Monday, February 25, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Keajaiban Yang Tidak Ada Ukurannya

Kita selalu dihidangkan dengan keajaiban dunia dari kacamata Barat. Lebih dari kacamata British atau US. Nama atau tempat berikut mungkin sinonim kepada kita semua: Piramid (Mesir), Tembok Besar Negara Cina, Candi Borubudur (Indonesia), Niagara Falls (US-Canada), Taman Tergantung Babylon (Iraq), Taj Mahal (India) dan Menara Condong Pisa (Italy). Begitu barangkali yang disenaraikan oleh Guiness Book of Records.  Kenapa kita memperakuinya begitu kerana itu yag dihidangkan kepada kita. Menerima sahaja senarai itu tanpa kita memikir sejenak. Apakah signifikannya. Implikasinya.  Dalam senarai itu hanya Taj Mahal yang dikira asing. Ianya dibina oleh Shah Jahan untuk Mumtaznya. Cantik dan abadi. Kita teliti sedikit yang lain. Piramid bukan hanya ada di Mesir. Terdapat juga piramid di Mexico. Malah kononya orang Mayan meramalkan bahawa dunia kiamat pada Disember 2012.  Niagara Fallas bukan yang tercantik dan terhebat. Victoria Fallas yang terletak di Afrika sebenarnya lebih hebat dari Niagara Fallas. Malangnya airterjun tersebut diabaikan kerana ianya bukan di US atau Eropah. Kenapa Guiness. Rasanya tidak payah saya huraikan. Cuba kita lihat kembali senarai itu. Adakah kemungkinannya sesuatu yang tersirat. Menafikan hakikat. Yang fitrah dan mungkin yang mutlak.
Kita terima pandangan orang lain. Mereka mempunyai kepentingan. Kepentingan mereka. Kehebatan mereka. Bukan kehebatan yang hakiki.  Mari sama-sama kita telusuri senarai yang kita sendiri membuangnya. Tidak memikirkannya. Tidak mengulangnya sebagai sesuatu yang perlu untuk generasi kemudian lebih memahaminya lagi.
1        Masjid al-Haram di Makkah al-Mukarramah
2        Azan yang tidak pernah berhenti bersahut-sahutan sepanjang masa selama 24 jam sehari semalam.
3        Batu tergantung di Masjid al-Aqsa.
4        Air Zam-zam.
5        Makam Baqi’ di Madinah al-Munawarrah.
6        Angkasa dengan bintang, planet, galaksi dan segala ciptaan Allah yan tidak dapat dijangkau oleh fikiran manusia.
7        Dan banyak lagi.
Kita selalu disogokkan dengan tanda-tanda fizikal kehebatan manusia. Kita lupa tentang tanda-tanda  kebesaran Allah yang mengizinkan manusia mencipta kehebatan mereka. Tanpa izin Allah manusia tidak mampu untuk berbuat apapun. Walaupun sekecil-kecil barang. Tanda-tanda fizikal yang ditonjolkan menjadikan kita ta’ajub kepada kehebatan orang dahulu. Orang mereka. Orang yang memusuhi Rasul dan Nabi. Paradox jadinya apabila kita beriman pada satu ekstrim tetapi memperakui kehebatan manusia tanpa menyandarkannya kepada kehebatan Allah. Mari kita kembali meneliti senarai milik kita. Hak kita. Harta milik kita yang Allah anugerahkan kepada kita. Siapa berani meletakkan Masjid al-Haram lebih rendah dari kedudukan pertamanya. Tidka mungkin jika kita hakikatnya.
1        Di situ ada Kaabah. Kiblat seluruh umat Islam dari seluruh dunia.
2        Orang tawaf 24 jam setiap hari hingga hari Kiamat.
3        Di situ ada air Zam-Zam. Tidak pernah surut atau kering. Meminumnya barakah dan mendapat pahala. Mengenyangkan seperti makanan. Air yang paling bersih dan berkhasiat di dunia.
4        Tempat yang dibenarkan solat pada waktu terlarang seperti selepas solat Fardhu ‘Asar dan selepas Fardhu Subuh.
5        Tempat yang 24 jam terang benderang. Satu-satunya tempat yang paling bercahaya di atas muka bumi dilihat dari angkasa. Melalui kapal angkasa.
Bagaimana pula dengan azan. Laungan yang menghimpunkan umat Islam untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Azan ini berkumandang bersahut-sahutan tanpa henti. Setiap masa. Waktu solat bukan ikut waktu negara. Waktunya mengikut waktu tempatan. Ini bermakna sebelum sebuah masjid menamatkan azannya, masjid lain menyambut laungan azan itu. Bekeliling dunia tanpa henti. Ulamak menyatakan bahawa laungan azan oleh muazzin yang ikhlas didengar hingga ke langit. Malaikat yang berada di langit mendengarnya. Begitulah hebatnya Bilal yang sangat dikasihi Rasulullah. Dijanjikan syurga. Bunyi tapak kakinya di syurga didengar oleh Rasulullah. Apabila Rasulullah wafat, Bilal berpindah ke tempat lain. Sunyi Madinah dari laungan azannya. Setelah beberapa ketika ia rindu kembali ke Madinah. Apabila para sahabat mendengar azannya pada suatu subuh, mereka menangis secara spontan. Azan Bilal itu sinonim dengan kehadairan Rasulullah sewaktu hayatnya. Sangat kuat impak azan di hati manusia yang beriman. Azan itu membuka rasa rindukan Rasulullah. Makhluk teragung yang pernah Allah ciptakan.  Memberi rahmat ke seluruh alam.  
Israk dan Mi’raj diulang majlisnya setiap tahun. Mengingatkan kita tentang hadiah Allah. Solat lima waktu sehari semalam. Sebelum mi’raj tangga yang membawa Rasulullah untuk ke langit terletak di atas sebuah batu besar. Apabila tangga itu bergerak naik, batu itupun naik sama.  Rasulullah melarang batu itu untuk ikut sama. Yang diundang Allah ialah Rasulullah. Tidak makhluk yang lain. Terbatallah pergerakan batu itu. Tidak naik dan tidak turun. Berkedudukan condong seperti hendak terbang naik. Batu itu adalah bukti benar. Bukti yang hak. Satu antara mukjizat Rasulullah. Batu besar yang tergantung tanpa tali. Tanpa penyokong. Boleh lalu-lalang di bawahnya. Kedudukannya tidak berubah sejak mai’raj Rasulullah. Batu itu bukan dongeng. Bukan dibuat-buat. Malangnya ada orang Islam sendiri yang ragu-ragu akan cerita itu. Rasanya tiada siapa antara kita yang dapat menandingi Abu Bakar. Apabila ditanya adakah dia percaya akan israk dan mi’raj Rasulullah. Apabila orang Quraisy menganggap israk dan mi’raj itu karut. Abu Bakar dengan yakin sangat-sangat percaya. Malah katanya jika lebih tidak munasabah daripada itupun ia pasti percaya. Iman seorang Muslim. Yang dadanya melimpahkan iman. Yang seluruh jiwa dan raganya hanya untuk Islam. Untuk Allah dan RasulNya. Batu yang menjadi mukjizat Rasulullah itu tidak diiktiraf sebagai sesuatu yang hebat. Kita pula hanya berdiam diri tidak membuka minda mereka yang memusuhi Islam.
Makam Baqi’ di Madinah adalah permakaman yang wajib bagi mereka yang meninggal dunia di Madinah semasa mengerjakan haji. Itu yang pasti. Mungkin  juga bagi yang megerjakan umrah. Makam itu telah wujud sejak zaman Rasulullah. Hamzah, bapa saudara Rasulullah, yang syahid semasa Perang Uhud, dipindahkan ke Makam Baqi’ dalam keadaan darahnya masih mengalir.  Allah memberikan bukti bahawa mereka yanag syahid tidak mati jasadnya. Rohnya terus ke syurga. Kira-kira 10,000 syuhada’ dikebumikan di makam itu. Sesudah 1443H Makam Baqi’ tidak penuh-penuh. Masih ada ruang untuk jenazah-jenazah baru yang diredhai Allah dikebumikan di situ. Subhanallah! Sesiapa yang pernah ke Madinah tentu setuju apabila saya katakan bahawa makam itu tidaklah terlalu besar. Namun Allah memberi ruang yang perlu kepada sesiapa yang dikasihinya. Makam Baqi’ yang sangat istimewa. Roh-roh di situ sentiasa dalam peliharaan Allah. Jika dilihat dari  bangunan di sekeliling makam itu tiada siapa yang menyangka makam itu telah wujud lebih 1,400 tahun. Masih banyak ruang kosong menunggu mereka yang dijemput Allah untuk mengisi ruang-ruang itu. InsyaAllah.
Senarai kehebatan dalam Islam sangat banyak. Orang Islam sendiri tidak memikirkan signifikannya menyenarai kehebatan-kehebatan itu. Kita menganggapnya sebagai biasa.  Mungkin kita sendiri perlu membuka tingkap ta’jub kita sendiri. Maksud saya memberikan nilai yang tinggi terhadap kehebatan-kehebatan yang Allah anugerahkan kepada kita. Dengannya kita mendekatkan diri kita kepada Allah. Bukan kepada yang lain. Senarai itu panjang. Sama-sama kita gali. Senarai orang lain tidak meletakkan kehebatan Allah bersama senarai itu. Mereka hanya kagum dengan sesuatu tanpa nilai Islami. Tiada jiwa Islam. Tiada syiar Islam pada senarai mereka. Kenapa kita tidak beralih kepada sesuatu yang hak. Yang tiada tandingan. Yang tiada siapapun menidakkannya.

2 comments:

  1. salam pak cik. article ini sungguh bermakna buat saya. baca pulak dipagi hari sebelum memulakan tugas. Insyaallah akan saya serap ilmu yg dikongsi untuk menjadi muslimat yang lebih memahami islam, allah dan rasulnya. Jaga diri di sana semoga pakcik dan mak cik sentiasa sihat. Bila sihat dapatlah selalu berkongsi ilmu di sini.

    ReplyDelete
  2. wasalam. alhamdulillah. saya doakan semuanya dalam barakah Allah. insyaAllah.

    ReplyDelete