Tuesday, June 8, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Enam: Bab Ketujuh
Menjelang tahun 1990 gaji saya baru sekitar RM2k sahaja. Kebetulan rumah percuma. Bayar kereta dengan ongkos menyekolahkan anak sahaja. Isteri saya tidak pandai memandu. Sayalah yang tidak duduk diam dengan urusan anak. Pagi hantar ke sekolah. Petang hantar ke sekolah agama di masjid Rapat Setia. Alhamdulillah, kedudukan PUO agak central dan strategik. Tidak terlalu jauh dari bandar dan banyak pula kemudahan di sekeliling tepat tinggal. Selain dari pusat bandar, kemudahan lain banyak di Taman Cempaka. Dari pagi hinggalah ke malam ada sahaja keperluan yang boleh dibeli dan diperolehi.
Buah kegemaran saya adalah jambu batu. Pada waktu petang (pasar petang/malam) buah jambu banyak dijual di Taman Cempaka. Oleh kerana anak ramai tidak cukup sekilo atau dua. Biasalah saya beli kira-kira tiga kilo. Sampai di rumah saya belah, buang biji, potong membujur tipis-tipis. Gaul dengan asam boi yang dikisar sendiri. Lazimnya yang paling sedap ialah asam boi putih yang kecil saiznya. Yang bersaiz besar atau berwarna lain tidak sedap. Ada masam dan ada pahit sedikit-sedikit. Tetapi yang bersaiz kecil menjadikan jambu batu tu lemak dan manis. Tidak perlu ditambah gula. Jika asam yang sudah dikisar, lazimnya ditambah gula. Rasanya memang tidak sedap. Sekarang ini pula orang campurkan buah jambu dengan kulit jeruk oren. Boleh tahan juga rasanya. Bagi anak-anak saya tiga kilo jambu hanya beberapa minit sahaja habis dicekau berbilang tangan anak-anak. Saya masih kerap membuat menu jambu ini bila ada kenduri kendara di rumah atau di rumah ibu bapa mertua saya atau di rumah ipar-ipar saya. 6 hingga 10 kg macam air lajunya. Seronk mereka makan. Buat tidak sesusah mana. Yang rumit mengikis isi asam boi itu sahaja. Jika ada yang boleh mengikisnya jambu berasam itu memang menjadi menu yang menyelerakan. Siap tapau nanti.
Nikmat benar ramai anak. Riuhnya, kalutnya, letihnya, seronoknya bersama. Bila mereka sudah dewasa hanya sekali sekala suasana itu datang kembali. Itupun hanya sekejap. Beberapa hari. Selepas itu hidup kembali tenang tetapi sunyi. Bila dirakam semula, bila dinukil semula, bila ditulis semula, terpancarlah gambaran-gambaran masa lalu yang tidak pernah sunyi dengan karenah anak-anak. Itulah sebabnya di mata dan di hati ibu bapa, anak-anak kekal tidak membesar. Masih diingat waktu bayinya. Masa kencing dan beraknya. Masa memandikan dan mendodoikannya. Masa merangkak, bertatih dan berlari. Masa tawa dan tangisnya. Kalaulah, kalaulah boleh kembali ke masa lalu itu. Kembali merasakan nikmat bersantai bersama anak-anak yang menjadi penghibur hati. Menjadi raja di hati. Menjadi penawar duka. Pengubat letih lesu. Meriangkan suasana. Tawanya hiburan. Tangisnya hiburan. Keletahnya hiburan. Mainnya hiburan. Kalaulah masa boleh berhenti dan berputar semula!
Itu belum cerita pisang goreng. Saya memang suka goreng sendiri. Tepungnya saya lebih suka banyakkan tepung beras. Bubuh garam sedikit supaya ada rasa masin-masin. Bila digoreng tepungnya menjadi keras. Rangup jika cukup masak. Kalau sebesen besar beberapa minit sahaja sudah selesai. Bila ramai semuanya sedap. Jika isteri saya yang memasak mereka tidak bercakap tentang sedapnya tetapi tidak berhenti-henti makan. Mengulang sahaja bila ada kesempatan. Bila saya yang memasak, mereka makan sedap juga. Ada kelainan. Lain itulah yang jadi sedap. Oleh itu bapa-bapa, belajarlah memasak. Tukar selera anak-anak. Isteripun kadang-kadang keletihan. Jika suami memasak terbuka juga selera isteri. Bukan sedap masakannya. Kelainannya yang menukar selera.
Cerita anak ramai hanya sementara sahaja. Sibuknya hanya sementara sahaja. Kebetulan anak-anak saya bersekolah di asrama bila sampai di peringkat menengah. Yang sulung di MRSM Kulim. Yang kedua di Kolej Tungku Kurshiah, Seremban. Yang ketiga SMT Bukit Katil, Melaka. Yang keempat di SMAP, Kajang. Yang Kelima di SMAP, Labu. Yang keenam di MAAHAD Muar dan KISAS Klang. Yang Ketujuh sekejap di MAAHAD Muar. Yang kelapan SMKA Segamat dan KISAS Klang. Yang kesembilan di MAAHAD Muar.
Bila anak-anak mula ke asrama, itu bermakna saat-saat perpisahan yang akan memanjang. Dari sekolah pulangnya hanya waktu cuti atau hujung minggu. Bila sampai di IPT pulangnya semakin jarang. Bila bekerja semakin sibuk dengan kerjaya. Bila berumahtangga lagilah payah pulangnya. Kebersamaan dengan anak-anak sebenarnya sehingga mereka di tahun enam sekolah rendah. Ajarlah mereka. Didiklah mereka. Bimbinglah mereka. Asuhlah mereka. Tuntunlah mereka. Apabila mereka di sekolah menengah kesempatan itu mungkin sudah tidak ada lagi. Apabila mereka keluar dari rumah mereka menjadi milik sekolah. Milik guru. Milik rakan-rakannya. Milik negara. Mereka menjadi milik alam. Kita hanya ada remote control. Kita rasa susahnya. Kita rasa senangnya. Kita rasa sakitnya. Kita rasa sihatnya. Kita rasa isi hatinya. Kita rasa rintihannya. Hanya dari jauh. Begitulah hati ibu dan bapa. Ada rasa dan geraknya. Ikatannya halus merentas udara, gelombang dan gerak hati.
Sekolah anak-anak saya di SJK Raja Perempuan. Letaknya di Jalan Chung Thye Phin, Ipoh. Lima puteri yang pertama di sekolah itu. Yang keenam bermula di Johor Bahru. Yang ketujuh, lapan dan kesembilan di Batu Pahat. Sebagai ibu bapa kita hendaklah terlibat dengan sekolah. Kenal guru-guru yang mengajar anak kita. Berjumpa dengan mereka untuk bertanya khabar. Ambil tahu hal anak di sekolah. Baik dan buruknya. Rajin dan malasnya. Sihat dan sakitnya. Cemerlang dan masalahnya. Belajar atau tidaknya. Kualiti atau sambil lewanya. Hubungan baik kita dengan guru merangsang suaya guru itu memberi perhatian istimewa anak kita. Guru itu kenal kita. Dia tahu kita. Kita ada hubungan peribadi dengannya. Maka perhatiannya kepada anak kita akan menjadi lebih berat, lebih istimewa, lebih bertanggungjawab. Sewaktu aya menuntut di USA dulu, perkara sama saya lakukan. Saya kerap ke sekolah bertanya khabar dengan guru yang mengajar anak saya. Hingga sewaktu untuk berpisah ada guru perempuan yang sempat mencium pipi saya. Apa nak buat adat mereka bila sudah mesra. Tidak dijangkapun.
Begitulah sebahagian dari proses mendidik anak. Sebagai ibu bapa kita tidak boleh hanya berharap kepada guru. Masa untuk guru berinteraksi dan memantau anak kita sangat-sangat terhad. Memang dia di sekolah. Tetapi setiap orang guru ada tugas dan kelasnya sendiri. Seorang guru mengendalikan 40-50 orang pelajar dalam masa 1 atau 2 waktu. Guru yang lain begitu juga. Hakikatnya tiada siapa yang benar-benar memantau anak kita di sekolah. Anak kita berada di sekolah sudah cukup baik. Anak kita berada di kelasnya sudah cukup mendamaikan. Anak kita mengikuti pelajarannya, membuat kerja rumah dan mengambil bahagian dalam kelasnya adalah sesuatu yang membahagiakan. Itulah proses memandaikannya. Tetapi peranan sebenar yang perlu dimainkan ialah kita sebagai ibu bapanya.
Kita bersamanya dari saat dia kembali ke rumah hinggalah dia ke sekolah semula pada keesokan harinya. Di sekolah hanya kira-kira 7 jam. 17 jam lagi dia bersama kita. Oleh yang demikian jika anak kita menjadi divergen, terlibat dengan salahlaku, jangan cepat menuding jari kepada guru. Terpinga-pinga jadinya guru itu. Tidak mungkin setiap guru mengawasi setiap orang muridnya. Kita tidak menggaji profesional untuk menjaga anak-anak kita di sekolah. Bagi ibu bapa yang mampu barangkali boleh diusahakan supaya anak-anak mereka diawasi oleh pengawal peribadi masing-masing. Tugas guru mendidik, mengajar, membimbing, mengasuh, menunjuk jalan dan cara, memberi panduan dan memotivasikan. Apabila guru keluar dari kelas guru itu ada tugas lain yang perlu diselesaikan. Tugas pentadbiran dan pengurusan. Janganlah kita bebankan guru dengan hal-hal yang sepatutnya kita laksanakan sebagai ibu bapa.
Keselamatannya adalah tangunggjawab kita. Guru mengajar. Guru disiplinpun mengajar juga. Bukan untuk menjamin keselamatan anak kita setiap masa. Yang dilakukan ialah keselamatan umum. Maslahah umum. Dalam masa yang singkat di sekolah kita tidak boleh mengharapkan hanya guru sahaja yang memandaikan anak kita. Di rumah, bagaimana peranan kita? Tanggungjawab kita? Bagi ibu bhapa yang membayar cukai pendapatan mungkin sebahagian kecil gaji guru hasil dari wangnya. Berapa ringgit? Mungkin sekadar sepuluh sen atau dua. Bagi ibu bapa yang tidak membayar cukai di manakah sumbangannya? Oleh itu berpada-padalah apabila tidak berkenan dengan guru. Apabila tidak suka dengan guru. Apabila ada yang tidak kena dengan guru. Dia derkhidmat. Kebetulan dia berminat menjadi guru. Kita pula lepaskan semua harapan pada guru. Tidak adil jadinya nanti. kita mainkanlah peranan masing-masing. Masing-masing lengkap melengkapi.
Buku teks sahaja tidak mencukupi. Lembaran kerja sahaja tidak mencukupi. Buku kerja sahaja tidak mencukupi. Anak-anak kita perlukan sentuhan kita. Sentuhan peribadi dari kita. Sentuhan rasa, pengharapan dan hasrat hati ibu bapa. Kita memang tidak tahu apa yang anak kita pelajar. Kita tidak belajar semua itu. Anak kita adalah makhluk yang kita lahirkan tetapi hidupnya menjadi makhluk yang advanced, technology oriented, worldview outlook, international flavour dan global in nature. Ibu bapa tidak boleh berikan semuanya apa yang mereka mahu. Tidak pula boleh berikan apa yang kita ada sahaja. Yang kita ada sudah tidak relevan kepada anak-anak.
Di sinilah, di sinilah peranan kita harus berubah. Di sinilah kita menjadi penggerak perubahan. Penggerak paradigma. Namun semuanya dalam kawalan kita. Agamanya, sosialnya, budayanya, amalan hidupnya, norma dan nilainya. Asas nilai kekeluargaan itu mesti dipelihara. Ilmunya titokok tambah. Teknologinya diberi perhatian. Worldviewnya dipertingkatkan. Pandangannya ke hadapan. Visinya jauh merentas zaman. Misinya menjejak keagungan Allah. Menjadi hamba yang salleh. Diharap matinya syahid.
Sediakanlah apa sahaja yang perlu untuk anak membangunkan mindanya. Inteleknya. Keterbukaan pemikirannya. Jadikan mereka penggerak ummah. Penjana jihad walaupun hanya dalam ilmu pengetahuan sahaja. Janganlah berkira membeli buku dan bahan bacaan yang boleh membantu anak-anak untuk pergi lebih jauh dalam akademiknya. Jika tidak berkeupayaan menyediakan sebuah perpustakaan khusus di rumah, usahakan suatu ruang. Jika tidak boleh mungkin ada perpustakaan umum di mana-mana.
Di sinilah sebenarnya masyarakat sepatutnya peka dengan keperluan ummah. Anak-anak ummah. Rumah orang Melayu Islam banyak yang kecil. Anak mereka ramai. Rumah bukan tempat belajar. Rumah hanya untuk tempat buang air, menyimpan pakaian, untuk mandi, menukar pakaian. Untuk tidur. Untuk belajar memamg langsung tidak kondusif. Sempitnya. Riuhnya. Baunya. Sistemnya. Perpustakaan kominiti sangat-sangat diperlukan. Masjid dan surau perlu memikirkan hal ini. Di premis keduanya perlu ada perpustakaan. Anak-anak kariah boleh mengulangkaji. Boleh merujuk. Boleh buat kerja rumah. Jika tidak, di kawsan perumahan perlu ada perpustakaan umum. Fikirkanlah anak-anak. Fikirkan masa hadapan mereka. Fikirkanlah bangsa dan agama mereka. Kelangsungan ummah.
Itulah serba sedikit pengalamann saya mendidik anak-anak. Saya kongsikan buah fikiran saya. Untuk anak bangsa saya. Mudah-mudahan ada manfaatnya. InsyaAllah.
Sunday, June 6, 2010
Makanan Bersih, Suci dan Halalan Toyibbah
Yang halal itu jelas halalnya. Kita berpegang kepada mazhab Syafi'i. Ikutlah. Sayur-sayuran, buah-buahan harus dimakan asalkan tidak memabukkan, merosakkan atau tidak mendatangkan kesan sampingan. Begitu juga makanan laut. Kesemuanya halal asalkan tidak memberi mudarat.
Ada kemungkinan makanan kita yang toksik. Bagi tumbuh-tunbuhan yang hidup di kawasan lapang pasti disembur dengan makhluk perosak. Ramai petani mengambil mudah. Racun tidak mengikut sukatan, tidak mengikut jadual dan tidak mengikut prosedur sewaktu memetiknya. Akibatnya makanan yang mudah rosak (perishable) ini menjadi toksik. Beracun. Jika tidak cirit birit, muntah-muntah, mabuk dan pening kita mungkin dijangkiti penyakit dalaman yang mungkin juga berupa barah atau gangguan lain dalam tubuh badan kita.
Hidupan di laut juga ada bahayanya. Bukan sahaja ikan buntal yang beracun. Ada ikan yang juga toksik. Jika ada kilang di tepi laut atau binaan dan bangunan di tepi laut, ke mana air kumbahan dilepaskan? Jika dilepaskan ke laut maka di kawasan pantai itu airnya tercemar. Ikannya tercemar. Begitulah yang terjadi pada awal tahun 70an dahulu dalam kes Minamata di Jepun. Ikan yang ditangkap di satu kawasan laut penuh dengan raksa kerana sebuah kilang melepaskan sisa raksanya ke laut. Maka nelayan yang menangkap dan memakan ikan-ikan tersebut sebenarnya memakan raksa. Berbagai penyakit kronik menimpa mereka. Alhamdulillah ikan kita masih selamat. Tetapi ikan-ikan yang kita import wallahu 'alam. Yang dari Thailand. Yang dari India. Hatta yang dari negara-negara lain. Kita tidak tahu setakat mana ketetnya pihak berkuasa negara kita yang peka dan mengambil berat tentang keselamatan makanan dan kesihatan.
Sekarang cuba fikirkan sejenak haiwan yang kita makan. Lembu halal. Kambing halal. Ayam halal. Itik halal. Angsa halal. Arnab halal. Burung unta halal. Rusa halal. Burung puyuh halal. Kita berhenti sejenak. Kita tanya diri kita sendiri. Siapa yang menyembelih haiwan-haiwan itu? Betulkah kaedah dan prosedur menyembelihnya? Sesuaikah peralatan yang digunakan untuk menyembelih? Cara melapahnya? Cara menyimpannya? Bahan pengawet yang digunakan? Kaedah penghantaran? Kaedah pembungkusan? Banyak lagi soalan yang perlu kita tanya. Soalan-soalan cepu emas ini menentukan ibadat kita. Syurga kita. Kesihatan kita. Redha Allah.
Allah memberi garis panduan bahawa "diharamkan ke atas orang Islam bangkai, darah, daging babi dan haiwan yang diembelih bukan kerana Allah dan tidak menyebut nama Allah". Darah (yang mengalir) dan daging babi sangat jelas. Bagaimana dengan bangkai? Haiwan halal sekalipun jika tidak memenuhi syarat penyembelihannya dianggap bangkai. Haram dimakan. Berapa orang antara kita yang mahir menyembelih haiwan? Tahukah kita konsep sebelihan halal atau tidak? Yang mana sembelihan yang dikategorikan halal atau haram? Janganlah serahkan bulat-bulat kepada pihak yang berwajib. Kita hendaklah mencari ilmu untuk menjaga kepentingan diri dan usia kita sendiri. Kita perlu mengubahnya.
Kita banyak mendengar permasalahan ayam yang disembelih secara komersil. Ada yang dilemaskan dahulu. Ada yang dipotong sekaligus sahaja. Ada yang diproses semasa ayam itu masih terkapar-kapar lagi. Belum mati. Bercampur aduk atau tidak dengan ayam yang disembelih secara halal dengan yang tidak di sembelih sewaktu diproses. Dipastikan atau tidak yang disembelih halal sahaja yang diproses secara halal. Yang ditolak sembelihannya diasingkan. Tidak dilabelkan halal. Siapa yang menentukan ini? Siapa? Ya Allah, selamatkanlah umat Islam dari kejahilan ini! Dari trlalu bergantung kepada orang lain ini. Ayuhlah kita belajar. Belajar untuka menjadi Muslim yang mengerti. Yang mengambil tahu. Yang tahu halal dan haram tentang makanan yang kita makan sehari-hari. Yang kita beli di kedai, di gerai, di tepi jalan, di pasar tani. Yang kita makan semasa menghadiri jamuan di sana dan di sini.
Siapa yang menyembelih? Islam? Baligh? Berakal? Solat? Bersuci diri seperti membersihkan diri? Membaca basmalah? Berserah diri kepada Allah? Haiwan yang hendak disembelih mengerti hasrat orang yang ingin melakukannya. Haiwan itu redha. Dirinya memang menjadi rezeki manusia. Tetapi orang sekarang tidak menghormati haiwan itu. Mereka sembelih di hadapan haiwan-haiwan yang lain. Mereka siksa haiwan itu. Melapahnya tidak cermat.
Mana pilihan kita? Makanan yang disediakan oleh orang Islam atau yang disediakan oleh mereka yang bukan Islam? Ini bukan soal diskriminasi. Ini bukan soal segrigasi. Ini bukan soal polarisasi. Ini bukan soal kompartmentalisasi. Ini bukan soal membeza-beza. Maaflah, ramai orang bukan Islam yang tidak memahami sensitiviti orang Islam. Mereka tidak mahu belajar tentang halal dan haram yang menjadi perkara pokok orang Islam. Mungkin bukan salah mereka. Kita yang Islam tidak berani mendakwah mereka. Kita tidak memiliki kekuatan untuk memberi kefahaman kepada mereka. Kita terlalu mengambil hati. Terlalu bertolak ansur. Maaf sekali lagi, perkara agama, perkara yang bersangkut dengan Allah tidak boleh dikompromi. Kata putusnya datang dari Allah. Jangan hendak berdebat dengan Allah. Jangan mencari alasan. Jangan berdalih.
Halal dan haram memberi arah yang berbeza antara orang Islam dengan yang bukan Islam. Halal melorongkan kita ke syurga. Haram menyesatkan kita ke neraka. Konsep ini tidak ada pada orang bukan Islam. Malangnya orang Islam sendiri tidak peka tentang tuntutan agamanya. Dalam hal makanan, orang Melayu ingin menjadi trend setter. Mereka tidak peduli halal dan haram. Pada mereka semuanya boleh. Sembelihan ahli kitab memang dibenarkan. Tetapi mereka ahli kitab sejak dulu. Turun temurun. Mereka adalah orang Kristian dan orang Yahudi. Ya sembelihan mereka boleh dimakan walaupun bukan beragama Islam. Ia hanya untuk mereka yang mengerti dan mengetahui. Yang tidak, mungkin tidak yakin dan banyak persoalannya. Tanyalah pada ustaz, pada ustazah, pada ulamak.
Banyak makanan yang disediakan oleh mereka yang bukan beragama Islam. Ironisnya mereka diberi sijil halal. Orang Islam pula hanya melihat yang tersurat tetapi tidak pernah memikirkan yang tersirat iaitu proses penyediaannnya yang selalunya terselindung dari pandangan mata. Kita terpaksa kembali kepada soal kebersihan, kesucian dan toyyibah. Sucikah tangan mereka dari najis babi dan anjing yang menjadi makanan mereka dan yang selalu mereka sentuh? Pekerja perempuan pula diperlukan lebih pembersih dalam banyak hal. Apakah mereka mengerti keperluan itu. Berhentilah di mana-mana R & R di sepanjang lebuhraya. Kita bertemu dengan Pau Ahmad. Namanya memang Melayu. Orang Islam telah beberapa kali diberitahu bahawa pau itu diusahakan oleh 100% syarikat bukan Islam. Pekerjanya 100% bukan Islam. Lalu kesuciannya, halalnya bagaiamana? Yakinkah kita yang mereka mematuhi prosedur halal dan haram? Najis dan suci? Buruk dan toyyibahnya?
Pau Ahmad diberitakan di TV. Ditulis dalam akhbar. Disebarkan di internet. Mungkin ada berita melalui sms. Biasalah, tidak semua orang menerima berita itu. Ada orang yang berhati-hati memilih yang halal. Yang lain pejam mata kira halal semuanya. Maaf bang, makanan itu jadi darah daging. Kesian tubuh kita diberi makanan yang haram, yang najis, yang tidak toyyibah. Ia menghalang, meliatkan, memayahkan, mengekang, memalaskan hati kita untuk beribadat.
Ramai peniaga makanan yang tidak menjaga solat dan puasa. Berniaga pada waktu-waktu solat. melanggar waktu solat. Melampaui waktu solat. Peniaga ini mengejar dunia tetapi mengabaikan akhirat. Keutamaan yang tidak betul. Yang hak diabaikan. Yang benar diabaikan. Kita pula membeli juga dari mereka. Jadi yang kita beli itu apa? Hampas ke? Sampah ke? Allahu Akbar. Bagaimana makanan sebegitu kita harapkan menjadi darah daging yang baik, yang menjana pemikiran positif, yang menjana ibadah dan akhlak mulia?
Di hotel-hotel dan di restoran milik orang bukan Islam, ramai juga orang Islam yang melanggannya. Apa sebenarnya yang kita makan? Bagaimana mereka menyimpan makanan? Bercampur antara yang halal dengan yang haram? Malang sungguh. Tahukah kita bahawa haiwan yang tidak disembelih itu adalah bangkai. Haram. Najis pula. Kenapa kita tidak peduli semua ini? Tidakkah menjadi persoalan? Mungkinkah kita semua sudah hilang pertimbangan? Usahlah begitu. Banyaklah berfikir. Makanpun kenalah yang diredhai Allah. Kita makhluk berakal. Makhluk beriman. Makhluk tahu halal dan haram. Makhluk yang tahu baik dan buruk. Makhluk yang tahu yang hak dan yang batil.
Ngeri dan mengerikan. Persoalan tentang makanan ini terlalu sangat kita kesampingkan. Kita ketepikan. Kita abaikan. Kita remehkan. Kita pandang ringan. Kita labelkan sebagai hal-hal kecil. Malang, malang dan sungguh malang.
Sekarang ini sudah banyak usaha untuk mengusahakan makan halal. Makanan yang diusahakan oleh orang Islam sendiri. Sokonglah mereka. Turut sertalah menghasilkan makanan halal. Belilah. Ajaklah orang lain memihak kepada yang halal. Usaha-usaha seperti Syarikat HPA sepatutnya diperanyakkan. Banyak makanan yang dicampurkan dengan bahan-bahan dari babi. Cukuplah ubat-ubatan yang ada unsur babi yang sudah dihalalkan sebab ianya ubat. Janganlah diperpanjangkan lagi kepada makanan pula. Masih banyak pilihan. Orang islam tidk akan mati jika tidak membeli makanan dari orang bukan Islam.
Saya teringat sewaktu di USA dahulu. Sabun mandi banyak yang mengandungi pig tallow. Ubat gigi begitu juga. Roti banyak yang mengandungi animal shortening, animal oil, lard, animal glycerine. Aiskrim banyak yang megandngi rum. Di Malaysia kita selalu diberikan label yang saintifik tetapi tidak memberi petunjuk yang jelas. Apa sebenarnya pengawet yang dibenarkan? Penaik yang dibenatkan? Pewarna yang dibenarkan? Dalam hal ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang adalah satu-satunya yang sangat aktif memberikan maklumat halal dan haram sesuatu makanan. Kita perlu banyak lagi NGO yang aktif dalam hal ini. Ini hal halal dan haram. Hal syurga dan neraka. Boleh juga kita kata hal mati atau hidup umat Islam supaya Islamnya terjamin. Islamnya tulen. Islamnya selamat. Islamnya memenuhi syariat.
Jangan matikan hati. Jangan matikan diri. Jangan matikan roh yang ada di badan kita. Jangan matikan akal. Marilah sama-sama kita baca jalan hidup kita yang semasa dan yang akan datang. Pastikan jalannya lurus. Temanya benar. Motifnya hak. Pengakhirannya adalah tragic comedy. Happy ending. Nanti di syurga kita nikmati segala-galanya.
Dunia yang fana ini harus diusahakan supaya hidup kita mematuhi syariat. Mematuhi kehendak Allah. Mematuhi kehendak Rasulullah. Semuanya sudah digariskan dalam al-Quran. Dalam hadith. Ijmak. Qias. Begitu juga ijtihad dan mungkin urf. Adat setempat yang meghalalkan sesuatu makanan. Dhab halal bagi orang Islam Arab walaupun rupanya seperti biawak. Tetapi janganlah makan biawak kerana diqiaskan kepada dhab. Jangan, orang biasa seperti kita, jangan membuat fatwa sendiri. Kita kena belajar. Kena bertanya. Kena dapat nasihat dari mereka yang diperakui berhak menentukan hukumnya.
Kita kembalilah kepada al-Quran. Iqra'. Bacalah. Ambil maknanya. Pelajari maksud dan tafsirannya. Dengar kata ulamak. Dengar dari mereka yang mursyid. Dari mereka yang berwibawa tentang agama. Agama tidak boleh dipandang sewenang-wenang sahaja. Ia mesti datang dari sumber yang hakiki. Yang benar. Yang hak.
Jika kita tidak tahu, belajar dan ambil tahu. Tidak boleh bertaqlid semata. Tidak boleh ikut-ikutan semata-mata. Itu jahil sejahilnya. Jangan begitu. Ambil tahu. Jika ada yang beritahu, terima, timbang, rujuk orang lain untuk menentukan sahihnya. Jika sahih terima, amal dan jadikan tradisi. Jangan perlekeh pendapat dari mereka yang arif. Yang jadi bidang mereka. Jangan tanya hukum agama dari mereka yang bukan bidangnya. Yang tidak diperakui sebagai bidang mereka. Jangan label ulamak sewenang-wenangnya. Kita tahu ulamak yang benar. Yang tidak benar bukan ulamak namanya. Jika disebut ulamak suu' maknanya orang itu bukan ulamak. Terutama jika jelas suu'nya.
Yang penting sekarang ini ialah belajar. Belajar ilmu agama. Jangan ikut-ikutan. Bila berbincang hal agama kita tahu apa yang perlu dibincangkan. Kita tahu apa yang perlu dibuat. Kita tahu menjaga hak-hak agama. Itu hak Allah. Allahu Akbar.
Tudung Yang Menudung
Ayat 31 surah An-Nur menjelaskan bahawa orang perempuan Allah perintahkan, "Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." Seluruh anggota tubuh badan orang perempuan hendaklah sentiasa dilindungi kecuali kepada mereka yang berhak sahaja iaitu suaminya. Yang boleh diperlihatkan kepada orang yang tidak berhak hanyalah bulatan mukanya dan kedua tapak tangannya.
Kelonggaran untuk meperlihatkan muka dan tapak tangan bukan sewenang-wenang. Ia hanya untuk sekali pandang atau untuk kes-kes terpandang. Bukan untuk diulang pandang atau untuk direnung. Pandangan kali pertama atau terpandang tidak membawa apa-apa masalah. Dikira tidak berdosa. Tetapi jika diulang hukumnya sudah berubah. Dosanya bertambah dan boleh menajdi haram.
Mungkin usia saya semakin senja. Mungkin kerungsingan melihat perlanggaran agama. Mungkin kerana lebih banyak belajar. Saya terpanggil untuk mengulas sikap dan amalan Muslimah Melayu yang masih ramai mengabaikan perintah Allah tentang pemakaian tudung. Rambut memang perhiasan, mahkota seorang perempuan. Tetapi sebagai hiasan, rambut hanya untuk tatapan dan dinikmati oleh manusia yang bernama suami. Mereka yang bukan mahram langsung tidak ada peluang untuk cuba-cuba menikmati keindahannya. Haramnya jelas. Mahram seperti bapa, abang, adik, anak, anak-anak saudara dan bapa mertua sahaja yang harus boleh melihatnya.
Saya cuba mengkhususkan perbincangan ini bagi Muslimah Melayu yang terlibat dengan industri makanan. Mereka mungkin yang menjadi tukang masak. Mungkin yang menyiapkan bahan. Mungkin yang membantu memasak. Mungkin yang menghidang. Mungkin yang melayan. Mungkin yang berkemas. Mungkin yang mencuci pinggan dan mangkuk. Mungkin yang berada di kaunter. Mungkin yang menyususn. Mungkin yang menyelia. Dan mungkin siapa sahaja mereka asalkan terlibat dengan industri makanan. Mereka mungkin di hotel, di kilang, kedai makan, gerai, pasar tani, menjaja di tepi-tepi jalan, di rumah, di tempat kenduri kendara atau di mana sahaja aktiviti penyediaan makanan dilakukan.
Jika tudung itu wajib bagi Muslimah, maka tidak ada dalih dan alasan untuk bertudung dalam penyediaan makanan. Allahu Akbar. Tolonglah sama-sama kita ambil iktibar. Penyediaan makanan bukan sesuatu yang dipandang ringan, diambil mudah, selalu diremehkan. Makanan masuk ke mulut, dikunyah lumat, ditelan melalui tenggorokan, sampai di perut, dihadham dan akhirnya menyerap dalam seluruh tubuh kita. Saripati, kebaikan dan manfaat makanan itu akan menjadi sesuatu yang bermanfaat di otak, minda, fikiran, perasaan, psikologi, fitrah halus, ingatan, jiwa tenang, damai, tenteram dan fizikal yang sihat dan kuat. Tenaga unggul untuk menjadi manusia yang menjadi hamba yang tawadhuk kepada Allah.
Cuba kita beri perhatian. Setiap saat terlalu banyak sel-sel kulit tubuh badan kita yang mati. Selagi kita hidup sel-sel yang mati itu diganti dengan sel baru. Soalnya ke mana sel-sel yang mati itu pergi, jatuh, melayang, terbang dan gugur? Ke mana rambut kita gugur? Di kepala, sel-sel yang mati biasanya terhimpun sebagai kelemumur. Banyak, tebal, berbau dan menjijikkan. Boleh kita bayangkan apabila ianya jatuh ke dalam makanan. Kita selalu menemui rambut dalam makanan. Kita lihat pengendalinya memakai tudung. Masalahnya sewaktu mereka menyediakan makanan itu mereka tidak bertudung. Apatah lagi jika mereka memasak di rumah. Pelanggan di kedai yang menjadi mangsa. Dari segi kerajaan, Kementerian Kesihatan boleh menarik balik lesen kedai makan tersebut. Tidak menjaga kesihatan. Tidak hygenic.
Saya jadi terkedu apabila melihat wanita Itali yang bertudung. Wanita Jerman yang bertudung. Wanita Amerika yang bertudung. Wanita Kanada yang bertudung. Wanita Perancis yang bertudung. Wanita Switzerland yang bertudung. Wanita Poland yang bertudung. Wanita Greece yang bertudung. Wanita Hungary yang bertudung. Wanita Russia yang bertudung. Mereka bukan Islam, bukan, bukan d n bukan Islam. Mereka mungkin Kristian Orthodox. Mungkin Catholic. Mungkin Protestant. Mungkin Church of England. Dan mungkin mazhab-mazhab Kristian yang lain. Wanita Jepun, Korea dan Cina juga ramai yang bertudung.
Bertudung adalah amalan universal. Global. Tidak kira atas alasan agama atau adat atau amalan hidup. Begitulah dalam industri makanan di barat, semua mereka yang terlibat diwajibkan memakai tudung kepala. Tentulah ironis bagi Muslimah Melayu yang tidak memakai tudung. Tuntutan pertamanya ialah perintah Allah dan tuntutan keduanya ialah keperluan industri makanan.
Kita semua berperanan untuk mempasatikan Muslimah Melayu berjinak-jinak dengan tudung dan menjadikannya amalan yang dituntut dan mendapat ganjaran pahala. Saya mencadangkan beberapa langkah dan prosedur untuk nenerapkan pemakaian tudung di kalangan Muslimah Melayu. Pertamanya, sebelum lesen berniaga mereka diluluskan, mereka memang sudah memakai tudung. Jika belum mereka diberi kursus dan diberi syarat supaya memakai tudung. Permerintah hendaklah mengambil inisiatif dalam hal ini. Jalankan dakwah dan penguatkuasaan. Sebarkan maklkumat ini kepada khalayak umum supaya meraka boleh melaporkannya kepada pihk yang berwajib jika perlanggaran syarat mereka lakukan. Sebagai orang Islam kita kena jalankan usaha dakwah ini. Lepaskan tanggungjawab. Boleh menjawab apabila ditanya Allah nanti.
Keduanya, penguatkuasaan dan pemantauan. Mereka yang terlibat dengan industri ini dipastikan memakai tudung dalam setiap proses penyediaan makanan. Jika berlaku perlanggaran, peringatan hendaklah dibuat. Apabila peringatan ketiga tidak dipatuhi, lesen berniaga mereka hendaklah dibatalkan. Islam hendaklah ditegakkan. Bukan ekonomi semata-mata. Bukan kemanisuaan semata-mata. Bukan sosial semata-mata. Islamnya dahaulu yang diutamakan. Yang lain-lain akan mengikut. Akan mengiringinya. Akan menjejaknya.
Ketiganya, kursus agama yang berkaitan dengan industri makanan hendaklah diberikan kepada mereka yang terlibat. Buku-buku diterbitkan sebagai panduan. Panduan-panduan Islamik dan maklumat-maklumat Islamik disediakan dari masa ke semasa. Peringatan diberikan. Orang ramai diberi maklum.
Keempat, kita sebagai pelanggan seharusnya mengelak dari berurusan dengan pengendali makanan yang tidak bertudung. Saya telah lama mengamalkannya. Sesebuah kedai itu mungkin cantik dan menarik tetapi jika ada pekerjanya yang tidak bertudung, saya mengelak dari mengunjungi kedai itu. Di pasar malam saya pilih pengendali makanan yang bertudung.
Minta maaflah, di premis makanan seperti di R & R di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan, Timur Barat kesemunaya diperlukan memakai tudung. Di KFC, Pizza Hut, McDonald, Kenny Rogers, A & W dan yang lain-lain pengendalinya memakai tudung. Di kedai-kedai makanan western pengendalinya juga memakai tudung.
Jika peniaga makanan Muslimah Melayu mengabaikan aspek ini dan masih dengan tradisi lama, saya khuatir bahawa suatu hari nanti orang Islam Melayu tidak lagi mengunjungi mereka. Sekarang inipun anak-anak muda dan mereka yang dalam kelas menengah atau elit tidak lagi berapa gemar melanggani peniaga-peniaga Mulim Melayu kerana terlalu tradisi cara berniaganya. Orang mencari kedai yang selesa, santai, kualiti, profesional, hygenic dan ada jaminan kebersihan. Dalam iklim yang semakin panas, alam yang semakin cemar, debu yang tidak henti-henti berterbangan dalam jumlah yang semakin banyak, gerai-gerai makanan semakin hilang seri. Kedai yang berhawa dingin, luas, santai, berwarna warni hiasannya, lekapannya, dekorasinya, lebih bersih, lebih ceria, lebih banyak ragaman makanannya menjadi lebih digemari.
Belajar bertudung mungkin merumitkan bagi sesetengah Muslimah. Mulalah perlahan-lahan. Orang akan kagum. Bukan menghalang atau memperli. Jika begitu pekakkan telinga. Pasang niat dan tabahkan hati. Ada seorang ternama yang ramai peminatnya dan menggemarinya. Namanya memang gah. Dia tidak memakai tudung hingga berderet-deret cucunya. Suatu hari cucunya bertanya kenapa wannya tidak memakai tudung sedangkan anak-anaknya memakai tudung. Tersentak dengan pertanyaan itu akhirnyya ia akur dan memakai tudung hingga sekarang. Itu hidayah mungkin. Cucu menjadi penggerak. Tetapi jika hati sendiri yang menjadi penggeraknya alangkah baiknya!
Saya kira ramai setuju bahawa makanan yang paling baik tentulah yang dimasak sendiri. Kita tahu bersihnya. Kita tahu halalnya. Kita tahu sucinya. Kita tahu khasiatnya. Kita tahu imbang atau tidaknya. Kita tahu selera kita sendiri. Kita tahu siapa kita. Mulim, baligh, berakal, pandai, berpelajaran, terpelajar, terdidik, berpengalaman, perihatin dengan keperluan tubuh badan kita secara fizikal. Kita tahu darah tinggi yang kita ada. Kita tahu kolestrol yang kita ada. Kita tahu kencaing manis yang kita ada. Kita tahu jantung kita, buah pinggang kita, limpa kita, paru-paru kita, hati kita dan perut kta. Jika kita arif tentang diri kita, buatlah pilihan yang terbaik. Masak sendiri. Usahakan walaupun masa tidak ada. Yang simple sudah memadai. Paling simple masak sayur dan lauk dalam kuali atau periuk yang sama. Rebus sahaja. Tiada minyak. Tiada lemak.
Kembalilah kepada Islam. Era akhir zaman ini sepatutnya membawa kita lebih dekat kepada kehendak Allah. Masa kita semakin singkat. Akhirnya alam ini semakin hampir ke hujungnya. Entah-antah esok lusa. Wallahu 'alam.
Tuesday, June 1, 2010
Emas Pakaian Wanita
Seorang wanita Amerika hairan apabila melihat seorang pelajar wanita Melayu memakai barang kemas yang diperbuat daripada emas. "My, you people must be rich. Your body is full of gold." Jika emas dipakai ditangan, leher dan telinga hatta kaki dan jari sudah tentu orang Malaysia kaya-kaya belaka. Orang di negara maju tidak lagi memakai emas di badan. Emas adalah sumber kekuatan ekonomi dan selalunya disimpan sebagai pelaburan. Semua matawang dalam dunia ini tidak dicetak sesuka hati. Semuanya bersandarkan simpanan emas negara berkenaan. Jika dicetak tanpa sandaran emas maka ekonomi negara tersebut tidak dapat dihalang dari menuju ke arah inflasi.
Barang-barang kemas daripada emas lebih banyak digilai oleh wanita di negara yang mundur atau membangun. Semakin maju sesebuah negara itu semakin berkuranglah wanitanya yang memakai barangan emas. Begitu juga semakin berpendidikan tinggi seseorang wanita itu semakin kurang kecenderungannya memakai barangan emas. Mereka lebih memilih intan berlian atau mutira dan batu-batu berharga yang lain. Atau aksesori tiruan. Hanya sebagai hiasan tubuh badan.
Cuba kita ambil contoh wanita Kelantan. Pada mereka tanpa barang kemas yang diperbuat daripada emas mereka rasakan diri mereka tidak berpakaian. Secantik mana sekalipun pakaian mereka jika tanpa emas mereka rasakan diri mereka telanjang. Begitulah tingginya penghargaan wanita terhadap emas. Ianya barang kemas yang paling diminati.
Kita lihat pula di Myamnmar. Wanita-wanita Shan memakai gelang leher yang diperbuat daripada emas secara berperingkat-peringkat. Semakin dewasa dan semakin kaya wanita itu gelang di lehernya semakin banyak hingga menjdikan leher mereka semakin jinjang. Budaya mereka memperakui bahawa semakin jinjang leher wanita itu maka semakin cantik dan berwibawa.
Begitulah emas bagi wanita Afrika, Cina, India dan Amerika Selatan. Penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol, Belanda, British, Perancis, Jerman, Itali dan Amerika Syarikat sendiri menakluki negara-negara lain di benua-benua lain. Dalam proses itu mereka merampok kekayaan negara-negara tradisi ini di samping menyebarkan agama Kristian. Yang paling banyak harta rampasan mereka ialah emas. Dari piramid-piramid yang ada di Mesir, mereka membawa pulang ke negara mereka entah berapa banyak kapal agaknya. Yang tinggal dan mereka pamerkan hanya mumia yang bersejarah sahaja tanpa barang-barang emas yang disemadikan bersama mumia tersebut.
Dari tamadun Inca di Amerika Latin/Selatan terlalu banyak barangan emas yang dirampas dan dibawa kembali ke barat. Yang ditinggalkan hanya sejarahnya tanpa barang-barang sejarah. Orang-orang Inca kehilangan tamadun mereka. Orang Mayan d Mexico begitu juga. Puing-puing tinggalan kehebatan nenek moyang mereka sahaja yang diabadikan, dibaikpulih dan dipertontonkan kepada dunia. Isinya sudah tiada. Sudah kosong. Sudah lompong. Lompanglah sejarah hebat itu. Anak cucu orang Inca hanya mendengar dan membaca sejarahnya tetapi tidak melihat realiti kehebatan itu.
Di India begitu juga. Banyak patung-patung yang diperbuat dari emas. Banyak filem-filem Hollywood yang berlatar belakangkan India. Temanya ialah mencari harta karun yang ditinggalkan oleh tamadun India. Tamadun Indus dan Ganges dari zaman prasejarah. Semuanya telah habis dibawa ke barat. Negara-negara yang dijajah terpaksa membina tamadun mereka semula. Bermula dari bawah. Bermula dari tarikh mereka dijajah.
Tarikan kekayaan ini mendorong orang barat mengubah sejarah. Walaupun India sudah lama bertamadun, mereka katakan British yang membangunkan tamadun India. Tamadun Mesir sudah lebih 5,000 tahun tetapi Dr. Livingstone yang dikatakan menemui Afrika. Red Indian di Amerika Syarikat telah lama membina tamadun tetapi Columbus yang dikatakan menemui Amerika walaupun nama Amerika itu sendiri adalah sempena seorang pelayar yang bernama Amerigo Vespusi. Bukan dinamakan Columbus. Hanya sebuah tempat di Ohio yang dinamakan Columbus.
Saya ingin kembali ke Negeri Johor. Bagi orang Johor emas barangkali ada konotasinya yang tersendiri. Sekiranya seorang lelaki dari negeri lain meminang anak gadis Johor hendaklah ditanya dengan pasti berapa hantaran yang diperlukan. Ramai ibu bapa yang memudahkan hal tersebut. Walau bagaimanapun ramai yang masih mengikut adat. Ada yang menentukan serba satu. Ada yang serba dua. Ada pula yang menentukan serba berdiri.
Serba satu bermakna pihak lelaki hendaklah menyediakan sebentuk cincin dan seutas rantai. Selain daripada itu sepersalinan pakaian selengkapnya dari kasut hinggalah tudung. Yang lain-lain adalah iringan mengikut keikhlasan pihak lelaki. Antaranya termasuklah jam tangan, beg tangan, kasut, barang solekan dan kemasan diri dan lain-lain barang sekadar menyukakan hati dan memeriahkan suasana.
Jika serba dua maka ada antara barang-barang di atas yang digandakan. Yang paling berat ialah serba berdiri. Yang dipinta ialah subang, rantai bersama loketnya, gelang, cincin. Mungkin ditambah kerongsang, butang baju dan gelang kaki. Kesemuanhya emas bang. Mungkin yang dipinta ialah emas 916 bukan 716. Oleh itu bertanyalah. Mitalah kepaastian. Buat senarai lengkap. Jangan diambil ringan. Takut nikah tak jadi nanti.
Di mana-mana saya pergi, kedai emas selalunya dipenuhi pelanggan. Hampir 99.9% adalah wanita Melayu. Di bandar-bandar tertentu sahaja terdapat bukan wanita Melayu. Di Seremban dan Klang mungkin ramai wanita India. Di tempat lain pastinya wanita Melayu. Wanita yang paling kecil gajinya sekalipun tetap mengunjungi kedai emas. Emas dan wanita adalah sinonim.
Saya teringat zaman kanak-kanak saya dahulu. Orang perempuan jika hendak menghadiri majlis perkahwinan di rumah orang kampung atau saudara mara seperti wajib memakai barang kemas. Jika tidak ada mereka meminjam dari jiran-jiran. Seperti kata orang Kelantan jika tidak memakai barang kemas seolah-olah diri mereka tidak berpakaian. Baju dan kain serta tudung hanya menutup fizikal semata-mata. Barang kemas menjadi pelengkap. Kesempurnaan berpakaian. Sekarang ini hal seperti itu tidak lagi diberatkan. Zaman sudah berubah.
Sekarang ini ramai orang kaya yang dikelilingi emas. Bingkai cermin matanya emas. Pen yang digunakan emas. Jam tangannya emas. Bagi jutawan dan billiawan yang memiliki jet peribadi, kepala paip di bilik air jetnya diperbuat daripada emas. Jika kita mengerjakan umrah atau haji, kita dapati di Masjid Nabawi banyak alat perkakasnya yang diperbuat daripada emas. Lampu kandilnya, hiasan silingnya dan yang di sekeliling Raudah. Memang sangat mendamaikan. Tidak karat dan mengkaratkan. Mudah dijaga.
Baiklah. Dalam zaman sekarang ini wanita dan emas hendaklah dilihat dari perspektif yang berbeza. Memanglah emas itu satu keperluan peribadi wanita tetapi harus diambil pendekatan yang berbeza. Pertama emas sebagai pelaburan peribadi dan keluarga. Bila keadaan memerlukan boleh digadaikan secara Islam. Ar-Rahnu umpamanya. Alternatif Islam sudah ada. Gunakan mengikut syariat yang dibenarkan. Jangan gadaikan secara konvensional.
Keduanya, sentiasa ingat bahawa emas yang dipakai tidak melebihi had yang dibenarkan. Bagi orang yang mampu memakai emas yang banyak, maka pada emas itu ada hak orang lain. Hak orang miskin. Orang yang kurang berada. Maksudnya emas itu dizakatkan bila cukup haulnya. Cukup setahun. Zakatnya jangan diabaikan. Itu tuntutan agama. Tuntutan Allah. Pakailah seberapa banyak emas yang mampu. Pakailah seberapa berat yang larat dipakai. Pakailah seberapa besar yang sesuai. Zakatnya jangan lupa dijelasklan. Itu hak Allah dan hak manusia lain yang memerlukan.
Ketiganya, emas adalah barang berharga. Oleh itu emas menjadi tarikan perompak, pencuri dan peragut. Cara memakainya hendaklah memenuhi prosedur keselamatan. Jangan terdedah dan tertunjuk-tunjuk. Ramai orang keliling yang memerhati. Bila ada yan g teringin, padah jadinya.
Pada pengamatan saya emas memang rakan karib wanita. Malangngya ramai wanita yang memakai rantai tangan sebesar lipan. Rantai leher sebesar tali tambang. Memakai cincin yang matanya sebesar biji kelapa. Rantai pula panjang menjurai. Subang besar seperti gelang. Sebenarnya wanita nampak lebih manis, lebih cantik, lebih bergaya, lebih antun, lebih anggun dan lebih menyerlah jika barang kemas yang dipakai ialah yang paling kecil. Paling cantik untuk wanita ialah yang paling kecil. Cincin sekadar ada di jari manis. Rantai halus seperti benang. Gelang sekadar melingkar pergelangan tangan. Lebih kecil lebin cantik. Barang kemas untuk hiasan sahaja bukan untuk membebankan fizikal wanita itu. Yang besar untuk pelaburan. Bukan jadi perhiasan badan. Bila terlalu besar tentulah terlebih hias. Padahnya ialah barang kemas bukan lagi perhiasan tetapi beban. Beban berat, beban zakat, beban keselamatan dan beban sosial.
Begitulah wanita dan emas. Ia sebahagian dari dirinya. Nyawanya. Sebati dengan dirinya. Cuma pesan saya beringatlah tentang tiga perkara di atas. Emas sebagai pelaburan, tanggungjawab agama dan keselamatan sosial. Berpada-padalah. Jaga keselamatan dunia dan akhirat.
Saturday, May 29, 2010
Pakaian Yang Islamik
Ada beberapa perkara yang harus dinilai secara adil dari perspektif Islam tentang pakaian. Antaranya bagi lelaki tidak:
Singkat, di atas lutut
Pendek menampakkan pusat dan alur punggung
Jarang dan telus ke dalam
Bertampal-tampal
Berlubang-lubang di sana sini
Terlalu berwarna warni.
Bagi wanita pula bukan:
Skirt singkat hingga di atas lutut
Menampakkan betis
Terbelah di kanan dan di kiri
Terbelah di hadapan
Terbelah di belakang
Terbelah di bahagian dada
Terdedah di bahagian belakang
Tidak berlengan hingga menampakkan bahu, sebahagian dada, lengan dan tangan
Singkat lengan hingga nampak lengan dan tangan
Singkat baju hingga nampak perut
Singkat seluar hingga menampakkan alur punggung dan sebahagian punggung
Seluar ketat menggambarkan sosok tubuh pemakainya
Jarang dan telus ke dalam
Lengan terlalu lebar hingga nampak apa yang di dalam
Tidak menutup kepala dan dada
Bertampal-tampal
Berlubang di sana sini
Aurat bagi lelaki sudah Allah dan RasulNya tentukan sebagai antara pusat dan lutut. Namun begitu berpakaian menutup tubuh dilihat lebih sopan, lebih manis, lebih antun dan anggun. Ramai lelaki yang sangat perihatin dengan pakaian dan gaya pemakaiannya. Mereka biasanya golongan elit yang pentingkan elegance, keterampilan dan kesempurnaan berpakaian. Mereka berpakaian untuk well dressed bukan berasa naked walaupun berpakaian. Malah setengah lelaki dressed to kill! Lelaki jenis ini bukan sahaja mengenakan pakaian yang berjenama, fabrik yang sesuai dengan tubuh badan dan iklim tempatan tetapi juga dengan gaya dan penampilan yang memberi impak social, official dan privilaged.
Menutup aurat adalah tuntutan asas berpakaian. Wajib menutup aurat. Haram tidak menutup aurat. All.ah sukakan kecantikan. Islam tidak melarang kecantikan. Ramai ulamak masa silam yang cantik pakaiannya. Abdul Rahman Auf r.a. mengenakan pakaian yang nilainya 10,000 dirham. Bayangkan kehebatannya kerana ia seorang yang sangat kaya. Sekarang ini dikira billionaire. Rasulullah tidak melarang kerana itu kemampuannya. Imam Abu Hanifah sangat marah jika ada orang yang mampu tetapi berpakaian compang camping. Pada mereka itu zuhud tetapi mereka keliru dengan makna zuhud. Begitu juga seorang ulamak Mesir yang bernama Al-Laits yang hidup sezaman dengan Imam Syafi'ie. Sangat gemar ia berpakaian yang cantik. Ia mampu kerana hartanya banyak. Malah Imam Syafi'ie sangat mengkaguminya hingga katanya: "Aku berhijrah ke Mesir sebab ada Al-Laits di sana."
Saya berasa risau jika berada bersama-sama orang yang tidak mementingkan pakaian walaupun ia mampu berpakaian kemas dan cantik. Sengaja begitu untuk melambangkan zuhud. Kita hendaklah berpakaian yang boleh membina psikologi pada diri kita sendiri. Pakaian yang sesuai dipakai dengan gaya yang sesuai boleh menambahkan keyakinan diri. Boleh menjadi sumber motivasi. Boleh membina semangat. Jika analoginya kita adalah cermin maka kita hendaklah berpakaian yang sedap dipandang, sedap didampingi, sedap dijadikan sahabat, sedap untuk berdakwah, sedap untuk menjadi contoh teladan, sedap untuk jadi rujukan, sedap untuk mendidik, sedap untuk membimbing.
Bagi sesetengah orang, pakaian adalah lambang jawatannya. Semakin tinggi jawatannya semakin tinggi tahap keterampilannya. Pakaian juga sebagai lambang organisasi. Mungkin juga lambang institusi. Seorang pegawai tinggi, pakaiannya bukan sahaja berjenama, lebih kepada fabrik kapas (Sea Island cotton terutamanya) tetapi yang lebih utama cara berpakaian yang disulami dan disertai dengan aksesori yang berkaitan. Di tangannya dijinjing briefcase. Di Poketnya ada fountain pen. Kacamatanya menepati occasion dan designation. Kasutnya bertali dan hitam berkilat. Tali lehernya cukup menutup kepala talipinggang. Talipingang kulit berwarna hitam. Setokinnya hitam. Jam tangannya sepadan dengan kemampuannya.
Rambut, misai, janggut, jambang dan bulu hidung dijaga rapi. Tapak tangannya tidak dibiarkan kasar. Bila bekerja menggunakan sarung tangan. Giginya, kukunya dan tapak tangannya cantik dijaga. Kulitnya dijaga supaya cantik dilihat oleh yang berhak. Kebersihan kulit selalu diberi perhatian khusus supaya tidak ada daki di mana-mana bahagian tubuh terutamanya di belakang telinga dan di tengkuk.
Wanita perlu berpakaian yang melambangkan kewanitaan selain berkaitan dengan jawatan, kedudukan dan sebagainya. Fabrik pakaian tentulah sutera jika mampu. Atau fabrik lain yang sesuai dengan iklim lembab dan panas seperti Malaysia. Rekaan fesyennya biarlah yang bersesuaian dengan usia, jawatan, kelayakan, jenis kerja, kedudukan sosial dan batasan agama. Begitu juga dengan beg tangan, kacamata, pen, briefcase, jam tangan, baranb kemas, setokin dan tudung.
Pakaian bagi orang Islam mungkin ada dua pilihan. Pertamanya pakaian mengikut sunnah Rasulullah dan isteri-isterinya. Mungkin juga mengikut adat yang tidak bertentangan dengan agama. Sebab itu dalam konsep menjaga aurat pakaian hendaklah:
Cukup panjang. Lelaki mungkin paras buku lali (banyak polimik dalam hal ini). Wanita memang dikehendaki melabuhkan pakaiannya. Cukup saiz supaya sosok tubuh tidak kelihatan. Pinggang yang ramping tidak nampak rampingnya. Yang rimbun tidak nampak rimbunnya. Barangkali berjubah itu lebih baik sebab melindungi kemungkinan-kemungkinan itu.
Pakaian bagi orang Islam mestilah melambangkan keislamannya. Semua yang dipakai oleh orang bukan Islam harus diubahsuai sebelum dipakai. Seluar biarlah yang longgar dan labuh. Begitu juga pakaian tidak mempamerkan kekurangan dan kesilapan seperti dinyatakan di awal tulisan ini. Malang sekali jika kita tidak dapat membezakan antara yang Islam dengan yang bukan Islam. Blousenya sama. Skirtnya sama. Seluarnya sama. Ketatnya sama. Berlubangnya sama. Berbelahnya sama. Singkatnya sama. Jarangnya sama. Kita keliru dan mengelirukan
Pakailah apa sahaja yang hendak dipakai tetapi jagalah nilai Islam dalam pakaian yang hendak dipakai itu. Ingatlah! Kita akan dikembalikan kepada Allah. Kita akan menjawab tentang kesilapan-kesilapan yang kita lakukan. Bagi yang jahil atau belum tahu, banyakkanlah belajar dengan bertanya, memerhati, membaca, meminta nasihat. Bagi yang tahu amalkanlah supaya segala tindakan kita tidak dimurkai Allah.
Sehari dua ini gunung berapi meletus di sana sini. Ia mungkin jauh pada perkiraan manusia tetapi ia semakin dekat apabila semakin banyak azab yang Allah timpakan kepada manusia. Usah kita ambil ringan dan mudah mengenai perkara ini. Dunia sudah semakin tua. Semakin ke hujungnya. Semakin menghampiri penamatnya. Sepatutnya kita selarikan dengan usaha semakin dekat dengan Allah. Persamaan itu mesti digandakan supaya kita berada di bawah lindungan Allah.
Usahlah bercakap tentang moden. Perkataan moden itu telah diperkenalkan oleh ahli-ahli falsafah barat 600 tahun dahulu. Jika sekarang kita masih bercakap tentang moden bermakna kita mengundur ke belakang 600 tahun juga. Kita bercakap tentang kecanggihan teknologi. Itu sekarang. Kita bercakap mengenai state of the art. Esok lusa apa yang kita ada hari ini akan lapok. Absolete. Orang akan datang akan ketawakan kita kerana tenggelam dengan kemodenan yang orang lain sudah lama meninggalkannya. Saya hairan dan takut kerana masih terlalu ramai orang kita yang bercakap tentang moden. Kerana itu teknologi kita jauh tertinggal berbanding negara serantau seperti Singapura, Jepun ddan Korea. Jangan banding dengan USA, Britain, Germany, France, Italy, Ausralia dan sebagainya. Jauh, kita tertinggal jauh di belakang. Jangan terkejut bahawa internet, dan semua laman sosial yang kita gunakan tiada servernya di Malaysia. Kesemuanya melalui Singapura. Ya Singapura. Mungkin rahsia kita semuanya di sana.
Ubahlah paradigma. Kita harus menggarap yang lebih besar dari yang kita ada. Kita terlalu lambat dan terlalu perlahan menggerakkan minda dan jentera bekerja sedangkan orang lain sudah lama meninggalkan starting block. Mereka sedang berlari dan berlari kencang meninggalkan kita. Mereka jauh di hadapan. Mereka bukan menuju garisan penamat tetapi mereka tidak ingin menamatkan larian mereka. Malah mereka menambah tenaga supaya pecutan mereka semakin kencang. Lebih bionic yang melebihi supersonic. Penuh dengan synergy.
Jangan tiru hanya pakaian. Tidak melambangkan Islampun. Tidak memenuhi tuntutan agama. Tidak melambangkan apa-apa. Janganlah hanya gilakan pakaian dan fesyen yang pada mata kepala hanya sesuai dengan artis yang merentas red carpet (karpet merah). Dari segi itu ia tiada makna. Di sisi Allah hanya kemurkaan belaka.
Ke mana sebenarnya kita ingin membawa diri kita. Ke kanan atau ke kiri. Keampunan atau kemurkaan Allah. Syurga atau neraka. Nikmat atau azab. Sumbangan atau kezaliman.
Ramai akan mencemik. Apa ada pada pakaian? Ya apa ada pada pakaian kalau ia meningkatkan dosa, menambahkan bala, membanyakkan azab, menggandakan derita di akhirat nanti. Usahlah lihat di dunia yang fana ini. Dunia pinjam-pinjaman ini. Dunia sementara ini. Dunia tempat kita transit ini. Stesen kecil yang tidak kekal. Fikirkan destinasi kita untuk mengadap Allah. Untuk dihisab dengan adil oleh Yang Maha Adil. Untuk mengharap balasanNya.
Dalam hal berpakaian ini kita tidak boleh hanya membuat pertimbangan akal. Pertimbangan akademik. Pertimbangan sosial. Pertimbangan adat. Pertimbangan logik semata-mata. Kita hendaklah melihat dari perspektif agama. Suruhan dan larangan Allah. Maknanya kita melihat dari sudut akhirat, sesuaikan dengan kehendak dunia tetapi tidak bercanggah dengan batas-batas agama.
Nilailah kembali cara kita berpakaian. Iangan tiru orang barat yang pakaiannya cukup ironik. Yang lelaki berpakaian kemas menutup aurat tetepi yang wanita lebih banyak berbogil dari berpakaian. Pakaian mereka jarang, mendedahkan dada, bahu, kaki dan lengan. Menghairankan juga apabila mereka memakai sarung tangan hingga paras siku. Itulah pakaian malam mereka.
Ramai juga orang perempuan yang berpakaian barat bila di rumah tetapi mereka memakai jubah apabila keluar rumah. Yang dipertontonkan kepada khalayak umum ialah pakaian longgar yang melindungi aurat. Kesilapan berpakaian itu dapat dilindungi.
Fikirkanlah. Kita ingin kembali menikmati kegemilangan Islam semula. Sesungguhnya pada akhir zaman nanti, Islam dijanjikan akan gemilang semula. Bersedialah ke arah itu. Jangan pula kita tersasar ke arah lain. Jalan lain yang menyesatkan. Ya Allah! Bimbinglah dan lindungilah diriku dan seluruh umat Islam supaya sentiasa berada dalam redhamu ya Allah. Amin.
Seminar membina Generasi Ulul Al-bab
Nama: ....................................................................
.................................................................................
No.Kad Pengenalan: ............................................
Alamat: .................................................................
................................................................................
................................................................................
................................................................................
................................................................................
No Tel: ..................................................................
Tandakan: Guru Al-Quran ................................
Bukan Guru Al-Quran.........................................
Yuran:
RM50.00 untuk penyertaan terbuka dewasa
RM30.00 untuk ahli dan pelajar IPT sahaja.
Sila sempurnakan penyertaan sebelum
15 Julai 2010
INFO PERSATUAN
Persatuan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor (PKGGAQNJ) dianggotai oleh guru-guru Al-Quran Negeri Johor. Kesemua mereka adalah guru Al-Quran bertauliah lantikan Jabatan Agama Islam Johor.
Guru-guru ini ada di semua daerah dalam negeri Johor. Sebahagian daripada mereka dilantik menjadi guru DUN. Guru-guru biasa diperlukan mengajar 4 jam semingu bagi setiap kelas tetapi guru-guru DUN mengajar sebanyak 6 jam sehari dan 30 jam seminggu.
Guru-guru biasa dibayar sebanyak RM50 setiap kelas. Maksimum tuntutan hanya untuk 3 kelas sahaja iaitu RM150 sebulan. Guru DUN pula dibayar sebanyak RM500 sebulan.
Persatuan mencari peluang dan harapan untuk cuba membantu ahli-ahli supaya dapat meningkatkan imbuhan di samping meningkatkan martabat mereka dengan menambahkan ilmu. Seminar ini adalah satu dari usaha tersebut.
PERSATUAN KEBAJIKAN GURU-GURU
AL-QURAN NEGERI JOHOR
SEMINAR SEHARI BERSAMA:
YG BHG DATO' SIDEK FADHIL
YG BHG PROF. DR. MAT ROFA ISMAIL
YG BHG DR. JAMNUS MAKLAN
TEMA:
Membina Generasi Ulul Albab Menurut Perspektif Al-Quran
TARIKH:
SABTU 24 JULAI 2010
TEMPAT:
DEWAN A, BLOK G3
UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA
MASA: MULAI JAM 8.00 PAGI
SINOPSIS
Al-Quran adalah mu’jizat teragung yang dianugerahkan kepada Rasulullah, penghulu semua Rasul. Al-Quran menjadi sebuah manual untuk manusia hidup di dunia dan memandu manusia jalan ke akhirat.
Al-Quran adalah bacaan untuk yang kemudiannya dihafal dan ditulis. Darinya segala sumber yang berkaitan agama diistinbat untuk dilaksanakan bagi mencapai kesempurnaan beragama.
Segala isi Al-Quran pada hakikatnya adalah dekat dengan kita. Kekurangan kita ialah kerana tidak mendalaminya, tidak menkajinya dan tidak memberikan keutamaan-keutamaan yang sewajarnya.
Seminar ini adalah suatu langkah untuk mendekatkan lagi kita kepada Al-Quran. Umat Islam pernah mencapai kegemilangan tamadun. Hampir seluruh Eropah dibangunkan. Andalusia menjadi pusat lahirnya ramai ilmuan Islam.
Hari ini kita cuba menyingkap kembali arah untuk melahirkan generasi ulul al-bab. Setelah itu kita menyorot ke dalam untuk melihat hakikat penciptaan alam yang sangat-sangat luas ini. Teori kosmos bagi alam ini banyak persamaannya dengan penciptaan manusia itu sendiri.
InsyaAllah minda kita akan teruja untuk mengetahui keserasian diri kita dengan alam semsesta yang Allah anugerahkan kepada kita ini.
OBJEKTIF
Program ini dianjurkan sebagai mendepani aktiviti bermanfaat Persatuan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor. Antara objektifnya ialah:
1 Mendekati Al-Quran secara ilmiah.
2 Mendapatkan sentuhan ilmiah pakar mengenai kebenaran Al-Quran.
3 Mengaktifkan ahli untuk meneroka Al-Quran dan keindahannya.
4 Memperluaskan ruang lingkup ahli supaya melihat Al-Quran dari luar kotak.
PENYERAHAN BORANG
Sila serahkan borang yang telah lengkap diisi bersama dengan wang bayarannya kepada:
Dengan tangan: Haji Md Yusof Jamar
FPTek, UTHM, 012-7677976
Dengan surat:
1 Haji Md Yusof Jamar (Yang DiPertua)
No 8, Jalan Mesra, Taman Seri Kenangan
83000 Batu Pahat, Johor
Tel: 012-7677976
2 Haji Baharudin Muhamad (Setiausaha)
221, Lorong Talang, Jalan Parit Masjid
82000 Pontian, Johor
Tel: 012-7311491
3 Hajjah Patimah Lan
(Bendahari)
1067, Rumah JKR Api-Api
82000 Pontian, Johor
Tel:012-7485320
4 Haji Hairam (Johor Bahru)
Tel: 013-7457551
5 Haji Ismail (Kota Tinggi)
Tel: 019-7482581
6 En. Ahmad Sukaimi (Kluang)
Tel: 019-7120429
7 En Mohd Alip (Ledang)
Tel: 012-3697841
8 Pn Anisah (Muar)
Tel:012-3697841
9 En Morsid (Mersing)
Tel: 019-7391605
10 Hj Ibrahim (Segamat)
Tel: 017-7884549
11 Ustaz Rahim (Batu Pahat)
Tel: 019-7380444
Friday, May 28, 2010
Membuang Bayi, Seks Rambang dan Krisis Keturunan Orang baik-baik
Islam memberi panduan bahawa pasangan hidup seharusnya cantik supaya sedap dipandang dan menyejukkan hati. Dari mata terus ke hati. Dia seharusnya kaya atau sekurang-kurangnya ada keupayaan untuk hidup selesa. Dengannya makan dan minum terjaga, pakaian terjamin dan tempat tinggal menasabah saiznya. Dia seharusnya beragama supaya hidupnya terarah dan selalu mencari keredhaan Allah. Yang akhir ialah orang dari keluarga baik-baik. Inilah yang sekarang memeningkan kepala. Bagaimanakah kita hendak mengukur dn menilai keluarga baik-baik?
Konsep baik harus juga difahami. Ia tidak boleh disamakan dengan hal-hal lain. Dalam bidang munakahat ada konsep tersendiri mengenai baik dan ia perlu dijaga, dihormati dan dilindungi. Islam memerlukan supaya kita menjaga beberapa perkara yang asas tetapi hak. Agama, nyawa, harta, akal dan keturunan. Menjaga keturunan bukan mudah, bukan mudah seperti yang dijangka. Seperti kata penghulu Semerah Padi lakonan P Ramlee: Rosak keturunanku dan rosak keturunanmu . Itulah yang dilabel jika berlaku perbuatan larangan di luar fitrah syara'. Yang haram kekal haram kecuali dihalalkan melalui akad nikah. Tanpa nikah haramnya berkekalan.
Ambillah iktibar. Ambillah pengajaran. Kuturanan kita tidak boleh dicemarkan. Tidak boleh dikotorkan. Tidak boleh dijadikan tidak sah taraf. Tanggungjawab setiap umat Islam untuk memelihara keturunan masing-masing. Pendidikan agama jangan sekali-kali dipandang remeh. Jangan diremehkan. Jangan dipinggirkan. Jangan dipermain-mainkan. Jangan diambil mudah. Jangan dispelekan. Kita ada tanggungjawab besar untuk menjaganya, melindunginya, mempertahankannya. Ia adalah pertaruhan antara yang hak dan yang batil. Antara keampunan dan kemurkaan Allah. Antara syurga dan neraka.
Jika kejantinaan sudah tidak lagi dihormati sebagai kesucian dan kesyahduan mendirikan masjid maka kita akan terjerumus merosakkan keturunan kita. Apatah lagi jika masyarakat tidak peka bahawa sesuatu perkahwinan mestilah melibatkan pasangan yang sah taraf khususnya bagi wanita. Jika wanita itu tidak sah taraf, wajib bagi ibu bapa angkatnya atau penjaganya memaklumkan kepada pihak berwajib yang akan menikahkannya tentang statusnya sebagai tidak sah taraf. Ini memberi panduan supaya keadaan dapat dibetulkan. Pernikahan dilakukan dengan wali hakim.
Orang Melayu Islam masih ramai yang keliru dengan hal ini. Ramai anak angkat yang dibin dan dibintikan kepada bapa angkat. Apabila mereka berakal tidak pula dimaklumkan yang mareka adalah anak angkat. Berlakulah hal-hal yang sepatutnya tidak berlaku. Mungkin berlaku berwali bapa angkat atau mungkin merebut harta pesaka bapa angkat. Alasannya kerana legal status pada bin dan binti bapa angkat.
Sekarang ini pergaulan bebas menjurus kepada seks rambang dan seks bebas. Ramai pula melibatkan remaja bawah umur yang masih hingusan, masih bersekolah dan masih pendek akal. Inilah bahananya kerakusan orang dewasa yang dangkal akalnya. Merosak generasi pewaris akan datang. Ibu bapa pula lemah dan kalah dengan kebiasaan dan kepetahan anak berbicara. Kawalan dan disiplin keluarga terbuang dan bersepah di sana sini.
Ada isu yang telah saya kupas dalam siri Masa Dulu-Dulu saya. Walau bagaimanapun saya ingin terus menyentuh fenomena akhir zaman yang menakutkan saya ini. Menakutkan sebab keturunan saya akan masih panjang lagi menghuni alam nanti. Kawalan disiplin hendaklah dari kecil, dari kanak-kanak lagi. Apabila anak sudah pandai berhujjah maka ibu bapa yang tidak "bersekolah" akan menghadapi kesukaran menentukan yang mana hak dan yang mana batil. Yang mana benar dan yang mana salah. Harus diingat, benar atau salah, hak atau batil adalah ukuran agama. Bukan ukuran adat. Bukan ukuran sosial. Bukan ukuran akademik. Bukan ukuran politik. Bukan ukuran barat atau timur. Bukan ukuran orang dewasa. Bukan ukuran orang kaya. Bukan ukuran orang berkuasa. Penentu akhirnya ialah Allah. Garis panduannya dalam Al-Quran. Penegasannya dalam hadith.
Ibu bapa tidak boleh hilang kawalan. Saya ulang, ibu apa tidak boleh hilang kawalan. Ulangan ketiga, ibu bapa tidak boleh hilang kawalan. Anda mestilah layak, berkeupayaan dan bersedia mengawal keadaan keluarga khususnya anak-anak. Jika anak kecilpun tidak boleh mengawalnya maka anda tidak mungkin dapat mengawalnya sewaktu anak-anak menjadi remaja atau setelah bekerja dan dewasa.
Kawalan ke atas anak-anak mestilah meliputi semua aspek kehidupannya. Kawallah tahap kepatuhannya. Kawallah gaya percakapannya. Kawallah pertuturannya. Kawallah caranya bila meminta atau menolak. Kawallah cara berjalan atau tingkah lakunya. Kawallah pakaiannya. Kawallah siapa kawan-kawannya. Kawallah waktu belajarnya. Kawallah waktu rehatnya, waktu santainya, waktu liburnya. Kawallah ke mana perginya. Kawallah di mana singgahnya. Kawallah siapa idolanya. Kawallah ibadatnya. Kawallah penguasaan agamanya. Kawallah jalan berfikirnya.
Semasa anak-anak membesar jangan biarkan ia sendirian. Jangan ditinggalkan di rumah sendirian. Jangan biarkan ia berfikir sendirian tanpa panduan atau bimbingan. Jangan biarkan dia keluar tanpa tujuan. Jangan biarkan dia terlepas dari kawalan walau apa sekalipun aktivitinya. Anak-anak anda perlukan pemantauan, pemerhatian dan kawalselia berterusan agar tidak berlaku sesuatu yang divergen dari mereka.
Setiap perincian sosok tubuh anak harus diperhatikan. Diteliti. Diamati. Jangan anggap mereka sudah besar. Mereka tetap anak-anak kepada anda. Ibu-ibu, intai anak sunti puan. Anak dara puan. Lihat tubunya sewaktu tidak berpakaian. Perhatikan jika ada keganjilan sewaktu mereka berpakaian. Ibu mesti peka/sensitif terhadap tubuh badan anak-anak. Kawalan ke atas mereka mestilah menyeluruh. Lengkap.
Jika semua itu dapat ibu bapa lakukan. Semua ibu bapa dapat melakukannya, barulah nanti ada keyakinan bahawa orang yang di kanan atau kiri kita, di hadapan atau di belakang kita, atau yang berjiran dengan kita, atau yang bakal menjadi pasangan kita, atau yang bakal menadi menantu kita adalah anak-anak yang secara mutlak adalah anak-anak sah taraf. Ya sah taraf.
Terpulang kepada kita sekarang. Terpulang. Jika kita mahukan yang terbaik maka lakukan yang terbaik. Kembalilah kepada agama, kepada Islam dan kepada Allah. Janji Allah itu benar. Kita akan kembali kepadaNya. Tidak ada kecuali. Jika sesat kembalilah. Jika tidak tahu belajarlah. Jika jahil bertanyalah. Usah biarkan diri hilang identiti, hilang jati diri, hilang agama, hilang Allah.
Ingatlah! Ibu bapalah yang menentukan hitam atau putihnya anak-anak. Jika anda gagal berbuat demikian maka nanti anak-nak itulah yang akan menyusahkan anda.