandu di kiri kenderaan. Seperti di Eropah dan Amerika Syarikat. Kadang-kadang saya kagum sendiri. Jordan tidak sekaya Malaysia. Hasil utamanya ialah pelancongan. Namun begitu negaranya pesat membangun. Jalanraya berselirat. Banyak jejambat. Banyak jalan baru. Panjang. Menghubungi ke seluruh Jordan. Cuma saya berasa hairan. Tidak ada jalanraya yang sama dengan Malaysia. Jalanraya di mana-mana sekalipun kebanyakannya standard. Teknologinya sama. Yang tidak sama ialah pengurusannya. Ada yang cekap. Ada yang tidak. Ada yang menyediakannya untuk kemudahan rakyat. Ada yang menyediakannya untuk menyulitkan rakyat.  Di Jordan jalanraya adalah untuk kemudahan rakyat. Buktinya? Tidak ada. Di Jordan tidak ada tol! Jalanrayanya bebas tol. Adoi! Pergilah ke mana sahaja tidak akan mengidam untuk menemui tol. Bawa kenderaan mengikut had laju yang ditentukan. Isi minyak bila habis. Jalanlah sejauh mana yang hendak dituju. Tol tidak ada. Tidak perlu wang tambahan untuk membayar tol.
Jalanraya adalah tanggungjawab pemerintah. Bukan untuk kesenangan rakyat sahaja yang difikirkan. Jalanraya sebagai penggerak ekonomi. Kelangsungan politik. Pertahanan. Pembangunan. Dan banyak lagi. Yang pentingnya jalanraya bukan semata-mata jalan perhubungan. Banyak yang tersirat di belakang pembinaan jalanraya yang ada. Seperti pengalaman saya di USA dahulu, jalanraya bukan milik siapa-siapa. Tidak ada individu yang memilikinya. Bukan milik pemerintah semata-mata. Ianya milik pengguna. Semua pengguna yang menggunakannya. Maka konsepnya ialah berkongsi jalanraya yang sama. Tidak perlu ada pengguna yang melebihi haknya. Melebihkan hak orang lain. Jalanlah mengikut hak yang ditentukan. Satu lorong sahaja. Lorong yang sesuai kelajuannya. Laju di lorong laju. Perlahan di lorong perlahan. Sederhana di lorong sederhana. Memandu perlulah dengan kelajuan yang  seperlunya. Mematuhi had laju yang diwartakan. Pandulah dengan selesa.
Dalam perjalanan, kami ditahan oleh polis. Saya tidak pasti apa yang berlaku. Kami tidak laju. Tidak ada apa-apa kesalahan nyata yang berlaku. Lama juga kami ditahan. Pemandu dan pensyarah pengiring terpaksa memberi keterangan yang panjang untuk menjelaskan keadaan. Bas adalah bas universiti. Tiada masalah. Penumpangnya pelajar universiti. Semua ada kad pelajar. Dokumen lengkap. Yang jadi masalahnya ialah dokumen tidak mencatatkan semua yang perlu dicatat. Terdapat pertukaran pelajar. Senarai dan bilangan pelajar tidak sama. Pelajar lebih ramai dari senarai yang disediakan. Lebih seorang sahaja. Masalahkah? Sepintas lalu kita kata tiada masalah. Seorang punya hal tidak jadi masalah.  Itulah selalunya anggapan kita. Persepsi kita. Yang sedikit selalu diabaikan. Diambil mudah. Seorang pelajar tidak tersenarai namanya. Sekiranya berlaku apa-apa ditengah jalan, tiada bukti dokumen yang sahih bahawa dia bersama kami.  Banyak pihak akan terlibat. Universiti, kedutaan negara masing-masing, keluarga di kampung dan banyak lagi formaliti yang pasti akan dharungi jika berlaku kesilapan teknikal di mana-mana sepanjang perjalanan itu. Perkara yang dianggap kecil boleh meledak ke seluruh dunia. Menjadi isu antarabangsa. Ceritanya yang hak menjadi tenggelam. Cerita lain yang mengekorinya akan berjela-jela tetapi tidak relevan. Oleh itu jangan abaikan hal yang kecil. Yang sedikit. Yang dikira tidak penting. Yang sedikit itulah yang mungkin menentukan hidup atau mati. Berjaya atau gagal.
Kisah ditahan polis baru seperdua perjalanan. Ada juga antara kami yang terpaksa ke balai polis tersebut untuk menyelesaikan hal-hal tabiie. Kembali meneruskan perjlanan. Masa sudah jam 11.00 pagi. Matahari memancar terik walaupun sebenarnya musim dingin belum tamat. Bila angin bertiup masih terasa sejuknya. Pancaran matahari sahaja yang terasa teriknya. Di kanan dan kiri jalanraya yang panjang yang lurus itu tetap setia dengan padang pasir yang berbukit-bukau. Udara di sekeliling panas. Suhu meningkat. Belum lagi seperti musim panas yang menggigit. Yang seperti melecurkan kulit bagi yang tidak biasa. Menghampiri bandar Petra kami diperlihatkan dengan tiga pokok kayu yang rendah dan rendang. Tidak berapa besar. Batangnya kira-kira dua atau tiga pemeluk besarnya. Usia pokok itu lebih 1,000 tahun. Aduhai pokok sekecil itu. Itulah hakikat di padang pasir. Air yang sedikit menghidupkan makhluk yang sepadan dengan air itu. Dari air yang sedikit itulah pokok itu hidupnya memanjang. Secara tabiienya pokok-pokok itu tidak pernah menyerap air melebihi dari keperluan. Tidak berebut. Tidak pernah ada pokok yang berperang berebut air. Kesemuanya memerlukan yang secukupnya sahaja. Sedikit sama-sama sedikit. Banyak sama-sama banyak. Makhluk seperti kita sahaja yang tidak habis-habis berebut rezeki Allah. Tidak cukup dengan haknya, inginkan pula hak orang lain. Cerita air ini sangat-sangat memualkan kadang-kadang. Penyelesaiannya senang. Berilah hak kepada yang berhak. Itu sahaja. Bantu orang lain untuk mendapat haknya. Kita ambil hak milik kita sahaja. Tanpa untung. Tanpa lebih. Tanpa menyusahkan orang lain. Apatah lagi rakyat.

Pokok di atas dan di bawah berusia lebih 1,000 tahun. Tidak tinggi dan tidak besar seperti pokok-pokok di negara kita. Kita biasa melihat  pokok yang tinggi dan besar. Seperti tidak percaya pokok itu berusia lebih 1,000 tahun. Namun itulah hakikatnya. Yang kita lihat bukan semuanya yang kita faham. Mata kita hanya menyorot apa yang kita yakini. Bukan yang hak.



Di sepanjang jalan hanya hamparan padang pasir yang saujana mata memandang. Seperti tiada tepinya. Pasir dan batu. Yang ini di bahagian yang benar padang pasir. Di bahagian lain kebanyakannya bukit-bukau atau gunung-ganang. Batu besar dan kecil. Pada tempat yang ada air ada pokok yang tumbuh. Pokok melata atau pokok yang meninggi. Air sumber kehidupan.

Setelah empat jam perjalanan sampailah kami di Petra. Dari jauh kami dimaklumkan bahawa kawasan yang bergunung-ganang itulah letaknya Petra. Sukar hendak menceritakannya menggunakan perkataan. Mata lebih memaklumi. Tulisan tidak menyampaikan maksud yang diperlukan. Yang dilihat ialah gunung-ganang yang berbeza bentukny adari kawasan lain di Jordan. Batu-batuny aberbungkah-bungkah besar. Nampak halus bulat dari jauh. Warnanya ada hitam. Ada merah. Ada putih. Berbagai warna. Keseluruhan gunung-ganang itu istimewa bentuknya. Mencabar keterujaan kami. Gamitan yang sangat kuat. Di kawasan tempat meletak kenderaan semua ruang sudah dipenuhi dengan kenderaan yang membawa pelancong. Bas-bas pelancongan berderet-deret sebanyak-banyaknya. Maknanya beribu-ribu orang sudah berada di lokasi ajaib Petra. Ramai yang bergegas memenuhi desakan tabiie. Bertanya sana dan bertanya sini. Ada yang mencari dari satu arah. Ada yang dari arah lain. Menuju ke tampat yang sama. Visitors service centre. Masing-masing lega terlepas dari sedikit seksa menahan rasa. Kami berhimpun di hadapan pintu masuk ke Petra. Pensyarah membeli tiket masuk untuk setiap orang. Ingin  tahu berapa tiketnya? Pengsan nanti. Sebelum bertolak kami diingatkan supaya membawa kad pelajar. Saya ingatkan bergurau bahawa sesiapa yang tidak membawa kad dikenakan 50JD. Kira-kira RM220 seorang. Pelancong asing dikenakan 50JD seorang. Kami pelajar hanya 1JD sahaja. RM4.20. satu pengajaran yang sangat berharga. Maknanya menjadi warganeara sebuah negara mesti ada keistimewaannya. Menikmati hak milik negara sendiri dengan bayaran yang minima. Token. Pelancong perlulah membayar lebih banyak kerana risiko pencemaran atau kehilangan aritifak umpamanya perlu dijangka. Perlu diambilkira.
Setiap hari sekurang-kurangnya 2,000 orang pelancong mengunjungi Petra. 2000 x 50JD = 100,000JD x 365 (setahun) = 36.5juta JD x RM4.20 = RM153,300,000. Itu hasil dari Petra sahaja. Itupun kiraan minimum. Manusia tidak putus-putus bertali-arus keluar dan masuk. Di pintu keluar dan masuk kawalannya ketat juga. Polis pelancong ada di mana-mana. Petra menjadi khazanah negara Jordan yang dijaga rapi. Sejarah negara. Sejarah dunia. Sejarah manusia. Cerita ini baru sampai di sini dulu. Banyak lagi menanti selepas ini. Cukup banyak. Nantikan episodnya.

Monday, February 25, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Keajaiban Yang Tidak Ada Ukurannya

Kita selalu dihidangkan dengan keajaiban dunia dari kacamata Barat. Lebih dari kacamata British atau US. Nama atau tempat berikut mungkin sinonim kepada kita semua: Piramid (Mesir), Tembok Besar Negara Cina, Candi Borubudur (Indonesia), Niagara Falls (US-Canada), Taman Tergantung Babylon (Iraq), Taj Mahal (India) dan Menara Condong Pisa (Italy). Begitu barangkali yang disenaraikan oleh Guiness Book of Records.  Kenapa kita memperakuinya begitu kerana itu yag dihidangkan kepada kita. Menerima sahaja senarai itu tanpa kita memikir sejenak. Apakah signifikannya. Implikasinya.  Dalam senarai itu hanya Taj Mahal yang dikira asing. Ianya dibina oleh Shah Jahan untuk Mumtaznya. Cantik dan abadi. Kita teliti sedikit yang lain. Piramid bukan hanya ada di Mesir. Terdapat juga piramid di Mexico. Malah kononya orang Mayan meramalkan bahawa dunia kiamat pada Disember 2012.  Niagara Fallas bukan yang tercantik dan terhebat. Victoria Fallas yang terletak di Afrika sebenarnya lebih hebat dari Niagara Fallas. Malangnya airterjun tersebut diabaikan kerana ianya bukan di US atau Eropah. Kenapa Guiness. Rasanya tidak payah saya huraikan. Cuba kita lihat kembali senarai itu. Adakah kemungkinannya sesuatu yang tersirat. Menafikan hakikat. Yang fitrah dan mungkin yang mutlak.
Kita terima pandangan orang lain. Mereka mempunyai kepentingan. Kepentingan mereka. Kehebatan mereka. Bukan kehebatan yang hakiki.  Mari sama-sama kita telusuri senarai yang kita sendiri membuangnya. Tidak memikirkannya. Tidak mengulangnya sebagai sesuatu yang perlu untuk generasi kemudian lebih memahaminya lagi.
1        Masjid al-Haram di Makkah al-Mukarramah
2        Azan yang tidak pernah berhenti bersahut-sahutan sepanjang masa selama 24 jam sehari semalam.
3        Batu tergantung di Masjid al-Aqsa.
4        Air Zam-zam.
5        Makam Baqi’ di Madinah al-Munawarrah.
6        Angkasa dengan bintang, planet, galaksi dan segala ciptaan Allah yan tidak dapat dijangkau oleh fikiran manusia.
7        Dan banyak lagi.
Kita selalu disogokkan dengan tanda-tanda fizikal kehebatan manusia. Kita lupa tentang tanda-tanda  kebesaran Allah yang mengizinkan manusia mencipta kehebatan mereka. Tanpa izin Allah manusia tidak mampu untuk berbuat apapun. Walaupun sekecil-kecil barang. Tanda-tanda fizikal yang ditonjolkan menjadikan kita ta’ajub kepada kehebatan orang dahulu. Orang mereka. Orang yang memusuhi Rasul dan Nabi. Paradox jadinya apabila kita beriman pada satu ekstrim tetapi memperakui kehebatan manusia tanpa menyandarkannya kepada kehebatan Allah. Mari kita kembali meneliti senarai milik kita. Hak kita. Harta milik kita yang Allah anugerahkan kepada kita. Siapa berani meletakkan Masjid al-Haram lebih rendah dari kedudukan pertamanya. Tidka mungkin jika kita hakikatnya.
1        Di situ ada Kaabah. Kiblat seluruh umat Islam dari seluruh dunia.
2        Orang tawaf 24 jam setiap hari hingga hari Kiamat.
3        Di situ ada air Zam-Zam. Tidak pernah surut atau kering. Meminumnya barakah dan mendapat pahala. Mengenyangkan seperti makanan. Air yang paling bersih dan berkhasiat di dunia.
4        Tempat yang dibenarkan solat pada waktu terlarang seperti selepas solat Fardhu ‘Asar dan selepas Fardhu Subuh.
5        Tempat yang 24 jam terang benderang. Satu-satunya tempat yang paling bercahaya di atas muka bumi dilihat dari angkasa. Melalui kapal angkasa.
Bagaimana pula dengan azan. Laungan yang menghimpunkan umat Islam untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Azan ini berkumandang bersahut-sahutan tanpa henti. Setiap masa. Waktu solat bukan ikut waktu negara. Waktunya mengikut waktu tempatan. Ini bermakna sebelum sebuah masjid menamatkan azannya, masjid lain menyambut laungan azan itu. Bekeliling dunia tanpa henti. Ulamak menyatakan bahawa laungan azan oleh muazzin yang ikhlas didengar hingga ke langit. Malaikat yang berada di langit mendengarnya. Begitulah hebatnya Bilal yang sangat dikasihi Rasulullah. Dijanjikan syurga. Bunyi tapak kakinya di syurga didengar oleh Rasulullah. Apabila Rasulullah wafat, Bilal berpindah ke tempat lain. Sunyi Madinah dari laungan azannya. Setelah beberapa ketika ia rindu kembali ke Madinah. Apabila para sahabat mendengar azannya pada suatu subuh, mereka menangis secara spontan. Azan Bilal itu sinonim dengan kehadairan Rasulullah sewaktu hayatnya. Sangat kuat impak azan di hati manusia yang beriman. Azan itu membuka rasa rindukan Rasulullah. Makhluk teragung yang pernah Allah ciptakan.  Memberi rahmat ke seluruh alam.  
Israk dan Mi’raj diulang majlisnya setiap tahun. Mengingatkan kita tentang hadiah Allah. Solat lima waktu sehari semalam. Sebelum mi’raj tangga yang membawa Rasulullah untuk ke langit terletak di atas sebuah batu besar. Apabila tangga itu bergerak naik, batu itupun naik sama.  Rasulullah melarang batu itu untuk ikut sama. Yang diundang Allah ialah Rasulullah. Tidak makhluk yang lain. Terbatallah pergerakan batu itu. Tidak naik dan tidak turun. Berkedudukan condong seperti hendak terbang naik. Batu itu adalah bukti benar. Bukti yang hak. Satu antara mukjizat Rasulullah. Batu besar yang tergantung tanpa tali. Tanpa penyokong. Boleh lalu-lalang di bawahnya. Kedudukannya tidak berubah sejak mai’raj Rasulullah. Batu itu bukan dongeng. Bukan dibuat-buat. Malangnya ada orang Islam sendiri yang ragu-ragu akan cerita itu. Rasanya tiada siapa antara kita yang dapat menandingi Abu Bakar. Apabila ditanya adakah dia percaya akan israk dan mi’raj Rasulullah. Apabila orang Quraisy menganggap israk dan mi’raj itu karut. Abu Bakar dengan yakin sangat-sangat percaya. Malah katanya jika lebih tidak munasabah daripada itupun ia pasti percaya. Iman seorang Muslim. Yang dadanya melimpahkan iman. Yang seluruh jiwa dan raganya hanya untuk Islam. Untuk Allah dan RasulNya. Batu yang menjadi mukjizat Rasulullah itu tidak diiktiraf sebagai sesuatu yang hebat. Kita pula hanya berdiam diri tidak membuka minda mereka yang memusuhi Islam.
Makam Baqi’ di Madinah adalah permakaman yang wajib bagi mereka yang meninggal dunia di Madinah semasa mengerjakan haji. Itu yang pasti. Mungkin  juga bagi yang megerjakan umrah. Makam itu telah wujud sejak zaman Rasulullah. Hamzah, bapa saudara Rasulullah, yang syahid semasa Perang Uhud, dipindahkan ke Makam Baqi’ dalam keadaan darahnya masih mengalir.  Allah memberikan bukti bahawa mereka yanag syahid tidak mati jasadnya. Rohnya terus ke syurga. Kira-kira 10,000 syuhada’ dikebumikan di makam itu. Sesudah 1443H Makam Baqi’ tidak penuh-penuh. Masih ada ruang untuk jenazah-jenazah baru yang diredhai Allah dikebumikan di situ. Subhanallah! Sesiapa yang pernah ke Madinah tentu setuju apabila saya katakan bahawa makam itu tidaklah terlalu besar. Namun Allah memberi ruang yang perlu kepada sesiapa yang dikasihinya. Makam Baqi’ yang sangat istimewa. Roh-roh di situ sentiasa dalam peliharaan Allah. Jika dilihat dari  bangunan di sekeliling makam itu tiada siapa yang menyangka makam itu telah wujud lebih 1,400 tahun. Masih banyak ruang kosong menunggu mereka yang dijemput Allah untuk mengisi ruang-ruang itu. InsyaAllah.
Senarai kehebatan dalam Islam sangat banyak. Orang Islam sendiri tidak memikirkan signifikannya menyenarai kehebatan-kehebatan itu. Kita menganggapnya sebagai biasa.  Mungkin kita sendiri perlu membuka tingkap ta’jub kita sendiri. Maksud saya memberikan nilai yang tinggi terhadap kehebatan-kehebatan yang Allah anugerahkan kepada kita. Dengannya kita mendekatkan diri kita kepada Allah. Bukan kepada yang lain. Senarai itu panjang. Sama-sama kita gali. Senarai orang lain tidak meletakkan kehebatan Allah bersama senarai itu. Mereka hanya kagum dengan sesuatu tanpa nilai Islami. Tiada jiwa Islam. Tiada syiar Islam pada senarai mereka. Kenapa kita tidak beralih kepada sesuatu yang hak. Yang tiada tandingan. Yang tiada siapapun menidakkannya.

Sunday, February 24, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Islam Cantik Berbudi dan Berbahasa

Kata orang adat Melayu penuh dengan budi dan bahasa. Lemah lembut. Menghormati orang lain. Peka dengan hal-hal yang berkaitan dengan orang lain. Apabila berjalan memberi laluan kepada orang tua. Selalu menunduk dan memperlahankan suara. Tidak menyampuk apabila bercakap.  Menjauh dari kumpulan orang tua yang sedang rancak berbual. Menjawab apabila ditanya sahaja. Gambaran tersebut sewaktu saya hidup di kampung pada tahun-tahun 50an dahulu. Begitu juga sewaktu saya tinggal di Kuala Terengganu pada awal tahun-tahun 70an. Sudah berpuluh tahun. Zaman itu sudah berlalu. Pembangunan telah menelan tradisi yang cantik penuh dengan budi dan bahasanya yang tersendiri. Kelembutan yang dirindui sudah banyak yang tidak ada. Kepekaan yang darjahnya semakin menurun. Orang Melayu dahulu berbeza jalan fikirnya berbanding dengan orang Melayu pada zaman saya kecil dan muda dahulu. Banyak yang ditinggalkan kerana mengejar kelipan cahaya sinar. Sinar yang katanya kemajuan teknologi. Kemahiran yang dilalui di institusi menengah, pasca menengah dan di IPT.
Apabila saya sampai di Universiti Zarqa, di Amman, Jordan saya kembali menyaksikan zaman kecil dan muda saya dahulu. Pensyarah-pensyarah yang tua dan muda sama sahaja layanan mereka terhadap kami yang datang dari Malaysia. Tutur kata mereka lembut. Suara mereka rendah. Senyum.  Intonasi suara yang antara dengar dengan tidak. Bertanya yang hak sahaja. Berulang kali memberi salam setiap kali bertemu. Bertanya khabar setiap kali bertemu. Walaupun pertemuan itu di persekitaran yang sama. Dari pagi hinggalah meninggalkan universiti, salam dan bertanya khabar tidak lekang dari bibir mereka setiap kali bertemu. Itulah juga yang saya alami dahulu sewaktu menuntut di US dan sewaktu berkursus di Canada. Di negara maju ucapan selamat dan bertanya khabar adalah tanda mereka bertamadun tinggi. Peka dengan kehadiran orang lain. Amalan ini bagi yang terpelajar dan berjawatan. Mereka yang selalu berurusan dengan orang ramai. The public. Di Jordan ianya suatu tahap lain. Salam dan bertanya khabar adalah tanda islamik. Tanda amalan terbaik orang Islam. Amalan Muslim yang berkhlak mulia.
Kadang-kadang kita tidak perasan apa hubungannya antara budaya dan agama. Antara bahasa dan budaya. Antara budaya dan hubungan antarabangsa. Cuba kita berhenti sejenak. Fikirkan implikasi dan impaknya kepada individu yang menerima dan memberi yang terbaik untuk orang lain. Ungkapan yang terlembut bahasanya. Senyuman yang paling ikhlas boleh diberi. Bahasa tubuh yang dilihat menyenangkan. Sesungguhnya amalan Islam adalah yang terbaik jika kita dapat mendalaminya dengan saksama. Mengambil yang terbaik dari agama kita sendiri. Amalan yang merangkap akhlak Islami. Akhlak mulia. Sebab itulah dalam pengajian Islam matapelajaran adab tidak boleh diabaikan. Orang Barat menamakannya etika. Etiquette kata orang Perancis. Kebetulan istilah ini sangat popular diketengahkan sebagai sesuatu yang memiliki nilai estetika.  Matapelajaran adab ini sudah lama dipekenalkan kepada manusia. Sejak dari zaman Nabi Adam a.s. lagi. Dalam tamadun Yunani umpamanya Socrettes, Plato dan Aristotle memberikan tekanan kepada perlunya etika dalam kehidupan manusia.
Apabila dua orang individu bertemu maka wujudlah imej dan persepei yang berlainan antara keduanya. Tanggapan itu mencerminkan budaya yang datang dari dua keluarga. Pendidikan dan asuhan yang berlainan. Pengalaman yang berlainan. Taraf soasial yang berlainan. Pandangan hidup, sikap dan sifat yang berlainan. Masing-masing membawa latarbelakang yang berlainan. Ada masanya wujud persamaan. Ada masanya wujud kelainan yang boleh ditolerensi. Ada masanya wujud perbezaan yang tidak boleh dikompromi. Pertemuan itu memberikan pengalaman yang berharga untuk masing-masing menjaga batas yang boleh dan yang tidak boleh. Masing-masing belajar antara satu sama lain. Belajar menghormati. Belajar meraikan kelainan dan perbezaan. Jika kita membuka ruang dada kita untuk menerima perbezaan dengan senang hati maka wujudlah keharmonian. Manusia perlukan suasana yang harmonis untuk meneruskan kehidupan yang rencam dan mencabar. Suasana berubah khususnya dalam perhubungan antarabangsa.
Apabila individu-individu dari berbagai negara bertemu dalam suatu persekitaran maka banyak pekara yang perlu diambilkira. Pertemuan itu mungkin di atas suatu landasan yang sama tetapi bukan pada lanskap budaya yang sama. Bukan adat yang sama. Bukan kebiasaan yang sama. Resamnya berlainan. Kerana itu pertemuan-pertemuan sebegitu seharusnya membataskan kita dari bercakap yang tidak berkaitan. Bercakap dalam intonasi yang berlainan dengan adat tempatan. Cara bercakap yang tidak boleh becanggah dengan adat. Kita boleh bergurau hanya setelah mengenali hati budi masing-masing.   Tidak mungkin pertemuan yang singkat  dipenuhi dengan lawak jenaka. Tiada siapa yang mendengar. Tiada siapa yang menerima. Jenaka itu ditolak dengan rasa marah. Mungkin juga pertemuan pertama itu meretakkan hubungan. Menolak harapan untuk berbaik-baik. Kehadiran yang diharapkan santai menjadi tegang tidak menentu. Keharmonian tidak dapat dicipta dengan lancar. Salah faham membesar  dan menular. Gara-gara tidak menjaga adab.
Kadang-kadang kit alupa bahawa diri kita  adalah sebuah imej. Imej diri. Imej keluarga. Imej bangsa. Imej negara. Apa yang kita pamerkan mencerminkan kesemua trait dan ciri-ciri yang berkaitan. Ini bermakna cara kita berpakaian, makan, bercakap, melayan orang adalah cerminan bangsa dan negara jika kita berada di luar negara. Sebenarnya kita perlu banyak melihat. Banyak mendengar. Banyak mengalami untuk menyelarikan diri kita dengan orang lain. Jika kita menonjolkan diri terlalu ketara mungkin banyak yang tidak kena. Menyalahi kebiasaan. Menyalahi adat. Mungkin juga menyelahi agama jika kita tidak arif. Di Malaysia kita banyak melanggar adab agama. Walaupun nampaknya tidak begitu besar tetapi apabila ianya berleluasa maka cacatnya menjadi besar. Sukar hendak diubah. Sudah biasa katanya. Berjabat tangan, bercakap kuat, ketawa berderai-derai, be.rjalan menghentak kaki dan percampuran yang agak bebas antar alelaki dan perempuan adalah antara ciri-ciri perlanggaran larangan agama yang selalu dipandag sepi. Enteng. Biasa.
Nilai-nilai Islam sangat tinggi. Allah memperakui bahawa hanya agama Islam sahaja yang Allah redhai sebagai agama Rasulullah dan umatnya. (Rujuk ayat 3 surah al-Maidah). Jatidiri Islam yang universal sukar ditandingi oleh mana-mana pihak. Ironisnya pada zaman sekarang ini Islam yang dimiliki oleh orang Islam dipraktikkan oleh orang lain. Orang Islam sendiri kehilangan adab dan akhlaknya. Orang lain selalu mempamerkan protokol dan etiket untuk dilihat beradab. Beretika. Cultured. Setiap orang Islam adalah duta agama Islam. Dirinya yang bertanggungjawab untuk memperlihatkan keislamannya yang tinggi. Memperagakan akhlak yang paling mulia. Nilai Islam adalah nilai sejagat. Pergilah ke mana sekalipun di atas muka bumi ini yang baik juga yang dikenang orang. Yang manis juga diingat orang.  Islam ada maruahnya sendiri yang mesti dipertahankan. Maruah Islam itu tiada yang boleh menggantikannya. Ianya bukan sesuatu yang berbentuk komersil. Ia bukan make-up. Bukan hiasan. Adab dan akhlak Islam sewajarnya menjadi fitrah orang Islam. Manis dilihat. Manis untuk bersama.
Agama Islam adalah agama yang penuh denga nasihat. Penuh dengan kebaikan. Penuh dengan keindahannya yang tersendiri. Apabila kita lupa maka ada pihak yang tampil untuk membetulkan keadaan. Dalam hubungan antarabangsa umpamanya kita jarang menghulur tangan secara spontan. Jarang kita lihat orang yang memimpin orang cacat penglihatan untuk memyeberang  jalan. Atau menaiki bas. Atau untuk mencapai sesuatu. Sukar kita  lihat orang yang membantu orang yang tua atau kesukaran membawa banyak barang atau membantu anak-anak kecil dengan urusan mereka. Di Amman Jordan saya masih melihat sesuatu yang mendamaikan. Memimpin tangan mereka yang kelihatan agak lemah agak biasa. Tolong mengangkat barang mereka. Bertanya khabar dengan muka manis dan senyuman yang memanjang. Semua orang seperti banyak masa untuk orang lain. Bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan. Brbudi bahasa bukan perlu mengeluarkan wang ringgit. Tidak perlu mengeluarkan peluh. Bukan berjam-jam diperlukan. Hanya sedikit keringanan tangan dan kaki. Hanya sedikit kegirangan hati. Jika semua orang membuat yang sedikit maka banyak gunung yang dapat diubah. Banyak bukit yang dapat ditinggikan menjadi gunung. Yang sedikit itulah yang selalu dikenang orang. Hanya yang sedikit. Budi yang baik dikenang juga.

Friday, February 22, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Mencari Imam Yang Juga Mudir

Siapa yang namanya imam? Semua orang akan jawab bahawa imam ialah orang yang berada di hadapan sekali apabila solat berjemaah. Suami jadi imam kepada isteri. Ayah jadi imam kepada anak dan isteri. Mungkin seorang teman menjadi imam kepada rakan-rakan yang lain. Atau memang orang itu jawatannya imam di sebuah surau atau masjid. Habis cerita. Selepas solat habislah tugas imam. Dia akan membuat kerja lain yang tiada kaitan dengan masjid atau surau atau solat.  Tugasnya menjadi khusus untuk solat sahaja. Ia mungkin balik selepas solat. Ada orang lain yang membuat kerja-kerja di masjid. Tugas imam menjadi terlalu kecil. Terlalu terhad. Pengertian itu kita yang menciptanya. Tugas imam itu kita yang menghadkannya. Tugas itu dikecilkan kerana kita memahami dengan begitu. Tugas imam memimpin solat berjemaah. Benarkah begitu? Isu ini besar dalam kaitannya dengan pembangunan ummah. Pembangunan agama. Pembangunan jalan lurus ke syurga. Jika pengertian imam yang sebenarnya tidak diserlahkan maka selamanya kita menganggap bahawa imam buakn orang penting dalam agama. Dia dianggap hanya dan hanya untuk menjadi imam solat berjemaah.
Pada zaman Rasulullah s.a.w. imamnya adalah Rasulullah sendiri. Abu Bakar menjadi imam. Umar menjadi imam. Uthman menjadi imam. Ali menjadi imam. Bukan orang lain. Rasulullah dan khalifahnya yang empat itu menjadi imam. Orang yang tertinggi jawatannya pada masa itu. Imam ini pula menjalankan berbagai tugas negara dan tugas agama. Hakim, pemimpin perang, perancang keselamatan, perancang pendidikan, perancang ekonomi, sosial dan banyak lagi yang berkaitan dengan maslahah umat. Maksudnya imam adalah orang yang memimpin apa sahaja yang boleh dipimpinnya. Memiliki ilmu yang tinggi. Akal budi yang luhur yang selari dengan agama. Menjalankan keadilan dengan saksama.  Menyelesaikan segala masalah negara dan agama. Tempat rujukan umat apabila ada sebarang isu yang relatif. Yang tidak dapat dihuraikan oleh orang lain.  Jika kita turunkan dalam konteks kita sekarang  imam sewajarnya berperanan menjalankan tugas-tugas agama dan sosial. Malangnya dalam keadaan sekarang imam hanya memimpin solat berjemaah sahaja. Lihatlah di mana-mana masjid dan surau, imam bukan orang yang memimpin Jawatankuasa masjid atau surau itu.
 Kita berbicara tentang cara memakmurkan masjid dan surau. Saya ingin fokus kepada masjid. Konsep surau kepada kita sangat terpencil. Di Jordan umamanya saya belum berjumpa surau. Yang ada ialah masjid. Kadang-kadang agak berdekatan. Laungan azan didengar antara sebuah masjid dengan sebuah masjid yang lain. Maaflah. Surau di Malaysia kadang-kadang seperti lebih diutamakan dari masjid. Masjid hanya untuk solat Jumaat sahaja. Pada waktu yang lain masjid tidak begitu ramai. Orang kita selalu fokus kepada surau sedangkan yang perlu diutamakan ialah masjid. Yang perlu dimakmurkan ialah masjid. Pahalanya lebih besar. Darjatnya lebih tinggi. Apabila dibina surau maka masjid menjadi nombor dua. Sebabnya jauh dari rumah. Andaian kita masjid atau surau sama sahaja. Asalkan berjemaah. Barangkali kita kena mengaji semula. Yang mana lebih aula. Lebih afdhal. Jika Rasulullah masih hidup tentu baginda menggesa kita ke masjid. Bukan surau.
Jawatan imam di masjid dan surau tidak lagi mengambilkira kelayakan akademik atau kelayakan agama. Asalkan boleh jadi imam cukuplah. Boleh berwirid sudah memadai. Boleh bertahlil sudah dikira cantik. Lihat semula tugas dan peranan imam. Sewajarnya imamlah yang menyusun dan mengurus pembelajaran al-Quran, fardhu ‘ain, aktiviti masjid. Aktiviti masyarakat, permasalahan setempat seperti pendidikan agama, ekonomi dan berbagai lagi. Banyak kampung yang tidak ada mereka yang pandai ilmu agama. Imamlah yang seharusnya mengambil tugas mengepalai hal-hal yang berkaitan dengan agama. Maaf. Saya cuba hindarkan hal-hal yang berkaitan dengan adat. Jangan bebankan imam dengan hal adat istiadat. Cukup dia menjalankan hal-hal yang berkaitan dengan agama dan masyarakat. Termasuklah sosio-budaya-ekonomi. Berapa banyak hal jenayah yang berlalu di kampung. Tentu ada penyelesaian agama. Jika semua orang lelaki ke masjid jenayah dapat dibateras. Mungkin mereka yang tidak ke masjid itulah penjenayahnya. Begitu juga dengan masasah munakahat (rumahtangga). Imam yang boleh menyelesaikannya.
Mari kita fikirkan semula orang yang namanya imam. Yang jawatannya imam. Yang tugasnya imam. Dia hendaklah memiliki kelayakan akademik yang menasabah. Ilmu agama yang menasabah. Menguasai pembacaan al-Quran. Fasih sebutannya, betul tajwidnya, bertenaga (power) suaranya, memiliki kewibawaan sebagai pemimpin dan berminat memimpin. Di samping itu dia perlu tahu hadith, sirah Rasulullah dan perjalanan Islam dari zaman awalnya hingga sekarang. Orangnya sensitif tantang agama. Berpandangan jauh. Sekiranya boleh diusahakan, imam hendaklah seorang yang hafiz. Hafal al-Quran. Elaun bulanan yang diterimanya seharusnya menjamin dia tidak ada masalah kewangan. Elaun imam + elaun seorang hafiz + mengajar al-Quran + elaun mengajar fardhu ‘ain. Saya kira elaunnya kira-kira RM800 (elaun imam dibayar oleh JAKIM)  + RM1,000  (elaun hafiz dibayar oleh kerajaan negeri) + RM500 (atau lebih elaun mengajar al-Quran) + RM800 (elaun mengajar fardhu ‘ain) = RM3,100. Banyak? Sekadar cukup. Imam tidak perlu kerja lain. Dia duduk di masjid sahaja. Makan dan minumnyn sudah disediakan. Tidak lagi perlu ke ladang sawit atau memandu lori atau menjaga kedai atau berniaga kecil-kecilan. Kita yang perlu memberi nilai jawatan imam itu. Selain daripada itu imam mengurus masjid. Mengurus aktiviti masjid. Menjadi hakim di kampung atau qariahnya.
Situasi sekarang bukan begitu kedudukannya. Ada ketidaselarian dalam menjalankan tugas yang berbagai. Di setiap masjid dan surau ditubuhkan jawatankuasanya masing-masing. Dalam keadaan tertentu aktiviti adat dan sosial lebih ditonjolkan berbanding aktivit agama. Aktiviti yang bebentuk adat melimpah ruah hadirin dan hadiratnya. Kuliah agama pula hanya dihadiri oleh beberapa kerat jemaah sahaja. Input perut pula lazimnya lebih banyak dari input minda. Input agama. Majlis berhimpun sebelum solat Maghrib. Selepas solat majlis makan. Selepas makan ramai yang pulang ke rumah dan tidak datang lagi hatta untuk solat Isya’. Jika ada ceramah audiennya sedikit. Jika ada halaqah audiennya menyusut.  Jadikanlah diri kita aktivis agama. Atau aktivitis masyarakat. Bagaimana keadaan ini perlu diperbetulkan. Kita perlukan imam yang berwibawa bukan jawatankuasa yang lebih kepada pentadbiran. Imam dan mudir sepatutnya adalah orang yang sama. Imam di atas. Orang lain membantunya. Jika ada orang berminat menjadi mudir masjid, tugas imam hendaklah diserahkan kepadanya.
Di Jordan sebagai contoh, imam berkhutbah Jumaat tanpa teks. Syarat dan rukun khutbah dipenuhi. Tetap ada dua bahagia khutbah. Yang menariknya ialah ayat-ayat al-Quran bermain di bibirnya. Hadith menunggu untuk diungkapkan. Kisah-kisah sahabat, tabi’ien, tabi’ tabi’ien dan ulama’ terdahulu sangat mudah keluar dari bibirnya. Cerita tentang Rasulullah bukan perkara sukar diingatnya. Sudah menjadi kebiasaannya untuk membaca dan mengingat hal-hal itu. Bila berkhutbah semuanya lancar meluncur keluar dari bibir imam yang juga pembaca khutbah. Sebab itu di Malaysia pembaca khutbah dipanggil khatib kerana pada suatu waktu dahulu imam itulah yang menulis teks khutbah. Penulis dalam bahasa Arab ialah khatib. Jika di Malaysia imam berkhutbah tanpa teks tetapi penuh dengan nas, hadith dan riwayat sahih alangkah baiknya. Rindu situasai begitu. Imam memang seharusnya berwibawa. Agen yang memberi kesegaran agama. Mengurus perubahan minda untuk beragama. Menjalankan aktiviti yang menarik minat semua golongan. Dari orang tua hingga kepada kanak-kanak. Barangkali itu antara cara mengembalikan peranan masjid seperti zaman Rasulullah dahulu. Seluruh aktiviti masyarakat dan agama berpusat di masjid. Disegerakkan dan berintegrasi bentuknya.