Saturday, May 29, 2010

Pakaian Yang Islamik

Pakaian adalah pakaian. Apa yang perlu dibincangkan. Nanti dulu. Pakaian bukan sekadar pakaian. Bukan sekadar untuk menutup bahagian-bahagian tertentu tubuh badan. Pada pakaian ada hukumnya, ada falsafahnya, ada identitinya, ada jati dirinya, ada lambang atau statusnya. Banyak aspek boleh dibincangkan mengenai pakaian. Setiap satunya relevan dengan tuntutan agama. Pakaian adalah berlainan bagi orang yang berlainan tempat, masa, agama, adat dan kedudukan kewarganegaran. Marilah kita melihatnya dari sudut agama. Sudut yang lain mungkin boleh diketepikan untuk sementara waktu.

Ada beberapa perkara yang harus dinilai secara adil dari perspektif Islam tentang pakaian. Antaranya bagi lelaki tidak:

Singkat, di atas lutut
Pendek menampakkan pusat dan alur punggung
Jarang dan telus ke dalam
Bertampal-tampal
Berlubang-lubang di sana sini
Terlalu berwarna warni.

Bagi wanita pula bukan:

Skirt singkat hingga di atas lutut
Menampakkan betis
Terbelah di kanan dan di kiri
Terbelah di hadapan
Terbelah di belakang
Terbelah di bahagian dada
Terdedah di bahagian belakang
Tidak berlengan hingga menampakkan bahu, sebahagian dada, lengan dan tangan
Singkat lengan hingga nampak lengan dan tangan
Singkat baju hingga nampak perut
Singkat seluar hingga menampakkan alur punggung dan sebahagian punggung
Seluar ketat menggambarkan sosok tubuh pemakainya
Jarang dan telus ke dalam
Lengan terlalu lebar hingga nampak apa yang di dalam
Tidak menutup kepala dan dada
Bertampal-tampal
Berlubang di sana sini

Aurat bagi lelaki sudah Allah dan RasulNya tentukan sebagai antara pusat dan lutut. Namun begitu berpakaian menutup tubuh dilihat lebih sopan, lebih manis, lebih antun dan anggun. Ramai lelaki yang sangat perihatin dengan pakaian dan gaya pemakaiannya. Mereka biasanya golongan elit yang pentingkan elegance, keterampilan dan kesempurnaan berpakaian. Mereka berpakaian untuk well dressed bukan berasa naked walaupun berpakaian. Malah setengah lelaki dressed to kill! Lelaki jenis ini bukan sahaja mengenakan pakaian yang berjenama, fabrik yang sesuai dengan tubuh badan dan iklim tempatan tetapi juga dengan gaya dan penampilan yang memberi impak social, official dan privilaged.

Menutup aurat adalah tuntutan asas berpakaian. Wajib menutup aurat. Haram tidak menutup aurat. All.ah sukakan kecantikan. Islam tidak melarang kecantikan. Ramai ulamak masa silam yang cantik pakaiannya. Abdul Rahman Auf r.a. mengenakan pakaian yang nilainya 10,000 dirham. Bayangkan kehebatannya kerana ia seorang yang sangat kaya. Sekarang ini dikira billionaire. Rasulullah tidak melarang kerana itu kemampuannya. Imam Abu Hanifah sangat marah jika ada orang yang mampu tetapi berpakaian compang camping. Pada mereka itu zuhud tetapi mereka keliru dengan makna zuhud. Begitu juga seorang ulamak Mesir yang bernama Al-Laits yang hidup sezaman dengan Imam Syafi'ie. Sangat gemar ia berpakaian yang cantik. Ia mampu kerana hartanya banyak. Malah Imam Syafi'ie sangat mengkaguminya hingga katanya: "Aku berhijrah ke Mesir sebab ada Al-Laits di sana."

Saya berasa risau jika berada bersama-sama orang yang tidak mementingkan pakaian walaupun ia mampu berpakaian kemas dan cantik. Sengaja begitu untuk melambangkan zuhud. Kita hendaklah berpakaian yang boleh membina psikologi pada diri kita sendiri. Pakaian yang sesuai dipakai dengan gaya yang sesuai boleh menambahkan keyakinan diri. Boleh menjadi sumber motivasi. Boleh membina semangat. Jika analoginya kita adalah cermin maka kita hendaklah berpakaian yang sedap dipandang, sedap didampingi, sedap dijadikan sahabat, sedap untuk berdakwah, sedap untuk menjadi contoh teladan, sedap untuk jadi rujukan, sedap untuk mendidik, sedap untuk membimbing.

Bagi sesetengah orang, pakaian adalah lambang jawatannya. Semakin tinggi jawatannya semakin tinggi tahap keterampilannya. Pakaian juga sebagai lambang organisasi. Mungkin juga lambang institusi. Seorang pegawai tinggi, pakaiannya bukan sahaja berjenama, lebih kepada fabrik kapas (Sea Island cotton terutamanya) tetapi yang lebih utama cara berpakaian yang disulami dan disertai dengan aksesori yang berkaitan. Di tangannya dijinjing briefcase. Di Poketnya ada fountain pen. Kacamatanya menepati occasion dan designation. Kasutnya bertali dan hitam berkilat. Tali lehernya cukup menutup kepala talipinggang. Talipingang kulit berwarna hitam. Setokinnya hitam. Jam tangannya sepadan dengan kemampuannya.

Rambut, misai, janggut, jambang dan bulu hidung dijaga rapi. Tapak tangannya tidak dibiarkan kasar. Bila bekerja menggunakan sarung tangan. Giginya, kukunya dan tapak tangannya cantik dijaga. Kulitnya dijaga supaya cantik dilihat oleh yang berhak. Kebersihan kulit selalu diberi perhatian khusus supaya tidak ada daki di mana-mana bahagian tubuh terutamanya di belakang telinga dan di tengkuk.

Wanita perlu berpakaian yang melambangkan kewanitaan selain berkaitan dengan jawatan, kedudukan dan sebagainya. Fabrik pakaian tentulah sutera jika mampu. Atau fabrik lain yang sesuai dengan iklim lembab dan panas seperti Malaysia. Rekaan fesyennya biarlah yang bersesuaian dengan usia, jawatan, kelayakan, jenis kerja, kedudukan sosial dan batasan agama. Begitu juga dengan beg tangan, kacamata, pen, briefcase, jam tangan, baranb kemas, setokin dan tudung.

Pakaian bagi orang Islam mungkin ada dua pilihan. Pertamanya pakaian mengikut sunnah Rasulullah dan isteri-isterinya. Mungkin juga mengikut adat yang tidak bertentangan dengan agama. Sebab itu dalam konsep menjaga aurat pakaian hendaklah:

Cukup panjang. Lelaki mungkin paras buku lali (banyak polimik dalam hal ini). Wanita memang dikehendaki melabuhkan pakaiannya. Cukup saiz supaya sosok tubuh tidak kelihatan. Pinggang yang ramping tidak nampak rampingnya. Yang rimbun tidak nampak rimbunnya. Barangkali berjubah itu lebih baik sebab melindungi kemungkinan-kemungkinan itu.

Pakaian bagi orang Islam mestilah melambangkan keislamannya. Semua yang dipakai oleh orang bukan Islam harus diubahsuai sebelum dipakai. Seluar biarlah yang longgar dan labuh. Begitu juga pakaian tidak mempamerkan kekurangan dan kesilapan seperti dinyatakan di awal tulisan ini. Malang sekali jika kita tidak dapat membezakan antara yang Islam dengan yang bukan Islam. Blousenya sama. Skirtnya sama. Seluarnya sama. Ketatnya sama. Berlubangnya sama. Berbelahnya sama. Singkatnya sama. Jarangnya sama. Kita keliru dan mengelirukan

Pakailah apa sahaja yang hendak dipakai tetapi jagalah nilai Islam dalam pakaian yang hendak dipakai itu. Ingatlah! Kita akan dikembalikan kepada Allah. Kita akan menjawab tentang kesilapan-kesilapan yang kita lakukan. Bagi yang jahil atau belum tahu, banyakkanlah belajar dengan bertanya, memerhati, membaca, meminta nasihat. Bagi yang tahu amalkanlah supaya segala tindakan kita tidak dimurkai Allah.

Sehari dua ini gunung berapi meletus di sana sini. Ia mungkin jauh pada perkiraan manusia tetapi ia semakin dekat apabila semakin banyak azab yang Allah timpakan kepada manusia. Usah kita ambil ringan dan mudah mengenai perkara ini. Dunia sudah semakin tua. Semakin ke hujungnya. Semakin menghampiri penamatnya. Sepatutnya kita selarikan dengan usaha semakin dekat dengan Allah. Persamaan itu mesti digandakan supaya kita berada di bawah lindungan Allah.

Usahlah bercakap tentang moden. Perkataan moden itu telah diperkenalkan oleh ahli-ahli falsafah barat 600 tahun dahulu. Jika sekarang kita masih bercakap tentang moden bermakna kita mengundur ke belakang 600 tahun juga. Kita bercakap tentang kecanggihan teknologi. Itu sekarang. Kita bercakap mengenai state of the art. Esok lusa apa yang kita ada hari ini akan lapok. Absolete. Orang akan datang akan ketawakan kita kerana tenggelam dengan kemodenan yang orang lain sudah lama meninggalkannya. Saya hairan dan takut kerana masih terlalu ramai orang kita yang bercakap tentang moden. Kerana itu teknologi kita jauh tertinggal berbanding negara serantau seperti Singapura, Jepun ddan Korea. Jangan banding dengan USA, Britain, Germany, France, Italy, Ausralia dan sebagainya. Jauh, kita tertinggal jauh di belakang. Jangan terkejut bahawa internet, dan semua laman sosial yang kita gunakan tiada servernya di Malaysia. Kesemuanya melalui Singapura. Ya Singapura. Mungkin rahsia kita semuanya di sana.

Ubahlah paradigma. Kita harus menggarap yang lebih besar dari yang kita ada. Kita terlalu lambat dan terlalu perlahan menggerakkan minda dan jentera bekerja sedangkan orang lain sudah lama meninggalkan starting block. Mereka sedang berlari dan berlari kencang meninggalkan kita. Mereka jauh di hadapan. Mereka bukan menuju garisan penamat tetapi mereka tidak ingin menamatkan larian mereka. Malah mereka menambah tenaga supaya pecutan mereka semakin kencang. Lebih bionic yang melebihi supersonic. Penuh dengan synergy.

Jangan tiru hanya pakaian. Tidak melambangkan Islampun. Tidak memenuhi tuntutan agama. Tidak melambangkan apa-apa. Janganlah hanya gilakan pakaian dan fesyen yang pada mata kepala hanya sesuai dengan artis yang merentas red carpet (karpet merah). Dari segi itu ia tiada makna. Di sisi Allah hanya kemurkaan belaka.

Ke mana sebenarnya kita ingin membawa diri kita. Ke kanan atau ke kiri. Keampunan atau kemurkaan Allah. Syurga atau neraka. Nikmat atau azab. Sumbangan atau kezaliman.

Ramai akan mencemik. Apa ada pada pakaian? Ya apa ada pada pakaian kalau ia meningkatkan dosa, menambahkan bala, membanyakkan azab, menggandakan derita di akhirat nanti. Usahlah lihat di dunia yang fana ini. Dunia pinjam-pinjaman ini. Dunia sementara ini. Dunia tempat kita transit ini. Stesen kecil yang tidak kekal. Fikirkan destinasi kita untuk mengadap Allah. Untuk dihisab dengan adil oleh Yang Maha Adil. Untuk mengharap balasanNya.

Dalam hal berpakaian ini kita tidak boleh hanya membuat pertimbangan akal. Pertimbangan akademik. Pertimbangan sosial. Pertimbangan adat. Pertimbangan logik semata-mata. Kita hendaklah melihat dari perspektif agama. Suruhan dan larangan Allah. Maknanya kita melihat dari sudut akhirat, sesuaikan dengan kehendak dunia tetapi tidak bercanggah dengan batas-batas agama.

Nilailah kembali cara kita berpakaian. Iangan tiru orang barat yang pakaiannya cukup ironik. Yang lelaki berpakaian kemas menutup aurat tetepi yang wanita lebih banyak berbogil dari berpakaian. Pakaian mereka jarang, mendedahkan dada, bahu, kaki dan lengan. Menghairankan juga apabila mereka memakai sarung tangan hingga paras siku. Itulah pakaian malam mereka.

Ramai juga orang perempuan yang berpakaian barat bila di rumah tetapi mereka memakai jubah apabila keluar rumah. Yang dipertontonkan kepada khalayak umum ialah pakaian longgar yang melindungi aurat. Kesilapan berpakaian itu dapat dilindungi.

Fikirkanlah. Kita ingin kembali menikmati kegemilangan Islam semula. Sesungguhnya pada akhir zaman nanti, Islam dijanjikan akan gemilang semula. Bersedialah ke arah itu. Jangan pula kita tersasar ke arah lain. Jalan lain yang menyesatkan. Ya Allah! Bimbinglah dan lindungilah diriku dan seluruh umat Islam supaya sentiasa berada dalam redhamu ya Allah. Amin.

No comments:

Post a Comment