Wednesday, June 29, 2011

Memanfatkan Perjalanan Bas


Saya menulis tentang bas dan penjalanannya bukan salah eja. Saya maksudkan penjalanan sebagai routing. Arah perjalanan dan penjadualannya. Seperti telah saya katakan pengangkutan awam adalah sebahagian dari agenda penting ekonomi dan kemajuan negara. Termasuk juga teknologinya. Ianya bukan perkara remeh temeh. Bukan idea picisan. Bukan murahan. Di US umpamanya sesuatu pembinaan jalanraya mengambilkira unjuran jangkapanjang. Sebatang jalanraya yang dibina hari ini mungkin untuk jangkamasa 20 tahun. Baru nanti jika nampak ada masalah mula menjelang. Mereka jadi proaktif. Sudah menjangka kedatangan masalah. Sebelum menjadi parah, malah sebelum menjadi masalah, sudah dilaksanakan penyelesaiannya. Dicari alternatif untuk menyahkan masalah. Untuk mengurus hal-hal lain yang juga penting.

Kita di Malaysia  banyak dilakukan kempen penggunaan pengangkutan awam. Kadang-kadang hanya pembaziran sahaja. Budaya belum ada. Amalan belum melekat. Intipatinya tidak diteliti. Dalam kehidupan kita banyak yang mesti dimulakan dari rumah. Semasa anak-anak masih kecil-kecil belaka. Paling lewat sewaktu usia anak-anak tujuh tahun. Begitu Islam memberi panduan. Tujuh tahun solat. Kita cuba naqlkan (bunyikan naqolkan) -pindahkan panduan tersebut ke dalam hal yang lain. Didik anak-anak supaya tinggi minat membaca sejak mereka kecil lagi. Sejak mrreka tahu mengenal huruf. Mengenal angka. Mengenal gambar. Mengenal warna. Boleh dimulakan seawal usia mereka setahun setengah. Jangan sekadar ajatr menari. Gelak sana gelek sini. Alihkan kepada hal yang lebih membina dirinya sebagai Muslim dan Muslimat yang hebat. Jangan biarkan anak-anak dengan kebiasaan lama yang adat beradat. Hana seronok dipandang tetapi nanti bila mereka membesar menyakitkan mata. Mencucuk mata. Menyilaukan mata. Memedihkan mata.

Latih mereka dengan ditunjukkan sesuatu huruf, angka, warna dan gambar. Belikan buku yang berkulit tebal. Latih untuk memegang. Latih untuk menyelak. Latih untuk meletak. Latih untuk membawa. Latih untuk membelek-belek.   Bunyikan apa yang ditunjuk. Sebut hurufnya. Sebut angkanya. Sebut gambarnya. Sebut warnanya. Lakukan berulang-ulang kali hingga anak-anak itu boleh menyebutnya. Boleh mengenalnya. Boleh mencarinya. Boleh menunjuknya. Tingkatkan setahap lagi. Belikan buku-buku yang mengandungi suku kata. Perkataan yang mempunyai dua suku kata. Meningkat lagi yang tiga suku kata. Seterusnya yang mengandungi imbuhan di hadapan. Imbuhan di belakang. Ibuhan di hadapan dan belakang. Kemudian lanjutkan dengan cerita yang senang-senang. Prasekolah. InsyaAllah sebelum umurnya lima tahun dia sudah boleh membaca. Tidak perlu diajar menulis. Kemahiran itu akan datang sendiri bila dia sendiri mahir membaca. Mengenal huruf dan angka. Mindanya akan memandunya untuk mengetahui.

Orang Melayu mengabaikan hal ini. Bagi pasangan muda, berusahalah bersungguh-sungguh. Bina kehidupan yang melepasi tahap kemiskinan. Jadi sekurang-kurangnya golongan pertengahan. Beli rumah yang sederhana besar. Jika ada kemampuan yang terancang, beli rumah yang besar. Jika mampu menhhimpun wang,  buat rumah yang besar. Kita kena keluar dari belenggu kemiskinan kerana kemiskinan mencambahkan banyak masalah kemiskinan yang bertambah-tambah. Semakin melemaskan. Bila sudah ada rumah yang agak selesa, pastikan ada bilik yang dinamakan perpustakaan. Jika boleh jadikan ia suatu perkara wajib. Suatu kemestian untuk setiap keluarga Melayu. Isilah perpustakaan keluarga itu dengan bahan-bahan bacaan yang boleh merangsang minda anak-anak untuk membaca. Supaya mereka keluar dari kepompong kejahilan. Kemiskinan. Kedaifan. Kejumudan. Kemunduran.

Perpustakaan itu gedung ilmu. Biarkan anak-anak berada di dalam gedung itu sesuka mereka. Ajar mereka cara menyususn bahan bacaan yang ada. Cara membaca. Cara menjaga buku dan majalah. Waktu mereka mengulangkaji, lakukan di perpustakaan. Waktu mereka membuat kerja rumah, lakukan di perpustakaan. Bahan-bahannya ditambah dari masa ke masa. Majalah setiap bulan. Latihan sebegini perlu untuk membiasakan mereka dengan membaca.  Jadikan membaca sebagai amalan yang dimestikan. Mandatory. Jangan biarkan anak-anak termenung. Termangu-mangu. Mengelamun. Dalam perjalanan pastikan buku dibawa. Bila berada di mana sekalipun, bekalkan dengan buku. Pendek kata buku sentiasa ada di sisi. Di samping. Hanya dengan jangkauan tangan sahaja.

Begitulah orang yang bertamadun dididik. Buku adalah khazanah ilmu. Penjana pemikiran. Penerokaan yang dikongsi bersama. Pengalaman yang dikongsi bersama. Pencetus untuk pemikiran-pemikiran lain. Saya melihat hanya orang Melayu yang lemah dalam hal ini. Ibu-ibu yang mengandung termangu di pusat-pusat kesihatan. Membosankan diri mereka kerana menunggu giliran yang berjam-jam lamanya. Jika membaca surah Yasiin tentu berpuluh kali khatam. Jika membaca al-Quran tentu sejuzuk dua. Jika membaca majalah tentu dua atau tiga. Jika membaca novel mungkin habis setebal 300 mukasurat. Jka membaca buku tentu mendapat berbagai ilmu, maklumat dan fakta. Rugi, rugi dan rugi kerana tidak menggunakan masa untuk membaca. Anak yang dikandung tidak melihat ibunya menjadi kreatif. Tidak memberi input intelektual. Derianya tumpul.

Semasa menunggu bas tidak membaca. Menunggu keretapi tidak membaca. Menungu kapalterbang tidak membaca. Sayangnya masa yang terbuang. Kosong sekosongnya. Sibuk kerana tidak melakukan sesuatu. Tidak ada masa untuk membaca kerana lebih suka begitu. Amalan hidup yang serba serbi tidak kena. Berfikiran jumud. Membaca menjadi agenda yang sangat berat dan memberatkan. Membaca menjadi sesuatu yang menyeksakan. Menjadi azab jika digalakkan membaca. Salahnya ibu bapa. Salahnya rumah. Salahnya keluarga. Sepatutnya budaya membaca diterapkan dalam ilmu keibu bapaan. Semasa Kursus praperkahwinan dahulu. Menjangkau jauh ke hadapan. Perkahwinan bukan perkara remeh temeh. Bukan sekadar memenuhi tuntutan agama. Perkahwinan adalah membina masjid. Membina keluarga Islam. Membina negara. Keutuhan keluarga adalah keutuhan agama. Keutuhan  negara. Keutuhan masyarakat. Keutuhan ummah.

Pengalaman saya di US dan di Canada sangat mencabar kebiasaan. Apa yang saya perhatikan semua agenda perjalanan direncanakan dengan betul. Semua agenda pengangkutan disempurnakan dengan betul.  Di tempat-tempat bas berhenti dipamerkan jadual ketibaan bas di pondok atau di kedudukan itu. Kadang-kadang ada pondok menungu. Kadang-kadang hanya ada sebatang tiang sahaja. Pada tiang itulah ditulis jadual ketibaan bas. Semua pengguna boleh merancang dengan tepat setepat-tepatnya bas mana yang perlu mereka pilih. Jika mereka ingin menaiki bas pada pukul 2.00 petang, mereka boleh mula menunggu bas itu pada pukul 1.58 petang. Apa yang saya katakan ini adalah fakta kerana sewaktu saya di Toronto, Canada dahulu tempat bas berhenti itu betul-betul di hadapan rumah yang saya duduki. Saya boleh kunci pintu pada pukul 1.57, turun tangga, dua minit kemudian bas sampai. Sesiapapun melakukannya begitu. Ketiaan bas sangat menepati jadual. Dibudayakan begiti. Sudah menjadi amalan hidup. Falsafah kehidupan yang difikirkan sedalam-dalamnya.
 Tiang berwarna merah itu adalah tempat bas berhenti. Di sebelah kiri tangga rumah. How convenient. Turun sahaja tanggu terus naik bas.

Jalanrayanya sangat luas. Sangat memudahkan. Agak jauh juga dari pusat bandaraya Toronto. Kena naik bas. Kemudian keretapi. Kira-kira 40 minit perjalanan. Tetapi jalanraya di hadapan rumah sangat luas.

Mungkin ada hubungannya dengan iklim. Dengan cuaca. Pada musim sejuk yang penuh dengan snow dan ais, penumpang tidak betah lama-lama menunggu bas. Sejuknya memang teramat sangat. Beku dan membekukan. Begitu juga pada musim hujan. Maka pemerintah memikirkan cara terbaik menolong rakyatnya. Maka mereka mendahulukan kebajikan rakyatnya. Jadual bas mesti ditepati. Dijamin tepat. Bukan sahaja tepat malah basnya dideretkan supaya ketibaannya berturut-turut mengikut jadual yang sudah tersedia. Hal-hal yang kecil begitu jika tidak diambil perhatian, kerajaan yang memerintah boleh bertukar dalam pilihanraya yang akan datang. Impaknya sangat besar. Kuasa rakyat. Kerajaan per;u memikirkan hingga perkara-perkara yang sekecil-kecilnya. Diterjemahkan dalam bentuk amalan harian. Amalan hidup.

Penumpang bas atau tram atau keretapi atau kapalterbang di negara maju tidak membuang masa semasa menunggu atau semasa berada dalam perjalanan. Budaya ini mungkin terlalu asing kepada kita. Jika kita biasa ke lapanganterbang, kedai buku mesti ada. Yang ramai di dalamnya ialah pelancong asing. Orang Malaysia hanya lalu di hadapannya sahaja. Atau membeli akhbar dan majalah sahaja. Jarang yang membeli bahan bacaan yang berat. Yang sarat dengan ilmu. Saya sarat dengan penemuan-penemuan baru. Kenapa? Dianggap bukan budaya kita. Bukan amalam.  Bukan kebiasaan. Kita terlepas sesuatu yang sangat berharga. Yang lumayan hasilnya. Yang selalu membezaka antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui.

Orang barat umpamanya bila mereka naik bas mereka sudah tahu berapa lama mereka akan sampai di destinasi mereka. Mungkin 20minit. Mungkin 30 minit. Mungkin 5 minit sahaja. Pada ketika sebelah tangan mereka memegang besi penggayut, sebelah tangan lagi pasti menyeluk saku. Keluarlah buku. Ada yang baru dan ada yang sudah lusuh. Mereka terus mambaca tanpa mempedulikan orang di sebelah menyebelah. Itu budaya mereka. Berapa banyak mereka membaca? Berapa lama mereka membaca? Cuba bayangkan. Tidakkah nanti terlepas tempat berhenti? Terlajak stesen? Tidak mungkin. Kenapa? Inilah kebiasaan yang tidak ada pada kita. Amalan yang tidak ada pada kita. Kita tidak memikirkannyapun.

Dalam amalan, mereka menjaga sangat masa yang ada. Sangat, sangat penting. Mereka sangat peka dengan masa kerana pengalaman mereka menentukan segala-galanya. Walau sesaatpun tetap ada kepengtimgannya. Suhu dari panas boleh menjadi sederhana hanya dalam perpuluhan saat sahaja. Sekelip magta. Dari sederhana menjadi sejuk beku jauh di bawah paras beku hanya dalam masa beberapa saat sahaja. Bagi tentera peluru boleh datang terbang membunuh hanya dalam beberapa saat sahaja. Tidak sempat untuk merebahkan badan. Peluru sudah sampai. Ada kita kisah tentang pentingnya masa ini? Tidak terfikirpun kan? Bagi penupang bas kerana mereka sudah biasa menyukat lama perjalanan, mereka tahu berapa mukasurat yang perlu dibaca. Jika 10 mukasurat yang mesti dibaca, cukup 1o mukasurat mereka tutup buku. Masukkan dalam poket. Sesaat dua selepas itu bas berhenti. Turun di destinasi yang dihajatkan. Sangat cantik. Ngam kata orang Cina. Everything is just so beautiful. Perfect.

Aduhai! Bila agaknya kita boleh sampai ke tahap itu? Selagi belum nampak bayangnya maka kita akan terus menerus jauh tertinggal di belakang. Kemajuan yang kita ada banyak menjurus kepada kebendaan. Very materialistic. Tiada ramuan lain yang membina minda dan pemikiran. Tamadun dan budaya. Yang diperlihatkan ialah fizikalnya. Kita kidak membina roh ilmu kepada orang kebanyakan. Kepada orang kampung. Kepada orang Melayu. Orang Islam.  Lalai dan dilalaikan. Hedonism yang banyak. Hiburan, gelak ketawa. Tidur lena. Yes! Yang lain-lain terhakis semuanya. Kembalilah kepada tabiat membaca demi agama. Demi keluarga. Demi masyarakat. Demi bangsa. Demi negara. Kita perlu mencari jalan-jalan yang lebih baik. Lebih lurus.

Sambal Kicap


Bagi orang Johor sambal kicap sinonim dengan banyak jenis makanan. Banyak hidangan yang dikaitkan dengan sambal kicap. Di luar negeri Johor mungkin asing. Namun begitu sesiapa yang sudah biasa dengan sambal kicap pasti ketagih. Maaflah. Jika dicari sekalipun sukar mendapatkannya. Alternatifnya ialah membuatnya sendiri. Terlalu mudah jika sudah biasa. Tiada langsung kompleksnya. Semua orang boleh membuatnya. Saya perturunkan resepinya:

Resepi Sambal Kicap:

1          Segenggam cili api (saiz dan jenis tidak mengapa) – boleh banyakkan jika jamuan besar
2          Sebuku bawang merah
3          Dua ulas bawang putih
(Tumbuk kesemuanya hingga lumat. Boleh gunakan blender tetapi menjadi terlalu halus dan lumat. Rasanya tidak memenuhi selera Jawa. Maaflah sambal ini lebih menjadi hak milik orang Jawa Johor. Khususnya Batu Pahat)
4          Sesudah agak lumat curah dengan kicap. Jika suka masin, curah kicap masin. Jika suka manis, curah kicap manis. Kuantiti kicap bergantung kepada ketahanan pedas orang-orang yang memakannya.

Panduan makan:

1          Ambil sedikit dahulu untuk menguji kepedasannya. Jika terasa menyengat, cukuplah dahulu. Jika masih belum terasa pedasnya, tambahlah seberapa banyak yang diperlukan.
2          Sediakan tisu sebelum makan. Sediakan banyak-banyak. Yang pasti hingus akan laju menderas keluar.
3          Sediakan juga air minum untuk mencairkan pedas.

Di negeri Johor antara makanan yang popular ialah soto dan lontong. Soto mengandungi nasi impit, suun goreng, tauge, bawang goreng, kacang tanah goring (ditumbuk atau dikisar). Mungkin ditambah daging rebus (dipotong nipis-nipis) atau ayam goring dicarik-carik. Kuahnya hampir penuh semangkuk. Lebih berkuah lebih sedap pula. Penyedap terakhirnya ialah sambal kicap. Maka berentaplah rasanya. Bercampur baur antara lemak dan masin. Antara pedas dan manis. Antara minyak dan air. Jika kena kuah dan sambalnya pasti terangkat. Kembang kempis hidung. Mata mungkin memerah dan berair. Air liur memang sudah lama kecur. Tunduk dan memakannya. Ibu mertua lalu di belakang pasti tidak nampak. Sombong kerana terlalu asyik makan soto. Memang tidak nampakpun kerana di bahagian belakang.

Di Batu Pahat khususnya sambal kicap di makan dengan beberapa makanan lain. Kebanyakan makanan bergoreng dicecah dengan kicap. Ada yang dicurah dengan sambal kicap. Tauhu goreng atau tempe goreng dipotong-potong. Dibubuh tauge dan timun. Tabur dengan kacang tanah goreng yang dikisar atau ditumbuk lumat. Curah sambal kicap sesedap rasa. Puh! Memang terliur. Terjungkit bibir menikmatinya. Paling kurang pasti dua keping tauhu yang bersaiz sederhana.

Namakan apa sahaja makanan goreng. Pisang. Keladi. Sukun. Keledek. Jemput-jemput (cekodok). Kuih bom (cekodok manis seperti untuk pasembur). Ikan goreng. Udang. Sotong. Semuanya akan bertambah lazat jika dicecahkan sambal kicap. Manis-manis pedas. Jika sambal itu diperahkan sedikit limau kasturi pasti rasanya bertambah menggilakan. Sasau jika tidak mendapatnya. Tersa-rasa di mulut. Di hati lagilah kuat berpaut. Hatta mi atau bihun goreng boleh juga ditambah dengan sambal kicap.

Sambal kicap sangat kuat kaitannya dengan sup. Tidak kiralah sama ada sup daging atau tulang. Ayam atau apa sahaja jenis sup. Tanpa sambal kicap rasanya tidak menyerlah. Tidak di mulut. Tidak di bibir. Tetapi jika ditambah dengan sambal kicap rasanya bertukar menjadi sangat mengasyikkan. Sup dan sambal kicap menjadi pasangan yang sangat akrab. Sangat dekat. Sangat berkait rapat. Walaupun sup boleh berdiri sendiri. Menjadi variable bebas. Namun tanpa sambal kicap ianya agak hambar. Ada kekosongan dari dari rasa.

Bila teringatkan sambal kicap kadang-kadang kami orang Batu Pahat terbawa-bawa ke mana-mana. Kadang-kadang bila di Kuala Lumpur bertanyakan sambal kicap. Biasanya waktu membeli pisang goreng. Tanya kepada penjual sambalnya mana? Terlupa ketika itu bukan di Batu Paahat. Tercengang sipenjual. Bila tersedar khilap terpaksalah meminta maaf. Rasanya budaya sambal kicap ini semakin menular. Ada juga di bahagian-bahagian tertentu di Kuala Lumpur yang menjual pisang goreng bercecahkan sambal kicap. Ramai bukan orang Batu Pahat yang mengimport keenakan sambal kicap kembali ke kampung halaman mereka.  Pertamanya graduan dari UTHM yang ribuan jumlahnya di seluruh pelosok tanahair. Keduanya graduan Institut Pendidikan Guru Tun Hussein Onn Batu Pahat (IPTHO) yang menjadi guru di seluruh tanahair..

Saya teringat sewaktu di Amerika dahulu. Kadang-kadang saya dan isteri menjemput teman-teman sesama pelajar untuk makan-makan di rumah. Suatu ketika isteri saya menyediakan soto. Seorang pelajar bernama Imran (Anak mantan wakil rakyat Lembah Pantai – Abdul Razak rasanya) mungkin kali pertama makan soto bercampur sambal kicap. Saya peringatkan dia supaya mengambil sedikit sahaja sambal itu. Mungkin terpedaya dengan rupa sambal itu dia mengambil mungkin tiga sudu besar untuk satu mangkuk soto. Apa lagi suapan yang pertama sahaja dia sudah menggelupur. Mukanya merah padam hingga ke telinga. Cuma tidak berasap. Air matanya banyak merembas deras membasahi pipinya. Matanya merah. Mulutnya ternganga menahan pedas. Menganginkan mulutnya. Entah berapa banyak air yang ditelannya. Lama dia menderita. Ramai yang gelak dengan lakunya kepedasan. Terpaksa menukar mangkuk dan mengambil sedikit sahaja sambal kicap itu sebagai penambah rasa.

Begitulah. Bila kita tidak tahu, banyakkan pemerhatian terlebih dahulu. Lihat bagaimana ianya dilakukan. Bertanya jika perlu. Cuba dari awal. Dari sedikit. Dari yang paling dasar. Bila sudah tahu bolehlah merancang mempelbagaikannya. Menerjah tidak tentu pasal memudaratkan diri. Banyak yang tidak kena. Kerugian akhirnya.

Buah Hati Pengarang Jantung


Sudah fitrah manusia bahawa anak sulong mendapat perhatian istimewa. Lahirnya adalah manifestasi cinta dua insan yang panjang sejarahnya. Cerita suka dukanya. Harapan dan cita-citanya. Kebimbangan yang selalu memanjang. Yang malamnya selalu merembaskan air mata. Yang siangnya selalu terpandang-pandang. Mimpi yang tidak pernah selesai. Ingatan yang selalu terbuai-buai. Akhirnya ‘Aku terima nikahnya’ juga. Kerinduan yang terlalu lama bersarang itu tertunai sudah. Janji setia termetrai sudah. Lautan api yang nanti diredah. Air dan laut yang bisa direnang. Rintangan dan halangan yang pasti dapat dibuang. Langkah-langkah bersama membina istana bahagia. Ku kan setia sepanjang masa.

Episod yang berlalu itu  diharapkan dengan seri cahayamata. Seri bahagia. Buah hati pengarang jantung. Intan payung. Menatap wajahnya pada  kali pertama seperti ada rasa tidak percaya. Ini anakku rupanya. Ya Allah sejahterakanlah dia. Jadikanlah ia anak yang soleh. Yang kukuh imannya. Yang kuat ibadahnya. Yang paling baik akhlaknya. Yang menyumbang kepada agamanya. Kepada kedua ibu bapanya. Kepada keluarganya. Kepada masyarakatnya. Kepada ummahnya. Anak sekecil telapak tangan ini perlu direncanakan hidupnya. Dilakarkan bina dirinya. Ditunjukkan jalan yang perlu menjadi destinasinya. Akan ku didikmu menjadi yang terbaik.

Anak-anak adalah bak kain putih. Bersih. Suci. Cantik secantiknya. Tiada cacat cela dari segala perbuatannya. Itulah lumrah anak-anak kecil. Fitrahnya begitu. Semuanya baik belaka. Cantik belaka. Manis belaka. Tetapi yang cantik semasa dia kecil itu tidak semestinya cantik bila dia remaja nanti. Bila dia dewasa nanti. Tentu usianya merangkak tambahnya. Anak itu melalui tahap-tahap yang pasti. Dari anak kecil dia menjadi kanak-kanak hingga menjadi remaja. Dari remaja menjadi dewasa. Tanpa kasih sayang orang tua sepertimu anak itu kehilangan arah. Siapa role modelnya? Siapa jurulatihnya? Siapa pembimbingnya? Siapa pengasuhnya? Kaulah ayahnya. Kaulah ibunya. Tanggungjawabmu untuk menyediakan diri anak itu  bagi menempuh masa hadapannya yang penuh dengan ketidakpastian. Maka belajarlah senjadi ibu bapa yang wajar. Sehingga umurnya tujuh tahun banyakkanlah bermain dengan mereka. Sewaktu kanak-kanaknya ajarlah prinsip dan disiplin. Supaya hidupnya berperaturan dan ada sempadan. Bila remaja berkawanlah dengan mereka. Bila dewasa hormatilah dia sebagai individu yang memiliki kebebasan hak.

Bermain banyak implikasinya. Melaluinyalah kau mendidik dia peraturan. Percaturan. Bersosial. Berkongsi apa yang ada. Ruang dan tempat.  Masa  dan saat. Bertolak dan beransur. Menerima kekalahan sebagai fitrah. Menikmati kemenangan sebagai lumrah. Yang penting permainan mesti bukan main-main. Ia menjanjikan suatu komitmen. Membina keyakinan. Mencuba dan eksperimen. Mengenal potensi diri. Suka duka yang kehadirannya bersama. Waktu inilah ibubapa membentuk dirinya. Supaya menjadi manusia yang tahu mengukur tinggi rendahnya diri. Kemampuan yang mesti disukat. Sasaran yang mesti dihambat. Cita-cita dan hasrat yang mesti dipanjat.

Tahap kedua hidupnya mesti melalui fasa-fasa mengenal agama. Bahawa solat adalah tiang agama. kefardhuan yang tidak diterima culasnya. Pukullah waktu umurnya 10 tahun. Sesudah tiga tahun dididik untuk melakukannya. Untuk membiasakan dirinya. Hingga umurnya 14 tahun anak itu mesti kenal disiplin. Mesti kenal adab. Mesti kenal sopan santun. Mesti boleh diajar. Perkenalkan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh. Yang hak dan yang batil banyak bezanya. Halal dan haram adalah pemisah antara syurga dan neraka. Baik dan buruk adalah nilaian manusia benci dan suka. Kriteria Allah wajib selalu dijaga dan diambilkira. Jangan terlalu percaya kepada kemanusiaannya hingga mencacatkan hubungannya dengan Allah. Adat resam hanya yang selari dengan syariat. Bukan berkeras dengan amalan lama yang banyak khurafatnya.

Bila baligh usianya banyak memberikan gejolak rasa yang tidak menentu. Fizikalnya berubah dari tiada kepada ada. Sosok tubuhnya berubah menjadi seperti orang dewasa. Anak itu menglami pancaroba yang terlalu membingungkannya. Menggundah gelanakannya. Merubah segala keanak-anakannya. Hatinya selalu rawan. Ada masanya sensitif tidak keruan. Ada kerinduan yang tidak dimengerti. Lirik mata sudah pada yang lain gendernya. Lumrah. Fitrah. Tugasmu sebagai ayah dan bondanya untuk memberikan garispanduan. Memberi sekatan. Menentukan larangan. Membisikkan nasihat dan semangat. Mengasuhnya mendidik nafsunya. Menjaga syahwatnya. Memelihara peribadinya. Waktu inilah sebenarnya ibu bapa banyak terlupa. Terlepas pandang. Anak-anak itu perlukan teman yang dipercaya. Kawan yang merasa bahang remaja. Teman bercerita. Tempat mencurah rasa. Semuanya terabai jika tidak dilakukan sejak dia masik anak-anak lagi. Bersamanyalah selalu. Tanya dan beri yang perlu.  Bina keyakinan dalam dirinya bahawa kaulah ayah dan ibunya yang mengerti dirinya.

Usianya akan meningkat dewasa. Nasihat profesonal perlu diberi supaya dia lebih mengenal dirinya. Kesesuaian pengajian yang ingin dimanfaatkanya. Kerjaya yang ingin diceburinya. Gabungkan semua unsur dirinya untuk diselarikan dengan kerjaya yang ingin diteroka. Bantu dia hingga tamat pengajiannya di peringkat setinggi yang menasabah. Mengikut kemampuan dan kudratnya. Nanti dia berkerjaya. Berumahtangga. Menjadi warganegara berguna. Yang panjang akalnya. Yang rasional fikirnya. Yang bersih jiwanya. Yang menyayangi watannya. Agamanya. Keluarganya. Masyarakatnya. Bangsanya. Nilai-nilai murni orang-orang di sekelilingnya.

Nanti kau akan lepaskan dia ke alam luas ini. Bahawa perginya sebagai anak yang lengkap diri. Memiliki intelektual sejagat. Tahan lasak, cabaran dan halangan yang berhalang.   Kental menghadapi segala yang datang. Berfungsi sebagai manusia biasa yang banyak gunanya. Banyak jasanya. Banyak sumbangannya. Untuk menjadikannya lebih istimewa untuk isteri dan anak-anaknya. Untuk keluarganya. Didiklah dia supaya berfungsi sebagai seorang manusia biasa. Rujuk entri terdahulu Berbezakah Anak Lelaki dan Anak Perempuan? Mudah-mudahan jika perempuan cantik keperempuannya. Jika lelaki pula memiliki ketahanan diri. Boleh berfungsi semasa keuzuran isterinya. Demi kelangsungan dirinya dan keluarganya. Kejayaan anak sulong ini akan menjadi jambatan yang meneruskan legasi keluarga. Untuk adik-adiknya yang menyongsong kemudian. Yang menurut jejak yang sulong. InsyaAllah. Saya doakan.

Tuesday, June 28, 2011

Bas Dan Penjalanan


Sistem pengangkutan di Malaysia dari dahulu hingga sekarang masih tetap haru biru. Banyak sangat masalah yang melingkarinya. Apabila rakyat semakin ramai semakin parah sistemnya. Berbagai-bagai tindakan telah diambil tetapi penyelesaiannya tidak nampak juga.  Kurangnya sedikit, bertambahnya yang banyak. Sewaktu saya menuntut di Universiti Malaya dahulu saya membaca buku-buku Amerika. Kebanyakan teori ekonomi dari professor yang berpenagkalan di Amerika. Tentunya teori kapitalis. Teori yang memberatkan keuntungan peribadi. Semua orang ingin menguasai kek ekonomi yang ada. Ingin lebih kaya dari orang lain. Apa yang saya lihat secara realiti berbeza dengan persepsi yang saya pelajari sebelum tiba di sana. Buku dan realiti sangat berbeza. Buku hanya idealisme yang ingin diketengahkan. Realiti adalah apa yang praktikal. Yang selesa menjadi amalan.

Pada realitinya banyak perkara yang hanya dogma. Teori semata-mata tanpa huraian yang sewajarnya. Paradoxical. Ekonomi, seperti juga hal-hal lain ada kelainan mengikut tempat, lokasi dan persekitaran. Walaupun orang Amerika gila kaya ada hal yang mereka sepakat. Keselesaan rakyat diutamakan. Sebagai contoh pendidikan tiada kompromi. Itulah modal insan yang mesti diberi keutamaan. Tidak ada satupun hal pendidikan yang diabaikan. Semuanya diberi tumpuan berganda. Kepada mereka kekurangan dalam pendidikan bererti kegagalan mengungguli penguasan mereka ke atas dunia. Pendidikan ada hubungan dengan teknologi. Ada hubungan dengan politik. Ada hubungan dengan ekonomi. Pendidikan tidak boleh dikompromikan. Mereka ingin menguasai bumi dan langit. Menguasai antara keduanya. Beraja di mata bersultan di hati. Menjadi polis dunia. Pencatur apa sahaja agenda.

Namun di sebalik banyak hal, sistem pengangkutan mereka kelihatan lebih efisyen. Di Pittsburgh umpamanya saya cukup selesa menggunakan bas. Hanya sekali saya menaiki teksi. Terlalu mahal. Very personal. Very private. You pay for it. Bas lebih selesa. Banyak perkara yang baiknya. Cuma yang perlu ialah keterbukaan kita memahaminya. Melaksanakan dengan memberikan manfaat win-win situation. Menang-menang. Pengusaha tidak rugi tetapi tidak terlalu untung. Pengguna tidak terbeban tetapi menikmati perkhidmatan yang memuaskan. Yang lebih utama ialah kesejahteraan. Pengangkutan dilihat sebagai alat produktiviti. Pengangkutan awam menjadi nadi penggerak ke arah itu. Dalam mana-mana bandar perkhidmatan bas, keretapi ringan, tram dan mungkin bot diletakkan di bawah satu perbadanan. Satu consortium. Satu pengurusan. Satu petadbiran. Strictly no hanky-panky business. It is a very serious business. Of course for the nation. Not for personal gain.

Kebanyakan warga kota menaiki bas. Tidak kira siapa mereka. Tidak kira apa pangkat mereka. Tidak kira taraf sosial mereka. Masyarakat yang sudah bertamadun tinggi dari segi rasionalisasi berbeza dengan kita. Mereka benar-benar memahami tanggungjawab melaksanakan tuntutan negara. Proud to be its citizen. Sedia berkorban nyawa. Yang lelaki berblazer. Yang wanita memakai pakaian kerja. Yang ini kita kalah. Kita tidak tahu membezakan antara pakaian casual dengan pakaian kerja. Kita mengalami kecelaruan budaya dari segi berpakaian. Orang putih pergi bekerja memakai blazer. Tiada kecuali. Sewaktu winter mereka memakai overcoat. Bezanya hanya ada yang memakai dari jenis mahal sedangkan yang lain memakai jenis murah atau sudah lusuh. Jika kita menonton filem atau video mereka, yang menaiki bas itu kita lihat sama belaka. Seolah-olah tiada kelas sosial. Tiada perbezaan taraf.

Menaiki bas memanglah membayar tambang. Pelaksanaannya berbeza. Senario biasa di Malaysia ialah bas itu dikendalikan oleh dua orang. Seorang hanya menjadi drebar semata-mata. Yang seorang lain menjadi kelindan. Kelindan inilah yang ke hadapan dan ke belakang memungut tambang. Mengoyak tiket. Maka kos mengendalikan bas itu menjadi berganda. Di Pittsburgh yang ada hanya drebar sahaja. Seorang sahaja. Bas pula panjang. Bersambung. One, two or three coaches. Maknanya pada waktu biasa mungkin hanya ada one or two coaches. Tetapi pada waktu puncak mesti ada two or three coaches.

Panjang. Berderet-deret pula dalam satu masa. Jalan yang berlainan tetapi destinasinya satu. Pilihan buat penumpang.

Pada waktu puncak bukan hanya ada bas yang panjang bersambung, perjalanan bas-bas itu bertunda-tunda. Untuk sampai ke sesuatu destinasi bas-bas itu melalui jalan-jalan yang berbeza. Jika kita tidak mahu bas yang di hadapan pilih yang kedua atau ketiga. No rushing sebab banyak pilihan. Penumpang sentiasa nombor satu. Diberi keutamaan. Sentiasa diutamakan. Yang penting mereka sampai di destinasi mereka on time. Bekerja. Produktif. Menyumbang kepada negara. Menjadikan negara mereka kaya sebabnya kekayaan itu akan kembali kepada mereka dalam bentuk berbagai-bagai faedah sosial.  Bas bukan dianggap sesuatu yang terasing dari agenda negara. It plays an integral part of nation building. Ini yang kita abaikan. Kita berminat dengan part of the cake tetapi tidak memahami tanggungjawabnya kepada negara. Bayangkan jika bas boleh disediakan berderet-deret di Kuala Lumpur dan di Lembah Klang umpamanya. Tentu  ramai yang akan meninggalkan keretanya di rumah. Jalan kurang sesak. Hanya jika perlu sahaja.

Ini bas two coaches. Panjang kan? Kalau begini tentu penumpangnya berganda.







Bas-bas panjang ini dinamakan articulated bus. Berganda ramainya penumpang yang mendapat perkhidmatan. Kebanyakan penumpang berdiri. Tempat duduk terhad. Sangat terhad. Yang duduk sepenuhnya hanya bas ekspress perjalanan jauh sahaja.

Di negara maju, hatta di Brazilpun bas-bas seperti ini digunakan untuk mengangkut warga kotanya. Begitulah di negara-negara maju yang lain. Sebut sahaja di mana. Amsterdam, London, Tokyo, Brussels, Rio Jeneiro, Rome, Genua, paris, Hamburgh. Sebut sahaja di mana. Di negara maju pengangkutan awam sudah jauh terkehadapan. Rapid KL mungkin boleh memikirkannya. Belajar dan ambillah yang baik dari mana sekalipun. Yang penting rakyat didahulukan.

Untuk memartabatkan sistem pengangkutan yang bertaraf tinggi tentu banyak kosnya. Tetapi pelaburan sebegini berbaloi dalam jangkapanjang. Kurang pembaziran petrol.  Kurang kemalangan. Kurang kesesakan. Kurang pekerja yang lewat ke tempat kerja. Keselesaan terjamin. Bas yang panjang sebegitu dipandu oleh seorang drebar yang mungkin tua atau wanita. Ya wanita memandu bas panjang. Tiada masalah kerana semua bas adalah automatik. Hanya perlu masuk giar, tekan minyak dan brek. Bila pemumpang naik buka pintu hadapan. Bila penumpang turun buka pintu belakang. Itu sahaja. Tambang? Yang ini kita perlu rasionalkan akal. Perlu fikirkan dengan mendalam. Falsafah mereka sudah lama terlaksana. Sudah disepakati keluhurannya. Sudah teruji berzaman-zaman.

Jalanraya di USA lebar dan luas. Selalu mengambil kira jangkamasa hayatnya yang panjang. Untuk masa hadapan yang diunjurkan. Yang dijangkakan. Yang direncanakan. Jalanrayanya tip-top supaya semua kenderaan berjalan tanpa gangguan. Bas di sana berjalan di jalanraya seperti di lapanganterbang. Jalannya rata dan licin. Pemandu bas memandu dengan selesa seolah-olah semuanya adalah joyride. Selekoh di perbesarkan. Persimpangan diperbanyakkan jejambat dan jejentas. Pendek kata pegangkutan seperti nikmat yang tidak terhingga. Penumpang dijamin sampai di destinasi mereka mengikut jadual. Hampir saban waktu jadual itu predictable. Suatu perkiraan yang mengambil masa yang panjang. Penyelidikan  yang berterusan.

Tambang bas tidak seperti di nergara kita. Nilai tambang disukat mengikut jarak. Di Pittsburgh tambang bas mengikut zon. Dalam satu zon mereka membayar  a dollar (waktu saya dahulu sekitar RM2.60. Sekarang lebih murah lagi). Walaupun mereka naik hanya setengah kilometer mereka membayar  a dollar. Satu zon dikira city limit. Sekitar 10 15 km atau 10 batu pada mereka.  Ini falsafahnya. Bas menyediakan perkhidmatan. Penumpang membayar perkhidmatan itu. Bukan jarak perjalanan. Maknanya semua orang menyumbang untuk melestarikan perkhidmatan itu. Yang jauh menyumbang. Yang dekat turut menyumbang. Semua orang perlukan perkhidmatan itu. Semua orang mahukan perkhidmatan itu cekap dan berkesan. Berjalan lancar. Tanpa gangguan. Jika ada masalah semua orang terlibat. Bukan yang dekat sahaja. Bukan yang jauh sahaja. Tentang hal ini mereka sepakat. Untuk bukan penentu. Perkhidmagtan yang penting.

Apabila bas melewati zon pertama penumpang menambah tambang sebanyak satu quarter. 25 sen. Masuk zon yang ketiga tambah lagi satu quarter. Perjalanan sejauh 60km mungkin tambangnya hanya sekitar USD1.50. Murahkan? Namun begitu bas tidak banyak menyediakan tempat duduk. Jika adapun  khusus untuk warga emas atau OKU. Atau wanita. Atau kanak-kanak kecil. Yang wanita diutamakan. Yang lelaki menjadi gentlemen. Mengalah untuk memberi laluan kepada ladies yang ada. Entahlah nikmat sungguh menaiki bas di USA. Nanti apabila penceritaan saya ini sampai di Canada akan saya ceritakan lebih lanjut penganukutan di bandaraya Toronto yang lebih unik lagi.

Kelindan bas tidak ada untuk memungut tambang. Semuanya self-service. Naik sahaja bas, terdapat mesin yang menerima tambang. Terletak di sebelah drebar. Drebar hanya membaca berapa jumlah yang kita masukkan. Sama ada wang kertas atau siling. Terdapat keistimewaan yang luar biasa bagi orang Amreika. Mereka kuat ingatan. Drebar seolah-olah tahu zon mana kita berhenti. Jika kita terlupa menambah tambang dia akan mengingatkan kita bahawa kita sudah melewati zon yang berlainan. Seorang tetapi mengawal serba serbi. Lagipun drebar bas bukan calang-calang kerjaya. Paling kurang gaji mereka USD2,500 sebulan. Atau USD30,000 setahun. Paling kurang. Semua orang dijamin boleh hidup. Jika tidak selsesa sekalipun dapat kelapangan hidup. Menikmati apa-apa yang sepatutnya dinikmati.

Bila agaknya hal seperti ini akan sampai di sini? Terlalu lama menunggu. Tunggu yang mudalah untuk membuat perubahan. Tunjukkan sayang dan cinta kepada negara ini. Caranya merancang untuk menambahbaik. Itu sahaja. Ramuannya cari di seluruh dunia. Kita kaya dan memiliki kekayayaan. Kewarasan berfikir yang perlu. Ada pula keberanian untuk membuat perubahan.

Monday, June 27, 2011

Belajar Dari Perantauan Ilmu


Berada di luar negara sukar digambarkan dengan kata-kata. Terbang di angkasa merupakan pengalaman tersendiri. Waktu kecil-kecil dahulu saya hanya mampu melihat kapalterbang kecil yang melintasi ruang udara kampung saya sama ada siang atau malam. Kecil di atas. Jika siang berkilat dipancar cahaya matahari. Jika malam dilihat terkelip-kelip lampunya di bahagian perut. Seperti saya kata dahulu, tidak apa mimpi semua itu. Tidak pernah terfikirpun. Sesuatu yang terlalu asing. Hanya apabila keluar dari kampung semua itu terbuka. Bila memanjat tangga akademik barulah pemandangan saya lebih luas kerana sudah berada di tempat yang lebih tinggi. Begitulah jika ingin terbang jauh kita kena ke tempat yang tinggi. Lihat dulu ufuk itu di mana. Boleh dirancang untuk ke tempat yang lebih jauh. Tempat yang lebih tinggi. Sebab itu orang di bawah hanya tinggal sibuk dengan bawahnya sahaja. Bak kata pepetah bergelumang dengan tahi sahaja. Maaflah. Itu kata pepatah. Pepatah kita. Orang dahulau yang mencipta. Bukan untuk menghina. Hasratnya supaya kita keluar dari perlimbangan bawah itu. Lari dari kesusahan dan kepayahan.

Orang yang berada di tempat tinggi skop pemandangannya luas. Pandangannya bebas. Terbuka. Boleh ke atas dan ke bawah.  Boleh merentas.  Boleh menerobos. Boleh melayang. Bird’s eye view kata orang putih. Berada di bawah sangat terbatas dunianya. Tenggelam dengan hal yang remeh temeh. Hingga adat nenek moyang terus diwarisi. Tidak pernah memikirkan baiknya. Buruknya. Batilnya. Bersembang tidak pernah berhenti setiap masa. Setiap hari. Siang dan malam. Keadaan semakin buruk jika sembang orang yang tidak bermaklumat. Tanpa fakta. Tanpa statistik. Mengumpat jadinya. Sukar untuk menghapuskannya. Dalam peristiwa isra’ dan mi’raj telah diceritakan buruknya balasan orang yang mengumpat. Orang Islam dan orang Melayu hanya menganggap cerita itu hiburan. Dongeng. Retorik. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tahun hadapan cerita yang sama diulangsuara atau diulangtayang. Apabila penyampaiannya banyak unsur Israeliyyat lagilah cerita itu menjadi hilang authenticitynya. Dalil al-Quran terabai. Dalil al-Hadith terlepas pandang. Cerita tinggal cerita. Malang jika agama hanya perintang waktu.

Sesuatu yang benar mestilah disampaikan dengan akademik. Dengan fakta. Dengan dalil-dalil yang qat’i. Dari al-Quran dan al-Hadith. Sahih. Jelas susur galurnya. Sanadnya. Rujukannya. Zaman teknologi sekarang ini mestilah dimanfaatkan. Menerangkan dengan lisan tidak dapat menggambarkan sesuatu yang dirasakan abstrak.  Dari Makah ke Bait al-Maqdis tidak dapat digambarkan dengan nyata dan saksama. Dengan teknologi kita dapat menunjukkan perjalanan yang jauh begitu. Jaraknya dari Makkah dinyatakan dengan jelas. Berapa lama Rasulullah dalam perjalanan. Maka dapat diberi nilai masa yang logik akal.  Apabila kita bandingkan dengan jet paling laju sekarang ini, kelajuan buraq itu bukan sesuatu yang sukar difahami. Akhirnya semua manusia yang sceptical pasti boleh menerima hakikat isra’ dan mi’raj. Manusia yang diberi sedikit ilmu sudah mampu ke ISS di angkasa dalam beberapa hari. Ilmu Allah yang tidak terhingga banyaknya, yang tidak ada tandiangan bagiNya tentu semuanya mudah bagi Allah. Hanya kun fayakun. Jadilah ia.

Manusia Muslim perlu pandai. Perlu berilmu. Perlu menjadi mereka yang mengetahui. Ilmu mengangkat manusia ke tempat yan tinggi. Perjuangannya untuk Allah. Jalan fikirnya jelas. Matlamat dan destinasinya hanya akan kembali kepada Allah. Menerima balasan-balasan yanag telah ditentukan. Ilmu dan pendidikan menjadikan manusia membuka luas mindanya.  Memikirkan apa yang dapat disumbangkannya untuk masyarakatnya. Untuk agamanya. Untuk keluarganya. Untuk orang-orang yang dekat dengan dirinya. Keluar dari kepompong diri yang membelenggu. Membuang dari rasa jumud yang melampaui zaman. Ilmu membawa seseorang itu ke jalan yang lebih lurus. Dirinya lebih tahu yang mana lebih benar dan yang mana salah. Apabila berhadapan dengan alternatif tentu dia boleh membuat pilihan yang lebih baik. Pilihan yang mengikut kriteria Allah. Kriteria agama. Kriteria syariat. Kriteria yang mendekatkan dirinya kepada Allah. Kepada Rasulullah. Tentulah yang syahdu tu lebih menyakinkan diri dan iman. Mengukuh dan memperkasakannya. Jalan pulang yang kita cari sangat lebih jelas. Kita tahu memilih jalannya.

Jangan biarkan diri kita di perlimbangan yang paling bawah. Maksud saya kita tidak menambahkan ilmu yang bermanfaat.  Dalam hal ini kita tidak boleh meletakkan diri kita supaya sama dengan orang lain. Ikut orang lain. Ikut trend. Follow the crowd. Itu adalah pandangan yang salah. Sempit. Jumud. Kolot.  Beku. Membatu. Kita mahukan Muslim yang dinamik. Progresif.  Kita di paras bawah dalam pendidikan. Dalam teknologi. Dalam ekonomi. Jika tidak diperhambat dan diperhebat hambatan ilmu maka selamanya kita berada di perlimbangan yang amat memualkan. Menyedihkan. Menyukarkan petugas penyelamat untuk membantu. Untuk menaikkannya. Untuk membangunkannya.

Ayuhlah maju ke hadapan. Usia kita semakin pendek. Yang panjang ialah amal jariahnya. Jasanya. Baktinya. Ilmunya. Sumbangannya. Ideanya. Kebaikannya. Usahanya maju ke hadapan. Mulakannya hari ini. Mulakan dengan diri kita sendiri. Nanti diperluaskan kepada orang-orang yang paling hampir dengan kita. Akhirnya diperluaskan kepada mereka yang paling jauh dari kita. Had kita adalah alam. Yang terbentang itulah yang ingin kita terokai. Membina kejayaan di dunia dan di akhirat. Saya amanahkan kapada semua pembaca blog saya ini untuk meneruskan legasi pencarian ilmu supaya agama kita dan penganutnya berada di puncak seperti pernah berlaku dahulu. Ungguli semua perkara yang berkaitan dengan agama. Junjunglah al-Quran dan al-Hadith. Itu sahaja harta yang Rasulullah tinggalkan. Bukan hamparan permaidani. Bukan intan berlian. Bukan emas dan perak. Bukan wang dan ringgit. Bukan tanah ladang. Bukan ternakan. Dua harta tinggalan itu jauh lebih berharga dari segala yang ada. Mengimaninya suatu hal. Melaksanakan amalan yang berkaitan dengannya suatu hal yang lain.  Maka al-Quran itu bukan sahaja untuk dibaca tetapi yang lebih besar lagi tugas kita ialah untuk kita melaksanakan apa yang terkandung di dalamnya.

Saya berasa insaf apabila saya semak bahawa pembaca blog saya berada hampir di seluruh dunia. Yang saya pasti mereka adalah orang Malaysia. Mungkin ada orang bukan Malaysia yang boleh membaca dalam Bahasa Melayu. Alhamdulillah. Mungkin ada manfaatnya. Pelajarilah apa yang tuan lihat di negara orang. Apa yang tuan dengar di negara orang. Yang tuan rasa di negara orang. Pengalaman-pengalaman peribadi itu boleh dihimpunkan menjadi suatu wacana, suatu wadah untuk menggerakkan pemikiran yang lebih terbuka di kalangan umat Malaysia. Untuk melihat dunia ini melalui perspektif yang berbeza. Dinamik dan progresif. Lihatlah senarai di bawah:

Amerika Syarikat
Argentina
Australia
Bahrain
Belarus
Belgium
Brazil
Brunei
Cambodia
Canada
China
Columbia
Costa Rica
Denmark
Egypt
Estonia
Filipina
France
Germany
Hong Kong
Hungary
India
Indonesia
Iran
Ireland
Israel
Italy
Japan
Jordan
Laos
Luxemburgh
Netherlands
New Zealand
Poland
Russia
Saudi Arabia
Singapore
Slovenia
South Korea
Sweden
Taiwan
Thailand
Tunisia
UAE
Ukraine
United Kingdom
Vietnam


Kebanyakan daripada tuan adalah pembaca tegar blog saya ini. Pada tuan saya sarankan tugas untuk mengembangkan lagi apa-apa yang saya kongsikan. Masa semakin suntuk untuk kita berbuat sesuatu. Dunia semakin kalut. Sangat mengerikan apabila yang hak dikatakan batil. Yang batil pula dikatakan hak. Hanya ilmu yang membezakan antara kita. Ia menjadi penentu survival bangsa dn agama kita. Selamat maju jaya. Untuk agama. Untuk Allah. Untuk Rasulullah. Seperti kata Maher Zain, InsyaAllah ada jalannya.

Juliza Adzlizan

Namanya gah setelah memenangi Bintang RTM tahun 1984. Lagu yang dibawanya Kuda Hitam sangat mengesankan. Lagu asal Hetty Koes Endang itu nyata memberikan tuah kepadanya. Juara lagu 1984 itu ialah Juliza Adzlizan. Orang Pahang. Waktu itu dia baru tamat SPM. Anak dara trang tang tang. Kerana kejayaannya itu kerajaan Pahang membantunya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik. Tempat pilihannya ialah Point Park College di Pittsburgh. Maka sekampunglah saya dengannya.

Di Point Park College ini ramai pelajar Malaysia. Pelajar Melayu. Hampir kesemuanya dengan tanggungan FAMA - father and mother. Sebahagian sahaja yang ditaja seperti Juliza. Lokasinya di Golden Triangle. Betul-betul di kawasan segi tiga pertemuan antara tiga sungai di muara bandraya Pittsburgh. Tempat yang sangat strategik. Downtown Pittsburgh. Right in the heart of the city. Berpuluh-puluh pelajar Melayu berada di situ. Komuniti Melayu di Pittsburgh ketika itu agak besar juga. Bila kami berhimun di Schenly Park nampak ramai juga. Walaupun ramai yang berkeluarga, yang bujang labih ramai lagi. Mendiang Virat Dinrat yang selalu menjadi perantara. Dengan yang bujang dia rapat kerana dia sendiri masih bujang. Dengan yang berkeluarga juga dia rapat kerana dia penjawat awam.

Juliza datang lewat sedikit dari saya. Mungkin seminggu dua. Biasalah untuk keluar negara bukan mudah urusannya. Banyak red tape. Banyak protokol. Banyak prosedur. Banyak urusan-urusan di belakang tabir yang tidak kita ketahui. Yang pasti mesti ada saringan keselamatan. Pasport satu hal. Visa satu hal lain. Berulang-alik ke kedutaan asing bukan boleh sekali dua. Perlukan pertemuan  bersemuka. Untuk mempastikan bahawa the person is real. Not a threat to national security.

Rezeki Juliza. Ada orang yang menyediakan tempat tinggal. Menjaganya. Akhirnya mereka bernikah. Sayangnya jodoh mereka tidak panjang. Itu cerita suami pertamanya. Sejak saya kembali ke Malasyia pada tahun 1986 terputus hubungan dengannya. Jika bertemu pasti tidak kenal lagi. Dia mungkin kenal saya kerana perubahan saya tidak banyak. Kata orang yang pernah bersama saya. Kali terakhir saya menemui Julizapun pada tahun 1987 agaknya. Di RTM, Lembah Pantai. Sekarang hanya membaca beritanya sahaja jika ada. 

Juliza agak rapat juga dengan isteri saya. Pandai bercerita. Pandai melawak. Cuma yang saya rasa dia antara  bintang RTM yang agak malap. Bukan kerana kurang bakat. Tetapi selepas sahaja memenangi pertandingan itu dia terus terbang ke US. Mengejar akademik. Ijazah muzik. Dia tidak mengembangkan bakatnya di Malaysia. Tidak menjadi penyanyi popular. Tidak berada dalam carta mingguan. Wajahnya tidak muncul dalam TV. Suaranya tidak kerap di corong radio. Di akhbar beritanya tiada. Hanya beberapa bulan namanya dipintas dengan kehadiran penyanyi lain. Antaranya Datuk Sheila Majid. Cumanya Juliza memiliki ilmu. Boleh hidup dengan ilmu itu. Kekal jika diamalkan. Jika mengajar orang lain. Jika dimanfaatkan.


Suatu hari dia bersama saya dan keluarga. Sibuklah anak-anak saya. Kuda hitam sudah datang. Orangnya hitam manis. Mungkin lebih putih daripada saya. Manisnya ada. Banyak bual dan ketawa. Jenis ceria. Anak saya yang ketiga bukan main rapat duduk denganaya. Selebriti ketika itu.

Gambar ini pada waktu yang lain. Saya tidak ingat di mana. Mungkin di rumah tempat tinggalnya. Kami pernah dijemput makan di rumahnya.

Benar. Ini di rumah sewa Juliza.



Gambar-gambar seperti ini bercerita peristiwanya sendiri. Cerita lisan banyak tokok tambahnya. Melihat sendiri gambar seperti ini memberikan nilainya yang tersendiri.  Siapa kita sebenarnya ketika waktu itu. Transformasi tetap berlaku. Dunia kita dinamik. Kita berpindah dari satu situasi ke satu situasi yang lain. Destinasinya terlalu jauh jika belum sampai. Terlalu dekat bila sudah ditentukan waktunya.

Sunday, June 26, 2011

Menghimpunkan Rakan-Rakan di Rumah

Duduk di perantauan terlalulah rindukan kampung halaman. Untuk menghilangkan rasa rindu itu selalu diadakan pertemuan dengan teman-teman yang ada di sekeliling. Kebetulan di Pittsburgh ramai pelajar Malaysia. Kebetulan juga ramai yang berkeluarga. Memang kebetulan ramai keluagra guru. Tidaklah sunyi dari bertemu dan bertandang. Bersama dan bersantai. Ada cerita yang boleh dikongsi bersama. Selain daripada berkongsi kehadairan bersama di park, kami adakan juga pertemuan di rumah. Ada masanya pertemuan itu bukan dirancang. Panggil kawan-kawan. Adakan makan-makan. Sembang-sembang. Ambil gambar. Esok lusa di rumah teman yang lain.

Bila diadakan jamuan ada sahaja juadah dari kampung. Masing-masing dari daerah yang berlainan. Dari kampung yang berlainan. Dari negeri yang berlainan. Tentu sahaja banyak kelainan dari segi masakan dan rasanya. Ada masakan banyak masinnya. Ada pula banyak manisnya. Yang lain antara keduanya. Yang berlainan lagi banyak pedasnya. Seperti potpouri pula. Kepelbagaian dalam satu. Seronok juga bertukar-tukar selera. Memperkayakan maklumat dan pengalaman. Berkongsi apa yang ada. Bertukar-tukar budaya. Yang cantiknya ialah antara kami tiada beza membeza. Tiada diskriminasi. Semuanya boleh bersama walaupun masing-masing berbeza bidang pengajian. Berbeza peringkat pengajian.

Rasanya yang bujang benar-benar menjamu selera. Rezeki jangan ditolak. Sudah lama tidak pekena juadah dari kampung. Selalunya makan apa yang boleh masuk ke perut. Belajar juga memasak tetapi kadang-kadang tidak menjadi. Tidak sama seperti kakak-kakak yang sudah pakar menjamu suami dan anak-anak. Sudah teruji. Memang banyak sedapnya dari tidak. Bertambah-tambah menimbun pinggan. Rasa berat perut. Kaki payah melangkah balik. Kenyang sekenyang-kenyangnya. Minta-minta tiap minggu ada juadah terhidang. Lepas juga sedollar dua

Kerusi bukan cukup. Duduklah di mana-mana. Yang penting boleh makan. Boleh bersama. Bercerita jika ada. Melawak menghindar kerinduan ke kampung halaman. Inilah saudara  mara yang ada. Susah senang bersama. Mengeratkan silaturahim sesama pelajar yang jauh dari tanahair tercinta. Jauh dari saudara mara, kerabat dan waris. Jauh dari sahabat handai yang ditinggalkan.


Anak kedua dan anak kelima. Awal tahun 1985. Yang kelima baru lebih sedikit setahun. Baru pandai berjalan.
Prof Dr Hazim Shah, Universiti Malays. 26 tahun dahulu nampak muda benar. Di hadapannya anak sulungnya. Sudah besar panjang sekarang. Masih berhubungan dengannya.

Yang di kanan sekali mantan NC UPSI. Dato' Dr Ashari Che Mat. Sudah lama tidak didengar khabar beritanya. Yang berT-shirt bernama Aspar. Dulu di KPM. Sekarang tentu sudah bersara. Pernah bertemu tetapi masing-masing sudah terlupa pernah bersama di Pittsburgh dahulu.
Seronok anak-anak bila ramai begini.

Anak ketiga, keempat dan kelima. Masih kecil ketika itu. Entah apa ertinya gambar ini kepada mereka. Ingatan ke masa ini rasanya terlalu kabur.

Bila berjamuan begini isteri saya yang paling kepuh. Banyak yang perlu dibuat. Beruntung juga kerana rumah kecil. Tidak banyak ruang bergerak. Semuanya selangkah dua sahaja. Kurang juga penatnya. Anak-anak mengambil peluang menjamu selera. Saya masih rindu lagi saat itu. Meraikan kasih sayang mereka. Duduk bertiga sopan-sopan belaka.

Duduk beramai-ramai. Berlapis-lapis. Asalkan ada ruang. Kongsi bersama. Balik ke tanahair jarang kita lakukan begini. Walaupun dengan jiran tetangga. Masing-masing terlalu menyibukkan diri dengan hal-hal kehidupan yang tidak pernah kunjung leganya. Semakin dibuat semakin bertambah kalutnya.

Yang ditengah Nur dari Terangganu. Di kanak sekali Shidah, anak Datuk Rashid Ngah. Bekas EXCO kerajaan Terengganu zaman Datuk Wan Mukhtar dahulu. Bertemu dengan Datuk waktu ia datang berkunjung ke Pittsburgh menjengah anaknya. Kenal dengannya sewaktu dia menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Seberang Takir (sekarang Ibrahim Fikri) pada tahun 1969 dahulu.

Sherry (Sharifah Fatmah, Datin) duduk di kanan sekali. En Bakar berdiri di kiri. Pegawai PTD. Isterinya Saleha di kanan sekali. Encik Bakar orang Melaka. Isterinya orang Kedah.

Pn Hajjah Faridah. Ada juga bertemu dengannya. Suaminya Haji Bakar, Timbalan Pengarah Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCCED). 
Keluarga Prof Dr Hazim Shah. Kali terakhir dia datang ke rumah saya semasa majlis perkahwinan anak kelima saya pada harai raya tahun 2010 yang lalu.

Ramai yang sudah tidak lagi saya ingat. Entah di mana mereka semua.

Di kanan Pauline Achan. Di sebelahnya Lemuk Sidu, Keduanya dari Sarawak. Bertugas di UiTM. Di mana? Sudah terputus hubungan.