Sunday, October 22, 2017
Mohon Ku Belai
Kita selalu rindu pada yang kita kasihi. Rindu pada yang kita sayangi. Rindu pada yang kita rindui. Siapa pun kita, rindu itu tetap datang. Dalam usia berapapun diri kita ini rindu itu tetap menggamit. Memanggil untuk hampir. Untuk dekat. Untuk membelai kasih dan sayang yang selalu hadir dalam diri. Dalam perjalanan hidup ini kita selalu terlepas pandang pada orang yang kita sayang. Kita leka dengan fatamorgana hidup yang simpang siur. Kita memasuki simpang-simpang perjalanan yang bukan haknya. Kita hanyut selesa menyangka simpang itulah perjalanan kita yang sebenar. Kita pertahankan laluan itu sehingga kita benar-benar tersesat dan terseksa melaluinya. Destinasi yang kita cari sebenarnya telah jauh tertinggal di belakang kita. Isyarat dan tanda yang kita lalui kita abaikan. Malah amaran kecil yang diberikan juga tidak diambilkira.
Bagaimana sebenarnya melalui hari-hari yang penuh berkasih sayang? Tentunya agama menggariskan sempadan dan had untuk dilalui bersama. Garispanduan yang banyak melalui al-Quran dan al-Sunnah.
Rasulullah SAW memberikan contoh yang terlalu banyak. Terlalu halus. Terlalu seni. Terlalu mulus. Sebagai insan kita kadang-kadang berfikir tanpa adab beragama. Kita abaikan adab-adab berkasih sayang dengan orang-orang yang kita kasihi. Kita selalu berkeras dengan pendapat dangkal kita. Kita melebihkan kata hati dan bukan kata akal. Antara anak dan ibu-bapa mereka. Antara bersuami-isteri. Antara kerabat. Antara jiran.
Ketika anak-anak dalam belaian, kita berikan yang terbaik untuk mereka. Lalu mereka membesar, berkerjaya dan berumahtangga. Mereka pula menyambung tugas merawat anak-anak mereka. Adakah hubungan dengan ibu dan bapa sudah terputus? Tentu tidak. Malah redha Allah tertangguh apabila redha ibu dan bapa tertangguh. Masihkah anak-anak kita ingat zaman bersama. Zaman berebut mainan. Zaman berebut ruang sempit sebuah rumah. Ruang sempit sebuah kenderaan. Zaman sakit pening yang perlukan rawatan. Zaman berlibur bersama. Yang paling syahdu ialah zaman berebut makan dan minum. Kadang-kadang hanya cukup-cukup. Kadang-kadang ibu dan bapa mengalah sahaja. Kadang-kadang sahaja ada lebihnya. Zaman itu berlalu tetapi pada mata ibu dan bapa anak-anak tetap anak-anak. Masih ingin dibelai walaupun mereka sibuk membelai anak-anak mereka sendiri. Dalam hati anak-anak tetap anak.
Ibu dan bapa mungkin berada. Mungkin mampu dengan kehidupan sendiri. Tetapi ibu dan bapa rindukan semua yang telah berlalu. Rindukan zaman dulu-dulu. Rindukan sebuah kehadiran yang selalu
tertangguh. Himpunan setahun sekali tidak betah mengubat rindu ibu dan bapa. Kerana itu ibu dan bapa kadang-kadang menyibukkan diri sehingga terlupa pada yang asas. Pada yang dasar. Pada yang hak. Kesibukan tentu sahaja meletihkan. Mengganggu fikiran. Mengganggu tidur dan jaga. Kelihatannya tiada apa-apa. Permukaan selaput nipis yang tidak menampakkan apa-apa. Walhal gelombang di dasarnya sangat bergejolak. Tidak tenteram. Lama-lama ia menganggu fizikal dan emosi. Mengganggu psikologi. Kesibukan mungkin juga mengganggu sebuah perhubungan emosi.
Suatu belaian banyak ertinya. Banyak konotasinya. Banyak cabang dan rantingnya. Kita ingin membelai kepada mereka yang kita sayangi.
Yang kita kasihi. Yang selalu kita rindui. Pada masa yang sama kita juga inginkan belaian. Ingin disayangi. Ingin dikasihi. Ingin dirindui. Perasaan itu perlukan timbal-balik dari mereka yang berada di sekeliling kita. Kebersamaan di dunia yang fana ini. Hubungan darah, kerabat dan berjiran. Di akhirat kita mungkin bersama tetapi sebagai individu yang sama tarafnya. Kerana itu kita perlu selalu bertaut. Selalu berpaut. Selalu hadir bersama. Ia perlukan kekerapan. Kebersamaan yang tiada syarat dan terma apa-apa sekalipun. Masa semakin singkat.
Perjalanan semakin pendek. Siapapun anda sebagai anak-anak hari-harimu bersama ibu dan bapa semakin boleh dibilang dengan jari. Esok dan lusa belum tentu menunggu. Selagi boleh bersama, peluk dan ciumlah ibu dan bapamu sekerap mungkin. Seerat mungkin. Hanya mereka yang kamu ada. Mereka adalah pintu-pintu syurgamu. Nanti kau akan hanya terhidu baunya. Terdengar suaranya.
Terbayang wajah tuanya. Terhidang senyumnya. Kata-katanya tidak akan terdengar lagi. Tawanya tidak lagi menjadi halwa telinga. Tingkahnya hilang bersama semadi jasadnya. Nasihatnya terhenti sudah. Hadirnya hilang sudah. Kebersamaan dengan mereka sampai di situ sahaja. Sebelum masanya sampai itu usahakanlah supaya kerap membelai mereka supaya mereka juga membelaimu. Senyum dan tawalah bersama mereka supaya mereka boleh tersenyum dan tertawa bersama. Tetapi, tetapi berilah kerehatan kepada mereka berdua. Apabila kembali kersama, hadirkan layanan lima bintang. Dilayan sepenuhnya. Mereka sudah letih. Mereka perlu rehat yang santai. Keupayaan fizikal yang kelihatan sempurna hanya pada penglihatan sahaja. Tulang-temulang mereka sudah lemah. Sudah mulai reput. Tenaga mereka sudah banyak susutnya.
Tanpa belai dan membelai sayang dan kasih ini siapapun akan longlai hidupnya. Isilah masa hidup ini dengan apa sekalipun. Pada asasnya belaian kasih sayang tetap perlu. Tetap ditunggu. Tetap dirindu. Ingin dikembalikan belaian itu kepada yang dikasihi. Kepada yang disayangi. Kepada yang dirindui. Sesunggunya kita mengasihi dan ingin mengasihi. Menyanyangi dan ingin disayangi. Merindui dan
ingin dirindui. Tiap saat dan waktu. Tiap masa dan detiknya. Allahuakbar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment