Inna lillahi wainna ilaihi rojiun. Jam 6.30 petang ini Khamis 13 Mei 2010 saya menerima berita bahawa ahlul bait Habib Ali telah kembali ke rahmatullah. Ketika itu saya sedang menziarahi anak saudara saya di hospital Batu Pahat. Dia baru sahaja keluar dari studio pembedahan kerana dipasang besi di kakinya akibat patah terjatuh dari siling rumah. Terkedu saya sebentar. Rupanya hasrat untuk menemuinya lagi sudah tidak mungkin kesampaian. Saya bertekad malam ini saya usahakan untuk menziarahinya buat kali terakhir. Pengakhir yang sudah tidak ada akhirnya lagi. Pertemuan saya dengannya berakhir di sini. Tamat di sini. Sudahnya di sini. Terpisahlah kami di sini.
Waktu saya sampai, sudah ramai orang yang datang. Rumah kecil itu penuh dengan yang ingin memberi penghormatan terakhir. Hati saya berbunga bahawa malam ini, dalam kesempatan ini, dalam pengakhir pertemuan ini, akan saya cium dahinya. Allahu akbar. Di dalam rumah orang tidak begitu ramai. Mungkin yang lain sudah lama mencium dahinya. Ada tiga orang di hadapan saya.
Saya teringat pertemuan pertama saya dengannya. Seperti telah saya katakan, rupa parasnya mengingatkan saya kepada arwah datuk saya. Mulutnya, misainya dan bentuk bangun tubuhnya saling tak tumpah. Melayang ingatan saya ke zaman kebersamaan dengan datuk saya dahulu. Di hadapan saya insan istimewa ini terkujur kaku. Jasadnya yang di sini. Rohnya sudah tiada. Yang hadir sahaja menjadi saksi bahawa Habib Ali sudah tiada.
Saya duduk bersimpuh. Saya tekan kedua tangan saya ke tilam pembaringannya. Saya tunduk mendekatkan hidung saya ke dahinya. Aduh syahdunya. Saya cium dahinya dengan penuh kepuasan. Saya temui juga dia buat kali terakhir. Pengakhir dan penamat suatu pertemuan.
Putuslah sudah pertemuan singkat dengan insan istimewa yang tiada tolok bandingnya. Ahlul bait yang zuhudkan dunia. Tinggal di rumah kecil yang sentiasa meriah dengan kunjungan. Tetamu yang tidak mengira jarak. Tidak mengira jauh. Tidak mengira penat. Tidak mengira lama. Tidak mengira berapa kosnya. Tidak mengira susah dan payahnya. Tidak mengira sama ada peluang untuk berjumpa ada atau tidak.
Dari seluruh penjuru alam mereka datang. Masa yang sangat singkat untuk menemui insan istimewa. Rezeki, Allah yang tentukan. Ada masanya dapat bertemu banyak minit. Ada masanya hanya beberapa minit. Tidak mungkin ada yang dapat bertemu berjam-jam kecuali anak dan cucunya. Atau mungkin saudara mara terdekat. Kita yang lain redha hanya dapat bertemu untuk beberapa minit sahaja.
Kali pertama saya menemuinya pada 11 Februari 2010. Kali kedua 28 Februari 2010. Kali ketiga pada 1 Mac 2010 saya tidak dapat menemuinya. Hanya bertemu dengan tetamu dari Yamen. Kali keempat saya dapat menemuinya pada 8 Mac 2010. Selepas itu kerja luar bertimpa-timpa. Saya tidk dapat meluangkan masa untuk menemuinya. Pada hujung bulan Mac saya ke Alor Setar. Dua minggu lalu saya ke Terenganu. Dalam pada itu uzurnya sudah semakin melayu. Keluarnya sudah tidak lagi terdaya. Ramai yang menungu berita bila sihatnya.
Dalam pada itu ramai juga yang berusaha untuk menemuinya. Mereka kecewa kerana Habib Ali sudah semakin uzur. Rupanya keuzurannya penamat kepada usianya. Ia kembali kepada Rabbnya. Ia kembali setelah menghuni alam ini selama 97 tahun. Lama hidup yang penuh barakah. Menjadi payung kepada yang mengerti. Menjadi pembimbing kepada yang mencari jalan lurus. Penunjuk jalan bagi yang gelap perjalanannya. Memberi kepada yang mahu. Berbicara kepada mahu mendengar. Suaranya lembut selembut sutera. Senyumnya lembut sesejuk salju. Nasihatnya banyak tidak terbilang. Kehangatannya memanaskan kasih dan sayang.
Malam ini tadi mereka yang ziarah sudah begitu ramai. Itu belum tengah malam nanti. Belum pagi esok. Yang dari Indonesia, yang dari Singapura dan yang dari tempat-tempat lain. Esok tentu ramainya bukan kepalang. Iringan jenazahnya untuk disolat dan disemadikan tentu mencecah ribuan. Malam ini sahaja sehingga jam 10.00 malam saya kira yang hadir menghampiri 1,000 orang. Mereka datang dan pergi. Yang dari jauh barangkali bermalam hingga hari esok. Inilah sejarah Kampung Solok Wan Moh. Inilah sejarah Batu Pahat. Barangkali juga sejarah dunia. Seorang ahlul bait ada di sini. Pernah di sini. Pernah menghuni tanah Batu Pahat. Saat ini dia pergi. Pergi yang tidak mungkin kembali. Dia ke kampung abadinya. Bersama Rabbnya.
Sakitnya agak lama. Namun bila ada kekuatan dia menemui tetamu yang datang. Sejak akhir-akhir ini keuzurannya semakin berat. Siang tadi dia minta minum. Selepas minum dia tumbang. Itulah tetesan air terakhir yang meresap di dirinya. Nafas-nafas terakhirnya berat. Mudah-mudahan menjdi ringan untuk dibawa bersamanya menemui Rabbnya. Itulah kekasih hakiki yang sentiasa dirindui oleh semua mereka yang beriman. Yang mendahulukan Allah dari semua yang ada di dunia ini.
Kembalilah wahai ahlul bait. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai. Mudah-mudahan jannahmu menantimu. Bersemadilah kau di alam barzah yang penuh keluasan. Bersenang-senanglah kau menanti hari pembalasan. Sesungguhnya janji-janji Allah itu benar. Syurga itu benar.
Saya sayu kehilangan permata hati. Kehilangan insan istimewa yang bukan calang-calang orangnya. Saatnya sudah tiba. Perpisahan yang tidak dipinta. Petang semalam saya lalu di hadapan rumahnya. Mengintai peluang jika boleh untuk menziarahinya. Memang peluang tidak datang lagi. Ia berhenti di sini. Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment