Sunday, June 6, 2010

Makanan Bersih, Suci dan Halalan Toyibbah

Dalam hidup yang penuh ribut ini, aspek makanan selalu tidak diberi perhatian serius. Kita selalu take for granted bahawa yang terhidang di depan mata itu sebenarnya halal, bersih, suci dan toyyibah. Aduhai, kita sebenarnya cetek ilmu untuk menentukan semua itu. Halal ada syaratnya. Bersih ada syaratnya. Suci ada syaratnya. Toyyibah ada sysratnya. Bukan sekadar yang kita nampak. Bukan sekadar yang kita rasa. Bukan sekadar jaminan pada label sahaja. Bukan apa yang orang kata. Kita sendiri, ya kita sendiri mestilah berilmu untuk menentukan kualiti makanan yang ingin kita serapkan dalam minda, pemikiran, otak, darah, daging dan fizikal kita. Ianya tidak semudah a, b, c atau 1, 2, 3. Sebagai seorang Muslim kita diperlukan memiliki ilmu menentukan makanan yang halalan toyibbbah ini. Amal ibadah kita mungkin bergantung kepada kesempurnaan tersebut. Bergantung kepada makanan yang dijamin dari segi halalnya, bersihnya, sucinya dan toyyibahnya.


Yang halal itu jelas halalnya. Kita berpegang kepada mazhab Syafi'i. Ikutlah. Sayur-sayuran, buah-buahan harus dimakan asalkan tidak memabukkan, merosakkan atau tidak mendatangkan kesan sampingan. Begitu juga makanan laut. Kesemuanya halal asalkan tidak memberi mudarat.


Ada kemungkinan makanan kita yang toksik. Bagi tumbuh-tunbuhan yang hidup di kawasan lapang pasti disembur dengan makhluk perosak. Ramai petani mengambil mudah. Racun tidak mengikut sukatan, tidak mengikut jadual dan tidak mengikut prosedur sewaktu memetiknya. Akibatnya makanan yang mudah rosak (perishable) ini menjadi toksik. Beracun. Jika tidak cirit birit, muntah-muntah, mabuk dan pening kita mungkin dijangkiti penyakit dalaman yang mungkin juga berupa barah atau gangguan lain dalam tubuh badan kita.


Hidupan di laut juga ada bahayanya. Bukan sahaja ikan buntal yang beracun. Ada ikan yang juga toksik. Jika ada kilang di tepi laut atau binaan dan bangunan di tepi laut, ke mana air kumbahan dilepaskan? Jika dilepaskan ke laut maka di kawasan pantai itu airnya tercemar. Ikannya tercemar. Begitulah yang terjadi pada awal tahun 70an dahulu dalam kes Minamata di Jepun. Ikan yang ditangkap di satu kawasan laut penuh dengan raksa kerana sebuah kilang melepaskan sisa raksanya ke laut. Maka nelayan yang menangkap dan memakan ikan-ikan tersebut sebenarnya memakan raksa. Berbagai penyakit kronik menimpa mereka. Alhamdulillah ikan kita masih selamat. Tetapi ikan-ikan yang kita import wallahu 'alam. Yang dari Thailand. Yang dari India. Hatta yang dari negara-negara lain. Kita tidak tahu setakat mana ketetnya pihak berkuasa negara kita yang peka dan mengambil berat tentang keselamatan makanan dan kesihatan.


Sekarang cuba fikirkan sejenak haiwan yang kita makan. Lembu halal. Kambing halal. Ayam halal. Itik halal. Angsa halal. Arnab halal. Burung unta halal. Rusa halal. Burung puyuh halal. Kita berhenti sejenak. Kita tanya diri kita sendiri. Siapa yang menyembelih haiwan-haiwan itu? Betulkah kaedah dan prosedur menyembelihnya? Sesuaikah peralatan yang digunakan untuk menyembelih? Cara melapahnya? Cara menyimpannya? Bahan pengawet yang digunakan? Kaedah penghantaran? Kaedah pembungkusan? Banyak lagi soalan yang perlu kita tanya. Soalan-soalan cepu emas ini menentukan ibadat kita. Syurga kita. Kesihatan kita. Redha Allah.


Allah memberi garis panduan bahawa "diharamkan ke atas orang Islam bangkai, darah, daging babi dan haiwan yang diembelih bukan kerana Allah dan tidak menyebut nama Allah". Darah (yang mengalir) dan daging babi sangat jelas. Bagaimana dengan bangkai? Haiwan halal sekalipun jika tidak memenuhi syarat penyembelihannya dianggap bangkai. Haram dimakan. Berapa orang antara kita yang mahir menyembelih haiwan? Tahukah kita konsep sebelihan halal atau tidak? Yang mana sembelihan yang dikategorikan halal atau haram? Janganlah serahkan bulat-bulat kepada pihak yang berwajib. Kita hendaklah mencari ilmu untuk menjaga kepentingan diri dan usia kita sendiri. Kita perlu mengubahnya.


Kita banyak mendengar permasalahan ayam yang disembelih secara komersil. Ada yang dilemaskan dahulu. Ada yang dipotong sekaligus sahaja. Ada yang diproses semasa ayam itu masih terkapar-kapar lagi. Belum mati. Bercampur aduk atau tidak dengan ayam yang disembelih secara halal dengan yang tidak di sembelih sewaktu diproses. Dipastikan atau tidak yang disembelih halal sahaja yang diproses secara halal. Yang ditolak sembelihannya diasingkan. Tidak dilabelkan halal. Siapa yang menentukan ini? Siapa? Ya Allah, selamatkanlah umat Islam dari kejahilan ini! Dari trlalu bergantung kepada orang lain ini. Ayuhlah kita belajar. Belajar untuka menjadi Muslim yang mengerti. Yang mengambil tahu. Yang tahu halal dan haram tentang makanan yang kita makan sehari-hari. Yang kita beli di kedai, di gerai, di tepi jalan, di pasar tani. Yang kita makan semasa menghadiri jamuan di sana dan di sini.


Siapa yang menyembelih? Islam? Baligh? Berakal? Solat? Bersuci diri seperti membersihkan diri? Membaca basmalah? Berserah diri kepada Allah? Haiwan yang hendak disembelih mengerti hasrat orang yang ingin melakukannya. Haiwan itu redha. Dirinya memang menjadi rezeki manusia. Tetapi orang sekarang tidak menghormati haiwan itu. Mereka sembelih di hadapan haiwan-haiwan yang lain. Mereka siksa haiwan itu. Melapahnya tidak cermat.


Mana pilihan kita? Makanan yang disediakan oleh orang Islam atau yang disediakan oleh mereka yang bukan Islam? Ini bukan soal diskriminasi. Ini bukan soal segrigasi. Ini bukan soal polarisasi. Ini bukan soal kompartmentalisasi. Ini bukan soal membeza-beza. Maaflah, ramai orang bukan Islam yang tidak memahami sensitiviti orang Islam. Mereka tidak mahu belajar tentang halal dan haram yang menjadi perkara pokok orang Islam. Mungkin bukan salah mereka. Kita yang Islam tidak berani mendakwah mereka. Kita tidak memiliki kekuatan untuk memberi kefahaman kepada mereka. Kita terlalu mengambil hati. Terlalu bertolak ansur. Maaf sekali lagi, perkara agama, perkara yang bersangkut dengan Allah tidak boleh dikompromi. Kata putusnya datang dari Allah. Jangan hendak berdebat dengan Allah. Jangan mencari alasan. Jangan berdalih.


Halal dan haram memberi arah yang berbeza antara orang Islam dengan yang bukan Islam. Halal melorongkan kita ke syurga. Haram menyesatkan kita ke neraka. Konsep ini tidak ada pada orang bukan Islam. Malangnya orang Islam sendiri tidak peka tentang tuntutan agamanya. Dalam hal makanan, orang Melayu ingin menjadi trend setter. Mereka tidak peduli halal dan haram. Pada mereka semuanya boleh. Sembelihan ahli kitab memang dibenarkan. Tetapi mereka ahli kitab sejak dulu. Turun temurun. Mereka adalah orang Kristian dan orang Yahudi. Ya sembelihan mereka boleh dimakan walaupun bukan beragama Islam. Ia hanya untuk mereka yang mengerti dan mengetahui. Yang tidak, mungkin tidak yakin dan banyak persoalannya. Tanyalah pada ustaz, pada ustazah, pada ulamak.


Banyak makanan yang disediakan oleh mereka yang bukan beragama Islam. Ironisnya mereka diberi sijil halal. Orang Islam pula hanya melihat yang tersurat tetapi tidak pernah memikirkan yang tersirat iaitu proses penyediaannnya yang selalunya terselindung dari pandangan mata. Kita terpaksa kembali kepada soal kebersihan, kesucian dan toyyibah. Sucikah tangan mereka dari najis babi dan anjing yang menjadi makanan mereka dan yang selalu mereka sentuh? Pekerja perempuan pula diperlukan lebih pembersih dalam banyak hal. Apakah mereka mengerti keperluan itu. Berhentilah di mana-mana R & R di sepanjang lebuhraya. Kita bertemu dengan Pau Ahmad. Namanya memang Melayu. Orang Islam telah beberapa kali diberitahu bahawa pau itu diusahakan oleh 100% syarikat bukan Islam. Pekerjanya 100% bukan Islam. Lalu kesuciannya, halalnya bagaiamana? Yakinkah kita yang mereka mematuhi prosedur halal dan haram? Najis dan suci? Buruk dan toyyibahnya?


Pau Ahmad diberitakan di TV. Ditulis dalam akhbar. Disebarkan di internet. Mungkin ada berita melalui sms. Biasalah, tidak semua orang menerima berita itu. Ada orang yang berhati-hati memilih yang halal. Yang lain pejam mata kira halal semuanya. Maaf bang, makanan itu jadi darah daging. Kesian tubuh kita diberi makanan yang haram, yang najis, yang tidak toyyibah. Ia menghalang, meliatkan, memayahkan, mengekang, memalaskan hati kita untuk beribadat.


Ramai peniaga makanan yang tidak menjaga solat dan puasa. Berniaga pada waktu-waktu solat. melanggar waktu solat. Melampaui waktu solat. Peniaga ini mengejar dunia tetapi mengabaikan akhirat. Keutamaan yang tidak betul. Yang hak diabaikan. Yang benar diabaikan. Kita pula membeli juga dari mereka. Jadi yang kita beli itu apa? Hampas ke? Sampah ke? Allahu Akbar. Bagaimana makanan sebegitu kita harapkan menjadi darah daging yang baik, yang menjana pemikiran positif, yang menjana ibadah dan akhlak mulia?


Di hotel-hotel dan di restoran milik orang bukan Islam, ramai juga orang Islam yang melanggannya. Apa sebenarnya yang kita makan? Bagaimana mereka menyimpan makanan? Bercampur antara yang halal dengan yang haram? Malang sungguh. Tahukah kita bahawa haiwan yang tidak disembelih itu adalah bangkai. Haram. Najis pula. Kenapa kita tidak peduli semua ini? Tidakkah menjadi persoalan? Mungkinkah kita semua sudah hilang pertimbangan? Usahlah begitu. Banyaklah berfikir. Makanpun kenalah yang diredhai Allah. Kita makhluk berakal. Makhluk beriman. Makhluk tahu halal dan haram. Makhluk yang tahu baik dan buruk. Makhluk yang tahu yang hak dan yang batil.

Ngeri dan mengerikan. Persoalan tentang makanan ini terlalu sangat kita kesampingkan. Kita ketepikan. Kita abaikan. Kita remehkan. Kita pandang ringan. Kita labelkan sebagai hal-hal kecil. Malang, malang dan sungguh malang.

Sekarang ini sudah banyak usaha untuk mengusahakan makan halal. Makanan yang diusahakan oleh orang Islam sendiri. Sokonglah mereka. Turut sertalah menghasilkan makanan halal. Belilah. Ajaklah orang lain memihak kepada yang halal. Usaha-usaha seperti Syarikat HPA sepatutnya diperanyakkan. Banyak makanan yang dicampurkan dengan bahan-bahan dari babi. Cukuplah ubat-ubatan yang ada unsur babi yang sudah dihalalkan sebab ianya ubat. Janganlah diperpanjangkan lagi kepada makanan pula. Masih banyak pilihan. Orang islam tidk akan mati jika tidak membeli makanan dari orang bukan Islam.

Saya teringat sewaktu di USA dahulu. Sabun mandi banyak yang mengandungi pig tallow. Ubat gigi begitu juga. Roti banyak yang mengandungi animal shortening, animal oil, lard, animal glycerine. Aiskrim banyak yang megandngi rum. Di Malaysia kita selalu diberikan label yang saintifik tetapi tidak memberi petunjuk yang jelas. Apa sebenarnya pengawet yang dibenarkan? Penaik yang dibenatkan? Pewarna yang dibenarkan? Dalam hal ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang adalah satu-satunya yang sangat aktif memberikan maklumat halal dan haram sesuatu makanan. Kita perlu banyak lagi NGO yang aktif dalam hal ini. Ini hal halal dan haram. Hal syurga dan neraka. Boleh juga kita kata hal mati atau hidup umat Islam supaya Islamnya terjamin. Islamnya tulen. Islamnya selamat. Islamnya memenuhi syariat.

Jangan matikan hati. Jangan matikan diri. Jangan matikan roh yang ada di badan kita. Jangan matikan akal. Marilah sama-sama kita baca jalan hidup kita yang semasa dan yang akan datang. Pastikan jalannya lurus. Temanya benar. Motifnya hak. Pengakhirannya adalah tragic comedy. Happy ending. Nanti di syurga kita nikmati segala-galanya.

Dunia yang fana ini harus diusahakan supaya hidup kita mematuhi syariat. Mematuhi kehendak Allah. Mematuhi kehendak Rasulullah. Semuanya sudah digariskan dalam al-Quran. Dalam hadith. Ijmak. Qias. Begitu juga ijtihad dan mungkin urf. Adat setempat yang meghalalkan sesuatu makanan. Dhab halal bagi orang Islam Arab walaupun rupanya seperti biawak. Tetapi janganlah makan biawak kerana diqiaskan kepada dhab. Jangan, orang biasa seperti kita, jangan membuat fatwa sendiri. Kita kena belajar. Kena bertanya. Kena dapat nasihat dari mereka yang diperakui berhak menentukan hukumnya.

Kita kembalilah kepada al-Quran. Iqra'. Bacalah. Ambil maknanya. Pelajari maksud dan tafsirannya. Dengar kata ulamak. Dengar dari mereka yang mursyid. Dari mereka yang berwibawa tentang agama. Agama tidak boleh dipandang sewenang-wenang sahaja. Ia mesti datang dari sumber yang hakiki. Yang benar. Yang hak.

Jika kita tidak tahu, belajar dan ambil tahu. Tidak boleh bertaqlid semata. Tidak boleh ikut-ikutan semata-mata. Itu jahil sejahilnya. Jangan begitu. Ambil tahu. Jika ada yang beritahu, terima, timbang, rujuk orang lain untuk menentukan sahihnya. Jika sahih terima, amal dan jadikan tradisi. Jangan perlekeh pendapat dari mereka yang arif. Yang jadi bidang mereka. Jangan tanya hukum agama dari mereka yang bukan bidangnya. Yang tidak diperakui sebagai bidang mereka. Jangan label ulamak sewenang-wenangnya. Kita tahu ulamak yang benar. Yang tidak benar bukan ulamak namanya. Jika disebut ulamak suu' maknanya orang itu bukan ulamak. Terutama jika jelas suu'nya.

Yang penting sekarang ini ialah belajar. Belajar ilmu agama. Jangan ikut-ikutan. Bila berbincang hal agama kita tahu apa yang perlu dibincangkan. Kita tahu apa yang perlu dibuat. Kita tahu menjaga hak-hak agama. Itu hak Allah. Allahu Akbar.

No comments:

Post a Comment