Thursday, August 31, 2017

Dunia Tua Itu Voidkah?



Orang tua pastinya telah melalui berbagai zaman. Kemeriahan zaman kanak-kanak yang tidak terungkap dek kata-kata. Manisnya zaman remaja yang bebas bak unggas. Indahnya zaman bercita-cita tinggi bak menggunung. Sayunya mengenang zaman bercinta yang mungkin tidak kesampaian. Mengingat kembali cinta sejati yang bertaut hingga ke tua. Riangnya menimang cahaya mata dari satu hingga beberapa ramainya. Kalutnya mengurus anak-anak dari bayinya hingga berdikari. Itu belum zaman sayu melepaskan anak-anak seorang demi seorang. Yang tinggal hanya berdua. Menanti dan meniti hari-hari tua yang tidak kurang misterinya.

Siapa kata pengalaman mengajar kesemuanya. Hal-hal teknikal juga berubah kerana teknologi berubah. Perubahan adalah sesuatu yang pasti berlaku. Dengan izin Allah bayi yang hanya terdepang menggerakkan kaki dan tangan akan merangkak. Akan berjalan bertatih sebelum berlari. Akan mengalami perit jerih kerana jatuh dan terantuk. Kanak-kanak yang meminta sebanyak mungkin tetapi tidak tertunai kesemuanya kerana kedhaifan ekonomi kedua ibu dan bapanya. Lalu zaman itu berlalu menjadikan  diri remaja yang banyak mengharap. Zaman itu berlalu kesemuanya. Mana manis yang tinggal lagi. Hanya kenangan.

Menjelang dewasa tertimpalah dengan banyaknya urusan hidup. Dari kerjaya hingga ke rumahtangga. Urusan pejabat dan urusan kesibukan yang tidak terhingga. Demi mencari nafkah yang kadang-kadang bagi kebanyakan orang tidaklah seberapa. Cukup untuk hidup dengan berjimat dan berperit rasa. Kerjaya bukan ke mana perginya. Hanya mereka yang yang berprndidikan secukupnya, berpeluang mendapat laluan dan diizinkan Allah untuk melalui ujian dunia dan akhirat. Lalu dunia dewasa itu banyak cabang dan simpangnya. Barangkali pengalaman membantu menetapkan kita ke jalan lurus yang diredhai Allah. Mudah-mudahan tidak tewas dengan berbagai godaan yang boleh meranapkan masa hadapan. Masa pasca persaraan. Masa tua.

Masa tua bukan indah-indah belaka. Bukan juga untuk dilupa-lupakan. Banyak juga cabarannya. Walaupun keluarga sudah membesar, anak cucu banyak yang jauh. Apabila cucu-cucu membesar mereka juga mencari haluan masing-masing. Lalu menjadi tua bukan suatu opsyen yang pasti jika tidak dirancang dengan wawasan yang jauh. Kita tidak perlu memikirkan yang jauh-jauh jika kita rasa usia kita tidak panjang. Tetapi tiada siapa yang tahu panjang mana usia kita. Maka esok untuk apa. Lusa untuk apa. Tulat untuk apa. Tubin untuk apa. Tentunya perlu juga dirancang untuk melakukan sesuatu dengan izin Allah. Dalam usia pinjaman yang semakin singkat. Jalan pengakhiran yang semakin dekat.

Benar, kadang-kadang dunia ini terlalu fana. Merasa void yang tidak menentu. Tidak tahu apa yang dimahu. Tidak ada lagi yang dirindu. Puas sudah mengenang masa lalu yang pastinya tidak akan kembali lagi. Apa yang perlu diisi untuk masa yang berbaki tentunya bukan kepalang banyaknya. Jika tidak diisi maka banyak lintasan-lintasan jahat bertahta di hati. Memperbanyak bisikan syaitan sahaja. Oleh itu apabila sudah merasa tua maka:

1                     Kembalikan fitrah diri kepada Allah. Mohon hidayahnya terus-menerus. Menjadi muqorrobin.
2                     Banyak berbuat kebaikan kepada semua yang ada di sekeliling kita.
3                     Berbuat kerja-kerja amal untuk memenuhi masa yang sangat berharga.
4                     Terus belajar hingga ke liang lahad.
5                     Paling penting, hadapi hidup ini dengan santai, membersih hati, menambah keikhlasan dalam banyak perkara.

Tua bukan alasan untuk tidak belajar lagi. Untuk tidak mencari ilmu lain selain yang sudah dimiliki. Usia lanjut bukan masa untuk berehat. Jangan mati sebelum waktunya. Kadang-kadang kita berfikir secara singkat. Takut melalui proses belajar. Takut melalui ujian. Takut dikata tidak berilmu dan tidak pandai. Kita lupa bahawa yang kita ketahui adalah terlalu marginal. Terlalu sedikit. Terlalu kecil. Terlalu banyak yang tidak kita ketahui. Kita selalu berfikir bahawa belajar lagi tidak perlu. Bukan hendak bekerja semula. Bukan hendak menambah pendapatan dengan bekerja.

Mengisi masa tua adalah sangat-sangat diwajarkan. Tidak termenung mengadap TV atau membaca akhbar berulang-ulang. Sekiranya terlibat dengan kerja-kerja amal, maka tiada masa terluang untuk hanya santai. Akal fikiran terus ligat berfikir. Pangalaman melimpahkan jalan fikir yang lebih banyak kuantiti dan lebih berkualiti sewajarnya. Semasa menjejak tua seharusnya kita bebas dari hal-hal yang perlu dibebaskan. Keterikatan kepada anak cucu yang terlalu berlebihan. Masa tua inilah you should be back to yourself. Bebas merencanakan hal-hal diri yang semasa muda dahulu tidak kesampaian. Yang semasa muda dahulu tidak dapat dilakasanakan. Tidak berpeluang untuk melakukan banyak perkara kerana masa kita penuh dengan anak-anak yang perlukan perhatian penuh.


Tua tidak hanya menunggu mati. Ajal tetap datang bila-bila masa tanpa mengira usia. Yang muda malah lebih ramai yang pergi dahulu. Masa, oh masa. Kita yang perlu mengisinya. Yang perlu mengurusnya. 24 jam setiap hari. Tujuh hari seminggu. Setiap bulan, setiap tahun. Mungkin bertahun-tahun lagi lamanya. Usah tangisi masa tua. Usah termenung mengenang nasib. Isi masa dengan sepenuhnya. Menanti sambil mengisi bekalan untuk dibawa pergi. Selalu beringat bahawa kampung kita melambai dan menggamit, kampung ayah dan bonda kita. Syurga yang penuh kenikmatan yang tidak dapat dibicarakan dengan kata-kata. Yang melampaui lintasan hati. 

No comments:

Post a Comment