Wednesday, June 29, 2011

Buah Hati Pengarang Jantung


Sudah fitrah manusia bahawa anak sulong mendapat perhatian istimewa. Lahirnya adalah manifestasi cinta dua insan yang panjang sejarahnya. Cerita suka dukanya. Harapan dan cita-citanya. Kebimbangan yang selalu memanjang. Yang malamnya selalu merembaskan air mata. Yang siangnya selalu terpandang-pandang. Mimpi yang tidak pernah selesai. Ingatan yang selalu terbuai-buai. Akhirnya ‘Aku terima nikahnya’ juga. Kerinduan yang terlalu lama bersarang itu tertunai sudah. Janji setia termetrai sudah. Lautan api yang nanti diredah. Air dan laut yang bisa direnang. Rintangan dan halangan yang pasti dapat dibuang. Langkah-langkah bersama membina istana bahagia. Ku kan setia sepanjang masa.

Episod yang berlalu itu  diharapkan dengan seri cahayamata. Seri bahagia. Buah hati pengarang jantung. Intan payung. Menatap wajahnya pada  kali pertama seperti ada rasa tidak percaya. Ini anakku rupanya. Ya Allah sejahterakanlah dia. Jadikanlah ia anak yang soleh. Yang kukuh imannya. Yang kuat ibadahnya. Yang paling baik akhlaknya. Yang menyumbang kepada agamanya. Kepada kedua ibu bapanya. Kepada keluarganya. Kepada masyarakatnya. Kepada ummahnya. Anak sekecil telapak tangan ini perlu direncanakan hidupnya. Dilakarkan bina dirinya. Ditunjukkan jalan yang perlu menjadi destinasinya. Akan ku didikmu menjadi yang terbaik.

Anak-anak adalah bak kain putih. Bersih. Suci. Cantik secantiknya. Tiada cacat cela dari segala perbuatannya. Itulah lumrah anak-anak kecil. Fitrahnya begitu. Semuanya baik belaka. Cantik belaka. Manis belaka. Tetapi yang cantik semasa dia kecil itu tidak semestinya cantik bila dia remaja nanti. Bila dia dewasa nanti. Tentu usianya merangkak tambahnya. Anak itu melalui tahap-tahap yang pasti. Dari anak kecil dia menjadi kanak-kanak hingga menjadi remaja. Dari remaja menjadi dewasa. Tanpa kasih sayang orang tua sepertimu anak itu kehilangan arah. Siapa role modelnya? Siapa jurulatihnya? Siapa pembimbingnya? Siapa pengasuhnya? Kaulah ayahnya. Kaulah ibunya. Tanggungjawabmu untuk menyediakan diri anak itu  bagi menempuh masa hadapannya yang penuh dengan ketidakpastian. Maka belajarlah senjadi ibu bapa yang wajar. Sehingga umurnya tujuh tahun banyakkanlah bermain dengan mereka. Sewaktu kanak-kanaknya ajarlah prinsip dan disiplin. Supaya hidupnya berperaturan dan ada sempadan. Bila remaja berkawanlah dengan mereka. Bila dewasa hormatilah dia sebagai individu yang memiliki kebebasan hak.

Bermain banyak implikasinya. Melaluinyalah kau mendidik dia peraturan. Percaturan. Bersosial. Berkongsi apa yang ada. Ruang dan tempat.  Masa  dan saat. Bertolak dan beransur. Menerima kekalahan sebagai fitrah. Menikmati kemenangan sebagai lumrah. Yang penting permainan mesti bukan main-main. Ia menjanjikan suatu komitmen. Membina keyakinan. Mencuba dan eksperimen. Mengenal potensi diri. Suka duka yang kehadirannya bersama. Waktu inilah ibubapa membentuk dirinya. Supaya menjadi manusia yang tahu mengukur tinggi rendahnya diri. Kemampuan yang mesti disukat. Sasaran yang mesti dihambat. Cita-cita dan hasrat yang mesti dipanjat.

Tahap kedua hidupnya mesti melalui fasa-fasa mengenal agama. Bahawa solat adalah tiang agama. kefardhuan yang tidak diterima culasnya. Pukullah waktu umurnya 10 tahun. Sesudah tiga tahun dididik untuk melakukannya. Untuk membiasakan dirinya. Hingga umurnya 14 tahun anak itu mesti kenal disiplin. Mesti kenal adab. Mesti kenal sopan santun. Mesti boleh diajar. Perkenalkan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh. Yang hak dan yang batil banyak bezanya. Halal dan haram adalah pemisah antara syurga dan neraka. Baik dan buruk adalah nilaian manusia benci dan suka. Kriteria Allah wajib selalu dijaga dan diambilkira. Jangan terlalu percaya kepada kemanusiaannya hingga mencacatkan hubungannya dengan Allah. Adat resam hanya yang selari dengan syariat. Bukan berkeras dengan amalan lama yang banyak khurafatnya.

Bila baligh usianya banyak memberikan gejolak rasa yang tidak menentu. Fizikalnya berubah dari tiada kepada ada. Sosok tubuhnya berubah menjadi seperti orang dewasa. Anak itu menglami pancaroba yang terlalu membingungkannya. Menggundah gelanakannya. Merubah segala keanak-anakannya. Hatinya selalu rawan. Ada masanya sensitif tidak keruan. Ada kerinduan yang tidak dimengerti. Lirik mata sudah pada yang lain gendernya. Lumrah. Fitrah. Tugasmu sebagai ayah dan bondanya untuk memberikan garispanduan. Memberi sekatan. Menentukan larangan. Membisikkan nasihat dan semangat. Mengasuhnya mendidik nafsunya. Menjaga syahwatnya. Memelihara peribadinya. Waktu inilah sebenarnya ibu bapa banyak terlupa. Terlepas pandang. Anak-anak itu perlukan teman yang dipercaya. Kawan yang merasa bahang remaja. Teman bercerita. Tempat mencurah rasa. Semuanya terabai jika tidak dilakukan sejak dia masik anak-anak lagi. Bersamanyalah selalu. Tanya dan beri yang perlu.  Bina keyakinan dalam dirinya bahawa kaulah ayah dan ibunya yang mengerti dirinya.

Usianya akan meningkat dewasa. Nasihat profesonal perlu diberi supaya dia lebih mengenal dirinya. Kesesuaian pengajian yang ingin dimanfaatkanya. Kerjaya yang ingin diceburinya. Gabungkan semua unsur dirinya untuk diselarikan dengan kerjaya yang ingin diteroka. Bantu dia hingga tamat pengajiannya di peringkat setinggi yang menasabah. Mengikut kemampuan dan kudratnya. Nanti dia berkerjaya. Berumahtangga. Menjadi warganegara berguna. Yang panjang akalnya. Yang rasional fikirnya. Yang bersih jiwanya. Yang menyayangi watannya. Agamanya. Keluarganya. Masyarakatnya. Bangsanya. Nilai-nilai murni orang-orang di sekelilingnya.

Nanti kau akan lepaskan dia ke alam luas ini. Bahawa perginya sebagai anak yang lengkap diri. Memiliki intelektual sejagat. Tahan lasak, cabaran dan halangan yang berhalang.   Kental menghadapi segala yang datang. Berfungsi sebagai manusia biasa yang banyak gunanya. Banyak jasanya. Banyak sumbangannya. Untuk menjadikannya lebih istimewa untuk isteri dan anak-anaknya. Untuk keluarganya. Didiklah dia supaya berfungsi sebagai seorang manusia biasa. Rujuk entri terdahulu Berbezakah Anak Lelaki dan Anak Perempuan? Mudah-mudahan jika perempuan cantik keperempuannya. Jika lelaki pula memiliki ketahanan diri. Boleh berfungsi semasa keuzuran isterinya. Demi kelangsungan dirinya dan keluarganya. Kejayaan anak sulong ini akan menjadi jambatan yang meneruskan legasi keluarga. Untuk adik-adiknya yang menyongsong kemudian. Yang menurut jejak yang sulong. InsyaAllah. Saya doakan.

No comments:

Post a Comment