Sunday, June 26, 2011

Menghimpunkan Rakan-Rakan di Rumah

Duduk di perantauan terlalulah rindukan kampung halaman. Untuk menghilangkan rasa rindu itu selalu diadakan pertemuan dengan teman-teman yang ada di sekeliling. Kebetulan di Pittsburgh ramai pelajar Malaysia. Kebetulan juga ramai yang berkeluarga. Memang kebetulan ramai keluagra guru. Tidaklah sunyi dari bertemu dan bertandang. Bersama dan bersantai. Ada cerita yang boleh dikongsi bersama. Selain daripada berkongsi kehadairan bersama di park, kami adakan juga pertemuan di rumah. Ada masanya pertemuan itu bukan dirancang. Panggil kawan-kawan. Adakan makan-makan. Sembang-sembang. Ambil gambar. Esok lusa di rumah teman yang lain.

Bila diadakan jamuan ada sahaja juadah dari kampung. Masing-masing dari daerah yang berlainan. Dari kampung yang berlainan. Dari negeri yang berlainan. Tentu sahaja banyak kelainan dari segi masakan dan rasanya. Ada masakan banyak masinnya. Ada pula banyak manisnya. Yang lain antara keduanya. Yang berlainan lagi banyak pedasnya. Seperti potpouri pula. Kepelbagaian dalam satu. Seronok juga bertukar-tukar selera. Memperkayakan maklumat dan pengalaman. Berkongsi apa yang ada. Bertukar-tukar budaya. Yang cantiknya ialah antara kami tiada beza membeza. Tiada diskriminasi. Semuanya boleh bersama walaupun masing-masing berbeza bidang pengajian. Berbeza peringkat pengajian.

Rasanya yang bujang benar-benar menjamu selera. Rezeki jangan ditolak. Sudah lama tidak pekena juadah dari kampung. Selalunya makan apa yang boleh masuk ke perut. Belajar juga memasak tetapi kadang-kadang tidak menjadi. Tidak sama seperti kakak-kakak yang sudah pakar menjamu suami dan anak-anak. Sudah teruji. Memang banyak sedapnya dari tidak. Bertambah-tambah menimbun pinggan. Rasa berat perut. Kaki payah melangkah balik. Kenyang sekenyang-kenyangnya. Minta-minta tiap minggu ada juadah terhidang. Lepas juga sedollar dua

Kerusi bukan cukup. Duduklah di mana-mana. Yang penting boleh makan. Boleh bersama. Bercerita jika ada. Melawak menghindar kerinduan ke kampung halaman. Inilah saudara  mara yang ada. Susah senang bersama. Mengeratkan silaturahim sesama pelajar yang jauh dari tanahair tercinta. Jauh dari saudara mara, kerabat dan waris. Jauh dari sahabat handai yang ditinggalkan.


Anak kedua dan anak kelima. Awal tahun 1985. Yang kelima baru lebih sedikit setahun. Baru pandai berjalan.
Prof Dr Hazim Shah, Universiti Malays. 26 tahun dahulu nampak muda benar. Di hadapannya anak sulungnya. Sudah besar panjang sekarang. Masih berhubungan dengannya.

Yang di kanan sekali mantan NC UPSI. Dato' Dr Ashari Che Mat. Sudah lama tidak didengar khabar beritanya. Yang berT-shirt bernama Aspar. Dulu di KPM. Sekarang tentu sudah bersara. Pernah bertemu tetapi masing-masing sudah terlupa pernah bersama di Pittsburgh dahulu.
Seronok anak-anak bila ramai begini.

Anak ketiga, keempat dan kelima. Masih kecil ketika itu. Entah apa ertinya gambar ini kepada mereka. Ingatan ke masa ini rasanya terlalu kabur.

Bila berjamuan begini isteri saya yang paling kepuh. Banyak yang perlu dibuat. Beruntung juga kerana rumah kecil. Tidak banyak ruang bergerak. Semuanya selangkah dua sahaja. Kurang juga penatnya. Anak-anak mengambil peluang menjamu selera. Saya masih rindu lagi saat itu. Meraikan kasih sayang mereka. Duduk bertiga sopan-sopan belaka.

Duduk beramai-ramai. Berlapis-lapis. Asalkan ada ruang. Kongsi bersama. Balik ke tanahair jarang kita lakukan begini. Walaupun dengan jiran tetangga. Masing-masing terlalu menyibukkan diri dengan hal-hal kehidupan yang tidak pernah kunjung leganya. Semakin dibuat semakin bertambah kalutnya.

Yang ditengah Nur dari Terangganu. Di kanak sekali Shidah, anak Datuk Rashid Ngah. Bekas EXCO kerajaan Terengganu zaman Datuk Wan Mukhtar dahulu. Bertemu dengan Datuk waktu ia datang berkunjung ke Pittsburgh menjengah anaknya. Kenal dengannya sewaktu dia menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Seberang Takir (sekarang Ibrahim Fikri) pada tahun 1969 dahulu.

Sherry (Sharifah Fatmah, Datin) duduk di kanan sekali. En Bakar berdiri di kiri. Pegawai PTD. Isterinya Saleha di kanan sekali. Encik Bakar orang Melaka. Isterinya orang Kedah.

Pn Hajjah Faridah. Ada juga bertemu dengannya. Suaminya Haji Bakar, Timbalan Pengarah Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCCED). 
Keluarga Prof Dr Hazim Shah. Kali terakhir dia datang ke rumah saya semasa majlis perkahwinan anak kelima saya pada harai raya tahun 2010 yang lalu.

Ramai yang sudah tidak lagi saya ingat. Entah di mana mereka semua.

Di kanan Pauline Achan. Di sebelahnya Lemuk Sidu, Keduanya dari Sarawak. Bertugas di UiTM. Di mana? Sudah terputus hubungan.

2 comments:

  1. Thanks for all the memories. It reminded me of the good old days in Pittsburgh.

    ReplyDelete
  2. Thanks Datuk. The memories keep flashing back. Those were the days. Saya di Batu Pahat sejak 1990. Gambar dan memori itu yang saya rakamkan dalam blog ini. Mudah-mudahan dapat dikongsi pengalaman merantau jauh. Untuk anak cucu yang membacanya. InsyaAllah.

    ReplyDelete