Wednesday, June 29, 2011

Sambal Kicap


Bagi orang Johor sambal kicap sinonim dengan banyak jenis makanan. Banyak hidangan yang dikaitkan dengan sambal kicap. Di luar negeri Johor mungkin asing. Namun begitu sesiapa yang sudah biasa dengan sambal kicap pasti ketagih. Maaflah. Jika dicari sekalipun sukar mendapatkannya. Alternatifnya ialah membuatnya sendiri. Terlalu mudah jika sudah biasa. Tiada langsung kompleksnya. Semua orang boleh membuatnya. Saya perturunkan resepinya:

Resepi Sambal Kicap:

1          Segenggam cili api (saiz dan jenis tidak mengapa) – boleh banyakkan jika jamuan besar
2          Sebuku bawang merah
3          Dua ulas bawang putih
(Tumbuk kesemuanya hingga lumat. Boleh gunakan blender tetapi menjadi terlalu halus dan lumat. Rasanya tidak memenuhi selera Jawa. Maaflah sambal ini lebih menjadi hak milik orang Jawa Johor. Khususnya Batu Pahat)
4          Sesudah agak lumat curah dengan kicap. Jika suka masin, curah kicap masin. Jika suka manis, curah kicap manis. Kuantiti kicap bergantung kepada ketahanan pedas orang-orang yang memakannya.

Panduan makan:

1          Ambil sedikit dahulu untuk menguji kepedasannya. Jika terasa menyengat, cukuplah dahulu. Jika masih belum terasa pedasnya, tambahlah seberapa banyak yang diperlukan.
2          Sediakan tisu sebelum makan. Sediakan banyak-banyak. Yang pasti hingus akan laju menderas keluar.
3          Sediakan juga air minum untuk mencairkan pedas.

Di negeri Johor antara makanan yang popular ialah soto dan lontong. Soto mengandungi nasi impit, suun goreng, tauge, bawang goreng, kacang tanah goring (ditumbuk atau dikisar). Mungkin ditambah daging rebus (dipotong nipis-nipis) atau ayam goring dicarik-carik. Kuahnya hampir penuh semangkuk. Lebih berkuah lebih sedap pula. Penyedap terakhirnya ialah sambal kicap. Maka berentaplah rasanya. Bercampur baur antara lemak dan masin. Antara pedas dan manis. Antara minyak dan air. Jika kena kuah dan sambalnya pasti terangkat. Kembang kempis hidung. Mata mungkin memerah dan berair. Air liur memang sudah lama kecur. Tunduk dan memakannya. Ibu mertua lalu di belakang pasti tidak nampak. Sombong kerana terlalu asyik makan soto. Memang tidak nampakpun kerana di bahagian belakang.

Di Batu Pahat khususnya sambal kicap di makan dengan beberapa makanan lain. Kebanyakan makanan bergoreng dicecah dengan kicap. Ada yang dicurah dengan sambal kicap. Tauhu goreng atau tempe goreng dipotong-potong. Dibubuh tauge dan timun. Tabur dengan kacang tanah goreng yang dikisar atau ditumbuk lumat. Curah sambal kicap sesedap rasa. Puh! Memang terliur. Terjungkit bibir menikmatinya. Paling kurang pasti dua keping tauhu yang bersaiz sederhana.

Namakan apa sahaja makanan goreng. Pisang. Keladi. Sukun. Keledek. Jemput-jemput (cekodok). Kuih bom (cekodok manis seperti untuk pasembur). Ikan goreng. Udang. Sotong. Semuanya akan bertambah lazat jika dicecahkan sambal kicap. Manis-manis pedas. Jika sambal itu diperahkan sedikit limau kasturi pasti rasanya bertambah menggilakan. Sasau jika tidak mendapatnya. Tersa-rasa di mulut. Di hati lagilah kuat berpaut. Hatta mi atau bihun goreng boleh juga ditambah dengan sambal kicap.

Sambal kicap sangat kuat kaitannya dengan sup. Tidak kiralah sama ada sup daging atau tulang. Ayam atau apa sahaja jenis sup. Tanpa sambal kicap rasanya tidak menyerlah. Tidak di mulut. Tidak di bibir. Tetapi jika ditambah dengan sambal kicap rasanya bertukar menjadi sangat mengasyikkan. Sup dan sambal kicap menjadi pasangan yang sangat akrab. Sangat dekat. Sangat berkait rapat. Walaupun sup boleh berdiri sendiri. Menjadi variable bebas. Namun tanpa sambal kicap ianya agak hambar. Ada kekosongan dari dari rasa.

Bila teringatkan sambal kicap kadang-kadang kami orang Batu Pahat terbawa-bawa ke mana-mana. Kadang-kadang bila di Kuala Lumpur bertanyakan sambal kicap. Biasanya waktu membeli pisang goreng. Tanya kepada penjual sambalnya mana? Terlupa ketika itu bukan di Batu Paahat. Tercengang sipenjual. Bila tersedar khilap terpaksalah meminta maaf. Rasanya budaya sambal kicap ini semakin menular. Ada juga di bahagian-bahagian tertentu di Kuala Lumpur yang menjual pisang goreng bercecahkan sambal kicap. Ramai bukan orang Batu Pahat yang mengimport keenakan sambal kicap kembali ke kampung halaman mereka.  Pertamanya graduan dari UTHM yang ribuan jumlahnya di seluruh pelosok tanahair. Keduanya graduan Institut Pendidikan Guru Tun Hussein Onn Batu Pahat (IPTHO) yang menjadi guru di seluruh tanahair..

Saya teringat sewaktu di Amerika dahulu. Kadang-kadang saya dan isteri menjemput teman-teman sesama pelajar untuk makan-makan di rumah. Suatu ketika isteri saya menyediakan soto. Seorang pelajar bernama Imran (Anak mantan wakil rakyat Lembah Pantai – Abdul Razak rasanya) mungkin kali pertama makan soto bercampur sambal kicap. Saya peringatkan dia supaya mengambil sedikit sahaja sambal itu. Mungkin terpedaya dengan rupa sambal itu dia mengambil mungkin tiga sudu besar untuk satu mangkuk soto. Apa lagi suapan yang pertama sahaja dia sudah menggelupur. Mukanya merah padam hingga ke telinga. Cuma tidak berasap. Air matanya banyak merembas deras membasahi pipinya. Matanya merah. Mulutnya ternganga menahan pedas. Menganginkan mulutnya. Entah berapa banyak air yang ditelannya. Lama dia menderita. Ramai yang gelak dengan lakunya kepedasan. Terpaksa menukar mangkuk dan mengambil sedikit sahaja sambal kicap itu sebagai penambah rasa.

Begitulah. Bila kita tidak tahu, banyakkan pemerhatian terlebih dahulu. Lihat bagaimana ianya dilakukan. Bertanya jika perlu. Cuba dari awal. Dari sedikit. Dari yang paling dasar. Bila sudah tahu bolehlah merancang mempelbagaikannya. Menerjah tidak tentu pasal memudaratkan diri. Banyak yang tidak kena. Kerugian akhirnya.

No comments:

Post a Comment