Saturday, October 21, 2017
Apabila Gagal Mengejar Pelangi
Pelangi itu indah. Mewarna dan menandai keriangan sesuatu yang menjadi hambatan. Di hujung pelangi itu ingin digapai kebahagiaan memanjang usia. Menunjangkan kasih sayang sepanjang hayat. Namun apabila rintik-rintik hujan menjadi reda, pelangi indah berwarna-warni itu hilang pergi entah ke mana. Yang tinggal hanya kesayuan di hujung zaman. Kita hanya mampu menatap yang hilang. Meratap yang pergi. Jauh di sudut hati hanya hampa. Kekosongan yang menerowong jauh. Nampak cahaya di hujungnya tetapi kian kelam. Kian berkabut. Kian berkabus. Kelabu menjamah hitam. Lalu apa lagi yang dapat memancarkan warna-warna pelangi yang hilang itu? Kita hanya mengharap.Hanya dapat berdoa. Memohon dariNya Yang Maha Esa. Memohon kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. Menuju jalan lurus nikmatnya syurga. Abadi di dalamnya. Apakan daya dayung patah di tengah lautan. Layar rabit diterjah angin. Hamba yang kerdil ini hanya berserah kepadaMu ya Allah. Hanya kepadaMu. Perjalanan jauh yang telah dilalui diharap
menjadi bekal untuk terus ke hadapan. Kekangan dan halangan rupanya menghantui hajat dan hasrat. Mimpi-mimpi indah rupanya memang realitinya hanya mimpi. Bukan alam nyata seperti yang diimpikan. Jaganya hanya lamunan semata-mata. Alangkah patahnya sayap tua ini. Alangkah remuknya perasaan. Kenapa dan mengapa tiada upaya untuk menghujjah. Tiada perkataan untuk diungkapkan. Rahsia besar
di sebalik senyuman tiada siapa yang akan tahu kecuali Allah. Persembunyian di sebalik senyum yang tidak lagi dapat dibendung. Tidak dapat lagi ditutup rapi. Deraian air mata jua yang merembas pipi yang mulai berkedut. Yang mulai kering dengan usia tua. Ilmu dan pengalaman tidak dapat menampung retaknya hati. Siapapun tiada hak untuk menghakimi. Perjalanan hidup yang serba payah untuk menjaga sekeping hati.
Yang terang itu bersuluh. Jelas dan dilihat dengan nyata. Pada diri kita ada titik putih dan titik hitam. Andainya kita fokus pada yang putih maka tidak perlu difikirkan titik yang hitam. Namun apabila yang hitam semakin dihitamkan maka yang putih semakin kelabu dan akhirnya hanya hitam yang dilihat. Pada kebanyakan masa kita adalah insan-insan yang rasional. Tetapi apabila minda kita sudah kusut, maka adab berfikir hilang arahnya. Insan tidak lari dari kesilapan. Kerana ia insan ia berusaha memperbaiki diri. Ada yang berusaha memperbaiki diri tetapi itu tidak dianggap mencukupi. Seluruhnya hanya dilihat negatif. Tidak dilihat manfaatnya. Tidak dilihat indahnya. Tidak kelihaan titik putih yang perlu diberi keindahan yang sewajarnya. Tiada siapapun yang sempurna. Banyak kekurangannya. Tetapi sekiranya kekurangan itu semakin hari semakin dilebarkan tentulah dunia ini menjadi sempit. Ruang yang ada menjadi kecil. Fizikal dan mental kita menjadi tersepit dan terjepit.
Kesabaran selalu teruji. Pertahanan perasaan tercabar. Sesuatu yang dihadapi bertahun-tahun lamanya sampai juga ke penghujungnya. Sesuatu yang bermula berakhir jua. Apabila perasaan diserang bertubi-tubi sepanjang masa, roboh juga Kota Melaka. Rupanya apabila kita menjadi tua
terlalu banyak hilangnya perkara. Bau tubuh banyak busuknya. Rambut botak menjadi cela. Kulit tubuh tiada lagi indahnya. Pakaian banyak yang tidak kena. Amalan sentiasa tidak mencukupi.
Tenaga hilang entah ke mana. Keupayaan semakin lemah. Tutur kata semakin samar.
Kata-kata banyak salahnya. Berbuatlah sebanyak mana, tetap banyak celanya. Ramai antara kita tidak melihat sekeliling. Bahawa usia memamah tenaga. Mengendurkan keupayaan fizikal. Melunturkan
keupayaan mental. Benar, buah kelapa tua banyak santannya. Tetapi ingat juga ia mudah menjadi basi. Tidak berguna untuk apa sekalipun. Apa sebenarnya yang perlu dilakukan apabila tua? Banyak beramal tetapi dengan kadar yang selesa dan berkeupayaan. Membina standard tinggi yang mencukupi tetapi tidak melebihi keupayaan yang ada Tidak adil dikata tidak mencapai standard orang lain.
Tidak adil dinilai tidak cukup hebat seperti orang lain. Amalnya tidak dilihat sehebat orang lain. Usahanya sentiasa dianggap tidak mencukupi. Apa yang dilakukan sentiasa dianggap tidak
mencapai standard. Buah fikirannya tidak dikira bermanfaat.Diperkecilkan seperti tiada gunanya lagi. Makannya disebut negatif Pakainya cacat cela belaka. Rehatnya tidak senangi. Tidurnya dianggap tidak memperduli.
Tentulah pada usia tua penat lelahnya semakin banyak. Lenguh sendi merata-rata. Ingin juga bermanja. Apakan daya tiada yang ingin menyentuh. Menyentuh dirasa geli pula. Bagaimana lelaki yang sempurna? Sedangkan pada dirinya:
Tidak keluar berpeleseran.
Tidak bersembang di kedai makan.
Tidak menghabiskan waktu di luar rumah kecuali kerana kerana tugas.
Tidak liar dengan wanita.
Tidak mencari hiburan bersendirian.
Sesuatu yang kelihatan indah mungkin hanya bersalut nipis. Tidak kukuh dan kental seperti diharap. Sendu dan tangis hanya di dalam. Diingat apabila bersendirian. Semua yang indah bertukar menjadi kebencian. Menjadi sesuatu yang tidak senang dipandang. Kehadirannya sudah tidak lagi mendamaikan. Ada sahaja salah dan silapnya. Maka berhamburanlah kata-kata negatifnya selagi terpacak di hadapan mata. Terasa benar kehadiran tidak diperlukan lagi. Maka pada akhirnya pecahlah tembok besar yang selalu dipertahankan. Tiada lagi gunanya air mata ini. Cukuplah di ini. Berakhir
sebuah kebahagiaan.
Thursday, August 31, 2017
Dunia Tua Itu Voidkah?
Orang tua pastinya telah melalui berbagai
zaman. Kemeriahan zaman kanak-kanak yang tidak terungkap dek kata-kata. Manisnya
zaman remaja yang bebas bak unggas. Indahnya zaman bercita-cita tinggi bak
menggunung. Sayunya mengenang zaman bercinta yang mungkin tidak kesampaian. Mengingat
kembali cinta sejati yang bertaut hingga ke tua. Riangnya menimang cahaya mata
dari satu hingga beberapa ramainya. Kalutnya mengurus anak-anak dari bayinya
hingga berdikari. Itu belum zaman sayu melepaskan anak-anak seorang demi
seorang. Yang tinggal hanya berdua. Menanti dan meniti hari-hari tua yang tidak
kurang misterinya.
Siapa kata pengalaman mengajar kesemuanya. Hal-hal
teknikal juga berubah kerana teknologi berubah. Perubahan adalah sesuatu yang
pasti berlaku. Dengan izin Allah bayi yang hanya terdepang menggerakkan kaki
dan tangan akan merangkak. Akan berjalan bertatih sebelum berlari. Akan mengalami
perit jerih kerana jatuh dan terantuk. Kanak-kanak yang meminta sebanyak
mungkin tetapi tidak tertunai kesemuanya kerana kedhaifan ekonomi kedua ibu dan
bapanya. Lalu zaman itu berlalu menjadikan diri remaja yang banyak mengharap. Zaman itu
berlalu kesemuanya. Mana manis yang tinggal lagi. Hanya kenangan.
Menjelang dewasa tertimpalah dengan banyaknya
urusan hidup. Dari kerjaya hingga ke rumahtangga. Urusan pejabat dan urusan
kesibukan yang tidak terhingga. Demi mencari nafkah yang kadang-kadang bagi
kebanyakan orang tidaklah seberapa. Cukup untuk hidup dengan berjimat dan
berperit rasa. Kerjaya bukan ke mana perginya. Hanya mereka yang yang
berprndidikan secukupnya, berpeluang mendapat laluan dan diizinkan Allah untuk
melalui ujian dunia dan akhirat. Lalu dunia dewasa itu banyak cabang dan
simpangnya. Barangkali pengalaman membantu menetapkan kita ke jalan lurus yang
diredhai Allah. Mudah-mudahan tidak tewas dengan berbagai godaan yang boleh
meranapkan masa hadapan. Masa pasca persaraan. Masa tua.
Masa tua bukan indah-indah belaka. Bukan juga untuk
dilupa-lupakan. Banyak juga cabarannya. Walaupun keluarga sudah membesar, anak
cucu banyak yang jauh. Apabila cucu-cucu membesar mereka juga mencari haluan
masing-masing. Lalu menjadi tua bukan suatu opsyen yang pasti jika tidak dirancang
dengan wawasan yang jauh. Kita tidak perlu memikirkan yang jauh-jauh jika kita
rasa usia kita tidak panjang. Tetapi tiada siapa yang tahu panjang mana usia
kita. Maka esok untuk apa. Lusa untuk apa. Tulat untuk apa. Tubin untuk apa. Tentunya
perlu juga dirancang untuk melakukan sesuatu dengan izin Allah. Dalam usia
pinjaman yang semakin singkat. Jalan pengakhiran yang semakin dekat.
Benar, kadang-kadang dunia ini terlalu fana. Merasa
void yang tidak menentu. Tidak tahu apa yang dimahu. Tidak ada lagi yang
dirindu. Puas sudah mengenang masa lalu yang pastinya tidak akan kembali lagi. Apa
yang perlu diisi untuk masa yang berbaki tentunya bukan kepalang banyaknya. Jika
tidak diisi maka banyak lintasan-lintasan jahat bertahta di hati. Memperbanyak bisikan
syaitan sahaja. Oleh itu apabila sudah merasa tua maka:
1
Kembalikan fitrah diri kepada Allah. Mohon hidayahnya terus-menerus. Menjadi
muqorrobin.
2
Banyak berbuat kebaikan kepada semua yang ada di sekeliling kita.
3
Berbuat kerja-kerja amal untuk memenuhi masa yang sangat berharga.
4
Terus belajar hingga ke liang lahad.
5
Paling penting, hadapi hidup ini dengan santai, membersih hati, menambah
keikhlasan dalam banyak perkara.
Tua bukan alasan untuk tidak belajar lagi. Untuk
tidak mencari ilmu lain selain yang sudah dimiliki. Usia lanjut bukan masa
untuk berehat. Jangan mati sebelum waktunya. Kadang-kadang kita berfikir secara
singkat. Takut melalui proses belajar. Takut melalui ujian. Takut dikata tidak
berilmu dan tidak pandai. Kita lupa bahawa yang kita ketahui adalah terlalu marginal.
Terlalu sedikit. Terlalu kecil. Terlalu banyak yang tidak kita ketahui. Kita selalu
berfikir bahawa belajar lagi tidak perlu. Bukan hendak bekerja semula. Bukan hendak
menambah pendapatan dengan bekerja.
Mengisi masa tua adalah sangat-sangat
diwajarkan. Tidak termenung mengadap TV atau membaca akhbar berulang-ulang. Sekiranya
terlibat dengan kerja-kerja amal, maka tiada masa terluang untuk hanya santai. Akal
fikiran terus ligat berfikir. Pangalaman melimpahkan jalan fikir yang lebih
banyak kuantiti dan lebih berkualiti sewajarnya. Semasa menjejak tua seharusnya
kita bebas dari hal-hal yang perlu dibebaskan. Keterikatan kepada anak cucu
yang terlalu berlebihan. Masa tua inilah you should be back to yourself.
Bebas merencanakan hal-hal diri yang semasa muda dahulu tidak kesampaian. Yang semasa
muda dahulu tidak dapat dilakasanakan. Tidak berpeluang untuk melakukan banyak
perkara kerana masa kita penuh dengan anak-anak yang perlukan perhatian penuh.
Tua tidak hanya menunggu mati. Ajal tetap
datang bila-bila masa tanpa mengira usia. Yang muda malah lebih ramai yang
pergi dahulu. Masa, oh masa. Kita yang perlu mengisinya. Yang perlu mengurusnya.
24 jam setiap hari. Tujuh hari seminggu. Setiap bulan, setiap tahun. Mungkin bertahun-tahun
lagi lamanya. Usah tangisi masa tua. Usah termenung mengenang nasib. Isi masa
dengan sepenuhnya. Menanti sambil mengisi bekalan untuk dibawa pergi. Selalu beringat
bahawa kampung kita melambai dan menggamit, kampung ayah dan bonda kita. Syurga
yang penuh kenikmatan yang tidak dapat dibicarakan dengan kata-kata. Yang melampaui
lintasan hati.
Tuesday, July 25, 2017
Positif vs Negatif
Dua perkara yang bertentangan pastinya. Itu
pada pandangan pertama. Pandangan sepintas lalu. Pandangan tanpa ghairah.
Tetapi apabila diamat-amati pastinya sesuatu yang kelihatan biasa akan menjadi
luarbiasa. Kebanyakan kita suka melihat yang tersurat. Kita jarang melihat yang
tersirat. Yang terselindung di sebalik kata-kata atau tulisan semata-mata.
Kerana itu kita selalu terlepas pandang untuk menikmat sesuatu yang indah. Yang muluk-muluk dari
segi keindahan berbahasa. Keindahan berfalsafah aras tinggi. Kita selalu mendengar
KBAT. Kemahiran Befikir Aras Tinggi. Juga Kemahiran Beremosi Aras Tinggi.
Penting sangatkah KBAT ini dalam kehidupan kita. Iya dan mungkin tidak.
Bergantung siapa anda. Bergantung siapa anda hendak jadi. Bergantung apa yang
ingin anda capai dalam kehidupan pada tahun-tahun yang mendatang. Kita boleh
berada di takuk lama. Terus-terusan berada di bawah. Terus-terusan menjadi
tidak signifikan sama ada di mata orang lain atau di mata kita sendiri. KBAT
yang diurus dengan betul boleh membantu kita mendaki ke aras yang lebih tinggi
dengan izin Allah.
Untuk maju kita perlu positif. Sedia mencuba.
Sedia melakukan kesilapan tetapi membetulkannya supaya tidak mendatangkan
mudarat kepada diri sendiri atau orang-orang di sekeliling kita. Elakkan
berfikiran negatif kerana ia adalah sesuatu yang menjadikan kita kekal kecil.
Kekal takut. Kekal tidak signifikan. Malah kekal dalam zon selesa yang tidak
bermanfaat pada akhirnya. Berada dalam kotak yang dilihat dinding dan seginya
sahaja. Berada dalam kepompong yang diabaikan oleh orang lain. Apabila kita
berfikir dan berfikir akan nantinya kita lahirkan buah fikiran itu dalam bentuk
lisan atau tulisan. Fikiran kita dibaca oleh orang lain. Dibuat penilaian.
Diberi darjat yang tertentu. Maka orang akan meletakkan kita pada suatu aras
yang tertentu. Mungkin kita memanjat darjat dari satu aras ke satu aras yang
lebih tinggi bergantung kepada usaha yang kita laksanakan. Perlukah peluang?
Tidak. Kita yang perlu mencari peluang dan ruang. Jika hanya menunggu peluang,
kita akan tertinggal di belakang. Tersisih dari arus yang menjadi laluan
kejayaan kepada orang lain.
Positif dan negatif adalah dua ekstrim yang
saling berkait. Positif memang baik andai direalisasikan dengan usaha gigih. Dengan
garapan yang meninggi awan di sebalik realiti sebenar. Negatif tidak semestinya
buruk andai dilihat dari sudut pandang yang berbeza. Sesuatu yan negatif boleh
sahaja menjadi positif jika kita menjadikannya cabaran. Gagasan untuk berjaya.
Bukan ukuran untuk gagal. Bukan halangan untuk berjaya. Kesukaran adalah
negatif. Tetapi jika diatasi secara beperingkat-peringkat, pastinya pengalaman
itu sendiri menjadikan diri seseorang itu positif menuju kejayaan. Tidak ada
orang yang sekali lompat terus berada di puncak gunung.
1
Terlebih dahulu ia memilih gunung
2
Memandang persekitarannya
3
Menjangkakan ketinggiannya
4
Melakarkan laluan yang termudah atau yang paling kurang cabarannya
5
Bersedia menghadapi cabaran: membawa tali, ubat, minuman, makanan ringan
6
Membuat latihan fizikal dan persediaan mental
7
Berdoa dan tawakkal
8
Mencuba dan terus mencuba hingga berjaya.
Kejayaan perlukan jangka masa. Ianya perlukan
perancangan. Ianya perlukan persediaan. Ianya perlukan peralatan. Ianya
perlukan komitmen. Ianya perlukan sokongan dari orang-orang yang berada di
sekeliling kita. Yang penting berfikiran positif. Terbuka. Berlapang dada dan
tidak pula terlalu obses. Belajar untuk menerima kelainan. Kehadiran sesuatu
yang tidak dijangka. Untuk berhadapan dengan positif dan negatif ini perlukan
kita yang berbagai kategori.
1
Pedidikan membantu membentuk keperibadian kita sendiri. Akademik yang
mencabar menjadikan lulusannya berani dengan cabaran.
2
Pengalaman membantu kita berinteraksi dengan apa sahaja cabaran.
3
Persekitaran membantu kita bergerak dari arah negatif menjadi positif.
4
Sokongan dan motivasi diperlukan untuk membuat anjakan paradigma. Bukan
yang dianggap normal sahaja.
5
Ia soal hati dan mental. Soal emosi dan spiritual yang kita kuasai.
6
Berani mengambil risiko yang bersenuaian.
Dunia ini beredar dan bergetar dengan pantas.
Mereka yang negatif perlu bergerak ke arah positif. Mereka yang positif
menggandakan darjah positif diri mereka. Cara kita berfikir perlu sangat
berubah. Mecari ruang untuk bertambah baik dari segi kuantiti dan kualiti. Kita
tidak perlu:
1 Terlalu dikongkong dengan pemikiran yang mengikat. Mengongkong. Biar
kita longgarkan cara kita berfikir. Mencari jalan keluar dari sesuatu yang
jumud dan ketinggalan zaman.
2 Kita harus melihat dengan mata hati dan bukan mata kasar semata-mata. Di
belakang pemikiran kita perlu ada sistem yang sistemik, mengurangkan paradoks
dan sedikit “melanggar adat”.
3 Kita boleh stereotaip tetap adalah lebih baik mencipta kelainan.
Innovasi atau menjadi lebih kreatif. Mencipta dari yang tidak ada kepada ada
dengan olahan-olahan yang berbeza. Dilihat berbeza. Dinilai berbeza.
Pandangan hidup kita berlu bergeser ke arah
positif. Berusaha untuk menjadi lebih baik. Tidak ada salahnya cenderung untuk KBAT.
Yang penting kita kekal terus memperbaiki yang asas pada diri kita. Kita tidak
meninggalkan milik hakiki kita. Yang cuba digarap ialah memperbaiki diri kita
secara berlapis. Berperingkat. Melipatgandakan usaha lain untuk melonjakkan diri
ke aras yang jauh lebih tinggi. Tangga yang tegak memang dilihat sukar untuk
dipanjat. Cuba disendengkan sedikit. Kecuramannya tentu kurang menakutkan
walaupun cabarannya tetap kekal ada. Kita tidak mungkin terus melompat ke
kepala tangga. Yang pastinya menapaklah dari satu anak tangga ke anak tangga
yang lebih tinggi. Sasarannya kekal menaiki tangga hingga ke kepala tangga.
Begitulah proses belajar. Piaget (seorang pakar
psikologi) menyarankan supaya belajar mengikut prosesnya.
1
Yang dekat baru yang jauh.
2
Yang senang sebelum yang susah.
3
Yang ringan sebelum yang berat
Tidak
ada jalan pintas untuk menjadi lebih positif. Menjadi lebih baik. Menjadi lebih
tinggi.
1
Susah tetap ada di sepanjang perjalanan untuk ke puncak kejayaan.
2
Perlukan banyak pengorbanan masa.
3
Perlukan pengorbanan tenaga.
4
Perlukan pengorbanan emosi.
5
Perlu menjaga hubungan dengan Allah dan manusia di sekeliling kita.
Apa yang ingin kita capai pada awalnya
kelihatan janggal. Seperti di luar kemampuan diri. Sukar difahami. Diselubungi
rasa takut dan malu. Yang diperlukan ialah:
1
Komitmen, pengorbanan dan kecekalan hati berhadapan dengan hal-hal yang
negatif.
2
Fokus mengarahkan diri ke sudut yang ingin dicapai. Bina predestination.
3
Banyak berusaha untuk memperbaiki diri.
4
Banyak mengadu kepada Allah dan memohon bantuannya.
5
Biasakan diri berhadapan dengan sesuatu yang sedikit susah, mencari
penyelesainnya. Susah yang diselesaikan akan memperkayakan ilmu dan pengalaman.
Alah bisa tegal biasa. Banyak perkara yang susah boleh dikuasai dan
dipositifkan.
Membuka minda dan berlapang dada tidak semudah
meneguk air dari gelas. Kita perlu belajar dan belajar dan terus belajar.
Abaikan mereka yang negatif mindanya. Bawa diri kita terus maju ke hadapan.
Kita tidak boleh berhenti menanti orang lain. Kita boleh membantu mereka tetapi
kita tidak boleh terikat sangat dengan mereka sehingga kita tiada ruang untuk
bergerak. Andai kita boleh berjalan
dahulu maka kita tinggalkan mereka yag disekeliling mereka. Kita akan kembali
semula kepada persekitaran kita demi untuk membawa mereka yang tertinggal, maju
ke hadapan setapak demi setapak melalu jalan yang telah pernah kita tempohi.
Kita bawa nilai positif ke atas orang-orang yang berada di sekeliling kita.
Positif kesannya positif berganda. Negatif jika
diolah dengan saksama boleh menjadi positif. Siapa yang menentukannya? Kita.
Diri kita. Ubah diri kita terlebih dahulu sebelum kita ingin mengubah orang
lain. Pada hakikatnya kita tidak boleh
mengubah diri orang lain. Yang empunya diri yang diperlukan untuk mengubah diri
mereka. Kita membantu sebagai fasilitator. Itu sahaja. Mari sama-sama kita berfikiran positif. Buang perasaan
prasangka. Memandang ke hadapan dengan penuh kesedaran positif.
Friday, February 17, 2017
Tinggal Ayah Tinggallah Emak
Sekarang ini menjadi tren bahawa apabila anak-anak menikah maka kedua
ibu-bapa mempelai lelaki dan perempuan akan ikut serta. Di rumah pengantin
perempuan kedua ibu-bapa mempelai lelaki akan turut serta dan di rumah mempelai
lelaki kedua ibu-bapa mempelai perempuan akan juga turut serta. Berbeza pada
tahun-tahun 1960an dan 1970an. Ibu-bapa tidak turut serta. Ada wakil ibu-bapa
bersama saudara-mara dan sahabat-handai. Pada waktu itu persemendaan tidak
begitu terbuka seperti sekarang. Seolah-olahnya ketika itu masih banyak
malunya. Masih teragak-agak untuk membuka keterbukaan yang seluas-luasnya. Masih
ada reserve dan privacy yang dijaga. Disimpan untuk suatu jangka
masa yang tertentu. Zaman berubah dan keadaan berubah. Jalan fikir kita juga
berubah jauh. Kita sudah membuka minda seluas-luasnya. Kemesraan antara dua
keluarga terbina ketika risikan dibuat. Ketika pertunangan dirasmikan. Bertambahlah
ketika pernikahan dilangsungkan. Bertautlah dua keluarga yang bersemenda. Bertambah
dan bertambah apabila cucu-cucu bakal memeriahkan suasana.
Dalam perkahwinan, jarak tempat bukan lagi perkiraan penting. Dalam
daerah atau luar daerah. Dalam negeri atau luar negeri. Dalam negara atau luar
negara. Persemendaan merapatkan jurang keluarga. Jurang kaum. Jurang bangsa. Jurang
agama. Jauh hanya beberapa jam. Dengan kenderaan darat dua jam. Dengan perjalanan
udara mungkin juga dua jam. Tidak ada perjalanan laut kecuali antara pulau ke
pulau. Atau dari pulau ke tanah besar. Atau dari tanah besar ke pulau. Malah pernerbangan
yang beberapa jam atau berpuluh jam bukan penghalang perkahwinan antara warga
dua negara. Proses kehidupan sudah banyak dipermudahkan. Hanya kestabilan
ekonomi keluarga sudah cukup merealisasikan segala impian pasangan dua sejoli
untuk hidup bersama. Apabila dua hati sudah tertambat, hanya masa menjadi
halangan. Yang lain-lain menghambat kesegeraan bersatunya kedua mereka. Apa lagi
yang perlu dinantikan. Jika rasa tanggungjawab sudah redha dipikul maka
segeralah menikahnya. Pengubat segala penantian yang menyeksakan.
Begitulah antara Semenanjung dan Sarawak serta Sabah. Antara Johor dan
Sarawak. Antara Batu Pahat dan Miri umpamanya. Jarak dua jam penerbangan
terlalu singkat. Hanya sebentar belon di atas awan. Baru mendatar sudah
mula menurun altitud. Saudara jauh yang
turut serta ingin meraikan sama mempelai semenda mereka. Meraikan saudara
semenda mereka. Melihat tempat orang. Menikmati hidangan tempat orang. Bermesra
dengan saudara mara yang baru. Begitu yang dirancang. Namun apabila kita
merancang, jangan lupa Allah juga merancang. Ketahuilah sesungguhnya perancangan
Allah maha sempurna. Dalam kegembiraan menerima menantu ada kesukaran-kesukaran
yang harus redha diterima kerana ianya datang dari Allah. Dan sesungguhnya
dalam kesusahan itu tetap ada kesenangan yang Allah datangkan. Tentunya dalam
spektrum yang berbeza dari pandangan kita manusia biasa. Cuma apabila kita amati,
banyak hikmah yang tidak dapat kita ungkapkan. Tidak dapat kita nyata secara spesifik.
Suatu pernikahan lazimnya dinanti penuh debar. Penuh rindu. Mempelai perempuan
syahdu menanti bait-bait “Aku terima nikahnya” dari seorang lelaki bernama suami.
Orang tercinta yang diharap memberi gamitan kebahagiaan. Mencanai keindahan
bersuami-isteri. Mencambah kasih-sayang.
Mengayam rindu-rinduan kasih. Lelaki yang menambat jiwa raga itu telah berada
di hadapan mata. Hanya sejarak disapa mesra. Jarak disentuh sayang. Telah sekian
dirindui munculnya secara syahdu. Dinanti penuh rembesan air mata. Malamnya diimpikan.
Siangnya berbayang-bayang. Hari pernikahan itu hanya detik masa sahaja yang
memisahkan. Namun debaran menanti yang singkat itu cukup menggema sanubari. Cukup
melelahkan pernafasan. Cukup melonglaikan sendi-sendi sekujur badan. Resah yang
meresahkan. Penantian yang cukup menyeksakan. Ya Allah, sabarlah sayang. Detik-detik
keramat itu pasti tiba jua. In sya Allah.
Lelaki yang menjadi bakal suami adalah lelaki terbaik yang telah dipilih
dari ramai lelaki yang berbaris menawarkan diri. Yang dinilai hati dan budinya.
Yang kemunculannya dinantikan bak putera berkuda putih. Pantas menyambar
membawa ke daerah cinta yang cahaya benderangnya memukau indah. Ramai lelaki di
luar sana namun yang dipilih dia juga. Bukan lelaki lain entah berapa ramainya.
Bila hati telah tertawan, tersimpullah ikatan abadi yang ingin terus diabadikan
melalui pernikahan syahdu. Di hadapan ayah-ibu tersayang. Bersama sanak-saudara
dan sahabat-handai. Mengapa menanti saat “Aku terima nikahnya” sangat
mendebarkan? Gundah dan gelana tidak lagi terkira. Semakin masa mendekat
semakin pula tambah debarnya. Sesuatu yang ironis. Saat gembira yang
sangat-sangat dinantikan dirasa mengharukan. Rupanya penantian yang dahulunya
merindukan bertukar menyebakkan hati nurani. Seorang suami yang hadir di
hadapan mata menjadi titik tolak bagi mempelai perempuan bergelar isteri. Bakal
menjadi ibu. Menjadi suri penuh setia.
Masa yang dijanjikan itu tiba jua. Tiba membawa ribuan harapan. Membawa
indahnya bercinta yang diabadikan. Yang dijanjikan barakah. Janji yang ingin
sampai ke jannah. Bersama kebahagiaan abadi. Tetapi sebagai manusia kita perlu
tetap berpijak di bumi nyata. Setiap pasangan kedua ibu-bapa sentiasa berdoa agar
anak-anaknya menemui jodoh yang terbaik. Jodoh yang boleh diharap senang dan
susahnya. Jodoh yang memberi harapan kepada anak-anaknya. Yang memberi harapan
masa hadapan yang gemilang dan cemerlang. Begitu juga harapan anak. Ingin memberikan
kebahagiaan kepada kedua ibu-bapa mereka dalam banyak keadaan. Namun begitu
kekadang sesuatu kegembiraan bersalut rasa duka nestapa. Ibu-bapa yang sudah
berumur mungkin kesihatannya tidak memungkinkan ianya bergembira sepenuhnya. Pancaran
kegembiraan hanya terlalu singkat. Khusuanya bagi derita sakitnya melampaui cerita
biasa-biasa. Mereka tidak dapat bersama bertandang ke rumah besan. Ke rumah
yang menyambut menantu.
Saat itu seolah-olahnya putus jantung hati. Segala-galanya diserah
kepada suami. Dirinya tertanggung oleh suami. Bukan lagi ibu-bapa yang selama
ini bersama. Seperti hilang sebentar dari pandangan. Hati menjadi berbelah-bagi.
Di hadapan hadir seorang suami bersedia untuk menerima kehadiran seorang isteri.
Di belakang dan di samping, ibu-bapa melepaskan seorang anak kesayangan kepada
suaminya. Bergerak ke hadapan meninggalkan ibu-bapa. Berundur ke belakang
pastinya tidak mungkin. Kehidupan pasti perlu diteruskan. Dibina struktur yang
boleh merealisasikan kebahagiaan bersuami isteri. Membina masa hadapan yang
diimpikan bersama. Tidak ada siapa yang menghiris bawang. Tidak ada siapa yang
menghembus asap ke mata. Tiada abuk hinggap di mata. Mata tetap bergenang
dengan mutiaranya. Menitis dan membasahi pipi. Merembas tanpa ada paksaan. Lumrah
manusia menangis kerana kegembiraan yang tidak dapat dibendung perasaan. Ia datang
bersama sendunya. Tinggal emak, tinggallah ayah.
Pastinya hati seorang ibu tersentuh hiba. Saat melepaskan anak gadianya
kepada menantu barunya meruntun jiwanya. Juga menifastasi kegembiraan yang
diterjemahkan bersama air mata. Itulah paradoks hati manusia. Tangis antonim
dengan tawa ria. Namun dalam saat terlalu gembira tangis dan sendu terpapar
pada wajah. Anak yang dibelai dari rahim, kanak-kanak, remaja dan dewasa,
dilepaskan juga mengikut fitrahnya. Anak gadis itu perlukan suami. Menjadi menantu
terbaik untuk keluarga. Ia bukan suatu percaturan. Bahkan suatu perancangan
sunnah Allah untuk lelaki dan perempuan pilihan masing-masing. Direncanakan menuju
jannah yang penuh nikmat. Suatu perjalanan bersuami-isteri yang banyak likunya.
Perlu banyak sabarnya. Perlu banyak perencanaannya. Lazimnya doa dari kedua ibu-bapa menjadi bekal terbaik. Diharap
dengan penuh doa bahawa alunan ombak bukan badai, bahkan alunan yang menghempas
pantai kebahagiaan yang natijahnya impian indah belaka. Perbezaan tetap berlaku
tetapi carilah persamaan. Kembangkan nilai persamaan. Beri nalai tambah yang
bererti dan berharga.
Lelaki yang menjadi suami, ketahuilah bahawa ketika kau bergembira
menerima hadirnya seorang isteri, dia, isterimu sedang berperang dengan
perasaannya. Ketahuilah ia bakal terpisah dengan kedua ibu-bapanya. Dua orang
yang sejak sekian lama sentiasa bersama. Kehadiranmu mengubah segala persepsi
diri. Oleh itu bantulah ia untuk meninggalkan keluarganya dengan penuh tertib. Penuh
berhati-hati. Hanya dengan bersamamu sahaja dia merasakan saat terpisah yang
mencengkam perasaannya. Damaikanlah hatinya. Biarlah usapanmu selembut bayu. Kata-katamu
sesejuk salju. Biarlah senyummu semerkah bunga. Biarlah gerak tubuhmu selembut
tari. Dakaplah isterimu bersama sendunya. Kasih sayangmu amat syahdu buat
dirinya. Hanya kau suaminya. Hanya kepadamu digantung harap masa hadapannya. In
sya Allah andai dua hatimu dan hatinya menyatu selalu.
Subscribe to:
Comments (Atom)