Guru baru, hari baru, kerjaya baru, semangat baru. Sesuatu yang baru tentulah mengharukan. Itu belum lagi merobohkan benteng-benteng ketahanan air mata yang selalu cepat menderas keluar. Rasanya semua orang maklum pertama kali menerima tugas tentu payah hendak diceritakan. Gundahnya hati tidak dapat dicatatkan dengan tulisan. Tiada kalimah yang setara. Tiada ayat yang memenuhi maknanya. Akhirnya mungkin tiada sendu yang meredakan gelisah rawan yang meredam hati. Jauh atau dekat hanyalah jarak perjalanan. Hanya jarak masa. Jauh tetap jauh walaupun hanya beberapa jam perjalanan. Entahlah setelah berpisah dengan keluarga dalam jangkawaktu yang lama rasa ingin damai di bawah ketiak ibu masih panas membara. Rasa dekat dengan keluarga masih senak di perut. Rasa memijak setiap ruang rumah masih dirindui. Apatah lagi setelah berkelana jauh di IPT di negeri orang. Empat atau enam tahun yang terasa singkat tidak sama dengan anjakan dan tarikan untuk melepas daerah sendiri. Untuk merantau semula.
Barangkali ramai yang maklum. Masa inilah yang sukar menentukan masa hadapan. Anak-anak muda yang usianya baru melepasi usia 20an mencuba sayap baru untuk diterbangkan. Ada yang bakal terbang jauh. Ada yang bakal terbang dekat. Semuanya seperti direntap keluar dari rumah untuk pindah ke rumah lain. Ke daerah lain. Ke negeri lain. Rasanya persediaan telah diberikan secukupnya. Apabila bersekolah di asrama dahulu bermakna langkah jauh itu telah diatur. Apabila ke matrikulasi atau tingkatan enam atau ke institusi selepas SPM maka langkah yang lebih jauh sudah diatur. Bukan diri yang mengatur. Allah telah menyusun penempatan diri yang sewajarnya. Ada manfaat yang Allah aturkan supaya khidmat diri mencambah merata. Supaya khidmat diri menjana manfaat yang besar dan gah. Supaya sumbangan yang ditabur bukan sahaja untuk waktu yang singkat. Bahkan ianya berpanjangan. Bersamanya akan dibawa pengalaman. Himpunan input-input baru yang mencanai minda.
Memanglah hajat hati ingin bertugas kembali ke rumah setiap hari. Bertugas di institusi di sebelah rumah. Di kampung sendiri. Di pekan sendiri. Di bandar sendiri. Kembalilah kepada realiti. Yang dekat itu tidak ada. Yang dekat untuk orang jauh. Yang jauh untuk diri sendiri. Terbanglah merantau menimba pengalaman untuk mengisi kekosongan yang banyak belum diisi. Setelah sarat dengan pengalaman nanti berjinak-jinak kembali mendekat. Bila kembali dekat sudah sarat membawa segala ramuan dan resepi menjadi petugas negara yang ampuh. Yang mantap. Yang berwibawa. Yang tinggi akal budinya payah disaingi. Ketika itu kembalilah ke pangkuan persekitaran yang dekat. Membawa dari luar segala yang segar dan baru. Jika tidak pernah keluar takut hanya kejumudan yang melanda diri. Tidak ada kelebihan yang istimewa. Tidak ada kelainan yang boleh ditimba oleh orang lain. Seorang guru yang baik hendaklah boleh digurui. Pada dirinya banyak yang boleh dikongsi. Bukan setakat dilihat sahaja. Kehadirannya membahagiakan. Ajarannya melapangkan fikiran. Hujjahnya membetulkan kesilapan. Kaunselingnya melegakan. Motivasinya menyegarkan minda dan perasaan.
Banyak yang ingin saya bantu untuk membangunkan minda. Seorang guru baru banyak langkahnya yang belum teratur. Bimbingan rasanya sudah tidak ada lagi. Apabila keluar dari IPT semuanya terserah kepada diri. Pintu banyak untuk dipilih. Jalan banyak untuk disusuri. Persinggahan banyak untuk mencabar diri. Yang mana satu pilihan. Keluar dari rumah pula membawa pesanan-pesanan dari ayah dan ibu yang selalu terngiang-ngiang. Tidur malam entah mimpi apa yang sukar diingat. Ramai yang kecewa apabila ditugaskan jauh. Kenapa tidak yang berdekatan. Saya katakan begini. Siapa yang mengatur diri kita. Yang menentukan di mana kita berada sama ada sekarang, akan datang dan pada masa-masa yang tidak kita ketahui. Allah yang merencanakan di mana kita berada. Di mana kita bertugas. Di mana kita berumahtangga. Di mana kita tua nanti. Di mana ajal kita. Tiada siapa tahu di mana kuburan kita. Allah menentukan segala-galanya. Allah yang megatur yang terbaik untuk kita. Dengan izinNya kita mendapat apa yang ada. Berada di tempat yang terpilih. Andainya kita dapat menyorot ketentuan Allah ini kita akan maklum bahawasanya Allah memberikan kita anugerah yang sangat teristimewa. Apa yang kita ada tidak ada pada orang lain dan begitulah sebaliknya. Redha dan memaklumi anugerah Allah pastikan meredakan segala gejolak hati. Redha hingga melegakan segala kepayahan untuk bernafas.
Wasalam. Jawab saya. Sayang kena timbang atas bawah, depan belakang. Kalau hendak kerja cepat inilah peluangnya. Walaupun pegi jauh akhirnya nanti boleh minta balik ke Semenanjung. Minta balik ke kampung. Sabah, Sarawak, Ulu Kelantan, Pengerang atau di Langkawi semuanya di Malaysia. Tempat yang menanti khidmat. Jika menolak tawaran ini nama sayang akan disenaraihitam. Orang di kementerian akan sentiasa ingat nama sayang sebagai orang yang pernah menolak. Kalau mereka lupa alhamdulillah. Sayang boleh terus dengan helah untuk menolak. Mungkin menyambung pelajaran. Atau mencari kerja lain sementara dapat mengelak arahan. Tetapi kerja tetap yang sayang inginkan perlu difikirkan selepas tamat masanya berfikir panjang. Kalau hati sayang sudah bulat membuat pilihan, terserah pada sayang untuk membuat keputusan. Sayang mesti berani memprtahankannya. Sanggup pula menghadapi cabaran yang bakal mendatang tetapi tidak ada kepastiannya. Apa-apa keputusan yang sayang buat saya doakan yang terbaik. Semoga Allah merestuainya. Saya menyokong. Yang penting pilihan yang sayang buat adalah yang terbaik untuk sayang. Pergilah jika itu yang terbaik. Tinggallah jika itu juga adalah yang terbaik.
Walau apapun posting adalah cabaran pertama seorang guru terlatih. Semangat juang yang mesti tinggi. Sekarang sayang bukan lagi milik abah dan emak. Bukan milik keluarga. Bukan milik orang-orang yang menyanyangi sayang. Sekarang sayang sudah jadi milik negara. Kerana itu negara diletak di hadapan. Negara yang telah memberikan yang terbaik untuk sayang. Keluarga tetap di hati tetapi harus ditinggalkan untuk sementara waktu. Khidmat negara disempurnakan sambil sayang mengelek keluarga. Jika tidak negara kehilangan seorang bintang yang bakal menyinar pada masa hadapan. Kehilangan sumber kekuatan untuk membangkitkan semangat juang anak bangsa yang haus dahaga untuk membangun. Terbitkan sinar itu supaya ramai yang mendapat limpahannya. Saya segar menerima redha sayang. InsyaAllah.... Saya akan cuba bekerja dengan hati yang ikhlas....supaya saya dapat manfaat. Pelajar pun dapat manfaat yang sama. Watanmu menunggu dengan penuh tangan terbuka. Datanglah sayang. Taburkan benih baktimu. Nanti akan dituai zaman sebagai natijah kejayaan gemilang.
Langkah pertama ini adalah langkah panjang. Langkah yang semakin jauh dari keluarga. Kerjaya bukan penamat perencanaan hidup. Banyak langkah lain yang menuruti nanti. Rumahtanga menunggu masa dan hari. Cukup bulan dan tahunnya akan nanti berijab qabul. Tinggallah lagi harapan yang sukar untuk kembali ke tempat pilihan. Bukan juga pilihan pasangan. Kerjaya yang berkembang tidak juga menentukan di mana destinsi sudahnya. Selagi tugas diminta negara selagi itulah langkah perlu diatur. Di mana akhirnya tidak diketahui. Yang pentingnya ialah tugas dilaksanakan. Bakti ditabur. Semangat juang menyala dan menjulang. Langkahlah dengan kaki kanan. Dalam perjalanan nanti akan dititip dan dikutip mutiara khidmat yang santai dan bergemerlapan. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment