Sunday, May 16, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Enam: Bab Keenam

Memanjat kerjaya bukanlah sesuatu yang lancar meluncur bak yang pipih datang melayang dan yang bulat datang menggolek. Hari-hari yang berlalu adalah pengalaman yang mesti dikutip, dianalisis, diolah, disisih, disusun, disimpan dan dikeluarkan semula bila berhadapan dengan masalah dan untuk membuat keputusan. Pendidikan dan pengalaman akan membezakan siapa yang tinggi dan siapa yang rendah. Siapa yang luas pengalaman dan siapa yang cetek pengalaman. Siapa yang tinggi akal dan siapa yang dangkal. Siapa yang nantinya berkeupayaan menduga lautan.


Begitulah Politeknik Ungku Omar (PUO) membentuk saya. 12 tahun yang panjang untuk mendewasakan pengalaman. Meningkatkan keupayaan sebagai pendidik yang berubah zaman, berubah persekitaran dari sekolah rendah hingglah ke universiti. Barangkali ada hal-hal yang perlu diingat. Ada iktibar yang perlu disemat. Saya titipkan di sini pengalaman peribadi sendiri. Ianya tiada kaitan dengan sesiapa yang masih hidup atau yang telah tiada.


1 Semasa mendaftar dan melaporkan diri, datanglah seberapa awal. Mereka yang lebih awal akan diletakkan di permulaan senarai. Yang datang lewat akan berada di hujung senarai. Apabila diperlukan tentu mereka yang dibaca dahulu mendapat lebih banyak perhatian. Banyak implikasi lain yang berkaitan dalam jangkamasa panjang.


2 Pakaian adalah penampilan fizikal luaran yang penting kerana selalu dilihat, dinilai dan dijadikan contoh teladan. Bersih, kemas dan segak tentulah memberikan impak yang kuat berbanding dengan mereka yang tidak mengambil berat. (Saya sedang merangka manuskrip ringkas mengenai panduan berpakaian ini).

3 Kehadiran di tempat kerja adalah sesuatu yang selalu diberi perhatian kritikal oleh ketua kita. Kedatangan mestilah menepati waktu (punctual). Semasa bekerja kehadiran juga diperhatikan. Datang awal jadikan suatu kebiasaan. Balik lewat jadikan suatu kebiasaan juga. Masa-masa yang tenang itu gunakan untuk membuat kerja-kerja yang tergendala kerana kesibukan melayan orang lain semasa waktu pejabat.


4 Keterlibatan semasa kerja juga diambilkira. Mereka yang selalu terlibat diberi pertimbangan yang lebih berbanding dengan yang kurang terlibat. Jangan menunggu arahan atau perlantikan. Jika ada kerja yang perlu dilaksanakan, ambil bahagian yang perlu.


5 Perhubungan sosial dengan rakan sejawat, dengan staf bukan akademik, dengan pekerja swasta dan kepada orang luar memainkan peranan penting sebagai penilaian terhadap adaptasi dan asimilasi seseorang guru terhadap dunia persekitarannya. Mereka yang selesa secara sosial akan mendapat laluan yang lebih selesa dalam jangkapanjang.


6 Dalam sebarang perbincangan atau mesyuarat jangan terlalu meminta dan mendesak supaya pendapat kita diterima. Jika cadangan kita tidak diterima, kemukakan pada waktu lain yang lebih sesuai. Mungkin diterima kamudiannya.


7 Jika diminta memberi cadangan, jangan segan atau kedekut memberi idea. Idea itu mestilah besar, logikal, ekonomik dan manfaatnya merata.

8 Kepada rakan sejawat jangan burukkan ketua. Kepada ketua jangan burukkan rakan sejawat. Menjaga keduanya merupakan keseimbangan yang dikira adil. Kita kena adil terhadap orang lain. Kelemahan orang lain bukan untuk kita injak-injak supaya kita boleh naik. Memburukkan ketua adalah tidak etikal kerana suatu hari nanti kita mungkin menjadi ketua. Saya takut mengulangi kesilapan ketua yang kita remehkan dahulu. Nanti orang pulangkan paku buah keras kepada kita. Memburukkan rakan sejawat pula akan menjadi baji yang akan merenggangkan persabahatan. Apa yang kita maklumkan kepad ketua lambat laun akan diketahui juga oleh rakan kita itu. Nantinya kita selalu diragui dan semua orang hilang kepercayaan kepada kita.

9 Sebagai pendidik kita hendaklah rapat dengan pelajar. Kita mudah didekati dan mudah menghulurkan bantuan. Tetapi awas! Apa-apa rahsia peribadi, rahsia akademik, rahsia pejabat, rahsia rakan sejawat dan rahsia ketua-ketua kita yang lain tidak boleh dikongsi dengan pelajar. Jika kita langgar etika ini, pelajar-pelajar nanti akan menggunakannya untuk meletakkan kita dalam situasi yang rumit. Rahsia yang kita kongsikan itu akhirnya akan diketahui oleh orang lain. Ingat OSA - Official Secret Act - Akta Rahsia Rasmi. Banyak lagi implikasi lain berkaitan dengan hal ini.

10 Belajarlah apa sahaja yang namanya pengalaman. Pengalaman ini akan sangat-sangat berguna apabila sampai masanya kita dinaikkan pangkat atau melaksanakan sesuatu fortfolio penting dalam organisasi.

11 Selalulah meletakkan orang lain di tempatnya yang tinggi supaya orang meletakkan kita di tempat yang tinggi juga. Hormatkan orang lain supaya orang lain menghormati kita.

12 Dalam masa bekerja jangan membuat kesilapan, jangan cuai, jangan lalai dan leka, jangan tidak peduli, jangan mengundur dan jangan menyongsong arus.

13 Bina peribadi ceria, sihat, lincah, pantas, berwibawa (authoritatif) dan bertanggungjawab. Pada masa yang sama tegas, boleh memotivasi, membimbing, boleh runding, bijaksana, ada budi bicara, adil dan saksama, perihatin, empati dan simpati, mengerti dan rendah diri.

Dalam pengurusan dan pentadbiran banyak perkara yang tidak dapat dipelajari secara tersurat. Banyak yang tersirat harus dapat diamati, dihayati, digarap lalu diamal bila keadaan memerlukan. Walaupun kaedah membuat keputusan diajar di IPT tetapi situasi yang sebenar tidak semsetinya mengikut teori sewaktu hendak diselesaikan. Pengalaman yang akan mengajar kita untuk bertindak dengan bijaksana. Lagipun realitinya ialah banyak perkara yang localised sifatnya bukan global semata-mata.

Pembacaan, pemerhatian dan banyak mendengar adalah antara cara pendidik mengembangkan diri. Perbincangan dengan semua orang hatta pelajar juga boleh menambahkan kewibawaan kita. Minat hendaklah terhadap semua perkara kerana pendidik tidak terhad kepada opsyen atau profesion khususunya sahaja. Bila kita pakar matematik tidak semestinya kita tidak arif tentang subjek-subjek yang lain. Kita juga arif tentng politik, ekonomi, agama, sosial, kewangan, sukan, seni dan sebagainya. Pendidik seharusnya all rounded person. Personaliti, penampilannya, buah fikirannya, pergaulannya, keterlibatannya dalam hal-hal kemasyarakatan, emosinya dan pengalamannya hendaklah seimbang.

Pendidik selalu dilihat sebagai orang yang boleh dirujuk. Boleh memberi analisis. Boleh memberi nasihat. Boleh memberi bimbingan. Boleh membantu. Boleh mengkaunsel. Boleh membuat keputusan dan boleh menyelesaikan masalah. Jika kita masih terasa kekurangan dalam banyak hal tanggungjawab kita adalah untuk melengkapkan diri kita sendiri. Kita sendiri yang perlu sedar kekurangan kita. Kita sendiri yang perlu tahu apa yang kita hendak dan inginkan. Belajarlah menganalisis teori SWOT ke atas diri kita sendiri. Lihat strength (kekuatan) dan opportunity (peluang) yang luas terbentang. Atasi weaknesses (kelemahan) dan hindarkan threat (ancaman-ancaman yang mungkin menggugat diri kita pada masa hadapan). Bina kebijaksanaan untuk mengubah kelemahan diri menjadi peluang untuk mengatasi segala cabaran. Begitu juga mengubah ancaman menjadi tangga kejayaan.

Kita harus putuskan sama ada hendak menjadi guru biasa yang tidak diketahui wujud atau tidaknya di mata rakan sejawat, di mata pelajar, di mata ketua-ketua kita, di mata ibu bapa dan di mata masyarakat. Atau kita hendak menjadi guru yang dibesarkan kewujudannya, tinggi lagi ditinggikan kedudukannya, dinanti kehadirannya, ditunggu buah fikirannya, dilihat kehebatannya, dikongsi pengalamannya.

Sebagai pendidik kita harus bina semua ini dari bawah. Dari tiada kepada ada. Dari payah kepada senang. Dari bayang kepada terang. Dari suram kepada benderang. Dari kelam kepada gemerlapan. Firman Allah yang mafhumnya: Tidak berubah sesuatu kaum itu kecuali kaum itu yang berusaha mengubah dirinya.

Setelah kita laksanakan semua itu barulah kita boleh duduk bersandar membilang hari-hari yang dilalui. Kita bukan berihat tetapi menunggu masa untuk menyerlahkan diri. Melaksanakan apa sahaja tugas dan tanggungjawab yang diserahkan kepada kita. Pendidik seperti kita, apatah zaman mutakhir ini, bukan mengajar semata-mata. Kita menjadi segala-galanya yang bernama guru. Segala-galanya terletak di bahu guru. Kita disandarkan untuk membina bangsa. Harapan itu tidak pernah padam. Semakin menggunung dari masa ke masa selagi guru membimbing zaman.

Saturday, May 15, 2010

Selamat Hari-Harimu Wahai Guru

Selamat hari guru. Kita ingat kepada mereka kerana ada pertemuan, kebersamaan, keterbukaan dan pemindahan ilmu, maklumat dan kemahiran. Dari guru kita mengerti yang namanya ilmu, erti maklumat, erti kemahiran. Dari guru kita dapat rasa kemanusiaan. Darinya kita menjadi manusia yang menjadi pelaku sosial untuk kelangsungan keluarga, masyarakat dan sesuatu bangsa. Dari guru kita mengerti makna, maksud dan arah tujuan. Dari guru kita membina azam, hasrat dan cita-cita. Dari guru kita mengembangkan sayap dan lambungan martabat untuk meneroka alam yang luas ini.



Siapalah kita tanpa guru. Walaupun setiap guru peranannya sekadar beberapa minit sahaja setiap hari namun setiap guru memberi impak yang kuat kepada kita. Memang guru mungkin berada bersama kita selama 40 atau 80 minit sehari tetapi jika dibahagi dengan 40 orang rakan kita di sesuatu kelas tentulah kita hanya mendapat perhatian selama 1 hingga 2 minit sahaja setiap hari. Sangat-sangat terhad. Namun kita selalu beranggapan bahawa semua guru bertanggungjawap sepenuhnya terhadap terbangun atau tidaknya seseorang pelajar. Kadang-kadang persepsi yang tidak adil ini memberi tekanan yang berat kepada guru.



Keupayaan guru terbatas. Terbatas kerana keterbatasan waktu. Terbatas kerana keterbatasan prasarana teknikal dan ilmiah. Terbatas kerana keterbatasan kuantiti pelajar yang terlalu besar. Terbatas kerana keterbatasan tugas-tugas guru yang kompleks di sekolah. Kekangan-kekangan yang banyak yang membataskan keupayaan guru, kita seharusnya melihat dan menilai semula siapa guru sebenarnya.



Kita masih ingat seingatnya. Kita ingat kehadirannya. Kita ingat suaranya. Kita ingat kelibatnya. Kita akur ketegasannya. Kita dengar amarahnya. Kita sayu rayuannya. Kita semangat motivasinya. Ada masanya kita jengkel dengan tinggi suaranya. Kita geram tidak mendapat perhatiannya. Kita gagal memuaskan hatinya. Namun kita gembira dengan dedikasinya. Kita senyum ingatkan kehebatannya. Kita tertawa kerana lawak dan kecindannya. Kita santai kerana seronok berada di kelasnya. Kita selesa berada bersamanya.



Terima kasih kerana keikhlasanmu. Terima kasih atas dedikasimu. Terima kasih kerana kasih sayangmu. Terima kasih komitmenmu. Terima kasih kerana keperihatinanmu. Terima kasih kerana kesabaranmu. Terima kasih kerana motivasimu. Terima kasih atas dekatmu. Terima kasih atas keberadaanmu. Terima kasih, terima kasih, terima kasih. Kau telah titipkan segala muatiara yang tidak ternilai. Kau berikan semua yang berharga. Kau telah penuhkan dadaku ini dengan perisai zaman untuk menghurai alam. Kau telah angkatku melebihi darjat yang biasa. Tahuku adalah tahumu. Mengertiku adalah mengertimu.

Aku ingat ketukan di jariku. Aku ingat pukulan di telapak tanganku. Aku ingat cubitan di perutku. Aku ingat libasan di punggungku. Aku ingat leteran memanjangmu. Aku ingat marahmu yang bersalut sayang. Aku ingat genangan air matamu. Aku ingat sayu suaramu membujuk supaya aku menumpu untuk berjaya selalu.

Entah di mana masa lapangmu. Entah di mana keluargamu. Entah di masa jiran-jiranmu. Entah di mana saudara maramu. Hidupmu hanya untuk aku. Segala-galanya aku. Sekolahmu. Rakan sejawatmu. Kesukaranku. Kepayahanku. Akhirnya kau hanya mahu senyum puas atas kejayaanku. Yang jadi kebangganmu. Yang jadi pengubat resahmu. Yang merangsangmu untuk terus mendidik adik-adikku. Bangsaku dan bangsamu.

Aku selalu melupakanmu. Aku selalu terlepas pandang hidupmu. Jasamu. Pengorbananmu. Susah payahmu. Kau hanya wujud dalam ingatan. Dalam lipatan ingatan. Dalam hati yang kelam. Dalam simpul-simpul serpihan dan cebisan zaman. Nun jauh di sana kau selalu ingat anak-anak didikmu. Bertanya khabar kejayaanku. Ingin tahu kebahagianku. Mencari ruang-ruang mengingat keletahku. Kenakalanku. Celotehku. Tangisku. Rajukku. Degilku.

Dalam samar-samar ingatan itu aku melihat kembali layananmu yang saksama dan adil. Pandangan matamu yang sejuk mendamaikan. Pandangan sayangmu tanpa mengira anak siapa aku ini. Kenal atau tidak keluargaku. Kaya atau miskinku. tinggi atau rendah kedudukan keluargaku. Bernama atau tidak ibu bapaku. Bangsawan atau marhaen keluargaku. Kau tetap didik aku seperti anakmu. Keinginanmu hanyalah untuk melihat aku kembali ke dalam keluarga dan masyarakat sebagai warganegara unggul yang menjamin dan menjaga keutuhan agamanya, masyarakatnya dan bangsanya. Kau ingin aku menjadi masnuaia berguna. Berjasa. Mengamal kebaikan. Mencapai kebahagian. Mencapai kesejahteraanku. Melengkapi hidupku.



Berapa ramai sebenarnya yang ingatkan kau. Ingatkan perananmu mendewasakanku. Menjadi manusia mengerti. Perasa. Perihatin. Tahu menghargai. Tahu berterima kasih. Tahu mengenang budi. Selamat hari guru untuk guru-guru ku.

Dalam usia setua ini tentulah hanya ada bebebrapa orang sahaja guru saya yang masih hidup. Membilang hari-hari terakhir mereka. Cikgu Ibrahim sudah tiada. Begitu juga cikgu Supian, Esa, Muhari. Yang masih ada cikgu Syukri, cikgu Jamadi dan cikgu Ali. Cikgu-cikgu di sekolah agama dahulu kesemuanya sudah tiada.

Tempatmu tinggi cikgu. Martabatmu tinggi guruku. Letakmu tinggi di mataku. Bagi yang sudah tiada hanya mampu ku titipkan al-Ftihah. Bagi yang masih ada semoga panjang usiamu. Lihatlah aku menjejaki dirimu. Moga-moga senang usia barakahmu. Amal jariah ilmumu. Ajaran baikmu. Jasamu tetap ku kenang cikgu. Kaulah sinar harapan. Kaulah penunjuk jalan. Kaulah pembimbing setia. Kaulah perentas masa yang selalu menabur bakti. Terima kasih cikgu. Dirgahayu cikgu-cikguku.

Friday, May 14, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Enam: Bab Kelima

Saya mula bertugas di Politeknik Ungku Omar (PUO) pada 19 Februari 1979. Tarikh itu besar ertinya bahawa episod hidup saya banyak berkisar di politeknik ini. Saya tingglkannya pada 13 Disember 1990. 12 tahun saya berada di politeknik ini. 12 tahun saya menghuni dan bermastautin di Ipoh. 12 tahun menjinakkan jalan dan lorong. Inilah jangkamasa perkhidmatan saya yang paling lama di sesuatu tempat sebelum saya bersara pada 23 Julai 2001. Bersara wajib pada usia 55 tahun.



Saya tertanya-tanya juga bagaimana saya boleh ditugaskan di PUO. Tidak ada dalam perkiraan saya. Nama politeknik tidak saya ketahui. Tidak pernah terlintas dalam pemikiran saya. Semuanya misteri kepada saya. walau apapun pada mulanya saya membiarkan persoalan itu tanpa mencari puncanya. Saya damaikan hati. Mungkin ada orang di Kementerian Pelajaran yang mencabut nama saya dari senarai guru-guru yang dalam senarai sedang belajar dan telah tamat. 19 Februari 1979 saya jejakkan kaki saya di PUO. Ketika itu pengetuanya Encik Nawawi dan ketua Bahagian Perdagangan pula Tuan Haji Ahmad bin Abd Rahman. Setelah bertugas beberapa ketika barulah saya sedar bahawa pegawai di Kementerian itu sebenarnya rakan semasa belajar di Universiti Malaya (UM). Haji Zakaria namanya. Kebetulan dia graduat setahun lebih awal dari saya. Di Kementerian, dia berkira untuk menarik rakan-rakannya berkhidmat di tempat-tempat yang strategik termasuk politeknik.



Terlalu banyak peristiwa di PUO jika hendak dirakamkan kesemuanya. Kesemuannya saya gali semula dari lipatan ingatan saya. Alhamdulillah ingatan masih kuat, masih segar, masih berputar. Mungkin ada episod bersiri untuk cerita di PUO ini sahaja. Sabarlah. Pengalaman dulu-dulu ini sudah tidak ada lagi di politeknik barangkali. Masa sudah berubah. Sistem sudah berubah. Wawasan sudah berubah. Jangkaan sudah berubah. Namun demikian PUO telah mengangkat diri saya ke persada kerjaya yang sangat bermakna kepada saya. Besar ertinya hingga kini. Tapaknya saya bina di sana. Dirgahayu PUO.

Di Bahagian Perdagangan saya ditugaskan mengendalikan beberapa subjek termasuk pemasaran, pengurusan perniagaan dan ekonomi. Selain daripada itu mengendalikan juga projek pelajar. Pada masa yang sama kerap ditugaskan untuk menjadi pengacara apabila diadkan majlis-majlis di peringkat bahagian. Bila diadakan mesyuarat bahagian saya diminta menjadi pencatat mesyuarat. Tugas itu diberatkan lagi dengan menjadi pengawal disiplin di peringkat bahagian. Nampaknya bidang disiplin singgah lagi dalam kerjaya saya sebagai pendidik.

cabaran pada peringkatawal ialah menyampaikan kuliah dalam Bahasa Inggeris. Terpana dan keliru saya pada mulanya. Bagaimana perkara itu boleh terjadi? Di Universiti Malaya kuliah saya dalam Bahasa Melayu tetapi di PUO kuliah yang saya sampaikan dalam Bahasa Inggeris. Semangat patriotik saya berkata bahawa segalanya adalah mengundur ke belakang. Dalam usaha untu mendaulatkan Bahasa Melayu, hakikatnya kita mengkhianatinya. Hingga sekarang perkara ini masih tidak selesai. Pi mai pi mai dasar kita mengenai bahasa masih tunggang terbalik. Entahlah, saya lemas memikirkannya. Hanya pada tahun 1983 penggunaan Bahasa Inggeris digugurkan dan diganti dengan Bahasa Melayu. Sekarang Bahasa Inggeris menghantui semula IPT.

Di peringkat PUO saya banyak menjadi petugas dalam beberapa aktiviti. Barangkali saya beruntung kerana banyak pengalaman yang saya timba. Kesemuanya bermanfaat sewaktu saya bertugas di SMT Johor Bahru dan di UTHM dari peringkat awal hingga saya bersara. Di PUO saya pernah menjadi penemuduga calon pelajar (dulu semua calon ditemuduga dahulu), jawatankuasa pemilihan bakal pelajar, jawatankuasa disiplin, penasihat MPP, waden luar dan pengacara tahunan konvokesyen PUO.

PUO adalah bermulanya segala-galanya dalam kerjaya saya. Kesemua pengalaman yang saya lalui memberi impak yang besar dalam kerjaya saya seterusnya. Saya menjadi pendidik yang sebaiknya kerana ia adalah darah daging saya. Ia mengalir dalam diri saya. Hidup dan mati saya. Semangat hidup saya. Sumber kekuatan saya. Dengannya saya membina kejayaan akademik anak-anak saya.

Ipoh tidak pernah asing kepada saya. Hingga sekarang ada yang menyangka saya berasal dari Ipoh. Lihatlah dalam gambar-gambar Taj Mahal saya. Semua pasu yang ada dalam gambar itu saya beli di Ipoh. Hingga sekarangpun jika saya singgah di Ipoh pasti ada sebuah dua pasu yang saya beli. 12 tahun adalah suatu jangkamsa yang sangat lama. dari Ipoh saya ke USA kerana mengikuti pengajian Sarjana Pendidikan saya. dari Ipoh saya ke Canada kerana mengikuti kursus Public Relation and Industrial Liaison selama tiga bulan di Toronto. Dari Ipoh saya meluncur turun ke Batu Pahat.

Lima orang anak saya lahir di Ipoh. Dari yang keempat hingga yang kelapan. Semua yang di Ipoh dekat di hati saya. Terlalu lama berada bersama dengan warganya. Kebetulan pula staf UTHM ramai yang berasal dari PUO. Prof Dr Wahid, Prof Dr Jailani dan isterinya, Prof Dr Maizam, Tuan Haji Hassan Asran dan Tuan Haji Mohd Nor Ihkasan bermula dari PUO. Di fakulti lain juga ramai. Prof Dr Sulaiman, Prof Haji Ayob, PM Dr Lee Yee Loon, PM Awtar Singh, PM Phang Chee Pong dan isterinya, Dr Mohd Jiwa, PM Dr Idrus Masirin, dan mungkin ramai lagi yang terlepas dari senarai ini.

Ramai juga juruteknik UTHM yang dulu bekas pelajar PUO. Mereka kenal saya, ketegasan saya serta tanggungjaab saya mengenai disiplin pelajar-pelajar PUO. Walaupun berlainan bahagian sewaktu di PUO saya menjaga disiplin semua pelajar. Tidak ada yang terkecuali. Saya bermula di situ sebagai pendidik dalam kumpulan pengurusan dna profesional.

Telah 20 tahun saya tinggalkan Ipoh secara rasmi. Saya tinggalkan PUO. Saya tinggalkan orang-orang yang dekat dengan saya. Saya tinggalkan tempat-tempat saya jatuh dan bangun di sana. Darah anak-anak saya tumpah di sana. Dinggalkan semua yang boleh dikenang. Sesekali menjenguk semula, panjanglah ingatan berjela-jela. Yang tinggal hanyalah ingatan, rakaman dan catatan seorang pengembara. Masih belum tahu di mana nokhtahnya. PUO tetap dekat di hati saya.

Thursday, May 13, 2010

Apabila Roh Tiada

Apabila usia kita sampai kepada penamatnya, terputuslah kita hubungannya dengan yang hidup. Hanya tiga perkara yang dihubungkan iaitu ilmu yang bermanfaat, amal jariah dan anak-ana yang soleh yang selalu mendoakan ibu dan bapa mereka.

Apabila kita dipisahkan antara jasad dan roh barulah orang yang hidup melihat siapa kita sebenarnya di sisi Allah. Ada orang dimuliakan kerana pangkat, darjat, kekayaan dan kemuliaannya. Hidupnya meriah, matinya juga meriah. Namanya disebut, jasanya dikenang dan diingat dalam lipatan sejarah.

Apabila roh kita meninggalkan kita, ada orang melihat bahawa jasad yang hidupnya tidak berpangkat, tidak berdarjat, tidak kaya dan tidak dimuliakan menerima kunjungan, menerima penghormatan, menerima doa, menerima pujian, menerima sanjungan dan menerima segala yang baik. Secara fizikal tiada apa yang dapat dilihat tetapi secara rohani, secara spiritual, secara mental dan secara psikologi jasad kaku itu adalah segala-galanya. Pemergian pemimpin ditangisi sementara kerana hiraki penggantinya panjang berjela-jela.

Apabila seorang yang dipandang sebagai ulamak meninggalkan kita, sukar mencari gantinya. Saya takut tidak ada penggantinya. Tidak ada yang akan memberi tunjuk jalan yang benar-benar ke jalan lurus. Rasulullah telah bersabda yang mafhumnya, ilmu Allah itu diangkat Allah dengan cara mematikan ulamak. Akhirnya yang tinggal adalah orang-orang yang mengaku tahu tetapi sebenarnya mereka adalah jahil. Mereka banyak mengajar tetapi mereka sendiri adalah sesat. Yang paling parah ialah mereka menyesatkan orang lain pula. Orang-orang jenis ini ramai pula pengikutnya. Mereka bertaqlid dan tidak berminat merujuk kepada pakar yang mursyid.

Apabila jasad terbujur kaku, mereka yang menziarahi jasad itu menggambarkan keredhaan Allah. Mereka yang Allah sayangi diberi gambaran yang menyejukkan hati. Mendamaikan rasa. Melapangkan jiwa. Dipandang syahdu. Didengar sayu. Diruntun pilu. Kenangan menggenang air mata.

Apabila yang pergi tidak akan kembali, hadir kita melengkap yang tiada. Yang tiada mengirim berita. Yang dekat menyibar berita. Yang jauh memanjat doa. Saat-saat hening dan kudus itu dirakam fikiran. Disimpan untuk ingatan. Untuk diceritakan. Untuk disampaikan. Untuk dijadikan iktibar.

Apabila yang hadir merasa hiba, kebersamaan dahulu sementara jua rupanya. Detik masa singkat yang dilalui bersama hanya lintasan peristiwa. Ianya datang dan pergi. Ketika bertemu terasa akan diulang lagi. Ingin kekal bersama. Apakan daya. Ketentuan Allah begitu bahawa setiap yang hidup pasti mati. Redhalah, kerana Allah lebih menyanyanginya berbanding kita. Sampai masanya Allah merihatkannya dari kepayahan dunia. Ia perlu berihat panjang menanti hari pembalasan yang dijanjikan. Dan Allah tidak pernah memungkiri janjinya. Alam barzah itu benar. Hari pembalasan itu benar. Balasan itu benar. Syurga itu benar.

Apabila Habib Ali kembali kepada Rabbnya, kebesaran dan kemuliaan Habib Ali terserlah kepada yang hidup. Zirahnya ribuan manusia. Solok Wan Moh belum pernah melihat manusia seramai itu. Malah jangan terkejut ada antara penduduknya tidak kenal Habib Ali. Tidak pernah menemuinya. Tidak tahu yang mana rumahnya. Entah berapa orang yang peduli.

Apabila tuanya Allah sembunyikan Habib Ali di kampung yang dulunya sunyi. Di rumah kecil tidak berupa. Hidupnya dan matinya hanya untuk Allah. Namun yang hidup sekadar memberi sedikit rasa. Ke bawah Duli Yang maha Mulia Sultan Johor mencemar duli. Ada pembesar yang melapangkan masa. Ada pemimpin lain yang hadir sama. Mereka hanya ingin berada bersama. Memberi hormat terakhir kepada seorang insan istimewa. Insan barkah. Ahlul Bait.

Apabila hati tersentuh rasa, saya rakamkan perasaan saya. Tengah malam tadi saya siapkan lakaran pertemuan terakhir saya. Ciuman terakhir saya ke jasad Habib Ali. Pagi ini saya ulangi membaca blog saya. Saya baca rentetan perkataan yang caya coretkan. Saya layangkan mata bersama titisan air mata. Hanya tiga pertemuan yang dapat saya buat. Hati saya jatuh kasih. Jatuh sayang. Ahlul Bait. Keturunan Fatimah dan Ali. Itulah keturunan Rasulullah. Mengasihi mereka bagaikan mengasihi Rasulullah sendiri.

Apabila hidupnya dicari. Diziarahi dari tetamu seluruh negeri, negara dan benua. Matinya meninggalkan nama, kenangan, ajaran dan legasi yang tinggi nilainya. Bukan pangkat yang ditinggalkan. Bukan harta yang dititipkan. Bukan kemuliaan yang diwariskan. Ia meninggalkan ilmu yang bermanfaat, amal jariah melalui ilmunya dan anak curu yang saleh dan solehah. Kita hanya menumpang naung dalam hidupnya. Mudah-mudahan naungannya berpanjangan walaupun dia sudah tiada.

Tenanglah kau bersama Rabbmu wahai Habib Ali. Nikmatilah keindahan alam barzahmu. Mudah-mudahan kau bersama mereka yang solihin, siddiqin, syuhada dan ambia. Amin Amin ya Rabbal Alamin. Al-Fatihah.

Ahlul Bait - Ziarah Terakhir Yang Tiada Turutannya Lagi

Inna lillahi wainna ilaihi rojiun. Jam 6.30 petang ini Khamis 13 Mei 2010 saya menerima berita bahawa ahlul bait Habib Ali telah kembali ke rahmatullah. Ketika itu saya sedang menziarahi anak saudara saya di hospital Batu Pahat. Dia baru sahaja keluar dari studio pembedahan kerana dipasang besi di kakinya akibat patah terjatuh dari siling rumah. Terkedu saya sebentar. Rupanya hasrat untuk menemuinya lagi sudah tidak mungkin kesampaian. Saya bertekad malam ini saya usahakan untuk menziarahinya buat kali terakhir. Pengakhir yang sudah tidak ada akhirnya lagi. Pertemuan saya dengannya berakhir di sini. Tamat di sini. Sudahnya di sini. Terpisahlah kami di sini.



Waktu saya sampai, sudah ramai orang yang datang. Rumah kecil itu penuh dengan yang ingin memberi penghormatan terakhir. Hati saya berbunga bahawa malam ini, dalam kesempatan ini, dalam pengakhir pertemuan ini, akan saya cium dahinya. Allahu akbar. Di dalam rumah orang tidak begitu ramai. Mungkin yang lain sudah lama mencium dahinya. Ada tiga orang di hadapan saya.



Saya teringat pertemuan pertama saya dengannya. Seperti telah saya katakan, rupa parasnya mengingatkan saya kepada arwah datuk saya. Mulutnya, misainya dan bentuk bangun tubuhnya saling tak tumpah. Melayang ingatan saya ke zaman kebersamaan dengan datuk saya dahulu. Di hadapan saya insan istimewa ini terkujur kaku. Jasadnya yang di sini. Rohnya sudah tiada. Yang hadir sahaja menjadi saksi bahawa Habib Ali sudah tiada.



Saya duduk bersimpuh. Saya tekan kedua tangan saya ke tilam pembaringannya. Saya tunduk mendekatkan hidung saya ke dahinya. Aduh syahdunya. Saya cium dahinya dengan penuh kepuasan. Saya temui juga dia buat kali terakhir. Pengakhir dan penamat suatu pertemuan.



Putuslah sudah pertemuan singkat dengan insan istimewa yang tiada tolok bandingnya. Ahlul bait yang zuhudkan dunia. Tinggal di rumah kecil yang sentiasa meriah dengan kunjungan. Tetamu yang tidak mengira jarak. Tidak mengira jauh. Tidak mengira penat. Tidak mengira lama. Tidak mengira berapa kosnya. Tidak mengira susah dan payahnya. Tidak mengira sama ada peluang untuk berjumpa ada atau tidak.



Dari seluruh penjuru alam mereka datang. Masa yang sangat singkat untuk menemui insan istimewa. Rezeki, Allah yang tentukan. Ada masanya dapat bertemu banyak minit. Ada masanya hanya beberapa minit. Tidak mungkin ada yang dapat bertemu berjam-jam kecuali anak dan cucunya. Atau mungkin saudara mara terdekat. Kita yang lain redha hanya dapat bertemu untuk beberapa minit sahaja.



Kali pertama saya menemuinya pada 11 Februari 2010. Kali kedua 28 Februari 2010. Kali ketiga pada 1 Mac 2010 saya tidak dapat menemuinya. Hanya bertemu dengan tetamu dari Yamen. Kali keempat saya dapat menemuinya pada 8 Mac 2010. Selepas itu kerja luar bertimpa-timpa. Saya tidk dapat meluangkan masa untuk menemuinya. Pada hujung bulan Mac saya ke Alor Setar. Dua minggu lalu saya ke Terenganu. Dalam pada itu uzurnya sudah semakin melayu. Keluarnya sudah tidak lagi terdaya. Ramai yang menungu berita bila sihatnya.


Dalam pada itu ramai juga yang berusaha untuk menemuinya. Mereka kecewa kerana Habib Ali sudah semakin uzur. Rupanya keuzurannya penamat kepada usianya. Ia kembali kepada Rabbnya. Ia kembali setelah menghuni alam ini selama 97 tahun. Lama hidup yang penuh barakah. Menjadi payung kepada yang mengerti. Menjadi pembimbing kepada yang mencari jalan lurus. Penunjuk jalan bagi yang gelap perjalanannya. Memberi kepada yang mahu. Berbicara kepada mahu mendengar. Suaranya lembut selembut sutera. Senyumnya lembut sesejuk salju. Nasihatnya banyak tidak terbilang. Kehangatannya memanaskan kasih dan sayang.



Malam ini tadi mereka yang ziarah sudah begitu ramai. Itu belum tengah malam nanti. Belum pagi esok. Yang dari Indonesia, yang dari Singapura dan yang dari tempat-tempat lain. Esok tentu ramainya bukan kepalang. Iringan jenazahnya untuk disolat dan disemadikan tentu mencecah ribuan. Malam ini sahaja sehingga jam 10.00 malam saya kira yang hadir menghampiri 1,000 orang. Mereka datang dan pergi. Yang dari jauh barangkali bermalam hingga hari esok. Inilah sejarah Kampung Solok Wan Moh. Inilah sejarah Batu Pahat. Barangkali juga sejarah dunia. Seorang ahlul bait ada di sini. Pernah di sini. Pernah menghuni tanah Batu Pahat. Saat ini dia pergi. Pergi yang tidak mungkin kembali. Dia ke kampung abadinya. Bersama Rabbnya.



Sakitnya agak lama. Namun bila ada kekuatan dia menemui tetamu yang datang. Sejak akhir-akhir ini keuzurannya semakin berat. Siang tadi dia minta minum. Selepas minum dia tumbang. Itulah tetesan air terakhir yang meresap di dirinya. Nafas-nafas terakhirnya berat. Mudah-mudahan menjdi ringan untuk dibawa bersamanya menemui Rabbnya. Itulah kekasih hakiki yang sentiasa dirindui oleh semua mereka yang beriman. Yang mendahulukan Allah dari semua yang ada di dunia ini.



Kembalilah wahai ahlul bait. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai. Mudah-mudahan jannahmu menantimu. Bersemadilah kau di alam barzah yang penuh keluasan. Bersenang-senanglah kau menanti hari pembalasan. Sesungguhnya janji-janji Allah itu benar. Syurga itu benar.



Saya sayu kehilangan permata hati. Kehilangan insan istimewa yang bukan calang-calang orangnya. Saatnya sudah tiba. Perpisahan yang tidak dipinta. Petang semalam saya lalu di hadapan rumahnya. Mengintai peluang jika boleh untuk menziarahinya. Memang peluang tidak datang lagi. Ia berhenti di sini. Al-Fatihah.

Tuesday, May 11, 2010

Ilmu Penentu Banyak Perkara

Kata orang dulu-dulu, penuhkan ilmu di dada. Ilmu itu akan menjadi perisai dari sebarang ganggu gugat. Berguna apabula merantau. Berguna bila dewasa. Bila saya dewasa, menjadi warga emas, kata-kata itu menjadi benar.

Sukar hendak memahamkan kepada mereka yang belum mencapai usia dewasa bahawa kata-kata itu benar berdasarkan pengalaman yang berulang-ulang. Pengalaman orang yang berbagai. Pengalaman yang sudah teruji sepanjang zaman. Memanglah orang muda belum mengalaminya. Barangkali banyak baiknya jika orang muda menginsafi bahawa kitaran hidup itu serupa. Dari bayi hinggalah menjadi tua. Pengalaman dan persekitaran mungkin berbeza. Selain dari warisan keluarga, persekitaran ini memainkan peranan besar dalam membentuk manusia yang berada di dalamnya. Sebab itulah orang bandar bersifat bandar, orang kampung bersifat kampung, orang metropolitan memiliki ciri-ciri metropolitan. Banyak lagi aspek manusia yang dibentuk oleh persekitarannya.

Dalam usia 64 tahun dan setelah menjadi guru selama 42 tahun saya melihat Orang Melayu Islam (OMI) banyak melalui zaman yang berbeza tumpuan dan keutamaannya. Ada perubahan-perubahan positif, ada perubahan-perubahan negatif. Namun ada juga hal-hal yang tidak berubah. Maaflah kadang-kadang saya seperti melihat majoriti OMI terutamanya di luar bandar, yang akademiknya rendah dan yang berpendapatan rendah masih kekal dengan mentaliti lama yang sukar berubah. Malah di bandar sekalipun mentalitinya masih kampung, negatif dan mundur. Takut pula saya hendak menyebutnya, mungkin jumud.

Saya menyimpan pandangan ini sudah cukup lama. Kali ini saya mencuba dengan segala kekuatan yang ada untuk membentangkannya kepada semua pembaca blog saya ini. Sama-sama kita melihat ke dalam diri kita masing-masing. Kita overhaul semua permasalahan OMI yang nampak pada lahiriahnya semakin maju tetapi andai dilihat secara microscopic kita dapati terlalu banyak kelemahan yang mengakibatkannya inhibit apa yang dihasratkan oleh agama, masyarakat dan negara.

Permasalahan OMI menjadi punca segala kemajuan yang dirancang kerajaan dan yang dilaung-laungkan bijak pandai agama. Ke manakah OMI ini mengarahkan dirinya? Hendak kaya tidak tercapai. Hendak pandai tiada upaya. Hendak senang payah di mana-mana. Hendak maju selalu pula mengundur. Sepatutnya ke hadapan tetapi mengiring pula jadinya. Jika ular menjulurlah. Tetapi jika menjadi ketam, mengiringlah sifatnya.


Bila saya kembali ke kampung saya dan ke kampung saudara mara saya, saya masih melihat suasana kampung yang saya tinggalkan sejak tahun 1967 dahulu. Mentalitinya, adatnya, cara hidupnya, falsafah hidupnya, world viewnya tidak berubah-ubah. Adat lebih dijaga berbanding agama. Kebiasaan diutamakan berbanding mengubah nasib dan mengubah diri. Malah yang dilarang agama semakin menjadi kegemaran.

Kita lihat kembali di sekolah dan institusi pendidikan yang lain. Sukar sangat anak OMI yang mencapai kecermelangan. Kebanyakannya redha dengan keputusan cukup makan. Semangat survival tidak ada. Mereka perasan yang mereka sentiasa terbela. Makanan ada di mana-mana. Usaha tangga kejayaan dicipta oleh nenek moyang OMI tetapi kenyataannya tidak begitu diraih oleh anak-cucu-cicit OMI. Orang lain yang merealisasikan kata-kata hikmah dan hikmat itu.

Saya selalu merasa kacau kerana dengan lonjakan dan kemajuan ekonomi, OMI masih majoritinya menjadi kuli. Bukan di peringkat pertengahan yang menjanjikan pendapatan empat atau lima angka. Terlalu ramai yang menghuni taraf pekerjaan yang dianggap, maaf semaafnya 'hina'. saya tidak mempersoalkan halalnya. Memang kerja itu halal. Tetapi bukan itu duduk dan letak kita. Kemajuan dan pembangunan tidak membawa OMI ke mercu kejayaan yang dihasratkan.

Senario yang kita lihat hari-hari meruntun jiwa saya. Di pejabat dan gedung perniagaan yang pegawainya bertali leher, bersut, berbriefcase, OMI menjadi tukang sapu dan menjaga tandas. Dalam sektor ekonomi orang lain membina gedung pencakar langit OMI masih berniaga di tepi-tepi jalan atau dengan membuka but kereta dalam keadaan penuh ketidaksempurnaan. Orang lain pergi kerja dengan kereta-kereta mewah OMI bersesak-sesak dalam bas kilang. Dalam hal orang lain santainya di Kutub Utara dan di Kutub Selatan OMI hanya mampu tidur sepanjang hari.

Ilmu, akademik dan kemahiran tersangatlah penting. Saya selalu cuba menggalakkan orang-orang yang ada di sekeliling saya supaya meningkatkan diri. Tetapi saya hanya dicemuh. Diajak belajar enggan, diajak pandai menjauhkan diri, diminta mencari ilmu kedekut sangat dengan wang seringgt dua. OMI lebih rela dalam keadaan daif dari mengeluarkan diri mereka dari kepompong keselesaan yang dilihat oleh orang lain sebagai jauh terkebawah. Hina dan dina.

Benarlah sabda Rasulullah bahawa Islam itu asalnya dagang. Akhirnya ia kembali dagang. Saya tidak kata agama Islam yang hina tetapi OMI yang dilihat hina oleh kaum lain, bangsa lain dan oleh penganut agama lain. Setengah orang bukan Islam fobia dengan Islam. Jika ada ahli keluarga mereka yang ingin memeluk Islam akan dihalang-halang kerana yang mereka lihat ialah Islam tidak menjanjikan apa-apa kepada mereka. Yang mereka lihat sebenarnya ialah pelaku-pelaku Islam. Penganutnya yang mundur, daif, jumud dan miskin melarat. Mereka menganjurkan supaya pilih agama lain selain dari Islam. Begitulah hinanya Islam di mata mereka.

Walaupun Islam dijanjikan Allah sebagai satu-satunya agama yang diterima di sisiNya, di mata orang bukan Islam ianya agama yang paling corot. Rankingnya sangat rendah. Jauh di bawah. OMI di Malaysia sudah berkali-kali digerakkan, dibangunkan, dilaungkan, dihambat, dipujuk, disindir, dicemuh dan dibicarakan dalam forum-forum sama ada dalam bentuk politik, sosial atau agama sekalipun. Seolah-olah ada tembok besar, tebal dn kejap yang memenjarakan OMI hingga mereka tidak dapat keluar darinya.

Semua kelamahan tersebut menjalar dan menunjang di seluruh kehidupan OMI. Dalam dunia teknologi, dunia siber, dunia maklumat ini OMI tidak mahir lagi mengendali diri. Sepatutnya OMI menerajui bukan sahaja pilitik tetapi juga semua aspek kehidupan. Baik pendidikan, baik ekonomi, baik teknologi, baik sukan, baik agama. Sebutlah apa sahaja bidang yang boleh disebut. Sepatutnya OM yang mengepalainya.

Bukan kita yang menjaga tandas. Bukan kita yang berniaga tepi jalan. Bukan kita yang berkereta kecil. Bukan kita yang berumah kecil. Bukan kita yang prestasi akademiknya rendah. Bukan kita yang kelayakan akademiknya rendah. Bukan kita yang mengharap subsidi. Bukan kita yang menghuni hospital kerajaan. Bukan kita yang mundur. Bukan kita, bukan kita, bukan kita! Allahu Akbar. Di mana silapnya? Di mana?

Projek perumahan ada di mana-mana. OMI hanya mampu membeli rumah murah tiga bilik kecil. Rumah yang bertingkat-tingkat, yang besar agam, yang las tapak pembinaannya adalah milik orang lain. OMI tidak mampu untuk mengadakan harga yang dituntut. Malah ramai pula yang menjadi setinggan. Rumah murahpun di luar jangkauan kemampuan. Daif sungguh.

Siapakah antara kita yang mampu membantu? Yang boleh membantu. Yang ada kekuatan membantu. Yang ada kuasa membantu. Cukupkah hanya dibantu? Saya teringat kata-kata Confucius: Jangan berikan mereka ikan kerana ikan itu akan habis dimakan sedangkan mereka tidak tahu cara hendak menangkap ikan. Beri mereka kail supaya mereka tahu cara menangkap ikan. Bila tahu mengail mereka tidak akan lapar lagi.

OMI selalu diingatkan bahawa tangan yang di atas adalah lebih baik dari tangan yang di bawah. Memberi itu lebih baik dari meminta atau menerima. Mentaliti kita pula menjurus kepada jika orang lain dapat dia juga mesti dapat. Sepatutnya dia menyumbang dan bukan meminta disumbang. Suatu kenalakan yang merugikan.

Berbalik kepada sukan, saya jadi risau kerana pengamal-pengamal sukan tidak konsisten. Satu hal yang saya lihat ialah pemakanan. Keperluan pemakanan berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Ahli sukan tidak sama kperluannya dengan seorang petani. Petani melakukan kerja-kerja rutin. Ahli sukan pula memerlukan kecerdasan minda dan kecergasan fizikal. Orang yang lebih dari segi akademik lazimnya lebih mudah belajar, lebih mudah menerima idea baru, lebih mudah mengamalkannya, lebih mudah mengembangkannya dan lebih mudah membuat eksperimen pembaharuan. Saya teringat lama dahulu mengenai seorang jaguh sukan negara. Dalam jelajahnya menyertai beberapa pertandingan sukan bidangnya makanan yang dibawa berpuluh-puluh paket ialah mee magie. Sampai bersara dia kempunan menjuarai kejohan-kejohanan besar. Makanan yang melemahkan fizikal tentu memberi impak untuk melemahkan minda.

Suatu hal lagi yag harus kita sedari ialah ilmu itu bertingkat-tingkat. Apabila kita memijik anak tangga yang pertama kita hendaklah terus memijak anak tangga yang kedua dan seterusnya untuk sampai ke dalam rumah yang menjanjikan berbagai keindahan dan kepusan. Kita tidak boleh menoleh ke belakang sewaktu menaiki tangga tersebut. Kita tidak juga boleh berhenti di tengah tangga. Bayangkan analogi tersebut. Jika kita tidak mula memijak anak tangga yang pertama, maka kita akan kekal terus menerus berada di bawah. Jika kita menoleh ke belakang, kita menjadi gayat kerana tangga itu tinggi. Kita mungkin terundar kerana godaan-godaan orang yang di bawah. Kita tidak boleh berhenti di tangga kerana kita menghalang orang lain yang hendak naik dan menuruni tangga itu.

Soalnya kita hendak menjadi tuan rumah atau hendak menjadi jaga rumah? Hendak berada di atas tau hendak berada di bawah? Hednak berada lebih selamat atau hendak berada dalam keadaan kurang selamat? Hendak pandai atau jahil? Hendak kaya atau miskin? Hendak senang atau susah? Jangan tanya orang lain. Jangan toleh orang lain. Kita sendiri bertanggungjawab mengubah nasib kita sendiri. Jika kekuatan diri ini tidak ada maka kita bermasalah untuk keluar mengubah nasib kita sendiri.

Ilmu dan kemahiran tidak merugikan. Tidak sia-sia. Jika digunakan banyak manfaatnya. Nasihat boleh diberi. Pertolongan boleh diberi. Boleh juga dikomersilkan. Ayuhlah. Keluarkanlah diri kita OMI ini dari kedaifan yang membelenggu kita semua. Luahan hati saya ini sangat sedikit. Tidak teratur. Tersekat. Banyak lagi, hingga tidak larat untuk mengungkapkannya. Walau apapun jangan biarkan orang lain menentukan hidup kita. Yakinlah bahawa Allah bersama kita. Oraklah langkah. Buat gerakan yang pertama. Melangkahlah ke hadapan. Berlari dan melompatlah. Kita terlalu jauh di belakang. Jik aorang lain hanya perlu berjalan, kita perlukan jet pejuang yang bukan sahaja mengaum dan menderam tetapi juga untuk membelah kemiskinan dan kejahilan yang kita warisi dan yang kita bina sendiri.

Masih ada ruang. Masih ada peluang. Selagi dunia belum kiamat, peluang masih ada. Sabda Rasulullah, mafhumnya, jika kiamat itu pasti berlaku pada har esok, kamu tanamlah benih yag ada di tanganmu. Rebutlah peluang ini wahai OMI saudara maraku. Sementara usia dan usaha masih ada.

Saturday, May 8, 2010

Wanita Seusia 60 Tahun





Gambar-gambar ini saya abadikan bersama isteri selepas pernikahan kami pada 2 Ogos 1971. Lama juga. 39 tahun yang lalu. Kami sama-sama langsing. Padan agaknya. Maaflah tidak bertudung. Angin kebangkitan Islam belum bertiup ketika itu. Jika yang bertudung, masih nampak jambulnya. Sekarangpun masih ramai yang begitu.
Gambar inipun hitam putih. Gambar berwarna belum tampak bayangnya. Alhamdulillah, gambar yang dirakam semula ini masih agak jelas - crisp.

Selepas menjadi guru, kulit saya agak cerah sedikit. Dalam gambar hitam putih, tidak kelihatan hitamnya. Yang tinggal manisnya sahaja. Pujilah diri sendiri. Siapa lagi nak puji. Sedapkan hati sendiri. Isteri saya agak putih orangnya. Tidaklah melepak tetapi jauh lebih putih berbanding kulit saya. Namun begitu tidaklah sampai seperti gagak menggonggong telur. Dalam gambar hitam putih warna kulit kami seperti sepadan sahaja. Cuba pandang betul-betul, ada iras Angelina Jolie tanpa Brad Pitt. Sekali lagi siapa hendak puji jika tidak saya sendiri.

Waktu itu usia saya 25 tahun. Kebetulan usia Nabi. Isteri saya berusia 21 tahun. Mungkin secara kebetulan resepi usia ini serasi gandingannya. Suami biarlah lebih tua sedikit dari isteri. Walaupun tidak semestinya begitu. Dalam keadaan lain isteri lebih tua juga serasi kerana ada yang lebih dewasa yang bermakna ada yang lebih matang. Al-maklumlah bersuami isteri bukan selancar air hujan. Bukan sederas air terjun. Kata Tan Sri P Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Yang penting buang yang keruh ambil yang jernih. Barulah teguh peribadi.

Zuriat kami sembilan orang. Enam yang pertama adalah puteri. Yang ketujuh dan lapan putera dan yang bongsu puteri lagi. Padanan usia kami yang sedikit matang menghasilkan anak-anak yang agak menonjol akademiknya. Alhamdulillah dua yang sulung dan adiknya lulusan American Top Universities. Yang ketiga UTHM. Keempat UTP. Kelima UIA. Keenam Univertity of Lancaster, UK. Ketujuh UiTM. Kelapan di Universiti Al-Azhar, Mesir. Yang kesembilan akan mendaftar kelas asasi UIA pada 23 Mei ini.

Banyak kali telah saya sebut, bila kita hendak memulakan sesuatu perubahan, maka kita mulakan dari diri kita sendiri. Saya dan isteri sepakat untuk mengubah kebiasaan dan adat yang kami kira tidak memberi impak dalam hal agama atau sosial. Yang boleh kami tinggalkan, kami tinggalkan dan kami tidak menoleh ke belakang untuk mengamalkannya semula. Melalui pendekatan praktikal ini kami bangunkan anak-anak kami supaya meminati ilmu sejak seusia 2 tahun lagi. Latihan membaca, mengaji dan mengira sudah dimulakan awal. Sebelum darjah satu diwajibkan khatam Al-Quran, sudah membaca, pandai mengira dan sudah pandai menulis. Sekolah hanya melicinkan proses seterusnya iaitu mengembangkan keupayaan mindanya.

Isteri saya banyak memainkan peranan di pentas pendidikan keluarga. Di menjadi pengamal pendidikan kepada anak-anak. Saya hanya mencari nafkah, menyediakan prasarana pendidikan
dan akademik keperluan anak-anak. Masa, jadual, perpustakaan, sumber bacaan seperti buku, majalah dan internet. Di rumah dialah ibu. Dialah guru. Dialah jurulatih. Dialah algojo. Dialah
hakim. Dialah pembimbing. Dialah pakar rujuk. Dari pagi hingga tidur malam seluruh hidupnya untuk anak-anak. Bila anak-anak menghadapi ujian, dia mengadakan prauji terlebih dahulu. Bila
anak mengambil UPSR, PMR dan SPM puasanya berpanjangan. Solat hajatnya bermalam-malam. Doanya berpanjangan. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa dan usahanya. Kesemuanya
menjadi mudah. Usaha dan doa seorang ibu. Terima kasih sayang. Kau tetap ku kenang.

Maaflah, anak-anak saya tidak biasa dengan tuisyen. Sayapun tidak berminat dengannya. Tetapi anak-anak yang kemudian saya hantar tuisyen juga. Mereka terasa janggal tanpa tuisyen
seperti rakan-rakannya yang lain. Tuisyen ini pula untuk yang sekolah rendah sahaja. Kebetulannya lapan dari sembilan orang itu di asrama sama ada asrama penuh atau asrama harian. Di sekolah memang diadakan tuisyen. Sudah budaya sekolah. Setiap satunya berusaha untuk mengekalkan prestasi sekolah.

Hanya syukur alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah atas limpah kurnianya. Anak sulung dulu di MRSM Kulim. Yang kedua di Kursyiah Seremban. Yang ketika SMT Melaka. Yang keempat SMAP Kajang. Yang kelima SMAP Seremban. Yang keenam KISAS Klang. Yang Ketujuh SMK Tinggi Batu Pahat. Yang kelapan KISAS Klang. Yang Ksembilan MAAHAD Muar.

Wanita kesayangan saya ini sudah sampai usianya 60 tahun. Masih berbaki keayuannya. Seperti tidak dimamah usia nampaknya. Jika bersama dengan anak-anak perempuannya tidak seperti ibu mereka. Masih nampak lebih muda dari sewajarnya. Bagi yang baru kenal, ramai menyangka anak-anak kami di sekolah rendah belaka. Siapa sangka cucu kami sebelas orang. Hari raya nanti insyaAllah 12 orang. Masih ada yang akan datang dengan izin Allah.

Gambar hebat ini saya rakamkan pada tahun 1969. Ada dua. Satu masih tergantung di rumah saya sekarang. Yang satu lagi untuk tatapan tunang saya (isteri saya sekarang) di rumahnya. Saya tidak tahu di mana gambar yang satu itu. Setelah ibu bapa mertua saya berpindah rumah dan setelah saya berkahwin saya tidak pula bertanya di mana gambar saya itu. Yang penting saya masih menyimpan kenangan dan rakaman semasa muda ini. Adalah sedikit perubahan. badan agak besar sedikit. Jambang, misai dan janggut sudah memutih. Orang hanya hairan kenapa rambut saya masih hitam. Yang itu sebab saya menggunakan minyak rambut Primadona. Mudah sahaja. Pakai hari-hari. Hitam sendiri.

Mata masih tajam dan galak. Sedikit sepet. Bila semakin sepet anak-anak mula kecut sebab angin marahnya sedang melanda. Pandangannya masih terang. Belum kerabunan jarak jauh.

Hari ini Sabtu 8 Mei 2010 genaplah usia isteri tersayang 60 tahun. Dalam usianya ini ia masih menongkah arus masa. Jika rakan-rakannya yang dahulu bekerja sudah sunyi dan mendap dalam persaraan, isteri saya masih ligat mengejar masa. Menebus masa mudanya yang telah luput. Ia masih merancang, melaksana apa sahaja atas nama khidmat masyarakat. Atas nama amal jariah. Mengisi masa-masa emas ini dengan tempauan yang gilang gemerlap kilaunya. Dia tidak pernah bekerja secar profesional. Tidak pernah menjawat jawatan tetap. Masa mudanya hanya untuk anak-anak.

Usia tua, usia emas bukan penghalang untuk memajukan diri. Hairan juga, ramai orang lain yang tidak menghargai hasratnya. Ramai juga yang mencemik. Buat apa belajar lagi. Buat apa belajar jauh-jauh. Sesungguhnya hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam. Hanya mereka yang berilmu sahaja yang mengetahui manisnya ilmu. Bermula dari tahun 2003 isteri saya menapak dari Sijil Pengajian Al-Quran, meningkat ke Diploma Eksekutif Pengajian Syariah. Oleh kerana diploma dari Universiti Malaya ini tidak diiktiraf untuk menjadi loncatan ke peringkat ijazah pertama, maka isteri saya mendaftar selama dua semester di Kolej Dar Al-Hikmah di Kajang, Selangor. Selepas itu mungkin masih ada cita-cita yang perlu dikejar. Destinasinya UKM. Ijazah pertama dalam Pengajian Syariah juga.

Sebagai suami, saya menyokongnya. Mindanya semakin luas. Psikologinya semakin mantap. Skop pengetahuannya semakin merentas berbagai bidang yang sebelumnya kelabu baginya. Banyak cahaya yang sudah menyuluh hidupnya. Jelas terang laluan di hadapannya. Bukan jawatan yang dikejar kerana usia sudah tidak mengizinkannya ke arah itu. Bukan nama yang dikejar kerana ia sudah tidak mampu bersaing. Bukan pujian yang dicari kerana tidak ada apa yang perlu dipuji. Tetapi seperti pertanyaan Allah dalam firmanNya, 'Adakah sama antara mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu?' 'Sesungguhnya mereka yang berilmu beberapa darjat lebih tinggi berbanding mereka yang tidak berilmu.'

Ilmu inilah yang perlu dicari. Sesungguhnya mati dalam mencari ilmu itu besar ganjaran pahalanya. Mencari ilmu dengan bersusah payah, mengorbankan wang ringgit yang bukan sedikit, meninggalkan kebiasaan yang sesia seperti tidur dan gossip, perjalanan yang memenatkan, letih lesu memerah otak dan tenaga serta masa yang diluang dan dikorbankan adalah nikmat yang dikenal oleh mereka yang dinamakan jauhari sahaja. Kami berjihad hanya untuk mengeluarkan diri kami dari kelompok orang awam yang kekal awamnya. Sampai bila kami hanya menjadi orang awam? Kami kena mengorak langkah untuk ke hadapan meninggalkan zaman kejahilan agama. Alhamdulillah, banyak perubahan yang kami alami. Persepsi kami, pandangan kami, pegangan kami dan arah tuju kami lebih jelas ke arah jalan lurus yang dituntut.

Sesungguhnya kejahilan itu ada di mana-mana. Ilmu sahaja yang dapat mengeluarkan manusia dari kepompong kejahilan. Rimas melihat orang-orang yang enggan menambah ilmu walaupun percuma. Gagal memanfaatkan masa dan peluang. Mereka berhujjah dangkal tanpa mereka sedar hujjahnya dinilai orang. Seperti tahu tetapi tidak tahu apa yang diketahui. Pandai tetapi kerap tidak boleh dipakai pandainya. Tidak pula diam kerana tidak pakar. Mengalahkan mereka yang tahu dan mahir. Yang tahu dan mahir selalunya mendiamkan diri kerana takut disedari orang lain akan pandainya. Menyembunyikan kukunya yang tajam bagi yang mengetahui. Menyembunyikan taringnya yang boleh membaham dan menyiat kulit dan daging. Yang tidak tahu tetap terus berkokok tanpa derai yang jelas maksudnya. Hanya boleh dipujuk dan didakwah. Yang selainnya serah kepada Allah jua.

Untuk mengelakkan menjadi seperti itu, kami berdua berusaha mengisi usia emas kami dengan menuntut imlu. Ilmu agama tidak pernah ruginya. Tidak pernah lapuk - obselete. Makin ditimba makin tidak terjangkau tangan rasanya. Semakin menjauh dan menjauh. Destinasi akhirnya memang tidak akan ada. Tetapi kesegarannya sepanjang zaman. Tidak pernah ketinggalan zaman. Sentiasa kemaskini - up-to-date. Semakin mengisi dada kami semakin banyak ruang kosong yang perlu diisi. Banyak lagi ruang kosong itu yang perlu diisi dengan ilmu.
Ilmu agama.

Malang sungguh saya rasakan bahawa kita kehilangan sesuatu dari agama yang sepatutnya jauh lebih tinggi dari ilmu-ilmu yang lain. Sewajarnya kita melalui zaman-zaman pejuang Islam terdahulu. Al-Quran dan al-hadith di hafal sejak dari kecil. Seawal umur 5 hingga 8 tahun kita sepatutnya sudah hafal Al-Quran. Usia 8 tahun sudah lancar hafalannya. Umur 12 tahun sudah mengetahui ilmu tafsir. Begitulah urutannya hinggalah mereka menjadi pakar dalam berbagai bidang seperti metematik, algebra, senibina, kimia, biologi, fizik, falak dan sebagainya yang kesemuanya bersumberkan Al-Quran.

Saya merasa kepayahannya mempelajari ilmu agama tanpa menghafal Al-Quran. Banyak ayat-ayat yang perlu dirujuk dan dibaca yang sepatutnya sudah menghafalnya semasa kecil dahulu. Itulah bahana sekularism yang menjauhkan kita dari sumber asal dan usul agama. Al-Quran menjadi Kitab Agung yang tersimpan sebagai khazanah dan arkib. Tidak lagi menjadi sumber untuk membangun manusia dan kemanusiaanya.

Itulah yang sedang diterokai oleh isteri saya, Hajjah Maznah binti Abas. Dalam usia 60 tahun, ia letih tetapi masih kuat untuk menggarap yang namanya ilmu. Hasratnya untuk menggapai apa yang telah digapai oleh anak-anak dan menantunya. Dan nanti apa yang akan digapai oleh cucu-cicitnya. Ia menjadi lambang kegigihan seorang wanita yang berwawasan dan yakin akan misi dan visinya. Mudah-mudahan terakam nanti sebagai warisan nenek moyang yang cintakan ilmu. Menjadi lambang kegigihan. Menjadi lambang motivasi yang tidak mengenal kegagalan. Tidak mengenal usia tua.

Usia bukan penghalang. Niat dan hasrat yang baik sentiasa dibantu Allah. Bukankah Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang berusaha mengubahnya? Dalam sisa-sisa usia yang bagi orang lain hanya menunggu terus tua, Hajjah Maznah mengisinya seolah-olah masa tua itu sudah berhenti. Seolah-olah masa mudanya datang kembali untuk memberi kekuatan yang telah lama hilang. Seolah-olah masa tidak bergerak maju tetapi sebaliknya masa mengundur ke belakang untuk memberinya ruang dan kesempatan untuk mengutip semula apa yang telah hilang dan telah ditinggalkan.

Bagi yang terangsang, masa masih ada sebelum menutup mata. Yang baik ikutlah. Yang sebaliknya tinggalkanlah. Berkatalah dengan ilmu yang bermanfaat. Diamlah jika setiap ucapan itu mudarat jadinya. Sesungguhnya ilmu dapat melonjakkan dirimu ke tingkat yang lebih tinggi dan terus tinggi. Ilmu itu tempatnya tinggi. Yang berjaya menggapainya akan berada di tempat yang tinggi. Namun mereka boleh turun dan naik mengikut keperluan masa dan tempat. Tetapi malang bagi yang kurang berilmu, mereka tidak mampu naik ke atas dan kekallah mereka di bawah.

Hajjah Maznah, hari ini Hari Ibu kononnya. Satu momokan di barat kerana mereka sudah tidak kenal siapa ibu mereka. Anak mereka dibuang merata-rata. Yang tidak sah taraf melata di mana-mana. Gimik komersil untuk mengingat manusia yang bernama ibu.


Anak-anakku, hari-hari yang berlalu adalah hari ibu untuk ibumu. Masa mudanya telah habis untuk mendewasakanmu. Untuk memandaikanmu. Untuk memanusiakanmu. Ibumu ini satu-
satunya wanita yang tiada tolok bandingnya. Walaupun ada masanya kau lupa, kebanyakan masa tentu dia dalam ingatan. Dekatkan dia di hatimu. Rinduinya selalu. Abah hanya dapat membantu.









































Selamat hari ibu sayang. Kaulah ibu anak-anakku.