Thursday, February 18, 2010
Bagaimana Saya Jadi Introvert
"Yes. That's me." Jawab saya selamba.
"I can't believe it." Katanya lagi.
"Please do." Kata saya.
"No. It can't be. You're so talkative. You joke around. How come you're an introvert?" Komennya agak panjang.
"Well, what can I say. That's the real me." Komen saya pula.
Kami baru sahaja membuat penilaian personaliti masing-masing. Profesor saya terkejut kerana diri saya yang sebenarnya berlawanan dari yang dia nampak. Sayapun barangkali baru mengenali diri saya yang sebenar. Sekarang bila saya sorot peristiwa itu, terdapat gambaran-gambaran peristiwa yang membawa diri saya ke arah itu. Seorang introvert.
Psikologi banyak membincangkan hal ini. Sebagai guru dan pensyarah saya maklum tentang hal ini. Namun begitu saya bukan introvert tidak bertempat. Tugas menjadi pendidik tidak mengizinkan saya menjadi introvert. Bercakap adalah tugas penting. Bercakap dan terus bercakap. Cuma saya sedar bahawa sifat-sifat diri saya ada kaitannya dengan nature dan nurture. Warisan dan alam sekitar.
Arwah bapa saya seorang yang tidak banyak bercakap, kata arwah ibu saya. Kebetulan saya berdua beradik sahaja. Rumah saya agak jauh dari jiran-jiran. Maka saya membesar dalam keadaan kurang bercakap. Zaman remaja saya digeruni oleh anak-anak sepupu saya. Jika saya ada di rumah, mereka tidak berani bercakap dengan kuat. Hanya apabila saya menjadi guru, keadaan itu berubah. Saya jadi lebih peramah. lebih lembut. Ramai pula anak-anak sepupu yang rapat dengan saya. Pandai pula mereka bermanja sedangkan dulunya saya mereka geruni.
Mungkin keadaan menjadikan saya keras, kaku. Tidak ramai orang boleh dilayan bicara. Adalah sepupu yang datang sekali sekala. Berbuallah saya dengannya. Bila ia balik, keadaan menjadi bungkam lagi. Adik saya perempuan. Tidak banyak perbualan yang mengarah ke topik yang sama. Ibu pula sibuk dengan usaha menghidupkan saya dan adik saya.
Cuma kata ibu, semasa kecil saya suka bercakap. Jumpa kucing saya bercakap. Jumpa tunggul saya bercakap. Bercakap seperti orang berceramah, kata ibu. Mungkin itu bayangan bahawa saya akan menjadi pendidik. Untuk kerja bercakap. Saya pernah menjadi penceramah, pengacara di majlis konvokesyen Politeknik Ungku Omar dan Politeknik-Politeknik Malaysia di PWTC pada tahun 1987 dan 1988 dahulu. Di Politeknik Ungku Omar bertahun-tahun lamanya saya menjadi pengacara majlis konvokesyen. Jenuh juga menyediakan teks juruacara.
Seorang introvert yang terdidik, insyaAllah akan dapat mengatasi masalah-masalah regresi, kekecewaan dan kedukaan. Hatta terhindar dari sifat kemurungan. Barangkali testimoni dari pelajar-pelajar saya boleh menjadi saksi bahawa saya bukan pendidik yang introvert. Saya banyak bercakap dalam kelas. Saya boleh melawak pada bila-bila masa dan pelajar tidak rasa terancam kerana sifat introvert saya. Kebanyakan orang mungkin tidak menyangka malah mungkin tidak percaya bahawa saya seorang introvert.
Seorang introvert barangkali suka menyendiri. Ia perlukan ruang untuk dirinya sendiri. Untuk muasabah diri. Tetapi bukan untuk bertapa dan memencilkan diri. Mungkin juga ada negatifnya kerana menjadi introvert. Cuma introvert tidak terburu-buru dalam banyak keadaan.
Saya takut bila ada orang agresif. Saya kira orang begitu tidak punya perasaan seni atau estetika untuk menyelami perasaan orang lain. Bagi seorang introvert, saya lebih perlukan masa untuk membuat sebarang tindakan. Semua perancangan disimpan dan diolah dalam minda dahulu. Begitu juga ketika hendak mengeluarkan pendapat. Diatur dulu perkataan dan ayatnya supaya tepat memberi makna. Ianya jadi lambat dan audien mungkin jadi bosan.
Berhadapan dengan audien bukan masalah bagi saya. Pertanyaan dan sungutan boleh saya jawab dengan spontan. Apa sahaja isu boleh saya debatkan atau polimikkan. Namun introvert tetap introvert. Saya selalu lebih tenang. Melangkah jalan macam diatur. Berfikir lebih panjang. Maka tindakan agak lambat asalkan tidak melebihi dateline. Memanglah sewaktu saya mula keluar dari kampung dahulu saya mengalami masalah komunikasi. Sukar hendak membuka mulut.
Saya bersekolah menengah aliran Inggeris tetapi selepas sahaja keluar sekolah, saya masih tidak fasih. Hanya apabila saya bertugas di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu barulah bahasa Inggeris saya meningkat. Saya bercakap Inggeris dan membaca akhbar Inggeris. Dari tahun 1969 hingga tahun 1974. Apabila saya ke Universiti Malaya pada tahun 1975, Bahasa Inggeris saya sudah boleh merentas perpustakaan. Banyak buku yang boleh saya baca dan fahami isinya. Dengan bahasa Inggeris itulah saya merentas lautan, merentas benua untuk membuat Masters of Education di USA.
Tetapi itulah hakikat hidup yang sukar diubah. Introvert tetap introvert. Saya banyak melihat dan membuat pengamatan. Kawan rapat yang benar-benar akrab tidak ada. Kawan saya ramai dan saya boleh berkawan dengan siapa sahaja. Sebagai introvert saya sukar berkongsi rahsia. Saya boleh pendam sendiri menjadi rencah berfikir, mengatur strategi untuk mengatasi keadaan. Yang pasti lamalah jadinya. Sukar bagi saya untuk menjolok-jolok ketidaksukaan orang lain. Jika dirujuk insyaAllah saya sedia membantu.
Saya masih ingat hari pertama saya memulakan tugas sebagai guru pelatih di sekolah Munsyi Ibrahim, Labis, Johor. Menggigil lutut saya berhadapan dengan pelajar. Bukan pelajar besar. Tingkatan satu. Paling saya takut mata perempuan. Pelajar perempuan tingkatan satupun saya takut matanya. Saya jadi gugup dan tidak menentu. Itulah kesan kerana sedari kecil tidak ramai orang perempuan yang berada di keliling saya.
Pengalaman bertahun-tahun menjadi guru memberi ketenangan diri. Ramai murid dan pelajar yang lalu di bawah didikan saya. Keragaman mereka dari segi bangsa, agama dan latar belakang membantu saya keluar dari kepompong introvert saya. Kelemahan-kelemahan diri diatasi. Mungkin pergaulan dengan berbagai-bagai ragam manusia mematangkan diri saya. Walaupun saya kekal introvert tetapi saya boleh selesa dengan sesiapa sahaja tanpa mengira jantina atau peringkat umur. Benarlah umur dan pengalaman boleh mengubah. Alhamdulillah saya berubah ke arah yang positif.
Saya kira saya juga panas baran walaupun introvert. Begitulah yang terjadi, apabila orang yang panas baran menanggung beban perasaan dia selalu mengamuk seperti yang selalu kita dengar di Amerika Syarikat. Mereka akan menembak rambang untuk melepaskan geram dan dendam. Bahaya jika introvert tidak dapat dikawal. Barangkali saya beruntung kerana belajar psikologi, menjadi guru dan ramai anak pula. Sifat-sifat introvert itu hanya untuk diri sendiri. Sebagai profesional saya tidak boleh bersifat introvert.
Terima kasih kepada semua orang yang pernah saya didik. Mungkin tidak sempurna seperti diharap tetapi itulah usaha ikhlas yang dapat saya beri. Waktu singkat kita bersama mudah-mudahan dapat dimanfaat dan dilestarikan mengikut masa. Saya wariskan semua yang telah saya beri supaya dipanjang-panjangkan kepada generasi yang akan datang. Suatu waktu dahulu ada seorang guru tua yang introvert tetapi berusaha memanusiakan anak bangsanya.
Hidup kita penuh cabaran. Mengalami pengalaman-pengalaman yang relevan boleh membantu mengatasi kelemahan-kelamahan diri. Dengannya kita boleh membina kekuatan kendiri, mencipta kemandirian yang tinggi kualitinya. InsyaAllah usaha yang baik akan diberkati Allah jua. Amin.
Tuesday, February 16, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kelapan: Cerita Seorang Ibu - Sambungan
Saya biasa mengikut ibu ke Muar. Kami kena pergi pada hari Jumaat. Muar bukannya jauh sangat. Hanya 38 km dari pekan Parit Sulong. Yang sukarnya ialah dari kampung saya ke Parit Sulong. Tidak jauh tetapi banyak masa dihabiskan kerana menunggu pengangkutan sungai. Biasanya motor sangkut. Dari Parit Sulong, kami akan menaiki bas. Di Muar kebetulan ada saudara ibu saya. Kami menumpang tidur di rumahnya. Pagi hari Sabtu ibu akan ke hospital. Sebelum tengahari selsesailah rawatannya. Sebelum balik ibu akan singgah di pasar Muar untuk membeli bahan yang cepat menyembuhkan penyakitnya. Hati lembu barang sekati (600 gm). Setiap minggu saya akan turut sama memakan hati lembu itu. Alhamdulillah, penyakit ibu sembuh. Ia kembali segar untuk meneruskan hidupnya sendirian.
Di pasar Muar ibu selalu membeli buah samak atau pisang kaki. Mungkin itu kesukaannya. Tetapi ibu hanya mampu membeli buah yang sudah terlalu masak dan lembut. Murah sedikit dari yang segar. Selain daripada itu ibu membeli buak samak yang sudah kering. Pada tahun-tahun 50an saya sudah biasa makan buah itu. Hingga sekarang saya masih menyukainya. Setiap kali saya makan, kenangan saya melayang kepada arwah ibu dengan deritanya yang ditanggung sendiri. Barangkali saya dan adik saya yang menguatkan semangatnya untuk terus hidup. Tiada apa-apa lagi yang penting selain dari kami berdua. Kalaulah saya tahu penderitaannya ketika itu. Kalaulah ........
Untuk berubat ibu bergolok bergadai. Mana-mana barang kemas yang ada digadaikan. Wangnya untuk tambang pergi dan balik ke Muar. Hasil menoreh bukan boleh diharap sangat. Barang kemas yang sedikit, seurat dua itulah penyelamat keadaan. Mungkin itulah sebabnya orang perempuan Melayu suka memiliki barang kemas daripada emas. Bila sesak boleh dijual atau digadaikan. Peranannya seperti wang simpanan. Boleh dapat wang tunai segera. Institusi kewangan seperti bank bukan seperti sekarang. Masa itu bank orang kampung pada barang kemas mereka.
Pada pengamatan saya, ibu mungkin juga terfikir untuk menamatkan zaman balunya. Ramai yang ingin memperisterikannya. Seperti saya sebutkan sebelum ini, wajahnya ayu, kulitnya putih kuning (tidak gelap seperti saya), rambutnya panjang mengurai, badannya langsing. Ada pakej wanita idaman. Tetapi semuanya ditolak. Pujukan dari datuk saya juga tidak dapat mencairkan hati dan perasaannya supaya berkahwin lagi. Entahlah. Mungkin saya dan adik saya yang menghalangnya. Ibu tidak pernah bertanya, tidak pernah berbincang. Saya juga tidak mengerti apa-apa. Kemungkinan juga ibu takut saya dan adik saya berbapa tiri. Entahlah.
Saya sebenarnya sebaya umur dengan kakak sepupu saya. Anak bapa saudara, abang kedua bapa saya. Pada masa itu kami tinggal serumah. Kerukunan ipar dan biras tiada tolok bandingnya. Ketika saya menangis, ibu saudara saya akan menyusukan saya. Ketika kakak sepupu saya menangis, ibu yang menyusukannya. Jadilah kami sepusu dan adik beradik sesusuan. Keluhuran mereka berdua cukup membahagiakan. Ibu dan ibu saudara saya, walaupun hanya biras sahaja tetapi cukup akrab. Pengikat mereka kerana suami masing-masing adalah adik beradik.
Hingga usia tuanya ibu saya masih ada yang berminat. Tetapi jika waktu mudanya ibu tidak berhasrat untuk bernikah lain, tentulah sukar difahami jika dia berubah pendirian. Setiap risikan dan pinangan ditolaknya dengan baik. Kadang-kadang dia hanya berseloroh sahaja. Kali terakhir dia dipinang orang ialah ketika usianya kira-kira 65 tahun. Dia hanya ketawa dan tentulah jawapannya tidak. Ibu saya memiliki kemahiran mengurut. Fokusnya ialah orang perempuan sebelum dan selepas bersalin. Selain daripada itu ia biasa mengurut kanak-kanak kecil. Maka namanya gah di sekitar dua tiga kampung berdekatan. Lumayan juga pendapatannya. Ia lebih dulu menunaikan fardhu haji daripada saya.
Rumah datuk saya yang dulunya beratap rembia telah saya ganti dengan yang lebih besar dan beratap zing. Wang gaji sewaktu awal bekerja dahulu saya belanjakan untuk membuat umah bararu itu. Masih memakai tiang, rasuk, kekasau, belebas, lantai yang lama. Di rumah itulah saya dan adik saya berumahtangga. Di rumah itulah ibu kekal tinggal hingga ke hari tuanya. Di rumah itulah ibu menjalankan urut mengurutnya. Rumah, tapak, kejiranan, kampung yang penuh dengan seribu satu macam kenangan masa dulu-dulu yang serba payah. Kembali ke waktu itu sangat nostalgik. Imbauan ingatn yang mencari kepastian diri. Yang telah dibina jatidiri. Yang telah mendewasakan diri. Yang telah mematangkan pengalaman masa. Ibu sayangkan rumah yang didudukinya. Kampung yang dihuninya. Tanah yang dipijaknya. Langit yang dijunjungnya. Hayatnya tidak menyatu dengan alam dan suasana yang dihidupkannya. Sakitnya di rumah anak-anaknya. Jasadnya di semadikan di kampung adik saya. Jauh dari kampung halamannya.
Pada akhir-akhir usianya, ibu mengalami penyakit kencing manis. Tetapi tidaklah begitu teruk. Badannya yang dahulu langsing tidak bertahan. Mungkin semakin mewah makanan yang dijamah, berat badan bertambah, orang kampung menganggapnya sihat. Kesilapan membaca fakta. Berat badan sebenarnya mengundang penyakit. Sewaktu usianya 72 tahun, pada tahun 2001, ibu saya mendapat angin ahmar (minor stroke). Sewaktu sakitnya saya sempat berbakti hanya sebentar sahaja. Saya bekerja dan isteri saya pula guru al-Quran. Kami berdua keluar pagi dan pulangnya petang. Adik sayalah yang dapat berkhidmat lebih lama.
Saat-saat terakhir hayatnya tidak dapat saya tatap. Tidak dapat saya hadir. Tidak dapat saya pangku dan riba. Saya hanya dapat tahu setelah semuanya berlalu. Yang saya lihat hanyalah sekujur tubuh seorang ibu. Orang yang melahir dan merawat saya hingga saya mengenal dunia. Seluruh hidupnya untuk saya dan adik saya. Seluruh hidupnya kesunyian. Tiada siapa mendengar, tiada siapa untuk didengar. kasih sayangnya tidak putus kepada suaminya. Tetepi abadi sepanjang hidupnya. Bak kata seorang peminat blog ini, mungkin satu dalam sejuta. Mungkin tidak rasional bagi orang sekarang. Itulah kesetiaannya kerana janji bahawa di syurga akan disatukan dengan buah hatinya, dengan kakasih hatinya, dengan suaminya di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan Allah memberinya kemudahan hingga ke akhirat.
Dari usianya 19 tahun hingga akhir hayatnya 72 tahun. 53 tahun adalah suatu jangkamasa yang panjang. Melewati zaman Malayan Union, pilihanraya pertama 1955, merdeka 1957, konfrantasi 1961, Malaysia 1961. Ibu telah merasa penjajahan British, kependudukan Jepun, British Military Administration (BMA), zaman pengganas komunis. Seorang wanita kampung yang telah melalui zaman-zaman kepayahan, mengorbankan perasaan dan jiwanya, setia kepada mertua dan ipar duainya. Ingatannya hanya kepada arwah suaminya yang dicintainya tetapi tidak lama dapat bersama.
Bagi yang muda, kasihilah ibu bapamu. Tidak ada orang yang lebih mengasihimu daripada mereka. Kasihnya adalah talian nyawa dan darah dagingnya. Usah biarkan masa berlalu. Kehilangan mereka nanti sukar dimengerti. Tanpa mereka anda akan merasakan suatu kehilangan yang meyukarkan. Kehilangan yang tiada pengganti. Perpisahan yang mencengkam rasa. Berbaktilah kepada mereka. Hitam dan putihnya adalah untuk mencorakkan anak-anak, zuriat keturunannya.
Garapan masa lalu dan dorongan untuk terus ke hadapan memungkinkan zaman itu ditinggalkan dalam lipatan sejarah diri. Walau masih kuat dalam ingatan, saya tidaklah menghentikan waktu hanya untuk menangisi waktu lalu. Semuanya telah dilalui. Jalan-jalan berliku itu telah lama ditinggalkan. Di hadapan sana hanya jalan lurus yang harus ditamatkan menuju destinasi abadi. Ya Allah Engkau telah tunjukkan aku jalan yang lurus. Janganlah Engkau palingkan aku dari jalan lurus ini. Amin.
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Ketujuh: Cerita Seorang Ibu
Maka terlonta-lontalah ibu saya. Ia kehilangan tempat bergantung yang sangat diharapkannya. Semasa hidupnya, arwah ibu pernah mencadangkan mereka berpindah dan memiliki rumah sendiri. Apakan daya, bapa saya anak bongsu. Anak kesayangan nenek dan datuk saya. Hasrat untuk berpisah terpaksa diurungkan buat selama-lamanya. Baktinya hanya untuk orang tuanya sahaja. Mudah-mudahan Allah mengiktirafnya sebagai anak yang Soleh. Amin.
Ibu saya anak orang tidak berada. Adik beradiknya tujuh orang. Enam perempuan dan seorang lelaki. Ibu saya anak kedua. Yang sulong hingga yang kelima sudah meninggal. Yang keenam dan yang bongsu sahaja yang masih hidup. Mungkin saya mewarisi gen ibu saya. Anak saya sembilan orang. Hanya dua orang sahaja lelaki.
Kampung asal ibu saya ialah Parit Haji Rasul. Melalui jalanraya sekarang sekitar tiga km sahaja. Tetapi waktu dulu perhubungan melalui sungai sahaja atau berjalan kaki. Dengan motorbot mengambil masa dua hingga tiga jam. Berjalan kaki memayahkan kerana merentas kawasan yang sunyi dan menakutkan. Akar dan banir pokok getah yang licin memayahkan perjalanan. Sebenarnya kampung saya dan kampung ibu saya sekadar selang empat kampung sahaja.
Datuk (bapa ibu saya) melalui hidup yang cukup menyeksakan. Kerana hasad dengki, dia telah ditangkap Jepun (semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu - Perang Dunia II) dan dijadikan buruh paksa untuk membina landasan keretapi di sempadan Myanmar-Thailang sekarang. Dasar Jepun ialah semua orang muda yang belum berumahtangga dijadikan buruh paksa. Sangat menghairankan apabila datuk saya yang sudah beristeri dan mempunyai tujuh orang anak dijadikan buruh paksa. Sebenarnya ia bersama rakannya berjaya melepaskan diri dan berjalan balik arah ke selatan. Kononnya ia sakit dan terdampar di sebuah kampung di Utara Perak. Ia telah ditinggalkan oleh rakannya di kampung itu. Sejak itu sanak saudara tidak mendengar khabar berita tentang hidup atau matinya. Nama datuk saya Toha bin Haji Mohd Amin. Mungkin ada orang tua-tua di utara Perak yang mengingat nama itu. Jika ada sila hubungi saya. (Tel: 012-7677976).
Di sebelah bapa saya, ramai sepupu saya yang dikahwinkan dengan pemuda-pemuda sekampung demi untuk mengelakkan diri dari ditangkap Jepun. Selamatlah mereka dari menjadi buruh paksa. Keajaiban Allah. Mereka yang berkahwin tanpa cinta, tidak sepadan mengikut ukuran sekarang, kekal bahagia hingga ke anak cucu. Cinta mereka berputik setelah berumah tangga. Kesemuanya pilihan orang tua dan dengan kebijaksanaan datuk saya yang dihormati pandangan dan nasihatnya.
Nenek saya (ibu kepada ibu saya) bukan calang-calang ibu tunggal. Ia tidak bersekolah. Ia tidak tahu menulis dan membaca. Tetapi ia boleh menaiki bas ke Johor Bahru ke rumah anak bongsunya dan ke Melaka ke rumah cucu kesayangannya. Apabila datuk saya sudah dibawa Jepun, maka nenek saya menyingsing lengan bajunya. Diheret kesemua tujuh orang anaknya. Diupahnya seseorang untuk membawa anak beranak itu ke Bandar Penggaram, Batu Pahat dengan menaiki sampan. Tujuannya hanya satu. Ke markas askar Jepun dan berjumpa dengan komandan Jepun atau kempetai. Terkejut beruk Jepun melihat nenek saya dan tujuh orang anak-anaknya yang pakaiannya tidak menentu. Mengadulah nenek saya akan keadaannya. Aduannya menimbulkan rasa bersalah kepada Jepun.
Sebagai tanda kekesalan dan kesilapan pihak Jepun, setiap bulan nenek saya dibekalkan dengan makanan secukupnya. Penuh sarat sampan apabila balik ke Parit Haji Rasul yang jauhnya kira-kira lapan km dari Batu Pahat. Nenek saya dan anak-anaknya hidup mewah kerana cukup makan semasa Perang Dunia II itu. Namun makanan yang cukup tentu tidak dapat mendamaikan hati kehilangan suami dan bapa. Di akhir-akhir perang itulah ibu saya berkahwin dengan bapa saya. Sekitar tahun 1945. Saya lahir pada tahun 1946. Sudah 64 tahun masa berlalu. Suatu jarak masa yang menjadikan saya seorang pengembara masa. Merentas beberapa fasa pembentukan Negara Malaysia.
Apabila bapa saya meninggal dunia, ibu saya membuat pilihan untuk tinggal bersama bapa mertuanya. Datuk saya (bapa kepada bapa saya). Ketika itu nenek saya (ibu kepada bapa saya) telah setahun lebih awal meninggal dunia. Datuk saya bergantung kepada ibu saya, menantu kesayangannya untuk menjaganya. Suatu keadaan yang sukar. Ibu saya tiada pilihan sebab ibunya sendiri dan adik-beradiknya bukan orang senang. Takut pula menambah beban. Sekurang-kurangnya dengan membela bapa mertua yang sudah tua, ada jaminannya. Kebun getah boleh ditoreh. Buah kopi boleh dipetik. Buah kelapa boleh dijual. Buah pinang boleh dijual. Tidak mewah tetapi boleh hidup cukup makan.
Semasa di sekolah rendah saya turut membantu ibu. Ibu mula menoreh kira-kira pukul 4.00 pagi. Siap menoreh pukul 7.00 pagi. Selepas menyusukan adik bongsu saya, ia pergi pula memungut susu getah. Siap kira-kira pukul 8.30 pagi. Getah itu dicampur sedikit air lalu dicampur dengan cuka getah untuk mengeraskannya dalam loyang. Apabila keras, getah itu dikeluarkan dari loyang di atas pengalas lalu ditekan untuk menipiskannya. Apabila cukup nipis dimasukkan ke dalam mesin getah halus. Seperti mesin air tebu sekarang. Cuma saiznya agak besar. Proses ini diulang beberapa kali hingga air getah diperah keluar dan kepingan getah menjadi tipis. Akhir sekali kepingan getah itu dimasukkan ke dalam mesin berbunga. Kemudiannya kepingan getah itu dijemur supaya benar-benar kering. Hanya yang kering sahaja akan dijual.
Hasil torehan ibu saya hanya dua keping sahaja sehari. Tolak hujan dan cuti adalah sekitar 40 keping sebulan. Getah keping itu mungkin menghasilkan sekitar RM80.00 sebulan. Ibu saya tidak mengambil kesemua hasil jualan getah itu. Sebahagian lagi di serahkan kepada bapa mertuanya, datuk saya. Ibu akan menggunakan wang itu untuk makan minum kami. D atuk juga berbelanja mengikut kegemarannya. Kadang-kadang ada kerencaman makanan, gabungan pembelian ibu saya dan datuk saya.
Saya baisa memetik buah kopi masak yang memenatkan. Buah yang merah dipetik sebiji-sebiji. Tidak boleh dilurut atau disiat rentap begitu sahaja dari tangkainya. Rosak pokok dan merajuk hingga melawas buahnya. Melawas bermaksud kurang dan jarang berbuah. Buah yang gugur perlu dikutip. Kerja yang memenatkan lagi. Ada pula kopi tahi musang. Kononnya kopi jenis ini mahal harganya. Kopi tahi musang ialah buah kopi yang dimakan musang. Biji kopinya tidak hadham dan keluarlah dalam bentuk biji. Selalunya kopi ini dibiarkan kena hujan dan panas. Bila sudah bersih baru dipungut. Pada tahun 60an, setin besar kopi kira-kira RM4.00. Jika rajin Buah kopi direndam hinga lembut. Ditumbuk sepaya bijinya terpisah dari kulit. Dibasuh dan dikeringkan. Biji kopi kering lebih mahal harganya.
Untuk minum kopi, biji kopi digoreng kering hingga garing dan hangus. Lalu ditumbuk dengan lesung batu. Kasar jadinya. Tidak halus seperti dimesin sekarang. Kopi yang kasar itu dibuat air kopi. Kami orang Jawa menggelarkannya sebagai kopi 'gabres'. Kenapa ya? Bila diminum, akan ada kopi yang melekat di bibir. Bibir yang comot itulah namanya 'gabres'. Lucu juga bila mengingat kopi 'gabres' ni.
Kadang-kadang saya memungut buah pinang yang gugur. Saya belah dan keringkan. Isinya longkah setelah kering. Isinya dijual kepada peraih yang ada di kampung saya. Pada waktu yang lain saya mengambil upah mencungkil kelapa kering yang sudah disalai. Kebetulan jiran saya ada salai kelapa. Bila kelapa banyak, banyaklah sedikit upah yang saya dapat. Kerjanya ringan bukan berat. Upahnya juga ringan. Entah berapa sen, saya tidak dapat mengingatnya lagi. Apa yang saya ingt ialah setiap wang yang saya dapat saya serahkan kepada ibu. Macam mana dugunakan wang itu, saya tidak pernah mengambil tahu. Mungkin Hari Rayalah saya dapat habuannya.
InsaAllah akan bersambung.
Monday, February 15, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian Keenam
Apabila banjir melanda, segala tanaman yang berubi seperti ubi kayu, keladi, keledek terpaksa dituai. Ubi kayu perlu dicabut segera. Jika tidak ia akan busuk dan berbau. Pandangan yang menarik pada masa ini ialah buah ubi yang batang pokoknya ditanam terbalik. Untuk disimpan di rumah tidak mungkin. Tidak ada tempat menyimpan. Maka batang-batang ubi dipatahkan. Dicabut dan untuk mengelakkan dari busuk, batang ubi tadi ditanam terbalik. Batang di bawah sedangkan ubinya berceracah di bahagian atas. Keladi dan keledek akan berlonggok di dapur rumah. Pokok pisang banyak yang tumbang. Pisang masak juga berlonggok di ruang dapur. Ruang yang sempit menjadi bertambah sempitnya. Tetapi itulah sumber makanan kami semasa banjir.
Segala jenis permainan terhenti sementara. Yang tinggal ialah berenang dan bermain rakit batang pisang. Pokok pisang nipah akan saya tebang sebanyak tiga batang. Kayu sebesar pergelangan tangan saya akan dicari untuk dicucukkan melintang supaya ketiga-tiga batang pisang itu selari. Dua batang kayu sudah cukup. Dengan rakit itu saya ke masjid, ke kedai, ke rumah jiran. Memangpun, dengan rakit sebegitu pakaian lazimnya basah. Tidak mungkin kering kerana percikan dan kocakan air. Rakit bukan dikayuh sebaliknya ditolak dengan galah. Bila malam rakit itu diikat ditangga. Selokah tidak ada masalah kerana banjir pastinya pada hujung tahun semasa cuti sekolah. Memang predictable
Suasana banjir dikampung cukup sunyi. Pada waktu malam hanya kodok yang bersuara. Cengkerik entah ke mana larinya. Sunyi sesunyinya. Suhu pula agak sejuk. Tidur tentulah merengkuk. Bukan ada selimut tebal. Yang ada kain pelikat atau gebar kain cadar. Buruk dan lusuh. Namun tidur tetap nyenyak untuk esok melihat air lagi.
Suatu ketika saya menebang pokok pisang yang agak besar. Untuk memotongnya agak susah dan lambat. Entah macam mana parang pendek melayang di dalam air dan menetak bahagian kaki kanan saya berhampiran dengan buku lali. Terasa sedikit perit di dalam air. Tapi apabila saya angkat kaki, darahnya cukup banyak mengalir. Bergegaslah saya naik ke rumah, mencari apa sahaja ubat yang ada. Anak kampung seperti saya belajar dari kebiasaan. Lalu daun senduduk diambil sebanyak-banyaknya, kunyah dan laburkan menutup luka. Alhamdulillah darah benhenti mengalir. Waktu banjir, kampung jauh dari bandar dan pengangkutan tidak ada. Hospital dan klinik memang tiada dalam kamus walau sakit apapun.
Hampir sebulan luka itu saya tanggung. Terdencut ke sana terdencut ke sini. Rakit hilang ceritanya. Banjir itu hanya mampu saya lihat. Tidak dapat menyatu dengan alam yang biasanya banyak sejarahnya. Luka itu agak besar. Parutnya besar hingga sekarang. Begitulah lumrahnya, luka dapat diubat tetapi parutnya memanjang usia. Kesakitan hanya ditanggung yang empunya badan.
Oleh kerana kegiatan ekonomi terhenti semasa banjir, bagaimana agaknya orang kampung mendapatkan sumber makanan? Satu lagi cerita kepayahan yang menderitai kami ketika itu. Saya dan keluarga saya, makan cukup tetapi yang saya makan lebih banyak ubi, keledek, keladi dan pisang. Pagi saya bersarapan ubi, tengahari pisang, malamnya ikut pilihan hati. Maka dihidanglah rebusan ubi berlaukkan sambal, ikan masin atau gula. Dihidangkanlah ubi getok (ubi rebus yang ditumbuk halus, dicampur dengan gula, parutan kelapa dan sedikit garam). Lebihan rebusan ubi akan dihiris nipis-nipis untuk dikeringkan dan dijadikan kerepek ubi tradisi, disira dengan gula. (Kerepek ubi sekarang sudah melalui pembaharuan. Bentuknya sudah berubah). Ada pula ubi yang disagat (diparut), lalu direndam beberapa hari hingga mengeluar satu bau yang mungkin aroma tersendiri. Ianya akan direbus atau dikukus, dicampur dengan parutan kelapa, gula dan sedikit garam. Dihidangkan juga ketewul, ubi yang dicampur dengan bahan-bahan lain. Dihidangkan juga ubi goreng. Rasanya hanya masin. Ada pula belebat, bingka, lopis yang bahannya tetap ubi kayu. Tiada pilihan. Waktu malam mungkin ada pengat ubi. Datuk saya menggemarinya selain bubur kacang yang menjadi pilihan utamanya. Lupa hendak disebut dalam pos yang lalu.
Pisang pula direbus, dibubuh gula, digoreng, dibuat pengat atau dimakan begitu sahaja. (Macam iklan Gardenia pula). Keladi dan keledek begitu juga. Direbus, digoreng, dibuat pengat. Itulah menu waktu banjir. Jika berlarutan. Wang akan kehabisan. Beras tidak mampu dibeli lagi. Berulanglah episod itu setiap kali banjir.
Bagaimana dengan mereka yang tidak ada tanah untuk bercucuk tanam dan tidak ada simpanan? Mereka akan datang untuk membeli, meminta dan memohon bantuan. Jika bekalan kami banyak, kami berilah sekadar membantu. Apabila bekalan mulai susut, sukar juga untuk membantu. Mereka akan mengikat perut. Mungkin makan sekali sehari. Itupun jika ada. Saya pernah mengalaminya. Saya tahu sukarnya hidup. Bukan lagi kais pagi makan pagi. Sudah tidak ada yang hendak dikais. Makanan sudah tidak kenal waktu. Makannan itulah untuk pagi, tengahari, petang dan malam. Hanya untuk kelangsungan hidup. Waktu itu tiada pusat pemindahan, tiada bantuan walau apapun. Masing-masing hidup sendiri dan matipun sendiri.
Pada awal banjir saya puas bermain air. Berenang ke sana, berenang ke mari. Sementelahan pula, air pada masa itu belum kotor. Belum lagi ada cerita pencemaran air. Baja, racun dan air kumbahan kilang belum ada dalam kamus saya. Memang selamat bermandi manda air banjir. Sekarang semua itu tidak boleh dilakukan lagi. Sisa baja, racun, kumbahan, sisa toksik, radioaktif, najis babi, najis ayam dan seribu satu macam pencemaran melupuskan segala harapan untuk kembali menyatu dengan alam. Bermain dengan alam. Bersama dengan alam. Aduh rindunya alam tanpa pencemaran. Anak-anakku, jagalah alam ini sebagai habitatmu yang selamat untuk dihuni dan dimanfaatkan.
Pada akhir-akhir banjir, suasana bertukar menjadi sulit. Rumput yang terrendam lama, sampah-sampah saraf yang mereput, haiwan kecil yang menjadi bangkai, cacing gelang yang melata di bawah paras air yang semakin surut dan berbagai-bagai lagi pereputan di atas tanah mengakibatkan bau menusuk yang mencengkam hidung dan menyesakkan nafas. Panas dari pancaran matahari yang selalunya terik di akhir banjir menambahkan lagi suasana jelik di akhir banjir. Ketika itulah, setiap perjalanan akan menjadi seksa. Air banjir yang pada mulanya jernih dan bersih, bertukar menjadi kotor berkeladak, hanyir, gatal dan menjijkkkan. Bagi mereka yang tidak menyimpan air tentulah sukar untuk membasuh kaki yang tercemar. Busuk, busuk dan busuk ada di mana-mana.
Dengan kuasa Allah, banjir itu tidak berlaku lagi di kawasan kampung saya untuk jangkamasa kira-kira 30 tahun. Pada akhir tahun 2006, Batu Pahat dikejutkan dengan kedatangan banjir lagi. Bagi yang muda, banjir adalah satu peristiwa bersejarah. Tetapi bagi yang tua dan berusia emas, sejarah berulang kembali. Kepayahan dan kesukaran yang menimpa hanya mereka yang terlibat sahaja yang tahu.
Ibu dan bapa mertua saya tinggal di Pekan Parit Sulong. Rumahnya berhampiran dengan sungai Simpang Kiri. Rumah dapur mereka ditenggelami air. Anak dan cucu bertungkus lumus mengangkut dan menyusun barang di rumah atas. Apabila banjir surut, kami turunkan semula segalanya ke ruang dapur. Selang seminggu, banjir datang lagi. Sekali lagi proses mengangkut barang ke rumah atas berlaku. Banjir yang kedua bertahan agak lama. Air tidak mahu surut-surut. Kerajaan Negeri Johor terpaksa menggunakan pam air untuk membuang dengan cepat air banjir ke laut.
Suatu pengajaran mungkin telah dilupakan. Kita tidak memahami natural terrain tentang alam di sekeliling kita. Kawasan Batu Pahat memang kawasan banjir. Oleh kerana 30 tahun banjir tidak melanda, mereka alpa dan berada di zon yang terlalu selesa. Ibu bapa zaman banjir dahulu ramai yang sudah tiada. Anak-anak mengambil alih harta pusaka ibu bapa dan mula membuat perubahan-perubahan tanpa mengambilkira faktor terrain itu. Rumah-rumah yang dahulunya bertiang tinggi dirobohkan dan digantikan dengan rumah-rumah semasa yang berlantai simin yang kedudukannya on ground level. Jika dahulu banjir berada di bawah rumah, sekarang banjir masuk ke dalam rumah. Kemusnahan di mana-mana kerana kesilapan membaca faktor alam.
Anak-anakku, belajarlah dari sejarah untuk mengubah sejarah, membina sejarah baru dan untuk memperbaharui sejarah. Ambil iktibar dari kesilapan masa lalu. Walaupun masa hadapan hanya harapan dan doa, usaha harus direncana untuk mengurangkan impak negatifnya. Perubahan akan terjadi dan terus terjadi. Sebagai pelaku-pelakunya kita membawa arus atau dibawa arus. Yang penting kita tahu bermain arus. Pandai mencari tebing utuk berpaut. Demi kelangsungan hidup dan mengabdikan diri kepada Allah. Kerana Allah. Amin.
Saturday, February 13, 2010
Masa Dulu-Dulu - Bahagian kelima
Waktu saya kecil, selain dari bermain, saya belajar survival hidup. Kebanyakan perkara saya buat. Antaranya berenang, memanjat pokok, menebas, mencangkul tanah, menggali parit, menanam pokok, menyapu sampah, membakar sampah, menebang pokok pisang, memikul batang kayu, menyabit rumput, memetik buah kopi, memungut buah, menoreh, mengganti atap rembia, mengangkat air, mencari kayu api, memasak, membuat kuih, membasuh pakaian, menggosok baju, menjahit, melastik, memancing, mengejar ayam dan bercucuk tanam. Sebahagian dari aktiviti itu telah saya sebut dalam pos yang lalu. Namun masih banyak lagi yang tersemat di balik ingatan.
Berenang adalah antara aktiviti santai yang menyeronokkan sewaktu kanak-kanak saya dahulu. Lazimnya saya berenang apabila air pasang besar. Saya menunggu saat itu. Air sungai memasuki parit. Penuh parit dengan air yang jernih. Apabila air menjadi tepu, saya, sama ada sendirian atau dengan rakan-rakan yang ada akan terjun ke dalam air. Lelaki atau perempuan sama sahaja. Kami memakai kain. Yang lelaki berkain pelikat dan yang perempuan berkain batik. Berkemban. Mulalah saya terjun dari tepi parit atau dari titi yang merentasi parit. Berenang, menyelam dan berendam. Mungkin berjam-jam lamanya. Kecut kaki dan tangan. Hingga pucat bibir. Sejuk menggigil. Anak-anak kampung seperti saya tidak perlukan jurulatih untuk berenang dan diving.
Saya tidak diving seperti dalam sukan renang sekarang. Saya terjun kaki dahulu. Kami hanya melompat, kaki dahulu yang mencecah air. Bayangkan kami melambungkan badan ke udara. Kami memakai kain pelikat yang digulung kejap di pinggang. Bila kami terbang apa yang kelihatan? Kain menjadi payung terjun yang menguncup ke atas. Allahu Akbar. Yang lain akan terkekeh ketawa. Pemandangan yang menghiburkan. Yang perempuan memang tidak berani terjun. Nanya dibuatnya.
Bila letih terjun dan berenang, kami berendam dalam air. Lebih seronok pula apabila kami pegang bahagian tepi kain. Lepas itu masukkan gelembung angin ke dalam kain dengan membuat gerakan pantas untuk memasukkan air ke dalam kain. Maka menggelembunglah kain. Dengan gelembung kain itu kami mengapung-apungkan diri. Macam pelampung. Atau kami pegang dari bawah gelembung kain itu dan dengannya kami menyelam dan berhanyut atau bergerak di bawah air.
Bila yang lelaki galak bermain air, yang perempuan kenalah berhati-hati. Yang nakal antara kami akan. menyelam dan menyondol kanak-kanak perempuan. Terjerit-jeritlah mereka geli dan takut. Lebih banyak menjerit lebih galak sakatnya.
Anak-anak kampung tidak perlu diajar berenang. Mereka hanya perlu memerhati abang dan kakak mereka berenang. Waktu belajar berenang dahulu, saya selalu mengikut ibu saya mandi. Saya akan pegang tangga atau papan pelantar mandi dengan tangan. Kaki di belakang akan dikocak-kocakkan seperti aksi berenang. Belajar pula mengangkat kepala. Dalam proses itu entah berapa kali kepala tidak terangkat di atas paras air. Akibatnya entah berapa banyak air parit yang terpaksa ditelan. Masam, kelat, masin, payau semuanya dapat dirasa. Prosesnya tidak lama. Bila sudah pandai menggerakkan kaki, belajarlah saya seperti anak burung yang baru terbang. Lepaskan sekejap pegangan, apungkan diri. Jika tidak menjadi, ulangi lagi. Tidak lama selepas itu pandailah berenang.
Sudah 60 tahun saya tinggalkan peristiwa itu. Namun begitu, senarionya masih kuat dalam ingatan. Anak-anak kampung yang tenggelam dalam dunianya sendiri. Alam kampung yang mendamaikan. Hanya anak-anak kampung sahaja yang mengerti.
Dengan pandai berenang itu saya tidak takut apabila banjir. Tidak takut berenang di sungai. Sewaktu menjadi guru sementara di Seri Medan dahulu saya biasa berenang menyeberang sungai apabila air pasang penuh. Dalam air yang tenang dan jernih, terasa damainya hidup. Saya dengan alam saya. Sendirian sahaja. Berulang alik hingga terasa puas dan penat. Semasa di Kuala Terengganu dahulu saya biasa ke Pulau Kapas mengiringi pelajar. Kerana pandai berenang, puaslah saya bermain air. Off course tidak memakai kain pelikat lagi.
Kerana tidak takut air saya biasa memancing di parit dan di sungai. Anak kampung tidak perlu membeli joran yang mahal. Mata kail, seutas benang, batang joran dari buluh atau kayu dan umpannya hanya cacing gelang yang memang banyak di keliling rumah. Memancing tidak pernah hampa. Jika di parit paling kerap ikan keli yang sederhana besar. Jika rajin, sampai di rumah, saya siang sendiri. Sebelum itu ketuk kepalanya dengan anak lesung batu. Bila sudah pecah dan mati, barulah disiang. Paling sedap dibakar hingga garing. Masak dengan santan yang dibubuh cili api dan cekur. Masakan ini dinamakan pecal (pecel kata Jawa). Isi ikan keli yang lembut itu cair di mulut. Sedapnya tidak dapat diceritakan. Kalau hendak merasa masakan pecal ikan keli datanglah ke Batu Pahat. Carilah di mana-mana kedai makan. Pasti ada. Khususnya di Parit Raja.
Tetapi cerita ikan keli ini menjadi suatu cerita yang tidak panjang. Pada tahun 60an saya berhenti memakannya. Seorang kakak sepupu saya dan suaminya telah berpindah dari kampung saya ke Parit Yaani di Yong Peng. Kawasan tempat tinggalnya mengalami banjir setiap tahun. Kadang-kadang dua kali setahun. Apabila air mulai surut, cuaca agak panas, banyak ikan keli yang mabuk dan berenang-renang di atas tanah. Sepupu saya akan memungut ikan tersebut dan kerap menghantarnya ke rumah saya kerana arwah datuk sangat suka memakan ikan keli.
Setiap kali, sepupu saya akan menghantar sebanyak satu tin minyak tanah. Sebesar tin biskut besar di kedai runcit sekarang. Ikan itu pula saya letakkan dalam tempayan. Hiduplah ikan itu dalam tempayan tanpa makan atau minum hingga berbulan-bulan lamanya. Tetapi boleh hidup lama. Bila ada isyarat dari datuk saya, maka akan saya ambil seekor atau dua untuk dimasak. Seperti biasa saya ketuk dahulu kepalanya. Rupanya kuantiti yang terlalu banyak itu menjadikan saya muak. Akhirnya saya mual. Sejak itu saya tidak lagi makan ikan keli hinggalah ke hari ini. Berhati-hati dengan sirip ikan keli boleh menyengat dan amat bisa. Jika ikan sembilang (seperti keli tetapi ikan air masin, sengatannya boleh membawa maut).
Saya biasa bersampan di sungai yang jauhnya satu km dari rumah saya. Ada seorang dua teman yang suka dengan kegemaran yang sama. bila hari pasang, kami hilir mudik mengayuh sampan. Berpaut di dahan-dahan pokok di tepi sungai. Sambil pula mengocak kaki dan membasuh muka. Airnya jernih dan bersih. Sejuk kena di tubuh saya. Ada masanya sambil pula memancing. Senang sekali dengan keadaan yang damai begitu. Tenang setenangnya.
Satu lagi kegemaran saya ialah memanjat pokok. Kemahiran memanjat pokok adalah satu keperluan. Memetik buah tidak cukup dengan menggunakan galah sahaja. Panjat lebih mudah. Sewaktu kecil, dengan badan yang ringan, saya boleh memijak dahan yang kecil hingga hampir ke hujungnya. Sebelah tangan memegang dahan yang lebih tinggi. Tangan berpaut dan kaki terampu. Imbangan yang baik. Tidak perlukan jurulatik gimnastik. Dalam keadaan seperti itu, sebelah tangan lagi akan memetik buat atau untuk mematahkan tangkai buah seperti rambutan. Berbakul-bakullah buah yang saya turunkan.
Memetik mangis dan ciku lebih berhati-hati. Tidak boleh dijatuhkan ke tanah. Jika begitu, buahnya akan retak atau pecah dan masaknya akan masam. Jadi saya membawa bakul semasa memanjat. Bila penuh, gunakan tali untuk menurunkannya. Begitulah berulang-ulang. Seronok dan tidak menjemukan. Tidak ada gangguan emosi. Tidak ada tarikan lain dalam musim buah begitu. Begitulah juga bila memetik buah rambai.
Setiap buah ada tekniknya sendiri semasa memetik, menyimpan, mengangkut, membelah atau memakannya. Menebang pokok pisang harus berhati-hati dari percikkan getahnya ke baju. Jika terkena, baju itu hilang fungsi rasminya. Getah yang terkena di baju akan menyebabkan baju itu capuk-capuk jadinya. Ia akan dipersarakan. Akan jadi basahan sahaja. Nangka dan cempedak kena tahu teknik menghindar terpalit getahnya. Tidak pula kita palitkan orang lain. (Lihat pos yang lalu). Memang kata peribahasa, lain makan nangka, lain yang kena getahnya. Jika tahu tekniknya, yang makan tidak kena getah, yang lainpun tidak kena getah juga. (Lihat pos yang lalu). Selamat semuanya. Nikmati ulas-ulas nangka yang menjingga di dalamnya. Manis, lemak dan basah di mulut.
Tunggu episod berikutnya.
Thursday, February 11, 2010
Bertemu Ahlul Bait
Sepulangnya kami dari Kuala Lumpur, saya dan isteri membuat risikan untuk mengesan insan yang dicari. Maklumat yang kami terima tidak memberangsangkan kerana tidak ramai orang Batu Pahat yang mengetahui wujudnya insan yang dicari. Dari cebisan-cebisan maklumat yang kami kumpul akhirnya menemukan kami insan tersebut. Namanya Habib Ali. Maaf, nama penuhnya belum saya ketahui.
Saya sukar mencari kesempatan untuk menziarahi insan ini. Isteri saya berkesempatan menziarahinya bersama beberapa orang lain. Ia mendiami sebuah rumah di Kampung Solok Wan MOh, Jalan Kluang, Batu Pahat. Rumahnya betul-betul di belakang Batu Pahat Mall. Ia tinggal bersama anaknya. Isterinya telah lama meninggal dunia. Tanyalah orang di situ. InsyaAllah rumahnya mudah dicari.
Habib Ali sudah tidak keluar rumah. Hidupnya beribadat sahaja. Jika ingin menziarahinya hanya selepas waktu 'Asar sahaja. Itupun bukan setiap hari. Ada jadual tertentu. Bagi yang biasa, tahu jadual tersebut. Ramai orang yang mengulang-ngulang menziarahinya. Nikmat menemuinya. Mereka tahu kenapa insan ini perlu diziarahi. Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam.
Mereka yang menziarahi Habib Ali datang dari Yamen, Arab Saudi, Indonesia, Singapura, dari seluruh semenanjung Malaysia. Malah dikatakan Yusuf Islam (Cat Steven) pernah mengunjunginya. Semuanya datang untuk mendapat barakah dari insan istimewa ini. Menurut Ustaz Zahazan, ia berasa malu apabila dimarahi oleh seorang dari Indonesia kerana tidak pernah menziarahi Habib Ali. Saya terlebihlah malunya kerana dilahirkan di Batu Pahat, dibesarkan di Batu Pahat, bekerja di Batu Pahat dan sekarang tinggal di Batu Pahat tetapi tidak mengetahui wujudnya Habib Ali.
Petang semalam, Khamis 11 Februari 2010, saya berjaya menemuinya. Allahu Akbar. Subhanallah. Orangnya sudah agak uzur. Agak kurus. Tubuhnya sederhana tinggi. Misai, kening dan janggutnya memutih tetapi lembut dan kemas. Kulitnya putih kuning. Hidungnya mancung. Sangat mancung. Bibirnya nipis. Matanya tajam. Duduknya gagah. Kerana keuzurannya, ia perlu dibantu apabila hendak berdiri dan dipapah apabila hendak berjalan.
Pertemuan saya dengannya hanya sekitar 15 minit sahaja. Ada beberapa orang lain yang turut menziarahinya waktu itu. Tazkirahnya ringkas mengenai makanan. Agak kurang jelas kedengaran kerana suaranya agak perlahan. Yang penting doa yang dibacakan olehnya di akhir pertemuan petang itu. Mudah-mudahan Allah mengkabulkan doanya kepada kami yang hadir. Mudah-mudahan ada barakahnya kepada kami petang itu.
Habib Ali adalah ahlul bait. Keturunan Nabi Muhammad SAW dari sebelah Sayidina Ali k.w. Saya tidak pasti sama dari Sayidina Hassan atau Sayidina Hussin. Menurut silsilahnya Habib Ali adalah generasi yang ke-30 dari Rasulullah SAW. Bertemu dengan ahlul bait mudah-mudahan mendapat barakah. Itulah yang dicari oleh orang-orang yang menziarahinya. Jika dari Rasulullah SAW kita akan mendapat syafaatnya, maka dari keturunannya kita mendapat barakah.
Ziarahlah. Habib Ali sudah semakin uzur. Sementara hayatnya masih ada, bertemulah dengannya. Rasulullah sudah tiada. Keturunannya masih ada yang boleh kita temui. Sementelahan pula ia ada di Batu Pahat, di Johor, di Malaysia. Jika orang dari negara luar sanggup datang untuk beberapa minit yang penuh barakah, perjalanan mereka yang lama, jauh dan tinggi kosnya, mengapakah tidak kita. Carilah barakah itu sementara Habib Ali masih ada.
Cuma dalam pertemuan singkat semalam, saya melihat kembali arwah datuk saya yang telah meninggal dunia pada tahun 1962 dahulu. Wajah Habib Ali saling tak tumpah seperti arwah datuk saya. Hidung datuk saya kurang mancung. Saya melihat kembali kening, misai dan janggut putih yang sinonim dengan wajah datuk saya. Terkedu saya sebentar. Kenangan lama mengimbau kembali.
Selawat dan salam ke atasmu wahai Rasulullah. Ya sofwatullah. Ya habibullah. Selawat dan salam ke atas keluarga keturunanmu. Selawat dan salam ke atas para sahabatmu. Selawat dan salam ke atas Habib Ali ahlul bait keturunan Nabi Muhammad, Rasulullah SAW.
Tuesday, February 9, 2010
Masa-Masa Dulu-Dulu - Bahagian Keempat
Datuk saya yang bernama Haji Rais bin Haji Abu Bakar, telah menduduki kampung Parit Mohamad, Mukim 4, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor mulai akhir kurun yang ke sembilan belas. Dalam perjalanannya ke negeri Johor ia telah melalui Singapura. Apa yang dilihatnya di Singapura ialah proses pembinaan pelabuhan Tanjung Pagar (Keeple Harbour). Sesampainya di Batu Pahat, bandarnya masih kecil dan terdapat satu serokan yang penuh dengan air di sekitar bandar. Masjid Dato' Bentara Luar dan stadium yang ada sekarang adalah serokan itu. Tidak hairan rumah Pegawai Daerah kekal di Bukit Bendera sehingga sekarang kerana faktor sejarah tersebut. Dato' Ahmad Perang yang bergelar Dato' Bentara Luar bertanggungjawab memakmurkan bandar Batu Pahat pada tahun 1894. Pada tahun 1994, genaplah usia bandar ini 100 tahun. Statusnya meningkat menjadi Majlis Perbandaran.
Datuk saya telah memudiki Sungai Batu Pahat. Ada dua cabang sungai. Yang sebelah kiri dinamakan Simpang Kiri dan yang di sebelah kanan dinamakan Simpang Kanan. Simpang kiri melalui pekan Parit Sulong dan Pekan Seri Medan hingga hulunya merentas bukit bukau di daerah Muar. Simpang kanan melalui Tongkang Pecah dan Yong Peng. Di Parit Mohamad (sempena nama ketua kampungnya yang pertama), datuk saya menebang hutan, memugar tanah dan bermastautin di situ hingga hayatnya yang terakhir pada tahun 1962. Umurnya dikatakan 112 tahun. Tidak ada kepastian bagaimana angkanya mencecah 112 begitu. Yang saya ingat sejak kecil ialah orangnya kurus (macam saya waktu muda dahulu), agak tinggi (macam saya), kulitnya sederhana putih (saya gelap sedikit), tidak banyak bercakap (macam saya), banyak berfikir (macam saya), menegur yang hak sahaja (mungkin saya ada sifat itu), jalannya tidak pernah sibuk (macam saya), renungannya tajam (macam saya - kalau marah), bahasanya berbisa (kadang-kadang saya begitu), intonasi suaranya bersahaja (mungkin sedikit yang saya ikut), banyak menyendiri (introvert macam saya), disegani (ada sedikit pada saya) dihormati (macam ada pada saya), dirujuk (ada warisannya pada saya), ada bakat kepimpinan (ada ala kadar pada saya), imam masjid (kadang-kadang saya jadi imam di surau, masjid belum), mengajar mengaji al-Quran (sekarang saya guru al-Quran), penoreh getah (saya pernah menoreh getah - waktu remaja, selepas sekolah) dan senarai itu panjang lagi.
Sebelum saya lupa datuk yang saya kenal, janggutnya sudah putih sejak lama dahulu. Janggutnya agak panjang hingga ke dada. Saya berjanggut juga, sudah berpuluh tahun tetapi saya potong pendek. Trendy kononnya. Sudah putih sebahagiannhya. Saya berjambang tetapi datuk saya tidak. Dalam keluarga, selain daripada saya seorang arwah sepupu saya berjambang. Anak saudara sepupu hanya seorang sahaja yang berjambang. Anak lelaki saya yang besar (anak ketujuh -21 tahun) sudah mula menyimpan janggut. Adiknya nampak bermisai sedikit. Jambang? Belum nampak lagi.
Datuk saya melarikan diri dari kampungnya di Jawa sewaktu umurnya 11 tahun. Ia mungkin bukan orang sebarangan kerana cara ia membawa diri berencana dan berwawasan. Ia boleh menulis Jawi, Arab dan Jawa. Kitab-kitab yang dibacanya adalah kitab Jawa. Kitabnya yang utama ialah Perimbon. Almanac dalam Bahasa Inggeris. Setia kali gerhana matahari atau bulan, ia akan membuka Perimbonnya. Dibacakan ramalan dan implikasi yang akan berlaku. Sebelum Jepun datang ke Tanah Melayu ia dikatakan telah meramalkannya berdasarkan Perimbon itu. Sayang sekali setelah ia meninggal dunia, saya kehilangan kitab-kitab yang pernah dimilikinya.
Ia mahir ilmu falak. Ia telah mencipta jam matahari yang menggunakan sekeping papan yang menggunakan garis-garis tertentu. Di tengahnya diletakkan sebatang paku. Sederhana besarnya. Untuk menentukan waktu solat ia akan meletakkan papan itu di bawah cahaya matahari. Arah dan kecondongan bayang, menentukan sama ada waktu solat sudah masuk atau belum. Ramai yang mahir menggunakan papan jam itu dan saya sendiri sewaktu kecil bermain-main dan membaca waktu menggunakannya. Setelah kematiannya, papan itu kehilangan fungsi sementelahan pula jam sudah menjadi lumrah. Papan itu hilang entah di mana. Kenangan saya sahaja yang masih ada.
Seingat saya, datuk saya hidupnya di masjid sahaja. Ia akan pergi sebelum Subuh dan kembali ke rumah selepas solat Doha. Masjid hanya 200 meter dari rumah saya. Ia akan pergi semula ke masjid menjelang Zohor. Kembali ke rumah kira-kira pukul 2.00 petang. Sebelum Asar ia akan ke masjid semula dan pulang semula ke rumah selepas Isya'. Merentas tiga waktu solat. Sewaktu menunaikan haji pada tahun 1999 dahulu itulah yang saya lakukan. Umrah pada pukul 1.30 pagi. Selepas Subuh kembali ke hotel. Pukul 9.00 pagi ke Masjid al-Haram dan kembali ke hotel pukul 2.00 petang. Pukul 3.00 saya mengerjakan umrah dan kembali semula ke hotel selepas Isya'. Bila kembali ke Malaysia saya tidak dapat meneruskan rentak itu kerana kesibukan melaksanakan ibadat kerja, mengajar al-Quran dan kerja-kerja amal yang lain.
Sewaktu ketika, penduduk kampung berasa hairan kerana datuk mengikatkan serbannya di sebatang tiang dalam masjid. (Masjid di kampung saya bertiang seri empat, besar dan tinggi.) Tiang itu sendiri menggerunkan. Peliknya bukan orang kampung yang mendirikannya. Konon ceritanya terdapat seorang pengembara alim di kampung saya. Sewaktu orang kampung sibuk hendak membangunkan tiang-tiang itu, ia menjamu mereka dengan buah labu. Buah labu itu masak seperti direbus, manis kerana dibubuh gula. Yang menghairankan ialah labu itu sebiji-sebiji dan tidak dimasak dengan membelahnya. Maknanya labu itu tidak dibelah sebelum dimasak. Seolah-olah dimasak tanpa dibelah. Satu lagi kehebatannya ialah membawa air dalam raga. Air tidak tiris atau bocor. Dalam masa semua orang sibuk menjamu selera memakan labu manis, tiang-tiang itu sudah berdiri keempat-empatnya. Mereka semua kagum tetapi tidak pula kehairanan yang amat sangat. Mereka semua menerima hakikat kelebihannya itu. Iapun tidak lama di kampung itu. Seorang pengembara.
Serban yang diikat ditiang itu ada sebabnya. Datuk saya mengikat jin yang mengganggunya sewaktu solat. Terkejut orang kampung. Datuk saya bukan sahaja boleh melihat jin, menjadi imam kepada mereka dan boleh pula menghukum jin. Dua hari lamanya jin itu diikat. Rayuan jin itu tidak diendahkannya. (Datuk saya lazimnya bersendirian di masjid tanpa jemaah yang lain. Kebetulan rumah-rumah penduduk kampung lain berjauhan dari masjid.) Bila ditanya ia mengatakan jin itu mengganggu jam gantungnya di poket sedangkan jin-jin yang lain menjadi makmum. Dua kesalahan iaitu tidak solat dan mengganggu orang sedang solat. Hukumannya jin itu diikat di tiang.
Masjid kampung saya adalah madrasah tempat anak-anak kampung belajar mengaji al-Quran. Selepas mengaji mereka bermain galah panjang. Bila letih tidur di masjid. Nak tahu? Anak-anak kampung tidak pernah takut tidur di masjid walaupun pagi esoknya mereka tidak sedar bila masa mereka beralih tempat. Waktu pagi ada yang di bumbung masjid. Ada yang di atas kubur. Ada pula di dalam keranda. Ada yang di atas mimbar. Ngeri kan? Anak-anak kampung tidak gusarpun mengenai perkara itu. Malam esoknya mereka tidur lagi di masjid!
Saya tidak pasti adakah jin-jin itu mengikut datuk saya pulang ke rumah. Saya tidak pernah rasa terganggu. Tetapi sepupu-sepupu saya ramai yang gerun bila datang ke rumah saya. Bila Maghrib atau malam, kecut mereka dibuatnya. Mungkin bentuk rumah Limas datuk saya menyumbang kepada perasaan itu. Ia agak suram kerana tidak pernah bercat. Tidak ada cahaya dari luar bila semua pintu dan tingkap ditutup. Jauh pula dari rumah orang lain dan kedudukannya jauh dari parit dan jalan kampung. Rumahnya nampak agam tetapi serene. Mungkin sedikit tranquil. Ada sepupu saya rela menunggu kami di luar rumah dari duduk dalam rumah jika mereka datang waktu petang. Apatah lagi jika menjelang Manghrib sedangkan ketika itu kami tiada di rumah.
Datuk saya seorang pengembara. Dalam perjalanannya ke Tanah Melayu ia telah sampai di Palembang. Sewaktu gunung berapi Karakatoa meletus pada tahun 1883 ia merasa kesannya. Menurutnya debu gunung berapi itu menutupi keseluruhan kampungnya. Atap rumah diliputi debu yang tebal. Beminggu-minggu dunia datuk saya gelap gelita.
Datuk saya mendirikan rumahtangga dengan seorang wanita tempatan. Jodohnya tidak panjang kerana perbezaan budaya. Datuk saya orang Jawa sementara isterinya orang Palembang jati. Kebetulan isterinya banyak menggunakan huruf 'ra' atau 'r'. Di mana silapnya menggunakan kedua-dua huruf tersebut? Alkisahnya apabila menghidangkan lauk pauk yang mengandungi udang, isteri datuk saya akan berkata. Ini sambal 'urang' bang. Ini gulai 'urang' bang. Datuk saya tidak makan, kerana semuanya orang punya. Tentulah isterinya berasa hati. Penat memasak suami pula tidak mahu menjamah makanan.
Tidur pula menimbulkan masalah lain. Mungkin orang dahulu tidak begitu perihatin dengan kebersihan dan kerapian tempat tidur. Ingat! Orang sekarangpun kena ambil iktibar. Katil datuk saya diperbuat daripada kayu. Tiangnya agak tinggi. Arwah datuk saya selalu bising bahawa katil itu banyak 'tinggi'. Esoknya si isteri memotong kaki katil supaya rendah. Datuk saya masih tetap mengatakan banyak tinggi. Rupanya bila berbeza budaya berlakulah masalah sintaks dan semantik. Bahasa sama, bunyi dan ejaan sama tetapi maksudnya lain. Bagi orang Jawa, tinggi bermaksud pijat. Ya pepijat. Bagi isterinya, tinggi bermaksud ukuran. Si suami bising mengenai pijat, si isteri pula sibuk merendahkan katil. Barangkali begitulah yang terjadi dalam pengurusan dan pentadbiran. Komunikasi yang tidak sekata, not on common ground, not the same language, maka urutan tindakan yang menurutinya akan bercapah. Lain disuruh lain pula yang dibuat. Akhirnya there was no communication. Communication breakdown. Oleh kerana perkahwinan banyak bergantung kepada komunikasi, maka perkahwinan itu gagal diteruskan. Perbezaan-perbezaan tersebut banyak menimbulkan masalah. Oleh kerana tiada jalan keluar yang lebih berhemah, maka mereka bercerai. Berkahwinlah pula datuk saya dengan wanita lain yang lebih cocok. Hidup beranak cucu hingga ke akhir hayat nenek saya. Datuk saya tidak pula berkahwin lain bila nenek meninggal dunia.
Datuk saya industrious orangnya. Tapak rumahnya tiga hektar. Setengah hektar digunakan untuk menanam pohon buah-buahan dan kelapa. Selain daripada menoreh getah, datuk saya menanam padi dan menangkap ikan di laut. Sebenarnya saya cukup kagum dengan arwah datuk saya. Sawah padinya kira-kira 10 km ke hulu sungai. Dengan menggunakan sampan tentunya mengambil masa beberapa jam. Laut pula kira-kira 18 km dari kampung saya. Tentunya lebih lama perjalanannya dengan sampan. Kekuatan tenaga dan semangat menjadikan kesemuanya sasaran mudah untuk dicapai.
Saya hairan, sewaktu kecil dahulu terdapat sebuah sampan kolek yang besar terlangkup di bawah rumah saya. Saya pernah sebut bahawa saya boleh berjalan di bawah rumah saya tanpa menundukkan kepala. Cerita yang saya kutip ialah datuk saya memiliki kepelbagaian fungsi. Ia menjadi penoreh dan pada masa yang sama menjadi penanam padi dan menjadi nelayan. Seperti juga dengan pohon buah-buahan, menanam padi dan menangkap ikan bukan untuk tujuan komersil. Sekadar mempelbagaikan sumber rezeki keluarga. Oh ya. Perjalanan di sungai tidak sukar sebenarnya. Datuk saya menghilir ke laut ketika air surut dan kembali ke kampung semasa air pasang. Ia memudik ke sawahnya ketika air pasang dan menghilir balik ke kampung sewaktu air surut. Memahami alam dan fungsinya memudahkan kehidupannya dan keluarganya berurusan dengan alam.
keperihatinannya kepada orang kampung cukup tinggi. Pada musim buah ia akan memetik rambutan sebanyak mungkin. Begitu juga pisang, rambai dan ciku. Buah ciku mungkin lebih menyeronokkan. Buah yang agak kekuningan sahaja yang dipetik. Lebih kuning lebih tua. Yang tua cepat masak. Boleh direncanakan masanya. Getahnya pula banyak dan melekit. Kenalah belajar supaya tidak terkena getah ciku. Seperti tidak terkena getah nangka. Setelah dipungut, ciku itu didiamkan sebentar untuk membenarkan kesemua getahnya mengalir keluar. Setelah itu ciku-ciku tadi direndam dengan air. Digososk ciku itu dengan sabut kelapa. Maaf, berus tidak ada. Kalau hendak tahu lebih lanjut, berus gigi saya diperbuat dari sabut. Mana ada ubat gigi. Jadi? Ubat giginya ialah arang kayu di dapur yang ditumbuk lumat. Gigi putih. Mungkin, ya mungkin itu sebabnya gigi saya masih kuat walaupun sudah berumur 64 tahun. Baru dua yang terpaksa dicabut kerana berlubang dan kerana sakit. Daif sungguh kehidupan ketika itu. Cerita berus yang diperbuat daripada sabut kelapa hanya bermula dalam awal tahun 60an apabila MARA ditubuhkan yang pada ketika itu dinamakan RIDA (Rural Industrial Development Authority).
Ciku yang sudah digosok kulitnya nampak bersih dan cantik. Tiada lagi lapisan berbulu dan berdebu. Proses berikutnya ialah mengeringkan ciku itu. Kemudiannya dibalut dengan kain dan diperam hingga masak. Selalunya untuk masak mengambil mas kira-kira tiga hari. Pada saya ciku adalah lembut, manis dan lazat. Sinonim dengan orang Melayu. Kulit orang Melayu sawo matang seperti ciku. Kesemua buah-buah itu, manggis, rambutan, ciku, rambai dan pisang dibawa ke masjid pada hari Jumaat. Ramailah orang kampung yang merasa keenakan buah-buah datuk saya, Haji Rais bin Haji Abu Bakar. Al-Fatihah.
Arwah datuk saya jika sakit, mengambil masa yang panjang untuk sembuh. Yang saya ingat, bila sakit kakinya bengkak-bengkak. Terlantarlah ia di pembaringannya. Berduyun-duyunlah sanak saudara, orang kampung dan kenalannya yang datang ziarah. Meriahlah rumah saya. Kanak-kanak seperti saya tahu ramainya sahaja. Buah tangan yang mereka bawa sayalah yang makan saki bakinya. Sakit itu mungkin ujiannya, mungkin kafarrah baginya. Seminggu sebelum ia meninggal dunia, ia memaklumkan kepada anak lelakinya yang kedua bahawa ia mungkin akan dijemput Allah pada hari Khamis minggu hadapannya. Dari pagi hingga ke dinihari, ramailah orang yang menunggu saat itu. Saat pemergiannya cukup hening. Selepas tengah malam. Tidak ramai yang menyaksikan saat itu. Saya sendiri tertidur kerana mengantuk. Bila mendengar kecoh-kecoh, saya terjaga. Saya terima hakikat yang datuk saya telah meninggalkan saya. Dialah antara orang yang paling mengasihi saya dan adik saya.
Sebagai remaja yang berumur 16 tahun. Saya di tingkatan dua. (Usia saya agak tua kerana saya pernah gagal dalam peperiksaan darjah satu dan tidak naik darjah. Saya pula mengikut kelas peralihan kerana mengikuti aliran Inggeria di sekolah menengah). Saya tidak merasa apa-apa. Tidak mersa sedih pilu. Saya turut membantu memangku tubuhnya semasa memandikannya kerana saya cucu lelaki kesayangannya. Saya tidak merasa apa-apa lagi. Setelah dikafan dan disolatkan, maka jenazah datuk saya diusung turun dari rumah untuk disemadikan di tanah perkuburan, di belakang masjid yang menjadi rumah kedunya sepanjang hayatnya. Ketika menuruni tangga itulah, saya merasa sebak yang amat menyebakkan. Air mata saya tidak dapat saya tahan-tahan lagi. Tangisan saya cukup kuat sehingga terhinggut-hinggut bahu saya. Saya sungguh berasa sayu ditinggalkan orang yang hidup bersama selama 16 tahun itu. Berakhirlah suatu kebersamaan. Terpisah kerana ajal yang pasti kedatangannya. Suatu pemergian yang abadi. Sesungguhnhya dia pergi menemui Rabbnya. Al-Fatihah.
Arwah datuk saya makan tengahari selepas Zohor. Arwah ibu saya akan menyediakan hidangannya menggunakan sebuah talam yang kemudiannya ditutup dengan tudung saji yang diperbuat dari pandan. Datuk tidak banyak makan. Setengah pinggan barangkali. Sebelum solat Asar ia makan lagi hidangan yang sama. Bagi orang Jawa ini dinamakan 'mentong'. Bukan 'ta' tetapi 'tho'. Hanya orang Jawa sahaja yang boleh menyebutnya. Jika hendak belajar, berkahwinlah dengan orang Jawa yang boleh berbahasa Jawa. Sebenarnya saat inilah yang selalu saya tunggu. Baki hidangan itu akan menjadi rebutan antara saya dan adik saya. Bukan lauk istimewa pun. Nasi putih, gulai lemak, sambal tumis dan ikan masin. Gulai lemak mungkin pucuk ubi, pucuk manis, daun melinjau, jantung pisang, batang keladi, pisang muda atau pucuk paku. Ikan masin mungkin ikan sepat, ikan haruan, kembung, tamban dan gelama. Walaupun saya telah makan hidangan yang sama pada tengahari itu, baki hidangan datuk saya sangat lazat rasanya. Lazat sungguh. Pada hal nasi itu sejuk. Lauknya juga sejuk. Kuasa Allah, semuanya tidak pernah basi.
Kenapa agaknya? Sampai sekaranag saya tidak mendapat jawapannya. Barangkali itulah barakah. Hidupnya beribadat. Rezeki itu pula 100 peratus halal. Disediakan dengan ikhlas oleh menantunya (ibu saya) yang setia kepada bapa mertuanya. Saya pula cucu kesayangannya. Memang senghaja dia tinggalkan baki makanan itu untuk saya dan adik saya. Tidak mungkin hidangan yang sedikit, sesudah dimakan kali kedua masih berbaki. Cukup untuk saya dan adik saya. Begitulah kasihnya datuk saya kepada saya dan adik saya.
Bila ada majlis tahlil tentu ada berkat yang dibawanya kembali. Banyak pula tu. Bagi orang Jawa berkat bermakna bungkusan makanan yang dibawa pulang. Dalam majlis tahlil setiap empat orang tetamu dihidangkan dengan sedulang penuh sarat makanan yang dinamakan nasi ambang (ambeng dalam bahasa Jawa). Nasi ambang berlaukkan kari ayam atau gulai ayam atau ayam masak kicap. Ada sambal goreng. (Campuran kacang panjang, su'un, tauhu kering, lada kering yang digunting-gunting, tempe dan tauhu), mee goreng yang diperbuat dari mee kuning kering, sambal tumis, ikan masin dan serunding. Di Johor, khususnya di daerah Batu Pahat, nasi ambang masih menjadi budaya. Ada yang dikomersilkan tetapi dalam bentuk bungkusan-bungkussan seperti membungkus nasi lemak.
Dalam majlis tahlil, orang tidak makan nasi ambang yang dihidangkan. Mereka menjamah sahaja. Seorang dari mereka yang berempat satu hidangan itu, akan membahagi empat semua yang ada dalam dulang itu. Waktu remaja saya, biasa tugas tersebut saya lakukan. Daun pisang disediakan sebagai pembungkusnya. Jika perlu kertas disediakan. Jika tidak, nasi itu kekal dibungkus dengan daun pisang dan dibawa balik. Bila sampai di rumah, ibu saya akan mengejutkan saya dan adik saya untuk sama-sama menikmati berkat yang dibawa pulang oleh datuk saya. Dalam keadaan mengantuk itu, dalam keadaan mata separuh terpejam, kami makan dengan berselera sekali. Waktunya mungkin 12.30 malam.
(Orang kampung mengadakan tahlil selepas Isya'. Julat waktu terlalu subjektif. Ada yang datang pukul 9.00 dan ada pula yang datang pukul 11.00 malam. Mereka bukan terus bertahlil. Bercerita dulu. Minum-minum dahulu. Makan hidangan kuih dahulu. Rupanya majlis seperti itu pertemuan tidak rasmi antara penduduk kampung. Tahlilnya mungkin pukul 11.30 malam. Tentulah jamuannya pukul 12.00 tengahmalam atau lebih lewat lagi.)
Kelazatan berkat memukau selera saya. Bayangkan, sebuah rumah mengadakan majlis tahlil tetapi seluruh kampung dapat merasa jamuannya. Hidangan itu didoakan. Ikhlas pula sebab orang dahulu tidak banyak karenahnya. Menerima keadaan seadanya. Tuan rumah juga ikhlas. Sekali lagi mungkin, rezeki itu benar-benar halal.
Datuk saya tegas orangnya. Orang kampung kecut perut jika ia membuat teguran. Suatu hari, selepas solat Jumaat, penduduk kampung bermesyuarat mengenai hal kampung. Biasalah, di kampung pun ramai kaki pembahas. Pembangkang mungkin. Banyaklah perbincangan yang berlarut-larut sedangkan yang dibincangkan hanya perkara kecil dan sepatutnya dipermudahkan. Datuk saya jika berwirid agak panjang. Pada Jumaat itu mesyuarat tidak ditamatkan seperti biasa iaitu sebelum datuk saya habis berwirid. Bila orang kampung nampak datuk saya bangun berdiri dari wiridnya, masjid menjadi sunyi sepi. Dia melangkah seperti biasa. Bila kakinya melangkah keluar melalui pintu utama, ia bersuara, "Apa mesyuarat lama-lama. Tak habis-habis!" Kecut perut semua orang. Tidak ada sesiapa yang bersuara. Hanya apabila kelibat datuk saya sudah agak jauh barulah mesyuarat disambung semula. Tergesa-gesa ditamatkan kerana mengambil que datuk saya.
Dari datuk, saya belajar memetik buah kopi, menebas lalang dan semak. Darinya saya belajar makan tempe dan tapai. Yang pastinya sekali dalam setahun ia akan ke bandar Batu Pahat kerana urusan membayar cukai tanah. Ada sekali dua saya dibawanya. Berhampiran dengan jeti di Batu Pahat, ada seorang penjual air sarbat. Sementara menunggu bot untuk balik ke kampung, saya dibelanja minum sarbat. Makan tengahari tentulah di kedai mamak. Tidak ada orang Melayu berniaga makanan pada waktu itu. Air sarbat itupun dijual mamak juga. Entahlah. Mungkin selera saya. Mungkin zaman kanak-kanak saya. Mungkin ........ semua yang saya makan adalah lazat-lazat belaka. Yang saya minum juga lazat rasanya.
Datuk saya selalu berpakaian kemas. Pada waktu itu ramai orang lelaki berbaju Kebangsaan. Baju Johor, teluk belanga, bukan cekak musang. Datuk saya pula berkain pelikat, tali pinggang haji, berbaju kemeja dan mengenakan blazer. Serban sinonim dengannya. Sekarang ini, anak saya yang kelapan pandai benar berserban. Cucu yang pertama nampak juga jejaknya. Warisan datuk saya. Tongkat kayu tidak lekang dari tangannya apabila berjalan. Kelihatanlah seorang lelaki Jawa yang gagah. Mungkin pengaruhnya menjadikan saya gemar berpakaian kemas dan ranggi. Kebetulan saya telah melalui kursus etiket dan protokol. Memang sesuai dengan saya. Isteri saya pula tidak berkompromi mengenai pakaian saya. Hatta anak dan cucu menjadi sasaran kririkannya apabila tidak kena pakaian yang melekat di badan. Warna, corak, fesyen, jenis kain dan jahitannya sering menjadi topik hujjah kepada saya, anak-anak dan cucunya.
Walaupun sudah tua, datuk saya membuat kerja-kerja yang ringan. Mengeluarkan peluh agaknya. Ia akan menyapu sampah, membakarnya dan mengemaskan kawasan rumah. Dengan cara itu badannya sihat. Mudah ia ke masjid setiap hari dan setiap waktu. Tangan kiri datuk saya agak bisa. Suatu hari ia marah kepada adik saya yang mengganggunya sedang bekerja. Ia mengambil lidi dan menolak-nolak adik saya dengan lidi itu. Apa jadi ya? Adik saya demam beberapa hari. Hebat, hebat. Kalau tidak macam mana hendak menebang hutan yang kayunya besar-besar belaka.
Ada satu keganjilan yang sukar dimengerti mengenai arwah datuk saya. Satu antara kegemarannya ialah membotakkan kepalanya. Ibu saya yang selalu melakukannya. Kadang-kadang anak lelakinya yang datang ke rumah. Yang menjadikan saya pelik ialah datuk saya bercakap Jawa dengan orang-orang yang datang ke rumah atau apabila dikunjungi sanak saudara. Ia akan bercakap Banjar dengan jiran-jirannya. Kebetulan dua orang kakak bapa saya menikah dengan orang Banjar. Saya dan beberapa sepupu saya berkahwin dengan orang Banjar.
Dengan nenek dan anak-anaknya, datuk saya bercakap Melayu. Pelik saya dibuatnya. Saya sendiri bercakap Melayu dengan datuk saya. Nenek saya pula bercakap dengan bahasa Jawa halus. Bahasa keraton. Bahasa ningrat. Jangan lupa, datuk saya Jawa. Nenek saya Melayu Sumatra. Datuk saya yang Jawa bercakap Melayu. Nenek saya yang Melayu bercakap Jawa dengan datuk saya. Tonggang terbalik. Bapa dan ibu saudara saya bercakap Jawa dengan datuk saya tetapi dia pula bercakap Melayu. Dengan cucu-cucu dia memang bercakap Melayu. Tonggang terbalik lagi jadinya. Namun komunikasi antara mereka berjalan lancar dan harmonis. Saya sendiri belajar bercakap Jawab melalui kawan-kawan di sekolah dan di luar sekolah.
Nama datuk saya bukan sahaja terkenal di kampung saya. Bahkan juga di kampung-kampung yang bersebelahan. Ramai memanggilnya sebagai Yai Rais. Dalam bahasa Jawa Kiyai adalah orang alim. Tetapi yai adalah datuk. Seluruh kampung memanggilnya begitu. Kebetulan kebanyakan orang kampung berkait-kait, semenda menyemenda. Kesemuanya macam saudara. Jika saya ditanya anak siapa, paling senang saya akan katakan, "Saya cucu Haji Rais". Spontan orang yang bertanya akan memuji-muji datuk saya. Kembang juga saya dibuatnya. Begitulah, apabila kita mencipta nama, mudah orang lain menisbahkan dirinya kepada kita.
Satu lagi keistimewaan datuk saya ialah tentang kemahirannya memberi nama. Bila ada kelahiran, dia akan dirujuk. Dia akan mencari, membuat perkiraan dan menimbang-nimbang sebelum memberikan nama. Saya jadi hairan kenapa nama-nama orang Jawa agak pelik. Rupanya bila saya kaji, nama-nama mereka banyak yang kearaban. Bayangkan nama-nama Arab ini: Samian, Jamian, Ja'iman, Markum, Basar, Abas dan Baharum. Mungkin datuk saya ada panduan untuk memberi nama-nama tersebut.
Orang dahulu memberi isyarat tentang kehadirannya. Ia tidak perlu bersuara. Tidak perlu mengetuk pintu dan tidak perlu kecoh-kecoh. Dari sekitar 100 meter datuk saya sudah berdehem. Kami di rumah cukup kenal dehemnya. Waktu tidurpun ibu saya boleh terjaga dengan dehem itu. Apabila sampai di tangga pintu rumah sudah sedia dibuka. Semuanya seperti diatur. Tidak perlu pintu elektronik yang menggunakan sensor. Dehem itu memberikan arahan yang selengkapnya. Saya sudah balik. Tolong buka pintu.
Demikianlah cerita seorang datuk yang besar impaknya kepada saya. Bersamanya hanya suatu jangka masa yang singkat. The memory is still vivid on my mind. A memory lane. Something to fall back. I feel nostalgic. Some pain maybe somewhere. Nevertheless it is a memory to pass on to my generation. There was someone before you that start the journey of kinsmanship. Your great great grandfather was that man. Al-Fatihah.