Dalam Falsafah Pendidikan kita, disenaraikan perkara-perkara penting yang dipertanggungjawabkan kepada guru untuk menjayakannya. Guru sebagai orang yang paling dekat dengan murid atau pelajar paling layak melaksanakan tugas itu. The person on the spot. Selalu disebut tentang pembinaan Jasmani yang sihat. Disertai pula dengan Emosi yang stabil. Manusia pula memiliki Rohani yang perlu diisi setiap masa. Satu lagi elemen yang dipercayai perlu difikirkan ialah Intelek. JERI. Empat elemen ini tidak mencukupi untuk membentuk seorang insan yang serba boleh dalam zamannya yang semakin mencabar ini. Maka ia perlukan elemen spiritual, sosial dan elemen-elemen lain yang berkaitan dengan kehidupan manusia sama ada untuk peribadinya atau untuk masyarakat sekelilingnya. Maka kita selalu bercakap tentang IQ (Intelligence Quotient), EQ (Emotional Quotient), SQ (Social Quotient), SpQ (Spiritual Quotient), RQ (Religious Quotient) dan banyak lagi Q yang diperlukan oleh seorang bakal warganegara. Andainya semua warganegara dilengkapkan dengan semua kecerdasan yang perlu, negara tentu menjadi negara yang dipenuhi oleh manusia yang bijaksana. Bijak mengendali diri seperti yang diharapkan. Menjadi warganegara yang berakhlak mulia. Menyumbang kepada kesejahteraan negara dan manusia.
Sekolah dan pendidikan sangat sinonim dalam sistem pendidikan kita. Sistem pendidikan ini dikendalikan hampir sepenuhnya oleh pemerintah. Ia menjadi alat kawalan dan pada masa yang sama memenuhi aspirasi negara. Memenuhi keperluan untuk membangunkan negara. Dari usia tiga hingga melebihi 20 tahun sistem persekolahan dikendalikan oleh pemerintah. Hanya beberapa peratus sahaja yang dikendalikan oleh pihak swasta. Walaupun jumlahnya semakin bertambah tetapi sistem pendidikan milik kerajaan jauh menguasainya. Bukan satu kementerian malah dua kementerian. Kementerian lain yang tradisinya bukan berteraskan pendidikan juga terlibat membangunkan sistem pendidikan dan latihannya sendiri. Sama ada persaingan ini sihat atau tidak bergantung kepada natijah keseluruhannya kepada negara. Bukan kepada individu. Mereka yang berkelayakan adalah sumber yang menjana kemajuan, pembangunan dan kelangsungan bernegara. Kementerian Kesihatan ada sekolah kejururawatannya sendiri. Begitu juga dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Sains dan Teknologi.
Sekolah dan agama barangkali bukan sesuatu yang asing kepada kita. Semakin banyak sekolah yang berterasakan agama dibina semakin melimpah ruah permintaannya. Ramai ibu bapa mendapati anak-anak lulusan sekolah agama yang lebih mudah dibentuk. Akhlaknya lebih boleh dikawal. Kelulusan mereka juga cemerlang dari segi akademik. Ramai antara kita mungkin tidak pernah memikirkan bahawa matapelajaran di semua jenis sekolah selalunya kosong dan kering. Maksud saya sistem kita, mengajar teori. Ekperimen di makmal tidak memberikan sentuhan hidup kepada pelajar. Mereka tenggelam dengan buku dan ujikaji. Realiti kehidupan tidak dapat disegerakkan untuk mengimbangi ketidaktahuan pelajar. Mereka tahu teori tetapi tidak memahami realiti. Atau apabila berhadapan dengan situasi sebenar mereka tenggelam punca. Tidak tahu prosedur dan tidak tahu menyelesaikan permasalahan yang kecil. Apatah lagi yang besar. sekolah hanya untuk lulus peperiksaan yang dipaksakan kepada mereka. Ramai orang yang kita kata pandai tetapi fikirannya mengikut buku sahaja. Kreativiti atau innovasi mungkin tidak mencapai tahap yang diperlukan.
Pendidikan jasmani adalah antara bukti yang cukup relevan. Semua pelajar dilatih dengan pendidkan jasmani sejak dari tadika hinggalah ke tingkatan lima. Selama 15 tahun mereka dididik untuk menjaga jasmani. Untuk menjaga kesihatan diri sendiri. Malangnya apabila mereka keluar dari sekolah semuanya ditinggalkan di sekolah. Amalan pendidikan jasmani tidak dibawa dalam kehidupan. Tidak menjadi budaya kesihatan. Akibatnya ramai warganegara yang perlukan nasihat kesihatan. Perlukan kaunseling. Banyak pula program kesihatan anjuran kerajaan atau badan bukan kerajaan. Diadakan program senaman di waktu petang dan hujung minggu. Tidak ramai yang menjadikan ilmu yang dipelajari di sekolah menjadi amalan hidup sihat. Ramai orang kita yang obes. Itu belum yang mengalami gangguan kesihatan yang fatal. Mungkin sistem pendidikan kita perlu dilihat semula. Falsafah pendidikan yang sedia ada belum cukup untuk membendung gejala sosial di kalangan remaja. Malah kadang-kadang gejala sosial mendominasi kalangan orang dewasa yang diharapkan menjadi contoh teladan. Di mana silapnya sukar dikenalpasti. Yang pasti kecacatan berlaku dalam masyarakat. Lulusan sekolah kita tidak seperti yang diharapkan. Tidak seperti yang disekolahkan.
Pendidikan kokurikulum merupakan suatu alternatif dalam membantu memenuhi sistem kurikulum akademik. Berbagai aktiviti sukan, pasukan beruniform dan kelab yang disediakan kepada pelajar rasanya hanya memenuhi keperluan negara, keperluan kementerian, keperluan jabatan pendidikan negeri, keperluan pejabat pendidikan daerah dan keperluan sekolah. Rasanya tidak ada kurikulum yang dibuka mengikut keperluan pelajar. Sebab itu semua pelajar dibangunkan mengikut acuan orang dewasa. Bukan mengikut potensi sebenar seorang pelajar. Kelainan-kelainan yang ada pada diri pelajar tidak diambilkira. Diabaikan kerana dianggap tidak penting. Tidak relevan kepada guru dan sekolah. Cuba tuan dan puan lihat anak-anak sendiri. Mereka dibentuk mengikut acuan kita. Mengikut acuan negara. Yang kita lihat ialah anak-anak yang stereotaip. Yang sama sahaja cara berfikirnya. Tingkahlakunya. Cita-citanya. Harapannya. Semuanya dididik supaya sama. Supaya senang diurus. Barangkali ini adalah suatu kesilapan besar yang akan kita tanggung pada suatu masa hadapan nanti. Kita harus juga membina warganegara yang memiliki kelainan. Suatu masa nanti orang ingin melihat apa kelainan yang ada pada kita bukan apa yang sama pada semua orang. Pada semua negara. Kita akan kecewa apabila kita kehilangan faktor kelebihan. Advantage factor. Negara seperti US memiliki faktor ini. Mereka sanggup membiayai apa sahaja penyelidikan yang berlainan dari kebiasaan.
Mari kita lihat kembali matapelajaran pendidikan agama di sekolah-sekolah. Apabila matapelajaran ini tidak banyak berubah dari dulu sistem penyamaiannya maka kita dapati peratusan yang taatkan agama seperti semakin menurun. Ramai anak muda yang tidak tahu agama. Tidak mengamalkan agama. Agama menjadi asing kepada mereka. Asas agama ialah al-Quran. Masalah besar dalam hal ini. Orang takut mempelajari al-Quran. Takut salah baca. Persepsi yang tunggang terbalik. Apabila kita tahu kita tidak berapa pandai membaca al-Quran kita wajib belajar untuk membetulkannya. Wajib mencari guru untuk membantu. Lari dari takut salah baca tentulah dikira berdosa. Menjauhkan diri dari agama. Solat pula tidak istiqamah. Puasa tidak dihayati. Zakat, sedekah dan derma bukan lagi amalan pemurah. Ibadat haji tentulah sesuatu yang terlalu asing. Tidak semua orang menunaikan haji. Sekarang pula giliran menunggu berpuluh tahun. Sekiranya, sekiranya teknologi didatangkan ke selolah mungkin pelajaran agama menjadi lebih segar. Di setiap sekolah ada ruang yang meletkkan replika Masjid al-Haram dan Masjid Nabawiy. Dari pelajaran ibadat haji dan umrah itulah diterapkan semua jenis pendidikan agama.
Riadah kita hanya fizikal. Menekankan jasmaniah. Kita tidak gabungkan rohaniah dan emosi dalam konteks riadah. Riadah agama perlu difikirkan sebagai alternatif kepada sistem penyampaian matapelajaran agama yang sedia ada sekarang. Ibadat perlu lebih banyak praktikalnya. Lebih banyak aktiviti fizikalnya. Teori digabungkan dengan amali. Teori sahaja terlalu tradisi. Di sekolah perlu ada persekitaran agama. Bacaan al-Quran melintasi seluruh kawasan sekolah. Bunyinya perlahan sekadar memenuhi suasana. Biar ada ketenangan. Pada waktu solat ada guru atau ustaz atau ustazah yang bersama beribadat. Solat berjemaah. Ada kelas al-Quran atau hadith. Beri ruang kepada pelajar membuat kajian. Mencari sumber agama. Bentangkan kepada kelas. Buat aktiviti agama yang praktikal. Segerakkan aktiviti dengan ibu bapa. Bersama Persatuan Ibu Bapa Guru. Saya percaya banyak permasalahan di sekolah yang akan dapat disurutkan. Ketenangan akan dapat dicapai. Anak-anak soleh dan solehah dapat dilahirkan. Impian saya untuk generasi ulul albab. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment