Monday, December 3, 2012

Counterparts


 
Rasanya usianya jauh lebih tua dari saya. Biasalah orang putih bertubuh besar. Tetapi ketinggiannya tidaklah terlalu berbeza dengannya. Nampak biasa sahaja. Banyak tempat yang kami kunjungi bersama. Dia maklum ke mana tempat yang sesuai. Ed orang baik. Sepanjang tiga bulan dia tidak mengumpat. Tidak mengajak ke tempat maksiat. Dia juga tidak berbuat maksiat. Bangunan di belakang sebenarnya sebuah tempat makan. Selepas kami makan kam rakamkan gambar ini. Di sebuah padang yang luas. Lanskap di Barat yang biasa. Rerumput menghijau. Sedikit kekuningan di hujung Fall. Masih September. Di hujung Oktober suhu sudah jauh menurun. Sejuk di hujung kuku.
 
Di Toronto saya diregukan dengan Datuk Zakaria. Bergerak bersama. Aktiviti yang sama. Destinasi yang sama. Bertemu dengan orang yang serupa. Banyak baiknya sistem regu. Pertama, tidak takut. Kedua, ada pembantu. Ketiga, masalah dikongsi bersama. Keempat, boleh merancang bersama. Seneca College of Applied Technology menyediakan seorang counterpart yang bernama Edward Chop. Saya panggil dia Ed. Dah berumur juga. Orangnya baik. Pemurah. Ada sebuah kedai di Toronto yang dinamakan Crazy Ed. Selalu juga saya bergurau dengannya. Bila saya sebut namanya dia menyambung not Crazy Ed. Banyak juga saya belajar darinya.
Suatu hari saya katakan kepadanya bahawa gadis Canada cantik-cantik. They’re pretty. Dia tidak setuju. “Nah.” Bermaksud no. Pengalamannya barangkali. Gadis Barat menurutnya adalah kasar. Rough. Saya biasa bersama orang Barat. Dalam filem, video, gambar dan mungkin internet mereka nampak jelita. Cun melecun. Tunggu sekejap. Manusia tidak boleh dilihat hanya dari jauh. Kebanyakan orang Barat adalah bak bunga dedap. Maaf, pendapat peribadi saya. Cantik dari jauh. Bila didekati banyak cacat celanya pada persepsi kita orang Asia. Pada mereka itulah kecantikan yang mereka ada. Kenataan mereka begitu. Pada kita sahaja persepsinya berlainan.
Kasar tentulah subjektif. Kata-kata Ed memberikan saya ruang untuk memerhati. Melihat di sebalik panadangan mata. Deria tambahan saya memanipulasi keadaan. Kasar pertama ialah kulit mereka. Kulit orang Barat cantik di bahagian muka. Pandanglah lengan mereka. Tengkuk mereka. Ada kontras antara kulit muka dengan kulit di bahagian lain. Pigmen kulit nampak putih. Mereka suka basking pada musim summer. Berjemur di bawah terik matahari. Kita lari dari pancaran cahaya matahari. Berpayung di tengahari. Orang Barat panas pada musim summer sahaja. Pada musim lain cahaya matahari tidak panas. Jika kulit mereka nampak terbakar mereka sangat gembira. Selepas beberapa ketika kulit mereka mengelupas. Bersalin kulit. Kulit yang baru nampak halus pada mereka.
Tidak boleh lawan orang Asia. Bangsa apapun kulitnya halus mulus. Iklim membentuk kulit kita begitu. Warisan kulit kita begitu. Keturunan Yapith anak Nabi Nuh selepas banjir besar. Kulit orang Barat nampak kasar kerana iklim dan cuaca. Kerana suhu. Kerana sejuk dan panasnya berbeza. Walaupun winter sangatlah sejuknya, mereka yang berada dalam lingkungan itu merasakan biasa sahaja. Kadang-kadang mereka santai memakai baju biasa sahaja. Tanpa baju tebal yang berlapis-lapis. Satu hal yang sangat berbeza ialah kulit mereka banyak jeragat atau tompok hitam. Bila mereka buka baju baru nampak sangat. Saya lihat yang lelaki bukan wanitanya. Oleh kerana yang wanitanya suka memakai pakaian tidak cukup kain maka terlihat juga pada lengan, kaki atau mungkin telinga dan tengkuk mereka.
Mungkin ramai tidak percaya. Orang Barat jarang mandi. Mereka tidak ada konsep mandi wajib. Mandi sunat. Mandi rutin seperti kita. Pagi mandi. Tengahari mandi. Petang mandi. Panas mandi. Berpeluh mandi. Orang Barat tidak begitu. Sewaktu musim summer mungkin mereka banyak mandi. Musim lain jarang-jarang. Sewaktu winter mungkin selama berbulan-bulan mereka tidak mandi. Boleh bayang daki yang melekat di kulit dan tubuh badan mereka. Bertempek-tempek. Oleh kerana udara di sana kering mereka tidak merasa rimas dengan diri mereka. Kita yang melihatnya geli geleman. Di Malaysia orang hilang akal sahaja yang tidak mandi. Tidak membersihkan tubuh badan. Sebab itu sabun wangi di Malaysia berbagai jenama. Berbagai jenis. Tidak cukup yang berbuku banyak pula yang berbentuk gel. Bermacam-macam wangian.
Mana ada budi bahasa di kalangan orang Barat. Mereka selalu direct to the point. Yang penting mereka dapat apa yang mereka mahu. Ketika mereka bercakap itulah pada pandangan kita mereka agak kasar. Kasar suara. Kasar intonasi suara. Kasar sewaktu mengungkapkan kata-kata. Mungkin suara mereka menjadi lunak ketika bercinta dan berasmara dana. Saya tidak pasti. Tanyalah kepada mereka yang berpengalaman. Budaya menjadikan mereka begitu. Mereka tidak ada masa untuk berlenggang lenggok dalam berbahasa. Begitu iklim membentuk budaya mereka. Kemajuan mereka sangat pantas kerana budaya segera yang ada pada mereka. Wanita Barat bila berjalan seolah-olah menghentakkan kaki mereka. Dari jauh sudah didengar hentakan kaki itu. Pada bangunan yang bertingkat-tingkat hentakkan kaki mereka boleh didengar dari tingkat yang lain. Jalan mereka panats. Yakin. Robust. Nampak kasar pada kita. Gaya mereka. Hentakan itu didengar sangat kuat kerana tubuh badan mereka yang besar dan tinggi. Tentulah berat badan mereka jauh melebihi saiz kita yang rata-rata lebih kecil.
Lihatlah muzik mereka. Dengar kasarnya. Muzik klasik mereka kadang-kadang berbunyi kasar. Mengejut-ngejut. Naik turunnya yang pantas. Dengarkan lagu klasik  Beethoven yang bertajuk Concerto In Five. Permulaannya kasar. Pergerakannya laju. Di tengah nampak gemalainya. Di hujung kasar balik. Lagu Melayu alahai. Gemalainya yang melebih-lebih. Begitulah gambaran budaya dan kehidupan kita. Lambat dan lemah. Santai dan tiada menyegerakan. Akhirnya bangsa kita turut mewarisi kelemahan itu. Kelembutan yang diterjemahkan menjadi lambat. Tertinggal di belakang. Mengekori ketua yang juga lambat. Banyak berkeliling dengan kata-kata dan gerak-gerak yang melambatkan. Kecergasannya tiada. Kesegeraannya hilang dalam lenggok gemalai yang memikat hati dan peraasaan tetapi tidak membangkitkan semangat besar menggapai yang tinggi. Yang besar. Yang gah di mata dunia.
Edward Chop memberikan idea untuk saya meninjau kembali pandangan saya terhadap orang Barat. Setelah kemabli ke Malaysia ada juga saya hubunginya melalui poskad. Dia juga menghubungi saya. Apabila masa berlalu saya terputus hubungan. Biasalah begitu. Kita ingat tetapi gagal berhubungan. Kali terakhir saya menghubunginya selepas Soviet Russia berpecah menjadi berbagai negara. Gobarchov gagal mengikat sebuah negara yang besar. Selepas Perang Dunia II banyak negara yang menganggotai Soviet Russia. Pada awal tahun 1990an negara besar itu berpecah. Sekarang kita dengar negara-negara seperti Ukraine, Georgia, Kargystan dan banyak lagi. Kerja Allah. Bersatu dan berpisah adalah mainan masa yang ditentukan Allah. Ingatan saya kepada Edward Chop sebagai counterpart  saya di Canada masih. Sesudah 22 tahun rasanya dia sudah tiada. Gambar dan ingatan sahaja yang tinggal.
 
 
Sudah lama saya tidak berhubungan dengan Datuk Zakaria. Sudah bersara. Masih menetap di Ipoh. Gambar-gambar bersamanya saya ulang melihatnya. Megimbas kembali masa yang berlalu. Laluan hidup yang selalu kita tinggalkan. Jika tidak menoleh ke belakang takut-takut lupa dari mana kita datang. Di mana kita telah berada. Sekurang-kurangnya kita tahu siapa kita sekarang. Di mana kita berjejak. Ke mana pula arah yang belum dituju.

Sunday, December 2, 2012

Makan Di Luar Rumah: Impak Sampingannya


Makanlah selagi larat. Selagi belum kenyang. Selagi selera memuncak. Selagi kecur air liur. Selagi masa mengizinkan. Kita makan dari pagi hingga ke pagi esoknya. Manusia belajar menjadualkan waktu mereka makan. Kita dapati ada keselarian antara agama. Antara bangsa. Antara negara. Antara budaya. Kita sarapan waktu pagi. Minum pagi antara sarapan dan makan tengahari. Makan tengahari sewaktu rehat antara waktu kerja. Minum petang. Makan malam. Ada sedikit variasi antara bangsa-bangsa di dunia. Ia melibatkan kuantiti dan kualiti. Pengaruh iklim, suhu dan kelembapan udara. Keperluan hidup yang berbeza. Barangkali kita boleh belajar dari bangsa-bangsa yang bertamadun. Bangsa yang pada persepsi kita lebih maju. Lebih terkehadapan berbanding kita. Mengambil yang baik asalkan tidak menyalahi syara’.

Orang putih tidak makan nasi. Orang Afrika juga tidak makan nasi. Orang Amerika Selatan tidak juga makan nasi.  Antara mereka orang putih lebih maju. Makanan bukan penentu hakiki kemajuan mereka. Orang Asia semuanya makan nasi. Tetapi kita dapati orang Jepun, Korea dan Cina mungkin lebih maju berbanding dengan yang lain. Selepas Perang Dunia II orang Jepun mengubah pemakanan mereka. Nasi bukan lagi yang paling utama. Mereka makan daging dan minum susu. Susi mereka menebar ke seluruh dunia. Digilai dan ditagih di mana-mana. Saiz mereka bertambah besar. Keupayaan minda mereka juga bertambah. Kreativiti dan innovasi mereka menyerlah dalam produk-produk mereka. Lihatlah Toshiba dengan kecanggihannya. Toyota dengan kenderaannya. Berbagai-bagai produk yang tinggi kualitinya. Tolehlah ke Korea. Samsung ada di mana-mana. Menyaingi apa sahaja yang dibuat orang putih.

Diet atau pemakanan pastinya ada kaitan dengan  ketamadunan yang dibina bangsa. Orang keturunan Sam. Anak Nabi Nuh yang merentas dari India, ke Timur Tengah dan akhirnya ke Barat mempunyai ciri yang makan bergantung sangat kepada nasi. Mereka bergantung kepada gandum, daging dan susu. Tubuh badan mereka besar dan tinggi. Iklim barangkali mempengaruhi pencapaian lain. Orang Barat lebih maju kerana mereka lebih menekuni periuk nasi mereka dengan memba kerja, membuat penyelidikan dan sentiasa ingin berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding dengan orang lain. Fall, winter dan spring adalah musim-musim mereka bekerja. Musim summer barulah mereka berehat, berhibur, bersantai-santaian.mereka yang berada di bawah iklim panas didapati kecundang dengan kepanasan. Maka pendingin hawa dicipta untuk menyelesaikan isu panas. Mungkin jalan penyelesaian semasa yang diperakui berhasil. Di bawah suhu yang terkawal manusia menjadi lebih produktif. Wallahu ‘alam.

Banyak yang boleh diperkatakan tentang makanan. Sarapan kita menunya tidak banyak berubah dari dahulu hingga sekarang. Nasi lemak, bihun goreng, mi goreng, lontong, soto, mi rebus, nasi putih,nasi kerabu, nasi dagang,  roti canai dan kuih muih. Kabohidrat memanjang. Masa sarapan pula banyak variasi. Ada yang awal dan ada  yang lewat. Malah ramai yang tidak sarapan. Terus sahaja makan tengahari.  Minum pagi kadang-kadang adalah waktu sarapan yang sebenarnya. Sarapan yang sewajarnya sebelum memulakan kerja diambil pada waktu kerja. Dua dalam satu. Sarapan dan minum pagi. Makan tengahari selalunya nasi sebanyak-banyaknya. Lauk dan sayur menggunung. Waktunya banyak variasi. Ada yang seawal pukul 11.00 pagi. Selepas pukul dua masih ada yang makan. Kerja? Jadualnya tidak menentu. Seksa pelanggan menunggu.

Kita sarapan sangat sedikit. Seperti tidak kenyang. Tidak biasa makan awal pagi. Kesilapan  besar. Dari segi pemakanan sarapan harus yang utama. Kenyangkan perut. Bekalan tenaga hingga petang. Makan tengahari kurang kuantitnya berbanding sarapan. Kualitinya yang lebih tinggi. Makan petang bagi bangsa yang maju ialah sebelum solat Maghrib. Selepas maghrib mereka masih bertahan. Tenaga masih banyak. Segar. Orang Melayu khsusunya sarapannya berat tetapi banyak kaerbohidrat. Lepas sarapan sudah terasa mengantuk. Tengahari karbohidrat lagi. Makan berpinggan-pinggan. Lepas makan mengantuk lagi. Makan malam kita selepas Isya’. Lepas makan memang mengantuk. Bila masanya kita menjadi manusia produktif. Inovatif. kreatif. Tenaga kita hilang selepas makan.  Bukan bertambah. Jadual makan kita menyalahi keperluan metabolism tubuh badan kita. Di kampung pula kenduri tahlil selepas waktu Isya’. Makan pukul 11.00. aduhai.

Agaknya baik jika kita membuat banyak perubahan tentang tabiat makan. Menunya yang memberi tenaga. Sarapan dengan roti, susu (bukan teh atau kopi atau nescafe atau horlik atau milo). Telur dan kentang. Jus dan buah. Tengahari dengan jus. Sandwich. Buah. Petang makan yang ringan-ringan. Sedikit dengan jus dan buah. Kuih barangkali. Atau sayur. Elak minyak. Elak lemak. Elak yang banyak membawa penyakit. Bila kita masak di rumah, kita yang menetukannya. Belajar dari piramid makanan. Pilih dan utakmakan yang berkhasiat berbanding dengan yang sedap. Sedap tetapi banyak mudaratnya.

Bukankah makan di luar banyak negatifnya. Waktu kita makan, rumah kita terdedah kselamatannya. Ketika itulah banyak orang memecah masuk. Apatah lagi jika rutin kita makan di luar dengan jadual yang tetap. Orang memerhati pergerakan kita. Itu belum lagi ancaman keselamatan jalanraya. Pastikan, bila meletak kereta hrndaklah bersebelahan dengan tempat makan. Jangan melintas jalan. Anak-anak dalam bahaya. Mereka tiada pertimbangan kewarasan untuk melintas dengan selamat. Ibu bapa yang menetukan keselamatan mereka. Buatlah penyelidikan. Selamatkah kedai makan yang dikunjungi itu. Persekitarannya. Penyediaan makanannya. Selalu beringat dengan halal, suci, bersih dan manfaat makanan itu. Bukan sedap dan bukan harganya murah. bukan juga kerana disukai orang lain.

Berapa banyak waktu terbuang hanya kerana makan di luar. Persiapan berpakaian. Perjalanan pergi dan balik. Masa membuat pesanan. Waktu makan yang tidak perlu tergopoh gapah. Menu yang penuh minyak. Perasa makanan. Tambahan-tambahan perasa yang baik entah tidak. Semasa di kedai atau diwarung ahli keluarga ramai yang tidak berkomunikasi. Selepas menyebut makanan yang diingini masing-masing kembali dengan hal peribadi. Bapa bertelefon dengan rakannya. Si ibu berceloteh entah apa menggunakan telefon. Ada anak lelaki sibuk sms. Yang perempuan mendengar lagu. Yang lain mengoyang badan melayani muzik yang melekat di telinga. Makan di luar bukan quality time. Dari segi psikologi ianya a waste of time.

Jika satu keluarga memasak di rumah rasanya masa yang diambil lebih pantas. Makannya bersama. Keakraban antara ahli keluarga dipupuk sepanjang masa.  Tetapi semuanya hendaklah dimulakan sewaktu baru mula berumahtangga. Anak-anak dilatih sejak dari kecil lagi. Membantu apa yang boleh. Setakat mengambil sayur di peti ais bukan membebankan anak=anak yang kecil. Belajar menghindar makan di luar. Banyak menjimatkan dari segi kos, masa dan tenaga. Di rumah suasana boleh dicipta. Ibu yang menjadi raja dapur kenalah bijak menghias dapur. Makanan dihias berwarna warni. Menunya ditukar mengikut jadual. Perkenal menu baru dari masa ke semasa. Tidak perlu kursus profesional. Pelbagaikan bahan memasak sudah cukup memberi impak yang berbeza. Cubalah. Air tangan ibu penambat kasih suami dan anak-anak.

Satu hal yang saya pelajari dari arwah nenek dan ibu saya ialah memasak mestilah ada sifat tulus dan ikhlas.  Memasak itu dijiwai. Arwah nenek saya memasak nasi menggunakan air gambut yang merah. Bila dimakan sedapnya tidak terkira. Garam, asam, gula, cuka atau kicap bukan ada sukatan. Bubuh secukup rasa. Secukup warna. Main campak-campak sahaja. Enaknya menambah selera. Semua yang ada di sekeliling kita hendaklah diharmonikan. Kita menjadi kondukturnya. Maknanya kitalah yang memainkan peranan itu. Olahan pada kita. Garapan pada kita. Natijahnya pada kita. Enak makanan itu dari dalam. Memasak bukan susah. Banyak hal lain yang lebih susah. Untuk perut sendiri apa salahnya mengambil sedikit usaha. InsyaAllah banyak manfaatnya.

Thursday, November 29, 2012

Kari Kepala Ikan di Toronto


Sewaktu di USA dahulu jarang saya melihat kepala ikan. Bila kita beli ikan penjual akan bertanya heads on or off. Orang putih pasti jawab off. Ikan disiang bersih tanpa kepala dan tanpa tulang. Yang dibawa balik ialah daging putih ikan. Terus boleh dimasak apa sahaja. Disimpan senang. Tidak perlu kerja tambahan untuk menyiang dan memotongnya. Kerja jadi ringkas. Hidup menjadi senang. Beli dalam keadaan siap sempurna untuk dimasak sahaja. Orang Malaysia pula suka heads on. Beli, bawa balik, siang hanya buang sisi perutnya sahaja. Ada ketidaksesuaian sebenarnya. Di US kita tidak boleh membuang sampah kecuali pada hari yang ditetapkan sahaja. Hari itu pula ditetapkan sehari dalam seminggu. Jika jadualnya hanya pagi Isnin maka pagi Isnin itulah masanya membuang sampah. Namun begitu sampah boleh dibuang pada Ahad malam. Sebelum pagi Isnin. Bayangkan isi perut ikan selama seminggu. Mana boleh tahan hidung disumbat bau ikan busuk. Sebab itu orang putih mesti heads off.

Di Toronto memang ada penjual yang menjual kepala ikan sahaja. Bagaimana budaya itu terjadi saya kurang pasti. Cuma yang pastinya budaya kepala ikan selalunya orang India yang pakar. Di Canada memang ramai orang India yang berhijrah ke sana. Budaya kepala ikan dibawa bersama agaknya. Bila orang Melayu juga di Canada, budaya kepala ikan merebak tentunya. Di pasar, kepala ikan bukan satu atau dua. Berlonggok-longgok. Gerai yang satu itu hanya menjual kepala ikan sahaja. Rasanya saya beli dua kilo sahaja. Itupun dah banyak. Bia balik ke rumah memang masak kari. Kebetulan kari yang saya bawa masih banyak. Walauoun hanya saya sahaja yang membawa kari, saya bawa dalam kuantiti yang banyak. Al-maklumlah takut orang lain terlepas pandang. Memang betul jangkaan saya. Tidak seorangpun yang membawanya. Lama tak jumpa kari kepala ikan. Masing-masing berselera makan.

Budaya selalunya payah hendak dilupakan. Akan teringat selalu bila tidak menjengahnya. Lupa pula hendak cerita lebih lanjut kepala ikan yang saya beli. Sebenarnya di Canada tidak ada ikan merah. Jika adapun yang sejuk beku dari Thailand. Saiz kecil tetapi harganya berganda-ganda mahalnya. Kepala ikan yang ada di Toronto adalah ikan tasik besar. Namanya tidak tahu.  Ikan air tawar. Maka tidak ada isu hanyir seperti ikan sungai atau tasik kita. Bila dimasak sedap seperti ikan air masin juga. Mungkin kita tidak pasti. Ikan air masin tidak masin. Serupa seperti ikan air tawar yang memang tidak masin. Ikan menjadi masin sebab kita garamkan dia. Tanpa garam ia tetap tawar. Apa iktibarnya agaknya? Kita patut jadi ikan. Masin atau tawar adalah pengalaman sepanjang hidup. Walau apapun pengalaman itu kita jadi kita. Kekal abadi dengan iman dan taqwa. Abadi akidahnya. Menjaga akhlaknya. Jadi ikan yang tidak masin kecuali digaramkan. Diasinkan. Dijeruk. Dipekasam. Sifat aslinya mengikut fitrah yang tetap ikan. Dulu, kini dan selamanya.

Orang Malaysia suka makan kepala ikan. Walaupun ada orang kata banyak makan kepala ikan menjadikan kita pelupa kenyataannya ialah kari kepada ikan tetap popular. Kedai-kedai mamak menjadi tumpuan setiap tengahari. Ada kepala ikan  yang berpuluh-puluh ringgit  harganya. Makan mungkin berdua atau bertiga. Menyandar selepas makan. Terasa kari santak ke dada. Bila sendawa terasa benar karinya. Yang selalu dicari ialah kari kepala ikan merah. Jauh popularitinya mengatasi ikan-ikan lain. Apa rahsianya tiada siapa tahu. Kedai mamak penuh sesak berebut-rebut setiap waktu makan tengahari. Entahlah ketagihan yang kadang-kadang melampaui kefahaman orang biasa. Berbaris dan berebut setiap tengahari. Abang mamak yang dicari. Abang Kassim selalu dilupakan orang.

Selain dari kari, orang Malaysia di bahagian selatan semenanjung suka makan asam pedas. Ada kalanya daging lembu dan ayam juga dimasak asam pedas. Malah orang Cina sudah pandai memasaknya di kedai-kedai makan mereka. Kegilaan tentang asam pedas memeningkan kepala saya. Mercup bak cendawan kedai-kedai makan yang menawarkan masakan ikan asam pedas. Seperti kari, ikan merah yang paling popular. Istimewa benar ikan merah. Di Batu Pahat umpamanya ada kedai hanya popular dengan asam pedas ikan merah sahaja. Sarapan pagi juga nasi berlaukkan ikan merah. Ada pula yang makan roti canai berlaukkan asam pedas di kedai yang lain. Siang dan malam selama 24 jam pasti ada asam pedas. Jangan risau. Tidak perlu mengidam. Ikan merah asam pedas sentiasa tersedia.

Rasanya rakyat Malaysia suka makan di luar. Pendidikan yang semakin tinggi menjadikan ramai wanita tidak betah ke dapur. Dapur hanya persinggahan sementara. Dikunungi sekali sekala. Bukan lagi hub aktiviti utama. Bukan lagi pusat operasi.  Sementelahan itu orang lelaki semakin tidak gemar berada di dapur. Semakin banyak masanya di luar rumah. Makan di kedai semakin digemari. Mengapa? Saya juga ingin tahu. Teori pertama mungkin didikan. Kedua kebiasaan. Ketiga adat. Keempat situasi. Kelima hidup mewah. Keenam lambang. Ketujuh jaminan keselamatan. Kelapan semuanya ada. Kesembilan alternatif yang serupa. Kesepuluh pilihan. Senarai ini panjang jika dicatatkan. Maksudnya berbagai alasan diberikan untuk menjustifikasi kegemaran makan di luar.

Didikan: Dari kecil ramai anak-anak kita dibelikan makanan. Makanan orang yang mereka kenal. Makanan masakan ibu jarang-iarang. Cinta masakan ibu menjadi asing. Jika ayah tidak pandai memasak semakin jauhlah ia dari mengasihi makanan di rumahnya sendiri. Yang dibawa balik masakan orang lain. Air tangan ibu sukar dijamah.

Kebiasaan: Dibiar anak-anak makan di luar. Ibu bapa sediakan wangnya sahaja. Makanan di luar menjadi kebiasaan kepada anak-anak. Apatah lagi berbagai jenama makanan segera di luar sana. Ada wang semuanya menajdi kebiasaan. Ibu bapa lebih suka pula keadaan itu berlaku. Tidak payah penatkan diri memasak. Maka kebiasaan menjadi kebiasaan. Menjadi budaya.

 

Adat: Ibu bapa mungkin membuat peraturan yang salah. Kedua-duanya berkerjaya. Makan tengahari tidak disiapkan. Makan malam juga tiada jadual yang pasti. Anak menganggap makan di luar sebagai adat kebiasaan. Tiada perbincangan dan perbahasan mengenai perkara itu.

Situasi: Kedua ibu bapa berkerjaya. Pembantu rumah ada atau tiada tidak banyak  bezanya. Pembantu tiada kuasa memaksa anak-anak majikannya makan di rumah atau tidak. Jika makan maka masakan itu adalah hasil air tangan pembantu rumah. Orang Indonesia pastinya. Gaya masaknya, cara hidangannya, rencah dan resepinya semuanya asing dari sentuhan ibu. Suami juga menjadi terbiasa dengan air tangan pembantu rumah. Sentuhan isteri hanya fizikal. Bukan rohaninya. Bukan sentuhan halus yang meresap dari dalam. Makanan kadang-kadang menjadi pengalir kepada kasih sayang seorang siteri kepada suaminya. Anak-anaknya.

Hidup mewah: Hidup mewah juga menjadi paradigma yang mengubah kebiasaan. Mengubah adat. Mengubah budaya. Makan di restoran lebih santai kepada mereka. Rumah adalah tempat bersemayam dan berhibur.

Lambang: Jangan lupa juga bahawa makan di luar mungkin lambang  kejayaan hidup kepada sesebuah keluarga. Menu yang dipesan. Cara makan. Pilihan tempat. Kesemuanya menunjukkan lambang itu.  

Jaminan keselamatan: Lebih berprestij tempat makan itu lebih tinggi jaminan keselamatan makanan yanag dihidangkan. Premis yang bertaraf A umpamanya ada jaminan kebersihan, keselamatan dan kebolehpercayaan dari segai banyak perkara yang positif bagi sesebuah premis makanan.

Semuanya ada: Makan di rumah terhad menunya. Resepinya diulang-ulang tanpa ada suntikan menu baru. Di luar sana boleh dipilih premis yang menawarkan berbagai menu.

Alternatif yang serupa: Banyak premis makanan yang menjadi alternatif. Walaupun menunya serupa, masih terdapat kelainan yang membezakan selera pelanggan. Ikutlah mana yang sesuai.

Pilihan: Makan di luar adalah pilihan. Bukan keistimewaan. Bukan pula hak. Ianya pilihan sama ada di rumah atau di luar. Jika ibu dan bapa boleh memasak sendiri alangkah baiknya. Jika anak-anak dilatih untuk pandai memasak sejak dari kecil lagi alangkah lebih baiknya. Dalam rumah terdapat ramai chef yang boleh mempelbagaikan menu untuk selera keluarga.

Jangan lupa makan di luar ada impak sampingannya.  The side effect.

Tuesday, November 27, 2012

Toronto Di Tepian Tasik Ontario

 
 
 
 
Pernah saya singgah CN Tower (Canadian National Tower) di Toronto. Waktu mula sampai mendongak juga memandang menara yang begitu tinggi. Antara yang tertinggi di dunia. Gambar di atas pemandangan yang panaromik dilihat dari menara itu. Toronto merupakan bandaraya terbesar di Canada. Tiga bulan di sana tidak banyak tempat yang dapat diterokai. Sekadar tempat-tempat biasa yang selalu dikunjungi orang. Tasik itu besar. Gambar di bawah memperlihatkan keindahan Toronto dengan mercutandanya yang ulung. CN Tower.
 
 
Perasan tak? Semua bandar besar di dunia seperti wajib memiliki sebuah menara. Begitu juga dengan Menara Kuala Lumpur. Saya temui di Washington, New York, London, Toronto dan Kuala Lumpur. Rasanya ada di Putrajaya. Ramai mengatakan bahawa menara itu adalah lambang Iluminati. Satu cabang kelompok yang menguasai dunia. Mereka bukan agama, bukan bangsa,bukan juga Yahudi seperti yang selalu ditakuti. Mereka terdiri dari kalangan yang kaya raya, berkuasa dan dianggap berada pada echelon yang tertinggi.
 
 
 
Tasik Ontario adalah yang paling kecil antara lima tasik besar di America Utara: Superior, Michigan, Huron, Erie dan Ontario. Semasa di Tingkatan Dua dahulu (tahun 1962) guru Geografi saya menekankan akronim HOMES untuk mengingat nama-nama tasik itu. H untuk Huron. O untuk Ontario. M untuk Michigan. E untuk Erie dan S untuk Superior. Namun begitu tasik-tasik itu bersaiz besar. Walaupun bukan laut tasik-tasik tersebut berperanan seperti laut. Menjadi jalan perdagngan bagi bandar-bandar di sepanjang pantainya. Toronto hanya sebuah darinya. Chicago, Cleveland, Buffalo, Thunder Bay, Green Bay, Milwaukee, Duluth, Rochester, Hamilton dan banyak lagi. Sebahagiannya di USA dan sebahagian yang lain di Canada. Kebanyakannya yang di USA lebih membangun. Ramai. Meriah.
Toronto memberikan kenangan yang besar ertinya dalam hidup saya. Bila kita mengembara di bumi Allah, kita diperlihatkan berbagai ciptaan Allah. Bukan untuk dilihat. Bukan untuk sekadar dinikmati. Bukan pula untuk berbuat maksiat di tempat-tempat itu. Yang lebih besar ialah mensyukuri keberadaan kita di situ. Tidak ramai orang yang berkesempatan untuk berada di tempat-tempat yang berlainan di dunia ini. Ramai orang hanya diberi peluang membaca, menonton video, menonton filem, melayari internet, siaran langsung, lintas langsung dan rakaman-rakaman elektronik. Itu hanya input-input sekunder. Orang lain yang merakamkannya. Sudah diedit. Sudah diberi pandangan peribadi. Mengikut persepsi mereka. Minat mereka. Banyak lagi yang tersembunyi dari pandangan mata. Lain orang lain fokusnya. Lain hasratnya. Lain matlamatnya. Yang alami masih tersembunyi kebenaannya. Banyak yang perlu dicungkil kebaikannya.
Kembara saya mengelilingi dunia memberikan rasa bersyukur yang amat sangat. Allah memberi saya peluang dan ruang untuk melihat sendiri ciptaannya yang terlalu banyak. Nikmat yang tidak terhingga dan tidak terhitung. Merakamkan dengan gambar menjadi suatu tanggungjawab pula rasanya. Merakamkannya melalui tulisan menjadi suatu keperluan. Merakamkannya dalam penceritaan mudah-mudahan memberi iktibar. Memberi rangsangan untuk kita lebih mengenal Allah. Lebih mensyukuri segala nikmat yang mencurah-curah ke atas kita. Mata kita yang memandang telus di sebalik ciptaan. Telinga kita yang mendengar disebalik bunyi ciptaan Allah. Minda kita yang berputar merencanakan proses dan prosedur bersyukur kepadaNya. Perasaan kita yang selalu disapa taqwa untuk terus beribadat kepadaNya. Sangat indah semuanya. Hati kita menjadi besar. Allah ada di mana-mana. Pusinglah ke mana sekalipun Allah besama kita.
Yang penting apabila kita berada di tempat-tempat yang berlainan kita belajar untuk menyerap budayanya yang positif. Amalan hidup yang penuh dengan syukur. Menegathui dari mana kita datang, apa yang sedang kita lakukan, ke mana kita harus mengarahkan diri kita untuk menuju akhirat. Akhirnya kita bertemu dengan Rabb kita. Pertemuan yang mengakhiri segala pertemuan. Toronto hanya satu episod dalam hidup saya. Laluan-laluan pejalanan di destinasi yang lain memberi impak yang lain. Merealisasikan apa yang pernah saya baca. Menjengah realiti dari alam realiti teknologi.  Semuanya dihidangkan Allah di hadapan mata. Ditatap sendiri. Bukan cerita orang kedua atau ketiga. Ini cerita benar yang dialami sendiri. Digarap melalui kesedaran ianya suatu pengalaman yang besar ertinya dalam hidup.
Pengembaraan bukan suatu pembaziran waktu.  Bukan pembaziran kos. Bukan pembaziran tenaga. Bukan pembaziran perasaan. Mereka yang kembaranya banyak, maka mindanya penuh dengan pengalaman sendiri. Pernah melihat adalah suatu kelebihan. Pernah berada di suatu tempat dan ruang adalah suatu anugerah yang sangat perlu disyukur. Udara yang pernah dihirup menghidupkan. Tanah dan bumi yang dipijak memberi fakta kenyataan. Bukan untuk disimpan beku dalam minda dan inatan. Saya kongsikan untuk pembaca. Kesemuanya adalah kebaikan dan hikmah. Kita melihat yang bermanfaat. Tahaf syukur memberikan gambaran keluasan dan ketinggian leluhur pengalaman. Susur galur perlajanan yang panjang tetap berhenti. Namun hentian bukan penamat segala yang tamat. Ianya menggerakkan kita untuk mengumpulkan sinergi tenaga bagi memanfaatkan orang lain. Biar minda kita terus meneroka. Di luar sana Allah menyediakan banyak ciptaannya untuk difikir dengan insaf bahawa kita terlalulah kerdilnya.kepada Allah sahaja kita bergantung segala harap. InsyaAllah. Amin.

 
 
Di tepian Tasik Ontario itulah terletaknya Toronto di negeri Ontario. Saya suka plet kereta di Ontario. Captionnya berbunyi: Ontario, yours to discover. Kerana Toronto berada di tepian tasik maka terdapat sebuah marina yang besar. Penuh dengan bot berkuasa tinggi. Sukan air yang biasa bagi orang putih. Water skiing. Jet skiing. Cruising. Memancing. Berenang dan banyak lagi.
  Berhampiran marina itu tapak pameran terbesar di Canada. Saya dan teman-teman melihatnya pada hari kedua di Toronto. Gambar di atas menunjukkan seekor ayam yang sungguh besar. Mungkin mencecah 10 kg. Terpegun Mohamad melihat ayam besar. 
 
 
Bayangkan di tasik-tasik di utara Amerika itu terdapat kapal peronda dan kapal perang. Kapal pengangkut tidak perlu dikira banyaknya. Saya berkesempatan berada di atas dek sebuah kapal yang sederhana besarnya. Di Malaysia belum pernah merasainya. Hingga sekarangpun.
 
 
Berebut-rebut orang ingin masuk ke dalam kapal. Bukan mudah mendapat pengalaman sebegitu. Percuma pula. Apatah lagi orang yang jauh dari laut. Kapal besar adalah sesuatu yang istemewa.
 
 
Perabot tidak terkira banyaknya. Berbagai-bagai jenis kayu. Canada kaya dengan hutan hawa sederhana. Pokok kayunya besar-besar dan tinggi-tinggi. Ratusan tahun usainya. Perabot mereka advanced. Ergonomic. Human engineering yang selalu diberi perhatian.
 
 
Terdapat bayang sedang mengambil gambar. Itu bayang saya. Matahari di sebelah belakang. Bayang yang membayangi. Bayang itu adalah kita yang membayang. Lin dan Mohamad posin di hadapan meriam.

 
Di sebah jeti. Marina di belakang saya penuh dengan berbagai saiz bot. Seperti di tepi laut pula. Santai kedudukan dan keadaannya.

 
Di belakang sana adalah sebuah sphere yang besar. Di dalamnya ruang pamerean yang luas. Saya dan Lin santai duduk-duduk.
 
 

Monday, November 26, 2012

Why Don’t You Bring The Money To Her!


Bila berjauhan rindu pasti datang. Berdesup desap dalam rasa dan perasaan. Tahun 1990 bukan tahun 2012. Sekarang kita guna sms yang sangat murah. e-mail lagilah murah. Panjang berjela dengan kos yang sangat rendah. Surat sudah menjadi sesuatu yang lapuk. Obsolete.  Sewaktu saya di Toronto Canada telefon menjadi penghubung dengan orang yang tersayang di tanahair. Seminggu sekali bergayutlah masing-masing pada telefon di rumah. Bukan penghuni rumah sahaja yang menggunakannya. Sahabat yang di rumah-rumah lain juga datang untuk menikmati kemudahan  telefon yang ada. Tiada masalah. Bil telefon mengandungi perincian panggilan. Bila panggilan dibuat. Nombor telefon yang dihubungi. Jangkamasa panggilan dibuat. Setiap pengguna membayar bahagian masing-masing.

Kami semua kali pertama meningggalkan isteri dan anak-anak. Bingung juga kepala. Keliru dengan keadaan. Toleh ke kanan tiada. Toleh ke kiri tiada juga. Berapa berat mata memandang berat lagi hati di dalam. Terhenyak rindu. Terperuk gundah. Terapung gelana. Hari-hari terawal tentu sahaja yang paling memeritkan. Gelisah dan resah berganti. Mata dan hati tidak tentu lelapnya. Entah mimpi entah sedar. Malam-malam dilalui dengan lambatnya. Pagi menjelang samar-samar di negara orang. Kabus pagi menyembunyikan mentarinya. Hati berkabus sunyi terasing jauh di sebalik dunia. Jauh dari orang-orang tersayang. Jauh dari negara tercinta. Jauh dari semua kebiasaan. Bagi yang tiada tahan rindunya, telefon mengubat rindu. Dihujung talian masing-masing mengusap rasa. Bergenang air mata. Merembas menuruni pipi. Hendak diusap tiada. Hendak dipegang hanya ruang kosong yang ada.

Bulan pertama bil telefon kami sebanyak lebih CD700 (Canadian Dollar). Kira-kira RM1,600. Wow. Suatu jumlah yang gila banyaknya. Waktu itu tahun 1990 bil telefon boleh dibayar di bank. Seorang rakan saya yang ke bank. Terbeliak besar mata kerani wanita di kaunter bank itu.

My! Why so much?

Why don't you bring the money to her?

Harga sebuah rindu. Mahal dari segi kosnya. Antara mereka saya yang paling sedikit. Pengalaman di USA dahulu mengajar saya untuk berjimat menggunakan telefon. Saya bercakap mana yang perlu sahaja. Isteri dan anak-anak sihat. Itu sahaja yang penting. Setiap kali bil datang saya hanya perlu membayar sebanyak CD34 atau CD35 sahaja.  Wang saku yang dibawa bukan banyak. Makan dan minum perlu dijaga cukupnya. Ramai rakan yang bilnya CD200 dan CD300. Mereka hairan kenapa  bil asya paling kurang. Begitulah pengalaman memainkan peranan. Berjimat pada tempatnya.  Saya banyak menulis kepada isteri dan anak-anak.banya sedikit yang boleh dicoret. Kosnya hanya masa. Sedikit setem yang ditampal di sudut atas sebelah kanan. Kata isteri saya berebut-rebut anak-anak membaca surat atau poskad yang saya hantar.

Telefon adalah alat. Bukan pengubat yang hahiki. Bukan mutlak. Ianya hanya alat untuk menghubungi yang jauh bak di sebalik stelinga. Telefon dari Canada atau USA sama sahaja. Mereka gunakan satelit. Suara terang dan jelas. Terlalu dekat di telinga. Sebenarnya ramai antara kita menggunakan telefon tanpa mengerti. Ianya hanya alat. Bukan pengganti diri. Cuba perhatikan mereka yang galak menggunakan telefon. Bila menerima atau membuat panggilan mereka melatari panggilan itu dengan mukadimah yang panjang. Hasrat hati di simpan lama sebelum diluahkan. Tiada siapa mengambil kisah. Meter panggilan berjalan. Semakin rancak berbual dan bersembang semakin banyak bil telefon yang terpaksa dibayar. Saya cukup membatasi diri bila menggunakan telefon. Yang perlu sahaja. Mungkin sms atau e-mail lebih menjimatkan.

Jangan lupa apabila kita bergayut di telefon, panggilan lain yang hendak masuk tersekat. Kita selalu menyebut bahawa yang membuat panggilan dan yang menerima panggilan menghalang orang lain membuat panggilan. Telefon di rumah, telefon Telekom penggunanya berlainan. Pemangggil sahaja yang dikenakan caj. Penerima menikmai panggilan itu. Kenapa tidak yang perlu sahaja. Teknologi untuk dimanfaatkan. Bukan untuk membebankan. Bila ada yang mendera diri kerana teknologi  maka itu adalah sesuatu yang membebankan. Manfaat yang ditagih masalah yang diterima. Bil yang tinggi menjadi seksa.  Tetapi yang lebih jelek ialah kita menyekat orang lain menggunkan teknologi yang sama. Berpadalah menggunakan telefon. Ada kos yang dibayar oleh semua orang.

Kasihan juga rakan-rakan yang tinggi bilnya. Termenung mereka dibuatnya. Kami dibekalkan kira-kira CD2,000 untuk jangkamasa tiga bulan.  Jika setiap  bulan bil telefon mencecah ratusan dollar tentulah membebankan. Ikut rindu binasa wang di tangan.  Sebenarnya sewaktu sampai di Toronto ramai yang berhasrat untuk singgah di Los Angeles, LA dalam perjalanan pulang nanti. Mereka hendak menjengah Hollywood. Universal Studio. Ada keriangan melihat ke hadapan. Harapan melihat yang indah. Tetapi apabila bil telefon melambung-lambung banyaknya, hilang semangat mereka. Langkah jauh jadi tersekat. Terkedu dengan keadaan. Sudah tidak ada lagi bicara. Selera jatuh merudum. Selamat tinggal LA. Hasratku tidak kesampaian. Nantilah ku jengah melalui filem dan video.

Ada dua orang rakan saya di LA. Seorang dahulunya bertugas di Politeknik Ungku Omar Ipoh. Seorang lagi bersama saya di Pittsburgh USA semasa sama-sama mengikuti proram  Masters dahulu. Kedua-duanya guru. Bertugas di Jabatan Penuntut Malaysia di LA. Saya hubungi mereka. Alhamdulillah mereka menerima kedatangan saya. Tunggulah saya di LA, Hollywood, Universal Studio.  Suatu pengalaman yang indah. Melihat alam fantasi. The world of make belief.

Sunday, November 25, 2012

Malang Jika Lelaki Tidak Tahu Memasak


Kita sudah terbiasa dengan sesuatu yang disangka benar. Bila seorang lelaki bernikah ia menyangka bahawa makan dan minumnya disediakan oleh isterinya. Sarapannya disediakan isteri. Tengaharinya dihidang isteri. Petangnya disuap isteri. Malamnya disaji isteri. 24 jam disediakan isteri. Suami seolah-olah raja yang ditabal untuk selamanya dilayan dan diladeni sebagai raja. Malangnya yang dipaksa melayaninya itu adalah isterinya. Wanita yang dinikahi dengan nama kasih sayang. Untuk bersama ke syurga berumatangga. Untuk hidup dan mati bersama. Di samping dan bukan untuk disuruh arah. Isteri untuk diulit cinta abadi selamanya. Kadang-kadang sikap dan adat menjadikan hubungan suami isteri menjadi rumit dan inricate. Bak sesawang yang rencam dengan liku dan lingkaran.

Bagaimana seorang lelaki tidak tahu memasak untuk makanannya sendiri. Bagaimana seorang abang tidak tahu memasak untuk adik-adiknya. Bagaimana seorang suami tidak tahu memasak untuk isteri dan anak-anaknya. Memasak dan menjalankan kerja-kerja rumahtangga bukan khusus untuk wanita. Pun bukan itu tujuan wanita dinikahi. Orang Islam lelaki umpamanya keliru antara agama dan adat. Adatnya lelaki menjadi raja dan isteri menjadi hamba. Konsep ini adalah sangat tradisional dan bukan Islamik. Rasulullah saw adalah contoh lelaki terbaik antara yang terbaik. Baginda menjahit sendiri pakaiannya yang koyak. Membantu mengemas rumah. Membantu isteri-isteri baginda mengurus rumahtangga. Walaupun trend lelaki idaman semakin ramai namun bilangannya masih belum mencapai tahap tinggi. Ramai lelaki minta disediakan air minumnya. Menunggu hidangan di meja. Tidak memandang rumah yang kotor berserak. Tidak Nampak pakaian yang berlonggok dengan hapaknya untuk dibasuh. Tidak kisah pakaian berlonggok menimbun  bukit untuk dilipat. Pergi kerja melaram dengan pakaian yang siap berseterika. Bukan dibuat sendiri. Isteri yang semput sesak nafas menguruskan segala-galanya yang melakukannya.

Barangkali semua urusan lain boleh bertangguh-tangguh. Soal makan jadualnya ketat. Makan tengahari maknanya makan tengahari. Bukan pukul tiga atau pukul empat. Begitu juga minum petang, makan malam, sarapan dan antaranya memerlukan jadual yang mesti dipatuhi. Siapa menyediakannya? Isteri? Suami? Suami isteri? Alangkah bahagianya seorang isteri apabila suaminya kerap di dapur. Membantu mana yang perlu. Bukan susah kupas bawang. Bukan payah menumbuk cili. Bukan qiamat hanya menanak nasi. Semua kerja di dapur sangat simple. Tidak langsung memberatkan. Barangkali adat yang lama hendaklah dibuang jauh-jauh. Beri nilaian semula bahawa isteri bukan untuk disuruh-suruh tanpa kasih sayang. Mereka perlu dibantu. Hatta tidak salah memanjakannya. Pada dirinya seluruh hihup lelaki.

Apabila lelaki tidak pandai ke dapur ramai orang yang menjadi mangsa. Isteri orang pertama yang teraniaya. Anak-anak kumpulan kedua. Saudara mara kumpulan ketiga. Lelaki yang selalu ke dapur tidak pernah jatuh harga dirinya. Namanya tidak tercemar. Maruahnya tidak tercabar. Itu cerita dulu. Zaman yang sudah luput tarikh pakainya. Zaman yang masih terlalu tradisi. Lelaki di luar rumah dan isteri di rumah sahaja. Zaman ini sudah jauh perubahannya. Sikap dan sifat wibawa lelaki perlulah diubah untuk mengimbangi keperluan berumahtangga masa kini. Lelaki yang berkerjaya menerima pukulan hebat apabila berada di luar rumah. Dalam kursus-kursus jangkapanjang lazimnya wang secukupnya. Lebih banyak berjimat. Memasak sendiri adalah solusi paling baik. Selain dari kosnya yang rendah terdapat kepastian status halalnya. Suci dan bersihnya. Keyakinan diri untuk menikmati hidangan dari air tangan sendiri. Yang tidak pandai memasak tentulah banyak wang terbuang membeli makanan siap.

Itulah antara liku-liku bersama teman dan rakan yang tidak tahu memasak. Tidak tahu mengemas dapur. Tidak tahu membasuh pinggan. Tidak tahu membantu. Tidak mahu belajar berada di dapur. Tidak tahu hubungannya antara masakan, makanan, kesihatan dan emosi rohani pemasaknya. Berapa ramai lelaki yang peka dengan bahan dan perencah makanan. Berapa ramai lelaki yang tahu apa yang perlu di bawa apabila ke luar negara. Kebanyakan mereka membawa perut sahaja. Malang sungguh. Yang lain mengharap orang lain. Kadang-kadang terasa tidak adilnya. Kita cuba adil kepada orang lain tetapi orang lain tidak memberi keadilan itu kepada kita. Islam membenarkan melayani tetamu hanya dalam tiga hari sahaja. Selepas tiga hari tetamu itu hendaklah menjadi sebahagian dari krew yang perlu bekerja apa sahaja yang perlu untuk mengurus sebuah rumahtangga.

Saya suka makan. Di rumah atau di luar sama sahaja. Di luar kadang-kadang tidak sesedap mana. Tidak memenuhi selera tertentu. Harganya mungkin mahal. Tidak ada kedai yang sangat kondusif dari segi persekitaran dan kebersihannya. Layanannya belum tahu bagaimana bentuknya. Pilihan yang terbaik tentunya memasak sendiri. Dua kali saya ke luar negara. Dua kali saya mengangkut segala rempah yang perlu. Kari, kurma, sup, rempah tumis, serai, daun kunyit dan lain-lain yang perlu. Orang lain tidak perna berfikir begitu. Beg pakaian mereka hanya pakaian sahaja. Untuk makan berbulan dan bertahun langsung tiada dalam perbendaharaan minda. Makanan ada di mana-mana. Benar. Tetapi selera kita selalu kembali ke kampung. Ke rumah. Ke negara. Kepada kebiasaan lidah kita. Adat kita. Memasak sendiri adalah penyudah kepada kerinduan itu. Sedap bukan isu. Enak bukan masalah. Yan penting ada rasa. Ada bau. Ada aroma. Ada selera.

Malang sangat jika kita memasak orang lain yang serumah tidak membantu. Tidak bertanya apa yang perlu dibuat. Tidak datang menjengah apa yang sedang dibuat. Tidak menyiapkan keperluan lain seperti menyiapkan meja. Menyusun pinggan. Menyediakan air minuman. Mereka leka dengan mungkin TV, buku, akhbar, telefon dan bermacam aktiviti lain. Bila hidangan telah siap terhidu pula di hidung. Terdengar di telinga. Menyerap pada perasaan mereka. Berbaris ke dapur menyenduk makanan. Makan dengan enak. Bertambah-tambah pula. Selepas makan tidak pula pandai mengemas meja. Mengemas dapur. Menyusun pinggan mangkuk yang diguna. Tamat episod kali itu. Episod yang sama berulang lagi pada waktu makan yang berikutnya. Tidak akan ada yang akan ke dapur. Tidak ada yang ingin memulakan proses memasak.

Malang lelaki yang tidak pandai di dapur. Apalah susahnya menanak nasi. Apalah sukarnya menggoreng telur. Memasak sadin. Menggoreng ikan. Memasak sayur. Jika tidak tahu memasak, masaklah yang sesimple mungkin. Setakat apa yang kita boleh. Yang kita tahu. Walau bagaimanapun memasak hendaklah dengan hati. Dengan ikhlas. Dengan senang hati. Makanan yang simple menjadi sedap jika ada elemen dalaman yang bersih suci. Rasanya menggoreng ikan bilis semua orang tahu. Menggoreng bawang semua orang boleh. Merebus sayur bukan seperti menebas kebun. Berapa banyak garam. Akan terbiasa nanti dengan kuantitinya. Mulakan dengan sedikit. Rasa dahulu secukupnya. Kurang masin tambah garam berperingkat-peringkat. Lama-lama akan tahu sukatannya tanpa perlu menyukat. Banyak dan sedikit adalah relatif. Ada orang suka lebih masin. Yang lain pula suka kurang masin. Letakkan diri kita antara keduanya.

 Belajar jadi lelaki sejati. Hero kepada isteri dan anak-anak. Kepada teman-teman, keluarga dan orang-orang di sekeliling kita. Lelaki yang multi disiplin lebih berdaya maju. Lebih lestari melingkari zaman. Penglaman lama saya memeritkan apabila bersama dengan lelaki yang tidak pandai memasak. Tidak pula mahu belajar. Tidak suka ke dapur. Dapur sangat panas kepada mereka. Malangnya orang lain yang disuruh berpanas di dapur. Selalunya isteri yang menerima nasib malang. Emak mertua yang tua juga menjadi mangsa. Emak sendiri yang uzur itulah yang berpapah ke dapur menyediakan makanan.

Ibu dan ayah, didiklah anak lelakimu supaya mengerti dapur. Biasa di dapur. Menguasai dapur. Supaya nanti mereka bukan raja dapur tetapi menjadi raja di dapur. Adat lama bahawa lelaki tidak perlu ke dapur sudah tidak ada lagi. Bahawa wanita duduknya di dapur bukan realiti lagi. Abang, bantulah isterimu di dapur. Untuk perutmu juga. Kakak, cari lelaki yang ada sifat membantu. Selidiki minatnya di dapur. Tanya rakan dan ahli keluarganya. Itupun jika kakak mencari lelaki yang rasional. Jika cari yang ganteng dan berjawatan sahaja terpulanglah. Bersedialah nanti untuk makan hati berulam jantung. Saya sekadar memberi pengalaman. Mudah-mudahan ada manfaatnya.

Monday, November 19, 2012

Bau Durian Mengharum Toronto


Tidak ramai orang putih yang makan durian. Kepada kita durian wangi baunya. Kepada orang putih durian berbau busuk. Siapa yang betul? Sebagai ujian, apa yang menghurung durian apabila dibelah dan ulasnya terserlah pada pangsanya?  Lalat dan langau. Pernahkah pembaca melihat langau menghurung minyak wangi? Mana ada. Langau tidak sersai dengan yang wangi. Pilihannya pasti yang busuk. Durian termasuk dalam kategori busuk mengikut ujian itu.  Tidak mengapalah. Durian wangi pada persepsi kita. Hidung kita yang menjejak kewangaiannya. Kita tidak perlu pandangan orang lain hingga kita mensia-siakan rezeki yan ada. Kepada kita durian tersangatlah lazatnya. Tidak boleh nampak kelibatnya. Kecur air liur. Silap-silap gugur setitik dua. Malu sendir mengesat lelehannya.

Untuk renungan kita semua, ramai anak-anak muda kita tidak lagi menggemari durian. Mereka lebih memilih buah-buahan import. Seorang sepupu saya membawa pulang ke rumah beberapa biji durian. Tiba-tiba anak lelakinya mengeluarkan kata-kata protes. “Abah ni, buah busuk bawak balik!” Terbeliak mata sepupu saya. Mahu ditamparnya anaknya itu. Itulah manifestasi zaman yang berubah. Pilihan juga berubah. Kebiasaan kita yang kekampungan dahulu sudah dilenyapkan oleh perubahan. Zaman berubah. Citarasa berubah. Hal-hal yang kritis dalam masyarakat berubah aspeknya. Tidak memahami hal-hal seeprti itu hanya mengundang konflik perasaan. Mungkin konflik sosial.

Saya menemui durian di Pittsburgh, USA. Di kedai seorang yang berasal dari Vietnam.USD2.50 seulas. RM7.50. Bagi yang tidak ada pokoknya, perjalanan yang jauh, sistem penyimpanan yang direka khas, harga bukan faktor.  Bila datang selera semuanya bukan masalah. Di Toronto Canada durian dijual mengikut biji. Bukan ulas. Sekilogram Canadian Dollar 4.90. Kira-kira RM11.50. Masih tidak mahal berbanding dengan yang di US. Minta maaf. Durian itu sedap. Durian itu wangi. Sayangnya durian itu bukan kita yang punya. Durian Siam. Dari Thailand. Hebat usaha Thailand merentaskan produknya ke luar negara. Ke merata ceruk rantau yang tersampai. Bukan sedikit. Berlonggok-longgok. Orang putihkah yang memakannya. Tidak mungkin. Orang Asia ramai di sana. Sebut sahaja. Ada Cina, India, Thais, Vietnam, Taiwan, Indonesia dan Filipina. Orang Malaysia sahaja yang tidak pernah ramai. Kita jarang berhijrah.

Bukan orang kita yang tidak selesa berhijrah, malah produk kita juga malu berhijrah. Rasanya Thailand banyak mengatasi kita dalam banyak hal. Beras dari Thailand kita import selamanya sejak dari dahulu lagi. Sudah terlalu lama. Kita terus bergantung kepadanya. Mangga Siam berlambak di pasaran. Berganti jenisnya. Anggur juga dibiakkan. Sampai juga ke Malaysai. Tidak berapa manis. Cukup menghilang rasa teringin. Menghilang rasa kecur di mulut. Malah buah laici ada di Thailand. Di Toronto barangan kulit buatan negara itu banyak dijual. Cumanya mereka gemar menciplak jenama terkenal dunia. Tampal pada produk mereka. Harganya jauh lebih rendah. Setengah produk kualitinya tinggi. Sukar dibezakan yang asli dengan yang bukan.

 Thailand bukan jauh. Di seberang sempadan. Banyak yang boleh dipelajari daripada mereka. Industri tani mereka cukup maju. Kita masih mengabaikan pertanian walaupun negara lain mewah dengan eksport barangan pertanian mereka. Ada sesuatu barangkali yang boleh dilakukan. Selama ini kita sibuk dengan laungan dan slogan satu kampung satu industri. Tidak perlu fikir lama. Tidak perlu fikir besar-besar. Lihat sekeliling kita. Orang kampung rumahnya dikelilingi pohon buah-buahan. Rumpunan pisang sentiasa ada. Kenapa yang tersedia itu tidak dinaiktaraf? Diberi nafas baru. Didik mereka menukar baka yang baik. Mangga baik. Durian baik. Rambutan baik. Pisang baik. Belimbing baik. Cempedak baik. Nangka baik. Tanam yang baik-baik. Cari bakanya. Buat penyelidikan. Kita bukan bercakap satu kampung satu industri bahkan sebuah rumah sebuah industri.

Ambil iktibar bagaimana penanam kurma di Madinah mendebungakan pohon-pohon kurma mereka. Hasilnya lumayan setiap tahun. Semakin dibayar zakat semakin lebat buahnya. Fikirkan jika boleh pohon buah-buahan kita didebungakan setiap masa yang berjadual. Hasilnya barangkali lebih lumayan. Tuaiannya menimbun. Hasil yang melambak-lambak nanti. Fikirkan selangkah atau dua langkah ke hadapan. Industri hiliran yang mesti diwujudkan. Buah-buahan dalam tin. Jus. Kuih muih. Jem. Kaya. Gula-gula. Biskut. Aiskrim. Minuman. Banyak lagi. Kreatif. Inovatif. FAMA harus jauh ke hadapan. Persatuan Peladang mesti terbang jauh. Persatuan Pengilang berlari pantas. Politik mendepani dasar dan peraturan yang membangun. Bukan hanya mengawal dan mengekang.

Kita mengimport buah-buahan dari banyak negara. Dari Mesir ada. Tunisia ada. India ada. Turki ada. Iran ada. Malah dari negara seperti Azabaijan, Karzystan, Cina, Korea, Pakistan. Bukan negara-negara tradisi seperti USA,Australia, New Zealand dan Afrika Selatan sahaja. Tidak ada negara maju yang fokus hanya kepada industri perkilangan sahaja. Kesemua negara itu masih mengekalkan imbangan pertaniannya. Makanan untuk rakyatnya. Tukaran asing untuk negaranya. Situasi yang menang-menang. Manfaat dan maslahah umum rakyat difikirkan. Ekonomi, teknologi dan pendidikan disegerakkan. Agama mengawal dosa dan pahalanya. Syariat tidak boleh dikesampingkan. Akhir kita tetap menemui Allah. Kita kembali kepadaNya. Buatlah yang terbaik di dunia. Ganjarannya yang terbaik di akhirat.

Al-Quran cukup memberi panduan untuk berjaya di dunia dan di akhirat. Iman kita dipupuk supaya sentiasa segar dan bertambah kukuh. Usaha secara syariat dengan niat kerana Allah tentulah lebih baik dari hanya kerana dunia semata-mata. Ayuhlah kita sama-sama keluar dari kepompong kita. Keluar dari kotak kecil yang memerangkap kita. Keluar dari ruang yang menghimpit pemikiran yang bertaraf rendah. Masa masih banyak. Sentaisa banyak. Jika setiap seorang dari kita memajukan diri dalam bidang maing-masing tentu kita boleh lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kita mesti cemerlang dalam bidang kita. Lain orang lain bidang kecemerlangannya. Untuk maju bukan satu bidang sahaja yang dibangunkan. Semua aspek yang berkaitan hendaklah dibangunkan. Tidak ada yang lebih utama dari yang lain. Jika ada yang terabai maka akan berlaku kepincangan. Yang pincang itu mencacatkan. Menurunkan darjat kesemuanya.

Kita ada mata, hendaklah melihat jauh menembusi sebarang hijab dan tabir. Kita ada telinga untuk mendengar yang tersirat. Kita ada hidung untuk menghidu yang asing dari yang lain. Firasat kita dibangunkan untuk merangka hal-hal yang berkemungkinan di masa hadapan. Kita tidak lagi boleh hanya bertahan dengan keadaan yang ada. Banyak jalan yang boleh dilalui. Banyak simpang yang perlu dilintasi. Berfikiran positif banyak menyelesaikan masalah yang terpendam. Allah sentiasa membimbing kita ke arah yang benar. Kita diberi pilihan membuat yang terbaik. Doa, tawakal tentulah setelah berusaha. Janji Allah adalah sesungguhnya benar. Mereka yang beriman sentiasa beruntung.